Berkombat dengan novel sastera
Usai mengkhatami I511H [Kombat]. Ya, novel ini memang merupakan teks kreatif sastera Islam yang hebat. Faisal nampaknya mahu melebarkan sayap penanya ke segenap mandala - historikal, futuristik, oksidentalisme, keagamaan dll. Kini, saya sedang melumati novel Mencari Locus Standi. Saya tidak mahu menghadiri program 12hb [iklan program boleh dilihat di sisi kanan laman Nisah Hj. Haron] nanti dengan mata terkejip-kejip tanpa mengetahui apa yang sedang dibincangkan.
Serasa tidak perlulah diperkenalkan lagi Nisah Haron di dalam jagat sastera Melayu. Penulis kelahiran Negeri Sembilan yang terkenal dengan cerpen 'Annyss Sophilea' ini tampil pula dalam genre novel melalui Mencari Locus Standi.
Meneliti konvensional dan gagasan idealisme yang diketengahkan, novel ini amat sesuai untuk pembacaan remaja. Tulisannya kali ini begitu berbeza dengan cerpen-cerpennya yang pernah saya baca seperti Persidangan Agung Wanita Klasik, Rindu seorang rafik dll. Saya yakin, novel ini ditulis dengan waspada dan tertib supaya 'mesra remaja'.
WBP, unsur feminisme begitu ketara dalam novel ini. Saya kira Nisah Haron wajar meneliti semula keseimbangan idea dan kewarasan bicara watak E-Jay dan Azhan terutama kala menyatakan pendapat. Pendapat E-Jay seperti selalu sahaja waras mengatasi Azhan dan rakan-rakannya yang lain. Mungkin ini ciri-ciri ketegasan yang ingin diketengahkan penulis tetapi kesaksamaan harus juga diberikan kepada Azhan dan rakan-rakannya yang lain, agar Eliza tidak hanya kelihatan menyata dan memberi tetapi juga bisa mendengar dan menerima - reseptif.
Ini mungkin hasil penelitian saya melalui pembacaan yang belum usai. Saya perlu meneliti sebelum bisa meneliti manuskrip novel terbaru saya pula nanti.
Amiza kini sedang berkombat dengan novel-novel sastera. :D
Catat Ulasan