Berlari ke langit

Usai bengkel pembinaan judul novel [industri] dewasa DBP-Kepezi 3-5 Disember lalu. Usai juga mengkhatami Mencari Locus Standi. Mencelah-celah di antara ruang waktu yang padat untuk mengkhataminya. Kini sedang meladeni Satu Janji, Ramlee Awang Murshid. Sinopsis saya dibedah dan dicanai baik dalam bengkel tersebut. Lebih banyak cadangan dari kritikan yang saya terima.

Seri majlis terasa dengan kehadiran penulis kawakan seperti Dr. Amida Abdul Hamid, Mawar Shafei dan Razali Endun. Sebagai peserta yang paling muda, saya tidak melepaskan peluang berkenalan dengan para peserta yang terdiri di kalangan penulis muda seperti Kak Tiras R, WB. Rendra dan tokoh-tokoh besar sastera ini. Kak Mawar nampaknya sudah mengenali saya melalui cerpen-cerpen saya yang tersiar di media terutama di Berita Minggu. Malah, semasa bengkel dia yang menegur dahulu menyebabkan saya tersipu sendiri.

Semasa membentangkan sinopsis saya tidak meletakkan cadangan judul novel berbanding peserta lain. Judul cadangan novel para peserta saya kira hebat-hebat belaka. Berbanding peserta lain yang lebih selesa menggarap novel industri berlatarkan dunia korporat dan formal, saya lebih gemar menggarap industri penternakan ayam berlatarkan suasana desa. Ada sisipan perjuangan rekonstruksi masyarakat dll [nak tahu lebih lanjut, tunggu selesai dulu :)].

Saya perlu membuat beberapa kajian penting tentang isu semasa dan industri tersebut. Ada dateline untuk menyudahkan setiap bab, perlu bersedia disembur dan dicanai pembimbing. Saya fikir, sebagai seorang penulis generasi baharu, ini perlu sebagai langkah permulaan saya. Langkah yang seterusnya, sudah tentu saya yang perlu mencoraknya sendiri.

Tahniah buat Fahdrazy cerpen di Tunas Cipta Disember [yang saya pinjam dan baca semasa bengkel lalu]. SM. Zakir menyenaraikan nama saya sebagai penulis baharu menjanjikan melalui cerpen Pengemis Tua di Masjid Hussein. Begitu juga dengan Almarjan Yusoff melalui cerpen Gelanggang Malam.

Kini dalam kota fikir, ada sebuah judul cadangan novel saya yang boleh berubah mengikut kesesuaian - 'Demi Al-Amin'. Menggarap novel dengan idealisme dewasa merupakan satu cabaran buat saya. Doakan saya mampu selesai menulis novel ini agar langkah saya tidak akan tersadung, ketika sedang ralit berlari ke langit...

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.