Mukmin berkorban, mengakar ikhlas, menunjang cinta

Saya masih ingat ketika di Mesir dahulu, ketika menyusur jalan berulang-alik dari muhadharah ilmu ke Rumah Anak Negeri, banyak benar kibas, kambing atau pun biri-biri yang ditambat di halaman rumah masyarakat Arab Kaherah. Kaherah, antara kota terpadat di dunia, dan suasana itu pula membelenggu lebih kurang seminggu sebelum Eidul Adha. Betapa syiar korban terasa hidup dan kisah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail begitu akrab di hati.

Korban bukan cerita binatang apa, bukan cerita berapa banyak haiwan yang perlu dikorbankan, atau cerita sup dan rendang, tetapi korban adalah cerita tentang kualiti. Kualiti yang dimaksudkan adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan keikhlasan dalam melakukan ibadah. Ibadah Korban adalah puncak kepada segala ibadah seperti yang digambarkan dalam kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Kita maklum bagaimana Nabi Ibrahim diarahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail dan setelah Nabi Ibrahim memberitahu perihal itu kepada anaknya, maka Nabi Ismail lekas-lekas memberi pengukuhan agar Ibrahim melaksanakan suruhan itu tanpa gentar dan ragu (rujuk surah al-Saafat : 102-107).

Betapa dalam kisah itu kita disuguhkan dengan pengertian taqwa melalui pengukuhan Tauhid dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Ismail. Bagaimana mereka menurut perintah tanpa rasa gentar dan ragu. Amatlah penting untuk kita menjadi Mukmin Tauhidik, iaitu penolakan sepenuhnya dari bertuhankan hawa nafsu atau diri sendiri, penolakan mutlak dari bertuhankan darah dan keturunan, dan penolakan sepenuhnya inilah yang akan membentuk rasa cinta yang tulus kepada-Nya, tanpa syarat.

Sejarah telah membuktikan bahawa manusia yang bertuhankan nafsu, bertuhankan darah dan keturunan menjadi punca segala kerosakan dan kemungkaran di atas muka bumi. Firaun dan Qarun dua manusia yang bertuhankan nafsu, hidup bergelumangkan harta benda dan pangkat, akhirnya jatuh tersungkur dalam azab Allah s.w.t.

Pengorbanan itu Cinta

Cuba lihat dengan mata hati siapa yang telah banyak berkorban untuk kita selama ini. Tarik nafas dan himbau kembali diri kita sebelum kita diciptakan. Kita tidak wujud, tetapi Dialah yang telah menciptakan kita kepada wujud. Dialah yang meminjamkan roh, dan segala macam nikmat kepada kita sehinggalah apa yang kita miliki pada hari ini. Namun, berapa ramai yang kufur kepada-Nya, dan begitu ramai pula orang Islam yang tidak bersyukur. Firman Allah s.w.t :

"Mengapa kamu kufur dengan Allah, pada hal kamu dahulunya mati (tiada), lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan, kemudian dihidupkan kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya." (al-Baqarah : 28)

Kemudian, cuba kita imbas semula sejarah sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Di sanalah dua orang insan yang selalu berkorban segalanya untuk kita, tanpa mahu walaupun seekor semut kecil menjalar dan menggigit tubuh kita yang kerdil. Dua insan yang menjadi asbab kepada kewujudan kita pada hari ini, merekalah yang bernama ibu dan ayah. Segala pengorbanan mereka tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata atau apa-apa sahaja bentuk materi, dan sesungguhnya mereka tidak pula meminta untuk dibalas, kerana tentulah itu semua telah memberi gambaran tentang makna sebenar sebuah cinta.

Hitunglah berapa ramai insan-insan yang banyak berkorban untuk kita, supaya kita tekal mendoakan mereka dalam kebaikan. Dan teruskanlah berkorban untuk insan-insan yang kita sayangi pula, dan jangan lupa lakukan pengorbanan dengan rasa cinta. Pengorbanan yang lahir atas dasar cinta akan menyebabkan kita seolah-olah tidak berasa kehilangan apa-apa pun di atas pengorbanan itu, malah rasa bahagia, puas dan ria akan muncul dalam kalbu melihat kegembiraan orang lain. Dalam usaha menggapai bintang, jangan dilupakan orang-orang di sekeliling yang telah banyak berkorban untuk kita. Saya terpikat dengan kata-kata ahli falsafah Albert Schweitzer ini - in the hopes of reaching the moon men fail to see the flowers that blossom at their feet.

Ikhlas kerana Allah

Songsonglah hatimu agar selalu bermuhasabah tentang ikhlas. Keikhlasan itu pentadbirnya adalah hati, maka pastikanlah hatimu selalu bersih dengan ilmu dan ibadah yang sahih. Hanya kita yang dapat menilai dan menghitung hati sendiri. Hitunglah hati sebelum ia dihitung di hadapan Allah s.w.t kelak.

Apabila pengorbanan dipacak berpaksikan kebergantungan terus kepada Allah, maka di situlah akan hadirnya kekuatan sabar menghadapi, dan munculkan keadaan redha dalam hati. Oleh itu, hadapkan dan hadirkan hati terus kepada Allah atas segala apa yang ingin dilakukan, barulah amalan itu akan dinilai sebagai suatu ibadah. Insya-Allah, segala pengorbanan yang dilakukan akan dinilai sebagai kebajikan di sisi-Nya.

Pastikan pula setelah melakukan sekian banyak pengorbanan itu, jangan pula mengeluh jika terpaksa mengulangi pengorbanan demi pengorbanan yang sama, agar tidak pula sia-sia segala kesusahan dan perit jerih dek keluhan dan omelan. Tahan kekeluhan dalam hati, ubati hati bahawa inilah kebajikan untuk Akhirat, dan bekerja untuk Akhirat balasannya tidak segera, hanya perlu percaya, kerana percaya itulah iman.

Selamat menjadi Mukmin yang berkorban, menyempurnakan makna "kualiti", kerana tiada ibadah tanpa keikhlasan dan tiada kualiti tanpa ketaqwaan.

Pengorbanan itu akarnya ikhlas, tunjangnya cinta.

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.