Ahlan Wasahlan Ya Ramadan
Singgah ke kafe siber malam ini selepas bertungkus lumus mencatat minit [dilantik sebagai S/U Sidang] dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bakans malam ini [12 September]. Bukan apa, antara perkara yang paling aku tak suka bila mesyuarat agung ialah dilantik S/U Sidang. Iyalah, bila dah dilantik jadi S/U aku terpaksa menulis segala fakta penting tanpa henti dan memberikan fokus yang tinggi terhadap perjalanan mesyuarat. Tapi entah macam mana, hari ini aku boleh akur dan reda pula. Sumbangan terakhir insya-Allah.
Kesihatan semakin pulih. Alhamdulillah. Suara pun bukan macam burung tekukur lagi. Cuma sengau-sengau lunak gitu. :p Peperiksaan tasfiah satu subjek aku juga semakin dekat. Amiza kini sedang berusaha. :D
Ramadan pula semakin karib. Bulan mulia bulan maghfirah. Bulan berkat, bulan rahmat. Ramadan Kareem diucapkan buat semua sahabat-sahabat dan teman-teman pembaca AKO.
Bawah ni artikel terakhir aku sebelum pulang untuk mahasiswa al-Azhar dalam arena sastera dan penulisan di bumi Kinanah. Saja nak kongsi dengan teman-teman pengunjung. Silakan menggagau. :)
ii.
Jalan yang kian suram
Oleh Amiza Khusyri Yusof
Pengalaman saya mengikuti bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi [Kepezi] 2003 bersama Almarjan Yusoff yang lalu, para peserta perlu menyediakan cerpen terlebih dahulu untuk dibedah moderator. Cerpen saya bersama lebih kurang 11 orang peserta dari pelbagai lapisan umur telah dibedah oleh dua orang penulis berpengalaman - Nisah Hj. Haron dan Mohd. Nazmi Yaakub serta diakhiri dengan komentar penulis besar Zaharah Nawawi sendiri. Semua peserta juga dikehendaki memberikan komentar terhadap cerpen-cerpen rakan tanpa seorang pun yang terkecuali. Resolusi bengkel tersebut hakikatnya telah membuktikan kepada saya bahawa penulisan perlulah lahir dari kehendak diri, disiplin, kesungguhan dan iltizam yang jitu.
Seingat saya sepanjang tahun ini, saya sudah dijemput sebanyak 5 kali untuk membentang kertas kerja dan mengendalikan 3 buah bengkel cerpen seputar penulisan kreatif ini. Semuanya di bawah anjuran Kelab Karyawan Kelantan [Keris], Akademi Karyawan Bakans [Akrab], Akademi Karyawan Mansurah [Akar], UPP Iskandariah dan juga anjuran PMRAM sendiri di bawah Kem Latihan Penulis [Kelap]. Sepanjang tempoh itu, sejujurnya saya lebih selesa mengendalikan bengkel dari semata-mata pembentangan kertas kerja.
Saya kira, antara bengkel cerpen kendalian saya yang memberi efek paling positif ialah bengkel anjuran Akar Mansurah yang dihadiri sekitar 8 orang peserta di kalangan perawan itu. Mereka telah membuktikan keazaman dan kesungguhan masing-masing dengan menghantar cerpen lewat bengkel Kelap 19 Julai lalu. Saya telah menemukan bakat-bakat baru yang jitu komitmen melalui tiga sekawan ini - Mahizam, Siti Rohana dan Noraini, yang wajar diberi perhatian oleh Akar Mansurah. Kepentingan melazimi penulisan selepas karya pertama, kedua dan ketiga perlulah didedahkan kepada mereka.
Selain daripada mereka, saya juga menemukan Syarifah Salha Syed Ahmad yang berpotensi menjadi penulis menjanjikan. Cerpen pertamanya yang pernah saya baca ialah semasa Bakans menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif, meskipun sebelum itu Salha pernah mengutusi saya untuk bertukar-tukar maklumat dan info dunia sastera lewat e-mel. Saya agak terpesona dengan kesedaran yang dimiliki penulis ini, di samping kekuatan imaginasi dan keberaniannya untuk meneroka persoalan-persoalan baharu dalam karya. Tidak hanya terkongkong dengan tema percintaan dan kekeluargaan yang agak merimaskan. Cerpen keduanya yang saya bedah semasa bengkel Kelap 19 Julai lalu telah menunjukkan Salha adalah seorang penulis yang wajib diberi perhatian.
Nama Faizah Herda pula saya dengari semasa nama itu dicadangkan Hewi PMRAM untuk menjadi pendamping dalam bengkel Kelap tahun ini. Saya pernah membaca cerpennya sepintas lalu di Yahoogroups Adabuna [jaringan maya penulis Timur Tengah]. Kemudian, cerpen keduanya saya lumati semasa sesi pembedahan cerpen moderator Kelap di Rumah Negeri Sembilan. Faizah Herda saya kira memiliki kekuatan bahasa dan seorang yang sensitif dengan isu semasa. Faizah nampaknya lebih selesa mengangkat latar luar negara di dalam karyanya. Kemestian yang perlu ada pada diri penulis yang tidak hanya terpagar dalam dunia yang sempit dan rimas. Saya kira, Faizah Herda bisa melangkah lebih jauh sekiranya sentiasa melazimi penulisan dengan cermat tanpa letih. Beliau telah yang saya tinggalkan dengan pengalaman sebagai pendamping buat menjamin kesinambungan sastera di bumi Kinanah selepas ini.
Semasa mengendalikan seminar sehari Kelap, saya mengenalkan Noorshibaaiyah Sharipudin yang memiliki kekuatan bahasa yang mengejutkan. Meskipun apa yang saya baca itu hanyalah hasil coretan imaginasinya dari segelas air [modul Kelap waktu itu], tetapi saya dapat mengesani bakat dan potensinya yang agak mempesonakan dalam penulisan kreatif ini. Jika beliau sentiasa melazimi penulisan meski sibuk dalam ripuh-geger dunia mahasiswa, sudah tentu nama ini juga mampu diketengahkan sebagai seorang penulis menjanjikan.
Nama-nama ini pula mungkin antara calon penulis teruna yang saya kira tidak boleh dipandang remeh. Mohd. Zaki, calon penulis dari Johor ini saya kesani bakatnya lewat bengkel cerpen Kelap yang lalu. Beliau memiliki sensitiviti dan sifat ingin mencuba yang memegunkan. Begitu juga dengan Hafiz Noramli juga dari Johor, calon penulis yang saya kira memiliki potensi mengagumkan dalam genre puisi dan cerpen. Meneliti bahasanya yang lancar dan menarik, beliau mampu melangkah lebih jauh lagi jika sentiasa menulis, mengkaji dan menggulati sastera. Begitu juga dengan nama Omar Md. Rasib dari Negeri Sembilan yang tekun dan mudah dibimbing. Membaca cerpennya berjudul Aku dan Onn membuktikan beliau memiliki kekuatan imaginasi lewat karyanya.
Seorang lagi calon penulis yang menjanjikan dalam genre puisi dan mungkin tidak dikenali di kalangan penulis Malaysia di Mesir tetapi semakin dikenali di kalangan penulis tanah air ialah Norsuriana Abd. Razak dari Iskandariah, yang pernah memenangi tempat pertama dalam Sayembara Penulisan Kreatif Bakans bagi genre puisi [saya kesani bakatnya melalui sayembara tersebut]. Puisinya yang saya lumati di komuniti penyair siber esastera telah menjadi 'puisi pilihan' dalam laman itu, menjadikan beliau seorang penulis yang wajib diperhatikan. Sikap melazimi penulisan dan berani mencubanya perlu dicontohi oleh setiap penulis-penulis perawan Malaysia di Mesir ini.
Saya lebih gemar memulakan bengkel atau seminar dengan agak tegang dan keras. Sebenarnya lebih mengingatkan peserta, bahawa jalan yang perlu disusuri masih jauh dan berliku. Jalan itu hendaklah disusuri dengan kehendak diri, usaha dan tekad yang kuat. Kemudian, barulah saya lebih selesa berbengkel dengan sedikit kecindan dan diakhiri dengan buah-buah harapan. Antara pesanan terakhir saya sebelum majlis usai ialah mengharapkan agar calon penulis bersedia menerima kritikan dan terjahan di medan bengkel. Meyakini bahawa kelembutan dan belaian itu tidak selamanya benar. Dan, bukanlah seorang penulis sekiranya lahir daripada belaian dan usapan lembut seorang pembimbing.
Saya berikan analogi mudah berdasarkan sejarah - Shih Huang Ti yang memimpin Dinasti Chin [kurun ke - 3 S.M.] menggunakan kekerasan untuk menyatukan seluruh rakyatnya. Sehingga selepas kematiannya, rakyat China telah kembali kepada keadaan porak dan kucar. Saya bukanlah berharap agar calon penulis di bumi Mesir ini memiliki kekerasan dan kezaliman Shih Huang Ti, tetapi sifat sastera sebenar-benarnya adalah keras dan tajam. Sastera bukan untuk mengampu, sastera bukan untuk jiwang-jiwang, tetapi sastera ialah citra keadilan dan sastera adalah untuk memugar kesedaran masyarakat. Jika itu adalah sifat sastera, bayangkan pula apakah yang perlu ada dalam jiwa orang-orang sastera?
Nasihat saya kepada yang bercita-cita menjadi seorang penulis, jalan penulisan ini memerlukan usaha yang gigih dari kehendak diri. Bersikap mandirilah tanpa hanya mengharapkan suapan-suapan moderator. Kebanyakan penulis-penulis muda tanah air seperti Ghafirah Idris, Nimoiz T.Y, Fadhrazy [sekadar menyebut beberapa nama] bukanlah penulis yang lahir daripada bimbingan mana-mana kelab dan seminar penulisan sebelum mereka mengikuti MPR. Namun, dengan iltizam, kesungguhan, disiplin dan minat yang tinggi, mereka mampu menjadi seorang penulis muda yang menjanjikan kini.
Justeru, kepada calon-calon penulis Malaysia di Mesir yang masih takut-takut ataupun yang kembang kuncup, serta UPP yang masih bena tak bena dalam menghasilkan calon penulis, sedarilah bahawa jalan sastera dan penulisan kita di dada Mesir kini semakin rencam dan kian suram, akibat kealpaan dan sikap enteng kita sendiri.
Memo : Juga boleh dibaca di webportal epmram
Search
Amiza Khusyri bin Yusof
Pendidik, Penulis dan Perunding Motivasi
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN)
AJK, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Perunding Motivasi, Zikra Inspire Learning & Consulting (ZILC)
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN)
AJK, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Perunding Motivasi, Zikra Inspire Learning & Consulting (ZILC)
Calon Sarjana Usuluddin (Dakwah & Pembangunan Insan), Universiti Malaya, Kuala Lumpur
*Sebarang pengambilan mana-mana esei di dalam blog ini hendaklah mendapat keizinan penulis atau diberi kredit atas nama penulis (Amiza Khusyri Yusof) atau blog penulis (Amiza Khusyri : Menulis itu Memberi)
*Sebarang pengambilan mana-mana esei di dalam blog ini hendaklah mendapat keizinan penulis atau diberi kredit atas nama penulis (Amiza Khusyri Yusof) atau blog penulis (Amiza Khusyri : Menulis itu Memberi)
Facebook Badge
Kumpulan Cerpen
Antologi Cerpen
Catatan Popular
-
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak diperguna...
-
Kredit foto: Relaksminda Dahulu, bagi kami, orang-orang yang bekerja menjaga api dan air itulah merupakan hero kami. Jika air tiada be...
-
Dunia yang seperti pelangi, sementara mengindahkan, dan akan pergi. Aku mendoakan kalian dengan kebaikan dan keelokan dalam segala tingkah d...
-
"Kita bermasalah!" "Betul, kita bermasalah." "Ya, memang kita ada masalah." Berapa ramai dalam kalangan manusi...
-
Apa sahaja yang kita lakukan setiap hari, rupa-rupanya terangkum dalam satu ungkapan wasiat Nabi s.a.w bernama - istiqamah. Istiqamah itu ad...
Followers
Networked Blogs
Blog List
-
-
Nigerian workers strike over cost of living crisisSetahun yang lalu
-
SWAB PCR COVID-194 tahun yang lalu
-
-
-
Blog Archive
-
▼
2004
(47)
-
▼
Oktober
(13)
- Aku dan tiga orang budak Arab Tiga orang budak Ar...
- Pakej Pengajian Sebulan di Madrasah Ramadan Tempo...
- Lupa nak kongsi dengan kalian berita dunia semalam...
- OP yang saya kenali Semalam genaplah setahun peme...
- Maklumat mengenai kematian warga Malaysia di Mesir...
- i. Ini gambar-gambar mangsa yang terbunuh dalam ...
- Tragedi Oktober : Masihkah ada Ramadan hari esok? ...
- Semasa belum pun masuk puasa Belum pun masuk bula...
- Ahlan Wasahlan Ya Ramadan Singgah ke kafe siber m...
- Tiga pusat peranginan Mesir diserang, 40 maut TAB...
- Apa aku akan buat bila jadi vokalis nasyid, tunggu...
- Di Jordan aku menemukan bakat Said Jamaluddin yang...
- Mencipta Kenangan 28 September - inilah tarikh ke...
-
▼
Oktober
(13)
Catat Ulasan