Archive for Disember 2004

Ketika Tsunami menghempas

Ketika Tsunami menghempas
kau pun tenggelam
dibawa arus deras
dalam-dalam.

Kausedar kau haloba
kausedar kau alpa
kausedar kau cinta dunia
dan kausedar dosa-dosa.

Sayang...
kausedar semua
ketika sedang jegil dan gigil
terkapai-kapai dalam pelukan Izrael!

Amiza Khusyri Yusof, Seremban.

Leave a comment

Salju Sakinah selepas Semakin Dekat

Terima SMS daripada Zaid Akhtar tengah hari ni. Biasanya, kalau Zaid Akhtar SMS mesti ada sesuatu yang penting untuk dikhabarkan. Atau sekadar melontar lelucon sebagai buah-buah akrab silaturrahim.

Rupa-rupanya, hari ini di ruangan agama Utusan Malaysia, ketika sedang ralit baca novel bersiri Kak Min - Semakin Dekat - ada nota kaki di hujungnya. Tertulis begini :

"Mulai hari isnin 3 Januari 2005, ruangan Novel Bersiri akan menyiarkan novel baru berjudul Salju Sakinah untuk menggantikan novel Semakin Dekat yang akan berakhir pada 29 Disember 2004.

Salju Sakinah adalah hasil karya Mohamad Yazid Abdul Majid yang lebih terkenal dengan nama penanya - Zaid Akhtar.

Beliau merupakan seorang pendidik dengan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Cerpen-cerpennya banyak disiarkan di pelbagai media dan mendapat anugerah, seperti Nil Masih Mengalir dalam kategori cerpen eceran Hadiah Sastera Darul Takzim III dan Juara yang Tewas - kategori cerpen Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1994.


Dua buah novel Zaid, Sesegar Nailofar mendapat tempat ketiga kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 dan novel remaja terbaik Hadiah Sastera Darul Takzim IV. Dan Rona Bosphorus - tempat kedua kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002."

Tahniah buat Zaid Akhtar. Dan kepada peminat-peminat karya beliau, bolehlah ikuti Novel Bersiri - Salju Sakinah bermula 3 Januari nanti di ruangan agama Utusan Malaysia.
Ha, nak bagi apa letih-letih promosi ni Ustaz Zaid? :D

Leave a comment

Dominasi Tebrau : Hadiah untuk wanita Islam

Usai membaca Dominasi Tebrau. Sekarang sedang mencicipi Seorang Tua di Kaki Gunung. Aku tidak mahu mengulas panjang tentang novel Dominasi Tebrau karya pengarang wanita sensasi tanah air ini. Hanya sebuah resolusi - novel ini merupakan hadiah buat wanita-wanita Islam. Cari dan bacalah!



Blurb novel :

Dominasi Tebrau membawa tema besar tentang pembangunan korporat siber, menggambarkan tentang keupayaan sekumpulan cendekiawan wanita Malaysia memanjat tamadun dunia dalam bidang astrofizik, teknologi perubatan dan bioteknologi sehingga mencipta nama di peringkat antarabangsa, malah berazam :

"Dunia akan kugoncang dengan tangan yang mengayun buaian anak-anak negaraku dan bangsaku."

Profesor Amira, pakar astrofizik yang penyayang dan menjadi pendorong; Siti Zuraidah pakar bedah neuro yang perindu; Nur Nilam, pakar bius yang pengasih dan penyedih; Siti Hawa, profesor biokimia yang tenang - semuanya berganding bahu membangunkan Hospital Siber di Tebrau Holding. Ayah, si pemburu cita-cita yang mahu memartabatkan bangsa di negara orang, akhirnya pasrah pada kehendak anak-anak yang meletakkan kecemerlangan bangsa di puncak Menara Tebrau Holding yang sinarnya bercahaya ke seluruh dunia.

Laporan ringkas Panel Penilai Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 :

"Novel ini sarat dengan idea rekonstruksi peranan wanita dalam masyarakat dan membebaskan tipa streotaip yang melabelkan wanita dengan fungsi domestik, sebaliknya wanita diberikan peranan meneroka kemajuan dalam ruang eksternal. Novel ini membawa teknik yang kompleks dengan plot compound, berat dan beragam."

Bagi aku, novel ini berjaya bukan sahaja dengan wahana pengarang menggarap karyanya, tetapi juga dek wujudnya wacana pemikiran yang seimbang, sejajar dengan kehendak Islam meninggikan martabat wanita. Justeru, wanita Islam tidak boleh lagi berpaling ke belakang, sedar akan peranan dan potensi diri dengan kebersamaan rijal, untuk menggerak agenda pembangunan.

Memo : Novel ini telah memenangi tempat pertama dalam Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 anjuran DBP.

Leave a comment

Kreativiti The Terminal

Tom Hanks yang popular dengan filem Forest Gump tampil pula kali ini dengan filem The Terminal arahan Steven Spielberg. Bagi aku, filem ini memiliki kekuatan tersendiri dengan tarikan adegan-adegan luar jangka yang agak mengharukan. Keterujaan filem ini bukan sahaja pada watak utama Nebosky [lakonan Tom Hanks] tetapi juga pada watak-watak pembantu dan adegan-adegan subplot yang kreatif.

Steven Spielberg sebagai seorang pengarah imaginatif yang suka meneroka perkara-perkara baharu dalam filemnya, kali ini menampilkan latar sebuah terminal di New York City's Airports [NYCA]. Filem ini mengisahkan seorang imigran bernama Nebosky dari sebuah negara bernama Krakozhia [negara ini bergolak apakala Nebosky tiba di NYCA]. Dia ingin ke New York City's [NY] semata-mata untuk menunaikan janjinya kepada bapanya yang telah meninggal dunia.



Setibanya di NYCA, dia ditahan oleh ketua penguatkuasa NYCA [lakonan Chi McBride] dan tidak dibenarkan ke NY [kerana hilang kewarganegaraan dan disyaki seorang perisik]. Di sinilah bermulanya aksi-aksi yang menarik dengan lakonan yang begitu berkesan oleh Tom Hanks. Saksikan sahaja bagaimana seseorang yang ditahan di sebuah terminal hidup selama 9 bulan. Dia sentiasa beraksi jujur dan seterusnya menepis segala prasangka buruk ketua penguatkuasa NYCA yang sentiasa melihat perlakuannya melalui layar kamera di terminal itu. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk membuktikan bahawa Nebosky ini merupakan seorang perisik antarabangsa, tetapi semuanya gagal.

Malah, Nebosky bertemu dengan rakan-rakan yang baik; terdiri daripada staf-staf di terminal itu. Dia juga jatuh cinta dengan seorang pramugari cantik bernama Amelia Warren [lakonan Catherine Zeta Jones] yang 'playgirl'. Nebosky mula mendapat perhatian seisi terminal apabila membantu seorang imigran yang membawa ubat-ubatan untuk keluarganya tetapi tidak dibenarkan ke NY oleh ketua penguatkuasa NYCA.


Setelah kecewa atau lebih tepat lagi ego dengan status dirinya, ketua penguatkuasa NYCA memaksa Nebosky kembali ke Krakozhia [setelah negara itu diisytihar aman] dan mengugut untuk memecat rakan-rakannya yang memiliki latarbelakang kurang baik. WBP, Nebosky akhirnya sedar akan kesilapan yang dilakukannya dan bertekad untuk ke NY setelah disedarkan oleh seorang rakannya dengan melakukan satu aksi yang agak menggetarkan. Saksikan sahaja bagaimana haru-birunya keadaan NYCA apakala semua pekerja NYCA menghantarnya ke muka pintu menuju ke NY.

Apa yang mengagumkan ialah meskipun penggunaan latarnya terhad, tetapi filem ini telah berjaya menghasilkan plot yang menggetarkan dan seterusnya berjaya membina konsekuensi yang mengharukan.

Leave a comment

Sure heboh @ surau heboh?

Alhamdulillah, sudah khatam Kawin-kawin. Bagi aku, ia sebuah satira yang istimewa. Tabik spring kat Ustaz Azizi.

Oleh kerana ada hal kecemasan hari Jumaat hari tu [ada ahli keluarga yang sakit], maka aku tak dapat pergi ke Hari Puisi Nasional.

Sekarang tengah mendominasi novel Dominasi Tebrau. Novel berharga 30 ribu tu aku dah baca sampai setengah semasa dalam komuter dari KL Central ke stesen Labu semalam. Sengaja pilih naik Komuter, dapat jadi seniman bujang muda. :D

Naik komuter ke mana?

Sebenarnya semalam aku ke kedai DBP. Beli novel Azizi - Seorang Tua di kaki Gunung. Kemudian ke Kinokuniya, KLCC. Ingatnya banyak dijual buku sastera, rupanya hanya satu rak. Novel sastera popular yang banyaknya.

Sebelum pulang, singgah makan di kafe UM. Masa tulah aku terdengar satu berita.

Percaya atau tidak?

Surau As-Sahabah di seksyen 7, kota Damansara ada bikin program 'Surau Heboh'. Khabarnya ada program masak-memasak untuk kategori Muslim dan Muslimat, tilawah al-Quran, nasyid dsb.

Sedang dalam akhbar hari ni, orang sedang sibuk nak wujudkan program Dream Idol yang kononnya nak lawan Akademi Fantasia dan Malaysian Idol.

Rimau bercakar dengan rimau, lama-lama dua-duanya mati. Betul tak Tok Rimau? :D

Leave a comment

Di sebalik wajah

Hati terasa puas seusai mengkhatami Ombak Sfera Lotus. Terserlah kematangan Siti Jasmina Ibrahim dalam menggarap watak Ombak. Keseimbangan pada gabungan pemikiran, wacana dan imaginasi begitu indah buat tatapan remaja.

Alhamdulillah. Novel-novel pemenang HSKU 2003 selesai dikhatam. Adik bongsu aku juga kini sudah mula berjinak-jinak dengan novel sastera setelah terkena penangan KOMBAT Faisal Tehrani. Kemudian, satu-satu novel dikhatamnya.

Aku kini sedang menggulati novel satira Kawin-kawin. Yang paling aku suka dengan tulisan Azizi Hj. Abdullah ialah pada bahasanya yang bisa membangkitkan sentimen. Setiap watak dan keadaan yang digambarkan sudah pastinya mewakili individu atau situasi tertentu. Dia seperti menyalin kekuatan bahasa Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Sebenarnya, setiap kali usai membaca karya tokoh-tokoh sastera ini, lebih menyedarkan diri tentang peranan yang perlu dimainkan melalui pena. Lebih banyak membaca, terasa diri lebih daif dan kerdil. Terasa bahawa diri telah memikul beban berat dalam perjuangan. Moga tidaklah hanyut ke muara nafsu, alpa dunia.

Teringat pesanan Kak Min - selalulah halusi niat dan menulislah kerana Tuhanmu!

ii.

Dah dengar album terbaru Hijjaz, Damai? Cuba korang pakat-pakat dengar lagu 'Pemimpin Adil' tu. Tabik spring kat Hijjaz. Lagu yang paling menyentuh hati - Berkorban Demi Cinta by Kamal Halim.

Ni ada sorang kawan SahabatHijjaz minta tolong aku promotekan di AKO tentang album terbaru Hijjaz tu. Aku tak tahu apa fasal dia beria-ia benar minta tolong. Kalau album tu laku pun dia bukannya ikut sama glamor @ kaya! :D

Leave a comment

Senarai Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/03

Kategori Buku/Kumpulan Karya Perseorangan [RM10,000]

1. Novel - Lamunan Puitis: Sebuah Trilogi [Shahnon Ahmad]
2. Kumpulan Puisi - Bahasa Senjata [Sahrunizam Abdul Talib]
3. Kumpulan Cerpen - Tiada Pemenang
4. Kumpulan Drama - Gelanggang Tuk Wali [Ismail Kassan]
5. Kumpulan Esei/Kritikan - Ziarah Ke Timur [Md. Salleh Yaapar)
6. Buku Kajian - Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu [Jelani Harun]
7. Biografi - Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi [Zurinah Hassan]

Kategori Eceran [RM1,000]

A. Puisi

1. Pertemuan di Hyde Park [Adi Badiozaman Tuah]
2. Manuskrip Luka Bangsa [Ahmad Shukri Abdullah]
3. Terengganu Dalam Sajak [Nawawee Mohammad]
4. Selamat Tinggal Topeng-topeng [Solihin Osman]
5. Tanah Nurani [Shamsuddin Othman]
6. Musim Landas [A.Aziz Deraman]
7. Pernahkah Kau Mentafsir Kedamaian [Baharuddin Zainal]
8. Kita Katakan Tidak [Rahman Shaari]
9. Pagi [Jamaluddin D]
10. Malam Terakhir Nadim [Siti Raihani Mohd. Saaid]
11. Mengenangmu Iqbal [A. Samad Said]

B. Cerpen

1. Tahun Depan di Jerusalem [Azman Hussin]
2. Tanggar Amanat [Amaruszati Noor Rahim]
3. Monolog [Dahiri Saini]
4. Alkisah Ahmad Pualam [Zainal Rashid Ahmad]
5. Menanam Pokok Jati [Siti Zainon Ismail]
6. Balada Si Angsa Hitam [Noordin Hassan]
7. Perjuangan [Md. Noor Salleh]
8. Si Penggaru Kalbu [Syed Mohd. Zakir Syed Othman]
9. Surat Sastera Dari Malino [Muhammad Abdul Biang]
10. Cik Siti Mustika [Faisal Tehrani]
11. Satu Episod di Kriankrai [Hashim Latiff]
12. Putera Tanpa Bumi [Zurinah Hassan]
13. Petani Tua Dari Karbala [Aminah Mokhtar]

C. Drama

1. Asiah Samiah [Johan Jaaffar]
2. Bisikan Malaya [Anuar Nor Arai]

D. Esei/Kritikan

1. Naratif Ogonshoto: Perspektif Wacana Kuasa dan Hegemoni [Awang Azman Awang Pawi]
2. Sastera Pengikis Jelaga Cemeni Nurani [Muhammad Abdul Biang]
3. Memecahkan Dikotomi Totok Sains dan Sastera [Rahmat Haroun]
4. Dari Etnosentrisme ke Eurosentrisme: Memposisikan Wacana Abdullah Tentang Orang Melayu [Noriah Taslim]
5. Kematian: Naratologi dan Penilaian Semula Teori-teori Naratif [Noriah Taslim]
6. Teori Sastera Mandiri Dalam Perkembangan Globalisasi [Md. Salleh Yaapar]
7. Asar Belum Berakhir: Aplikasinya terhadap Teori Takmilah [Mohamad Mokhtar Abu Hassan]

Kategori Kesusasteraan Kanak-kanak [RM5,000]

1. Novel - Memori Atiah [Awang Abdullah]
2. Kumpulan Cerpen - Impian Kami [Halis Azhan Mohd. Hanafiah]
3. Kumpulan Puisi - Tiada Pemenang
4. Kumpulan Drama - Tiada Pemenang

Kategori Kesusasteraan Remaja [RM5,000]

1. Novel - Trilogi Cinta [Siti Jasmina Ibrahim]
2. Kumpulan Cerpen - Gamitan Lausanne [Baharudin A. Manan]
3. Kumpulan Puisi - Memetik Mawar [Lim Swee Tin]
4. Kumpulan Drama - Tiada Pemenang

Sumber : Utusan Malaysia, 14 Disember 2004.

Leave a comment

Menajdid Semangat II

Hari ini jumlah peserta tidak seperti semalam. Semakin susut. Dan aku yakin, kesusutan itulah antara penyebab hati terasa puas seusai bengkel. Puas dengan kerincian bimbingan Rosminah Tahir hari ini.

Sejurus, aku sekali lagi menghampiri Kak Min [Aminah Mokhtar] dan meminta novel Dominasi Tebrau setelah menyambar Iman Markisa semalam. Alhamdulillah, diberi diskaun yang agak banyak :D. Dia menghulurkan juga dua naskhah percuma kumpulan cerpen dan puisinya dengan syarat - agar aku melazimi penulisan dengan niat kerana Allah. Wah, pesanan itu pasti aku pegang sungguh-sungguh. Tidak ketinggalan, sempat mencapai novel satira Kawin-kawin [berhasrat lama untuk memilikinya] melalui jualan Ujana Ilmu Enterprise.

Kemudian aku menghadiri Mesyuarat Agung PEN yang kebanyakannya dihadiri pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang aku hormati sekalian. Bukanlah mesyuarat itu yang menjadi fokus sebenarnya, tetapi aku lebih menanti diskusi novel Mencari Locus Standi oleh Dr. Rosnah Baharudin dan En. Siri Neng Buah.

Aku keluar awal untuk mengejar waktu, menepati janji dengan seorang rakan. Kini, sedang meladeni novel Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia mutakhir melalui novel Trilogi Cinta.

Kembara sastera Amiza, masih jauh dan berliku. :)

Leave a comment

Menajdid semangat

Sebab pertama aku mengikuti bengkel skrip drama pentas, tv dan radio [anjuran PEN dan Persatuan Penulis Wanita : 11-12 Disember] ini adalah kerana ilmu. Keduanya, semata-mata untuk menemui penulis novel Iman Markisa secara langsung. Alhamdulillah, masa sepicing itu aku manfaatkan secukupnya untuk berbual dengan Aminah Mokhtar; penulis wanita yang aku kagumi itu. Kemesraan dan ketulusannya berkarya begitu memegunkan.

Sempat dia menceritakan sedikit pengalamannya menulis Iman Markisa; antara novel yang aku kagumi setakat ini. Begitu juga dengan cerpen Erti Cinta Dr. Marianah yang cukup memacak pilu di hati kala membacanya. Katanya, tulislah dari hati dan pantas aku sambung - hati jugalah yang akan membacanya. Tajdid niat selalu dan aku sambung - menulislah kerana Allah. Dia lantas tersenyum dan sungguh, semangat menulis kian teruja.

Tanpa disangka, aku juga menemukan penulis Siti Rohayah Atan [yang membimbing untuk genre skrip drama tv], Zanazanzaly dan Rozais al-Anamy.

Aku sedang menumpukan kepada penulisan peribadi. Sempat melakar jurnal ini buat tatapan teman-teman. Bengkel bersambung esok [12 Disember] bagi genre skrip drama pentas dengan Rosminah Tahir sebagai pembimbing. Diikuti Mesyuarat Agung PEN dan diskusi novel Mencari Locus Standi, Nisah Haron.

Leave a comment

Berlari ke langit

Usai bengkel pembinaan judul novel [industri] dewasa DBP-Kepezi 3-5 Disember lalu. Usai juga mengkhatami Mencari Locus Standi. Mencelah-celah di antara ruang waktu yang padat untuk mengkhataminya. Kini sedang meladeni Satu Janji, Ramlee Awang Murshid. Sinopsis saya dibedah dan dicanai baik dalam bengkel tersebut. Lebih banyak cadangan dari kritikan yang saya terima.

Seri majlis terasa dengan kehadiran penulis kawakan seperti Dr. Amida Abdul Hamid, Mawar Shafei dan Razali Endun. Sebagai peserta yang paling muda, saya tidak melepaskan peluang berkenalan dengan para peserta yang terdiri di kalangan penulis muda seperti Kak Tiras R, WB. Rendra dan tokoh-tokoh besar sastera ini. Kak Mawar nampaknya sudah mengenali saya melalui cerpen-cerpen saya yang tersiar di media terutama di Berita Minggu. Malah, semasa bengkel dia yang menegur dahulu menyebabkan saya tersipu sendiri.

Semasa membentangkan sinopsis saya tidak meletakkan cadangan judul novel berbanding peserta lain. Judul cadangan novel para peserta saya kira hebat-hebat belaka. Berbanding peserta lain yang lebih selesa menggarap novel industri berlatarkan dunia korporat dan formal, saya lebih gemar menggarap industri penternakan ayam berlatarkan suasana desa. Ada sisipan perjuangan rekonstruksi masyarakat dll [nak tahu lebih lanjut, tunggu selesai dulu :)].

Saya perlu membuat beberapa kajian penting tentang isu semasa dan industri tersebut. Ada dateline untuk menyudahkan setiap bab, perlu bersedia disembur dan dicanai pembimbing. Saya fikir, sebagai seorang penulis generasi baharu, ini perlu sebagai langkah permulaan saya. Langkah yang seterusnya, sudah tentu saya yang perlu mencoraknya sendiri.

Tahniah buat Fahdrazy cerpen di Tunas Cipta Disember [yang saya pinjam dan baca semasa bengkel lalu]. SM. Zakir menyenaraikan nama saya sebagai penulis baharu menjanjikan melalui cerpen Pengemis Tua di Masjid Hussein. Begitu juga dengan Almarjan Yusoff melalui cerpen Gelanggang Malam.

Kini dalam kota fikir, ada sebuah judul cadangan novel saya yang boleh berubah mengikut kesesuaian - 'Demi Al-Amin'. Menggarap novel dengan idealisme dewasa merupakan satu cabaran buat saya. Doakan saya mampu selesai menulis novel ini agar langkah saya tidak akan tersadung, ketika sedang ralit berlari ke langit...

Leave a comment

Apa kes?

Ini bukan sekadar kes Sharifah Aini. Bukan sekadar kes emel fitnah Siti Nurhaliza. Ini kes dengki orang Melayu. Dunia selebriti, dunia seni ni memang tak lari dari gosip dan fitnah-fitnah. Biasa!

Hei... fitnah tu biasakah?

Hei... mana kau tahu itu emel fitnah?

Hei... ini kes dengki orang Melayulah!

i.

Tolong kawan-kawan promosi. Dua-dua program ni memang tak dapat nak hadiri.

MAJLIS DISKUSI KARYA MANTAN MPR

Sekretariat Alumni MPR-DBP dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan Majlis Diskusi Karya Mantan MPR.

Tarikh : 4 Disember 2004 (Sabtu)
Masa : 9 pagi - 12 tengah hari
Tempat : Dewan Seminar, Tingkat 2 DBP, KL

Diskusi karya berkenaan akan membincangkan :

1) Novel Sesegar Nailofar, karya Zaid Akhtar (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000) - Panel : Talib Samat.

2) Kumpulan Puisi Pendatang Malam, karya Ida Munira Abu Bakar (terbitan Esastera Enterprise) - Panel : Lim Swee Tin.

3) Karya eceran Mantan MPR 2000 & 2004 yang pernah tersiar di media cetak - Panel : Rahman Shaari.

Karya-karya eceran adalah seperti berikut :

Cerpen :

- Musang, karya Lutfi Ishak (Mingguan Malaysia, 10 Oktober 2004).
- Lelaki di Bawah Pohon Kemboja, karya Salman Sulaiman (Mingguan Malaysia).
- Demi Cinta Yang Menyala, karya Mohd Jimadie Shah Othman (Nur, Mac 2004).
- 50 Bintang, karya Wan Nor Al-Tasnim Saad (Mingguan Malaysia, 27 Oktober 2002).
- Tiga Bintang di Langit Kelam, karya Khairul Nizam Abd. Raub (Majalah i, Januari 2003).
- Kuih Manis di Mulut Ibu, karya Ukuza (Jendela Selatan, 2004).
- Telah Diberinya Hati, karya Ghafirah Idris (Mingguan Malaysia, 12 September 2004).

Puisi :

- Watikah Perkasihan V (Metro, 12 September 2004), Cinta Samawi III (Mingguan Malaysia 22 Februari 2004), Pilihan (Tunas Cipta, Mei 2004) karya Fahd Razy.
- Di Pentas Tanding (TC, September 2004) , Janji (DAF, Ogos 2004) karya Ida Munira Abu Bakar.
- Kalut (Pelita Bahasa, Oktober 2003), Gual Ipoh (1) (Berita Minggu, 22 Jun 2003), Bening Subuh Dalam Kenangan (Mingguan Malaysia, 28 September 2003) karya Nimoiz T.Y.

Semua dijemput hadir ke majlis diskusi berkenaan. Kertas kerja karya-karya telah disiapkan oleh panel dan kami akan edarkan kepada para hadirin di hari diskusi berkenaan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 0122610683 atau 0194056664.

ii.

GATHERING GENGJURNAL 2004/05

Tarikh: 26 Disember 2004
Hari: Ahad
Masa: 02 petang - 07 malam
Tempat: Dewan Sri Pulasan, K6, Universiti Putra Malaysia

UNTUK MELAYARI LAMAN RASMI GATHERING GENGJURNAL sila klik url http://gath2004.diaryland.com

UNTUK MENYATAKAN KEHADIRAN ANDA sila klik url ini http://www.fourious.biz/gath/kehadiran

UNTUK MELIHAT PENERANGAN SETIAP ANUGERAHsila klik url http://gath2004.diaryland.com/gath01.html

UNTUK MENCALONKAN ANUGERAH GENGJURNAL sila klik http://www.fourious.biz/gath/anugerah/edit.php

UNTUK LIHAT PETA LOKASI DEWAN SRI PULASAN SERDANG sila klik url http://www.fourious.biz/gath/petalokasi.php

Leave a comment

Berkombat dengan novel sastera

Usai mengkhatami I511H [Kombat]. Ya, novel ini memang merupakan teks kreatif sastera Islam yang hebat. Faisal nampaknya mahu melebarkan sayap penanya ke segenap mandala - historikal, futuristik, oksidentalisme, keagamaan dll. Kini, saya sedang melumati novel Mencari Locus Standi. Saya tidak mahu menghadiri program 12hb [iklan program boleh dilihat di sisi kanan laman Nisah Hj. Haron] nanti dengan mata terkejip-kejip tanpa mengetahui apa yang sedang dibincangkan.

Serasa tidak perlulah diperkenalkan lagi Nisah Haron di dalam jagat sastera Melayu. Penulis kelahiran Negeri Sembilan yang terkenal dengan cerpen 'Annyss Sophilea' ini tampil pula dalam genre novel melalui Mencari Locus Standi.

Meneliti konvensional dan gagasan idealisme yang diketengahkan, novel ini amat sesuai untuk pembacaan remaja. Tulisannya kali ini begitu berbeza dengan cerpen-cerpennya yang pernah saya baca seperti Persidangan Agung Wanita Klasik, Rindu seorang rafik dll. Saya yakin, novel ini ditulis dengan waspada dan tertib supaya 'mesra remaja'.

WBP, unsur feminisme begitu ketara dalam novel ini. Saya kira Nisah Haron wajar meneliti semula keseimbangan idea dan kewarasan bicara watak E-Jay dan Azhan terutama kala menyatakan pendapat. Pendapat E-Jay seperti selalu sahaja waras mengatasi Azhan dan rakan-rakannya yang lain. Mungkin ini ciri-ciri ketegasan yang ingin diketengahkan penulis tetapi kesaksamaan harus juga diberikan kepada Azhan dan rakan-rakannya yang lain, agar Eliza tidak hanya kelihatan menyata dan memberi tetapi juga bisa mendengar dan menerima - reseptif.

Ini mungkin hasil penelitian saya melalui pembacaan yang belum usai. Saya perlu meneliti sebelum bisa meneliti manuskrip novel terbaru saya pula nanti.

Amiza kini sedang berkombat dengan novel-novel sastera. :D


Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.