OP yang saya kenali
Semalam genaplah setahun pemergian Sasterawan Negara Othman Puteh [OP] ke Rahmatullah. Saya tidak pernah mengenali beliau secara langsung. Sekadar mendengar namanya yang acap kali disebut guru Bahasa Melayu di sekolah menengah, di samping menatap tulisan-tulisannya di dada-dada media terutama majalah Dewan Siswa. Malah, buku Landasan Kreatif Penulisan Cerpen tulisannya menjadi inspirasi dalam pembangunan karya saya dan digunakan sebagai panduan penulisan kertas kerja saya untuk seminar penulisan seputar Mesir.
Allahyarham Sasterawan Negara Othman Puteh pulang ke Rahmatullah pada hari Ahad, 19 Oktober 2003 di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah, selepas diserang sakit jantung ketika menghadiri program baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmunah di Kota Kinabalu.
Allahyarham Dr. Othman Puteh meninggalkan seorang balu, Timah Baba, 55 dan lima orang anak, Hizairi, 33, Haizulsham, 31, Mohd Hafiz 28, Sadhila, 26 serta Marini, 24.
Beliau yang banyak memberi sumbangan dalam dunia sastera tanah air khususnya dalam bidang penulisan cerpen kanak-kanak dan remaja merupakan tokoh yang terbabit dalam mengendalikan bengkel Minggu Penulis Remaja [MPR] anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP] sejak beliau masih lagi berkhidmat di UKM.
Novel sulung Allahyarham berjudul Rahsia Hutan Dara diterbitkan pada 1974 dan sehingga kini sudah menghasilkan 30 novel kanak-kanak dan remaja di samping mempunyai antologi cerpen termasuk Matra, Tasik dan Laut. Allahyarham juga sering dipilih sebagai panel penilai sayembara anjuran pelbagai institusi termasuk peraduan menulis Novel Sejarah [1980] dan Novel Fiksyen Sains [1981].
Antara peserta bengkel MPR di bawah asuhan Allahyarham yang berjaya mencipta nama dalam dunia sastera tanah air ialah Uthaya Sankar SB yang terus mencatat kecemerlangan dalam berkarya sehingga kini. Malah, beliau merupakan seorang sasterawan yang akrab dengan penulis-penulis muda dan sering menyatakan kegusaran dan kegelisahan beliau terhadap perkembangan sastera tanah air. Keprihatian Allahyarham OP terhadap perkembangan pengkaryaan penulis muda sama ada yang dalam asuhannya ataupun tidak, begitu mempesonakan.
Artikel Editor Dewan Sastera dalam Mingguan Malaysia Oktober 2003 ini telah membuktikannya - antara penyair muda yang dihormati bakatnya ialah Zaen Kasturi. Penulis pelbagai kaum yang disenangi bakat dan kesantunannya ialah Seroja Theavy. Ketokohan, keberanian dan pandangan jauh Samsiah Mohd. Noor bertindak menerbit sendiri novelnya sehingga berjaya diulang cetak lebih daripada sepuluh kali membuatkan Allahyarham kagum - katanya kalau dia masih muda dia juga akan berbuat demikian untuk sastera zaman kini. Mohd. Saleeh Rahamad sebagai pengkaji muda sastera yang tekun dan serius dalam profesionnya - di bahunya diletakkan harapan untuk menilai kedudukan sastera tanah air. Siti Jasmina Ibrahim yang menubuhkan syarikat sendiri bersama temantemannya membuka matanya bahawa sastera akan mampu hidup sampai bila-bila jika ada ramai lagi orang seni seperti mereka. Zainal Rashid Ahmad dan S.M. Zakir cerpenis muda yang berbakat besar buatnya. Begitu juga, tentang kehebatan Faisal Tehrani dengan novel 1515, kebisuan Mawar Shafei dalam penghasilan karya dan banyak lagi harapan dan pandangan beliau.
Prinsip beliau dalam sastera menyedarkan saya - bahawa Allahyarham seorang yang memiliki iltizam dan kekuatan jiwa yang tinggi :
"Hidup ini memang takkan lari daripada masalah. Kalau tak ada masalah, bukan namanya kehidupan. Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya."
Apa lagi yang boleh saya ceritakan? Melainkan melahirkan rasa dukacita saya terhadap pemergian Allahyarham buat selama-lamanya. Nukilan ini sebagai penghargaan dan apresiasi diri terhadap jasa dan budi Allahyarham, yang tidak ternilai!
Al-Fatihah!
Catat Ulasan