Archive for Mac 2009

Perusahaan Ayam Rafik

"Za, kau tahu ayam yang kita nak makan ni beli dari mana?" Pakcik Muhsin mengerling kepadaku ketika sedang mengadap hidangan selepas ceramah Maulid di masjid.

Aku berdoa kemudian mengaminkan. Nasi kusenduk perlahan ke dalam pinggan.

"Saya dengar dari pasar Ampangan. Memang orang kita yang ternak dan sembelih." Tangan pantas mencapai sudu lauk masak lemak cili api.

"Ha tulah. Kau baca Metro tentang ayam cucuk?" Senduk nasi masih di tangan pakcik Muhsin. Pakcik Razak di sebelah pakcik Muhsin asyik terjeling-jeling senduk itu.

Aku angkat bahu seraya memandang tampangnya. Sebetulnya berita itu sudah aku ketahui, tetapi sengaja kubiarkan dia berceloteh, ingin menanti ke mana halatuju butir bicaranya.

"Diorang sembelih tak ikut syarat, Za. Haram. Kat pasar-pasar pun ada kalangan penjual yang ambil ayam dari pemborong yang sembelih tak ikut syarat, yang tak sembelih pun ada. Haram. Ayam suntik, lama-lama pun kita jadi macam ayam suntik." Pakcik Muhsin serius.

"Aku harap Amin akan buka betul-betul ladang ayamnya tu." Pakcik Muhsin menyenduk nasi. Pakcik Razak di sebelah sudah mula kerut kening, pinggannya masih kosong.

"Pakcik dah habis baca ke?" Akhirnya suapan pertamaku masuk ke mulut.

"Novel kau? Mestilah, aku dah menjadi bintang. Lagi bagus kalau betul-betul ada orang macam Amin tu, dapat buat perusahaan ayam, buat ayam salai, jual satu Malaysia, taklah susah cari yang halal." Akhirnya pakcik Razak di sebelah sudah mengambil senduk dari tangan pakcik Muhsin dengan sedikit mendengus. Lapar benar barangkali.

"Ya, moga ramai yang membaca, ramai juga yang mencontohi Amin. Mencari yang halal itu wajib." Aku menyeluruhi tampang pakcik Muhsin yang terangguk-angguk.

AKO : Dapatkan Menjadi Bintang melalui pautan terus Ujana Ilmu di sini

Posted in | Leave a comment

Belasungkawa Sebutir Bintang : Al-Fatihah

Aku antara manusia yang berada di Hospital Besar Seremban menanti ketibaan kereta jenazah yang lewat tiba. Dalam sebak melihat kerudung yang membalut jenazah sebutir bintang Allahyarham Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin, insan yang istiqamah dalam dakwah dan membangun Addin khususnya di bumi Negeri Sembilan. Beliau juga merupakan bekas penasihat dan naqib PMRAM, antara insan yang tidak pernah kenal erti letih dan sakit dalam usaha dakwah dan perjuangan menegakkan Islam.

Kami bersepakat untuk memangku dan membawa jenazah pulang setelah kereta jenazah masih belum tiba. Beberapa SMS dan panggilan masuk mengatakan sudah ramai kenalan dan ahli qariah berada di rumah Tuan Haji Kassim [Rembawi], mertua Allahyarham untuk berziarah. Hasrat itu dihalang oleh pegawai hospital yang sejak entah bila asyik meminta kami bersabar. Mujur, tidak lama selepas itu, kereta jenazah tiba dan tanpa melengah masa kami menuju ke rumah Tuan Haji Kassim.

Di rumah, sebak dan pilu begitu menghurung. Bagaikan tidak percaya, sekelip mata Allahyarham pergi meninggalkan semua akibat serangan Denggi. Apatah, apabila aku sendiri melihat dua orang anak Allahyarham yang girang bermain, menyaksikan suasana rumah yang hidup dan tidak mengerti. Jiwa terkenangkan isteri beliau, Ustazah Najibah Kassim yang sedang sarat, mendoakan kesejahteraan dan moga Tuhan mengurniakan segunung agam kesabaran.

Masih teringat ketokohan dan kredibiliti Allahyarham di Mesir dahulu. Pertemuan-pertemuan, usrah dan bual bicara seolah-olah hidup dan menggamit ingatan. Ketika membaca juzuk ke-12 dalam bacaan beramai-ramai untuk khatam Al-Quran di rumah beliau, hati tidak mampu menahan sebak dan sehingga entri ini ditulis, aku masih terhimbau dan terdorong dalam kenangan bersama Allahyarham.

Beliau tidak pernah mengeluh, mengadu letih dan sakit ketika dijemput berceramah atau mengendalikan aktiviti walau di ceruk mana pun. Keiltizaman, istiqamah dan ketokohannya begitu dirindui, dan tidak hairanlah ketika solat jenazah beliau di Masjid Paroi Jaya selepas solat jumaat [20 Mac] jemaah begitu ramai dan sendat; datang dari segenap pelosok negeri. Aku teringatkan adik ipar Allahyarham, yang juga sahabatku, Ustaz Ahmad Hambali Kassim yang baru saja tiba di Syria selama 3 hari atas urusan ilmu, yang tidak dapat bersama-sama.

Al-Fatihah buat Allahyarham yang berjiwa besar ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat daripada Rabbul Jalil dan ditempatkan dalam kalangan syuhadak dan solihin. Amin.

Baca lagi di sini

AKO : Ingin menjadi sebutir bintang.

Posted in | Leave a comment

Puing-Puing Bahasa

Aku
hanya mampu
menghantar pandangan
pada Keranda Bahasa
yang ditukang
sang rakus
sang haloba
sang munafik
kerana kuasa dan nama



Aku yang berbangsa Melayu

wiraku adalah bahasaku
yang tidak akan luput
menjadi puing-puing
bergentayangan


Cintaku

adalah bahasa
bahasa Melayu
bahasaku
cintaku.

Amiza Khusyri, ITQAN, 10 Mac 2009

AKO : Kepada SMS yang bertali arus mengajak - maaf tak dapat turut serta.

Posted in | Leave a comment

Petikan Menjadi Bintang

Bab 2 : Erti Sabar

Hari ini dia masak lauk ikan tenggiri masak lemak cili padi, lauk kegemaran Amir. Kobis yang dibeli Amir semalam sudah direbusnya. Dua biji telur ayam, dicampur dengan bawang yang telah diracik halus, bersama lada besar yang dipotong kecil, sudah dibancuhnya sehingga kembang. Cuma belum dimasuk dalam kuali. Jika digoreng awal, akan kuranglah garingnya. Nasi pula sudah ditanak. Hari ini hanya sedikit nasi ditanaknya. Nasi semalam masih berbaki, masih elok. Akan dicampur-gaul sekali dengan nasi panas nanti. Tidaklah membazir.

Kain baju juga sudah lama dicucinya. Namun, melihatkan cuaca yang kelam mendung, dia tidak jadi hendak menyidai. Tunggulah sejam dua lagi. Jika matahari naik tinggi, memancarkan habanya ke segenap pelosok Kampung Kemboja, dia akan mula menyidai. Kalau sempat, dia akan capai pisau toreh dan akan ditorehlah beberapa batang pohon getah hari itu.

Khadijah melesatkan pandangan ke arah kebun getah di belakang rumahnya itu. Sudah tentu pohon-pohon getah itu masih basah. Getah kalau bercampur dengan air hujan, sudah tentu tidak asli. Sudah tentu akan timbul keraguan dalam timbang kilo nanti, walaupun getah cair itu telah dicampur dengan cuka dan dibiarkan sampai beku. Taukeh Lim pula tentu tidak mahu timbang. Pokok-pokok getah juga akan ditimpa penyakit jika ditoreh dalam keadaan lembab. Memang waktu selepas hujan begini, tidak akan ada orang yang timbang getah walaupun taukeh Lim hari-hari ada di tempat timbang getah itu. Semuanya tidak akan turun menoreh. Haji Salleh, Su Leman dan Osman yang rajin itu juga tidak akan turun menoreh waktu begini. Kalau turun kebun pun, sekadar tengok-tengokkan bekas torehan dan bersih-bersihkan takungan getah.

Anak lelaki tunggalnya itu sudah lama ke pasar Kemboja setelah beri ayam-ayam makan dedak. Sebelum ke pasar tadi, dia melihat Amir memasukkan sepuluh ekor ayam ke dalam raga kecil untuk dijual di pasar. Jika rezeki murah, untung-untung habis sepuluh ekor itu. Lazimnya, kalau ke pasar minggu, ayam-ayam Amir akan habis. Paling tidak pun, seekor dua sahaja akan dibawa pulang menjelang tengah hari nanti. Mana tidaknya, hanya Amir sahaja yang menjual ayam di pasar Kemboja.

Sesekali ada juga dia menjengah ke pasar. Barang-barang dapur seperti sayur, ikan memang segar-segar. Pasar Kemboja memang ramai orang datang. Penduduk Kampung Teratai pun akan datang membeli. Dek pasar itu terletak berhampiran jalan utama, mudah pula orang hendak datang, maka pasar Kemboja tentu jadi macet. Kereta yang tidak mahu singgah juga akan ikut macet dan tersangkak-sangkak.

Matahari masih lagi tidak nampak mahu keluar membahang. Waktu sudah karib ke tengah hari. Kalau tidak hujan, dia akan turun menoreh hari-hari, termasuklah hari minggu begini. Walaupun Amir melarangnya menoreh hari-hari. Walaupun anak lelakinya itu tidak benarkan dia kerja berat.

Yang disuruh, yang hanya disukai Amir ialah apabila dia berjaya menelan ubat yang pahit-pahit itu. Walaupun tidak suka, tetapi dia terpaksa juga menelannya. Tetapi dia dapat rasakan, batuk-batuk dan sakit dadanya kini semakin berkurangan. Ya, ubat itu hanya penyebab dan tanda usaha, tetapi Tuhanlah yang menyembuhkan. Allah Azzawajallalah yang memberi sihat.

Baca lagi dalam Menjadi Bintang (Dapatkan di www.ujanailmu.com.my)

Posted in | 3 Comments

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.