Persidangan Pepijat

Suatu hari, ketua pepijat di asrama negeri meminta sekalian pengikutnya berkumpul. Ada perkara penting yang ingin disampaikannya.

Setelah hampir setengah jam menunggu, maka sekalian pepijat berkumpul di bawah sebuah katil di dalam sebuah bilik yang hening. Maka berkatalah ketua pepijat...

"Wahai sahabat-sahabatku sekalian, rasanya adalah tidak baik kita menyerang-gigit manusia di asrama negeri sekarang ini memandangkan ramai di antara mereka yang terkena demam, batuk dan selsema."

Ketua pepijat berhenti berucap sebentar sambil menggaru-garu perut buncitnya yang gatal.

"Tambahan pula, saya sudah mendengar kalam-kalam yang penduduk-penduduk asrama negeri ini akan mengadakan serangan balas secara habis-habisan terhadap kita semua. Justeru, sempena kedatangan bulan Ramadan kali ini, moleklah kalau kita mengurangkan sedikit kegigihan kita mencari darah-darah baru..."

Seekor pepijat yang senior bersuara...

"Saya tidak bersetuju. Jika nak diikutkan, waktu kita menyerang mereka pun bukanlah selalu. Kita hanya menyerang di waktu malam gelap, dan waktu antara 12 malam sebelum ke subuh. Kalau kita tidak langsung menyerang, habis, anak-anak dan isteri kita nak makan apa?"

Ketua pepijat menjawab...

"Saya faham, sahabat-sahabat memiliki kegigihan setiap hari untuk mencari darah, walau dengan cara apa sekali pun, termasuklah anak-anak dan isteri-isteri sahabat. Sehinggakan ada yang terkorban setiap malam bahana tujahan kuku manusia itu. Tetapi fikirkanlah sahabat-sahabat sekalian, ini merupakan helah kita sahaja, serangan hanya dihentikan sementara sahaja. Biar mereka fikir yang kita tidak wujud lagi di katil-katil kayu mereka itu. Barulah mereka tidak akan membasmi-hapus kita semua, macam mana?"

Seekor pepijat yang kecil tepuk tangan. Akhirnya semua bertepuk tangan menyetujui cadangan ketua pepijat itu.

Ketua pepijat berjalan kembali ke rumahnya dengan senang hati. Hatinya tidak putus-putus berkata : "Ha.. ha.. ha.. mudahlah aku memburu seorang diri malam ni!"

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.