Archive for 2004

Ketika Tsunami menghempas

Ketika Tsunami menghempas
kau pun tenggelam
dibawa arus deras
dalam-dalam.

Kausedar kau haloba
kausedar kau alpa
kausedar kau cinta dunia
dan kausedar dosa-dosa.

Sayang...
kausedar semua
ketika sedang jegil dan gigil
terkapai-kapai dalam pelukan Izrael!

Amiza Khusyri Yusof, Seremban.

Leave a comment

Salju Sakinah selepas Semakin Dekat

Terima SMS daripada Zaid Akhtar tengah hari ni. Biasanya, kalau Zaid Akhtar SMS mesti ada sesuatu yang penting untuk dikhabarkan. Atau sekadar melontar lelucon sebagai buah-buah akrab silaturrahim.

Rupa-rupanya, hari ini di ruangan agama Utusan Malaysia, ketika sedang ralit baca novel bersiri Kak Min - Semakin Dekat - ada nota kaki di hujungnya. Tertulis begini :

"Mulai hari isnin 3 Januari 2005, ruangan Novel Bersiri akan menyiarkan novel baru berjudul Salju Sakinah untuk menggantikan novel Semakin Dekat yang akan berakhir pada 29 Disember 2004.

Salju Sakinah adalah hasil karya Mohamad Yazid Abdul Majid yang lebih terkenal dengan nama penanya - Zaid Akhtar.

Beliau merupakan seorang pendidik dengan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Cerpen-cerpennya banyak disiarkan di pelbagai media dan mendapat anugerah, seperti Nil Masih Mengalir dalam kategori cerpen eceran Hadiah Sastera Darul Takzim III dan Juara yang Tewas - kategori cerpen Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1994.


Dua buah novel Zaid, Sesegar Nailofar mendapat tempat ketiga kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 dan novel remaja terbaik Hadiah Sastera Darul Takzim IV. Dan Rona Bosphorus - tempat kedua kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002."

Tahniah buat Zaid Akhtar. Dan kepada peminat-peminat karya beliau, bolehlah ikuti Novel Bersiri - Salju Sakinah bermula 3 Januari nanti di ruangan agama Utusan Malaysia.
Ha, nak bagi apa letih-letih promosi ni Ustaz Zaid? :D

Leave a comment

Dominasi Tebrau : Hadiah untuk wanita Islam

Usai membaca Dominasi Tebrau. Sekarang sedang mencicipi Seorang Tua di Kaki Gunung. Aku tidak mahu mengulas panjang tentang novel Dominasi Tebrau karya pengarang wanita sensasi tanah air ini. Hanya sebuah resolusi - novel ini merupakan hadiah buat wanita-wanita Islam. Cari dan bacalah!



Blurb novel :

Dominasi Tebrau membawa tema besar tentang pembangunan korporat siber, menggambarkan tentang keupayaan sekumpulan cendekiawan wanita Malaysia memanjat tamadun dunia dalam bidang astrofizik, teknologi perubatan dan bioteknologi sehingga mencipta nama di peringkat antarabangsa, malah berazam :

"Dunia akan kugoncang dengan tangan yang mengayun buaian anak-anak negaraku dan bangsaku."

Profesor Amira, pakar astrofizik yang penyayang dan menjadi pendorong; Siti Zuraidah pakar bedah neuro yang perindu; Nur Nilam, pakar bius yang pengasih dan penyedih; Siti Hawa, profesor biokimia yang tenang - semuanya berganding bahu membangunkan Hospital Siber di Tebrau Holding. Ayah, si pemburu cita-cita yang mahu memartabatkan bangsa di negara orang, akhirnya pasrah pada kehendak anak-anak yang meletakkan kecemerlangan bangsa di puncak Menara Tebrau Holding yang sinarnya bercahaya ke seluruh dunia.

Laporan ringkas Panel Penilai Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 :

"Novel ini sarat dengan idea rekonstruksi peranan wanita dalam masyarakat dan membebaskan tipa streotaip yang melabelkan wanita dengan fungsi domestik, sebaliknya wanita diberikan peranan meneroka kemajuan dalam ruang eksternal. Novel ini membawa teknik yang kompleks dengan plot compound, berat dan beragam."

Bagi aku, novel ini berjaya bukan sahaja dengan wahana pengarang menggarap karyanya, tetapi juga dek wujudnya wacana pemikiran yang seimbang, sejajar dengan kehendak Islam meninggikan martabat wanita. Justeru, wanita Islam tidak boleh lagi berpaling ke belakang, sedar akan peranan dan potensi diri dengan kebersamaan rijal, untuk menggerak agenda pembangunan.

Memo : Novel ini telah memenangi tempat pertama dalam Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 anjuran DBP.

Leave a comment

Kreativiti The Terminal

Tom Hanks yang popular dengan filem Forest Gump tampil pula kali ini dengan filem The Terminal arahan Steven Spielberg. Bagi aku, filem ini memiliki kekuatan tersendiri dengan tarikan adegan-adegan luar jangka yang agak mengharukan. Keterujaan filem ini bukan sahaja pada watak utama Nebosky [lakonan Tom Hanks] tetapi juga pada watak-watak pembantu dan adegan-adegan subplot yang kreatif.

Steven Spielberg sebagai seorang pengarah imaginatif yang suka meneroka perkara-perkara baharu dalam filemnya, kali ini menampilkan latar sebuah terminal di New York City's Airports [NYCA]. Filem ini mengisahkan seorang imigran bernama Nebosky dari sebuah negara bernama Krakozhia [negara ini bergolak apakala Nebosky tiba di NYCA]. Dia ingin ke New York City's [NY] semata-mata untuk menunaikan janjinya kepada bapanya yang telah meninggal dunia.



Setibanya di NYCA, dia ditahan oleh ketua penguatkuasa NYCA [lakonan Chi McBride] dan tidak dibenarkan ke NY [kerana hilang kewarganegaraan dan disyaki seorang perisik]. Di sinilah bermulanya aksi-aksi yang menarik dengan lakonan yang begitu berkesan oleh Tom Hanks. Saksikan sahaja bagaimana seseorang yang ditahan di sebuah terminal hidup selama 9 bulan. Dia sentiasa beraksi jujur dan seterusnya menepis segala prasangka buruk ketua penguatkuasa NYCA yang sentiasa melihat perlakuannya melalui layar kamera di terminal itu. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk membuktikan bahawa Nebosky ini merupakan seorang perisik antarabangsa, tetapi semuanya gagal.

Malah, Nebosky bertemu dengan rakan-rakan yang baik; terdiri daripada staf-staf di terminal itu. Dia juga jatuh cinta dengan seorang pramugari cantik bernama Amelia Warren [lakonan Catherine Zeta Jones] yang 'playgirl'. Nebosky mula mendapat perhatian seisi terminal apabila membantu seorang imigran yang membawa ubat-ubatan untuk keluarganya tetapi tidak dibenarkan ke NY oleh ketua penguatkuasa NYCA.


Setelah kecewa atau lebih tepat lagi ego dengan status dirinya, ketua penguatkuasa NYCA memaksa Nebosky kembali ke Krakozhia [setelah negara itu diisytihar aman] dan mengugut untuk memecat rakan-rakannya yang memiliki latarbelakang kurang baik. WBP, Nebosky akhirnya sedar akan kesilapan yang dilakukannya dan bertekad untuk ke NY setelah disedarkan oleh seorang rakannya dengan melakukan satu aksi yang agak menggetarkan. Saksikan sahaja bagaimana haru-birunya keadaan NYCA apakala semua pekerja NYCA menghantarnya ke muka pintu menuju ke NY.

Apa yang mengagumkan ialah meskipun penggunaan latarnya terhad, tetapi filem ini telah berjaya menghasilkan plot yang menggetarkan dan seterusnya berjaya membina konsekuensi yang mengharukan.

Leave a comment

Sure heboh @ surau heboh?

Alhamdulillah, sudah khatam Kawin-kawin. Bagi aku, ia sebuah satira yang istimewa. Tabik spring kat Ustaz Azizi.

Oleh kerana ada hal kecemasan hari Jumaat hari tu [ada ahli keluarga yang sakit], maka aku tak dapat pergi ke Hari Puisi Nasional.

Sekarang tengah mendominasi novel Dominasi Tebrau. Novel berharga 30 ribu tu aku dah baca sampai setengah semasa dalam komuter dari KL Central ke stesen Labu semalam. Sengaja pilih naik Komuter, dapat jadi seniman bujang muda. :D

Naik komuter ke mana?

Sebenarnya semalam aku ke kedai DBP. Beli novel Azizi - Seorang Tua di kaki Gunung. Kemudian ke Kinokuniya, KLCC. Ingatnya banyak dijual buku sastera, rupanya hanya satu rak. Novel sastera popular yang banyaknya.

Sebelum pulang, singgah makan di kafe UM. Masa tulah aku terdengar satu berita.

Percaya atau tidak?

Surau As-Sahabah di seksyen 7, kota Damansara ada bikin program 'Surau Heboh'. Khabarnya ada program masak-memasak untuk kategori Muslim dan Muslimat, tilawah al-Quran, nasyid dsb.

Sedang dalam akhbar hari ni, orang sedang sibuk nak wujudkan program Dream Idol yang kononnya nak lawan Akademi Fantasia dan Malaysian Idol.

Rimau bercakar dengan rimau, lama-lama dua-duanya mati. Betul tak Tok Rimau? :D

Leave a comment

Di sebalik wajah

Hati terasa puas seusai mengkhatami Ombak Sfera Lotus. Terserlah kematangan Siti Jasmina Ibrahim dalam menggarap watak Ombak. Keseimbangan pada gabungan pemikiran, wacana dan imaginasi begitu indah buat tatapan remaja.

Alhamdulillah. Novel-novel pemenang HSKU 2003 selesai dikhatam. Adik bongsu aku juga kini sudah mula berjinak-jinak dengan novel sastera setelah terkena penangan KOMBAT Faisal Tehrani. Kemudian, satu-satu novel dikhatamnya.

Aku kini sedang menggulati novel satira Kawin-kawin. Yang paling aku suka dengan tulisan Azizi Hj. Abdullah ialah pada bahasanya yang bisa membangkitkan sentimen. Setiap watak dan keadaan yang digambarkan sudah pastinya mewakili individu atau situasi tertentu. Dia seperti menyalin kekuatan bahasa Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Sebenarnya, setiap kali usai membaca karya tokoh-tokoh sastera ini, lebih menyedarkan diri tentang peranan yang perlu dimainkan melalui pena. Lebih banyak membaca, terasa diri lebih daif dan kerdil. Terasa bahawa diri telah memikul beban berat dalam perjuangan. Moga tidaklah hanyut ke muara nafsu, alpa dunia.

Teringat pesanan Kak Min - selalulah halusi niat dan menulislah kerana Tuhanmu!

ii.

Dah dengar album terbaru Hijjaz, Damai? Cuba korang pakat-pakat dengar lagu 'Pemimpin Adil' tu. Tabik spring kat Hijjaz. Lagu yang paling menyentuh hati - Berkorban Demi Cinta by Kamal Halim.

Ni ada sorang kawan SahabatHijjaz minta tolong aku promotekan di AKO tentang album terbaru Hijjaz tu. Aku tak tahu apa fasal dia beria-ia benar minta tolong. Kalau album tu laku pun dia bukannya ikut sama glamor @ kaya! :D

Leave a comment

Senarai Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/03

Kategori Buku/Kumpulan Karya Perseorangan [RM10,000]

1. Novel - Lamunan Puitis: Sebuah Trilogi [Shahnon Ahmad]
2. Kumpulan Puisi - Bahasa Senjata [Sahrunizam Abdul Talib]
3. Kumpulan Cerpen - Tiada Pemenang
4. Kumpulan Drama - Gelanggang Tuk Wali [Ismail Kassan]
5. Kumpulan Esei/Kritikan - Ziarah Ke Timur [Md. Salleh Yaapar)
6. Buku Kajian - Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu [Jelani Harun]
7. Biografi - Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi [Zurinah Hassan]

Kategori Eceran [RM1,000]

A. Puisi

1. Pertemuan di Hyde Park [Adi Badiozaman Tuah]
2. Manuskrip Luka Bangsa [Ahmad Shukri Abdullah]
3. Terengganu Dalam Sajak [Nawawee Mohammad]
4. Selamat Tinggal Topeng-topeng [Solihin Osman]
5. Tanah Nurani [Shamsuddin Othman]
6. Musim Landas [A.Aziz Deraman]
7. Pernahkah Kau Mentafsir Kedamaian [Baharuddin Zainal]
8. Kita Katakan Tidak [Rahman Shaari]
9. Pagi [Jamaluddin D]
10. Malam Terakhir Nadim [Siti Raihani Mohd. Saaid]
11. Mengenangmu Iqbal [A. Samad Said]

B. Cerpen

1. Tahun Depan di Jerusalem [Azman Hussin]
2. Tanggar Amanat [Amaruszati Noor Rahim]
3. Monolog [Dahiri Saini]
4. Alkisah Ahmad Pualam [Zainal Rashid Ahmad]
5. Menanam Pokok Jati [Siti Zainon Ismail]
6. Balada Si Angsa Hitam [Noordin Hassan]
7. Perjuangan [Md. Noor Salleh]
8. Si Penggaru Kalbu [Syed Mohd. Zakir Syed Othman]
9. Surat Sastera Dari Malino [Muhammad Abdul Biang]
10. Cik Siti Mustika [Faisal Tehrani]
11. Satu Episod di Kriankrai [Hashim Latiff]
12. Putera Tanpa Bumi [Zurinah Hassan]
13. Petani Tua Dari Karbala [Aminah Mokhtar]

C. Drama

1. Asiah Samiah [Johan Jaaffar]
2. Bisikan Malaya [Anuar Nor Arai]

D. Esei/Kritikan

1. Naratif Ogonshoto: Perspektif Wacana Kuasa dan Hegemoni [Awang Azman Awang Pawi]
2. Sastera Pengikis Jelaga Cemeni Nurani [Muhammad Abdul Biang]
3. Memecahkan Dikotomi Totok Sains dan Sastera [Rahmat Haroun]
4. Dari Etnosentrisme ke Eurosentrisme: Memposisikan Wacana Abdullah Tentang Orang Melayu [Noriah Taslim]
5. Kematian: Naratologi dan Penilaian Semula Teori-teori Naratif [Noriah Taslim]
6. Teori Sastera Mandiri Dalam Perkembangan Globalisasi [Md. Salleh Yaapar]
7. Asar Belum Berakhir: Aplikasinya terhadap Teori Takmilah [Mohamad Mokhtar Abu Hassan]

Kategori Kesusasteraan Kanak-kanak [RM5,000]

1. Novel - Memori Atiah [Awang Abdullah]
2. Kumpulan Cerpen - Impian Kami [Halis Azhan Mohd. Hanafiah]
3. Kumpulan Puisi - Tiada Pemenang
4. Kumpulan Drama - Tiada Pemenang

Kategori Kesusasteraan Remaja [RM5,000]

1. Novel - Trilogi Cinta [Siti Jasmina Ibrahim]
2. Kumpulan Cerpen - Gamitan Lausanne [Baharudin A. Manan]
3. Kumpulan Puisi - Memetik Mawar [Lim Swee Tin]
4. Kumpulan Drama - Tiada Pemenang

Sumber : Utusan Malaysia, 14 Disember 2004.

Leave a comment

Menajdid Semangat II

Hari ini jumlah peserta tidak seperti semalam. Semakin susut. Dan aku yakin, kesusutan itulah antara penyebab hati terasa puas seusai bengkel. Puas dengan kerincian bimbingan Rosminah Tahir hari ini.

Sejurus, aku sekali lagi menghampiri Kak Min [Aminah Mokhtar] dan meminta novel Dominasi Tebrau setelah menyambar Iman Markisa semalam. Alhamdulillah, diberi diskaun yang agak banyak :D. Dia menghulurkan juga dua naskhah percuma kumpulan cerpen dan puisinya dengan syarat - agar aku melazimi penulisan dengan niat kerana Allah. Wah, pesanan itu pasti aku pegang sungguh-sungguh. Tidak ketinggalan, sempat mencapai novel satira Kawin-kawin [berhasrat lama untuk memilikinya] melalui jualan Ujana Ilmu Enterprise.

Kemudian aku menghadiri Mesyuarat Agung PEN yang kebanyakannya dihadiri pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang aku hormati sekalian. Bukanlah mesyuarat itu yang menjadi fokus sebenarnya, tetapi aku lebih menanti diskusi novel Mencari Locus Standi oleh Dr. Rosnah Baharudin dan En. Siri Neng Buah.

Aku keluar awal untuk mengejar waktu, menepati janji dengan seorang rakan. Kini, sedang meladeni novel Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia mutakhir melalui novel Trilogi Cinta.

Kembara sastera Amiza, masih jauh dan berliku. :)

Leave a comment

Menajdid semangat

Sebab pertama aku mengikuti bengkel skrip drama pentas, tv dan radio [anjuran PEN dan Persatuan Penulis Wanita : 11-12 Disember] ini adalah kerana ilmu. Keduanya, semata-mata untuk menemui penulis novel Iman Markisa secara langsung. Alhamdulillah, masa sepicing itu aku manfaatkan secukupnya untuk berbual dengan Aminah Mokhtar; penulis wanita yang aku kagumi itu. Kemesraan dan ketulusannya berkarya begitu memegunkan.

Sempat dia menceritakan sedikit pengalamannya menulis Iman Markisa; antara novel yang aku kagumi setakat ini. Begitu juga dengan cerpen Erti Cinta Dr. Marianah yang cukup memacak pilu di hati kala membacanya. Katanya, tulislah dari hati dan pantas aku sambung - hati jugalah yang akan membacanya. Tajdid niat selalu dan aku sambung - menulislah kerana Allah. Dia lantas tersenyum dan sungguh, semangat menulis kian teruja.

Tanpa disangka, aku juga menemukan penulis Siti Rohayah Atan [yang membimbing untuk genre skrip drama tv], Zanazanzaly dan Rozais al-Anamy.

Aku sedang menumpukan kepada penulisan peribadi. Sempat melakar jurnal ini buat tatapan teman-teman. Bengkel bersambung esok [12 Disember] bagi genre skrip drama pentas dengan Rosminah Tahir sebagai pembimbing. Diikuti Mesyuarat Agung PEN dan diskusi novel Mencari Locus Standi, Nisah Haron.

Leave a comment

Berlari ke langit

Usai bengkel pembinaan judul novel [industri] dewasa DBP-Kepezi 3-5 Disember lalu. Usai juga mengkhatami Mencari Locus Standi. Mencelah-celah di antara ruang waktu yang padat untuk mengkhataminya. Kini sedang meladeni Satu Janji, Ramlee Awang Murshid. Sinopsis saya dibedah dan dicanai baik dalam bengkel tersebut. Lebih banyak cadangan dari kritikan yang saya terima.

Seri majlis terasa dengan kehadiran penulis kawakan seperti Dr. Amida Abdul Hamid, Mawar Shafei dan Razali Endun. Sebagai peserta yang paling muda, saya tidak melepaskan peluang berkenalan dengan para peserta yang terdiri di kalangan penulis muda seperti Kak Tiras R, WB. Rendra dan tokoh-tokoh besar sastera ini. Kak Mawar nampaknya sudah mengenali saya melalui cerpen-cerpen saya yang tersiar di media terutama di Berita Minggu. Malah, semasa bengkel dia yang menegur dahulu menyebabkan saya tersipu sendiri.

Semasa membentangkan sinopsis saya tidak meletakkan cadangan judul novel berbanding peserta lain. Judul cadangan novel para peserta saya kira hebat-hebat belaka. Berbanding peserta lain yang lebih selesa menggarap novel industri berlatarkan dunia korporat dan formal, saya lebih gemar menggarap industri penternakan ayam berlatarkan suasana desa. Ada sisipan perjuangan rekonstruksi masyarakat dll [nak tahu lebih lanjut, tunggu selesai dulu :)].

Saya perlu membuat beberapa kajian penting tentang isu semasa dan industri tersebut. Ada dateline untuk menyudahkan setiap bab, perlu bersedia disembur dan dicanai pembimbing. Saya fikir, sebagai seorang penulis generasi baharu, ini perlu sebagai langkah permulaan saya. Langkah yang seterusnya, sudah tentu saya yang perlu mencoraknya sendiri.

Tahniah buat Fahdrazy cerpen di Tunas Cipta Disember [yang saya pinjam dan baca semasa bengkel lalu]. SM. Zakir menyenaraikan nama saya sebagai penulis baharu menjanjikan melalui cerpen Pengemis Tua di Masjid Hussein. Begitu juga dengan Almarjan Yusoff melalui cerpen Gelanggang Malam.

Kini dalam kota fikir, ada sebuah judul cadangan novel saya yang boleh berubah mengikut kesesuaian - 'Demi Al-Amin'. Menggarap novel dengan idealisme dewasa merupakan satu cabaran buat saya. Doakan saya mampu selesai menulis novel ini agar langkah saya tidak akan tersadung, ketika sedang ralit berlari ke langit...

Leave a comment

Apa kes?

Ini bukan sekadar kes Sharifah Aini. Bukan sekadar kes emel fitnah Siti Nurhaliza. Ini kes dengki orang Melayu. Dunia selebriti, dunia seni ni memang tak lari dari gosip dan fitnah-fitnah. Biasa!

Hei... fitnah tu biasakah?

Hei... mana kau tahu itu emel fitnah?

Hei... ini kes dengki orang Melayulah!

i.

Tolong kawan-kawan promosi. Dua-dua program ni memang tak dapat nak hadiri.

MAJLIS DISKUSI KARYA MANTAN MPR

Sekretariat Alumni MPR-DBP dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan Majlis Diskusi Karya Mantan MPR.

Tarikh : 4 Disember 2004 (Sabtu)
Masa : 9 pagi - 12 tengah hari
Tempat : Dewan Seminar, Tingkat 2 DBP, KL

Diskusi karya berkenaan akan membincangkan :

1) Novel Sesegar Nailofar, karya Zaid Akhtar (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000) - Panel : Talib Samat.

2) Kumpulan Puisi Pendatang Malam, karya Ida Munira Abu Bakar (terbitan Esastera Enterprise) - Panel : Lim Swee Tin.

3) Karya eceran Mantan MPR 2000 & 2004 yang pernah tersiar di media cetak - Panel : Rahman Shaari.

Karya-karya eceran adalah seperti berikut :

Cerpen :

- Musang, karya Lutfi Ishak (Mingguan Malaysia, 10 Oktober 2004).
- Lelaki di Bawah Pohon Kemboja, karya Salman Sulaiman (Mingguan Malaysia).
- Demi Cinta Yang Menyala, karya Mohd Jimadie Shah Othman (Nur, Mac 2004).
- 50 Bintang, karya Wan Nor Al-Tasnim Saad (Mingguan Malaysia, 27 Oktober 2002).
- Tiga Bintang di Langit Kelam, karya Khairul Nizam Abd. Raub (Majalah i, Januari 2003).
- Kuih Manis di Mulut Ibu, karya Ukuza (Jendela Selatan, 2004).
- Telah Diberinya Hati, karya Ghafirah Idris (Mingguan Malaysia, 12 September 2004).

Puisi :

- Watikah Perkasihan V (Metro, 12 September 2004), Cinta Samawi III (Mingguan Malaysia 22 Februari 2004), Pilihan (Tunas Cipta, Mei 2004) karya Fahd Razy.
- Di Pentas Tanding (TC, September 2004) , Janji (DAF, Ogos 2004) karya Ida Munira Abu Bakar.
- Kalut (Pelita Bahasa, Oktober 2003), Gual Ipoh (1) (Berita Minggu, 22 Jun 2003), Bening Subuh Dalam Kenangan (Mingguan Malaysia, 28 September 2003) karya Nimoiz T.Y.

Semua dijemput hadir ke majlis diskusi berkenaan. Kertas kerja karya-karya telah disiapkan oleh panel dan kami akan edarkan kepada para hadirin di hari diskusi berkenaan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 0122610683 atau 0194056664.

ii.

GATHERING GENGJURNAL 2004/05

Tarikh: 26 Disember 2004
Hari: Ahad
Masa: 02 petang - 07 malam
Tempat: Dewan Sri Pulasan, K6, Universiti Putra Malaysia

UNTUK MELAYARI LAMAN RASMI GATHERING GENGJURNAL sila klik url http://gath2004.diaryland.com

UNTUK MENYATAKAN KEHADIRAN ANDA sila klik url ini http://www.fourious.biz/gath/kehadiran

UNTUK MELIHAT PENERANGAN SETIAP ANUGERAHsila klik url http://gath2004.diaryland.com/gath01.html

UNTUK MENCALONKAN ANUGERAH GENGJURNAL sila klik http://www.fourious.biz/gath/anugerah/edit.php

UNTUK LIHAT PETA LOKASI DEWAN SRI PULASAN SERDANG sila klik url http://www.fourious.biz/gath/petalokasi.php

Leave a comment

Berkombat dengan novel sastera

Usai mengkhatami I511H [Kombat]. Ya, novel ini memang merupakan teks kreatif sastera Islam yang hebat. Faisal nampaknya mahu melebarkan sayap penanya ke segenap mandala - historikal, futuristik, oksidentalisme, keagamaan dll. Kini, saya sedang melumati novel Mencari Locus Standi. Saya tidak mahu menghadiri program 12hb [iklan program boleh dilihat di sisi kanan laman Nisah Hj. Haron] nanti dengan mata terkejip-kejip tanpa mengetahui apa yang sedang dibincangkan.

Serasa tidak perlulah diperkenalkan lagi Nisah Haron di dalam jagat sastera Melayu. Penulis kelahiran Negeri Sembilan yang terkenal dengan cerpen 'Annyss Sophilea' ini tampil pula dalam genre novel melalui Mencari Locus Standi.

Meneliti konvensional dan gagasan idealisme yang diketengahkan, novel ini amat sesuai untuk pembacaan remaja. Tulisannya kali ini begitu berbeza dengan cerpen-cerpennya yang pernah saya baca seperti Persidangan Agung Wanita Klasik, Rindu seorang rafik dll. Saya yakin, novel ini ditulis dengan waspada dan tertib supaya 'mesra remaja'.

WBP, unsur feminisme begitu ketara dalam novel ini. Saya kira Nisah Haron wajar meneliti semula keseimbangan idea dan kewarasan bicara watak E-Jay dan Azhan terutama kala menyatakan pendapat. Pendapat E-Jay seperti selalu sahaja waras mengatasi Azhan dan rakan-rakannya yang lain. Mungkin ini ciri-ciri ketegasan yang ingin diketengahkan penulis tetapi kesaksamaan harus juga diberikan kepada Azhan dan rakan-rakannya yang lain, agar Eliza tidak hanya kelihatan menyata dan memberi tetapi juga bisa mendengar dan menerima - reseptif.

Ini mungkin hasil penelitian saya melalui pembacaan yang belum usai. Saya perlu meneliti sebelum bisa meneliti manuskrip novel terbaru saya pula nanti.

Amiza kini sedang berkombat dengan novel-novel sastera. :D


Leave a comment

Sandarkan pada kenangan

Ku Seman Ku Hussain [editor ruangan sastera Utusan dan Mingguan Malaysia] dijemput sebagai penceramah dalam majlis perjumpaan hari raya Kepezi sabtu lalu. Majlis dimulakan [kak Hanisah Othman; pemenang HKSU 2003 sebagai pengerusi umum] dengan beberapa acara seperti bacaan doa, baca puisi dan cerpen. Kemudian Ku Seman dijemput ke pentas dengan dipengerusikan oleh kak Tiras R.

Benar, setiap editor memiliki selera dan cita rasa masing-masing. Begitu juga dengan Ku Seman. Saya sangkakan Ku Seman orangnya garang, rupanya agak lembut dan meraikan. Capiknya, beliau adalah seorang editor yang tidak memiliki kredibiliti sastera. WBP, harapnya, dia tidak melakukan tugas penyuntingan dan pemilihan karya sekadar untuk mendapat gaji di hujung bulan, tetapi ingin melihat sastera Melayu terus kekal terpelihara zaman berzaman.

Saya kira acara berbalas pantun di akhir majlis sewajarnya diadakan atau dirancang dengan lebih baik. Majlis kelihatan kucar dan hadirin dilihat tidak langsung menumpu perhatian [termasuk saya sendiri :D]. Saya terpaksa keluar majlis lebih awal setelah meminta keizinan bonda Zaharah kerana ada janji dengan rakan-rakan.

Saya menemukan ramai kenalan baru. Di samping mengenalkan tampang Dr. Irwan dan Dahrie yang hanya saya kenali sebelum ini di alam maya. Saya ketemu kak Amaruszati yang ramah dan banyak bicara. Rakan-rakan sebengkel tahun 2003 lalu juga ramai yang menegur, paling kurang pun mengangkat tangan; bikin terharu dan diri tidak rasa terasing.

Saya kini seperti teringat kenangan lalu.

Leave a comment

Saya kini di Petaling Jaya. Esok akan ke Sudut Penulis, DBP. Sempat membeli novel Satu Janji di Bangi karya Ramlee Awang Murshid; mahu lihat apa yang hangat padanya sehingga dijual lebih 10,000 unit dalam masa sebulan!

Ada beberapa perkara yang mengagumkan saya dengan 1511H [Kombat]. Konsep kesufian, kajian latar dan pensenjataan memang menggetarkan dll. Saya bawa novel itu ke mana sahaja dengan azam untuk mengkhataminya sepantas mungkin.

WBP, resolusi saya - membaca 1511 tidak secabar 1515. Saya kira pembawakan latar ke tahun 1511 terlalu pantas, seperti dipaksakan berkejar-kejar. Apapun, novel ini diterbitkan sesuai dengan senario dunia Islam yang bergolak kini; bisa membangkitkan semangat jihad dan memugar kesedaran masyarakat Islam.

Meski belum usai membaca sepenuhnya, tetapi saya seperti sudah membayangkan yang 1511 kini menjadi teks sastera Islam unggul di tanah air. Dan Faisal Tehrani - dia bukan sembarangan penulis!

Leave a comment

Aidilfitri : Makan kuih atau ziarah-menziarahi?

Sekali tengok judul entri ni macam nak tulis artikel pula. Judul entri tu tidak lebih hanya sebuah peringatan atau introspeksi untuk kita semua hehe. Maaf lambat update, baru pulang ke tanah air ni perlu banyak meraikan saudara mara dan handai taulan yang sudah lama tidak diketemu. Dengan kata lain - raya sakan! :D

Semalam ke rumah kak Nisah, bersama seorang teman dan pak cik Abdullatip. Pak cik Latip nampaknya segan-segan dan begitu merendah diri laksana padi berisi :). Kemudian menyinggah di rumah Pn. Mahaya Mohd. Yassin yang aku kesani puisinya termuat di dalam teks KOMSAS untuk pelajar sekolah menengah. Kak Nisah nampaknya tak senang duduk mengimbangi masa meladeni anak-anak dan tetamu. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk kami [biasalah, raya memanglah macam tu! Hehe]. Sempat juga membeli Tunas Cipta edisi lalu dan beberapa novel sastera yang agak payah untuk ditemui. Kini, sedang membaca 1511H [Kombat] yang aku kira sebuah garapan sastera Islam yang amat menarik.

Berkata tentang promosi karya sastera kita yang kurang, lekas aku teringat kunjungan ke kedai buku Popular di Seremban beberapa hari lalu. Sebelum ke Mesir tahun lalu, banyak juga dilihat novel 1515, Rona Bosphorus, antologi cerpen dan puisi, penuh meronai kedai buku tersebut. Tapi tahun ni, tidak seperti tahun sebelumnya. Tiada 1511 H [Kombat], Mencari Locus Standi apatah Ombak Sfera Lotus. Kalau adapun diletak di rak yang paling bawah dan tinggal hanya beberapa naskhah. Kenapa ya begitu? Ke mana kita harus meletakkan kesedaran masyarakat agar membeli karya-karya sastera yang segar, bermutu dan yang paling penting berilmu untuk pembangunan mentaliti?

Mulai minggu ni; setiap hujung minggu, rasanya aku terpaksa memenuhi beberapa jemputan program - semua fasal penulisan. Moga Allah mempermudahkan segala urusan. Juga, buat semua pengunjung AKO - Aidilfitri : Makan kuih atau ziarah-menziarahi? :D

Leave a comment

Kita dan mereka di Aidilfitri

*Palestin

Palestin meraikan Aidilfitri dengan terus meratap kematian pemimpinnya, Yasser Arafat, tidak menduga Aidilfitri kali ini mereka akan kehilangan seorang pejuang yang menjadi kekuatan mereka mendapatkan kembali tanah yang dirampas Israel.Empat hari selepas kematian tokoh pejuang itu dan tiga hari selepas pengebumiannya di Tebing Barat, pelarian di kem Jabaliya, masih terbayang-bayang wajah pemimpin yang pernah melawat tanah perkuburan mereka yang syahid, pada Aidilfitri lalu.

*Iraq

Rakyat Iraq di Fallujah pula terus menerima bedilan meriam dan peluru berpandu tentera Amerika Syarikat, dan pada minggu terakhir Ramadan lebih 1,200 pejuang terbunuh dalam pertempuran yang turut menggegarkan bandar Mosul, pada Aidilfitri semalam.

*India

Sementara itu di Kashmir, pemberontak Islam didakwa membunuh tiga anggota polis pada petang menjelang Aidilfitri, di sebuah perkampungan Hindu yang menjadi menjadi medan pembunuhan beramai-ramai tahun lalu. Polis berkata, kumpulan militan menyerbu sebuah pusat kawalan polis di Nadimarg, 80 kilometer di selatan Srinagar.

*Thailand

Di negara jiran, Thailand, ketegangan semakin memuncak menjelang Aidilfitri, dengan lima letupan berlaku dalam tempoh 24 jam dan membunuh seorang lelaki Buddha dan mencederakan 29 yang lain, kelmarin.

*Indonesia

Di pekan Poso, Sulawesi Tengah, sekurang-kurangnya enam orang maut selepas sebiji bom memusnahkan sebuah bas mini berhampiran sebuah pasar. Tidak diketahui siapa melancar serangan itu, tapi penganalisis mendakwa terdapat kumpulan Islam radikal beroperasi di kawasan terbabit.

Presiden Indonesia yang baru dipilih, Susilo Bambang Yudhoyono, menegaskan umat Islam amat sedih kerana dianggap sama seperti pengganas dan sukakan keganasan."Kami amat sedih sekiranya pendapat dunia, sama secara sengaja atau tidak, tapi bertujuan untuk menyamakan umat Islam sama seperti pengganas dan gemarkan keganasan.

Sudah pasti umat Islam akan menolak tindakan yang menganggap kami seperti dalang pengganas di dunia ini," kata Susilo dipetik agensi berita Antara ketika menyampai ucapan 'Selamat Menyambut Aidilfitri' kepada rakyat Indonesia, republik yang memiliki umat Islam teramai dunia.

*Pakistan

Presiden Pakistan, Pervez Musharraf, turut mendesak penduduknya mengelak daripada membezakan sesama manusia. "Kita patut menyemai perasaan bersaudara, perpaduan dan saling menyayangi, hanya dengan itu kita dapat menghapuskan sebarang perbezaan, sikap melampau dan keganasan, serta bergerak ke arah laluan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran," katanya.

Bagi menghormati kematian Arafat, beberapa negara Arab menyambut Aidilfitri secara lebih sederhana.

*Lubnan

Di Lubnan, Perdana Menterinya, Omar Karameh, berkata dia tidak menerima sebarang ucapan Aidilfitri seperti kebiasaan, berikutan kehilangan Arafat amat terasa dan sekali gus membayangi suasana gembira beberapa negara Teluk.

Tajuk berita utama sebuah akhbar di Emiriah Arab Bersatu 'Aidilfitri Amat Suram', manakala sebuah akhbar di Qatar melaporkan :

"Tidak ada kegembiraan di wajah penduduk di sini, apa lagi dengan pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan yang dilakukan oleh tentera AS di Fallujah dan disusuli dengan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat."

*Iran

Di Iran, pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, dalam khutbah Aidilfitri kelmarin, berkata : "Bagi semua yang menyempurnakan puasa, Ramadan menjadi bulan berkabung kerana pelbagai bencana yang menimpa Palestin dan Iraq."

*Afghanistan

Di Afghanistan, bekas pemimpin Taliban, Mullah Mohammed Omar, mengeluarkan kenyataan Aidilfitri dengan mencabar rakyat negara itu supaya 'menghalau' tentera asing dari bumi Arab itu.

*Algeria

Di Algeria, ribut ganas membunuh empat orang dan 18 lagi dilaporkan hilang, tapi umat Islam di sana meneruskan sambutan Aidilfitri seperti biasa dengan Presiden Abdelaziz Bouteflika, menunaikan sembahyang raya di masjid besar di Algiers.

*The Hague

Sementara itu di The Hague, pembunuhan penerbit filem, Theo Van Gogh, dipercayai oleh seorang radikal Islam, tidak menjejaskan sambutan Aidilfitri di negara itu, walaupun hubungan antara umat Islam dan Kristian di sana agak tegang sejak kejadian pada 2 November lalu.

Sumber : Berita Harian, 16 November 2004.

Leave a comment

Ehwal Islam :

1] 1,000 terbunuh di Fallujah -- Tentera AS lancar serangan buru pejuang Islam menjelang Aidilfitri.

2] 20,000 askar AS sedia serang Fallujah.


Ya Allah ya Tuhan kami...

Menangkanlah Islam, menangkanlah agama-Mu di atas muka bumi ini.

Kau bantulah umat Islam Fallujah, umat Islam Iraq, Kau berikanlah nusrah kepada umat Islam Afghanistan, umat Islam Palestin dan sesungguhnya Kaulah yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

Kau bantulah para mujahidin dan mereka yang berjuang meninggikan agama-Mu walau di mana mereka berada.

Kau kirimkanlah tentera-Mu sebagaimana kau mengirimkan tentera malaikat-Mu dalam peperangan Badar, sehingga gerunlah hati dan jiwa mereka, bercempera dari medan perang mengaku kalah.

Kau kirimkanlah angin-angin dan taufan besar sebagai bantuan seperti dalam peperangan Khandaq, sehingga melambung dan berterbanganlah periuk-periuk dan kelengkapan perang mereka.

Kau hancurkanlah mereka sebagaimana Kau menghapuskan tentera Abrahah yang bongkak dan takbur, sehingga mereka menjadi seperti daun-daun yang dimakan ulat.

Ya Tuhan...

Aku merafak sepuluh jariku, dalam sebak dan pilu di Aidilfitri, menanam hasrat dan cita ingin melihat agama-Mu kembali semula ke tempatnya yang mulia...

Leave a comment

Di Seremban

Flight 777 11 November lalu memang penuh. Ramai juga siswa dan siswi Al-Azhar yang pulang ke Malaysia berhari raya [majoriti siswilah!]. So, kini aku di Seremban, Malaysia. Dua hari relaks bersama keluarga di rumah dan senam-senamkan mata yang masih dibumbu hawa kota Kaherah. Setakat ini, banyak juga perubahan di kampung. Belukar dan hutan kecil yang menyejukkan di sekitar rumah sudah terang ditebas. Begitu juga dengan keadaan rumah yang sedikit dibaik-pulih. Seremban? Belum sempat menjengah lagi. :D

Takwim program sepanjang November dan Disember ni serasa terlalu banyak untuk dipenuhi. Program penulisannya, Aidilfitrinya, dan macam-macam lagi. Yang aku nak cakap kat sini ialah - cabaran aku di sini [terutama dengan pembahagian masa dan tanggungjawab agamawan] memang hebat. Doakan aku istiqamah dalam segala-galanya. :D

Salam Syawal 1425 H, maaf zahir dan batin buat teman-teman di Mesir, Malaysia, rakan penulis dan sekalian para pengunjung. :)

Leave a comment

Semasa dah dekat nak raya...

Semasa dah dekat nak raya, orang mula cari pelita, cari kuih raya berbakul-bakul. Tapi kenapa sukar nak cari pahala, terutama di malam-malam terakhir puasa yang pahalanya berlipat-lipat kali ganda?

Semasa dah dekat nak raya, ramai yang balik kampung berhari raya, sehingga ada sahaja berita kemalangan jalan raya. Jadi kenapa tak sedar-sedar lagi, yang kita tak pasti bertemu semula dengan Ramadan yang seterusnya?

Semasa dah dekat nak raya, selalu tengok iklan raya sedap-sedap. Tapi kenapa tak dengar pula semakin ramai orang ngaji Quran sedap-sedap?

Semasa dah dekat nak raya, dapat dilihat pelbagai jualan dan diskaun hari raya, orang ramai pun keluar berpapasan membeli-belah. Tapi kenapa tak dapat lihat semakin ramai orang berpapasan di masjid setiap malam di bulan puasa?

Semasa dah dekat nak raya, ada malam lailatul qadar - hadiah untuk Muslim memperolehi husnul khatimah puasanya. Tapi, kenapa semakin ramai yang tak mahu ambil peduli hadiah dan sedekah Tuhan untuk hamba-Nya?

Semasa dah dekat nak raya, ramai yang macam lupa objektif puasa. Maka, hatinya langsung tak lara dengan pemergian puasa. Jadi, apa salahnya semasa dah dekat nak raya, kita fikir-fikir juga - amalan puasa kita selama sebulan ini diterima atau tidak oleh-Nya?

Salam Syawal 1425 H! :)



Leave a comment

Persidangan Pepijat II

Suatu hari dalam sebuah keluarga pepijat, seekor pijat betina menangis dek kematian ramai anak-anaknya setelah beberapa operasi memburu-bunuh pepijat diadakan. Dalam tangis, dia mengadu masalah tersebut kepada suaminya yang tersayang.

"Saya betul-betul sedih dengan kematian anak-anak kita. Bangsat punya manusia, mereka tak ada otakkah?" Herdik si pijat betina sambil mengesat air matanya.

"Kerana mereka ada otaklah, mereka buru dan bunuh anak-anak kita tu. Siapa yang nak bagi darahnya percuma? Lebih baik mereka sedekahkah darah mereka kepada pusat-pusat derma darah atau hospital, kan lebih baik?" Kata si suami pijat jantan meredakan kemarahan isteri.

"Habis, diorang ingat, diorang saja yang nak beraidilfitri, kita ni? Habis generasi kita, pemuda-pemudi kita mereka bunuh. Bukankah kita sedang menghadapi krisis ketandusan generasi sekarang?" Si isteri pijat betina mencebik-cebik. Tangisannya andar.

"Hai darling, kalau nak diikutkan krisis generasi, rasanya generasi manusia lebih tandus dan pupus. Tandusnya akhlak dan pupusnya sahsiah. Bukankah itu lebih teruk dari mati berjuang meraih rezeki?" Si suami pijat jantan tersenyum tenang.

"Betul juga, sampai ada yang lahir anak luar nikah dalam bilik kampus!" Si isteri pijat betina terbeliak mata. Sejurus mengangguk-angguk kepalanya yang berbulu.

"Hei, tengah sedih-sedih dalam bulan puasa ni pun boleh mengata juga?" Si suami pijat jantan tersenyum sinis.

"Ni bukan mengata, ni berita!" Jawab si isteri pijat betina sambil tersengih-sengih.

Leave a comment

Persidangan Pepijat

Suatu hari, ketua pepijat di asrama negeri meminta sekalian pengikutnya berkumpul. Ada perkara penting yang ingin disampaikannya.

Setelah hampir setengah jam menunggu, maka sekalian pepijat berkumpul di bawah sebuah katil di dalam sebuah bilik yang hening. Maka berkatalah ketua pepijat...

"Wahai sahabat-sahabatku sekalian, rasanya adalah tidak baik kita menyerang-gigit manusia di asrama negeri sekarang ini memandangkan ramai di antara mereka yang terkena demam, batuk dan selsema."

Ketua pepijat berhenti berucap sebentar sambil menggaru-garu perut buncitnya yang gatal.

"Tambahan pula, saya sudah mendengar kalam-kalam yang penduduk-penduduk asrama negeri ini akan mengadakan serangan balas secara habis-habisan terhadap kita semua. Justeru, sempena kedatangan bulan Ramadan kali ini, moleklah kalau kita mengurangkan sedikit kegigihan kita mencari darah-darah baru..."

Seekor pepijat yang senior bersuara...

"Saya tidak bersetuju. Jika nak diikutkan, waktu kita menyerang mereka pun bukanlah selalu. Kita hanya menyerang di waktu malam gelap, dan waktu antara 12 malam sebelum ke subuh. Kalau kita tidak langsung menyerang, habis, anak-anak dan isteri kita nak makan apa?"

Ketua pepijat menjawab...

"Saya faham, sahabat-sahabat memiliki kegigihan setiap hari untuk mencari darah, walau dengan cara apa sekali pun, termasuklah anak-anak dan isteri-isteri sahabat. Sehinggakan ada yang terkorban setiap malam bahana tujahan kuku manusia itu. Tetapi fikirkanlah sahabat-sahabat sekalian, ini merupakan helah kita sahaja, serangan hanya dihentikan sementara sahaja. Biar mereka fikir yang kita tidak wujud lagi di katil-katil kayu mereka itu. Barulah mereka tidak akan membasmi-hapus kita semua, macam mana?"

Seekor pepijat yang kecil tepuk tangan. Akhirnya semua bertepuk tangan menyetujui cadangan ketua pepijat itu.

Ketua pepijat berjalan kembali ke rumahnya dengan senang hati. Hatinya tidak putus-putus berkata : "Ha.. ha.. ha.. mudahlah aku memburu seorang diri malam ni!"

Leave a comment

Kesihatan terganggu sedikit 2 3 hari ni. Semalam berlakunya 2 peristiwa besar dalam Islam - Badar Kubra dan Nuzul Quran. Untuk entri hari ni, aku copy sebuah cerpen pilihan yang baru sahaja aku khatami sebentar tadi. Mari-mari baca cerpen!

Hikayat pulau dan lelaki

Oleh SM. Zakir

Setiap pulau mempunyai legendanya yang tersendiri. Tetapi pulau ini tidak. Pulau ini tidak mempunyai apa-apa legenda. Ia cuma sebuah pulau dengan pasirnya yang putih, pantainya yang cantik dan laut dengan karang-karang yang indah. Gambaran biasa tentang sebuah pulau. Semua pulau begitu.

Namanya pula ialah Shariar. Bapanya memberi namanya sama seperti nama raja di dalam Hikayat Seribu Satu Malam. Seorang raja kerana kecewa dengan kecurangan wanita terhadap lelaki mencipta rutin mengahwini seorang gadis pada sebelah malam dan membunuhnya pada sebelah pagi sebelum wanita itu sempat berbuat curang. Bapanya seorang lelaki yang dikecewakan wanita. Dia tidak pernah mengenal ibunya. Dia anak lelaki tunggal yang dibawa bapanya berhijrah di pulau ini ketika masih kecil.

Kata orang yang didengarnya, ibunya lari meninggalkan mereka kerana kemiskinan bapanya. Bapanya seorang nelayan. Memang miskin. Tetapi bapanya mahir bergurindam dan menghafal banyak cerita. Saban malam ketika mereka berdua dimamah sunyi dan rindu, bapanya akan bergurindam dan bercerita. Dia akan ralit diulit cerita dan suara bapanya yang merdu. Kemudian dia tertidur. Tetapi banyak ketika, dia terbangun, dia melihat bapanya teresak di tangga rumah sendirian. Kadang-kadang dia bangun, memeluk tubuh kurus bapanya. Ketika itu bapa akan memeluknya erat. Cahaya bulan yang menyuluh muka bapanya akan menjadikan titik-titik air mata bapanya emas-emas yang berkilauan.

Kini bapanya sudah tidak ada. Pusaranya ada tercacak di atas bukit berhampiran rumahnya. Sehingga ke akhir hayat bapanya, dia tidak sempat untuk bertanya tentang ibunya. Dia tidak mampu mengeluarkan kata untuk bertanya kerana tidak mahu mengusik hati bapanya yang baik dan penyedih itu. Maka ketika bapanya meninggal dunia, dia membuat sebuah lagi pusara bersebelahan pusara bapanya. Itu pusara kosong ibunya yang tidak pernah dia kenal.

Pulau yang sunyi ini setelah lama kemudian dibangunkan sebagai pusat pelancongan. Kemudian ia berkembang lagi. Menjadi pusat kewangan luar pesisir. Dia tidak mewarisi kerja bapanya sebagai seorang nelayan sebaliknya menjadi seorang eksekutif kewangan. Ceritanya, dia disekolahkan dengan susah payah bapanya menangkap ikan. Akhirnya dia berjaya dalam pelajaran dan menamatkan dunia mahasiswanya di sebuah universiti terkemuka.

Dia bekerja di beberapa buah institusi kewangan di ibu kota sebelum pulang ke pulau ini semula memegang jawatan di sebuah institusi kewangan di pulau ini. Sayangnya bapanya tidak lama merasa saraannya. Dua tahun dia bekerja, bapanya jatuh sakit dan meninggal dunia. Namun dia puas, sekurang-kurangnya dia melihat cahaya bahagia di dalam mata bapanya yang kabur berkaca - melihat kejayaannya - walau jauh di dalam hati bapanya, dia tahu, adalah kesengsaraan yang tidak pernah luput.

Entah kerana sumpahan apa, dia seperti menyambung takdir bapanya. Dia tidak pernah berjaya di dalam hubungan cinta. Di sekolah, di universiti, di tempat kerjanya - semua hubungan cinta yang terjalin berakhir dengan kegagalan. Maka hari ini, jika ada orang bertanya kepadanya tentang apa itu kekasih. Dia akan menjawab, kekasih adalah orang yang datang memberikan kita kekecewaan. Mungkin orang yang mendengarnya akan ketawa berdekah-dekah - menganggapnya manusia melankolia atau lelaki traumatik yang malang. Tetapi anehnya dia tidak pernah menganggap dirinya manusia malang. Kerana baginya dunia sememangnya tidak pernah ada kebahagiaan.

Pertama kali dia mengenal perasaan cinta ketika tubuhnya menggeletar apabila cinta bersambut. Kedua kali dia mengenal cinta ketika tubuhnya menggeletar apabila cemburunya membuta. Ketiga kali dia mengenal cinta ketika tubuhnya menggeletar apabila dia ditinggalkan seperti sampah yang dicampak ke longkang.

Dia sebenarnya adalah manusia yang bingung tentang cinta. Dia pernah tidak dapat tidur beberapa lama kerana kecewa dengan cinta. Berjalan menyusur pantai hingga ke pagi. Dia bingung memikirkan bagaimana dia boleh hidup tanpa tidur begitu lama. Bahaya kesengsaraan cinta itu tentu boleh membunuh seorang manusia. Setelah itu dia mengambil keputusan untuk terus melupakan tentang wanita dan cinta.

Maka itu, apabila melihat pulaunya menjadi pusat kewangan luar pesisir, dia segera memohon kerja di situ. Dia ingin kembali ke pulaunya. Bersendirian seperti bapanya. Sesekali dia boleh turun menangkap ikan mencium angin malam di laut lepas. Sesekali dia boleh bergurindam di tangga rumah tempat bapanya bergurindam sambil melihat bulan yang menukarkan airmata menjadi emas. Dan sesekali dia juga boleh memanjat bukit melihat laut di bawah pusara bapanya menghempas pantai seperti derita yang menghempas hati bapanya.

Tetapi dia tidak boleh melakukan satu perkara yang selalu dilakukan oleh bapanya. Memeluk anaknya ketika bulan menukarkan air matanya menjadi emas.

Suatu hari, seorang gadis hadir di dalam hidupnya. Gadis ini amat rupawan sekali. Namun apa yang menjadi perhatian tentang gadis ini ialah dia adalah anak kepada seorang pejuang yang hebat menentang ketidakadilan kekuasaan yang menguasai mereka selama ini. Bapanya, pejuang itu sekarang sedang meringkuk di dalam penjara bersama pendukung-pendukung gerakan penentangan itu. Dan segala gerakan yang diketuai oleh bapanya si pejuang itu sekarang sedang dibersihkan habis-habisan oleh pihak berkuasa. Tentunya gadis itu sangat menjadi perhatian - bukan sahaja kepada orang yang bersimpati tetapi juga orang-orang yang berkuasa itu.

Pertemuannya dengan gadis itu entah bagaimana boleh melekatkan hati kedua-dua mereka berlaku secara kebetulan sahaja. Gadis itu secara senyap-senyap dimasukkan bekerja di institusi kewangan tempatnya bekerja, oleh rakan bapanya si pejuang itu yang bersimpati barangkalinya. Kebetulan di unit yang sama dengannya. Melihat gadis yang sebatang kara, sedih dan ada kalanya kelihatan ketakutan membuatkan hatinya perlahan-lahan rasa bersimpati. Gadis yang bingung dan memerlukan sesuatu untuk memaut semangatnya segera menjadi amat intim dengannya.

Menggantungkan segala ketakutan dan kesedihan di belakang seorang lelaki yang dipercayainya. Pada mulanya dia cuba menjauhi kerana baginya tidak ada sebab untuknya menyusahkan diri menambahkan senarai orang yang akan dicurigai oleh orang-orang yang berkuasa itu. Lagipun apa perlunya menderita kerana wanita lagi. Namun hati manusianya tidak dapat menolak kedatangan seorang gadis yang memerlukan bahu seorang lelaki untuk melindungi kebingungan dan ketakutannya. Walaupun dia merasakan dia membuat keputusan yang paling dungu tetapi entah kuasa apa sebaliknya memberi keberanian yang paling bodoh untuknya mempertahankan keputusan itu.

Maka berlangsunglah kisahnya yang dramatik itu. Gadis itu entah kebetulan apa pula bernama Sharazad, puteri yang menangguhkan kebiasaan Raja Shahriar membunuh setiap isterinya selepas pagi menjelang dalam Hikayat Seribu Satu Malam yang masyhur itu. Namanya Shariar dan nama gadis malang itu pula Sharazad. Tentunya dia bukan raja yang akan memancung setiap orang isterinya - walau ada kalanya dia ingin mempunyai keinginan itu - tetapi Sharazad sebenarnya adalah puteri yang bijaksana itu. Setiap ketika terluang mereka menyusuri pantai sambil Sharazad akan bercerita kepadanya.

Kata Sharazad; kesaksamaan dan keadilan untuk manusia tidak akan wujud jika sebahagian manusia terus bekerja mencurinya untuk mereka. Dia melihat ombak laut bergulung di celah kegawung senja yang semakin larut.

Kata Sharazad; dunia sekarang menjadi abdi kepada sistem yang dicipta oleh dan untuk segelintir manusia menjadi tuan yang maha agung. Sistem ini memberi sejenis nilai yang diwakilkan kepada sehelai kertas. Nilai ini kemudiannya menjadi pusat kepada segala kegiatan ekonomi manusia. Anehnya nilai ini kemudian mempunyai kuasa syaitan yang berkembang untuk mengikat manusia di dalam lingkaran apinya yang ganas sehingga semua manusia tenggelam di dalamnya. Dia melihat pasir-pasir putih menjadi kapas yang melayang ke langit.

Kata Sharazad; golongan pemodal kini bukan lagi menjadi raja tetapi menjadi dewa-dewa Olympus yang menentukan bagaimana dunia ini harus diterbalikkan. Mereka mencipta perang, kebencian antara umat manusia, kehuruharaan, kebuluran dan kemiskinan yang semua ini akan menentukan mereka dapat hidup terus sebagai dewa-dewa yang mencatur kehidupan manusia di bumi. Dia melihat camar-camar laut bertukar menjadi malaikat-malaikat yang melemparkan batu-batu api ke atas manusia-manusia yang ingin menjadi dewa.

Kata Sharazad; sistem terkutuk ini menjadi sempurna apabila setiap daerah dunia mula memaksikan pegangan bahawa Tuhan dan kehidupan manusia adalah dua perkara yang berbeza. Kehidupan manusia adalah unsur di dalam sistem dan Tuhan adalah unsur di luar sistem. Sistem pula adalah pusat evolusi dan revolusi kehidupan manusia. Tuhan pula tidak ada kena-mengena dengan apa yang terdapat di dalam sistem itu. Ia cuma sebuah konsep di dalam kepala manusia. Dia melihat langit putih yang berwajah mulus itu membesar dan bertukar menjadi hitam.

Kata Sharazad; orang-orang yang berkuasa di seluruh dunia hari ini adalah manusia-manusia yang percaya bahawa sistem yang terkutuk itu adalah agama dan nilai dagang itu adalah Tuhan. Kerana itu mereka mencipta diri mereka menjadi Firaun-Firaun baru yang mahu diberhalakan oleh rakyat. Pembohongan dan penipuan diprojeksikan secara besar-besar melalui media bagi mewujudkan imej palsu yang menjadi senjata sakti mencapai kekuasaan dan pengaruh ke atas manusia. Dia melihat buih-buih ombak menggelembung dan pecah melahirkan wajah-wajah pelangi yang tidak tercapai.

Kata Sharazad; orang-orang berkuasa kini menjadi raja dan rakyat menjadi abdi. Pedagang memeras rakyat dan bahagian dagang tertentu diperuntukkan kepada orang-orang berkuasa untuk menjamin kekayaan mereka; orang berkuasa dan pedagang. Rakyat adalah padang ternak yang diabdikan untuk memperoleh hasil sebanyak-banyaknya. Dunia kembali kepada zaman feudal yang mencipta raja sebagai bayangan Tuhan dan pedagang-pedagang adalah bayangan syaitan yang memakai wajah malaikat. Dia melihat bayang awan yang berpusar di laut mengeluarkan taring dan mencengkam urat-urat laut sehingga ombak menjadi mati.

Kata Sharazad; sistem kuasa majoriti melalui pengundian dan perwakilan rakyat mewujudkan banyak penipuan dan ketidakadilan apabila hak minoriti dinafikan dari segala segi. Yang menang akan mengambil semuanya termasuk menindas dan menutup runag kepada yang kalah. Yang kalah bukan sahaja menjadi warga kelas dua bahkan ada kalanya diwajahkan seiras penjenayah. Yang menang akan menjadi orang-orang berkuasa yang mencipta imej-imej palsu untuk ditayangkan kepada rakyat. Dan dunia akan berlangsung seperti biasa; satu golongan penternak yang akan menghirup segala hasil dan satu golongan abdi yang diternak untuk diperas segala hasil. Dia melihat lembah pulau yang jauh bergelung oleh rumput hijau berkilauan menjadi kering dan gersang.

Dia mula menyedari mengapa dunia sememangnya tidak pernah ada kebahagiaan. Kerana seperti kata pujangga yang disebut Sharazad, "Apa-apa yang menjadi milik Tuhan tidak malu-malu kau kangkangi menjadi milikmu.'' Dia juga menyedari bahawa dia hanya abdi di padang ternak - menjadi sumber keluaran yang menjana keuntungan kepada pemodal dan penguasa. Di sini. Pusat kewangan luar pesisir yang dicipta untuk menggerakkan modal tanpa batas sempadan. Di sini jugalah kuasa dan wang dilahirkan menjadi syaitan yang menerakai bumi.

Semakin hari mereka semakin mesra. Ada kekaguman yang tumbuh di hatinya terhadap gadis rupawan yang berjiwa pejuang ini. Juga ada rasa percaya yang tinggi oleh gadis rupawan itu terhadap dirinya. Kekaguman dan rasa percaya ini telah menumbuhkan rasa cinta yang dalam. Rasa cinta yang menyatu mereka berdua untuk hidup dalam dunia keberanian para pejuang. Tidak lama kemudian dia dan Sharizad melaksanakan akad nikah dan berlangsunglah ikatan sah mereka sebagai suami isteri.

Namun hidupnya mula diganggu ketidakselesaan. Ada tangan-tangan hitam yang tersembunyi berusaha menekan hidup mereka. Tetapi Sharazad adalah puteri yang tabah. Setitik air matanya pun tidak pernah mengalir oleh kepayahan ini. Dan dia, lelaki yang tidak mempunyai apa-apa di dunia ini lantas terus hidup tanpa peduli kepada sejuta tangan yang menerobos kebahagiaan cinta mereka. Kebahagiaan Sharazad hanya kepada Shariar dan kebahagiaan Shariar hanya kepada Sharazad. Kebahagiaan dalam payah ini akhirnya melahirkan cahaya mata yang cukup menyerikan hidup mereka. Seorang bayi lelaki yang comel dengan kedua-dua belah matanya tajam menembus jantung langit. Ini mata pejuang!

"Anak kita harus dibesarkan untuk menjadi pejuang.'' Itu kata Sharazad dengan kilau matanya terpacak lekat ke jantung hatinya.

Suatu hari yang malang, bot yang dinaiki Sharazad karam di laut ketika isterinya itu pergi ke tanah besar kerana dipanggil untuk suatu hal yang mustahak. Semua penumpang tenggelam lenyap ke dasar laut termasuk isteri kesayangannya. Laut ketika itu memang bergelombang besar. Langit selalu hitam dan hujan sentiasa bergelora. Berhari-hari dia dan pasukan penyelamat menggeledah perut laut namun tiada apa-apa yang ditemui.

Setelah pulih dari derita sedihnya yang dalam, dia datang termangu di bibir laut mengenangkan isterinya yang hilang tanpa kesan itu. Seperti berita yang tersebar, dia juga percaya kemalangan itu adalah rancangan orang-orang yang berkuasa. Sehingga hari ini dia tidak tahu sama ada isterinya masih hidup atau telah mati. Ada juga berita yang tersebar, isterinya lari menyembunyikan diri. Ada juga cerita yang mengatakan isterinya lari bersama kekasih lamanya ke luar negara. Setiap hari ada cerita-cerita terbaru yang tidak merubah apa-apa keadaan untuk menjadi baik. Dia hanya mendengar dan lama-kelamaan telinganya menjadi kebas dan tebal.

Maka itu dia kembali mengulang pekerjaan bapanya yang baik dan penyedih dahulu. Ketika malam menjelang selepas usai mengaji Quran, dia akan duduk di muka pintu di bawah cahaya bulan yang indah, bergurindam menghibur anak lelakinya. Seperti bapanya sesekali dia akan turun ke laut membawa anak lelakinya mengenal urat-urat ombak dan suara ikan. Seperti bapanya setiap malam bulan purnama benderang dia akan duduk teresak di muka pintu. Dia hidup bersendirian kembali seperti dulu.

Dia tidak tahu sumpahan apa yang mendampratnya hingga dia tidak pernah bahagia dengan cinta. Sehingga hari ini dia masih keliru dengan cinta. Maka itu dia masih mengatakan, kekasih adalah orang yang datang memberikan kita kekecewaan. Seperti bapanya, dia menghadapi derita yang dalam.

Dia kini bersendirian seperti bapanya. Sesekali dia turun menangkap ikan mencium angin malam di laut lepas. Sesekali dia bergurindam di tangga rumah tempat bapanya bergurindam sambil melihat bulan menukarkan air matanya menjadi emas. Dan sesekali dia memanjat bukit melihat laut di bawah pusara bapanya menghempas pantai seperti derita yang menghempas hatinya.

Tetapi dia kini boleh melakukan satu perkara yang tidak boleh dilakukannya dahulu. Memeluk anaknya ketika bulan menukarkan air matanya menjadi emas. Anaknya membesar dengan mata yang tajam menikam jantung langit. Dia tidak mewarisi kerja bapanya menjadi nelayan dan anaknya pun tidak akan mewarisi hidupnya menjadi abdi di padang ternak. Seperti ibunya, Puteri Sharazad anak pejuang itu, anaknya harus besar menjadi pejuang yang harus hidup di bawah nama Tuhan.

Maka dia sering mengajarkan kepada anaknya, kesaksamaan dan keadilan untuk manusia tidak akan wujud jika sebahagian manusia terus bekerja mencurinya untuk mereka. Anaknya mendengar dan dia akan bergurindam menyampaikan cerita-cerita isterinya dahulu. Cerita-cerita itu membuat mata anaknya jadi bersinar sehingga ada kalanya bulan menjadi seperti terpadam.

Dan pada malam-malam tertentu, ketika dia sendirian teresak di tangga rumah anaknya perlahan-lahan terbangun, memeluk tubuh kurusnya. Dia membalas dan memeluk anaknya erat. Wajah isterinya muncul di mata. Cahaya bulan yang menyuluh mukanya menjadikan titik-titik air matanya emas-emas yang berkilauan.

"Kau akan besar menjadi lelaki pejuang.''

Dan dia menyatakan kepada anaknya lagi, "Jika dewasa, apabila hatimu harus membuka pintu untuk seorang kekasih, percayalah bahawa kekasih ialah orang yang datang memberikan kita jiwa untuk berjuang.''

Sejak hari itu dia mula mengajarkan kepada anaknya dan juga semua anak-anak di pulau itu untuk besar menjadi singa dan bukan lagi domba di padang ternak.

Pulau yang tidak mempunyai legenda itu kini mempunyai legendanya. Legendanya ialah seorang lelaki yang ingin membunuh semua cintanya sehingga dia menyedari bahawa cinta tidak pernah dapat dibunuh.

Seperti hikayat lama itu, dia tidak lagi membunuh cintanya.

Mingguan Malaysia, 31 Oktober 2004.

Leave a comment

Aku dan tiga orang budak Arab

Tiga orang budak Arab minta sedekah. Aku pun bagi 0.25 Kirish. Tiga orang budak Arab, minta lagi. Aku kata, cukuplah. Tiga orang budak Arab, buat-buat tak faham, dan minta lagi. Aku geleng. Masuk asrama dan tutup pintu depan.

Aku dengar bunyi bising-bising di pintu depan. Aku yang sudah sampai di tingkat satu turun semula. Aku lihat - tiga orang budak Arab, goyang-goyang pintu depan, sambil cuba buka-buka.

Aku terkejut. Darah radang gesit meruap naik ke kepala. Aku buka pintu, dan herdik tiga orang budak Arab :

"Kau orang ni tak faham bahasa ke?" [walaupun aku tahu yang mereka ni memang tak faham bahasa!]

Tiga orang budak Arab, lari terpisat-pisat. Buat muka tak bersalah. Pula tu - seorang dari tiga orang budak Arab sempat mencebik-cebik.

Aku geleng. Ramadan oh Ramadan... :D

ii.

Semasa ralit menjawab soalan untuk sebuah wawancara, aku terjumpa laman BESt yang berkonsepkan sebuah e-majalah sastera. Di bawah ini petikan suara editornya :

Saya mahu memulakannya dengan kisah benar. Ia tentang Fulton, si artis dan jurutera hebat itu. Dua ratus tahun lepas, Fulton berjaya mencipta kapal wap. Dia memperlihatkan hasil kerjanya di Sungai Hudson. Beberapa orang berkata, kapalnya tidak akan berfungsi. Lalu, enjin dihidupkan, dan perlahan-lahan air Sungai Hudson dibelah kapalnya. Melihat kapal wap Fulton mula bergerak, mereka menjerit, "Kapal anda tak akan berhenti!" Lalu, Fulton memberhentikan kapalnya. Selebihnya menjadi sejarah - 14 Ogos 1807, kapalnya berjaya belayar dari Albany ke New York.

Orang yang berfikiran positif selalu menjadi insan besar dalam sejarah. Kalau diberikan pilihan, antara dua golongan di atas, anda di pihak yang mana? Jawab soalan ini dahulu sebelum anda memberi pandangan tentang BESt.

Kelahiran BESt yang berkonsepkan e-majalah, harus disambut dengan pandangan yang positif. Dalam mandala maya Malaysia, selain mengisi kekosongan, BESt bolehlah dikatakan majalah sulung yang memperkatakan sastera seratus peratus dengan cara sastera. Sebagai yang sulung, BESt mempunyai satu tanggungjawab, sekurang-kurangnya dalam hal membina tanggapan positif khalayak tentang sastera siber. Lalu, bagaimana BESt boleh melaksanakan hal ini?

- Mohd. Lutfi Ishak

Gelandangan ke BESt

Leave a comment

Pakej Pengajian Sebulan di Madrasah Ramadan

Tempoh pengajian : 30 hari
Sesi pengajian : 3 sesi
Objektif : Takwa

Sesi pertama : Rahmat
Tempoh : 10 hari pertama Ramadan

Sesi kedua : Maghfirah
Tempoh : 10 hari kedua Ramadan

Sesi ketiga : Pembebasan dari api neraka
Tempoh : 10 hari ketiga Ramadan

Bonus pengajian :

*Lailatul Qadar
*Solat sunat Tarawih
*Halaqah tadarus al-Quran
*Tahajud

"Siapa yang beramal kerana Ramadan, Ramadan akan berlalu pergi, tetapi siapa yang beramal kerana Allah, Allah itu kekal hidup dan tidak akan mati.."

Memo : Tahniah kepada yang berjaya mengkhatami sesi pertama di Madrasah Ramadan. Selamat meneruskan pengajian dalam sesi yang kedua! :)

Leave a comment

Lupa nak kongsi dengan kalian berita dunia semalam. Oleh kerana aku sibuk dengan mustaid studi, jadi aku paparkan sahaja isu ini untuk kalian ladeni :

1] John Kerry janji ajar negara Arab untuk Israel

2] Calon Demokrat diisytihar murtad

Nota hujung :

1] Alahai.. beginilah nasib negara-negara Arab.

2] John Kerry dan George W. Bush - mana satu menjadi pilihan?

Firman Allah :

"Tak akan reda selama-lamanya Yahudi dan Nasrani kepada kamu, sehingga kamu mengikuti agama mereka.."

Leave a comment

OP yang saya kenali

Semalam genaplah setahun pemergian Sasterawan Negara Othman Puteh [OP] ke Rahmatullah. Saya tidak pernah mengenali beliau secara langsung. Sekadar mendengar namanya yang acap kali disebut guru Bahasa Melayu di sekolah menengah, di samping menatap tulisan-tulisannya di dada-dada media terutama majalah Dewan Siswa. Malah, buku Landasan Kreatif Penulisan Cerpen tulisannya menjadi inspirasi dalam pembangunan karya saya dan digunakan sebagai panduan penulisan kertas kerja saya untuk seminar penulisan seputar Mesir.


Allahyarham Sasterawan Negara Othman Puteh pulang ke Rahmatullah pada hari Ahad, 19 Oktober 2003 di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah, selepas diserang sakit jantung ketika menghadiri program baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmunah di Kota Kinabalu.

Allahyarham Dr. Othman Puteh meninggalkan seorang balu, Timah Baba, 55 dan lima orang anak, Hizairi, 33, Haizulsham, 31, Mohd Hafiz 28, Sadhila, 26 serta Marini, 24.

Beliau yang banyak memberi sumbangan dalam dunia sastera tanah air khususnya dalam bidang penulisan cerpen kanak-kanak dan remaja merupakan tokoh yang terbabit dalam mengendalikan bengkel Minggu Penulis Remaja [MPR] anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP] sejak beliau masih lagi berkhidmat di UKM.

Novel sulung Allahyarham berjudul Rahsia Hutan Dara diterbitkan pada 1974 dan sehingga kini sudah menghasilkan 30 novel kanak-kanak dan remaja di samping mempunyai antologi cerpen termasuk Matra, Tasik dan Laut. Allahyarham juga sering dipilih sebagai panel penilai sayembara anjuran pelbagai institusi termasuk peraduan menulis Novel Sejarah [1980] dan Novel Fiksyen Sains [1981].

Antara peserta bengkel MPR di bawah asuhan Allahyarham yang berjaya mencipta nama dalam dunia sastera tanah air ialah Uthaya Sankar SB yang terus mencatat kecemerlangan dalam berkarya sehingga kini. Malah, beliau merupakan seorang sasterawan yang akrab dengan penulis-penulis muda dan sering menyatakan kegusaran dan kegelisahan beliau terhadap perkembangan sastera tanah air. Keprihatian Allahyarham OP terhadap perkembangan pengkaryaan penulis muda sama ada yang dalam asuhannya ataupun tidak, begitu mempesonakan.

Artikel Editor Dewan Sastera dalam Mingguan Malaysia Oktober 2003 ini telah membuktikannya - antara penyair muda yang dihormati bakatnya ialah Zaen Kasturi. Penulis pelbagai kaum yang disenangi bakat dan kesantunannya ialah Seroja Theavy. Ketokohan, keberanian dan pandangan jauh Samsiah Mohd. Noor bertindak menerbit sendiri novelnya sehingga berjaya diulang cetak lebih daripada sepuluh kali membuatkan Allahyarham kagum - katanya kalau dia masih muda dia juga akan berbuat demikian untuk sastera zaman kini. Mohd. Saleeh Rahamad sebagai pengkaji muda sastera yang tekun dan serius dalam profesionnya - di bahunya diletakkan harapan untuk menilai kedudukan sastera tanah air. Siti Jasmina Ibrahim yang menubuhkan syarikat sendiri bersama temantemannya membuka matanya bahawa sastera akan mampu hidup sampai bila-bila jika ada ramai lagi orang seni seperti mereka. Zainal Rashid Ahmad dan S.M. Zakir cerpenis muda yang berbakat besar buatnya. Begitu juga, tentang kehebatan Faisal Tehrani dengan novel 1515, kebisuan Mawar Shafei dalam penghasilan karya dan banyak lagi harapan dan pandangan beliau.

Prinsip beliau dalam sastera menyedarkan saya - bahawa Allahyarham seorang yang memiliki iltizam dan kekuatan jiwa yang tinggi :

"Hidup ini memang takkan lari daripada masalah. Kalau tak ada masalah, bukan namanya kehidupan. Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya."

Apa lagi yang boleh saya ceritakan? Melainkan melahirkan rasa dukacita saya terhadap pemergian Allahyarham buat selama-lamanya. Nukilan ini sebagai penghargaan dan apresiasi diri terhadap jasa dan budi Allahyarham, yang tidak ternilai!

Al-Fatihah!

Leave a comment

Maklumat mengenai kematian warga Malaysia di Mesir 1 Ramadan lalu boleh dibaca di Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini.

Terima kasih untuk semua ucapan tahniah daripada rakan-rakan pengunjung - AmirMukhriz, Dahrie, Damanhuri, Akhi Faizul, Jiwarasa, Us. Zaid, Saln9, dee, kak Mardhiah12, Tok Rimau dan semua yang mungkin sekadar melafaz di mulut. Aku menghargainya! :)

Selamat berpuasa, berbuka, bertarawih dan bertadarus! :D

Leave a comment

i.


Ini gambar-gambar mangsa yang terbunuh dalam tragedi pembunuhan rakyat Malaysia di Mesir satu Ramadan lalu. Di sebelah kanan, adalah warga Indonesia yang disyaki membakar-bunuh mangsa-mangsa dengan kejam. Yang boleh berbahasa Arab, silakan membaca berita mengenainya di akhbar el-Akhbar.

ii.

"Sastera siber sebenarnya mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Kemunculan beberapa orang penulis generasi baru kita telah membuktikannya. Lihat saja Ghafirah Idris yang baru saja memenangi tempat pertama untuk kategori cerpen eceran bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan untuk tahun sudah.

Malah karya-karya beliau banyak mendapat tempat di beberapa akhbar atau majalah lain dalam dunia sastera arus perdana. Beliau bermula dengan sastera siber. Giat menghasilkan cerpen, dan segera hantar untuk tujuan siaran dan bersedia menerima kritikan bersama rakan penulis lain di alam siber.

Nimoiz TY juga begitu, bermula dengan sastera siber sebelum mendapat tempat dalam sastera arus perdana. Pernah memenangi hadiah utama kategori puisi Hadiah eSastera.com (HeScom 2003) anjuran laman eSastera. com melalui sajaknya, Jalan Baru yang tersiar di laman eSastera.com dan berpeluang mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Amiza Khusyri, antara nama baru yang mula menonjol, sekarang berada di Asia Barat menghabiskan baki kuliahnya, juga bermula dengan sastera siber. Cerpen beliau mendapat hadiah ketiga dalam Sayembara Karya Kreatif Negeri Sembilan anjuran Persatuan Penulis Negeri sembilan (PEN) baru-baru ini."


Beberapa nama lagi disebut di dalam esei tulisan saudara Mohd. Dahri Zakaria di ruangan Sastera, Mingguan Malaysia hari ini. Terima kasih dan syabas buat beliau. Gelandangan ke Sastera siber karya kelas dua?

iii.

Cerpen aku Mentari Mediterranean tersiar di Berita Minggu hari ini. Cerpen itu digarap berlatarkan pantai Mediterranean di kota Iskandariah, Mesir. Seolah-olah melengkapkan lagi artikel saudara Mohd. Dahri itu. Tak sangka, selepas seminggu penghantaran, karya tersebut terus dipilih untuk disiarkan. Terima kasih buat sidang editorial ruangan Sastera dan Budaya, Berita Minggu. Tuhfah Ramadan al-Mubarak buat aku, dan tuhfah Ramadan al-Mubarak buat tatapan warga Malaysia! :)

Leave a comment

Tragedi Oktober : Masihkah ada Ramadan hari esok?

15 Oktober [1 Ramadan], Haiyyu A'syir - Sekeluarga rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan Haiyyu Asyir meninggal dunia hari ini. Mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Zaki Ayub merupakan seorang usahawan dan pengurus sebuah kafe siber dan restoran makanan ditemui mati di rumahnya hari ini bersama kecederaan di bahagian kepala dan tanda kelar di leher mangsa. Isterinya Nur Hayati Bukhari yang merupakan graduanita Universiti Islam Antarabangsa bersama 2 orang anaknya yang masing-masing berumur 8 bulan dan 4 tahun ditemui rentung, disyaki dibakar hidup-hidup. Mangsa-mangsa dilaporkan dibakar-bunuh ketika orang ramai sedang sibuk pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Mangsa Mohd. Zaki hanya terbakar di bahagian bawah tubuh dan memudahkan pihak berkuasa mengenali dan mengecam kecederaan mangsa. Manakala, Nur Hayati bersama anak-anaknya ketika ditemui telah rentung sepenuhnya. Mereka didakwa dibakar bagi menghilangkan kesan-kesan jenayah yang dilakukan dan disyaki jenayah ini memang sudah dirancang dengan teliti dan berhati-hati.

Saksi melaporkan, ketika mayat Nur Hayati yang rentung dan keras diusung keluar, dia kelihatan seperti memeluk anaknya. Khabarnya, mereka juga berhajat dan telah merancang untuk pulang akhir tahun ini setelah 5 tahun tidak kembali ke tanah air. Kedua-dua anak mangsa juga didakwa tidak pernah bersua dengan datuk dan nenek mereka.

Motif pembunuhan masih di dalam siasatan.

Sumber : Akhbar al-Wafd, Cairo.

Nota hujung :

1] Al-Fatihah untuk roh-roh mangsa, moga dicucuri rahmat di awal Ramadan ini.

2] Introspeksi : Masihkah ada Ramadan hari esok buat kita?

Leave a comment

Semasa belum pun masuk puasa

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk fasal raya. Sudah mula merancang-rancang untuk bertemu di hari raya. Tapi kenapa tak merancang untuk bertemu dan sama-sama menikmati juadah berbuka puasa?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk nak buat kuih raya. Sudah mula merancang-rancang nak buat kuih raya jenis apa. Tapi kenapa tak rancang, bulan puasa ni nak tambah ibadah apa?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah tertanya-tanya bila tarikh hari raya. Tapi kenapa tak tertanya-tanya - tarawikh bulan puasa ini penuh atau tidak tertunainya?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk bajet duit beli baju raya, beli benda-benda perhiasan rumah. Sudah mula merancang-rancang isi angpow nak beri kepada saudara-mara. Tapi, kenapa tak muhasabah bajet untuk zakat fitrah dan zakat harta?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah mula sibuk buka-buka kad raya. Nak diberi untuk kekasih, handai dan sanak saudara. Tapi kenapa tak buka-buka Quran, baca dan ambil teladan Quran dinuzulkan di bulan puasa?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk nak berhari raya. Tapi, kenapa tak sibuk buka kitab, kejar pahala ibadah berganda yang hanya sebulan di bulan puasa?

Salam Ramadan Kareem. :)




Leave a comment

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan

Singgah ke kafe siber malam ini selepas bertungkus lumus mencatat minit [dilantik sebagai S/U Sidang] dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bakans malam ini [12 September]. Bukan apa, antara perkara yang paling aku tak suka bila mesyuarat agung ialah dilantik S/U Sidang. Iyalah, bila dah dilantik jadi S/U aku terpaksa menulis segala fakta penting tanpa henti dan memberikan fokus yang tinggi terhadap perjalanan mesyuarat. Tapi entah macam mana, hari ini aku boleh akur dan reda pula. Sumbangan terakhir insya-Allah.

Kesihatan semakin pulih. Alhamdulillah. Suara pun bukan macam burung tekukur lagi. Cuma sengau-sengau lunak gitu. :p Peperiksaan tasfiah satu subjek aku juga semakin dekat. Amiza kini sedang berusaha. :D

Ramadan pula semakin karib. Bulan mulia bulan maghfirah. Bulan berkat, bulan rahmat. Ramadan Kareem diucapkan buat semua sahabat-sahabat dan teman-teman pembaca AKO.

Bawah ni artikel terakhir aku sebelum pulang untuk mahasiswa al-Azhar dalam arena sastera dan penulisan di bumi Kinanah. Saja nak kongsi dengan teman-teman pengunjung. Silakan menggagau. :)

ii.

Jalan yang kian suram

Oleh Amiza Khusyri Yusof

Pengalaman saya mengikuti bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi [Kepezi] 2003 bersama Almarjan Yusoff yang lalu, para peserta perlu menyediakan cerpen terlebih dahulu untuk dibedah moderator. Cerpen saya bersama lebih kurang 11 orang peserta dari pelbagai lapisan umur telah dibedah oleh dua orang penulis berpengalaman - Nisah Hj. Haron dan Mohd. Nazmi Yaakub serta diakhiri dengan komentar penulis besar Zaharah Nawawi sendiri. Semua peserta juga dikehendaki memberikan komentar terhadap cerpen-cerpen rakan tanpa seorang pun yang terkecuali. Resolusi bengkel tersebut hakikatnya telah membuktikan kepada saya bahawa penulisan perlulah lahir dari kehendak diri, disiplin, kesungguhan dan iltizam yang jitu.

Seingat saya sepanjang tahun ini, saya sudah dijemput sebanyak 5 kali untuk membentang kertas kerja dan mengendalikan 3 buah bengkel cerpen seputar penulisan kreatif ini. Semuanya di bawah anjuran Kelab Karyawan Kelantan [Keris], Akademi Karyawan Bakans [Akrab], Akademi Karyawan Mansurah [Akar], UPP Iskandariah dan juga anjuran PMRAM sendiri di bawah Kem Latihan Penulis [Kelap]. Sepanjang tempoh itu, sejujurnya saya lebih selesa mengendalikan bengkel dari semata-mata pembentangan kertas kerja.

Saya kira, antara bengkel cerpen kendalian saya yang memberi efek paling positif ialah bengkel anjuran Akar Mansurah yang dihadiri sekitar 8 orang peserta di kalangan perawan itu. Mereka telah membuktikan keazaman dan kesungguhan masing-masing dengan menghantar cerpen lewat bengkel Kelap 19 Julai lalu. Saya telah menemukan bakat-bakat baru yang jitu komitmen melalui tiga sekawan ini - Mahizam, Siti Rohana dan Noraini, yang wajar diberi perhatian oleh Akar Mansurah. Kepentingan melazimi penulisan selepas karya pertama, kedua dan ketiga perlulah didedahkan kepada mereka.

Selain daripada mereka, saya juga menemukan Syarifah Salha Syed Ahmad yang berpotensi menjadi penulis menjanjikan. Cerpen pertamanya yang pernah saya baca ialah semasa Bakans menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif, meskipun sebelum itu Salha pernah mengutusi saya untuk bertukar-tukar maklumat dan info dunia sastera lewat e-mel. Saya agak terpesona dengan kesedaran yang dimiliki penulis ini, di samping kekuatan imaginasi dan keberaniannya untuk meneroka persoalan-persoalan baharu dalam karya. Tidak hanya terkongkong dengan tema percintaan dan kekeluargaan yang agak merimaskan. Cerpen keduanya yang saya bedah semasa bengkel Kelap 19 Julai lalu telah menunjukkan Salha adalah seorang penulis yang wajib diberi perhatian.

Nama Faizah Herda pula saya dengari semasa nama itu dicadangkan Hewi PMRAM untuk menjadi pendamping dalam bengkel Kelap tahun ini. Saya pernah membaca cerpennya sepintas lalu di Yahoogroups Adabuna [jaringan maya penulis Timur Tengah]. Kemudian, cerpen keduanya saya lumati semasa sesi pembedahan cerpen moderator Kelap di Rumah Negeri Sembilan. Faizah Herda saya kira memiliki kekuatan bahasa dan seorang yang sensitif dengan isu semasa. Faizah nampaknya lebih selesa mengangkat latar luar negara di dalam karyanya. Kemestian yang perlu ada pada diri penulis yang tidak hanya terpagar dalam dunia yang sempit dan rimas. Saya kira, Faizah Herda bisa melangkah lebih jauh sekiranya sentiasa melazimi penulisan dengan cermat tanpa letih. Beliau telah yang saya tinggalkan dengan pengalaman sebagai pendamping buat menjamin kesinambungan sastera di bumi Kinanah selepas ini.

Semasa mengendalikan seminar sehari Kelap, saya mengenalkan Noorshibaaiyah Sharipudin yang memiliki kekuatan bahasa yang mengejutkan. Meskipun apa yang saya baca itu hanyalah hasil coretan imaginasinya dari segelas air [modul Kelap waktu itu], tetapi saya dapat mengesani bakat dan potensinya yang agak mempesonakan dalam penulisan kreatif ini. Jika beliau sentiasa melazimi penulisan meski sibuk dalam ripuh-geger dunia mahasiswa, sudah tentu nama ini juga mampu diketengahkan sebagai seorang penulis menjanjikan.

Nama-nama ini pula mungkin antara calon penulis teruna yang saya kira tidak boleh dipandang remeh. Mohd. Zaki, calon penulis dari Johor ini saya kesani bakatnya lewat bengkel cerpen Kelap yang lalu. Beliau memiliki sensitiviti dan sifat ingin mencuba yang memegunkan. Begitu juga dengan Hafiz Noramli juga dari Johor, calon penulis yang saya kira memiliki potensi mengagumkan dalam genre puisi dan cerpen. Meneliti bahasanya yang lancar dan menarik, beliau mampu melangkah lebih jauh lagi jika sentiasa menulis, mengkaji dan menggulati sastera. Begitu juga dengan nama Omar Md. Rasib dari Negeri Sembilan yang tekun dan mudah dibimbing. Membaca cerpennya berjudul Aku dan Onn membuktikan beliau memiliki kekuatan imaginasi lewat karyanya.

Seorang lagi calon penulis yang menjanjikan dalam genre puisi dan mungkin tidak dikenali di kalangan penulis Malaysia di Mesir tetapi semakin dikenali di kalangan penulis tanah air ialah Norsuriana Abd. Razak dari Iskandariah, yang pernah memenangi tempat pertama dalam Sayembara Penulisan Kreatif Bakans bagi genre puisi [saya kesani bakatnya melalui sayembara tersebut]. Puisinya yang saya lumati di komuniti penyair siber esastera telah menjadi 'puisi pilihan' dalam laman itu, menjadikan beliau seorang penulis yang wajib diperhatikan. Sikap melazimi penulisan dan berani mencubanya perlu dicontohi oleh setiap penulis-penulis perawan Malaysia di Mesir ini.

Saya lebih gemar memulakan bengkel atau seminar dengan agak tegang dan keras. Sebenarnya lebih mengingatkan peserta, bahawa jalan yang perlu disusuri masih jauh dan berliku. Jalan itu hendaklah disusuri dengan kehendak diri, usaha dan tekad yang kuat. Kemudian, barulah saya lebih selesa berbengkel dengan sedikit kecindan dan diakhiri dengan buah-buah harapan. Antara pesanan terakhir saya sebelum majlis usai ialah mengharapkan agar calon penulis bersedia menerima kritikan dan terjahan di medan bengkel. Meyakini bahawa kelembutan dan belaian itu tidak selamanya benar. Dan, bukanlah seorang penulis sekiranya lahir daripada belaian dan usapan lembut seorang pembimbing.

Saya berikan analogi mudah berdasarkan sejarah - Shih Huang Ti yang memimpin Dinasti Chin [kurun ke - 3 S.M.] menggunakan kekerasan untuk menyatukan seluruh rakyatnya. Sehingga selepas kematiannya, rakyat China telah kembali kepada keadaan porak dan kucar. Saya bukanlah berharap agar calon penulis di bumi Mesir ini memiliki kekerasan dan kezaliman Shih Huang Ti, tetapi sifat sastera sebenar-benarnya adalah keras dan tajam. Sastera bukan untuk mengampu, sastera bukan untuk jiwang-jiwang, tetapi sastera ialah citra keadilan dan sastera adalah untuk memugar kesedaran masyarakat. Jika itu adalah sifat sastera, bayangkan pula apakah yang perlu ada dalam jiwa orang-orang sastera?

Nasihat saya kepada yang bercita-cita menjadi seorang penulis, jalan penulisan ini memerlukan usaha yang gigih dari kehendak diri. Bersikap mandirilah tanpa hanya mengharapkan suapan-suapan moderator. Kebanyakan penulis-penulis muda tanah air seperti Ghafirah Idris, Nimoiz T.Y, Fadhrazy [sekadar menyebut beberapa nama] bukanlah penulis yang lahir daripada bimbingan mana-mana kelab dan seminar penulisan sebelum mereka mengikuti MPR. Namun, dengan iltizam, kesungguhan, disiplin dan minat yang tinggi, mereka mampu menjadi seorang penulis muda yang menjanjikan kini.

Justeru, kepada calon-calon penulis Malaysia di Mesir yang masih takut-takut ataupun yang kembang kuncup, serta UPP yang masih bena tak bena dalam menghasilkan calon penulis, sedarilah bahawa jalan sastera dan penulisan kita di dada Mesir kini semakin rencam dan kian suram, akibat kealpaan dan sikap enteng kita sendiri.

Memo : Juga boleh dibaca di webportal epmram

Leave a comment

Tiga pusat peranginan Mesir diserang, 40 maut

TABA, Mesir - Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera dalam satu letupan kuat yang memusnahkan sebuah hotel peranginan popular pelancong Israel di Semenanjung Sinai, Mesir malam tadi.

Letupan yang berlaku sekitar 10.00 malam itu menggegarkan Hotel Hilton di pusat peranginan Taba, hanya beberapa meter dari sempadan Israel.

Ia dipercayai berpunca daripada bom yang dibawa di dalam sebuah trak.

Bilangan kematian dijangka meningkat dengan pegawai kanan tentera Israel, Yair Naveh menyatakan 38 lagi rakyat Israel hilang dan masih tertimbus di bawah runtuhan.
Pihak berkuasa Mesir melaporkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh termasuk enam warga Mesir.

Letupan di Taba itu disusuli dengan dua letupan lebih kecil sejurus sebelum tengah malam di pusat-pusat pelancongan lain di Sinai dan saksi melaporkan ketiga-tiganya berpunca daripada bom kereta.

Pegawai hospital Mesir berkata, empat orang terbunuh apabila dua letupan menggegarkan kawasan Ras Shitan, sebuah kawasan perkhemahan dekat bandar Nuweiba ke selatan Taba.

Dua pertubuhan berhaluan Islam yang tidak dikenali sebelum ini mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan-serangan itu.

Letupan kuat itu merobohkan sebuah blok 10 tingkat di Hotel Hilton yang dibina oleh Israel semasa rejim Yahudi menguasai Taba dari 1967 hingga 1989.

Pelancong Israel di hotel tersebut menggambarkan suasana kelam-kabut apabila letupan itu menyebabkan tingkat-tingkat atas hotel runtuh menimpa kawasan lobi.

Empat jam selepas letupan tentera Israel mengambil alih tempat kejadian, kata jurucakap tentera.

Bagaimanapun kelewatan berlaku dalam penghantaran askar Israel dan pasukan keselamatan ke seberang sempadan yang tegang itu.

Komander pasukan bantuan jabatan bomba Israel, Shimon Romach memberitahu Radio Israel, mayat mangsa boleh kelihatan di bawah runtuhan.

"Kami tidak yakin ada mangsa yang terselamat di bawah sana,'' katanya sambil menjelaskan beliau menantikan kebenaran pihak Mesir untuk membawa masuk jentera berat bagi mengalihkan runtuhan.

Letupan-letupan itu berlaku sebulan selepas kerajaan Israel memberi amaran kepada rakyatnya agar jangan melawat Mesir dengan menyebut ancaman keganasan yang jelas terhadap pelancong di negara itu.

Utusan Malaysia, 9 Oktober.

Nota hujung :

1] Berita melaporkan dua letupan menggegarkan kawasan Ras Shitan, sebuah kawasan perkhemahan dekat bandar Nuweiba ke selatan Taba. Kawasan ini adalah kawasan yang pernah aku lewati semasa berwisata dulu.

2] Mungkin Semenanjung Sinai akan diisytiharkan kawasan tidak selamat selepas ini.

Leave a comment

Apa aku akan buat bila jadi vokalis nasyid, tunggu giliran menyanyi, secara tiba-tiba diserang selsema dan suara pun jadi macam burung tekukur?

1] Tarik diri - sure kumpulan nasyid aku jadi kelam-kabut.

2] Ganti vokalis lain - masalah nak hafal lirik dan melodi pula.

3] Lari balik dan tidur - sungguh aku tak sanggup alias tak sampai hati.

4] Teruskan menyanyi - tanggung risiko tinggi - suara pecah.

Jadi?

Tawakal aje. Actually, program launching album nasyid Indonesia - Bestlight kelmarin berjaya. Kumpulan nasyid aku mewakili Malaysia dan sesungguhnya aku berjaya mengawal serangan bakteria dalam tekak aku. :D

ii.

Yang ni copy dari Utusan Malaysia, 7 Oktober melalui blog Ghafirah.

BICARA KARYA

BIRO Penulis Muda Persatuan Penulis Nasional [PENA] akan mengadakan Bicara Karya Eceran pada Sabtu ini, 9 Oktober 2004 bertempat di Rumah Pena.

Bicara karya tersebut akan bermula pada jam 10.30 pagi dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Bahagian Teori dan Kritikan, Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP], Mohd Daud Mohamad dan Mohammad Shahidan [DBP].

Diskusi kali ini akan membicarakan karya-karya penulis muda seperti Faisal Tehrani, Saharil Hasrin Sanin, Salman Sulaiman, Ghafirah Idris, Luqman Hakim, Muhd Lutfi Ishak, Amiza Khusyri Yusof dan Mohd Jimadie Shah.

Jamuan makan disediakan. Semua dijemput hadir. Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-21425824.

Leave a comment

Di Jordan aku menemukan bakat Said Jamaluddin yang berpotensi melangkah jauh dalam bidang kepenyairan. Beliau pernah memenangi Hadiah Sayembara Puisi Kota Lukut [tak tahu pula tahunnya] anjuran PEN. Pernah juga diinterviu di Radio 3 Seremban bersama Puan Mahaya Yassin. Tak salah aku semasa beliau di tingkatan 4. Aku pugar kembali semangatnya menulis agar dunia sastera tidak kehilangan dan hanya dironai wajah-wajah yang sama. Ini sajak lamanya yang sempat aku ambil sebagai tuhfah buat beliau juga buat sastera Melayu.

Mereka kata...

Mereka kata,
Semalam yang berlalu
Sebuah sejarah kehidupan
Tapi kenapa?
Semalam dan hari ini bukankah sama
Tetap.. malah tidak berubah
Namun realitinya
Manusia semakin berubah.

Mereka kata,
Hari ini pastinya realiti,
Jiwa dan jasad merentasi dimensi.. tika itu
Tapi benarkah begitu?
Kerana insan mengakui
Hari ini sebagai realiti
Dengan penuh sesalan
Seolah sebelumnya tidak pernah sedar
Pabila hari ini bertukar semalam.


Mereka kata,
Esok adalah impian
Gelanggang fantasi dan imaginasi
Tetapi mungkinkah?
Sebelum esok kunjung tiba
Maut bertandang di pintu kerongkong
Menyapa kasar dan alam tiba-tiba
Kelam.. gelita.


Maka,
Telah lenyaplah semalam.. hari ini
Apatah lagi esok
Sebagaimana kata-kata mereka juga
Kehidupan ini tidak abadi.

Leave a comment

Mencipta Kenangan

28 September - inilah tarikh kembara terakhir kami di bumi Jordan. Wisata kami berakhir di daerah Petra sekitar 140 km dari Mu'tah. Dengan cuaca menjangkau 37 darjah Celcius, kami terpaksa berjalan kaki sejauh 10 km melihat tinggalan kaum A'dd dan Tsamud menyusuri celah-celah batu yang dipahat kemas. Apa yang mengagumkan kami ialah teknologi ukiran dan pahatan batu-batu besar yang jika difikirkan akal waras agak mustahil dilakukan oleh orang-orang dahulu. Teknologi kaum inilah yang banyak diguna-pakai oleh Tamadun Rome dan Parsi seperti pembinaan Roman Theatre.

Di sana juga dapat dilihat sistem perparitan dan galian yang baik telah diperkenalkan oleh kaum ini. Kaum A'dd dan Tsamud merupakan kaum yang diazab Tuhan kerana mengingkari perintah-perintah-Nya. Allah mendatangkan kepulan-kepulan awan besar ke kawasan mereka dan melenyapkan mereka dari muka bumi. Namun, tinggalan-tinggalan tamadun mereka masih kekal sehingga pemerintah Rome menjumpai kawasan ini. Beberapa tahun selepasnya, kawasan tinggalan ini telah berjaya dijarah panglima Islam Salehuddin al-Ayyubi.

Kami berjalan dalam terik mentari menyusuri bukit-bukit batu tinggi yang ditembuk [tidak tahu menggunakan jentera apa] sehingga sampai ke sebuah ukiran batu yang dinamai Al-Khazna. Ia dibina pada kurun pertama Masihi seiring dengan kegemilangan Pharaoh's Treasury [kegemilangan tamadun Firaun seperti Piramid]. Binaan ini didakwa digunakan sebagai mahkamah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah. Mengagumkan, bagaimana kaum ini boleh mengukir cantik batu setinggi 200 meter itu?

Subhanallah!

Khazanah terakhir berada di puncak jabal Petra dan kami terpaksa menyusuri denai yang telah disediakan. Selama 45 minit mendaki dengan menjauhkan dahaga dan lapar akhirnya kami berjaya menggapai puncak melihat binaan Ad-Dayr yang tersergam indah. Binaan ukiran pada batu pejal ini juga dibina sekitar kurun pertama dipercayai untuk kegunaan upacara agama kaum A'dd dan Tsamud.

Kami berjalan pulang menuruni jabal Petra dan makan tengahari sebelum berangkat ke pelabuhan A'qabah. Wisata kami berakhir setelah menjejakkan kaki ke atas geladak kapal. Alhamdulillah, kami sampai di pelabuhan Nuweiba sekitar jam 3 pagi. Segala urusan dengan Arab Mesir kali ini Allah permudahkan. Kami menaiki bas dan sampai di Cairo jam 10.30 pagi 29 September 2004.

Salam dedikasi tidak terhingga kepada Said [YDP BKMNS Jordan] rakan sekursus dahulu, Salman [Presiden Permata] dan Muzakkir [Presiden MPPMJ]. Terima kasih buat Najib, si musyrif sehari, Adam dan Nawawi, adik-adik di Jordan yang faham dan banyak membantu, Aizat, adik Taman Pinggiran Golf yang cepat mesra [adik ni belajar di maahad Syria], Khan si musyrif ke Syria yang baik hati dan semua rakan-rakan yang baik budi. Percayalah, kenangan wisata ini tercipta dengan indah sekali.

Buat teman-teman pembaca AKO - Amiza kini di Cairo! :D

Leave a comment

Naratif di penghujung wisata

Naratif I

Panglima Khalid al-Walid memacu kuda jantannya berulang-alik di depan saf tentera Muslimin. Wajahnya garang dan tegas. Dia, ingin memastikan kemenangan berada di dalam genggaman Islam. Biar medan Mu'tah ini menjadi saksi!

Gerombolan tentera Muslimin tampak kobar dengan semangat menggunung. Takbir dilaungkan beberapa kali. Bergema, sayup dan jatuh ke hati. Jaafar b. Abi Talib tegar di saf hadapan menjulang panji Islam di medan Mu'tah itu. Peperangan akan bermula bila-bila masa.

Sayup di atas bukit di medan Mu'tah, ribuan tentera Rome bersedia dengan kelengkapan ketenteraan yang lengkap dan hebat.

Allahu Akbar!

Naratif II

Gerombolan tentera Islam bersiap sedia di Bukit Marj menanti arahan Salehuddin. Bukit Karak perlahan-lahan dibanjiri air yang disalurkan tentera Islam melalui tali air yang mengalir di bawah bukit itu. Tentera Salib yang menghuni qalaah [kubu] di atas bukit bercempera lari menyelamatkan diri dari tenggelam di dalam bah besar yang dirancang teliti oleh Salehuddin al-Ayubi.

Bah surut. Keadaan tentera Salib kucar.

Allahu Akbar!

Kalimah itu terlaung kobar. Salehuddin menjulang pedangnya yang berkilau kilat. Kuda jantannya meringkik kuat. Tentera Islam segera menyerang baki-baki tentera Salib yang masih tegar di atas bukit itu. Bukit Karak dijarah. Takbir dilaungkan beberapa kali. Bergema, sayup dan jatuh ke hati.

Nota hujung :

1] 27 September - wisata kami bermula jam 3.20 petang terus ke medan Mu'tah. Medan inilah tempat berlakunya perang Mu'tah; tentera Islam dipimpin oleh panglima Khalid al-Walid. Di medan itu juga terdapat makam tangan Jaafar b. Abi Talib; pemegang panji Islam semasa peperangan tersebut. Allah memberi kemenangan yang besar kepada tentera Islam di dalam peperangan ini.

2] Kami singgah di Masjid Jaafar at-Toyyar [Jaafar b. Abi Talib; dia mendapat gelaran at-Toyyar setelah Rasulullah bermimpi beliau bersayap terbang ke syurga] menziarahi makam Jaafar [terdapat tubuh dan kepalanya] dan makam Zaid b. Harithah [anak angkat Rasulullah] yang syahid di dalam peperangan Mu'tah. Kedua-dua sahabat ini merupakan pemegang panji Islam di dalam peperangan Mu'tah.

3] Kami seterusnya ke sebuah daerah bernama Al-Karak. Wisata kami bermula di Qalaah Salehuddin al-Ayyubi yang begitu besar sehingga terdapat penempatan masyarakat di dalam qalaah tersebut.

4] Kami sempat mampir di sebuah makam yang didakwa makam Nabi Nuh dan menyaksikan saujana pemandangan yang begitu cantik di puncak jabal itu.

5] Wisata kami hari ini berakhir di laut mati; kawasan terendah di dunia dengan ukuran persisir pantainya [Jordan] sepanjang 80 kilometer. Sebelum pulang ke Mu'tah, kami takjub menyaksikan keindahan matahari senja terbenam sehingga luput garis vertikalnya.

Subhanallah!

Leave a comment

Dari Lyra ke Dinar

Tragedi ini berlaku semasa aku meninggalkan kota Damsyik ke Amman hari ini [26 September]. Baca berita...

Pegawai Hamas dibunuh

DAMSYIK 26 Sept. - Seorang pegawai kanan pergerakan pejuang Palestin, Hamas terbunuh hari ini apabila sebutir bom meletup di dalam keretanya di Damsyik, Syria.

Izz El-Deen Al-Sheikh Khalil, 40, terbunuh apabila bahan letupan yang dipasang di bawah tempat duduk pemandu memusnahkan kereta SUV yang dipandunya di kawasan kediaman Az-Zahera di ibu kota Syria itu sejurus selepas 11.30 pagi [4.30 petang waktu Malaysia].

Seorang jurucakap Hamas di Gaza berkata, pembunuhan itu adalah jenayah yang dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad.

Pegawai Israel enggan mengulas mengenai pembabitan rejim Yahudi itu.

"Sesetengah orang menjalani kehidupan berbahaya,'' kata seorang pegawai Tel Aviv.

Bom berkenaan dipercayai disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan meletup sebaik sahaja Izz El-Deen menghidupkan enjin keretanya, kata saksi-saksi. Percikan darah kelihatan pada tempat duduk belakang. Letupan itu memecahkan cermin tingkap bangunan-bangunan tinggi di sekitar tempat kejadian dan merosakkan sebuah kereta berhampiran.

Sumber Palestin berkata, Izz El-Deen dipercayai bertanggungjawab terhadap sayap tentera Hamas di luar wilayah Palestin.

Wakil Hamas di Lebanon, Osama Hamdan bagaimanapun menyatakan, Izz El-Deen hanyalah seorang pegawai pergerakan itu dan bukan antara pemimpin kanannya.

Izz El-Deen telah diusir oleh Israel ke Lebanon 12 tahun lalu, katanya.

Pegawai keselamatan Israel sebelum ini memberi amaran, tentera rejim akan bertindak balas terhadap dua serangan bom di dalam bas yang meragut 16 nyawa di bandar Beersheba, selatan Israel pada 31 Ogos lalu dengan melancarkan semula kempen pembunuhan terhadap pemimpin Hamas di wilayah Palestin dan di luar negara.

Awal bulan ini, ketua tentera Israel, Moshe Yaalon berkata, Israel akan bertindak terhadap pihak yang menyokong keganasan termasuk mereka yang mengetuai pos-pos operasi keganasan di Damsyik.

[Utusan Malaysia, 27 September].

Leave a comment

Sayonara kota Damsyik

Semalam kami bersolat di Masjid Syeikh Ramadan al-Buti pengarang kitab popular Fiqh Sirah di daerah Rukn ad-Din, Damsyik. Sayangnya, bukan beliau yang memberi khutbah pada hari tersebut. Apapun aku bersyukur kerana berjaya juga tiba dan solat di masjid ulama terkenal ini. Di kawasan ini juga terdapat Universiti Abu Nur yang menjadi tempat kediaman ramai mahasiswa asing dari pelbagai negara.

Seusai solat kami berhenti berehat di sebuah restoran Arab Syria sebelum menziarahi makam Arba'in di Jabal Qasiyun; kawasan yang dipercayai berkumpulnya 40 orang wali dunia. Di sana juga terdapat 'batu menangis' yang menjadi saksi tragedi pembunuhan pertama di dunia - Qabil dan Habil. Pendakian ke puncak Qasiyun kali ini agak mencabar. Kami terpaksa mendaki Jabal Qasiyun dengan menaiki Tut tut [Tut tut adalah nama panggilan sebuah kenderaan awam - sebuah lori pick up]. Di sini, kita akan menyaksikan lori kecil ini menyusuri lorong-lorong kecil di celah-celah penempatan masyarakat Arab di lereng jabal. Tiba di sebuah kawasan, kami terpaksa berjalan kaki mendaki jabal sepanjang 5 km yang menyebabkan sendi-sendi begitu pegal dan letai [ini mengingatkan aku kepada ekspedisi mendaki Jabal Musa tahun lalu, meskipun jabal ini tidak setinggi dan secabar Jabal Musa].

Tiba di puncak, kami berehat dan meneguk air bagi menghilangkan rengsa. Semasa melihat makam tinggalan 40 wali itu, kami dipaparkan dengan gelagat 4 orang Arab yang berzikir penuh jelera menggunakan gendang [dipercayai ahli tarekat]. Kemudian barulah kami berkesempatan melawat 'batu menangis' yang diriwayatkan terkejut dan sedih setelah melihat tragedi Qabil dan Habil. Yang mengagumkan ialah memang terdapat 2 titisan air yang jatuh menitis pada batu tersebut. Kami tercari-cari juga di mana puncanya, tetapi tidak ketemu. Perkara inilah yang menjadi bukti kuat batu ini dikatakan menangis. Wisata kami tamat hari ini dan kembali semula ke Hajar Aswad sekitar jam 6.25 petang.

25 September - Kami berangkat ke Busra melalui daerah Dar'a, 141 km dari kota Damsyik. Kami berangkat ke sana sekitar jam 9.30 pagi dan tiba jam 12.05 tengahari dengan menaiki service [van sewa kecil yang merupakan kenderaan awam popular masyarakat Arab Syria; di Mesir dikenali sebagai Tramco]. Di sini terdapat sejarah ribuan abad yang lampau seperti Roman Theatre yang terbina sejak awal kurun ke-3 yang memberi faedah besar terhadap pemerintahan Islam selepasnya. Binaan ini biasa menjadi sebuah kubu pertahanan yang kuat dari serangan musuh. Pembinaan Roman Theatre ini diperbaharui di akhir kurun ke 5 dan 11 semasa Syria diperintah oleh Seljuks dari kerajaan Islam Fatimiah. Di sini, kami menyaksikan seni bina yang cukup antik dan cantik.

Kami meneruskan kembara dengan berjalan kaki beberapa kilometer dari situ sehingga bertemu sebuah gereja lama [didakwa gereja tertua di daerah Busra] yang dibina pada kurun ke-4 tempat kediaman rahib Buhaira. Di sinilah Rasulullah S.A.W. bertemu dengan rahib Buhaira, ketika mengikuti bapa saudara Abi Talib dengan sebuah rombongan perdagangan mampir di Syam. Mereka bertemu dengan Buhaira dan beliau mengarahkan agar Abi Talib membawa pulang semula Rasulullah bagi mengelakkan baginda dibunuh Yahudi Laknatullah. Beberapa meter dari kawasan itu juga terdapat tinggalan tapak kaki unta Rasulullah ketika singgah di Syam di dalam sebuah masjid yang bernama Mabrak an-Naqa. Hasrat untuk menziarahi makam Imam Nawawi di daerah Nawa tidak tercapai apabila kami kesuntukan waktu dengan perut berkeroncong.

Kami kembali ke Damsyik, makan ayam panggang di sebuah restoran sebelum menyusuri Pasar Hamidi untuk solat Jamak dan Qasar di Masjid Umawi. Kami mengambil kesempatan ke Masjid Ruqayah [anak perempuan Saidina Ali] yang begitu cantik dengan batu-batu kristal bergemerlapan [dipercayai dibiayai oleh kerajaan Iran untuk puak Syiah]. Kami kemudian bergambar dengan seorang anak Arab yang comel sebelum melihat-lihat barangan di Pasar Hamidi buat kali terakhir. Kami seterusnya berjalan kaki ke arah sebuah terusan di tengah-tengah kota; menyaksikan Sungai Barada yang mengalir lesu membelah keheningan malam kota Damsyik.

Di hati kini - Selamat tinggal kota Damsyik!

Memo : Esok kami akan kembali semula ke Jordan di susur-susur terakhir wisata kami.

1 Comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.