Kreativiti The Terminal

Tom Hanks yang popular dengan filem Forest Gump tampil pula kali ini dengan filem The Terminal arahan Steven Spielberg. Bagi aku, filem ini memiliki kekuatan tersendiri dengan tarikan adegan-adegan luar jangka yang agak mengharukan. Keterujaan filem ini bukan sahaja pada watak utama Nebosky [lakonan Tom Hanks] tetapi juga pada watak-watak pembantu dan adegan-adegan subplot yang kreatif.

Steven Spielberg sebagai seorang pengarah imaginatif yang suka meneroka perkara-perkara baharu dalam filemnya, kali ini menampilkan latar sebuah terminal di New York City's Airports [NYCA]. Filem ini mengisahkan seorang imigran bernama Nebosky dari sebuah negara bernama Krakozhia [negara ini bergolak apakala Nebosky tiba di NYCA]. Dia ingin ke New York City's [NY] semata-mata untuk menunaikan janjinya kepada bapanya yang telah meninggal dunia.



Setibanya di NYCA, dia ditahan oleh ketua penguatkuasa NYCA [lakonan Chi McBride] dan tidak dibenarkan ke NY [kerana hilang kewarganegaraan dan disyaki seorang perisik]. Di sinilah bermulanya aksi-aksi yang menarik dengan lakonan yang begitu berkesan oleh Tom Hanks. Saksikan sahaja bagaimana seseorang yang ditahan di sebuah terminal hidup selama 9 bulan. Dia sentiasa beraksi jujur dan seterusnya menepis segala prasangka buruk ketua penguatkuasa NYCA yang sentiasa melihat perlakuannya melalui layar kamera di terminal itu. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk membuktikan bahawa Nebosky ini merupakan seorang perisik antarabangsa, tetapi semuanya gagal.

Malah, Nebosky bertemu dengan rakan-rakan yang baik; terdiri daripada staf-staf di terminal itu. Dia juga jatuh cinta dengan seorang pramugari cantik bernama Amelia Warren [lakonan Catherine Zeta Jones] yang 'playgirl'. Nebosky mula mendapat perhatian seisi terminal apabila membantu seorang imigran yang membawa ubat-ubatan untuk keluarganya tetapi tidak dibenarkan ke NY oleh ketua penguatkuasa NYCA.


Setelah kecewa atau lebih tepat lagi ego dengan status dirinya, ketua penguatkuasa NYCA memaksa Nebosky kembali ke Krakozhia [setelah negara itu diisytihar aman] dan mengugut untuk memecat rakan-rakannya yang memiliki latarbelakang kurang baik. WBP, Nebosky akhirnya sedar akan kesilapan yang dilakukannya dan bertekad untuk ke NY setelah disedarkan oleh seorang rakannya dengan melakukan satu aksi yang agak menggetarkan. Saksikan sahaja bagaimana haru-birunya keadaan NYCA apakala semua pekerja NYCA menghantarnya ke muka pintu menuju ke NY.

Apa yang mengagumkan ialah meskipun penggunaan latarnya terhad, tetapi filem ini telah berjaya menghasilkan plot yang menggetarkan dan seterusnya berjaya membina konsekuensi yang mengharukan.

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.