Review Menjadi Bintang

Written by Hidayat (http://dyat.multiply.com/)

Kampung Kemboja faces a problem. Most of the youth are obsessed with sabong ayam/ cockfight. Its a worrying phenomena for the elders. They have tried many ways to curb the problem. However the cruel cold-blooded gambling activity still going on.

The police failed to stop the cockfight from going on- the activity maybe paused for a week or two after a raid but soon after that it started again, the village Imam Haji Salleh even chased away with parang but the next day they were back to business again.

Menjadi Bintang maybe told a story happened in a small village of nowhere. But in reality it happens in most village nowadays. Sad to say, the idea of tranquility, peaceful, 'kekitaan' value no longer can be applied automatically to the word Kampung and for some - the problem are worser and more serious- drug, rape, sexual abuse all evil that you can read in everyday newspaper etc etc.

'Menjadi Bintang' story build on Amir character. Amir is a different young man from the most of Kampung Kemboja. Like a star which brighten the night, Amir is the one who to change the wrong direction of his village heading on.

While most of the young man in Kampung. Kemboja obsessed in cockfight, Amir reared chickens for good. Its a reflection of an amanah from god- while others abused and betrayed the amanah given, Amir carried it responsibly.

In connotation of the idiom 'idle man is a devil workshop', what differentiate Amir and most of the Kemboja's young man was a clear goal and vision. It is important to keep our self busy with good things, or we will end up hooked with useless or god forbid- sinful activities, knowingly or unknowingly.

Menjadi Bintang reminded me -Almar'u dinil kholil'- a person is likely what he friends of. A good friend is like a perfume seller the prophet said (au kama qol). The perfume-seller might give you some perfume as a gift, or you might buy some from him, or at least you might smell its fragrance.

Or in 'Menjadi Bintang'- like a star that shines you.

AKO : Haza Min Fadli Rabbi.

Penjara Waktu

Terkapai-kapai
tangan dan jemariku
ingin menggenggam
kunci senggang
dalam penjara waktu.






AKO : AKO akan dikemaskini tidak lama lagi. :)

Umbara Sastera bersama PEN

Oleh Amiza Khusyri Yusof
www.amizakhusyri.blogspot.com

Saya mula mengakrabi Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ketika menghantar penyertaan untuk sebuah sayembara. Pada waktu itu, saya mula mengenali nama Nisah Haji Haron, Mahaya Mohd Yassin dan Siti Jasmina Ibrahim dan bertemu mereka dalam majlis Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 seusai pengajian di Mesir. Saya terus mengenali PEN sebagai sebuah persatuan yang digagasi kegigihan dan pengorbanan, sehinggalah saya kini berada dalam senarai paling bawah dalam jagat penulis muda tanah air.

Sebagai seorang yang berpengalaman membimbing calon-calon penulis semasa menuntut di Universiti Al-Azhar dahulu, saya kenal benar dengan erti payah dan pengorbanan. Jangan diterjemah payah dan pengorbanan itu untuk mencari nama, tetapi lebih kepada makna tanggungjawab dan amanah yang telah diletakkan Tuhan di pundak hamba-hamba-Nya supaya sentiasa mengajak manusia kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran.

Di Timur Tengah, khususnya di Mesir sendiri, saya pernah mengasaskan Kelab Karyawan Negeri Sembilan yang terus berhubung dengan Lingkaran Penulis Timur Tengah melalui jaringan komuniti siber Adabuna. Pun begitu, kelab tersebut terkubur setelah berlaku beberapa pertukaran bidang kerja dalam Kesatuan Anak Negeri Sembilan di sana, sekembalinya saya ke tanah air. Jika tidak, sudah tentunya kelab ini akan menjadi katalis PEN melahirkan penulis muda Negeri Sembilan yang berkelulusan dari Mesir.

Mungkin atas dasar pengalaman kerdil itu, saya dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa PEN dan sudah setahun menggalas amanah ini. Mahaya Mohd Yassin terus menerajui PEN sebagai Ketua Satu, dibantu oleh Radzali Abd. Ghani sebagai Ketua Dua. Pensyarah UPSI, Dr Ani Omar dan Datin Hajah Sabarriah Shukur, masing-masing sebagai Setiausaha Satu dan Dua manakala Bendahari PEN digalas oleh Kalsom Azid. Dr. Mahdi Abdul Wahab, Datin Maznah Yusof, Nisah Haji Haron, Zaharul Ariffin Md Zin, Rafeah Abdul Rahman dan Affendi Alwi semuanya merupakan Ahli Jawatankuasa PEN bagi sesi 2008/2009.

Walaupun dihujani dengan bebanan kerja yang banyak dengan jumlah penggerak yang sedikit, PEN terus konsisten mengadakan program-program membangun potensi calon-calon penulis. Sepanjang empat dasawarsa penubuhannya, PEN telah melahirkan penulis-penulis pelbagai peringkat umur bagi mengarusi dunia sastera tanah air. Sejak ditubuhkan pada 1968, PEN mengorak langkah memacu aktiviti sastera dan penulisan seputar Negeri Sembilan dengan aktiviti-aktiviti berbentuk bengkel penulisan, motivasi, ataupun menghantar wakil-wakil untuk menyertai segala aktiviti sastera pada peringkat kebangsaan.

Apa yang mengagumkan ialah PEN merupakan badan yang konsisten menghasilkan antologi ahli-ahlinya. Hasilnya, Antologi Gema Serunai Hati telah diterbitkan sebanyak lapan siri, diikuti Antologi Puisi Karyawan Muda Darul Khusus, Epal Merah dan Antologi Cerpen Karyawan Muda Darul Khusus, Sebelum Bintang Berjatuhan. Pihak PEN juga telah berjaya menerbitkan buku Karisma PEN, Biografi Penulis Negeri Sembilan, telah dilancarkan sempena Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 yang lalu.

Saya sendiri bersama Nisah Haji Haron diamanahkan untuk menggerakkan program-program penulisan dan motivasi kepada calon-calon penulis. Kami faham sendiri, bahawa menghimpunkan penulis-penulis muda dan berbicara seputar sastera, ataupun mengumpulkan calon-calon penulis pada suatu masa untuk dibimbing dan diberikan motivasi, bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, hati nurani tetap akur dan percaya, bahawa sastera itu tidak akan mati, dan perjuangan perlu diteruskan.

Justeru, hasilnya pada tahun lalu sahaja, PEN telah berjaya mengadakan dua bengkel cerpen bagi mengembangkan bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan. Bengkel Asas Penulisan Cerpen yang diadakan di Pusat Pengajian Imtiyaz, Senawang pada 19 Julai tahun lalu telah menghasilkan calon-calon penulis yang bersemangat dan tekal mengikuti bengkel. Bengkel yang berkonsepkan motivasi penulisan itu telah dipimpin oleh penulis kawakan Nisah Haji Haron bersama saya sendiri dan penulis muda Syarifah Salha Syed Ahmad. Bengkel cerpen kedua diteruskan pada 12 hingga 14 Disember 2008 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka di Golden Straits Villas Beach Resorts, Batu 3, Port Dickson yang menampilkan pembimbing Ana Balqis.

Pada 18 Januari lalu, PEN telah mengadakan Mesyuarat Agungnya yang ke-32. Pada majlis tersebut juga diadakan Majlis Bicara Karya dan Tokoh PEN sempena ulangtahun PEN yang ke-40. Pensyarah UPSI yang juga Setiausaha Satu PEN membicarakan tokoh penulis Negeri Sembilan gemulah Agus Salim. Ketokohan dan pengorbanannya, tiada galang ganti dan terus dikenang. Saya sendiri membicarakan Novel Sejarah Islam, Salahuddin Al-Ayyubi, Penakluk Jerusalem karya Abdul Latip Talip, novelis prolifik dari Jelebu. Saya memilih karya tersebut kerana kemengkalan yang meluap-luap terhadap Yahudi Laknatullah, yang terus-terusan memijak Palestin dan umat Islam.

Dalam senarai penulis mapan tanah air kelahiran Negeri Sembilan, Mahaya Mohd Yassin tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia dilantik sebagai Ketua Satu PEN meneruskan amanah gemulah suaminya, Agus Salim. Kegigihan dan usahanya membangunkan PEN tidak tersangkalkan. Komitmen dan perhatiannya tidak berbelah bahagi, dan dia adalah contoh penulis wanita gigih yang berjaya. Penulis kawakan Abdul Latip Talib adalah seorang penulis yang perlu dibanggakan kerana telah menghasilkan 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Pemenang pelbagai anugerah dan sayembara ini adalah seorang contoh penulis prolifik yang wajar menjadi ikutan. Adalah tidak molek jika tidak meletakkan Nisah Haji Haron dan Siti Jasmina Ibrahim dalam senarai ini atas rentetan kejayaan yang mereka memenangi di peringkat kebangsaan. Tidak dilupakan juga sumbangan penulis-penulis legenda Negeri Sembilan seperti Salim Haji Taib (Agus Salim), Dharmawijaya, Mohd Ghazali Tocheh, Dharmala NS, Mohd Ali Majod (sekadar menyebut beberapa nama) telah lama mewarnai dunia sastera tanah air. Sumbangan mereka sentiasa kekal segar dalam ingatan.

Dalam kalangan penulis muda, nama seperti Ida Munira Abu Bakar tidak boleh diperlekehkan. Penulis kelahiran Minggu Penulis Remaja (MPR) ini adalah antara penulis wanita yang menonjol dan prolifik. Begitu juga dengan Shazmee Rizal Agus Salim, nama yang menonjol dalam senarai penulis muda kelahiran Negeri Sembilan. Nama-nama di dalam antologi cerpen Sebelum Bintang Berjatuhan 2007, seperti Sammaituhanajwa, Asyraff Hafdzan Abdullah, Nazri Alias, Syarifah Salha Syed Ahmad dan Anizah Abu Samah adalah senarai penulis muda Negeri Sembilan yang menjanjikan. Kebanyakan karya mereka sudah diterima dan diterbitkan dalam media arus perdana Malaysia.

Kewujudan PEN di Negeri Sembilan dilihat sebagai tempat berhimpun bagi seluruh penulis kelahiran Negeri Sembilan. Himpunan-himpunan karya melalui antologi cerpen bersiri PEN, membuktikan suara penulis Negeri Sembilan dalam satu nada. Kesatuan melalui pena ini dilihat sebagai suatu manifestasi kecintaan kepada perjuangan menegakkan kebenaran, menentang kebatilan dan ini amat bertepatan dengan peranan sastera itu sendiri. Tiada lain yang diharapkan dalam usaha ini, melainkan keredaan dan keberkatan dari Allah jua.

Inilah usaha kecil-kecilan PEN, menurut pengetahuan dan pengalaman seorang penulis kecil, di celahan usaha-usaha besar menyemarakkan penulisan dan memasyarakatkan sastera tanah air.

AKO : Esei saya dalam Tunas Cipta, Mei yang lalu. Selamat membaca!

Siapakah Kita?

Siapakah kita?

Soalan ini adalah soalan yang wajib kita kemukakan setiap hari kepada diri. Percaya atau tidak, jika kita benar-benar amati, konsisten dan fokus, soalan ini akan terus menusuk ke hati dan membangkitkan perasaan rendah diri dan sentiasa tawaduk dalam segala perkara.

Soalan ini barangkali adalah soalan biasa, soalan yang sangat biasa ditanya guru-guru semasa di sekolah rendah dahulu. Soalan yang mudah dan senang dijawab. Namun, sekiranya soalan ini dijawab dengan betul, tepat dan berwibawa mengikut tahap pemikiran masing-masing, maka kita akan mampu untuk melakukan tranformasi dengan baik.

Tranformasi apa? Tranformasi yang dimaksudkan ialah pemikiran untuk kita sentiasa mahu lebik baik daripada semalam. Pemikiran untuk kita sentiasa inginkan terbaik dalam setiap perkara yang kita lakukan. Transformasi yang melahirkan kualiti dan kemenangan. Bukankah yang terbaik itu tuntutan Tuhan?

Siapakah kita?

Bukankah kita adalah makhluk terbaik ciptaan Tuhan yang dikurniakan akal fikiran dan kewarasan menimbang dan menilai? Tuhan telah cipta kita begitu dengan segumpal daging yang sentiasa mempengaruhi wacana dan tingkah. Rasulullah telah mengingatkan tentang kepentingan segumpal daging ini, yang sentiasa perlu digilap dan dibentuk ke arah kemakrufan dan kebaikan. Allah telah memberi amaran tentang segumpal daging ini, yang mampu menghumban kita ke neraka Allah dengan azab yang pedih.

“Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepada manusia (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia hendak bersyukur (dengan beriman dan taat) atau ia berlaku kufur dengan mengingkari kebenaran dan menderhaka).” (al-Insan : 3)

Tuhan telah meletakkan kita sebagai khalifah di atas muka bumi, menunjang kepemimpinan Islam dan membawa risalah tauhid ke seluruh alam. Dengan mengetahui bahawa kita adalah pemegang risalah tauhid dan ingin menyampaikan kepada manusia seluruhnya tentang cinta kepada Khalik, maka nescaya segala kasad dan tingkah, akan selari dengan ciri khalifah yang telah Allah tetapkan kepada kita sejak azali lagi.

Namun, jangan sesekali lupa bahawa, kita terjadi daripada air mani yang tiada erti. Kita dijadikan daripada tanah dan akan kembali kepada tanah yang dipijak-pijak dengan amalan dan bekalan masing-masing. Melalui peringatan dan soalan ini, kita akan sentiasa sedar di mana kita berpijak dan tahu siapa kita walau di kedudukan mana kita berada, meski di martabat mana kita berada. Tuhan telah mengingatkan bahawa dunia ini hanya mainan dan tiada apa-apa, hanya sebagai ladang untuk kita bertanaman dan berbajaan mencari keredaan-Nya di negeri yang tiada akhirnya.

“Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mainan dan berseronok-seronok, dan hari akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Apakah kamu tidak memikirkannya?” (al-An’aam : 32)

Siapakah kita?

Nah, bukankah dengan sentiasa bertanyakan soalan ini kepada diri kita akan membentuk perilaku yang hebat tetapi sentiasa berhemah? Soalan ini akan membentuk minda optimis dan aktif tetapi dengan jiwa yang lapang dan sentiasa menghormati pandangan orang lain. Soalan ini akan membina jiwa yang interaktif dan bermatlamat jauh tetapi dengan sikap merendah diri dan sentiasa tawaduk.

Bukankah bertanyakan soalan ini dan bermuhasabah adalah sesuatu yang mudah?

“Allah mengingini bagi kamu kemudahan dan Dia tidak mengingini bagi kamu kesusahan.” (al-Baqarah : 185)

Justeru, mari kita sama-sama mewujudkan koreksi dan bertanya diri – siapakah kita?

*Esei ringkas saya untuk kuliah motivasi maghrib di Kolej Mara, Rembau.

AKO : Selamat Hari Ibu & Selamat Hari Guru!

Apa yang menghalangku ke Pesta Buku?

Ya, insan inilah yang menyebabkan aku tidak dapat memenuhi jemputan Dewan Bahasa & Pustaka ke Pesta Buku PWTC. Ada rasa terkilan di hati, terutama mengenangkan jemputan yang tidak selalu datang. Apatah ingin melihat pembeli-pembeli Menjadi Bintang sambil memberikan autograf dengan senyuman. Barangkali begitu, seperti suasana yang tergambar dalam benak.

Aduhai, rasa sesal tidak berguna lagi saat ini.

Saat kalbu begitu mendesak itulah, insan ini datang memenuhi jemputan memberikan semangat dan kata perangsang. Aduhai, terasa begitu senang dengan insan ini, begitu tawaduk dan murah senyuman.

Kemaafan dipinta kepada pihak Dewan Bahasa & Pustaka, Puan Norimah, Puan Marwati dan seluruh jawatankuasa yang menguruskan sesi bicara bersama penulis Menjadi Bintang. Walaupun telah dimaklumkan awal, dan pihak pengurusan DBP akur, tetapi hati nurani tetap rasa bersalah. Paling menjuakkan rasa itu, ialah suasana ilmu dan buku di PWTC yang begitu mengujakan. Apatah, dapat bertemu dengan penulis-penulis senior dan sahabat-sahabat seangkatan yang sering memotivasikan.

Apapun, hati tetap bersyukur dan reda. Aku dipertemukan dengan seorang tokoh yang dikagumi dan optimis dengan situasi ini, bahawa aku juga pada hari itu berada dalam satu majlis ilmu dan mendakap pelbagai input menarik. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pembeli-baca Menjadi Bintang. Semoga mendapat manfaat dan kebaikan daripada naskhah nukilan penulis daif ini.

AKO : Artikel terkini saya tentang PEN "Umbara Sastera bersama PEN" boleh dibaca dalam ruangan Himpunan Tinta, Tunas Cipta, Mei 2009.

Nilai

"Mahal betul ustaz tu, Za. Seribu ringgit dari pagi sampai petang." Mata pakcik Muhsin berkerut. Langkahnya teratur pulang dari ceramah maulid anjuran masjid.

"Tak apalah pakcik, apa salahnya meninggikan orang yang berilmu. Kan Allah angkat orang berilmu ni beberapa darjat." Aku menyeluruhi tampang pakcik Muhsin.

"Ya tak ya juga. Tapi kalau terlalu demand sangat, sampai semua benda minta, pastikan itu ini payah juga, Za." Nada suara pakcik Muhsin kendur.

"Tak dinafikan." Aku tersenyum. Mata masih tunak memandang jalan.

Pakcik Muhsin mambalas seraya berkata, "Kalau ABPBH dapat beratus-ratus ribu, kita nak keluarkan seribu pun berkira. Yalah, orang lebih berminat taja barang-barang seksi." Pakcik Muhsin tergelak kecil.

"Yang penting kerja kena buat." Aku bersuara perlahan sambil meneruskan langkahan pulang.

Pakcik Muhsin angguk penuh azam.

Pembaca tidak akan kecewa!

Resensi Novel Menjadi Bintang
Oleh Nisah Haji Haron


Judul buku : Menjadi Bintang
Pengarang : Amiza Khusyri Yusof
Harga : RM18 (293 muka surat)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka


Menurut Sol Stein, satu daripada perkara yang harus pengarang berikan kepada khalayaknya ialah pengalaman membaca kerana itulah yang dicari apabila sebuah karya itu dibaca. Pengalaman ini akan menjadikan membaca itu suatu nikmat. Pembaca yang bijaksana akan mencari pengalaman-pengalaman baharu apabila memilih bahan bacaannya. Oleh hal yang demikian, pengarang yang menawarkan pengalaman yang tidak sempat dilalui pembaca dalam kehidupannya sehari-hari akan memberi suatu kepuasan setelah sampai ke noktah yang terakhir pada karya itu.

Menjadi Bintang bukan sekadar menawarkan suatu pengalaman baharu kepada pembacanya. Malah, novel sulung karya Amiza Khusyri Yusof, pengarang muda yang sedang mendapat tempat kukuh di persada kesusasteraan ini, menyulam pengalaman itu melalui perwatakan yang jelas dan kekuatan gaya bahasa yang meyakinkan. Novel ini diterbitkan hasil daripada Bengkel Perolehan Judul usahasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi).

Dengan tempo penceritaan yang sederhana, pengarang memperkenalkan Kampung Kemboja dengan melukiskan latar tersebut dengan agak rinci sehingga pembaca berasa seolah-olah berada di tempat itu. Pengarang turut memperkenalkan satu demi satu watak-watak yang berperanan di dalam novel ini dengan cara yang sama.

Novel ini dibahagikan kepada 21 bab dan setiap bab mempunyai sudut penceritaan yang berbeza. Pembaca dapat menghayati watak Amir Mustafa melalui 11 bab yang menyorot sudut pandangnya, sementara oleh Khadijah, ibu Amir Mustafa (4 bab), Khairunnisa (4 bab) dan Bidin Razak (3 bab). Dengan gaya penceritaan tersebut, pembaca dapat mendalami perasaan setiap watak utama ini dan mengerti setiap tindakan masing-masing.

Menjadi Bintang mengisahkan kegigihan Amir Mustafa mengusahakan ladang penternakan ayam secara komersil. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan, Amir mahu menyempurnakan hasrat almarhum ayahnya yang mahu dia berbuat demikian. Cita-cita Amir itu disokong oleh Khadijah, ibunya; sahabat-sahabat seperti Khairunnisa, Bidin, Muin dan Nordin; dan tidak kurang juga orang-orang kampung yang mahukan satu pembaharuan berlaku di Kampung Kemboja.

Namun begitu, dalam setiap perkara yang baik itu seringkali mendapat pelbagai rintangan. Kampung Kemboja yang pada keseluruhannya merupakan kampung yang aman damai dicemari dengan aktiviti sabung ayam di kalangan orang-orang muda. Kegiatan judi ini sukar sekali dibendung kerana mereka yang bergiat dalam aktiviti tidak sihat ini amat licik. Mereka yang terlibat termasuklah sahabat-sahabat persekolahan Amir seperti Bidin Razak, Muin dan Nordin.

Tidak cukup dengan itu, Bidin Razak yang pernah tewas ayamnya di gelanggang sabung telah mencuri Jebat, ayam kesayangan Amir sehingga nyaris mencederakan ibu Amir sewaktu dia hendak melarikan diri. Pembaca akan ikut sama bimbang akan keadaan Jebat kerana dia bukannya ayam sabung. Namun, Bidin amat terdesak untuk melangsaikan hutangnya. Dia harus mendapatkan seekor ayam jantan untuk meneruskan perlawanan bagi menebus kembali kekalahan sekaligus mendapatkan wang sekiranya memenangi pertaruhan kali ini.

Tidak cukup dengan itu, Amir yang masih menjual ayam-ayamnya secara runcit di Pasar Kemboja turut merasakan tempias apabila wabak selsema burung melanda beberapa negara Asia. Orang ramai gusar untuk mendapatkan ayam di pasar walaupun ayam yang dijualnya itu telah disahkan bebas daripada wabak tersebut. Amir masih tetap tidak berputus asa kerana orang ramai masih membeli telur ayam yang dijualnya.

Sementara itu, projek ladang ayamnya masih lagi diteruskan. Satu demi satu sahabat-sahabatnya yang telah lari dari lorong kebenaran dapat dipujuk supaya menyertai projeknya. Muin, Bidin dan akhir sekali Nordin tidak mampu menafikan permintaan sahabat mereka. Walaupun pelbagai dugaan, ancaman dan cabaran singgah silih berganti, projek ladang ayam milik Amir itu tetap dilangsungkan.

Tidak cukup perjuangan seorang lelaki tanpa sokongan moral daripada wanita dalam hidupnya. Sokongan berterusan daripada Khadijah, Hajah Ramlah dan Khairunnisa mewakili kaum ibu sebagai tunjang dan juga pemudi yang menjadi tiang harapan. Keikhlasan dalam persahabatan Amir dan Khairunnisa jelas apabila anak muda itu tidak berkocak sewaktu diberitakan khabar angin bahawa gadis yang mendapat tempat istimewa di hatinya itu mungkin akan dilamar sahabatnya sendiri, Nordin Osman. Sebagai sahabat, Amir memilih untuk bergembira demi sahabatnya dan enggan melarikan fokus mengusahakan ladang penternakan ayamnya.

Apabila ladangnya masih lagi dalam proses pembinaan, Amir terpaksa meninggalkan ibunya sendirian kerana harus menyertai kursus berkaitan dengan projeknya itu di bandar. Khairunnisa yang sedang bercuti itu pula harus pulang ke Kota Samarahan kerana semester akan bermula. Hajah Ramlah, ibu Khairunnisa menawarkan diri itu bermalam bersama-sama dengan Khadijah sementara Amir masih berkursus.

Namun, pada suatu malam, akibat iri dan dengki melihat ladang penternakan itu berjaya, ada pihak yang membakar bangunan pejabatnya. Hal itu hanya disedari Khadijah yang masih lagi menunggu kehadiran Hajah Ramlah malam itu. Panik melanda, lalu dia berusaha untuk memadamkan kebakaran seorang diri kerana pada waktu itu renyai hujan dan marak api menenggelamkan suaranya meminta bantuan. Dalam keadaan yang serba payah ditambah pula dengan sakit lelah yang dialami, Khadijah berusaha memadamkan api itu walaupun dengan kudrat yang amat kerdil.

Tiada lain permintaan dan harapan insan-insan di sekeliling Amir kecuali mengharapkan dia ‘menjadi bintang’ yang menyinari kegelapan Kampung Kemboja. Perlahan-lahan dengan keazaman Amir, aktiviti sabung ayam sudah tiada lagi di warung Timah Ithnin walaupun ada sesuatu yang harus menjadi korban untuk menyedarkan mereka yang terlibat. Sokongan dan dokongan daripada sahabat-sahabat dan orang-orang kampung juga semakin padu setelah insiden kebakaran pejabat di ladang penternakan ayamnya. Sekali lagi, ada nyawa yang terkorban. Namun, itulah harga sebuah kejayaan.

Seperti kata Sol Stein dalam bukunya How to Grow a Novel, pengarang yang baik akan memberikan pembacanya suatu pengalaman baharu. Demikianlah Amiza Khusyri memasukkan ilmu bantu dalam dos yang sewajarnya supaya pembaca mendapat maklumat tentang industri penternakan ayam selain mendapatkan sebuah cerita yang sarat makna.

Sebagai novel sulung, masih ada ruang untuk diperbaiki pengarangnya, seperti watak Khairunnisa yang melayan perasaan digambarkan agak lewah walaupun masih ada fungsi penceritaan, pemilihan diksi yang kurang tepat seperti kayu belati (sepatutnya belantan), burung merbau (sepatutnya merbah) dan di sesetengah tempat, dialognya memperlahankan pergerakan cerita.

Namun, semua itu dapat diatasi dengan penggunaan bahasa yang segar dan pemerian latar yang jelas. Naskhah Menjadi Bintang ini turut sesuai diadaptasi sebagai drama televisyen kerana pengarang telah menyusun plotnya sedemikian rupa yang memudahkan penulisan lakon layar dilakukan. Jalinan plot yang rapi dengan gabungan sebab-akibat yang berfungsi menjadikan watak-wataknya bergerak dalam kerangka naratif yang berstrategi dan amat membantu imaginasi pembaca dalam mencari pengalaman membaca.

Pengarang yang mempunyai latar pendidikan dari Universiti Al-Azhar ini juga tidak lupa menitipkan pesanan, doa serta pengajaran secara halus melalui teknik penceritaan yang tidak didaktik.

Apakah yang terjadi kepada Jebat, ayam kesayangan Amir Mustafa setelah diletakkan di gelanggang sabung? Berjayakah Amir Mustafa mendapatkan sokongan seumur hayat dari Khairunnisa setelah gadis itu mungkin dilamar sahabatnya sendiri? Apakah nasib ibunya yang berusaha memadamkan kebakaran ladang anaknya itu seorang diri? Mampukah Amir Mustafa menjadi bintang yang diharapkan oleh insan di sekelilingnya?

Semua itu pastinya terjawab apabila pembaca mencari pengalaman baharu melalui novel Menjadi Bintang dan di tangan Amiza Khusyri Yusof, pembaca tidak akan kecewa!

Tunas Cipta, Mac 2009.

AKO : Kredit untuk Kak Nisah yang memilih novel penulis kecil ini. Terima kasih. Baca juga di blog Zaid Akhtar tentang novel ini.

Designed by Posicionamiento Web | Bloggerized by GosuBlogger | Blue Business Blogger