Archive for April 2010

Menulis itu percaya

Oleh Amiza Khusyri Yusof
[dalam versi tanpa suntingan]

Saya rasa, perkara pertama yang paling penting perlu ada dalam diri seorang penulis ialah percaya. Percaya dengan kebolehan diri untuk menulis, seterusnya akan membentuk keyakinan untuk memulakan langkah. Setelah bertahun-tahun menulis ini, saya masih meletakkan percaya dalam hati, dan itulah resepi untuk membentuk penulis yang menjadi.

Inilah juga resepi kejayaan Rasulullah dalam membimbing para sahabat baginda SAW, kerana iman itu adalah percaya. Hakikat kepercayaan itulah yang sentiasa memotivasikan para sahabat untuk mencintai syahid dan tidak takutkan mati demi menjulang agama Allah tanpa mengenal erti putus asa. Hakikat percaya inilah yang telah memberikan kejayaan kepada Salahuddin Al-Ayyubi menawan semula Baitul Maqdis, Muhammad Al-Fateh membebaskan kota Konstantinopel dari cengkaman kerajaan Kristian Bizantin, melalui sejarah perjuangan Islam yang hebat.

Perjalanan saya menulis bermula sejak menuntut dalam bidang Usuluddin di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) lagi. Pada masa itu, saya masih terpengaruh dengan unsur cinta remaja yang tiada sudahnya. Saya masih ingat, pada zaman yang saya fikir masih ‘syok sendiri’ itu, rupa-rupanya, ada rakan-rakan mengikuti cerpen-cerpen saya yang disiarkan dalam sebuah buletin persatuan. Pada masa inilah rasa percaya dengan keupayaan dan kebolehan diri untuk menulis sudah mula membentuk sedikit demi sedikit. Saya meneruskan penulisan semasa melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Tafsir Al-Quran. Pada 23 November 2003, cerpen pertama saya, Sebuah Tuhfah di ambang Syawal telah terbit di akhbar Berita Minggu, maka bermulalah penulisan saya secara serius.

Allah telah menyatakan dalam al-Quran bahawa manusia diamanahkan sebagai khalifah di atas muka bumi (rujuk al-Baqarah : 30). Begitu juga dinyatakan dalam Al-Quran bahawa ilmu itu menjadi pemikul amanah sebagai seorang khalifah itu (rujuk al-Baqarah : 33). Antara ciri khalifah ialah memiliki ilmu dan kemahiran, yang bukan hanya untuk diri sendiri, tapi juga untuk dimanfaatkan dan dikongsikan dengan orang lain. Bukan itu sahaja, bahkan Allah telah menyatakan bahawa umat Muhammad SAW adalah umat terbaik, yang diberikan tugas mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar (rujuk Ali Imran : 110). Tentunya sifat sastera itu sendiri adalah memberi ilmu dan membangunkan pemikiran khalayaknya, maka sangat signifikan dengan makna khalifah itu. Atas tuntutan amanah sebagai seorang khalifah dan umat terbaik ini, telah mendorong nurani saya untuk iltizam menulis. Apakah uslub qasasi (kaedah naratif) dalam al-Quran belum cukup menjadi contoh dan dorongan untuk saya menulis? (rujuk Hud : 120 dan al-A’raff : 176). Saya percaya, dorongan ini bukanlah dorongan yang sekadar rongrong picisan, tapi dorongan yang bersifat Rabbani, pada zaman kebenaran yang dipijak-pijak, dan kezaliman pula yang dijulang-julang. Meminjam kata-kata Sasterawan Negara A. Samad Said,

"Sastera itu berguna untuk memperjuangkan apa yang kita rasa tidak adil, membebaskan tanah air, melanggar semua tembok ketidakadilan, tetapi dalam melakukan itu semua seninya itu harus ada."

Bengkel pertama yang saya hadiri adalah sekitar 2003 di bawah kendalian Puan Zaharah Nawawi dalam bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Kami dalam usia kepengarangan yang berbeza itu, diberi ruang dan peluang untuk mengkritik karya sesama peserta, yang akhirnya membuka pandangan mata saya tentang dunia sastera yang luwes. Bengkel ini juga telah mencetus paradigma baharu dalam dunia pengkaryaan saya, yang mana saya melihat penulisan sebagai wadah dan medium untuk berdakwah kerana dakwah itu fitrah dan tuntutan sebagai seorang Muslim. Melalui bengkel ini juga telah mengenalkan saya kepada penulis mapan Zaharah Nawawi dan beberapa orang penulis-penulis berpengalaman seperti Nisah Haron, Amaruszati Noor Rahim dan Nazmi Yaakub. Sehingga kini saya masih percaya, bahawa perjumpaan dan bengkel adalah kaedah terbaik untuk menghasilkan penulis dengan karya sastera bermutu. Menghasilkan karya bermutu itu satu kehebatan, dan seorang penulis itu tidak perlu banyak kehebatan untuk menjadi hebat, cuma perlu istiqamah dalam kehebatannya.

Perjalanan penulisan saya pernah menjadi sukar ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Saat ghairah menembusi media bersama rakan-rakan penulis seangkatan, sebuah cerpen saya telah terbit di dua majalah sastera remaja ternama serentak. Saya menerima amaran daripada editornya dan kritikan yang hebat atas kesilapan itu, tidak kurang juga rakan-rakan yang menenangkan. Selepas itu, saya memilih untuk berhibernasi dan berhati-hati tentang prosedur penerbitan dan penghantaran karya. Pengalaman ini ternyata mengajarkan tentang betapa seorang penulis perlu waspada dan membuat pilihan terbaik untuk karya-karyanya. Saya percaya, apabila perjalanan itu menjadi sukar, sebenarnya kesukaran itu telah memulakan perjalanan. Perjuangan saya sebenarnya baru bermula!

Pengalaman mengarang novel sulung Menjadi Bintang adalah suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Pada masa jiwa yang mulai matang menulis, peluang dan tawaran dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menghasilkan sebuah novel industri adalah sesuatu yang perlu diterima dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Pengalaman memerikan latar kampung dan peralihan watak demi watak benar-benar menguji daya kepengarangan, lalu saya menerimanya sebagai suatu cabaran. Akhirnya pada akhir tahun 2008 saya melihat naskhah novel sendiri itu di tangan dalam syukur kepada Allah yang mengurniakan ilham. Ucapan berbanyak terima kasih ditujukan kepada bonda Zaharah Nawawi yang membimbing dan melorongkan jalan, juga kepada editor Menjadi Bintang, Nurdiana Mohd Nor kerana memudahkan jalan penerbitannya. Saya telah menerima pelbagai respons dan ulasan terhadap novel kerdil ini, dan tentunya telah menguatkan semangat saya untuk terus berkarya dan kini dalam proses menghasilkan novel kedua. Sekiranya saya memiliki kemampuan untuk memulakan, maka sudah pasti saya juga memiliki kemampuan untuk menamatkannya!

Sehingga kini, saya masih percaya bahawa tulisan boleh menjadi wasilah tarbiah, tajdid dan islah kepada masyarakat. Malah, tulisan juga merupakan ikatan ilmu pengetahuan, dan kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, ibarat irama dan lagu. Bezanya cerpen atau novel melibatkan uslub qasasi (kaedah naratif) seperti latar, plot, watak perwatakan, dan sebagainya. Cerpen, novel atau puisi juga boleh menempati ciri seruan secara hikmah melalui pengajaran-pengajaran yang baik (rujuk an-Nahl : 125). Saya meletakkan tujuan dakwah sebagai prioriti, dalam lingkungan falsafah yang merangkumi tarbiah, tajdid dan islah. Saya kira aspek ini perlu disentuh dengan lebih mendalam lagi, bagi memenuhi citra sastera Islam berdasarkan mazhab makna, iaitu pengukuhan makna tauhid kepada pembaca. Cerpen-cerpen saya yang mutakhir seperti Ustaz, Kasad, Mihrab dan Mimbar, semuanya memiliki komponen tarbiah, tajdid dan islah yang akhirnya akan membawa pembaca menelusuri kesyumulan Islam dan membentuk fikrah. Penekanan kepada remaja awal tentang tauhid dan pemugaran semula tentang akhlak sangat penting dalam cerpen atau novel. Apatah apabila mereka menjangkau kepada remaja akhir, cerpen-cerpen atau novel-novel perlu menyuguhkan fiqhul da’kwah (fikah dakwah) yang merangkumi seruan kepada makruf dan mencegah kemungkaran, begitu juga pentingnya menempatkan falsafah-falsafah islah dan tajdid dalam usaha menghidupkan agama dan bahasa Melayu itu sendiri.

Pengalaman kerdil membimbing calon-calon penulis semasa di Universiti Al-Azhar, Mesir dahulu melalui Kem Latihan Penulis (KELAP) telah banyak membantu saya dalam ilmu kritikan karya. Begitu juga kala diamanahkan menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), menyelaras acara bengkel penulisan dan aktiviti-aktiviti memerkasa bahasa, telah banyak mengajarkan jiwa betapa pengorbanan dan kesusahan itu adalah rencah dalam perjuangan menulis. Saya percaya, bahawa kesusahan itu adalah guru kepada kesenangan, yang tanpa lelah mengajarkan erti sabar dan cekal. Program-program membimbing calon penulis seperti Minggu Penulis Remaja, DBP dilihat sebagai suatu peluang dan ruang kepada calon-calon penulis untuk memerkasakan ilmu dan mengenali sastera dengan lebih akrab. Suatu peluang yang tidak pernah saya perolehi kerana lewat mengenali sastera dan memulakan penulisan. Namun, saya tetap yakin, kelewatan itu juga adalah suatu kurnia dan anugerah, kerana penulis tidak hanya akan berjaya dengan bakat dan kebolehan, tapi perlu gigih dan istiqamah dalam kegigihan itu.

Maaf jika anda semua tidak pernah mengenali saya sebagai seorang penulis, atau anda hanya mengenali saya melalui nama, dan menyangka saya ialah seorang wanita, atau anda semua tidak pernah melihat rentetan kemenangan Amiza Khusyri dengan pelbagai hadiah dan pengiktirafan. Saya hanya pernah memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan (ASNS) 2005 dan 2007 yang hilang timbul. Pengiktirafan yang paling tinggi pernah saya terima ialah tempat ketiga Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 anjuran DBP melalui cerpen Kasad. Saya tidak memiliki senarai panjang untuk penerimaan anugerah, dan tentunya perkara ini tidak membanggakan serta tidak wajar dicontohi. Namun, saya percaya, apa yang menjadi kegembiraan bagi seorang penulis bukanlah pada nama, kebesaran dan anugerah itu, tapi apabila karya-karyanya dibaca, dihayati dan diikuti oleh para pembacanya. Selebihnya, serahkanlah kepada Yang Maha Menentu segala keputusan, dan Yang Maha Memberi sekiranya kita wajar menerima. Saya menanam azam untuk menjadi penulis yang prolifik dan menempatkan diri dalam kalangan sasterawan ghuraba seperti yang disebut baginda Rasulullah SAW, iaitu sasterawan yang menegakkan Islam, menghidupkan sunnah-Nya dalam penulisan, pada zaman kerendahan moral, dan agama yang semakin dipinggirkan.

Saya percaya!

Tunas Cipta, Mac 2010.

Posted in | 8 Comments

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.