Archive for 2007

Mihrab : Introspeksi Diri

Sengaja aku menunggu penerbitan Mihrab. Bagai menanti kehadiran Iduladha, dalam keharuan jemaah haji di Arafah. Hati ini sering melihat, menaakul dan menafsir segenap pelosok hidup. Apabila dihenyak ketidakpuasan hati, walang, canggung dan pelbagai rasa yang tidak menyelesakan, tercari-cari arah dan wasilah yang bisa melepaskan, menghilangkan dan memuaskan. Melalui tulisan dan diksi-diksi, kuharap segala yang gundah akan hilang, tapi nyata segala sangkaan dan jangkaan meleset. Manusia tidak akan berubah, jika diri sendiri tidak mengingininya. Pun jika mengingininya, tapi tidak pernah berusaha dan Tuhan tidak mengizinkan, maka tidak akan ada pembaharuan walau sebesar zarah.

Photobucket

Walang di hati tetap ada, tetapi sekurang-kurangnya penataran karya kepada umum menjadi syifa. Sekurang-kurangnya ada cahaya yang akan menerangi suram, ada nur yang akan menyinari kelam. Meskipun hanya sebutir benih yang tertancap, moga akan tumbuh subur menjadi sebuah pulau. Benar sungguh, aku perlu melakukan tugasku, yang lain, kuserahkan kepada yang Maha Pemberi Kurnia. Terima kasih kepada sidang editorial Berita Minggu.

Sebetulnya aku sudah lama memendam hasrat untuk menulis sesuatu di sini. Apatah bila memerhati dan menjenguk sentiasa laman ini yang tidak pernah sunyi dari pengunjungnya. Bukanlah kuharapkan yang menjadi pengunjung itu sebagai tetamu setia, jauh sekali peminat, tapi mereka kuanggap sebagai pencinta ilmu, yang sentiasa inginkan kebenaran, yang sentiasa inginkan tajdid, yang sentiasa haus, lapar dan berasa kehilangan. Bagiku, para pencinta ilmu bukan hanya menanti dan terus menunggu, tetapi mereka juga perlu memburu. Mereka perlu menjadi pemburu dan tidak hanya memburu, tapi perlu menjadi pencetus dan inovator. Tidaklah perlu aku terus menempelak atau menyangka bukan-bukan kepada golongan tertentu atau orang lain, yang penting aku perlu sentiasa melakukan tugasku. Ya, tugasku.

Aku jadi takut sekali, kala pena sudah mula berdakap dengan warkahnya. Hatiku gundah gulana. Hatiku resah kala teringatkan firman Allah dalam surah Qaf ayat 18, "Tidaklah seseorang itu mengucapkan sesuatu ucapan, melainkan di sisinya ada malaikat Raqib - pencatat kebaikan - dan A'tid - pencatat keburukan."

Bukankah tulisan-tulisan ini adalah ucap tutur hatiku, suara mindaku? Rencak dalam hati seketika dulu, mencanang kehebatan, memugar semangat insan, tapi kini aku hanya memilih untuk melakukan tugasku sendiri.

Kadang-kadang aku terlalu banyak meminta, terlalu asyik berkata-kata, sehingga alpa bahawa Rasul melarang umatnya berlebih dalam berkata-kata. Ada kalanya, sedang asyik memikir dan mengkritik, lupa sekali ku pada larangan Rasul yang melarang umatnya berkata tentang sesuatu yang belum pasti. Apakah hebat diriku apabila rajin sekali melakar pena, menghayun kata, sampai lupa sempadan dan larangan? Hebatkah diriku apabila aku hanya pandai melakar pena dan cerita, tapi kadang tersungkur, kadang tersadung dan tidak berupaya mengamalkan? Oh Tuhan, bukanlah aku ingin melepas diri dari taklif dan tanggungjawab, Engkau menjadi saksi ya Rabb, bahawa aku sedang melakukan tugasku.

Tulisanku masih lagi terhenti, bila datang dalam hati hadis Muttafaq A'laih, "Barangsiapa yang dapat memberikan jaminan kepadaku tentang kebaikan apa yang ada di antara kedua tulang rahangnya - yakni mulut - serta antara kedua kakinya - yakni kemaluannya, maka aku memberikan jaminan syurga untuknya."

Ya Tuhan, tiada siapa yang bisa memberi jaminan untukku. Barangkali Tuhan telah memilihku untuk berada di landasan ini, dan sungguh tidak putus hatiku berdoa, supaya janganlah hendaknya nama dan anugerah menjadi matlamat. Meski ada nasihat yang bertapak - biarkan ia datang untuk dakwah, tapi aku lebih suka menjadi manusia yang hidup di pinggir, tidak pernah menerima pengiktirafan dan namaku langsung tidak dikenali, tetapi aku sentiasa melakukan tugasku, dan ku percaya Tuhan sentiasa memerhatiku, menilai dan menyediakan ganjaran-Nya untukku. Bukankah iman itu percaya? Sungguh, aku walang sekiranya semakin dikenali, semakin banyak soalan yang perlu kujawab di hadapan-Nya nanti. Untuk dua karyaku yang memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan [2007] yang lalu, kukembalikan pujian buat Penciptaku, selawat salam cinta kepada kekasihku Muhammad s.a.w.

Mengapung lagi di benakku hadis Muttafaq A'laih, "Sesungguhnya seseorang hamba itu jika berbicara dengan suatu perkataan yang tidak ia fikirkan baik atau buruknya, maka dengan sebab perkataannya itu ia dapat tergelincir ke neraka yang jaraknya lebih jauh daripada jarak antara sudut timur dan sudut barat."

Gementar seluruh sendiku mengingatkan amaran ini. Janganlah hendaknya segala tutur kata dan tingkah, tidak sentiasa kuteliti. Aku percaya, rahmat Allah itu hebat dan luas, dan aku tidak akan putus memohon pengampunan-Nya, kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang seperti firman-Nya dalam surah an-Nisa' ayat 106. Aku tidak berbicara tentang orang lain, tetapi tentang diriku sendiri, kerana aku lebih mengetahui tentang diriku sendiri daripada yang lain-lainnya. Moga aku tidak akan terbeban dengan khianat, umpat, dusta dan saling sangka menyangka. Aku tidak pernah bosan berbicara tentang diriku sendiri, dengan harapan ia akan menjadi mau'izah kepada pengunjung dan pencinta ilmu. Mohon maaf jika bosan bertamu dan tidak salahkan jika aku berbicara tentang diriku sendiri?

AKO : Sudah selesai KPLI dan sedang bersedia untuk kembali ke sekolah...

Leave a comment

Manikam Kalbuku

Salam Syawal buat semua pengunjung setiaku. Ampun dipinta andai ada alun kata dan tinta yang khilaf. Aku hanya manusia dan hamba-Nya yang lemah. Selamat kembali kepada fitrah.

Bagiku, Syawal mungkin akan berlalu, tetapi Aidilfitri tidak pernah sirna dalam sukmaku. Biar. Biar Aidilfitri sentiasa menjelma dalam hati, supaya aku sentiasa mengingati bahawa aku telah ditarbiah Allah dalam sebulan Ramadan. Aku ingin sentiasa dan istiqamah kembali kepada fitrah yang bersih dan hebat. Itu azamku.

Aidilfitri yang hadir tahun ini begitu bermakna. Selain kerabat dan susur leluhur yang semakin berkembang kunjung mengunjung, aku juga diziarahi sahabat-sahabat penulis yang hebat.

Semuanya bermula apabila petang syawal kelapan itu rumahku bercahaya diziarahi Kak Nisah sekeluarga dan kanda Faisal Tehrani dan Khairul Nizam Abdul Raub yang baru bersua muka. Hati kecilku begitu gembira, meski malu sekiranya dizahirkan, tetapi rasa ria itu sukar digambarkan, dan motivasi diri melambung-lambung apabila selesa berbual seputar penulisan dan saling bertanyakan perkembangan terkini. Aduh, aku jadi malu sendiri dengan perkembangan penulisanku. Kami bersama mengunjungi usrah Puan Mahaya selepasnya dan sempat menyelit bertanyakan soalan-soalan kepada kanda Faisal, sebetulnya ingin memugar semangat. Akhirnya, senyuman mesra kuiringkan sebagai teman pulang.

Malam hadir, dan kanda Zaid Akhtar pula menziarahi. Sungguh terasa rahmat Tuhan yang luas dan melimpah. Sungguh kuterasa rahmat ukhuwah yang indah. Kami berbual, ditemani ayahanda mertua yang memahami tentunya. Tuhan, siapalah aku? Siapalah aku yang Engkau sertakan dengan angkatan hebat ini sedangkan aku masih belum mampu untuk bertahajjud setiap malam, konsisten dengan ibadah-ibadah nafilah dan sentiasa bergelumang dengan ilmu?

Tugas sebagai pendidik telah pun bermula, dan tidak sedar kini aku sedang menggulati bab keenam Tuhan Manusia (Faisal Tehrani) setelah dengan pantas menghadam novel-novel Justeru, Impian di Jaring (Zaid Akhtar), Manikam Kalbu (Faisal Tehrani) dan Nama Beta Sultan Alauddin (Faisal Tehrani). Kegilaan membaca kini kembali dalam sanubari.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Terkesima amat ketika kembara ke alam Manikam Kalbu. Di tangan Faisal Tehrani novel ini benar menguja. Doaku semoga ada generasi yang akan bangkit menjadi angkatan ghuraba menajdid busana Melayu. Ketika menyusurinya ada duka, ada lucu, ada cinta, ada kesungguhan, ada azimat dan pelbagai lagi menjelma. Ini pengalaman. Pengalaman membaca yang indah dan hebat. Ya, aku tidak keliru kerana aku telah membaca dan memiliki Manikam Kalbuku.

Kini dibumbu novel Tuhan Manusia, ada catatan pengarang di awalnya, ada cerita, ada pengalaman, ada luka dan rahsia. Biarlah luka, mahupun mati, tapi prinsip kekal jadi tunjang dan adat berjuang tidak pernah senang. Itu yang kupelajari, kekal diam dalam hati sepanjang mengamati baris-baris tulisan insan outstanding ini.

Aku ingin sentiasa dikelilingi insan-insan yang hebat ini, tapi apakan daya, kita manusia dan tanggungjawab masing-masing berbeza tentunya. Yang pasti, matlamat kita serupa dan sama - salah satunya, menyanggah fahaman semua agama itu adalah sama seperti yang diadun kanda Faisal dalam Tuhan Manusia.

Tuhan, kumohon kekalkan rahmat-Mu, supaya pintu mawaddah tidak akan pernah tertutup buatku hingga akhir hayat.

AKO : Dapatkan novel-novel hebat ini di www.ujanailmu.com.my, maaf zahir dan batin...

Leave a comment

Ramadan Kareem

Kita belum cukup merdeka daripada penjajah, malah mengidolakan penjajah, pewaris bangsa bangga bersubang sana-sini, mengagungkan hedonisme, kecil besar berlumba-lumba menjadi popular, hati masyarakat melekat cintakan dunia, lupa erti merdeka yang sebenar, lupa peranan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, lupa, lupa dan lupa. Merdekakah kita apabila dianak-tiri bangsa sendiri? Sedang bangsa lain ditakuti dan digeruni. Merdekakah kita apabila asyik ditutuh, disepak dan diterajang? Sedang bangsa lain ria bertepuk tangan, telentang bersilang kaki melihat keangkuhan sesetengah kita?

Jangan lupa. Kita hanya musafir, pengembara di muka dunia, kita akan dihisab, dihitung di alam sana. Jangan menjadi manusia yang heboh melakukan kebaikan dan kebajikan di sana-sini, tetapi semuanya lebur bila tidak dinilai oleh Allah dengan sebaik-baik amalan, hanya disebabkan terselit keangkuhan, haloba, riak, racun dalam diam yang maha bahaya.

Aku tidak bangga melaungkan merdeka, melihat bangsaku yang semakin jauh, peribadi yang semakin luluh. Aku tidak gembira meraikan merdeka, sedang hatiku merintih melihat kezaliman dan maksiat yang bertindih-tindih.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Tapi aku
tidak pernah
merdeka
menjadi hamba Allah
Azzawajalla.


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Biarkan Merdeka yang tidak pernah bercahaya, ada nur gemilang bakal mengemilau, yang tidak akan padam selama-lamanya... Ramadhan Kareem!

AKO : Hatiku sedang merintih...

Leave a comment

Ombak Cinta

Mataku diam menatap ombak. Ombak setia bertemu pantai bertepuk mesra. Barangkali aku boleh menakrifkan ombak dan pantai ini seperti dua makhluk yang paling setia. Yang tidak pernah leka dan alpa dengan apa juga dugaan dan mehnah. Mereka tetap setia, bertepuk mesra memanifestasikan sunnatullah alam.

Aku berkunjung ke sini, di tepi pantai Cherating ini bersama isteri tercinta. Mandala yang jauh dari pencekcokan, korupsi, dan segala macam tanggungjawab duniawi yang kadang menekan dan kadang menghambat hati hingga lara dan terjelepok duka. Di sinilah, ada ketenangan yang menyusup ke hati melolos ke minda sehingga hatiku terasa segar dan nyaman menghirup bayu laut yang tidak pernah letih.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Aku banyak belajar dari laut, dari ombak, dari bayu dan dari pantainya. Ada kalanya, hati berasa senang menyoroti tafsir ayat-ayat Allah di tepian samudera ini. Moga lembutlah hati, murnilah pekerti, meski kadang-kadang tersadung juga nurani ke lembah nafsu. Kita manusia, kekhilafan itu mesti kerana kita hanya berstatus hamba-Nya.

Aku ketemu Cinta di sini. Ketika mata sedang ralit melihat anak-anak kecil berlari riang lantas hati teringatkan memori lalu. Memori kanak-kanak yang masih kurang amanah dan tanggungjawab, tiada curiga, tiada sangsi dan iri, tiada dendam dan kesumat. Dunia kanak-kanak yang jauh dari fatamorgana seperti pantai ini, yang jauh dari segala kepura-puraan, jauh dari 'wahan' yang ditakrifkan baginda nabi sebagai cintakan dunia dan takutkan mati.

Di sini, aku ingin menjadi seperti ombak yang setia, seperti pantai yang memberi dan menerima. Pantai yang memberi kepuasan kepada setiap manusia, pantai yang sentiasa menerima ombak menghempas atau sesekali bertepuk mesra dengannya. Pantai telah mengajarku agar menjadi manusia yang bukan hanya pandai menerima tetapi pandai juga meringankan tangan memberi. Pantai juga telah mengajarku agar sentiasa menjaga lidah ini, agar jangan hanya pandai memberi hujah dan pendapat, tetapi hendaklah juga boleh menerima dengan senyuman terukir mesra, tanpa kesumat dan iri di hati.

Seperti ombak yang setia, tidak pernah lalai walau sesaat. Salahkah aku ingin mencontohi resmi ombak? Yang sentiasa menepati masa meskipun jika dihitung usia ombak itu jauh lebih tua daripada usiaku?

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Ah, ombak hanya makhluk yang tidak dikurniai akal, tidak dikurniai nafsu. Bukankah Tuhan menyuruhku supaya mengambil iktibar dari kejadian alam, berfikir, merenung alam kejadiannya ini, bertadabbur dengan iktibar dan hikmah kejadian alam, seperti aku mengambil iktibar asal-usul kejadian daripada tanah yang dipijak-pijak, rendah pula letak dan darjatnya dan aku akan kembali semula ke sana menjadi makanan cacing dan ulat, tetapi masih angkuh dan terus mengakui diri dewasa dan hanya aku yang benar.

Aku merasai bayu pantai yang berpuput dalam pejaman mata. Damai perlahan-lahan menyusup, ketenangan dan keindahan bersatu mendiami hati. Biarlah aku menjadi seperti bayu, meski tidak kelihatan di mata, tetapi kekal dirasai dan boleh dinikmati oleh manusia. Aku ingin menjadi seperti bayu, memberi ketenangan dan kedamaian kepada insan. Memberi manfaat dan kesenangan hati kepada orang lain, kerana aku yakin, apabila aku memberi manfaat kepada manusia, Allah pula yang akan memberi manfaat buatku. Aku akan terus berusaha menyenangkan hati orang lain, moga suatu masa dan suatu ketika yang tidak dapat ditentukan bila, Allah akan memberikan kesenangan apabila aku mengigil ketakutan berdiri di hadapan-Nya kelak.

Sungguh, telah kutemui Cinta, dalam desiran ombak.

AKO : Sibuk menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan. :)

Leave a comment

Standing in The Eyes of The World

Berdiri
di mata dunia
mulia
pada pandangan-Nya
kerana rindu
dan kasih
yang tak pernah
berbahagi.


Aku ingin berdiri di mata dunia. Menggapai cita dan impian yang hebat-hebat dalam hidupku. Jika boleh, aku ingin menjadi mahsyur dan terkenal di mata dunia. Di situ, aku akan menjadikan segalanya sebagai wasilah untuk meneruskan perjuangan Rasulullah.

Namun, aku tidaklah mahu menjadi mahsyur dengan melakukan perbuatan sia-sia, kerana Allah telah memberi peringatan supaya menjauhi perbuatan sia-sia ini dalam Surah Al-Mukminun ayat 3. Belayar jauh-jauh beribu batu untuk mencipta sejarah dan akan dikenangi sepanjang zaman, tetapi tidak tentu solat dan zikrullahnya, tidak tentu kasad dan matlamatnya, tidak tentu di sisi Tuhan dinilai sebagai ibadah dan sebaik-baik amalan. Mungkin boleh mahsyur di mata dunia dan pandangan manusia, tetapi belum tentu pada pandangan Tuhan dan penduduk langit.

Kasihku tak akan berbahagi. Tak akan berbahagi kepada Khalik, kepada Tuhan pemilik semesta. Aku akan selalu meletakkan sikap merendah diri dalam peribadi, semaikan ukhrawi dalam hati. Yakinkan dalam nubari, bahawa dengan cinta, dengan kasih sayang, aku akan sentiasa mengenal asal usul diri dan sentiasa pasti dengan peribadi hakiki. Aku tahu, semua itu akan membuatkanku tidak akan alpa dan lalai bila berusaha berdiri di mata dunia.

Aku selalu berusaha mengelakkan diri daripada melakukan perkara sia-sia. Kadang-kadang sebagai manusia, selalu juga tersadung, barangkali sebagai peringatan dari Tuhan. Aku sentiasa berusaha untuk memelihara mata, lidah, minda dan hati supaya sentiasa terjalin dengan hak dan kesaksamaan. Selagi gagal, kalah dan sering terlanjur, bererti diri belum layak untuk berdiri di mata dunia. Perlu ku fahami selalu, ilmu perlu sentiasa agam, penyelidikan sentiasa menjadi rakan, bukan hanya mengikut dengan tuli, tapi penuh arif bermisi.

Terbang rasa rinduku kepada Rasul tercinta, kerana baginda menjadi insan paling berjaya berdiri di mata dunia. Allah mengangkat dan memuliakan baginda, menjadi sehebat-hebat manusia sepanjang zaman. Terbang rasa sayangku kepada Khulafak Ar-Rasyidin, mereka berjaya berdiri di mata dunia. Terbang rasa kasih kepada ulama-ulama pengikut jejak baginda - Khalifah Umar Abdul Aziz, Imam As-Syafie, Imam Nawawi - semua cendekiawan Islam yang mengutuhkan tugu ilmu dalam hati umat. Bukankah pada akhir usia baginda s.a.w. menyebut, "ummati, ummati, ummati"?

Apakala cinta, kasih dan rindu sudah bersemi di hati, apakah penting lagi nama dan kebanggaan? Apakah penting lagi untuk berdiri di mata dunia? Justeru kutahu bahawa yang mendorong, menggalak dan memacu halatuju diriku hanyalah Allah. Aku tahu, yakin dan percaya, sekiranya sentiasa membantu agama-Nya, Dia pasti akan membantuku. Akhirnya berdiri di mata dunia untuk meneruskan misi yang tercinta Rasulullah jadi nyata, dan yang paling penting, aku akan terus berdoa, agar nanti aku akan berdiri pula di hadapan Allah, dengan hati yang penuh cinta dan rindu.

Noktah.

AKO : Cerpen terkini - Ustaz - tersiar di Mingguan Malaysia semalam [1 Julai 2007]. Alhamdulillah. "Ustaz" adalah sesuatu yang telah lama terbuku. Terima kasih buat editornya. :)

Leave a comment

Ayat-ayat Rindu

Rindu mengalir dalam hatiku, seperti air sungai yang jernih dan menyegarkan. Tekal merentasi apa saja yang menghalang. Rindu bercahaya dalam hatiku, seperti kerlingan rembulan yang cerah dan menerangkan. Menyinari kegelapan menyuluh jalan.

Aku pernah menakrifkan rindu itu seperti bintang, yang indah berkelip-kelip di dada langit. Menjadi teman rembulan, teman cinta yang menjalinkan. Aku juga pernah memaknakan rindu seperti langit yang indah dan luas terbentang, tetapi amat sukar dijelang. Barangkali rindulah takah yang paling tinggi, kemuncak segala-galanya dalam hidupku. Inilah yang aku maksudkan sebagai halawah; kemanisan. Halawatul Iman.

Iman yang sempurna itu akan menghasilkan rindu. Iman yang sempurna itu akan menatijahkan kemanisan beribadah. Ia melahirkan kudrat luar biasa melaksanakan segala tanggungjawab, amanah malah perkara-perkara sunat. Seperti rasa rindu Rabiatul Adawiyah kepada Khaliknya. Beribadah bukan untuk mengharap syurga Allah, atau ingin menghindari neraka Tuhan, tetapi beribadah semata-mata kerana cinta.

Apakah rasa itu akan hadir dalam diriku apabila pernah membarah di hati duri malas untuk berjemaah dan menjadi lelaki yang cintakan masjid? Apakah rasa cinta itu akan singgah apabila dalam hatiku masih membengkak selumbar malas untuk menjadi lelaki yang cintakan ilmu?

Dan, bukankah rindu itu akan hadir selepas adanya cinta?

Ayat-ayat cinta

Aku pernah menangis suatu masa bila harapan tinggi menggunung, dan terasa diri tidak mampu untuk menunaikannya. Pernah air mata ini mengalir bila Tuhan menurunkan ujian dan diri tidak betah menempuh dan menanganinya. Duhai hati, bukankah ujian itu adalah resam orang beriman?

Hatiku menangis kala suatu ketika, apabila jemari menyebak lembaran Ayat-ayat Cinta. Hatiku begitu tersentuh dan terasa akrab amat dengan sentuhan Habiburrahman El-Shirazi ini. Diri terasa karib dengan bumi Kinanah, bumi perjuangan yang sudah bertahun kutinggalkan. Sungguh terasa ayat-ayat cintanya mengalir, menemukan ritma rindu yang sekian lama berlagu dalam hati.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Aku hadiahkan Ayat-ayat Cinta kepada isteri tersayang, moga dia mengerti akan dunia adalah persinggahan, cinta yang sebenar apabila kita asyik berkasih di alam sana, bukan saling berkasih di alam sini, tetapi penuh telagah di alam abadi.

Hati amat terusik kala Fahri bermimpi bertemu dengan sahabat nabi S.A.W. Alangkah indahnya mimpi seperti itu, seperti akan menghambur rasa haruku, menggilap nafsu agar kembali kepada fitrah. Satu-satunya karya, yang menyuburkan pesona, menanam sebak haru yang kekal dan sukar dipadam.

Aku tidak mahu menjadi manusia yang dermawan, tetapi apabila bangkit di hadapan Allah kelak, aku dihumban ke neraka kerana aku dermawan kerana menggilai nama, dan ingin dipuja. Aku tidak mahu menjadi penulis yang hebat, guru yang cemerlang, pendakwah yang mahsyur, tetapi hati tidak pernah subur, dengan niat yang luhur.

Ada rindu yang menyala
ada cinta yang merumba
marak dan tak akan padam
dalam hati
kasih sayang kami
tidak akan berbahagi.


AKO : Sedang berada dalam tempoh praktikum di sekolah.

Leave a comment

Fikir-Fikir

Ayah dahulu :

"Wahai anak kesayanganku, apabila ayah mati nanti, kamu semua nak sembah siapa?"

Ayah sekarang :

"Wahai anak kesayanganku, apabila ayah mati nanti, kamu semua nak makan apa?"

AKO : Selesai kuliah di IPIS, hampir sebulan bergelar suami... :)

Leave a comment

Semanis Madu

Faisal Tehrani. Mohd. Faizal Musa. Tiada kata, tiada frasa yang lahir setelah aku bertemu dengannya. Entri ini sebenarnya sudah lama kutulis, tapi aku asyik memeramnya dalam PC,sebenarnya pertemuan lalu masih belum luput dalam sanubari, dan sungguh, aku tidak mahu memori itu sirna. Aduh, adakah aku terlalu bernostalgia?

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Hasrat bertemu dengan insan dikagumi itu membuatkan aku puas dan terasa senang dalam dada. Sikapnya yang merendah diri, lembut dan memesrai begitu mengesankan. Apatah kala dia berkata kepadaku yang dia sememangnya mahu dan tidak sangka dapat bertemuku. Aduh, aku seperti seekor semut kecil dan memandangnya umpama burung Cenderawasih di dada langit. Aku hampir terlupa, yang dia hadir sempena program Seminar Penulisan Islam anjuran sekolah. Sungguh, aku mencemburui masa yang pantas berlalu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Aku juga diipuk keharuan melihat semangat dan kegigihan Nisah Hj. Haron yang sedang sarat, tetapi sanggup memandu sejauh 70 kilometer seorang diri, membawa bekalan buku-buku untuk dijual. Segalanya diuruskan sendiri. Aduh, serasa malu dengan semangat dan kegigihan diri dalam penulisan. Mungkin aku tidak memiliki motivasi diri sehebat mereka. Mungkin juga motivasi diri telah mencair dek selalu memotivasi orang lain. Apatah di sekolah, diri digalas amanah sebagai penggerak Unit Bimbingan dan Kaunseling. Benar, sebenarnya aku mesti menjadikan itu semua sebagai landasan untuk memajukan diri. Benar! Seperti katanya, untuk bergerak ke depan, ada episod yang mesti kita tinggalkan. Tinggalkan tak semestinya melupakan.

Pertemuan yang indah. Laksana madu, yang manis dan menyihatkan.

Hari Bahagia

Hawa diciptakan
dari rusuk Adam
hadir
melengkapkan
menenangkan.

Saat itu tiba
kembali
dua hati bertemu
mengikat janji
bahagia
hingga akhir hayat.


Jemputan Majlis Perkahwinan

Amiza Khusyri b. Yusof
&
Khairun Nisak bte. Munzir

13 Mei 2007
Lot 2212, Kg. Gadong Lama, Labu.

Turut mengundang :

Seisi keluarga [06-7923967]

Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum!

AKO : Seram sejuk untuk menggalas amanah... :)

Leave a comment

Gemilang

Seminar Penulisan Islam
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan [ITQAN]

bersama
Mohd Faizal Musa [Faisal Tehrani]
&
Nisah Hj Haron

Jam 9 pagi - 4.30 petang
[Seminar & Bengkel]

Kami menadah
sepuluh jari
dengan hati
menatang dulang
bertatah emas
menerima
kehadiran kalian
dengan rendah hati
dan seikhlas budi.

AKO : Sibuk menguruskan seminar...

Leave a comment

Penuh Cinta

Air hujan yang bertemali, kadang lebat dan kadang renyai, mengingatkanku kepada saat manis waktu kecil-kecil dahulu. Waktu hujan beginilah aku dengan rona ria akan meredah hujan, berkejar-kejaran membiarkan tubuh lencun dan kuyup dalam lopak-lopak air. Bonda hanya memberi amaran, jika demam dan sakit malam nanti, dia akan menambah sakit itu dengan cubitan dan kata-kata perli. Begitu yang terpacul di mulut bonda, meskipun ku tahu, tidak pernah kalam itu singgah di pelabuhan hatinya yang penuh cinta.

Aku tersenyum terkenangkan memori lalu. Saat menikmati kehijauan desa, melastik burung, sibuk dengan kayu kombat yang dikepit ke sana ke mari, atau membina pondok kayu di bawah pohon ketapang rendang, yang sebenarnya pondok itu dibina datuk setelah kami puas merengek bermerah muka kepadanya, yang melucukan, kami meminta datuk menyalakan api untuk memasak, tetapi sudahnya, kami pulang dan kembali menjinjit bekal makanan dari rumah dalam bingar telinga dileteri bonda dan makan bersama dengan dahi bermanik peluh.

Aku terdorong ke dalam kenangan lalu, saat kanak-kanak yang bebas dari tanggungjawab bekerja, kurangnya amanah yang tergalas, meskipun minda sesekali dijentik dengan kekentalan jiwa kanak-kanak Palestin, yang sejak kecil telah terdidik dengan perjuangan dan mengenali jihad.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Indahkah kenangan lalu saat datangnya malaikat bertanya : siapakah saudara kamu? Dan dengan yakin aku menjawab, orang-orang Islam saudaraku, tetapi hakikatnya aku tidak pernah mengambil tahu, sentiasa gembira mengejar pangkat dan harta, ralit dengan duniawi, sedang ku tahu, ini semua hanya petanda kiamat yang semakin hampir.

Kenangan lalu kini gelita, dalam hati yang penuh cinta.

Seperti Kaca, Seperti Dahan

Ketika datang seorang pelajar kepadaku mengadu, berasa bersalah kerana menyakiti hati seorang guru. Guru itu berpaling dan tidak mahu dia berada dalam kelas sepanjang pengajarannya. Aku hanya tersenyum, dengan bibir mengelus kata-kata :

Hati guru
seperti kaca
mudah pecah
retak berderai
gilaplah
peliharalah.

Hati guru
seperti dahan
jika retak
patah
akan jatuh
menimpa bumi.

Jangan bimbang
gundah
dan ragu,
hati itu
akan tumbuh
dahan baharu
merimbun
meneduhkan hatimu.

AKO : Hatinya penuh cinta... :)

Leave a comment

Demi Cinta yang Merumba

Sebenarnya banyak yang ingin kukongsikan. Banyak juga yang ingin kunaratifkan. Tetapi puas juga diri mencari ruang senggang untuk melantunkan jemari di papan kekunci. Dan barangkali ruang itu tidak akan datang dan aku sendiri perlu memberi ruang, mencari senggang dan menjejaki waktu untukku menyendiri dan berfikir, merenung tentang diri dan berkongsi.

Aku tahu, aku bukanlah insan hebat yang boleh menjadi contoh untuk semua orang, atau aku boleh menjadi ikutan atau insan dikagumi, tetapi aku memilih jalan ini kerana ihsan, kerana cintaku dan kerana Tuhanku. Dan aku yakin, mereka yang memilih jalan ini adalah kerana cinta mereka. Kerana hati yang didamba rindu dek cinta yang menyala-nyala. Demi cinta yang merumba.

Ihtifal

Kesibukan mendepani Ihtifal Sekolah-sekolah Agama Negeri menyebabkan keletaian menghambat. Tambahan pula apakala aku diberi mandat sebagai guru pembimbing dalam beberapa acara ilmiah dan sukan. Pada waktu inilah, segala ketegangan dan tekanan sirna daripada tampang pelajar-pelajarku. Barangkali inilah kesempatan waktu untuk mereka lepas bebas seketika, dengan persaingan sihat memburu kejayaan, lepas bebas mengisi masa dengan berkualiti semestinya. Alhamdulillah, ITQAN telah menjuarai pelbagai acara seperti biasa. Malah Majlis Tilawah Al-Quran peringkat daerah baru-baru ini juga telah menyaksikan ITQAN sebagai johan keseluruhan.

Kini Ihtifal sudah berakhir dan sempena Ihtifal itu aku sempat menjemput Puan Nisah Hj. Haron untuk menjadi hakim sajak setelah aku diamanahkan menjadi Pengerusi Acara Sajak Ihtifal. Segalanya berjalan lancar dan sudah berlalu. Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan urusanku, melorong jalan dan mendorong sikap dan mindaku.

Ada rindu

Entah kenapa, ada rindu dalam kalbuku. Ada cinta yang berputik mekar, dan mengalirkan madu rindu. Hatiku begitu, mercup dan mengasyikkan, kadang sedih dan kecewa, kadang terharu dan simpati, tekal semangat dan bermotivasi, semuanya kerana rinduku. Kerana rindu kepada insan agung bernama Muhammad, yang tercinta yang bakal ku sambut ulangtahun kelahirannya beberapa hari lagi. Laka ya Rasulallah...

Rasulullah Tamtama Umat

Alam berpesta pada kelahiran insan agung,
Makhluk terbaik yang disebut Tuhan di lembaran hikmah,
Dia merintis kemurnian hidup
mencantas kejahilan yang merobek kudus jiwa,
Dia yang menafaskan jiwa kerdil
yang tenggelam saban waktu pada fatamorgana dunia,
Dia mungkin buta pada takrif aksara,

rencam pada baris huruf
Namun dia rencak di jiwa khalis di minda
Kerna suluhan nubuwah dan lipatan mukjizat
Bersama Jibril nadim setia perantara anugerah.

Kegelandangan umat ditepis hikmah bersama sekalian rafik,
Persis nur bulan bintang penghias malam
Pada sebuah perjuangan

kaukental menanggung taufan fitnah
yang tidak pernah khali,
Meski lewat cabaran dan tohmah

kaulangkah dengan berhemah
Kaulayarkan piawai keadilan yang ditagih jiwa sani
lewat keberkatan mukjizat yang pokta di sukma,
Biar ribuan suda menghalang sabil
Kaucantas dengan pedang sabar dan cekal,
Kaulah suri umat yang menangguk minda

mencari sebuah ketelusan.

Mereka akui kau insan pilihan
Namun bejat nafsu menghalang atma dari akur,
Biarlah pawana jahil itu berterbangan
Biarkan badai nafsu itu menghempas,
Kau tekal dengan misi,
Merentas gendala buta dan terjal dengan iman dan hikmah Ilahi,
Pantas kaucapai lentera wahyu bila diri dipasung pilu,
Lekas kaututup gapura nafsu

demi membina tarbiah mencetus paradigma,
Garisah perit dan dukamu itu bagai rasa si penagih metia
menjumpai sahmura di mahligai impian.

Dari langit lazuardi cerah ke mega senja,
Kau tamsilan sebuah meditasi hidup

dan ilham perjuangan mujahid,
Kau figura sanubari yang betah dengan tribulasi,
Tiada kata yang terungkap dengan sahsiah dan budi,
Tiada nilai dan matra yang terukur dengan halus bicara,
Hanya terukir stanza daif daripada insan fakir yang berfikir
di kalangan litirnya umat di alam buana.

Demi umat,
Kaurasai perit jasmani,
Kaulalui sayatan rohani,
Kaulontarkan mewah berahi,
Kaujauhkan manikam duniawi,
Kau kekal dalam naif meski disogok permaisuri nilik.

Kau tunjang umat,
Suri nian yang tekal bersimpuh di muara hati,
Pengorbananmu menjadi inspirasi,
Semangatmu menakluki di setiap sendi dan nadi,
Perjuanganmu nalar membalami ilusi,
Kau masih bernafas dalam jiwa umat hakiki.

Wahai Rasulullah,
Kaulah tamtama diri dan bukti cinta sejati,
Lantaran sayangmu pada umat mengatasi kejerihan,
Sehingga pada akhir zaman usia
kekal meniti di bibirmu yang mulia...
"Ummati.. ummati.. ummati.."


Amiza Khusyri Yusof, Kaherah, 2004.

AKO : Salam Maulidurrasul buat semua pengunjung AKO...

Leave a comment

Kabus di Gemencheh

Barangkali orang akan berkata aku pelik bila bercerita tentang kabus di Gemencheh. Mungkin juga bagi sesetengah orang akan berkata : sasterawan memang begitu, orang berkarya memang begitu, pelik dan macam-macam.

Namun, bagiku, baik atau buruk pada pandangan manusia, tetapi baik di sisi Allah, dengan niat yang betul, aku tetap meneruskan. Dalam Al-Quran menyuruh kita melihat, merenung dan mengambil ibrah(i) kejadian alam ini untuk menambah keimanan, memperhalusi daya fikir, menguatkan akidah seterusnya membentur ketakwaan. Rasulullah juga pernah berkhulwah(ii) di gua Hirak, lari dari keghairahan Jahiliah yang membungkus kehidupan masyarakat Arab pada masa itu. Tidaklah menjadi kesalahan apabila kita duduk seorang diri, berfikir dan merenung, bermuhasabah dan menilai, beristighfar dan memperbaiki, kerana itu juga adalah jalan dan sunnah yang tercinta Rasulullah. Allah SWT berfirman dalam surah Fusilat : 53 :

"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda [kekuasaan] Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah kepada mereka bahawa ia [al-Quran] adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup [bagimu] bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu."

Setiap hari sebelum ke sekolah, aku suka memerhati dan merasai kabus yang mendinginkan. Kabus yang mengelabui pandangan tidak sedikit pun menyesakkan jiwaku. Setiap kali menaiki kereta, kabus akan menjadikanku lebih berhati-hati memandu, kabus akan menyegarkan, kabus memberikanku isyarat bahawa hari baharu telah bermula, meskipun ia akan hilang bila mentari keluar membahang.

Seperti kabus yang datang, menyegarkan, seperti itu jugalah aku perlu memulakan hari-hariku sebagai seorang pendidik di Gemencheh ini. Seperti kabus yang tidak pernah lalai dan lupa, begitulah amanah yang kugalas, hendaklah kulaksanakan sebaik mungkin. Sali dan segar memenuhi segala hadaf(iii) dan matlamat.

Selamat datang ke ITQAN

ITQAN semakin cantik, semakin indah dengan kehadiran pelajar baharu untuk sesi persekolahan kali ini. Ahlan Wasahlan Wa Marhaban. Seramai 30 orang pelajar baharu terpilih untuk memulakan sesi pembelajaran di ITQAN dengan keputusan UPSR sekurang-kurangnya 4A. Mereka menggalas dua tanggungjawab sebagai seorang pelajar di sini. Tanggungjawab dengan al-Quran yang akan diperdengarkan kepada gurunya setiap pagi, dan tanggungjawab mempelajari semua subjek akademik yang bermula dari jam 10 pagi hingga 2.30 petang. Selepas SPM, mereka telah memasuki gerbang pra semester, sebelum memulakan sesi pembelajaran semester satu hingga semester enam dan menggenggam segulung diploma.

Biasanya pada awal tahun begini, banyak kerja yang perlu diusaikan, pelbagai perkara yang perlu didepani. ITQAN setakat ini memperoleh keputusan terbaik PMR bagi sekolah-sekolah agama negeri, Negeri Sembilan. Pelajarku, Khairul Sobirin, yang kini sudah melangkah ke tingkatan empat, mendapat anugerah terbaik PMR dalam majlis sambutan Maal Hijrah di MPS hari sabtu lalu [20 Januari 2007].

Nikmatilah panorama kompleks ITQAN yang indah :

Photobucket - Video and Image Hosting
Kelas Hafazan dan Tasmek

Photobucket - Video and Image Hosting
Selamat Datang ke ITQAN

Photobucket - Video and Image Hosting
Kompleks Asrama

Photobucket - Video and Image Hosting
Bangunan Pentadbiran

Photobucket - Video and Image Hosting
Mercu Kegemilangan

Pejuangku
yang baru melangkah
ke alam baharu
berjuanglah
demi cinta dan ilmu
hanya Tuhan
dengan al-Quran
Sunnah junjungan
penyuluh hidupmu
menjejak rindu
yang selalu kita rayu.

Nota kaki :

i] Ibrah : Iktibar
ii] Khulwah : Menyendiri
iii] Hadaf : Objektif / Tujuan

AKO : Seperti kabus yang segar dan menyegarkan... :)

Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.