Kesihatan terganggu sedikit 2 3 hari ni. Semalam berlakunya 2 peristiwa besar dalam Islam - Badar Kubra dan Nuzul Quran. Untuk entri hari ni, aku copy sebuah cerpen pilihan yang baru sahaja aku khatami sebentar tadi. Mari-mari baca cerpen!
Hikayat pulau dan lelaki
Oleh SM. Zakir
Setiap pulau mempunyai legendanya yang tersendiri. Tetapi pulau ini tidak. Pulau ini tidak mempunyai apa-apa legenda. Ia cuma sebuah pulau dengan pasirnya yang putih, pantainya yang cantik dan laut dengan karang-karang yang indah. Gambaran biasa tentang sebuah pulau. Semua pulau begitu.
Namanya pula ialah Shariar. Bapanya memberi namanya sama seperti nama raja di dalam Hikayat Seribu Satu Malam. Seorang raja kerana kecewa dengan kecurangan wanita terhadap lelaki mencipta rutin mengahwini seorang gadis pada sebelah malam dan membunuhnya pada sebelah pagi sebelum wanita itu sempat berbuat curang. Bapanya seorang lelaki yang dikecewakan wanita. Dia tidak pernah mengenal ibunya. Dia anak lelaki tunggal yang dibawa bapanya berhijrah di pulau ini ketika masih kecil.
Kata orang yang didengarnya, ibunya lari meninggalkan mereka kerana kemiskinan bapanya. Bapanya seorang nelayan. Memang miskin. Tetapi bapanya mahir bergurindam dan menghafal banyak cerita. Saban malam ketika mereka berdua dimamah sunyi dan rindu, bapanya akan bergurindam dan bercerita. Dia akan ralit diulit cerita dan suara bapanya yang merdu. Kemudian dia tertidur. Tetapi banyak ketika, dia terbangun, dia melihat bapanya teresak di tangga rumah sendirian. Kadang-kadang dia bangun, memeluk tubuh kurus bapanya. Ketika itu bapa akan memeluknya erat. Cahaya bulan yang menyuluh muka bapanya akan menjadikan titik-titik air mata bapanya emas-emas yang berkilauan.
Kini bapanya sudah tidak ada. Pusaranya ada tercacak di atas bukit berhampiran rumahnya. Sehingga ke akhir hayat bapanya, dia tidak sempat untuk bertanya tentang ibunya. Dia tidak mampu mengeluarkan kata untuk bertanya kerana tidak mahu mengusik hati bapanya yang baik dan penyedih itu. Maka ketika bapanya meninggal dunia, dia membuat sebuah lagi pusara bersebelahan pusara bapanya. Itu pusara kosong ibunya yang tidak pernah dia kenal.
Pulau yang sunyi ini setelah lama kemudian dibangunkan sebagai pusat pelancongan. Kemudian ia berkembang lagi. Menjadi pusat kewangan luar pesisir. Dia tidak mewarisi kerja bapanya sebagai seorang nelayan sebaliknya menjadi seorang eksekutif kewangan. Ceritanya, dia disekolahkan dengan susah payah bapanya menangkap ikan. Akhirnya dia berjaya dalam pelajaran dan menamatkan dunia mahasiswanya di sebuah universiti terkemuka.
Dia bekerja di beberapa buah institusi kewangan di ibu kota sebelum pulang ke pulau ini semula memegang jawatan di sebuah institusi kewangan di pulau ini. Sayangnya bapanya tidak lama merasa saraannya. Dua tahun dia bekerja, bapanya jatuh sakit dan meninggal dunia. Namun dia puas, sekurang-kurangnya dia melihat cahaya bahagia di dalam mata bapanya yang kabur berkaca - melihat kejayaannya - walau jauh di dalam hati bapanya, dia tahu, adalah kesengsaraan yang tidak pernah luput.
Entah kerana sumpahan apa, dia seperti menyambung takdir bapanya. Dia tidak pernah berjaya di dalam hubungan cinta. Di sekolah, di universiti, di tempat kerjanya - semua hubungan cinta yang terjalin berakhir dengan kegagalan. Maka hari ini, jika ada orang bertanya kepadanya tentang apa itu kekasih. Dia akan menjawab, kekasih adalah orang yang datang memberikan kita kekecewaan. Mungkin orang yang mendengarnya akan ketawa berdekah-dekah - menganggapnya manusia melankolia atau lelaki traumatik yang malang. Tetapi anehnya dia tidak pernah menganggap dirinya manusia malang. Kerana baginya dunia sememangnya tidak pernah ada kebahagiaan.
Pertama kali dia mengenal perasaan cinta ketika tubuhnya menggeletar apabila cinta bersambut. Kedua kali dia mengenal cinta ketika tubuhnya menggeletar apabila cemburunya membuta. Ketiga kali dia mengenal cinta ketika tubuhnya menggeletar apabila dia ditinggalkan seperti sampah yang dicampak ke longkang.
Dia sebenarnya adalah manusia yang bingung tentang cinta. Dia pernah tidak dapat tidur beberapa lama kerana kecewa dengan cinta. Berjalan menyusur pantai hingga ke pagi. Dia bingung memikirkan bagaimana dia boleh hidup tanpa tidur begitu lama. Bahaya kesengsaraan cinta itu tentu boleh membunuh seorang manusia. Setelah itu dia mengambil keputusan untuk terus melupakan tentang wanita dan cinta.
Maka itu, apabila melihat pulaunya menjadi pusat kewangan luar pesisir, dia segera memohon kerja di situ. Dia ingin kembali ke pulaunya. Bersendirian seperti bapanya. Sesekali dia boleh turun menangkap ikan mencium angin malam di laut lepas. Sesekali dia boleh bergurindam di tangga rumah tempat bapanya bergurindam sambil melihat bulan yang menukarkan airmata menjadi emas. Dan sesekali dia juga boleh memanjat bukit melihat laut di bawah pusara bapanya menghempas pantai seperti derita yang menghempas hati bapanya.
Tetapi dia tidak boleh melakukan satu perkara yang selalu dilakukan oleh bapanya. Memeluk anaknya ketika bulan menukarkan air matanya menjadi emas.
Suatu hari, seorang gadis hadir di dalam hidupnya. Gadis ini amat rupawan sekali. Namun apa yang menjadi perhatian tentang gadis ini ialah dia adalah anak kepada seorang pejuang yang hebat menentang ketidakadilan kekuasaan yang menguasai mereka selama ini. Bapanya, pejuang itu sekarang sedang meringkuk di dalam penjara bersama pendukung-pendukung gerakan penentangan itu. Dan segala gerakan yang diketuai oleh bapanya si pejuang itu sekarang sedang dibersihkan habis-habisan oleh pihak berkuasa. Tentunya gadis itu sangat menjadi perhatian - bukan sahaja kepada orang yang bersimpati tetapi juga orang-orang yang berkuasa itu.
Pertemuannya dengan gadis itu entah bagaimana boleh melekatkan hati kedua-dua mereka berlaku secara kebetulan sahaja. Gadis itu secara senyap-senyap dimasukkan bekerja di institusi kewangan tempatnya bekerja, oleh rakan bapanya si pejuang itu yang bersimpati barangkalinya. Kebetulan di unit yang sama dengannya. Melihat gadis yang sebatang kara, sedih dan ada kalanya kelihatan ketakutan membuatkan hatinya perlahan-lahan rasa bersimpati. Gadis yang bingung dan memerlukan sesuatu untuk memaut semangatnya segera menjadi amat intim dengannya.
Menggantungkan segala ketakutan dan kesedihan di belakang seorang lelaki yang dipercayainya. Pada mulanya dia cuba menjauhi kerana baginya tidak ada sebab untuknya menyusahkan diri menambahkan senarai orang yang akan dicurigai oleh orang-orang yang berkuasa itu. Lagipun apa perlunya menderita kerana wanita lagi. Namun hati manusianya tidak dapat menolak kedatangan seorang gadis yang memerlukan bahu seorang lelaki untuk melindungi kebingungan dan ketakutannya. Walaupun dia merasakan dia membuat keputusan yang paling dungu tetapi entah kuasa apa sebaliknya memberi keberanian yang paling bodoh untuknya mempertahankan keputusan itu.
Maka berlangsunglah kisahnya yang dramatik itu. Gadis itu entah kebetulan apa pula bernama Sharazad, puteri yang menangguhkan kebiasaan Raja Shahriar membunuh setiap isterinya selepas pagi menjelang dalam Hikayat Seribu Satu Malam yang masyhur itu. Namanya Shariar dan nama gadis malang itu pula Sharazad. Tentunya dia bukan raja yang akan memancung setiap orang isterinya - walau ada kalanya dia ingin mempunyai keinginan itu - tetapi Sharazad sebenarnya adalah puteri yang bijaksana itu. Setiap ketika terluang mereka menyusuri pantai sambil Sharazad akan bercerita kepadanya.
Kata Sharazad; kesaksamaan dan keadilan untuk manusia tidak akan wujud jika sebahagian manusia terus bekerja mencurinya untuk mereka. Dia melihat ombak laut bergulung di celah kegawung senja yang semakin larut.
Kata Sharazad; dunia sekarang menjadi abdi kepada sistem yang dicipta oleh dan untuk segelintir manusia menjadi tuan yang maha agung. Sistem ini memberi sejenis nilai yang diwakilkan kepada sehelai kertas. Nilai ini kemudiannya menjadi pusat kepada segala kegiatan ekonomi manusia. Anehnya nilai ini kemudian mempunyai kuasa syaitan yang berkembang untuk mengikat manusia di dalam lingkaran apinya yang ganas sehingga semua manusia tenggelam di dalamnya. Dia melihat pasir-pasir putih menjadi kapas yang melayang ke langit.
Kata Sharazad; golongan pemodal kini bukan lagi menjadi raja tetapi menjadi dewa-dewa Olympus yang menentukan bagaimana dunia ini harus diterbalikkan. Mereka mencipta perang, kebencian antara umat manusia, kehuruharaan, kebuluran dan kemiskinan yang semua ini akan menentukan mereka dapat hidup terus sebagai dewa-dewa yang mencatur kehidupan manusia di bumi. Dia melihat camar-camar laut bertukar menjadi malaikat-malaikat yang melemparkan batu-batu api ke atas manusia-manusia yang ingin menjadi dewa.
Kata Sharazad; sistem terkutuk ini menjadi sempurna apabila setiap daerah dunia mula memaksikan pegangan bahawa Tuhan dan kehidupan manusia adalah dua perkara yang berbeza. Kehidupan manusia adalah unsur di dalam sistem dan Tuhan adalah unsur di luar sistem. Sistem pula adalah pusat evolusi dan revolusi kehidupan manusia. Tuhan pula tidak ada kena-mengena dengan apa yang terdapat di dalam sistem itu. Ia cuma sebuah konsep di dalam kepala manusia. Dia melihat langit putih yang berwajah mulus itu membesar dan bertukar menjadi hitam.
Kata Sharazad; orang-orang yang berkuasa di seluruh dunia hari ini adalah manusia-manusia yang percaya bahawa sistem yang terkutuk itu adalah agama dan nilai dagang itu adalah Tuhan. Kerana itu mereka mencipta diri mereka menjadi Firaun-Firaun baru yang mahu diberhalakan oleh rakyat. Pembohongan dan penipuan diprojeksikan secara besar-besar melalui media bagi mewujudkan imej palsu yang menjadi senjata sakti mencapai kekuasaan dan pengaruh ke atas manusia. Dia melihat buih-buih ombak menggelembung dan pecah melahirkan wajah-wajah pelangi yang tidak tercapai.
Kata Sharazad; orang-orang berkuasa kini menjadi raja dan rakyat menjadi abdi. Pedagang memeras rakyat dan bahagian dagang tertentu diperuntukkan kepada orang-orang berkuasa untuk menjamin kekayaan mereka; orang berkuasa dan pedagang. Rakyat adalah padang ternak yang diabdikan untuk memperoleh hasil sebanyak-banyaknya. Dunia kembali kepada zaman feudal yang mencipta raja sebagai bayangan Tuhan dan pedagang-pedagang adalah bayangan syaitan yang memakai wajah malaikat. Dia melihat bayang awan yang berpusar di laut mengeluarkan taring dan mencengkam urat-urat laut sehingga ombak menjadi mati.
Kata Sharazad; sistem kuasa majoriti melalui pengundian dan perwakilan rakyat mewujudkan banyak penipuan dan ketidakadilan apabila hak minoriti dinafikan dari segala segi. Yang menang akan mengambil semuanya termasuk menindas dan menutup runag kepada yang kalah. Yang kalah bukan sahaja menjadi warga kelas dua bahkan ada kalanya diwajahkan seiras penjenayah. Yang menang akan menjadi orang-orang berkuasa yang mencipta imej-imej palsu untuk ditayangkan kepada rakyat. Dan dunia akan berlangsung seperti biasa; satu golongan penternak yang akan menghirup segala hasil dan satu golongan abdi yang diternak untuk diperas segala hasil. Dia melihat lembah pulau yang jauh bergelung oleh rumput hijau berkilauan menjadi kering dan gersang.
Dia mula menyedari mengapa dunia sememangnya tidak pernah ada kebahagiaan. Kerana seperti kata pujangga yang disebut Sharazad, "Apa-apa yang menjadi milik Tuhan tidak malu-malu kau kangkangi menjadi milikmu.'' Dia juga menyedari bahawa dia hanya abdi di padang ternak - menjadi sumber keluaran yang menjana keuntungan kepada pemodal dan penguasa. Di sini. Pusat kewangan luar pesisir yang dicipta untuk menggerakkan modal tanpa batas sempadan. Di sini jugalah kuasa dan wang dilahirkan menjadi syaitan yang menerakai bumi.
Semakin hari mereka semakin mesra. Ada kekaguman yang tumbuh di hatinya terhadap gadis rupawan yang berjiwa pejuang ini. Juga ada rasa percaya yang tinggi oleh gadis rupawan itu terhadap dirinya. Kekaguman dan rasa percaya ini telah menumbuhkan rasa cinta yang dalam. Rasa cinta yang menyatu mereka berdua untuk hidup dalam dunia keberanian para pejuang. Tidak lama kemudian dia dan Sharizad melaksanakan akad nikah dan berlangsunglah ikatan sah mereka sebagai suami isteri.
Namun hidupnya mula diganggu ketidakselesaan. Ada tangan-tangan hitam yang tersembunyi berusaha menekan hidup mereka. Tetapi Sharazad adalah puteri yang tabah. Setitik air matanya pun tidak pernah mengalir oleh kepayahan ini. Dan dia, lelaki yang tidak mempunyai apa-apa di dunia ini lantas terus hidup tanpa peduli kepada sejuta tangan yang menerobos kebahagiaan cinta mereka. Kebahagiaan Sharazad hanya kepada Shariar dan kebahagiaan Shariar hanya kepada Sharazad. Kebahagiaan dalam payah ini akhirnya melahirkan cahaya mata yang cukup menyerikan hidup mereka. Seorang bayi lelaki yang comel dengan kedua-dua belah matanya tajam menembus jantung langit. Ini mata pejuang!
"Anak kita harus dibesarkan untuk menjadi pejuang.'' Itu kata Sharazad dengan kilau matanya terpacak lekat ke jantung hatinya.
Suatu hari yang malang, bot yang dinaiki Sharazad karam di laut ketika isterinya itu pergi ke tanah besar kerana dipanggil untuk suatu hal yang mustahak. Semua penumpang tenggelam lenyap ke dasar laut termasuk isteri kesayangannya. Laut ketika itu memang bergelombang besar. Langit selalu hitam dan hujan sentiasa bergelora. Berhari-hari dia dan pasukan penyelamat menggeledah perut laut namun tiada apa-apa yang ditemui.
Setelah pulih dari derita sedihnya yang dalam, dia datang termangu di bibir laut mengenangkan isterinya yang hilang tanpa kesan itu. Seperti berita yang tersebar, dia juga percaya kemalangan itu adalah rancangan orang-orang yang berkuasa. Sehingga hari ini dia tidak tahu sama ada isterinya masih hidup atau telah mati. Ada juga berita yang tersebar, isterinya lari menyembunyikan diri. Ada juga cerita yang mengatakan isterinya lari bersama kekasih lamanya ke luar negara. Setiap hari ada cerita-cerita terbaru yang tidak merubah apa-apa keadaan untuk menjadi baik. Dia hanya mendengar dan lama-kelamaan telinganya menjadi kebas dan tebal.
Maka itu dia kembali mengulang pekerjaan bapanya yang baik dan penyedih dahulu. Ketika malam menjelang selepas usai mengaji Quran, dia akan duduk di muka pintu di bawah cahaya bulan yang indah, bergurindam menghibur anak lelakinya. Seperti bapanya sesekali dia akan turun ke laut membawa anak lelakinya mengenal urat-urat ombak dan suara ikan. Seperti bapanya setiap malam bulan purnama benderang dia akan duduk teresak di muka pintu. Dia hidup bersendirian kembali seperti dulu.
Dia tidak tahu sumpahan apa yang mendampratnya hingga dia tidak pernah bahagia dengan cinta. Sehingga hari ini dia masih keliru dengan cinta. Maka itu dia masih mengatakan, kekasih adalah orang yang datang memberikan kita kekecewaan. Seperti bapanya, dia menghadapi derita yang dalam.
Dia kini bersendirian seperti bapanya. Sesekali dia turun menangkap ikan mencium angin malam di laut lepas. Sesekali dia bergurindam di tangga rumah tempat bapanya bergurindam sambil melihat bulan menukarkan air matanya menjadi emas. Dan sesekali dia memanjat bukit melihat laut di bawah pusara bapanya menghempas pantai seperti derita yang menghempas hatinya.
Tetapi dia kini boleh melakukan satu perkara yang tidak boleh dilakukannya dahulu. Memeluk anaknya ketika bulan menukarkan air matanya menjadi emas. Anaknya membesar dengan mata yang tajam menikam jantung langit. Dia tidak mewarisi kerja bapanya menjadi nelayan dan anaknya pun tidak akan mewarisi hidupnya menjadi abdi di padang ternak. Seperti ibunya, Puteri Sharazad anak pejuang itu, anaknya harus besar menjadi pejuang yang harus hidup di bawah nama Tuhan.
Maka dia sering mengajarkan kepada anaknya, kesaksamaan dan keadilan untuk manusia tidak akan wujud jika sebahagian manusia terus bekerja mencurinya untuk mereka. Anaknya mendengar dan dia akan bergurindam menyampaikan cerita-cerita isterinya dahulu. Cerita-cerita itu membuat mata anaknya jadi bersinar sehingga ada kalanya bulan menjadi seperti terpadam.
Dan pada malam-malam tertentu, ketika dia sendirian teresak di tangga rumah anaknya perlahan-lahan terbangun, memeluk tubuh kurusnya. Dia membalas dan memeluk anaknya erat. Wajah isterinya muncul di mata. Cahaya bulan yang menyuluh mukanya menjadikan titik-titik air matanya emas-emas yang berkilauan.
"Kau akan besar menjadi lelaki pejuang.''
Dan dia menyatakan kepada anaknya lagi, "Jika dewasa, apabila hatimu harus membuka pintu untuk seorang kekasih, percayalah bahawa kekasih ialah orang yang datang memberikan kita jiwa untuk berjuang.''
Sejak hari itu dia mula mengajarkan kepada anaknya dan juga semua anak-anak di pulau itu untuk besar menjadi singa dan bukan lagi domba di padang ternak.
Pulau yang tidak mempunyai legenda itu kini mempunyai legendanya. Legendanya ialah seorang lelaki yang ingin membunuh semua cintanya sehingga dia menyedari bahawa cinta tidak pernah dapat dibunuh.
Seperti hikayat lama itu, dia tidak lagi membunuh cintanya.
Mingguan Malaysia, 31 Oktober 2004.
Search
Amiza Khusyri bin Yusof
Pendidik, Penulis dan Perunding Motivasi
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN)
AJK, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Perunding Motivasi, Zikra Inspire Learning & Consulting (ZILC)
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN)
AJK, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Perunding Motivasi, Zikra Inspire Learning & Consulting (ZILC)
Calon Sarjana Usuluddin (Dakwah & Pembangunan Insan), Universiti Malaya, Kuala Lumpur
*Sebarang pengambilan mana-mana esei di dalam blog ini hendaklah mendapat keizinan penulis atau diberi kredit atas nama penulis (Amiza Khusyri Yusof) atau blog penulis (Amiza Khusyri : Menulis itu Memberi)
*Sebarang pengambilan mana-mana esei di dalam blog ini hendaklah mendapat keizinan penulis atau diberi kredit atas nama penulis (Amiza Khusyri Yusof) atau blog penulis (Amiza Khusyri : Menulis itu Memberi)
Facebook Badge
Kumpulan Cerpen
Antologi Cerpen
Catatan Popular
-
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak diperguna...
-
Kredit foto: Relaksminda Dahulu, bagi kami, orang-orang yang bekerja menjaga api dan air itulah merupakan hero kami. Jika air tiada be...
-
Dunia yang seperti pelangi, sementara mengindahkan, dan akan pergi. Aku mendoakan kalian dengan kebaikan dan keelokan dalam segala tingkah d...
-
"Kita bermasalah!" "Betul, kita bermasalah." "Ya, memang kita ada masalah." Berapa ramai dalam kalangan manusi...
-
Apa sahaja yang kita lakukan setiap hari, rupa-rupanya terangkum dalam satu ungkapan wasiat Nabi s.a.w bernama - istiqamah. Istiqamah itu ad...
Followers
Networked Blogs
Blog List
-
-
Nigerian workers strike over cost of living crisisSetahun yang lalu
-
SWAB PCR COVID-194 tahun yang lalu
-
-
-
Blog Archive
-
▼
2004
(47)
-
▼
November
(10)
- Sandarkan pada kenangan Ku Seman Ku Hussain [edit...
- Saya kini di Petaling Jaya. Esok akan ke Sudut Pen...
- Aidilfitri : Makan kuih atau ziarah-menziarahi? S...
- Kita dan mereka di Aidilfitri *Palestin Palestin...
- Ehwal Islam : 1] 1,000 terbunuh di Fallujah -- Te...
- Di Seremban Flight 777 11 November lalu memang pe...
- Semasa dah dekat nak raya... Semasa dah dekat nak...
- Persidangan Pepijat II Suatu hari dalam sebuah ke...
- Persidangan Pepijat Suatu hari, ketua pepijat di ...
- Kesihatan terganggu sedikit 2 3 hari ni. Semalam b...
-
▼
November
(10)
Catat Ulasan