Dunia itu di tangan, bukan di hati, hanya alat, bukan matlamat

Sejak akhir-akhir ini saya banyak sekali dikongsikan dengan makna bahagia oleh orang-orang di sekeliling saya. Tidak kurang juga yang bertanya tentang makna bahagia dalam hidup. Maka ramailah yang menakrifkan bahagia menurut pandangan masing-masing.

Hukum bahagia itu bagi sesetengah orang adalah relatif dan sentiasa berubah menurut situasi. Namun, bagi saya takrif bahagia bagi umat Islam haruslah tepat dan selari dengan pandangan Islam. Tiada kebahagian melainkan dengan ketenangan dalam agama-Nya, apatah jika kita mati menggenggam syahid.

Saya tidak pernah percaya kejayaan atau kebahagiaan itu wajib dikaitkan dengan unsur material dan duniawi. Benar, bagi sesetengah orang, kaya itu penting sebagai alat untuk mencapai matlamat, untuk manfaat orang Islam lain, atau untuk bersedekah dan menginfaq hartanya di jalan Allah kelak, tetapi perlulah diingat juga bahawa material dan duniawi sentiasa menjadi alat pula oleh Iblis Laknatullah untuk menyesatkan manusia. Maka jauh dari lubuk hati, saya sangat bimbang terhadap individu atau mereka yang meletakkan asas kebahagiaan itu adalah pada material dan duniawi.

Kebimbangan saya berasas, kerana orang yang meletakkan takrif kebahagiaan sebagai dunia dan material, malah sentiasa mengulang-ulang prinsip yang sama setiap hari, maka sukarnya baginya untuk mengekang tazyin syaitan yang sentiasa licik dan berstrategi. Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia. Malah sejarah telah mengimbau teladan kepada kita umat Islam, bahawa manusia-manusia yang paling banyak disesatkan oleh syaitan adalah yang berharta dan mengutamakan duniawi, seperti Qarun dan Firaun.

Keimanan kepada Hari Akhirat

Bagi Muslim yang kuat keimanannya kepada Hari Akhirat, maka dia tidak pernah merasakan dunia dan seisinya sangat penting baginya, kerana dia sentiasa percaya bahawa Allahlah yang menetapkan rezeki buat hamba-hamba-Nya tanpa menidakkan usaha dan ikhtiar sendiri.

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Ar-Ra'du : 28)

Kunci kebahagiaan itu adalah zikir dan fikir. Tidak cukup dengan zikir, kerana zikir biasanya adalah untuk diri sendiri, bermuhasabah dan menambah pahala diri sendiri, tetapi hendaklah disertai dengan fikir. Fikir itu adalah dengan ilmu dan iman, fikir untuk orang lain, fikir untuk ummah, fikir untuk selalu memberi.

Malah Allah menggesa hamba-Nya dalam surah An-Nahl ayat 97 supaya mereka memperolehi kehidupan yang baik dengan beriman dan beramal soleh. Tiada ganjaran yang lebih baik bagi orang yang beriman melainkan pahala di sisi-Nya. Ibnu 'Abbas menakrifkan kehidupan yang baik itu sebagai kebahagiaan. Dan berbahagialah dengan ilmu pengetahuan di dada, kerana ilmu itu imam, dan amalan adalah makmumnya. Nah, bukankah ini semua hanya boleh direalisasikan dengan keimanan yang kukuh kepada Hari Akhirat?

"Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama (orang yang berilmu)." (Fathir : 28)

Orang yang mengerjakan sesuatu untuk dunia hasilnya nampak, cepat dan boleh dikecapi hasilnya serta merta, tetapi orang yang mengerjakan sesuatu untuk Akhirat, hasilnya tidak nampak, lambat, tetapi dia hanya percaya dalam cinta. Dan percaya dalam cinta itulah iman.

Maka bukanlah yang diingini di sini kita meletakkan asas kaya dan bahagia itu adalah kaya material dan duniawi, tetapi yang dikehendaki adalah kaya hati dengan memberi.

Hanya alat bukan matlamat

Abdul Rahman bin Auf antara sahabat baginda s.a.w yang kaya dan telah menginfaqkan seluruh kekayaannya fisabilillah pada permulaan Islam. Dia seorang peniaga yang pintar memiliki harta yang banyak ketika di Madinah. Beliau merupakan antara sahabat nabi yang paling awal memeluk Islam dan salah seorang daripada sepuluh sahabat al-Mubasshirina bil Jannah.

Dia menangis suatu ketika, kemudian ditanya kenapa dia menangis, dan dia membandingkan dirinya dengan para sahabat yang syahid terlebih dahulu seperti Mus'ab bin Umair, yang dahulunya seorang anak yang disayangi ibunya, pakaiannya cantik dan mahal, baunya sentiasa harum semerbak dengan minyak wangi, tetapi dia meninggalkan segalanya itu demi Islam. Mus'ab meninggal dunia dalam keadaan tidak cukup kain untuk menutupi jenazahnya. Begitu juga dia membandingkan dirinya dengan Asadullah Saidina Hamzah, seorang pahlawan yang lebih mulia daripadanya, dan juga tidak cukup kain kafan saat kembalinya ke pangkuan Allah.

Dia bimbang jika dia termasuk di antara orang-orang yang dipercepatkan untuk menikmati kebahagiaan di dunia, lalu akan tersisih daripada para sahabat dan Rasulullah di Akhirat disebabkan kekayaan. Walaupun dia merupakan salah seorang para sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w. Ketika dia bersedekah, dia menangis kerana mengingatkan Rasulullah s.a.w yang tidak pernah kenyang dengan roti dan gandum.

Kebimbangan dan keimanan seperti Abdul Rahman bin Auf inilah yang perlu ada dalam jiwa mereka yang ingin menjadi kaya. Tanpa menafikan sumbangan umat Islam yang memiliki jiwa seperti sahabat Rasulullah yang agung ini, tapi sekadar memberikan tazkirah, supaya kita sentiasa menjadikan dunia itu di tangan bukan di hati, menjadikan dunia dan segalanya itu hanya alat untuk menyemai benih-benih manfaat, menuju Akhirat sebagai matlamat.

Posted in | 3 Comments

Untukmu Rasulullah

Alam berpesta saat kelahiran insan agung,
Makhluk terbaik yang disebut Tuhan
di lembaran hikmah.

Dia merintis kemurnian hidup
mencantas jahil
yang mencemar kudus jiwa.

Dia menafaskan jiwa kerdil
yang tenggelam saban waktu
pada fatamorgana dunia.

Dia mungkin buta pada takrif aksara,
rencam pada baris huruf
Namun pada jiwa dan minda
khalis dan pokta
dalam suluhan nubuwwah
gelandang ummah
dipimpin berhikmah,

Ya Rasulallah,

Kau persis nur bulan bintang penghias malam
Pada sebuah perjuangan
kau kental menanggung taufan fitnah
yang tidak pernah khali,
Meski lewat cabaran dan tohmah
kau langkah dengan berhemah.

Kau layarkan bahtera adil dan jujur
yang diandal jiwa-jiwa sani
lewat keberkatan mukjizat
dan tarbiah Ilahiyyah,
Biar ribuan suda menghalang sabil
Kau cantas dengan pedang sabar dan cekal

Mereka akui kau insan pilihan
Namun bejat nafsu menghalang atma dari akur,

Biarlah pawana jahil itu berterbangan
Biarkan badai nafsu itu menghempas,
Kau tekal dengan misi,
Merentas gendala buta dan terjal
dengan iman dan hikmah Ilahi,
Garisah perit dan dukamu itu bagai rasa si penagih metia
menjumpai sahmura di mahligai impian.

Dari langit lazuardi cerah ke mega senja,
Kau tamsilan sebuah meditasi hidup
ilham perjuangan mujahid,
figura sanubari

Tiada kata yang terungkap dengan sahsiah dan budi,
Tiada nilai dan matra yang terukur dengan halus bicara,
Hanya terukir stanza dhaif
daripada seorang insan fakir
dalam zikir fikir
kalangan ummahmu yang litir

Demi ummah,
Kau rasai perit jasmani,
Kau lalui sayatan rohani,
Kau lontarkan mewah berahi,
Kau jauhkan manikam duniawi.

Pengorbananmu menjadi inspirasi,
Semangatmu mengalir di setiap sendi dan nadi,
Perjuanganmu nalar mengakar ilusi,
Kau terus hidup menyubur hati.

Wahai Rasulullah,
Kaulah perwira diri dan bukti cinta sejati,
Lantaran sayangmu pada ummah mengatasi kejerihan,
Sehingga pada akhir zaman usia
kekal meniti di bibirmu yang mulia...
"Ummati... ummati... ummati..."

Amiza Khusyri Yusof, Kaherah, 2004.

Sollallah A'la Muhammad, Sollallah A'laihi Wasallam.
Salam Maulidurrasul 1432H!

Posted in | 2 Comments

Cabar diri untuk terus mencuba

Setiap hari dalam hidup kita sentiasa menghadapi sesuatu yang baharu, sama ada sesuatu yang baharu itu kita hadapi tanpa dipinta atau kerana desakan dan dorongan yang menjadikan kita terpaksa menghadapinya. Begitulah lumrah dalam hidup, bertemu sesuatu yang baharu dan yang membezakan ialah bagaimana seseorang mendepani dan menangani situasi tersebut.

Apabila menghadapi sesuatu yang baharu dalam hidup maka kita akan bertemu dengan tiga jenis manusia. Pertama ialah manusia yang berani dan berusaha sedaya upaya untuk menghadapinya. Kedua ialah jenis manusia yang tidak apa-apa, yakni sama ada melakukan atau pun tidak, bukan sesuatu yang penting baginya. Ketiga ialah manusia yang langsung tidak mahu menghadapi dan gagal jiwa untuk mencuba.

Tentulah manusia yang pertama itu ialah manusia yang bersemangat waja, sentiasa melihat sesuatu yang baharu itu sebagai cabaran yang perlu didepani. Semangatnya kental dan tidak takut dengan kegagalan. Dia sentiasa optimis dan berfikiran positif. Manusia yang kedua pula ialah manusia yang tidak tahu apa-apa. Yang sentiasa tidak suka berfikir dan menerjemah sesuatu yang dihadapinya sebagai proses untuknya lebih mengenali diri dan Pencipta. Manusia ini statik dan tidak sukakan persaingan. Manusia yang ketiga pula tentulah yang lebih mengecewakan. Dia seorang takut gagal, pesimis dan sentiasa negatif dalam persepsi dan tindakan yang dilakukannya.

Tahukah kita bahawa proses mendepani sesuatu yang baharu setiap hari dalam hidup merupakan suatu simbol kepada penambahan ilmu dan pengalaman? Ya, inilah yang menunjukkan hakikat kita sebagai seorang hamba di sisi-Nya, yang lemah dan sentiasa bergantung.

Kita dulu yang suka mencuba

Sedarkah kita, semasa kecil atau kanak-kanak jiwa kita sentiasa diwarnai dengan sikap suka mencuba?

Semasa telapak tangan dan jemari sudah pandai menggenggam, maka segala benda yang dijumpai akan digenggam sekuat hati. Semasa gusi gatal kerana gigi sudah mula tumbuh, maka segala benda yang berjaya digenggam akan disua ke mulut untuk digigit, dan ketika baru pandai berjalan, maka semua tempat pasti akan dijelajah. Kita suka mencuba sesuatu yang baharu semasa kecil, dan semuanya menjadikan kita semakin matang dengan ilmu dan pengalaman. Kita membesar dengan sikap suka mencuba kerana kita sentiasa menempuh perjalanan dan umur yang baharu.

Apabila kita membesar dengan sikap suka mencuba, maka ibu bapalah yang memainkan peranan untuk mengawal sikap mencuba itu melalui dorongan mahu pun larangan yang bernas untuk kita lebih mengenali makna kehidupan. Ibu bapa akan memastikan pilihan hasil dari sikap mencuba itu betul dan bertepatan dengan akal yang waras serta tuntutan syariat. Hasilnya, hidup kita akan jauh dari kemudaratan dan kebatilan. Proses tumbesaran kita dibajai dengan makna sebuah kasih sayang.

Pernahkah kita melihat dua keluarga yang singgah di suatu tempat yang sama dan mereka saling tidak mengenali, tetapi anak-anak mereka boleh saling bertegur sapa seperti sudah lama kenal?

Benarlah bahawa anak-anak itu jiwanya bersih, seperti kain putih, dan banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada mereka.

Suka mencuba yang sahih

Sikap suka mencuba yang dimaksudkan tentunya adalah sikap mencuba yang sahih, yakni sikap mencuba yang bertepatan dengan tuntutan Allah dan jauh dari larangan-Nya. Jangan sesekali kita mencuba sesuatu yang batil dan memudaratkan seperti rokok yang akhirnya mudah pula untuk kita mencuba buat kali yang kedua dan seterusnya. Sikap mencuba yang tidak kena tempat ini tentunya akan merosakkan imunisasi jiwa kita dari dosa dan maksiat.

Perhatikan sahaja perokok-perokok tegar dan yang lebih teruk lagi ialah mereka yang terlibat dengan arak dan najis dadah, semuanya bermula dari pelawaan atau pengaruh teman-teman untuk mencuba. Firman Allah :

"Katakanlah : Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al-Maidah : 100)

Justeru, apa sahaja yang kita depani dan itu merupakan sesuatu yang baharu seperti masalah misalnya, lihatlah ia sebagai sebuah cabaran dan hadapilah dengan tenang dan bijak. Carilah jalan penyelesaian yang terbaik dengan berbekalkan sabar dan tabah. Mohonlah kepada Allah dan bertawakkal, insya-Allah Dia pasti akan mengabulkan, dan Dia tidak pernah memungkiri janji.

Gagahkan hati untuk terus mencuba dan mencabar diri sendiri untuk berubah. Kita tidak akan tahu dan merasai natijah selagi tidak mencuba. Biar kita gagal dalam percubaan berkali-kali, tetapi jangan sesekali kita gagal untuk mencuba!

Posted in | Leave a comment

Bahasa Kejayaan bernama Senyuman

Ada masa, ada waktu, ada ketika kadang-kadang dalam kehidupan ini, di atas amanah dan tanggungjawab yang banyak dan berjaya pula dilunaskan, kita inginkan penghargaan dan kerja-kerja yang kita lakukan itu dihargai. Apa sahaja yang kita lakukan, kadang-kadang penghargaan menjadi fokus yang didamba oleh perasaan dan hati, hingga luluhlah jiwa, sedihlah perasaan, hilanglah fokus pekerjaan yang dilakukan, dek penghargaan atau apresiasi yang didamba tidak diperolehi, tidak kunjung tiba.

Begitulah kehidupan, kadang-kadang penghargaan menjadi sebab untuk kita bekerja lebih baik, menjaga kualiti kerja dan berusaha memajukan diri. Penghargaan menjadi motivasi kepada jiwa, hati dan perasaan agar lebih tenang dan konsisten dalam segala pekerjaan dan perbuatan. Namun, penghargaan tidak harus menjadi semata-mata sebab, bukan objektif untuk kita melakukan sesuatu dengan baik dan berkualiti. Kerja yang bersungguh-sungguh dan berkualiti itu adalah saranan Allah serta Rasul-Nya. Allah suka kepada pekerjaan yang dilakukan secara tekun dan bersungguh-sungguh. Allah berfirman dalam al-Quran :

"Katakan Muhammad! Bekerjalah, akan dilihat oleh Allah hasil kerjamu itu, dan oleh Rasul dan oleh orang yang beriman."(At-Taubah : 106)

Justeru, usah meletakkan penghargaan manusia itu sebagai sasaran utama yang perlu dicapai dalam sebuah pekerjaan, kerana sesungguhnya Allah memandang dan suka kepada kerja-kerja yang baik dan dilakukan dengan iltizam. Apatah jika pekerjaan itu dilakukan hasil daripada tangan-tangan kita sendiri, atas usaha sendiri, maka nikmatilah ganjarannya di Akhirat kelak. Benar, ganjaran di dunia itu cepat dan kita mampu melihat serta merasainya, tetapi ganjaran di Akhirat itu lambat dan sesungguhnya itulah ganjaran terbaik dan tiada bandingan. Hanyalah sabar yang perlu menjadi benteng ampuh, memahat kukuh dalam tugu hati kita. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda menjawab : Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik." (Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Murahkan senyuman

Senyuman itu bahasa kejayaan. Orang yang tersenyum itu hatinya bersih, akalnya cerdas, jiwanya tenang, dan jalan-jalan kejayaan baginya terasa mudah. Dia mampu menelusuri kegagalan dengan gagah dan tabah, dia bangkit dari kekalahan dan kegagalan itu, walaupun sudah tersungkur seratus kali. Jika ada yang berkata kepadanya, "Anda sudah kalah dan gagal seratus kali," Dengan pantas dia akan menjawab, "Tidak, aku bukan gagal atau kalah, tetapi aku telah menjumpai jalan bagaimana gagal atau kalah seratus kali, dan bagaimana bangkit dari kegagalan-kekalahan itu."

Ya, lakarlah kejayaan dengan senyuman, melalui murahnya senyummu. Senyum itu melambangkan perasaan, rasa dihargai dan menghargai seseorang. Bahkan senyuman itu suatu sedekah, dan ada pahala pada setiap senyuman yang diluhurkan dengan ikhlas dan berniatkan ukhuwwah atau kesatuan. Sesungguhnya sebuah senyuman yang berkualiti dan berharga itu mampu menghilangkan tekanan yang dilalui setiap hari.

Bayangkan bagaimana perasaan seorang suami yang pulang bekerja disambut isterinya dengan senyuman.

Bayangkan bagaimana perasaan seorang isteri yang pulang bekerja, dan bertemu suaminya buat kali pertama dengan senyuman manis.

Bayangkan bagaimana seorang pengurus dalam sebuah organisasi, tersenyum kepada pekerja setibanya di pejabat pada awal pagi.

Bayangkan perasaan kita, apabila kita melihat setiap orang memulakan harinya dengan bahasa kejayaan bernama senyuman.

Ya, dan perlahan-lahan di bibir kita mengukir senyum, sebelum ucapan bermula dengan kalimah, "Assalamualaikum!"

Justeru, jangan melangkaui sunnah kejayaan bernama senyuman!

Ucapkan terima kasih

Hanya dua perkataan. Ya, hanya dua perkataan yang melambang apresiasi kita kepada seseorang yang membantu, mencerahkan, atau pun yang memudahkan urusan kita. Namun, amat sukar untuk kita lafazkan sehari-hari. Dua perkataan yang berbentuk huluran perasaan, keluhuran jiwa dan rasa kasih sayang. Dua perkataan ini adalah hasil dari sikap empati kita kepada seseorang, tanpa mengira usia, pangkat dan martabat.

Jarang benar dua perkataan ini terbit di bibir kita. Apabila mengambil tiket di tol, mengambil sesuatu daripada seseorang, melihat seseorang yang selesai mengangkat barang ke tempat yang dikehendaki dan pelbagai situasi, kita sukar untuk mengucapkan dua perkataan itu.

Dua perkataan itulah ucapan terima kasih.
Betapa ucapan terima kasih ini akan memperkukuh tautan, memberi motivasi dan penghargaan kepada si penerima. Ucapan yang menenangkan hati, mengukuhkan jiwa, mencetuskan nostalgia manis dalam hati. Seseorang yang mengucapkan terima kasih bersama semulus senyuman di bibirnya akan diingati dan kita berbesar hati pula untuk terus membantu atau melakukan sesuatu untuknya tanpa dipinta. Ingin melihat kesenangan saudara, bukankah itu tanda kesempurnaan iman?

Saya bukanlah seorang penceramah dan jurulatih profesional, mahupun seorang penasihat dan perunding motivasi yang hebat ternama, tetapi saya hanyalah seorang guru kecil di sebuah daerah terpencil bernama Gemencheh, yang ingin melihat anak bangsanya cemerlang dan berjaya dengan al-Quran di dada. Memenuhi ciri-ciri "Kana Khuluquhul Quran". Saya hanya seorang penulis kecil yang ingin berbicara soal kehidupan.

Mulakan tahun baharu kita dengan menjadi Mukmin yang lebih baik, dalam kehidupan yang lebih cemerlang. Pada kesungguhan kita dalam setiap perkara yang dilakukan, menuturkan bahasa kejayaan bernama senyuman, dan melazimi lidah dengan ucapan terima kasih itu boleh dijadikan permulaan kepada sebuah kehidupan yang cemerlang. Kehidupan adalah sebuah perjalanan, untuk kita mengutip bekal buat Hari Pembalasan.

Terima kasih! :-)

Posted in | 2 Comments

Tarbiah hidup, berusaha sepenuh hati dan pada kejauhan itu keakraban

Saya baru sahaja menghabiskan Kursus Induksi Umum 2010 di Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan, Port Dickson, dan kini meneruskan tugas pendidik sebagai pemeriksa kertas peperiksaan sebuah subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mungkin inilah makna kerehatan dan kelapangan yang telah ditetapkan Tuhan buat diri ini. Hanya saya sahaja yang perlu bersyukur dan memohon ampun dari-Nya supaya terhindar dari segala kehinaan.

Sesungguhnya banyak pengalaman dan pengajaran yang ditimba sepanjang perkampungan selama 12 hari di Port Dickson, dan saya menerimanya sebagai sebuah "tarbiah hidup" yang perlu dilalui. Apa yang penting sebagai seorang manusia, kita amat memerlukan latihan atau program agar sentiasa menikmati sesuatu yang baharu dan bersemangat menjadi seseorang yang lebih baik. Ada dalam kalangan kita yang gemar memprogramkan, memberi latihan, tetapi tidak suka diprogram dan dilatih, maka ini adalah sikap negatif atau sebenarnya merupakan tembok-tembok yang menghalang kemajuan diri.

Usah takut, leburkan ego dan bersedialah untuk diprogram dan dilatih. Mustahil di sepanjang sesi atau aktiviti yang diikuti, kita tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dinamakan sebagai perkara atau pengajaran baharu. Aktiviti sama yang kita lakukan setiap hari misalnya, sentiasa menemukan kita kepada perkara-perkara yang membawa pengajaran-pengajaran baharu dalam hidup, inikan pula program yang akan diikuti cuma mungkin seminggu sekali, sebulan sekali, setahun sekali, apatah seumur hidup sekali.

Berusaha untuk sentiasa sepenuh hati

Apabila sudah dinyatakan syarat-syarat atau peraturan-peraturan untuk diikuti sepanjang program, maka datanglah keluhan, kegelisahan, kebimbangan dan tidak senang hati. Tidak mengapa, kerana itulah sifat manusia yang memiliki "rasa", tetapi ingatlah, bahawa Islam tidak hanya ditentukan oleh rasa semata-mata. Jika rasa menjadi penentu kepada natijah yang baik dalam menunaikan kewajipan agama khususnya, maka mesti ada yang menyatakan bahawa solat seorang diri di rumah lebih "rasa" khusyuk dari solat berjemaah di masjid. Ya, agama itu bukan rasa, tetapi bertunjangkan Tauhid, Syariah dan Akhlak.

Cubalah untuk mengikuti program atau apa sahaja sesi yang diwajibkan dengan sepenuh hati dan rasa rendah diri. Walaupun kadang-kadang apa yang disampaikan itu kita sudah tahu, tetapi berikanlah tumpuan dan fokus seolah-olah kita tidak tahu dan berusaha mencari sesuatu yang baharu yang mungkin datang melalui idea, cara penyampaian, naratif atau sudut pandang yang berbeza. Berusahalah untuk mengikuti setiap sesi dengan sepenuh hati, apabila diminta bersuara, bersuaralah, apabila diminta diam, diamlah, apabila diminta berikan kerjasama, berikanlah kerjasama sebaik mungkin, dan yang penting apa yang disuruh tidak menyalahi perintah syarak.

Bersikap empatilah, letak diri kita di tempat penceramah atau penganjur. Tentu kita inginkan peserta yang ceria, yang memberikan kerjasama dan memperolehi natijah yang baik daripada apa yang telah kita sampaikan atau anjurkan. Apabila berprogram atau ditarbiah, sebenarnya kita telah menghindari kekosongan masa, kesenggangan aktiviti dengan sesuatu yang bermanfaat. Dan apabila usai program, jangan diandaikan segala proses telah berakhir, kerana apabila tamatnya sesebuah program, maka sebenarnya kita sedang menempuh sebuah "permulaan". Permulaan untuk kita terus berubah menjadi lebih baik.

Sesungguhnya bergembiralah bagi mereka yang sabar dan redha.

Jauh yang mendekatkan

Jauh-jauh itu sebenarnya mendekatkan. Perpisahan itu mengakrabkan.

Apa sahaja yang bermaksud sama dengan nama "perpisahan" sebenarnya adalah ruang dan peluang untuk kita melihat diri dan kembali mengingati saat bersama insan-insan yang kita sayangi - anak, suami, isteri, ibu, bapa, kaum keluarga dan sahabat handai. Ruang jeda itu sangat bermanfaat kerana di situlah kita akan lebih mengenali siapa diri apabila bersama mereka. Kita akan sentiasa mengenang saat-saat kecelaruan dan kekhilafan kita kala bersama insan-insan yang kita sayangi ini. Sebetulnya itulah proses muhasabah, untuk kita kembali menghitung makna sebuah perhubungan dan ikatan. Kita akan kembali menghargai saat bersama, saat mereka ada, dan berharap dapat dipertemukan semula.

Jauh di sudut hati, kita tidak menginginkan perpisahan itu merupakan perpisahan selama-lamanya di dunia, yakni proses untuk kita atau mereka yang kita sayangi berhijrah ke alam Barzakh. Kemungkinan ini biasanya akan muncul dalam minda apabila berlaku perpisahan, dan sesungguhnya perkara itu tidak mustahil boleh berlaku. Maka jadikan doa sebagai amal rutin di sepanjang perpisahan itu. Jika perpisahan nyawa benar-benar berlaku, berdoalah agar kita akan bertemu mereka di Jannah, dalam keadaan yang tenang dan selamat di sisi-Nya.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia bermohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah : 186)

Berdoalah, kerana doa akan memperkuat harapan, dan membenam segala prasangka kita terhadap Tuhan. Perpisahan itu menguatkan, dan tanpa perpisahan kita tidak akan menghayati makna sebuah pertemuan.

Posted in | 1 Comment

Mukmin berkorban, mengakar ikhlas, menunjang cinta

Saya masih ingat ketika di Mesir dahulu, ketika menyusur jalan berulang-alik dari muhadharah ilmu ke Rumah Anak Negeri, banyak benar kibas, kambing atau pun biri-biri yang ditambat di halaman rumah masyarakat Arab Kaherah. Kaherah, antara kota terpadat di dunia, dan suasana itu pula membelenggu lebih kurang seminggu sebelum Eidul Adha. Betapa syiar korban terasa hidup dan kisah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail begitu akrab di hati.

Korban bukan cerita binatang apa, bukan cerita berapa banyak haiwan yang perlu dikorbankan, atau cerita sup dan rendang, tetapi korban adalah cerita tentang kualiti. Kualiti yang dimaksudkan adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan keikhlasan dalam melakukan ibadah. Ibadah Korban adalah puncak kepada segala ibadah seperti yang digambarkan dalam kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Kita maklum bagaimana Nabi Ibrahim diarahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail dan setelah Nabi Ibrahim memberitahu perihal itu kepada anaknya, maka Nabi Ismail lekas-lekas memberi pengukuhan agar Ibrahim melaksanakan suruhan itu tanpa gentar dan ragu (rujuk surah al-Saafat : 102-107).

Betapa dalam kisah itu kita disuguhkan dengan pengertian taqwa melalui pengukuhan Tauhid dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Ismail. Bagaimana mereka menurut perintah tanpa rasa gentar dan ragu. Amatlah penting untuk kita menjadi Mukmin Tauhidik, iaitu penolakan sepenuhnya dari bertuhankan hawa nafsu atau diri sendiri, penolakan mutlak dari bertuhankan darah dan keturunan, dan penolakan sepenuhnya inilah yang akan membentuk rasa cinta yang tulus kepada-Nya, tanpa syarat.

Sejarah telah membuktikan bahawa manusia yang bertuhankan nafsu, bertuhankan darah dan keturunan menjadi punca segala kerosakan dan kemungkaran di atas muka bumi. Firaun dan Qarun dua manusia yang bertuhankan nafsu, hidup bergelumangkan harta benda dan pangkat, akhirnya jatuh tersungkur dalam azab Allah s.w.t.

Pengorbanan itu Cinta

Cuba lihat dengan mata hati siapa yang telah banyak berkorban untuk kita selama ini. Tarik nafas dan himbau kembali diri kita sebelum kita diciptakan. Kita tidak wujud, tetapi Dialah yang telah menciptakan kita kepada wujud. Dialah yang meminjamkan roh, dan segala macam nikmat kepada kita sehinggalah apa yang kita miliki pada hari ini. Namun, berapa ramai yang kufur kepada-Nya, dan begitu ramai pula orang Islam yang tidak bersyukur. Firman Allah s.w.t :

"Mengapa kamu kufur dengan Allah, pada hal kamu dahulunya mati (tiada), lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan, kemudian dihidupkan kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya." (al-Baqarah : 28)

Kemudian, cuba kita imbas semula sejarah sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Di sanalah dua orang insan yang selalu berkorban segalanya untuk kita, tanpa mahu walaupun seekor semut kecil menjalar dan menggigit tubuh kita yang kerdil. Dua insan yang menjadi asbab kepada kewujudan kita pada hari ini, merekalah yang bernama ibu dan ayah. Segala pengorbanan mereka tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata atau apa-apa sahaja bentuk materi, dan sesungguhnya mereka tidak pula meminta untuk dibalas, kerana tentulah itu semua telah memberi gambaran tentang makna sebenar sebuah cinta.

Hitunglah berapa ramai insan-insan yang banyak berkorban untuk kita, supaya kita tekal mendoakan mereka dalam kebaikan. Dan teruskanlah berkorban untuk insan-insan yang kita sayangi pula, dan jangan lupa lakukan pengorbanan dengan rasa cinta. Pengorbanan yang lahir atas dasar cinta akan menyebabkan kita seolah-olah tidak berasa kehilangan apa-apa pun di atas pengorbanan itu, malah rasa bahagia, puas dan ria akan muncul dalam kalbu melihat kegembiraan orang lain. Dalam usaha menggapai bintang, jangan dilupakan orang-orang di sekeliling yang telah banyak berkorban untuk kita. Saya terpikat dengan kata-kata ahli falsafah Albert Schweitzer ini - in the hopes of reaching the moon men fail to see the flowers that blossom at their feet.

Ikhlas kerana Allah

Songsonglah hatimu agar selalu bermuhasabah tentang ikhlas. Keikhlasan itu pentadbirnya adalah hati, maka pastikanlah hatimu selalu bersih dengan ilmu dan ibadah yang sahih. Hanya kita yang dapat menilai dan menghitung hati sendiri. Hitunglah hati sebelum ia dihitung di hadapan Allah s.w.t kelak.

Apabila pengorbanan dipacak berpaksikan kebergantungan terus kepada Allah, maka di situlah akan hadirnya kekuatan sabar menghadapi, dan munculkan keadaan redha dalam hati. Oleh itu, hadapkan dan hadirkan hati terus kepada Allah atas segala apa yang ingin dilakukan, barulah amalan itu akan dinilai sebagai suatu ibadah. Insya-Allah, segala pengorbanan yang dilakukan akan dinilai sebagai kebajikan di sisi-Nya.

Pastikan pula setelah melakukan sekian banyak pengorbanan itu, jangan pula mengeluh jika terpaksa mengulangi pengorbanan demi pengorbanan yang sama, agar tidak pula sia-sia segala kesusahan dan perit jerih dek keluhan dan omelan. Tahan kekeluhan dalam hati, ubati hati bahawa inilah kebajikan untuk Akhirat, dan bekerja untuk Akhirat balasannya tidak segera, hanya perlu percaya, kerana percaya itulah iman.

Selamat menjadi Mukmin yang berkorban, menyempurnakan makna "kualiti", kerana tiada ibadah tanpa keikhlasan dan tiada kualiti tanpa ketaqwaan.

Pengorbanan itu akarnya ikhlas, tunjangnya cinta.

Posted in | Leave a comment

Mencari ketenangan atas nama Taqwa

Pernahkah kita ditegur atau dikritik dalam kehidupan ini? Dan sebab itu telah melahirkan rasa tidak puas hati? Rasa itu begitu menyenakkan, hingga menghindarkan tenang dan selesa?

Perasaan tidak puas hati apabila ditegur oleh seseorang itu adalah lumrah. Yang membezakan diri kita masing-masing ialah bagaimana kita mengendalikan rasa tidak puas hati itu, yakni disusuli dengan tindakan yang betul atau tindak balas yang salah. Apatah bila hati sepenuhnya dikuasai nafsu dan perasaan, tentulah kesan buruknya sukar dijangka - berbalah, bergaduh, tidak bertegur sapa, bermasam muka, mengeji, mengumpat, dendam dan akhirnya membawa kepada fitnah memfitnah.

Tentunya apabila diri bertunjang iman dan berbumbungkan akal maka kita akan menjadikan rasa tidak puas hati apabila dikritik atau ditegur itu sebagai cermin yang memantulkan "wajah" sebenar kita. Kita akan kembali melihat dan merenung diri, lantas mengaku betapa diri yang lemah ini amat mudah tersadung, tidak terpelihara dari melakukan dosa, tidak pernah sunyi dari kekhilafan, dan sesungguhnya semua itu akan kembali mengingatkan status kita sebagai seorang "hamba". Ya, hanya seorang hamba kepada Tuhannya.

Tidak mengapa jika berbeza pandangan, tapi jangan memaksa orang lain untuk menerima pandangan kita. Bersikap asertif dan mewujudkan situasi menang-menang lebih penting, terutama dalam memelihara ukhuwwah Islamiah. Firman Allah s.w.t :

"Tidak berselisih orang yang telah diberi kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) dalam kalangan mereka." (Ali Imran : 19)

Teguran itu kasih sayang

Sedar atau tidak, rupa-rupanya kita pada hari ini telah membesar dan matang di atas teguran demi teguran insan-insan di sekeliling kita. Teguran dan bebelan seorang ibulah yang banyak mengawal dan mengingatkan kita tentang makna dan matlamat sebuah kehidupan. Saya pernah mendengar dialog-dialog begini :

"Saya berjaya pada hari ini adalah sebab leteran ibu saya." Ungkap seorang remaja.

"Saya peroleh akhlak dan adab, menutup aurat seperti ini adalah kerana mulut bising ibu saya." Kata seorang remaja perempuan.

"Saya bersyukur ustaz sebab ayah tak pernah jemu menegur dan marah saya," kata seorang pakcik, yang menjadi imam di sebuah masjid.

Benarlah bahawa teguran demi teguran yang kita terima adalah hasil daripada kesilapan dan kesalahan diri sendiri yang kita tidak sedar, tetapi orang lain menyedarinya. Atau mungkin kita pura-pura tidak sedar dek diri yang diselubung nafsu dan jauh dari fungsi akal. Saya tertarik dengan kata-kata pemikir Barat, Ralph Waldo Emerson - most of the shadows of this life are caused by our standing in our own sunshine. Dan kita hanya nampak bayang-bayang, jarang benar kita melihat diri sendiri. Kita yang berdiri, tapi yang kita nampak hanya bayang-bayang.

Benarlah bahawa teguran dan kritikan itu merupakan kasih sayang. Dan apabila kita melihat teguran dan kritikan itu sebagai suatu bentuk kasih sayang, pasti akan datang sikap bersangka baik, dan rasa tenang pasti akan perlahan-lahan menyusup dalam kalbu. Bersahabatlah dengan orang yang menegur anda, maka anda akan mengetahui sedikit dari kesilapan anda. Bahkan sayangilah orang yang menegur anda, maka dia akan memberitahu kesilapan anda satu persatu. Teguran dan kritikan itu menghidupkan akal, jika kita melihatnya melalui mata hati.

Tiada teguran, tiada kritikan, yang ada cuma kasih sayang.

Menjadi pendengar yang baik

Tidak dinafikan dengan tekanan hidup yang semakin mendesak, pengetahuan dan kecintaan kepada Allah tidak menguasai suasana hidup, maka kita tidak cukup kuat untuk mengendalikan hati. Apatah kadang-kadang orang yang menegur juga tidak tepat masa dan caranya. Maka cuba melatih diri untuk menjadi pendengar yang setia. Dorong diri untuk bersabar dan menjadi pendengar yang baik. Sikap atau tuntutan pekerjaan untuk kita lebih responsif pada setiap perkara, aktif pada setiap ruang komunikasi, telah melupakan sejenak hak dan peranan untuk kita menjadi seorang pendengar yang baik.

Memang bukan mudah untuk menjadi pendengar yang baik, selain harus memiliki upaya fokus, tumpuan dan eye contact, menterjemah situasi dan keadaan, kita juga memerlukan upaya sabar. Dan kesabaran itu perlu dipupuk dan dibentuk hasil dari hubungan yang mantap dengan Allah, supaya akhirnya kita percaya, bahawa dengan kuasa-Nya juga kita mampu dan boleh menyelesaikan sesuatu perkara. Sabar yang ditunjangi tauhid, akan meletakkan harapan yang cerah dalam diri sebagai seorang musafir perjalanan kehidupan menuju Akhirat.

Jangan sesekali menolak untuk ditegur dan dikritik, dengarlah dengan baik, dengarlah dengan setia, kerana kita mesti mahu orang memahami kita, maka fahamilah orang lain dahulu supaya kita akan difahami - seek to understand then to be understood - dan meletakkan diri pada posisi orang lain, akan memurnikan sistem kepercayaan dan nilai, menjadikan kita lebih memahami erti kejadian, makna kehidupan, kerana matlamat hidup kita tiada lain melainkan untuk menggapai redha Tuhan. Apabila kita menjadi pendengar yang baik dan setia, maka mungkin apa yang ditegur itu tidak benar dan tidak betul, maka tentu orang yang menegur akan lekas pula sedar akan kekhilafannya lantas terpaut dengan kemurniaan sikap dan akhlak kita yang baik, maka jadilah kita insan yang bersaudara kerana-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis riwayat Muslim :

Dari Tamim ad-Dari, bahawa Nabi S.A.W bersabda: "Agama (Islam) itu nasihat." Para sahabat bertanya 'Kepada siapa?' Rasulullah s.a.w bersabda, 'Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada para pemimpin kaum muslimin secara umumnya."

Binalah perubahan bermula dengan diri sendiri. Hanya kita yang mampu membuat perubahan yang lebih baik kepada diri kita sendiri. Setiap hari kita perlu berubah, kerana kita perlu menjadi Muslim yang lebih baik dari semalam. Segalanya terletak pada diri sendiri. Percaya atau tidak, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan seseorang ialah dengan mendengar. Saya suka dengan kata-kata Pengarah Kualiti, syarikat terkenal Motorola ini - i don't sit on top of a mountain and get these visions of what we ought to do, I have to find out from other people. I have to do a lot of listening.

Tiada orang lain, hanya kita, hanya anda. Kitalah punca yang boleh membawa kegembiraan dan ketenangan dalam hidup. Ada orang yang mencari ketenangan dengan bekerja sekuat-kuatnya, berhibur semahu-mahunya, atau seperti di Barat, mengadakan aktiviti-aktiviti yang di luar duga dengan niat untuk mencari ketenangan yang hakiki. Dan kita sebagai Muslim, dalam diri kita ada ketenangan itu. Renung ke dalam diri, lihat dengan mata hati, maka kita akan temui fitrah dan akal, lantas berikhtiarlah untuk mencari ketenangan di sisi Allah atas nama taqwa. Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." (Ar-Ra'du : 11)

Saya akhiri dengan kata-kata David Burns yang dipetik melalui bukunya Intimate Connections - there is only one person who could ever make you happy, and that person is you!

Posted in | 1 Comment

Menulis itu memberi, biar kukuh akar peribadi, supaya kenal siapa diri

Setelah mendapat pelepasan untuk mengisi slot penulisan di USIM, kenangan semasa membimbing calon penulis di bawah Kem Latihan Penulis, PMRAM di Mesir kembali mercup di minda. Saya mengembara ke Mansoura, ke Iskandariah, untuk berbicara seputar penulisan bersama mahasiswa dan mahasiswi Al-Azhar pada ketika itu. Betapa waktu itu saya amat tekun menggulati karya-karya penulis-penulis yang lebih senior, sehingga saya menyediakan satu folder khas di komputer peribadi menempatkan cerpen-cerpen terpilih untuk saya belajar teknik, olahan bahasa, ilmu dan cara penulis mengkritik masyarakat dalam cerpen-cerpen mereka.

Saya amat akrab dengan karya-karya sastera, sehingga dengan penuh ghairah menjejaki karya-karya ulung Sasterawan Negara atau penulis mapan tanah air. Karya-karya seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Seorang Tua di Kaki Gunung, Imam, Salina, Sesegar Nailofar, 1515, dan semua novel berkualiti dan diiktiraf telah saya khatami dan masih agam di cepu fikir. Bagi saya, seorang da'ie yang ingin menulis perlu mengenali sosio-budaya dan jati diri masyarakatnya sebelum memulakan penulisan. Amat penting seorang da'ie mengenali karya-karya Sasterawan Negara dan diiktiraf sepanjang zaman ini, supaya akar sejarah akan mantap membesarkan minda dan mematangkan perjalanan kita sebagai seorang penulis dan juga da'ie. Apabila berada di perantauan, lebih menanam kepuasan dan rasa bersungguh untuk saya kembali mencari akar diri dan peribadi, kembali mencari susur sejarah diri.

Di USIM, hati terasa kembali dikocak kenangan lalu, lantas rasa rindu kembali membuyar. Melihat semangat anak-anak muda, melihat azam dan tekad, melihat niat yang kudus, benar-benar memantulkan sebuah inspirasi untuk saya kembali melihat diri. Saya sedar, bahawa kehidupan yang dilalui hanya sebuah perjalanan yang tidak boleh diulang kembali. Yang paling penting di sepanjang perjalanan itu ialah kita tidak meninggalkan duri-duri, halangan-halangan atau batu-batu yang mencederakan, menyulitkan atau melambatkan orang lain di belakang kita, yang akan mengikuti jalan yang sama. Seperti kata-kata ahli politik dan sasterawan Inggeris, Sir Edward Bulwer-Lytton - to find what you seek in the road of life, the best proverb of all is that which says, "Leave no stone unturned."

Yakin dengan diri sendiri

Setiap orang boleh menulis. Yakinlah dengan diri sendiri bahawa kita boleh menulis. Sebelum yakin kepada diri sendiri, yakinlah benar-benar dengan Allah dahulu bahawa kita mampu. Keyakinan yang utuh kepada-Nya akan menyuburkan keyakinan sebagai seorang "khalifah" dalam diri kita. Kita percaya, bahawa menulis ini adalah tugas khalifah. Salah satu dari tugas khalifah ialah berdakwah dan apabila berdakwah, maka penulisan menjadi amanah yang perlu digalas. Apakah tidak berbekas dalam hati apabila kita melihat penderitaan saudara seIslam kita di sana-sini? Apakah kita tidak mahu melakukan sesuatu apabila melihat kemungkaran yang semakin menjadi-jadi? Apakah cukup kita hanya menjadi penonton terhadap kezaliman yang semakin berleluasa?

Ya, jadikan penulisan sebagai jalan untuk membetulkan segala kepincangan, berkongsi ilmu pengetahuan, supaya kita menjadi seorang Mukmin yang berperanan. Justeru, sila tanya diri, kita tidak boleh atau sebenarnya kita tidak mahu?

Apabila kita memilih untuk menulis, maka kita juga telah memilih untuk menjadi orang yang proaktif dan bukannya pasif. Seorang pendakwah dituntut untuk bergerak dan berperanan dalam segala ruang dan peluang yang diperolehinya, terutama dalam konteks mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Sejarah telah membuktikan bahawa penulisan merupakan medan komunikasi yang kekal dan mampu menghubungkan manusia yang jauh melalui persuratan. Kita juga tidak akan mampu mendalami pemikiran Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Imam Al-Ghazali, Imam Nawawi dan ramai lagi tokoh-tokoh salafussoleh tanpa hasil penulisan mereka. Tulisan-tulisan mereka kekal sehingga boleh dibaca oleh kita pada hari ini. Berbeza dengan bercakap atau berkhitobah, ruang dan peluang untuk didengari terbatas kepada yang mendengar, dan adakalanya apa yang diperkatakan itu, cepat pula dilupakan dan tidak mungkin dapat diulang kembali.

Firman Allah s.w.t :

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." (Ali Imran : 110)

Percayalah sebelum menulis. Percaya kepada diri sendiri. Percaya, bahawa kita ummah terbaik, ummah Rasulullah s.a.w yang sangat dikasihi baginda. Siapa pun kita, yang mungkin buruk pada pandangan orang lain, mungkin rendah taraf pada tanggapan sesetengah orang, mungkin memiliki kekurangan berbanding orang lain, tetapi kita tetap ciptaan-Nya yang terbaik. Mulakan kerja-kerja menulis, letakkan matlamat taqwa, dan kita mungkin tidak berjaya menjadi seseorang di dunia, tetapi semoga kita akan menjadi 'seseorang' di sisi-Nya kelak. Allahumma Amin!

Saya tertarik dengan kata-kata seorang pemikir barat Ralph Waldo Emerson - self-trust is the first secret of success.

Menulis itu memberi

Ikhlaskan niat untuk menulis. Niat yang betul akan menatijahkan sikap yang betul. Seorang penulis sangat penting memiliki sikap yang betul. Melalui sikap yang betul inilah akan membentuk rasa tanggungjawab yang betul dan matlamat yang tepat.

Seorang penulis yang baik, adalah seorang pembaca yang baik. Amat penting seorang penulis memilih bahan bacaan yang berkualiti untuk merangsang pembangunan mindanya ke arah sikap yang betul. Seorang penulis perlu rajin untuk pergi ke kedai buku serta melakukan pelaburan, dan sentiasa bersahabat dengan buku. Seorang pembaca yang baik ialah pembaca yang membaca bukan sahaja mengambil ilmu daripada buku, tetapi juga mengambil ilmu cara penulisan sesebuah buku itu. Malah, dia sentiasa peka tentang buku-buku baharu yang baik dan berkualiti yang berada di pasaran. Hatinya sentiasa ghairah untuk membaca seterusnya membangunkan diri. Kerana dia percaya, bahawa setiap hari dia ingin menjadi seorang Mukmin yang lebih baik!
Memberilah dengan menulis. Menulis itu pemberian di samping menyemai jariah berkekalan di Akhirat kelak. Namun ingat dan berwaspadalah, setiap apa yang kita beri, akan dipersoal pula di Akhirat nanti. Jadilah pemberi yang ikhlas, pemberi yang penuh kasih sayang, seperti rasa kasih seorang ibu menyusukan anaknya. Di sinilah kita akan lebih mengenal diri, memperhalusi niat dan peribadi, supaya perjuangan dan dakwah terus kita muhasabah, biar kekal utuh dalam sanubari. Habuan dan royalti tidak harus menjadi perkara utama, kerana Allah mengingatkan melalui salah seorang lisan Rasul-Nya :

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam." (As-Syu'ara : 109)

Memberilah tanpa mengharapkan balasan, memberilah melalui penulisan, memberilah dengan penuh rasa kecintaan. Jangan takut gagal, kerana orang berjaya itu gagal berkali-kali dan orang yang kalah itu hanya gagal sekali.

Menulis itu memberi, biar kukuh akar peribadi, supaya kenal siapa diri.

Posted in | 1 Comment

Kehidupan ini peluang, masalah itu cabaran, dan bimbing emosi dengan memberi

"Kita bermasalah!"

"Betul, kita bermasalah."

"Ya, memang kita ada masalah."

Berapa ramai dalam kalangan manusia yang tidak sedar bahawa dia sebenarnya mendepani masalah setiap hari. Masing-masing dalam kehidupan ini, mempunyai potensi untuk berdepan dengan segala masalah kerana dunia ini tiada jaminan. Malah hidup seorang Mukmin itu akan sentiasa diuji mengikut tahap imannya. Lebih tinggi imannya kepada Allah, maka lebih hebatlah ujian yang akan menimpanya.

Usah pesimis dan berpandangan negatif jika ada orang yang meminta kita untuk berubah. Jika sikap negatif kepada saranan dan permintaan untuk kita berubah itu terus melingkar di minda, dan tidak cuba untuk menghapuskannya, maka kita akan terus menjadi jumud dan orang yang sama pada setiap hari. Kita tidak akan maju dan sentiasa tenggelam dengan pandangan sendiri yang dirasakan baik dan sesuai. Maka, orang-orang yang ingin melihat kita berubah, dengan memberi saranan atau teguran akan mula menjauhi, sehingga akhirnya kita hanya akan dikelilingi oleh orang-orang yang suka mengampu, memuji dan menjulang kita setinggi-tingginya. Inilah orang-orang yang berkepentingan, yang hanya bersahabat dengan kita kerana sesuatu, dan apabila hilang sesuatu itu daripada kita, maka mereka semua akan bertempiaran lari, dan tinggallah kita seorang diri.

Ya, kita mesti sedar bahawa kita ada masalah, dan bersedialah untuk didorong supaya berubah.

Dunia ini suatu peluang

Menurut Imam Hasan Al-Basri, dunia ini hanya ada tiga hari. Hari kelmarin yang sudah berlalu dan kita tidak mampu lagi untuk mengubahnya. Hari esok, adalah misteri yang kita tidak tahu apakah kita akan masih memiliki kesempatan berada di dalamnya. Dan hari ini, kesempatan untuk kita melakukan amal soleh.

Benarlah bahawa kita perlu mendepani hari ini. Kita perlu menghadapi sekarang yang kita lalui dalam hidup ini. Yang lalu biarkan berlalu. Maka kita gunakan kesempatan dan peluang yang ada pada hari ini untuk kita menjadi lebih baik. Masa yang terbaik ialah di sini dan sekarang, bukan masa hadapan yang masih belum tentu dan pasti.

Seperti kata Saidina Ali Karamullahu Wajhah bahawa, rezeki yang tidak diperoleh hari ini masih dapat diharapkan hasilnya lebih banyak pada hari esok, tetapi waktu yang berlalu pada hari ini, tidak mungkin kembali esok.

Hari ini dan sekarang adalah perkara yang kita hadapi dan boleh kita usahakan, jadikan hari ini adalah milik kita, untuk kita gunakan sepenuhnya dengan kebaikan. Berfungsilah sebagai pekerja, ibu, bapa dan anak yang cemerlang, dan ikhlaskan niat sungguh-sungguh kerana-Nya, supaya segala apa yang kita usahakan bakal dinilai sebagai sebaik-baik amalan di sisi-Nya, insya-Allah.

Dunia adalah suatu peluang untuk kita menuai secukup-cukupnya amal kebaikan dan menyemai rasa cinta kepada-Nya dengan sepenuh hati. Dunia itu tiada jaminan untuk sesiapa, penuh ancaman di sana-sini, penuh risiko, kecuali orang yang tenang hatinya dalam rahmat Allah, redha dengan ketentuan dan percaya bahawa apa sahaja yang berlaku kepadanya adalah yang terbaik daripada Tuhan Yang Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.

Saya tertarik dengan puisi John Greenleaf Whittier ini :

No longer forward nor behind
I look in hope and fear;
But grateful take the good i find,

The best of now and here.


Usah bertangguh dan elakkan berkata "nanti". Lapangkan hati dan niat sungguh-sungguh. Sekarang, sentiasa peka dan bersedia dengan cabaran. Insya-Allah, kita akan menjadi Muslim yang lebih baik dari semalam!

Tukar masalah kepada cabaran, bimbing emosi dengan memberi

Hari ini dan sekarang, jika ada masalah yang bertandang kepada kita, maka lekas-lekas menukarnya dalam bentuk cabaran. Apabila paradigma kita berubah dalam melihat masalah, yakni melihat masalah sebagai suatu cabaran, maka kita akan berani menghadapinya. Kita tidak akan menjadi manusia yang lari dari masalah, atau memendam masalah itu dalam hati, sehingga membuak-buak dan akhirnya memakan diri sendiri. Adalah penting untuk kita meletakkan persepsi masalah sebagai cabaran, supaya kita akan berasa teruja untuk menyelesaikannya dengan cepat tetapi bijaksana. Betapa mudahnya selepas itu untuk kita mengukir sabar dan redha di tugu hati.
Apabila ditimpa masalah, ada orang mengambil langkah drastik dengan melepaskan tekanan melalui aktiviti yang negatif dan tidak bermanfaat. Sesungguhnya aktiviti tersebut boleh memudaratkan jiwa dan fizikal seseorang. Cuba ambil langkah selepas kita menukar masalah kepada cabaran, kita bimbing pula emosi yang tertekan itu dengan memberi. Tuntasnya, apabila kita ditimpa masalah, lapangkan hati dengan memberi manfaat kepada orang lain, sebab kita percaya, dengan memberi, rezeki kita akan bertambah, urusan kita dipermudahkan dan amanah serta tanggungjawab terasa ringan dan senang. Firman Allah Taala :

"Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan harta di jalan Allah serupa sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa saja yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnianya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah : 261)

Kehidupan ini peluang, masalah itu cabaran, dan bimbing emosi dengan memberi. Seperti kata-kata pengarang dan penerbit William A. Feather - one way to get the most out of life is to look upon it as an adventure. Dan cabaran itu adalah peluang, untuk kita menyemai benih Akhirat!

Posted in | Leave a comment

Bukan siapa-siapa, yang ingin menjadi seseorang

Saya bukan siapa-siapa, tetapi saya ingin menjadi seseorang, kerana sekiranya saya ingin mencipta sesuatu, saya perlu menjadi sesuatu.

Ya, kita semua bukan siapa-siapa di dalam kehidupan ini, tetapi setiap daripada kita selalu berusaha untuk menjadi seseorang dalam sesuatu bidang, sesuatu lapangan, atau apa sahaja yang kita ceburi. Apatah, kita mahu sentiasa menjadi seseorang dalam hati si dia yang kita sayangi.

Rasa ingin menjadi seseorang itu merupakan fitrah manusia, rasa inginkan perhatian, rasa mahu dikenali, rasa ingin menjadi itu dan ini, semuanya merupakan rasa yang tercetus daripada fitrah hidup seorang manusia. Apa yang menggerakkan seseorang berfikir sedemikian adalah daya imaginasi hasil dari rangsangan dan dorongan hidup masing-masing. Namun, amat penting bagi seseorang itu untuk mengenalpasti yang mana imaginasi dan yang mana angan-angan. Malah Albert Einstein pernah menyebut - imaginasi anda merupakan gambaran anda tentang kehidupan - your imagination is your preview of life.

Namun, sebagai Muslim, apa sahaja imaginasi yang memacu akal perlulah dimulakan dengan niat, sebelum disusuli dengan tindakan. Niatlah yang akan membezakan di antara adat dan ibadah. Niatlah yang akan menentukan kedudukan amal kita di sisi Allah.

Apakah yang lebih baik daripada kita menjadi seseorang di dalam bidang yang kita suka, atau menjadi seseorang di samping orang yang disayangi, berbanding menjadi 'seseorang' di sisi-Nya?

Imaginasi tanpa ilmu

Apabila seseorang berkarya, terutama dalam karya kreatif, peranan imaginasi sangat penting. Sebarang imaginasi yang dicurahkan dalam bentuk tulisan, jika dapat diolah dengan baik akan menjadi realistik dalam pemikiran pembaca. Pembaca akan terbawa-bawa bersama dalam struktur imaginasi yang dicipta oleh pengarang. Namun, sesungguhnya imaginasi tanpa ilmu itu sifar nilai. Imaginasi tanpa ilmu adalah seperti bermain bola sepak tanpa pintu gol. Seperti kata seorang pemikir Perancis, Joseph Joubert - seseorang yang berimaginasi tanpa belajar, mempunyai sayap dan tiada kaki - he who has imagination without learning, has wings and no feet.

Seorang Muslim yang berimaginasi tanpa ilmu, tanpa pengetahuan tentang syarak, ibarat mengheret dirinya ke arah dunia khayal dan seterusnya menyuburkan penyakit 'wahan' dalam hati sanubarinya. Imaginasi yang disuburkan dengan ilmu, akan menghasilkan produk yang bermutu, luhur dan yang paling penting mendapat 'kelulusan' daripada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan." (Luqman : 6)

Ya, imaginasi tanpa ilmu, sia-sia, malah boleh mengundang azab.

Amanah menggunakan akal

Akal merupakan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada manusia. Setelah Allah menciptakan nafsu atau syahwat sebagai ujian besar buat manusia, maka Allah ciptakan akal sebagai penyeimbangnya. Tidak cukup sekadar itu, Allah mengutuskan Rasul sebagai rahmat daripada kalangan kaum manusia sendiri sebagai wasilah kepada Risalah Wahyu, malah menjadi ikutan dan contoh yang boleh diikuti kerana para Rasul juga memiliki keperluan untuk hidup sebagai seorang manusia seperti makan, berkahwin, berkecindan dan segala macam seni kehidupan.

Islam meletakkan akal fikiran di tempat yang tinggi bagi manusia mentadbir bumi sebagai khalifah, berfikir tentang segala kejadian dan kesan ciptaan-Nya sehingga akhirnya mereka mampu mengenal Penciptanya. Contoh perbandingan kehebatan manusia sebagai khalifah ini Allah rakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud :

"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah (menerima amanah). Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (al-Hasyr : 21)

Semakin tinggi akal seseorang, semakin luhur jiwanya untuk mengekang nafsu atau syahwatnya. Ini kerana kemuncak akal seseorang akan mengembalikannya semula kepada basis agama atau teras syariat iaitu Tauhid.

Menggunakan akal untuk berimaginasi atau apa sahaja bentuk fikir merupakan amanah Tuhan kepada manusia. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, apatah apabila dicurahkan dalam bentuk yang 'jamid' pasti akan dinilai oleh Allah. Malah, seorang manusia juga mampu menilai bagaimana seseorang yang lain berfikir melalui tulisan-tulisan yang dihasilkannya.

Kata Imam al-Ghazali, akal itu perlu berfungsi seperti buah kepada pokok, cahaya kepada matahari dan pandangan kepada mata.

Jika mahu menjadi seseorang, pastikan akalmu berfungsi dengan ilmu, dan ilmu perlu selalu berpaksikan wahyu.

Posted in | 2 Comments

Seteguh Sebuah Ketenangan

Saya selalu melihat kedatangan Syawal sebagai suatu bulan untuk menilai "momentum Ramadhan" terhadap diri sendiri. Setelah sebulan berpuasa dan memelihara diri dari segala kelalaian dan kita penuhi malam-malam dengan pengisian ibadah dan ilmu, justeru malam terasa amat pendek dan singkat.

Saya masih ingat pengalaman berpuasa di Mesir dengan lampu-lampu jalan tergantung seperti tanglung, mengucapkan ahlan wasahlan kepada Ramadhan. Setiap saat dan ketika, masjid tidak pernah sunyi daripada pengunjung dan malam-malam terasa "hidup" dengan syiar dan ibadah. Tidak ganjil melihat di sana-sini, di dalam bas, di tepi jalan, di ceruk kota dan desa, akan ada Muslim yang duduk dan khusyuk membaca al-Quran di sepanjang Ramadhan. Suasana bersedekah dan alunan ayat suci al-Quran di corong radio menjadi teman di sepanjang permusafiran dalam bas atau teksi menuju ke kuliah atau cawangan pengajian. Suasana yang sukar untuk kita dapati di Malaysia khususnya.

Erti Ramadhan

Masih segar ketika saya mengunjungi sebuah masjid kecil di Kaherah, ketika sedang beriktikaf dan sedang menghampiri waktu berbuka, saya ditegur seorang lelaki tua yang saya sangkakan pengemis.

Namun, ketika saya menyeluk saku kocek untuk memberikannya wang, dia gesit memegang tangan saya sambil meletakkan tiga biji kurma di atas telapak tangan.

Saya terkesima, dan memandang lelaki Arab tua itu memohon pencerahan.

"Kenapa? Apakah seorang fakir seperti aku tidak boleh bersedekah?"

Subhanallah! Sesungguhnya peristiwa itu telah mengajar saya tentang erti sebenar Ramadhan. Telah mencerahkan kefahaman saya tentang kelebihan umat Muhammad s.a.w. Telah memberi panduan untuk saya sentiasa memperbaharui niat dan azam setiap kali tibanya Ramadhan.

Ya, tentang Ramadhan, kaya atau miskin, bukan alasan untuk tidak saling memberi!

Di Daerah Menoufia

Ketika berada di daerah pengajian bernama Menoufia, saya menghasilkan sebuah cerpen dalam bulan Ramadhan berjudul "Cinta Daerah Menoufia" yang terbit di Berita Minggu sekitar 2005. Dengan ketenangan dan suasana desa pertanian yang mendamaikan, sangat menyuntik inspirasi untuk menghasilkan karya dan bercerita tentang kehidupan. Pekan Shibin El-Kom, Jalan Ibli, Sungai Nil dan suasana pekan desa yang begitu menggamit jiwa untuk berfikir secara rasional dan kritis.

Apakah yang dicari dalam perjalanan ini melainkan sebuah ketenangan? Dan seungguhnya kita tidak akan menemukan sebenar-benar ketenangan melainkan dengan hidup bersyariat.

Di daerah Menoufia itu saya jauh dari hiruk pikuk kota Kaherah, jauh dari keripuhan dan kekalutan menguruskan organisasi. Dan di sana saya menemukan sepicing masa untuk mencari diri sendiri, menjejaki fitrah dan memuhasabah diri.

Tiada yang lebih meneguhkan hati dalam sebuah perjalanan bernama kehidupan, seteguh sebuah ketenangan.

Posted in | Leave a comment

Hari Raya dan Ramadhan yang dirindui

"Salam Aidilfitri ustaz, maaf zahir dan batin." Pakcik Muhsin tersenyum manis kepada saya pada pagi Syawal dalam perjalanan pulang dari masjid.

"Maaf zahir dan batin pakcik. Tahniah dan selamat menyambut hari kemenangan." Saya membalas dengan sekuntum senyum.

"Cantik baju ustaz!" Puji pakcik Muhsin.

"Alhamdulillah pakcik, segala keindahan ini adalah milik Allah, dan keindahan umat Islam pada hari ini melambangkan keindahan Islam."

Saya menghela nafas.

"Sebagaimana suci dan cantiknya pakaian kita pada hari ini, kita juga berdoa semoga Allah menyuci dan mencantikkan juga hati kita. Rasulullah s.a.w juga pakai pakaian yang paling baik di hari raya untuk menunjukkan keindahan Islam."

Pakcik Muhsin mengangguk.

"Apabila kita melihat pakaian yang cantik-cantik pada hari raya ini, itulah lambang nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Dan ini akan menjurus penglihatan dan hati kita kepada Allah dan kemuliaan-Nya yang mengurniakan segala nikmat-nikmat itu. Orang-orang yang tidak memelihara pakaiannya walaupun cantik tapi tidak sempurna menutup aurat, ketat, menarik perhatian dan dengan tujuan berbangga-bangga, maka mereka hanya akan mengundang murka-Nya."

"Tak salah untuk memperlihatkan keindahan pakaian, tapi kena 'adjust' niat dan sesuai dengan batas-batas syariat." Saya menyambung.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Sesungguhnya Allah senang melihat kenikmatan pada hamba-Nya. Jika kamu dianugerahkan harta oleh Allah, maka renungkanlah nikmat-Nya yang diberikan kepadamu dan kemuliaan-Nya." [Hadis ini Hasan. Diriwayatkan oleh Tirmizi, 2819 daripada Amar bin Syu'aib daripada datuknya]

Makna Eid yang paling agung

"Semoga Syawal ini menjadikan kita Muslim bertaqwa, kan ustaz?" Suara pakcik Muhsin penuh harap.

"Ya pakcik, itulah objektif puasa. Dan makna hari raya yang paling agung ialah kita kembali kepada Allah, kembali kepada fitrah."

"Maksud ustaz?" Pakcik Muhsin memandang saya.

"Orang yang kembali kepada Allah akan menyatakan dirinya kembali kepada Allah melalui hati, lisan dan perbuatannya. Dan orang yang tidak kembali kepada Allah, walaupun kelihatannya dia berhari raya, tetapi hatinya tetap gelisah, dan tiada erti hari raya bagi dirinya."

Saya berhenti berjalan seketika.

"Patutkah seseorang yang tidak beramal, tidak menghayati bulan Ramadhan, tidak mendalami maksud taqwa bergembira? Sedangkan hubungannya dengan Allah terputus?"

Pakcik Muhsin angguk lagi, kemudian kami menyambung perjalanan.

Kenangan-kenangan kita pada bulan Ramadhan

Pada bulan Ramadhan Allah menurunkan al-Quran. Kitab yang diturunkan untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya.

Dengan izin Allah, umat Islam dapat mengalahkan kebatilan dan kekufuran dalam bulan Ramadhan melalui perang Badar. Kekuatan kita mengalahkan kebatilan nafsu menjadi simbol kepada kemenangan kita sempena Syawal yang menjelma.

Pada bulan Ramadhan juga terjadinya peristiwa Fathu Makkah [Pembukaan kota Mekah], simbol kepada hati kita terbuka dengan kunci al-Quran dan kedudukan kita tinggi dengan pahala-pahala yang berganda. Firman Allah :
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata." [Al-Fath : 1]

Malam yang panjang seolah-olah menjadi singkat dengan ibadah. Kita penuhi dengan Tarawih, kita isi malam-malam kita dengan tilawah, kita larut dalam khusyuk dan tadabbur.

Ramadhan, kini menjadi bulan yang dirindui!

Posted in | Leave a comment

Di ambang pintu Ar-Rayyan

Amin meneruskan larian. Beberapa meter di hadapan garisan penamat jelas kelihatan. Beberapa orang peserta di belakangnya sudah memulakan pecutan. Dia terkenangkan segala kepayahan dan kesusahan yang telah dihadapinya untuk sampai ke peringkat ini. Wajah ibu yang tersenyum, ayah yang tidak putus memberi semangat, terus segar memberi inspirasi dan kini semangat Amin berkobar-kobar. Tanpa menghiraukan keletihan yang menjarah, dia mula memecut dan garisan penamat kita menjadi motivasi untuknya menamatkan larian seterusnya menerima anugerah. Rakan-rakan peserta menjadi cabaran untuknya semakin laju memecut.

Akhirnya Amin berjaya menamatkan larian. Dalam keadaan tercungap-cungap, semua orang mengucapkan tahniah kepadanya. Paling menggembirakan Amin, ibubapanya datang dan memeluknya sambil mengucapkan tahniah berulang kali. Amin telah berjaya merangkul anugerah tempat pertama pada hari itu.

Pengajaran dari kisah

Kisah Amin ini sama seperti Ramadhan yang akan kita akhiri. Hari terakhir Ramadhan bakal menjadi penentu kepada kemenangan dan anugerah yang akan kita peroleh. Rasa cinta, pengorbanan, garisan penamat, pesaing-pesaing dan anugerah menjadi motivasi untuk kita semakin laju memecut menamatkan larian.

Dengan rasa penuh kecintaan kepada Allah, maka puasa kita menjadi indah dan cemerlang, betapa kita merasakan segala kesusahan dan keperitan tidak memberi kesan walau sedikitpun kerana rasa cinta kepada-Nya. Segala amalan yang dilakukan semata-mata kerana cinta kepada-Nya adalah jalan membina makna sebenar taqwa dalam diri seorang Muslim. Inilah golongan yang apabila perginya Ramadhan, maka pergilah bersama segala kegembiraan dan ria dalam hidupnya disebabkan nikmat beribadah dan pahala yang tiada galang gantinya.

Segala susah payah dan pengorbanan sepanjang Ramadhan menjadi penanda aras kepada sebuah kemenangan. Dan sesungguhnya tiada kejayaan dan kemenangan yang lebih manis melainkan setelah melalui sebuah kepayahan dan pengorbanan. Sesungguhnya kemenangan kita di iIdulfitri merupakan kemenangan setelah sebulan bermujahadah dengan segala susah payah menakluk nafsu dan menyelami keperitan saudara-saudara kita yang lebih memerlukan.

Marilah menjadikan hari terakhir 'garisan penamat' Ramadhan ini sebagai motivasi untuk kita memperkukuh dan melengkapkan segala persiapan untuk menghadapi 11 bulan yang berikutnya, atau yang lebih tepat untuk kita menghadapi sebuah kematian. Syawal bukan sahaja bulan kemenangan dan kegembiraan, tetapi menjadi bulan ujian untuk menilai dan menguji hawa nafsu setelah sebulan ditarbiah, dididik dan diasuh.

Pada akhir Ramadhan ini, sewajarnya kita bermuhasabah diri dengan mengukur kejayaan dan proses tarbiah yang telah kita lalui selama sebulan berbanding orang lain. Lihatlah rakan baik anda, mungkin rakan sekerja, mungkin sahabat jauh, mungkin yang sangat dekat dengan kita, seperti isteri, suami, kaum kerabat. Berapa kali mereka khatam al-Quran pada Ramadhan kali ini? Berapa rakaat solat tahajud yang telah mereka tunaikan sepanjang Ramadhan ini? Perhati dan berjuang untuk lebih gigih dan menandingi mereka. Jadikan orang yang lebih berilmu dan beramal itu sebagai pesaing sihat kita untuk berusaha dan bermujahadah. Apabila melihat Akhirat, lihatlah orang yang lebih hebat, lebih terkehadapan daripada kita, supaya kita akan lebih gigih, lebih kuat dan lebih berusaha untuk menuntut ilmu dan beramal.

Justeru semoga kita akan mendapat anugerah yang tertinggi dalam hidup seorang Muslim, iaitu anugerah Taqwa, kedudukan yang paling mulia di sisi-Nya.

Memohon keampunan dan bersyukur

Jangan lupa untuk sentiasa memohon keampunan daripada Allah. Sesungguhnya kehidupan kita sebagai hamba-Nya di bulan Ramadhan telah menambah rasa kecintaan kita kepada-Nya, dan bulan Ramadhan adalah wasilah untuk kita semakin gigih beramal. Sekiranya kita cinta kepada Ramadhan, Ramadhan akan pergi, tetapi jika kita cinta kepada Allah, Allah itu sentiasa ada dan hidup buat selama-lamanya. Pohonlah keampunan daripada-Nya tanpa putus. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kasih sayang-Nya sangat luas, dan jangan dicabar-cabar pula kemurkaan-Nya.

Firman Allah dalam al-Quran :
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat." [An-Nasr : 1-3]

Panjatkan syukur kepada Allah apabila tibanya hari kemenangan. Ingatlah kita dimuliakan kerana Islam, dan bersyukurlah kerana kita dipilih berada di dalam kemuliaan itu. Bersyukurlah kerana kita sempat untuk menghabiskan Ramadhan pada kali ini, dan berdoalah agar kita akan dipertemukan kembali dengan Ramadhan akan datang.

Sesungguhnya kita tidak tahu adakah amal perbuatan kita di sepanjang Ramadhan yang lalu, yang kita isi dengan zikir dan tilawah, diterima atau tidak oleh Allah, sehingga kita layak untuk merayakan 'Idulfitri dengan penuh kegembiraan dan sinaran cahaya dari-Nya. Sekiranya ditolak, betapa kita telah meninggalkan bulan suci ini dalam kecelakaan, kerugian dan penyesalan.

Maha Suci Zat yang memberikan pengampunan, membukakan pintu taubat, terimalah ya Allah segala amalan kami, golongkanlah kami dalam kalangan hamba-Mu yang diterima puasa, solat, zikir dan tilawahnya. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Usah menipu Allah

Berapa ramai orang yang tidak mengingati Allah melainkan di bulan Ramadhan, selepas bulan Ramadhan dia kembali lupa, lalai, bermaksiat, berpaling dan membelakangkan ajaran al-Quran? Bukankah pemilik bulan Ramadhan ini juga merupakan pemilik bulan Syawal, bulan Sya'ban dan bulan-bulan yang lain?

Sikap ini samalah seperti sikap Bani Israel yang hanya tunduk dan takut jika berada dalam keadaan kesempitan dan sengsara, tetapi apabila mendapat kesenangan dan nikmat, mereka lupa diri dan angkuh. Sikap ini samalah seperti sikap orang-orang Munafik, yang hanya mengambil kesempatan untuk meraih kesenangan dan kemuliaan dunia melalui Islam.

Golongan inilah golongan yang menipu Allah!

Teman-teman,

Jika kita beramal kerana Ramadhan, jadilah kita hamba yang Ramadhaniy, dan Ramadhan telah datang dan akan pergi. Jika kita beramal kerana Allah, jadilah kita hamba yang Rabbaniy, dan sesungguhnya Allah sentiasa ada, sentiasa hidup, sentiasa memerhati.

Kita beramal kerana Allah, berharap kerana-Nya dan Ramadhan hanya sebagai batu loncatan untuk kita berubah dan menjadi Mukmin Muttaqin.

Di ambang pintu Ar-Rayyan

Salam Syawal kepada semua sahabat-sahabat. Selamat menyambut bulan kemenangan, bulan kesyukuran dan kekalkan momentum Ramadhan dalam diri kita.

Salam Syawal 1431H daripada :

Amiza Khusyri bin Yusof

Khairun Nisak binti Munzir

Muhammad Ikram Baihaqi bin Amiza Khusyri


Maaf zahir dan batin daripada kami sekeluarga. Kullu 'Am Wa Antum Bikhair!

Semoga kami dan kita semua akan sama-sama dipertemukan di pintu Ar-Rayyan di Akhirat nanti. Amin ya Rabbal 'Alamin. Taqabbalallahu Minna Waminkum!

"Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari Kiamat kelak. Tidak masuk bersama mereka seorang pun selain daripada mereka. Diumumkan : "Di manakah orang yang berpuasa?" Maka mereka pun masuk melaluinya (pintu Ar-Rayyan). Setelah orang yang terakhir daripada mereka telah masuk, ditutup (pintu itu) maka tiada lagi orang lain yang akan memasukinya." [Riwayat Muslim, 1947 / Bukhari, 1763]

Minal A'idin Wal Faizin.

Posted in | Leave a comment

Lailatul Qadr : Keindahan sebuah kembara

"Lailatul Qadr ini sebagai keindahan sebuah kembara." Saya memulakan tazkirah.

"Ia seperti kita menempuh sebuah kembara yang panjang dan sampai di tempoh penghujungnya kita dikurniakan nikmat dan ganjaran yang pelbagai. Dan Lailatul Qadr adalah penghujung kembara kita selama sebulan memaknakan taqwa."

"Cuba kita bayangkan persiapan yang telah kita sediakan dalam menghadapi kembara panjang selama sebulan ini, persiapan dari sudut rohani maksud saya, dengan persiapan ilmu dan iman. Ilmu yang ibarat peta supaya kita tidak sesat sepanjang kembara, iman supaya kita redha dengan lapar dan dahaga, bersedia mendepani perit jerih di sepanjang tempoh kembara."

"Bezanya, kembara Ramadhan dengan makna 'keindahan' itu, adalah keindahan hanya untuk orang yang menempuh kembara dengan keimanan yang mantap, bersungguh-sungguh, istiqamah dan penuh kecintaan kepada Allah, kerana orang yang tidak menempuh kembara ini dengan ciri-ciri tersebut tidak akan merasai 'keindahan' yang dimaksudkan."

Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampuni semua dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)

"Jangan pelik melihat ada orang yang merasakan kedatangan Ramadhan sebagai halangan dan bebanan ke atas diri kerana mereka dipisahkan daripada makanan, minuman dan segala macam kehendak nafsu. Hati mereka mati, lantas mereka tidak langsung menghormati bulan Ramadhan dengan makan sesuka hati dan melakukan maksiat tanpa silu. Inilah manusia yang amat rugi, manusia yang menyesal, manusia yang perlu dikejutkan daripada tidurnya yang enak bertilamkan nafsu."

"Orang ini sepatutnya lebih malu daripada perempuan yang kedatangan haid, tapi masih tidak makan dan minum, masih menjaga nafsunya seperti orang yang berpuasa, sentiasa rindu hatinya dengan ibadah di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan kesucian Ramadhan al-Mubarak, sentiasa bersabar dan menghadapi Ramadhan seperti halnya orang yang berpuasa."

Sesungguhnya bergembiralah anda dengan kesabaran itu, kerana janji Allah dalam surah Az-Zumar ayat 10 :

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُوْنَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

"Sesungguhnya akan dipenuhi bagi orang-orang yang sabar pahala mereka berlipat kali ganda tanpa perhitungan."

Kembara yang sia-sia

"Amat malanglah orang yang tidak merasai kemanisan Ramadhan, malah merasakan Ramadhan sebagai halangan dan beban ke atas diri mereka. Mereka ini adalah manusia yang gelisah, manusia yang tidak tentu arah, manusia yang hatinya mati. Manusia yang rugi."

Sabda Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada bulan Ramadhan, maka ia tidak mampu menggantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

"Kenapa mereka gelisah? Kerana mereka inilah manusia yang ingin berubah kerana kejadian fitrah yang cenderung dengan kebaikan, tapi tidak mampu melawan dan bergelut dengan nafsu, yang pada mata kasar mungkin mereka nampak hebat dan gagah, tapi hakikatnya sentiasa kalah dan gagal menawan nafsu sendiri."

"Mohon dijauhkan kita daripada orang celaka yang didoakan oleh Jibril dan diaminkan oleh baginda Rasulullah s.a.w, iaitu orang yang apabila memasuki bulan Ramadhan, tapi dosanya tidak diampunkan oleh Allah s.w.t." (Diceritakan berdasarkan Hadis riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad, 644)

"Berhati-hatilah kita semua dalam kembara ini supaya ia tidak menjadi sia-sia dengan sentiasa menjaga hati dan tingkah, tutur kata daripada perkara-perkara yang mencacatkan kembara seperti melakukan perkara sia-sia (lagha), berkata keji dan dusta. Sepatutnya di penghujung kembara inilah kita semakin laju memecut kerana dimotivasikan dengan ganjaran besar Lailatul Qadr dan garisan penamat yang semakin kelihatan jelas di depan mata. Tapi, di penghujung kembara inilah berapa ramai yang kalah dengan pasar raya, televisyen dan majlis-majlis berbuka yang membazir dan mewah, berapa yang ramai yang tersungkur di penghujung kembaranya."

Sabda Rasulullah s.a.w :

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ للهِ حَاجَةٌ فِيْ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan dusta dan perbuatannya, maka Allah tidak akan peduli dia meninggalkan makan dan minumnya." (Sahih Bukhari, 1804)

Perisai Kembara

"Walhal di penghujung kembara inilah proses penaklukan ke atas nafsu dengan iman menjadi semakin mantap dan kukuh, semakin agam dan tidak akan runtuh, buat benteng mendepani musuh selepas berakhirnya Ramadhan. Jika dalam peperangan kita ada perisai yang diperbuat daripada besi untuk melindungi fizikal dari tusukan pedang dan busar panah musuh, dan puasa pula sebagai perisai rohani dan jiwa dari tusukan pedang nafsu dan busar panah syaitan."

Sabda Rasulullah s.a.w :

الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلاَ يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

"Puasa adalah benteng, maka apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa janganlah dia berkata kotor dan janganlah bertengkar dengan meninggikan suara. Jika dia dicela dan disakiti, maka katakanlah : Aku sedang berpuasa." (Sahih Muslim)

"Puasalah sebagai perisai terbaik seorang Muslim dalam memantapkan hubungannya dengan Allah, memelihara hubungannya sesama manusia. Puasalah perisai jiwa terbaik daripada segala macam kegelisahan dan penyakit jiwa. Puasalah perisai hati terbaik melawan nafsu dan tidak akan mampu ditembus oleh tusukan pedang dan busar panah iblis saat pertempuran akan kembali bermula selepas Ramadhan nanti."

"Semoga diterima oleh Allah amalan kita sepanjang kembara, taqabalallahu minna waminkum, dan semoga berjaya memperoleh natijah Taqwa, mengharap terbuka luasnya pintu Ar-Rayyan untuk kita di Akhirat nanti. Amin ya Rabbal 'Alamin!" Kata saya memacak semangat dan mengakhiri tazkirah.

Teman,

Ramadhan ini sebuah kembara dan perjalanan. Kembara seorang hamba mencapai Taqwa, perjalanan seorang insan menuju Tuhan.

Posted in | 1 Comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.