Archive for 2006

Sejarah

Kuliahku di IPIS kini sudah tamat. Namun bukanlah tamat sepenuhnya, akan bersambung pula pada cuti persekolahan akan datang. Kini, yang lalu sudah menjadi sejarah. Ya, semua yang telah berlalu sudah menjadi sejarah. Ada yang manis, ada yang pahit. Sudah tentunya bagi majoriti manusia, suka mengenang yang manis-manis, tidak suka mengenang yang pahit-pahit. Barangkali orang suka mengenangkan yang manis-manis kerana boleh menjadi pengubat lara, atau boleh menjadi punca ceria dan rasa ria, kerana fitrah manusia itu tidak suka bersedih dan berduka. Dan barangkali juga bagi sesetengah orang, suka mengenang yang pahit-pahit, dek tidak mampu melupakan saat yang pahit-pahit itu, atau suka mengenangkan yang pahit-pahit, kerana yang pahit-pahit itu banyak mengajarnya erti hidup.

Bagiku, seperti kisah Bos yang kuceritakan, adalah satu sejarah yang pahit. Yang setiap kali aku mengingatinya, maka akan terbenturlah rasa kasih sayang dalam jiwaku. Akan tersematlah keinsafan dalam kalbuku. Diri terus bermuhasabah dan aku sentiasa berseingat diri agar tidak mengulangi yang pahit-pahit dahulu. Aku juga suka mengenangkan yang manis-manis. Yang semestinya manis-manis itu akan menjadikanku tersenyum sendiri. Yang kadangkala manis-manis itu akan mengingatkanku supaya sentiasa melakukan yang terbaik. Ya, bukan sahaja yang manis-manis, tetapi yang pahit-pahit juga boleh menjadi sumber inspirasi, boleh menjadi suntikan motivasi buat diriku yang daif ini.

Sepertimana sejarah kegemilangan Islam, sejarah ketamadunan dan Khilafah Islamiah adalah suatu saat yang manis. Maka, tidak bolehlah aku sekadar ingin berbangga, atau sekadar suka bercerita dengan pongah detik-detik hebat itu, tetapi perlu ada usaha untuk mengembalikan kegemilangan itu, aku perlu memiliki motivasi untuk menggilapkan, mengiltizamkan dan seterusnya menggemilangkan. Justeru tentunya proses itu bukan yang mudah-mudah, yang ringan-ringan, tetapi adalah proses yang berat-berat dan serius.

Photobucket - Video and Image Hosting

Jiwa yang rasi

Aku kini berada dalam fatrah(i) jeda sebelum memulakan kembali tugas di ITQAN apabila tirai tahun baru terbuka. Waktu inilah aku merasakan jiwaku rasi untuk menukangi karya, untuk melihat-lihat kembali karya-karya dahulu, dan memenuhi masa dengan pembacaan karya-karya sastera, dalam erti dan makna karya sastera yang sebenar, kerana masyarakat sekarang sudah berpenyakit keliru untuk mengenal, menakrif dan memilih.

Aku terfikir juga, alangkah indahnya jika jiwaku selalu rasi begini, dan hatiku sentiasa damai begini, meskipun aku kadangkala menyalahkan hujan kerana melencunkan, dan kadangkala menyalahkan panas kerana membahangkan, seperti mentari yang hilang kala hadirnya malam, adakah aku perlu menyalahkan bumi kerana sentiasa berputar pada orbitnya? Yang akhirnya aku akan menyalahkan Tuhan kerana tidak memenuhi kehendak dan keinginanku yang tidak pernah cukup dan puas. Oh Tuhan, ampunilah hamba-Mu.

Janganlah aku menjadi insan yang gelisah dengan rezeki, kerana Tuhan yang memberi rezeki, bukan siapa-siapa, bukan apa-apa, tetapi Dialah Tuhan yang memberi rezeki. Janganlah aku menyalahkan orang lain, saling salah-menyalah, sehingga api kesumat dan permusuhan merumba. Aku perlu menyalahkan diriku sendiri, menyalahkan usaha, menyalahkan keinginanku yang melebihi ibadah dan tawakal. Ya Hayyu ya Qayyum, aku sujud sebagai hamba-Mu.

Ada cinta
dalam hatiku
mekar berbunga
dek rindu
yang sering mendamba.

Nota kaki :

(i) Fatrah : Tempoh

AKO : Semoga jiwa kalian sentiasa rasi.. :)

Leave a comment

Rajuk Bos

Dulu, semasa ketinggianku belum pun separas pinggang orang dewasa, dengan pandangan yang masih kelabu dan minda yang sering keliru, ada seekor kucing yang nenek namakan Bos. Bos seekor kucing cantik dengan ekornya berbulu lebat, bulunya putih dan berjalur hitam di sesetengah bahagian badannya. Tidak pula kutahu dari mana kucing itu datang dan sesungguhnya aku tidak mahu ambil tahu. Namun, sesuatu yang kupasti ialah aku bukan seorang penggemar kucing. Apabila Bos datang merengek-rengek di kaki, aku menyepaknya tanpa belas kasihan, kemudian aku menangis dan berbohong kepada nenek, Bos telah menggigit kakiku. Kemudian nenek akan memarahi Bos, dan kucing montel yang manja itu tunduk keluar rumah. Aku pula selepas itu tersenyum puas.

Aku jelak metah apabila datuk dan nenek pernah suatu pagi memuji-muji Bos yang berjaya menangkap empat ekor tikus sehari. Bos seekor kucing yang bijak. Apabila tibanya tengah hari, dia akan duduk di suatu sudut rumah nenek, menanti nenek membawakannya saki-baki makanan, tulang-temulang dari santapan tengah hari kami. Malam pun begitu. Aku sangat lemas apabila aroma rumah itu hanya berbau pujian-pujian kepada Bos. Jauh di sudut hati, aku memasang dendam.

Suatu hari, ketika pagi baru hendak bernafas, aku datang kepada Bos dan berpura-pura mengusap badannya. Ketika Bos sedang asyik mahsyuk menggeliat manja, rasa meluat di hatiku melambung-lambung. Kaki kecilku terus memijak kuat ekornya yang cantik dan bos mengiau kuat, kemudian menggigit kuat ketingku sehingga berbekas taringnya. Aku meraung dan nenek bergegas datang kepadaku, dia menampar kepala Bos sehingga haiwan itu berlari keluar rumah.

Nenek meletakkan minyak gamat dan memujukku sehingga raunganku reda. Nenek berpesan kepadaku, sebagai hukuman, dia tidak akan memberi Bos makan lagi. Aku puas dan terasa menang. Hatiku tersenyum meskipun diri masih dikuasai rasa sakit dan trauma.

Malam itu, Bos kembali ke rumah, dan mataku masih bengkak berbekas air mata. Datuk dan nenek tidak mempedulikan Bos yang setia menunggu dan mengiau-ngiau di sudut rumah. Sehingga larut malam, rumah papan itu gelap gelita, hanya terdengar suara cengkerik sahut menyahut. Bos masih di situ. Bos masih setia menunggu.

Berlalulah seminggu, tubuh kucing montel itu semakin susut dan rasa belas perlahan-lahan menjarah hatiku tengah hari itu. Bos masih menunggu di sudut rumah dan aku memandangnya dari jauh. Aku tiada selera untuk bermain bersama adik beradik yang lain.

Petang hari yang sama, aku menghampiri nenek yang ketika itu sedang duduk bersantai di beranda rumah. Aku menyatakan harapan kepadanya, supaya malam itu dia membenarkanku memberi Bos makan. Nenek tersenyum dan mengangguk perlahan. Dia bertanya kepadaku, masih marahkah aku kepada Bos? Aku menggeleng perlahan dan jauh di sudut hatiku rasa belas dan kasih menjuak-juak.

Malam itu, aku menanti Bos. Menanti Bos dengan tulang-temulang dan saki baki makananku. Aku menunggu Bos berjam lamanya. Sehingga nenek datang kepadaku, memujukku biar nenek sendiri yang memberi dan menunggunya. Aku menggeleng tegas dan nenek tidak dapat berbuat apa-apa. Aku menunggu sehingga mataku hampir terkatup, dan nenek perlahan mengambil pinggan di tanganku dan membawaku tidur.

Keesokannya, aku bangun dan masih bertanya nenek di mana Bos. Nenek tidak menjawab dan aku merajuk sepanjang hari. Rasa bersalah menebal dalam diriku, rasa sayang berbaur belas menjelira di segenap sendiku.

Photobucket - Video and Image Hosting

Bukan seminggu, tetapi sudah masuk berbulan lamanya, Bos tidak kembali lagi ke rumah nenek. Sebagai seorang kanak-kanak, naluri bermain, bergurau, masih menguasai diri, sehingga rajuk Bos dapat kulupakan, ditambah dengan pujuk nenek dan rayu datuk.

Ingatan tentang dunia kanak-kanakku barangkali semakin samar, tetapi ingatanku kepada kucing montel berbulu lebat itu tidak akan samar, malah kekal menjadi sumber inspirasiku sehingga kini. Kecintaanku kepada haiwan dan makhluk Tuhan erat terpupuk di hati sanubari, rasa belas kekal meronai duniaku sehingga ke akhir hayat ini.

Salam buatmu Bos, walau di mana kau berada!

AKO : Masih di IPIS meneruskan sisa-sisa pengajian...

Leave a comment

Masih di sini

Aku masih mahu menulis. Masih mahu menulis tentang rona-rona hidupku yang semakin hari kurasakan semakin indah, cantik dan berseri. Laksana seorang rupawan datang kepadaku dengan kemulusan cinta dan budi pekertinya. Hidupku begitu, meskipun masalah tidak putus datang timpa menimpa, meskipun masalah itu vitaliti dalam hidup seorang manusia. Aku tetap merasakan hidupku indah, hidupku cantik, hidupku berseri kerana aku sentiasa berazam menyemai benih-benih akhiratku dalam bustan penghidupan ini, selagi jantungku terus berdetak.

Aku masih hidup, masih mahu menulis. Aku hidup kerana akhiratku. Aku hidup kerana Tuhanku. Barangkali dalam hidup manusia di sekelilingku yang sentiasa gelisah, tidak puas, tidak cukup, dura dengan dunianya, gentar kehilangan, takut mati, barangkali mereka tidak sedar atau tidak mampu memberi peluang kepada hati, jiwa, akal mereka untuk mencari jeda, memikir tentang keindahan, kecantikan dan keserian hidup itu.

Ah, alangkah indahnya hidupku, moga lebih indahlah akhiratku. Amin.

Rusuh di Bangi

Guruh yang bergementam dan kilat yang memancar seperti dua rakan akrab yang sentiasa mengiringi langkahku di Bangi. Hujan yang bertemali pula seperti rafik setia yang mendinginkan jiwa ragaku.

Barangkali perumpamaan ini adalah untuk menenangkan hatiku yang sedang diipuk letai mendepani kertas-kertas kerja, pembentangan dan segala macam bentuk pembelajaran di Institut Perguruan Islam ini. Pembelajaran Kursus Dalam Cuti [KDC] ini seperti larian pecut dan aku umpama seorang atlet yang sedang mengejar garisan penamat. Nun, masih jauh dan aku perlu segera.

Jiwaku rusuh, tetapi kerusuhan itu adakalanya penting, kerana ia akan menggerakkan hati, menggilap upaya fikirku.

Menjadi hujan

Aku tertarik dengan kata-kata pensyarahku - Ustaz Ismail Che Ku - kita bukan nak berperasangka sesama manusia, tetapi perlu ada kasad untuk tidak mudah mempercayai, tidak mudah lembut hati - sumbang mahram, korupsi, makan kawan, dsb - kerana adakalanya kepercayaan itu akan memusnahkan, memakan dirimu.

Oh Tuhan
Jadikanku seperti hujan
yang setia mendinginkan
yang setia menyuburkan
tiada sengketa
tiadalah nestapa.


AKO : Ingin sentiasa hidup dalam keindahan... :)

Leave a comment

Yang seperti mereka...

Photobucket - Video and Image Hosting

Anugerah Mat Rempit Terbaik 2006

Jalan inikah yang kau pilih?

AKO : Geram... :)

Leave a comment

Senyuman Syawal

Aku tidak ingat, tapi setahuku memang setiap kali syawal senyuman tidak akan lekang daripada mulutku. Senyuman ikhlas yang barangkali seperti mekarnya sekuntum mawar dan indahnya mentari ghurub. Bukanlah senyumanku itu kerana gembira dengan pemergian Ramadan, tetapi kerana rianya dengan kemenangan usai sebulan berpuasa dan terasa manisnya ukhuwah.

Waktu Syawal inilah sebenarnya aku lebih mengetahui siapa lawan dan siapa kawan. Siapa musuh dalam selimut dan siapa enau dalam belukar. Aku lebih kenal keikhlasan dan aku lebih kenal kejujuran. Hatiku timbul dan berpasak falsafah - inilah rupa manusia. Manusia yang asal kejadiannya mulia dan sempurna, sehingga nafsu dan syaitan membentuknya dengan pelbagai rupa.

Aku lebih faham, Syawal yang menggamit, seperti kosong dan tidak bermakna. Rupa-rupanya senyumanku hanya seperti kotak kosong ringan dan tidak berisi. Tapi, masih ada sebutir mutiara bersinar di hati ini, yang kemilaunya serasa menyuluhi segenap sendiku untuk terus melakukan amanah dan tanggungjawab Tuhan. Kemilaunya yang menyuluhi segala bidang yang kuceburi termasuklah sastera Melayu yang kusayangi.

Ibtisam masih tersenyum

Ibtisam masih lagi tersenyum dalam hatiku. Seperti manisnya senyuman Ibtisam dalam cerpenku yang tersiar dalam Berita Minggu itu. Alhamdulillah, itu hadiah Syawal untukku. Untuk sepanjang minggu yang hebat. Aku merakamkan apresiasi di sini buat Editor Sastera BHSB yang sudi menyiarkan karyaku itu. Tiada apa yang lebih menggembirakanku sebagai seorang penulis, melainkan melihat karyaku dibaca, rukyahku diteliti, dan motifku sampai ke hati pembacaku.

Seperti sebutir mutiara yang menyuluhi segenap sendiku, hatiku terasa puas, mindaku terasa hidup apabila telah menyempurnakan satu tanggungjawab, meski kutahu, perjuanganku tidak akan ada intihanya. Meski kutahu, ia hanya sebagai motivasi sementara, sebagai pembakar semangatku. Meski kutahu, ia hanya secebis daripada perjuangan orang-orang terdahulu. Dan kutahu, aku memerlukannya, meski hanya seketika, sejeda. Biarkanlah ia hadir. Supaya inspirasi dan ideaku akan menjadi seperti sungai yang mengalir, yang terus menyuburkan dan membangunkan.

Mentari yang mempesona

Hujan yang turun petang khamis itu seperti manik-manik emas bergentayangan dan mentari samar yang menyinari seperti mutiara yang berkemilau. Titis-titis hujan yang barangkali bersilih dengan rahmat dan wehdah terasa damai menyentuh tubuhku. Persekitaran yang bingar seperti tenggelam di dalam vakum ghairah dan perbincanganku.

Meski bertahun-tahun aku mengenalinya via emel, sering berutusan mesej elektronik lewat telefon bimbit, tetapi aku tidak pernah bersua muka dan mendengar suaranya. Dan hatiku terus-terusan mengiyakan, dialah salah seorang inspirasiku dalam penulisan. Dia seperti pembimbing dan motivator. Jika tidak kerana takdir Rabbul Jalil yang menemukanku dengan Sesegar Nailofar itu, tentulah penulisan dan sastera ini akan jauh daripadaku, seperti minyak dengan air, dan tentulah aku akan terus menggulati karya-karya makanan ringan itu.

Photobucket - Video and Image Hosting

Itulah pertama kali, pekan Gemas menjadi saksi pertemuan dan diskusi pertama kami. Sehingga benar-benar tidak kusedari, lebih sejam telah berlalu. Ada gundah, ada gelisah, ada azam, ada semangat dan ada kasih dalam pertemuan itu.

Kepulanganku petang itu, bertemankan mentari yang ghurub, ada jalur-jalur cahaya yang indah, seperti keindahan pertemuan kami.

Oh Tuhan, kini ada mentari yang hidup dalam hatiku, mentari yang tidak akan ghurub, mentari yang akan terus bersinar, sepertinya, yang tekal bersinar dan mempesonakan.

AKO : Selamat bertemu dengan minggu-minggu kalian yang hebat! :)

Leave a comment

Rona-rona Rinduku

Rasanya sudah lama tidak mencatat. Namun aku yakin, sepanjang tempoh itu, ruang AKO ini masih tetap berpengunjung. Sepertimana tulisan-tulisan di sini. Tulisan yang terhasil dari hati, hidup dan memesrakan. Sepertimana jalan perjuanganku yang getir dan sering menggelisahkan.

Sudah berbulan juga aku menabur bakti di bumi Gemencheh. Mendidik semulia-mulia manusia, kerana tidak ada manusia yang lebih mulia daripada para penghafaz al-Quran, mukjizat terbesar Rasulullah SAW. Sepanjang tempoh itu, diri terus dibelenggu tanggungjawab dan amanah yang timpa menimpa. Menekuni bahasa Arab, menyoroti ilmu Tafsir dan Akidah, menelusuri ilmu Syariah Islamiah, justeru aku memilih untuk berhibernasi. Barangkali salah satu objektifnya ingin beruzlah dari terus tergencat dalam keghairahan duniawi.

Masih ada cinta

Meski dicumbu kesibukan, aku tetap terus-terusan mengikuti perkembangan dunia sastera, tanpa walau seulas hasrat untuk meninggalkan penulisan. Sebenarnya, sering melawan gejolak dan dura dalam dada.

Gejolak keinginan dan gejolak hasrat untuk menukangi karya-karya baru. Dura melihat kebejatan sahsiah anak bangsa, dura dengan nasib sastera Melayu yang terus-terusan dipinggirkan, dianak-tirikan, diperbodohkan oleh golongan jahil kerana kerusi pangkat, justeru terhakislah estetika bangsa yang sekian lama dipertahankan.

Aku akui, dalam hatiku masih ada cinta. Masih ada ghairah dan rindu. Seperti berlalunya Ramadan dengan penuh cinta, dan hadirnya Syawal dengan buak rindu.

Photobucket - Video and Image Hosting

Syawal yang terakhir

Kerinduan pada Ramadan begitu kurasai pada Syawal kali ini. Terutama kala terkenangkan berpuasa di bumi anbiya. Menggamit-gamit sukmaku dan mendorongku ke dalam kenangan lalu. Sungguh terasa syiarnya Ramadan di bumi barakah itu.

Dan sesungguhnya aku tidak tahu kenapa kurasakan ini adalah Syawal yang terakhir buatku. Barangkali bunyinya seperti aku ini berpenyakit dan akan mati sebelum Syawal akan datang. Tapi begitulah yang kurasa. Ini Syawal yang terakhir. Barangkali juga dalam senyum-senyum hatiku berseloka, ini barangkali Syawal terakhir aku seorang diri, barangkali Syawal akan datang akan berpasanganlah pula. Barangkali juga itu bukan sekadar seloka. Bukan sekadar kecindan biasa. Barangkalilah juga.

Hujan yang turun sepanjang Syawal, titis-titisnya seperti manik-manik kristal yang mempesona, timpa ke tubuh, tapi seperti lembut kapas yang menidurkan pula. Oh Tuhan, nikmat kemenangankah yang Kau berikan kepadaku?

Detik-detik yang hebat

Aku tidak lupa untuk ziarah-menziarahi sempena Syawal. Kurasakan, Syawal tahun inilah segala sendi-sendiku berjalan laju, aktif dan tidak gontai untuk ke hulu ke hilir menziarahi.

Hati lebih senang dengan senyuman Syawal daripada saudara mara dan handai taulan, tapi letih dengan hiburan-hiburan yang tidak pernah putus dan semakin rancak di kaca televisyen. Aku letih sekali.

Aku masih lagi berziarah dan mahu bercerita tentang detik-detik yang hebat. Detik-detik yang hebat dalam rumah yang didiami lima jiwa yang besar itu. Jiwa mereka besar kerana bagiku mereka berbumbungkan perjuangan dan bertiangkan tauhid. Jiwa mereka besar kerana ada tujuan mulia dalam perniagaan dan jariah akhirat sekali ditempa. Semangatku berpencak dan jiwaku berentak kala mendengar butir-butir bicara daripada wanita berkaca mata itu, dengan suami di sisi yang sentiasa memahami. Perlu aku datang dan mendengar semua itu. Perlu aku datang dan merasai detik-detik yang hebat itu.

Seperti kini, detik-detik yang hebat kurasai kala membaca karya Abdullah Hussain yang kugapai di Ujana Ilmu dengan penuh syahdu - Dan Malam Apabila Ia Berlalu.

Dan malam apabila ia berlalu, aku terus di sini. Asyik dengan keindahan rona-rona rinduku.

AKO : Eid Mubarak, maaf zahir dan batin. :)

Leave a comment

Cerpen Ramadan

Cinta daerah Menoufia

Oleh Amiza Khusyri Yusof

Kali pertama menjejakkan kaki ke pekan Shibin El-Kom di daerah Menoufia itu, saya tersesat. Tercari-cari rumah Khalil sehingga acap kali bertanya orang-orang Arab tetapi rumahnya masih juga tidak diketemukan. Kebetulan saya tiba apakala jam sudah hampir mencecah sebelas setengah malam. Silap saya juga kerana tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap penerangan panjang lebar Khalil tentang di mana duduk letak rumahnya itu sebelum ini.

Saya akhirnya duduk keletihan di atas bangku kayu yang diatur berjajaran di sepanjang Jalan Ibli pekan itu. Nafas resah saya hela sepuas-puasnya sambil mendongak memejam mata. Apakala mata dibuka, saya lihat bintang berkelip-kelip di dada langit Menoufia. Bulannya dilindungi ropol-ropol awan yang berambalan. Dingin malam penghujung musim panas sudah mula terasa. Angin Ramadan yang menyilir lembut terasa sedikit segar berbanding siangnya.

Jalan itu sudah mulai lengang tetapi tetap terang dengan suluhan lampu jalan. Ada beberapa buah kenderaan sahaja yang lewat. Tidak lagi ripuh seperti siang dan awal malamnya dengan geru kenderaan. Lampu-lampu yang berbentuk seperti tanglung tergantung melintang di hujung jalan itu mengucapkan selamat datang kepada Ramadan al-Mubarak. Berbanding kota Kaherah yang sentiasa hidup dua puluh empat jam, kota ini lebih damai dan tenteram.

Saya bingkas dan menyerangguh di atas pagar besi yang memisahkan gigi jalan itu dengan sungai Nil. Melempar pandang ke arah Nil yang mengalir sepanjang 4,132 batu dari Sungai Kagera itu, resah di hati semakin tenang.

Ketika sedang ralit melihat permukaan air yang membiaskan lampu jalan, saya terdengar suara memberi salam dari belakang. Air sungai itu pula secara serentak berdebur kuat menempiaskan air yang dibawa semilir terus ke muka. Damai yang sedang merewak ke dalam diri pantas dijarah kaget. Sebaik meraup wajah dan menjawab salam perlahan, saya terus memandang ke arah suara yang menyapa memberi salam.

Kelihatan seorang pemuda berjubah dan berserban putih sedang duduk di atas bangku kayu membelakangkan saya. Saya mengeluh sedikit meredakan rasa terkejut dengan sapaan yang secara tiba-tiba itu, kemudian terus kembali berpaling memandang ke arah permukaan air yang berkocak. Barangkali ikan-ikan sedang rancak bermain.

"Kau masih belum jawab salam aku." Kata-kata itu menyebabkan saya tersentak dan kembali berpaling melihat pemuda berjubah itu.

"Salam engkau telah aku jawab." Suara saya bernada sinis.

Dia kelihatan terangguk-angguk. Saya jadi gementar pula apakala melihat gelagatnya itu. Tetapi mengenangkan saya kini berada dalam bulan yang mulia, maka lekas saya tepis segala prasangka yang sedang menyelinap ke dada.

Duhai Ramadan,
Kau tidak pernah pergi dari jiwaku
Kau tidak pernah hilang dalam hatiku
Kau tidak pernah mati sepanjang hayatku.


Saya tertegun. Secara tiba-tiba pula dia bersyair dengan suara lantang mendesah. Air sungai Nil berkocak kuat. Semilir pula tiba-tiba berhembus gancang.

"Aku kini sedang bercinta." Dia berkata sambil beralih duduk sedikit ke sebelah kanan. Seperti memberi ruang untuk saya duduk di sebelahnya.

Kaki saya seperti dipacu dan terus duduk di sebelah pemuda itu. Beg galas saya letakkan di atas pangku. Saya terpegun melihat wajahnya yang persih dihiasi jambang dan janggut panjang santak ke pangkal dada. Dua kening lebatnya hampir bercantum dengan bulu mata melentik.

"Bercinta?" Saya bertanya kembali sambil mata tajam menikam wajahnya.

"Ya cinta, selain dari lima cinta; cinta kepada Allah, Rasul, kitab, ibubapa dan guru, aku juga ada lagi dua cinta." Dia memandang saya dan menghadiahkan senyuman akrab.

"Dua cinta?" Mata saya jadi sepet. Kening pula sudah berkerut. Hati saya diserkup pelik.

"Ya, yang pertama, tentunya aku cintakan Ramadan." Senyumannya tekal.

Kepelikan dan segala prasangka yang mula bersarang di hati pantas menghilang. Saya membalas senyumannya dengan lebih akrab.

"Cinta lagi satu?" Saya bertanya tetapi kali ini dengan kening sedikit terjungkit.

"Aku tinggal di situ." Dia tidak terus menjawab, sebaliknya menuding ke arah sebuah rumah besar seperti banglo tidak jauh dari situ. Banglo dua tingkat itu saya tidak perasan pula warnanya kerana cahaya lampu jalan yang kekuningan. Tetapi bentuknya klasik dan ada ukiran-ukiran kaligrafi di atas jendela dan pintunya.

"Rumah itu hasil dari usaha titik peluh aku sendiri. Aku bangga kerana itu adalah usaha yang datang dari tanah tempat tumpah darahku sendiri. Di bumi Menoufia ini." Dia bersuara lembut dan matanya kelihatan bersinar-sinar dibias lampu jalan.

"Kau kerja apa?" Saya terus menyelongkar naratif dirinya.

"Aku petani." Dia tersengih menampakkan baris giginya yang putih memandang saya. Jubah putih dan ekor serbannya berolak-olak ditiup semilir.

Ketika itu, di layar benak terbayang-bayang ladang dan sawah hijau yang melaut diterangi cahaya bulan di sepanjang perjalanan menuju ke pekan ini tadi.

"Ya, kota ini sumber utamanya adalah pertanian. Sehingga burung-burung bangau putih yang selalu meninjau batang-batang padi muda kami, memagut cacing dan serangga yang merosakkan tanaman, kami gelarkan sebagai sahabat. Sahabat petani." Dia seperti dapat menebak apa yang bermain di fikiran saya.

"Sebelum menuai, kami akan bersyair beramai-ramai memuji kebesaran Allah." Dia tersenyum sendiri sambil memandang asfalt jalan.

Allahu Allahu Allahu
Kau sumber kebahagian kami
Kau sumber kejayaan kami
Hasil penat kami
Kauberi rezeki
Menggembirakan hati-hati kami.


Dia bersyair lantang lagi dengan ritma beralun-alun seperti nasyid qasidah pula bunyinya. Syair itu mengingatkan saya kepada syair-syair cinta Majnun kepada buah hatinya Laila. Saya jadi tertarik amat sehingga tidak sedar yang saya sedang menongkat dagu mendengar dengan khusyuk.

"Walaupun ramai pemuda-pemudi Mesir yang berbangga belajar dan bekerja di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Jepun, bangga berkahwin dengan orang asing, berahi dengan muzik dan hiburan-hiburan Barat, tetapi aku tetap berbangga menjadi seorang petani di bumi sendiri." Dia mengalih pandang ke arah banglonya yang tersergam cantik disimbahi lampu jalan itu.

"Aku tetap berbangga dengan bumi sendiri, tanpa perlu mengagung-agungkan orang lain. Kami ada jati diri dan kita umat Islam tak perlukan idola baru," dia tiba-tiba mengeluh dan saya lihat ada air bergenang di kelopak matanya.

"Aku cintakan tanah airku sendiri." Sebaik usai melafazkan kata-kata itu semilir terus berpuput lembut menyapa wajah. Hati saya tiba-tiba menjadi sayu.

"Kausesat, bukan? Mari aku bawakan engkau ke masjid." Dia terus bingkas dan memegang tangan kanan saya. Saya terkedu dengan perlakuannya dan secara tiba-tiba pula saya jadi seperti pak turut. Hati terus dihujani tanda tanya - bagaimana pula dia tahu saya sesat?

Saya akhirnya melewakan sahaja persoalan itu apakala kami sudah mula berjalan. Tidak sampai lima minit, kami tiba di sebuah masjid di tengah-tengah pekan. Setelah berwuduk dan usai solat sunat, saya teringat untuk bertanya nama pemuda itu, tetapi terpaksa menangguhkan hasrat apakala melihat dia masih lagi bersolat sunat dengan penuh khusyuk.

Saya terus baring di belakang masjid dan tidak sedar bila mata terlelap selepas itu. Saya hanya sedar sebelum azan subuh berkumandang setelah digerakkan oleh seorang Arab tua, dan barulah tercari-cari semula pemuda berjubah dan berserban putih itu tetapi kelibatnya sudah tidak kelihatan.

Usai solat subuh berjemaah, saya tiba-tiba terlihatkan Khalil sedang khusyuk berzikir di penjuru kanan masjid. Saya menegurnya dan dia terkejut bertanyakan bila saya tiba. Saya menceritakan satu-persatu kisah yang berlaku malam tadi. Dia tambah terkejut dan berkata - pekan itu tidak ada walau sebuah banglo pun!

Hati saya bergalau dan mengajak Khalil pergi ke tempat itu semula. Nyata banglo yang dikatakan pemuda berjubah putih itu semalam hanyalah sebuah bangunan kerajaan.

Setelah tiba di rumah Khalil, saya terus menyendiri di dalam kamar. Meladeni tanda-tanda istifham yang berasak-asak muncul di minda. Sehingga saya merasakan waktu pada hari itu terlalu cepat berlalu.

Sehinggalah waktu berbuka, setelah mencicipi sebiji tamar bersama air suam dan usai menunaikan solat maghrib disusuli solat sunat hajat, barulah hati yang libang-libu jadi sedikit tenang. Saya kembali berfikiran waras, berfikir secara rasional dan kritis.

Biarlah Khalil dan rakan-rakan yang lain berkata saya hanya berkhayal, saya hanya bermimpi ketika tidur, tetapi hanya saya yang tahu apa yang berlaku.

Ya, pertemuan itu adalah sebuah tuhfah sempena Ramadan. Pertemuan yang memaknakan ketulusan semangat dan cinta kepada jati diri dan tanah air. Pertemuan yang menjadikan saya lebih mencintai bulan Ramadan. Pertemuan yang barangkali seperti kata mereka tidak wujud, tetapi bagi saya tidak sia-sia.

Benar, pemuda berjubah dan berserban putih itu telah mengajar saya tentang cinta. Cinta di sebuah daerah bernama Menoufia.

Berita Minggu, 16 Oktober 2005.

Leave a comment

Photobucket - Video and Image Hosting

Kartun Zunar
Sumber : Harakah

AKO : Meluat dengan media dan dunia artis.

Leave a comment

Perindu

Betul kata ibu
dunia akan terus menipu
beruntunglah
mereka yang selalu rindu.

Betul kata ayah
zaman semakin payah
manusia tak pedulikan maruah
malu, agama dan sahsiah
semua jadi murah.

Aku teringat kata datuk
dulu manusia berlumba cari ilmu
berpeluh-peluh, sakit-sakit
semua jadi inspirasi.

Teringat pula kaul nenek
zaman sekarang terlalu selesa
tak kenal susah derita
orang senang mudah lupa
punggung berat mata duitan
dan jangan hairan
ada yang lebih hina dari haiwan.

Aku tanya nenek
kenapa jadi begitu
nenek geleng-geleng
sampai keluar sirih dari celah bibir.

Aku tanya datuk
kenapa jadi begini
datuk kata
jadilah orang yang rindu.

Ayah tambah
pilihlah jadi perindu
kerana Cinta kau akan dipandu
dunia makin berakhir
ramai yang alpa
agama dan akhirat
sudah jadi nombor dua.

Ibu pesan
bimbing isteri dan berikan pedoman
nyalakan iman, suguhkan kefahaman
akan lahir zuriat
yang sentiasa mendoakan.

Hari ini
aku tanam dalam hati
impian bersama nabi di akhirat nanti
sambil pelawa semua yang berkunjung ke sini
kembalilah kepada Tuhan
ingatlah pesan nabi
orang Islam akhir zaman ramai
tapi tiada kualiti
kerana semuanya sudah ditimpa penyakit
cintakan dunia dan takutkan mati.


Amiza Khusyri, Institut Perguruan Islam Selangor [IPIS],
22 Ogos 2006.

AKO : Salam Israk & Mikraj! :)

Leave a comment

Kerana Cinta

Kerana Cinta
aku sendiri
dan terasing
di lembah terpinggir
demi
menyulam hakiki
menganyam
makna suci.

Kerana Cinta
aku hilang
dalam dakapan sunyi
lenyap
dalam alunan madih
asyik
dalam runtunan makrifat.

Biarkanlah
biarkanlah daku
lena
dalam jendera
takdirku.


Amiza Khusyri, ITQAN, 17 Julai 2006.

Leave a comment

Semoga rindumu kekal bertamu

Ketika dia datang kepadaku bertanya : di manakah kamu, sudah sekian lama menghilang?

Lalu aku berkata kepadanya, manusia itu datang dan pergi, dan engkau yang masih di sini, teruskanlah perjuangan, kerana lorong kita berbeza, payah kita lain tanggungnya, cuma matlamat kita serupa dan mulia pastinya.

Bukankah orang sentiasa memerhatikanmu, ingin berkongsi iktibar dan gendalamu?

Lalu aku pun menjawab, perhatikanlah di sekelilingmu, amatilah titisan embun di hujung daun, meluncur dan jatuh ke tanah, matahari yang naik menyimbah nur, mengeringkan yang lembab, seiring dengan kicau merbau, kelicap dan tekukur sehingga bertamunya malam. Bukankah terlalu banyak yang boleh engkau perhatikan?

Sahabat, tulislah selalu, bukankah kehilanganmu akan menjuakkan rindu?

Aku menarik nafas, dalam senyuman ikhlas.

Kepada rindu, kuutuskan salam kasihku, biar rindu itu akan kekal bertamu. Benar, manusia itu akan merindu, menghargai apabila sudah kehilangan. Namun, tulisanku tidak akan hilang, tidak akan sepi, selagi mana ada rindumu, selagi mana ada rahmat kasih Tuhan kepadaku, di celah-celah keripuhanku membangun generasi, selagi Dia memberikanku kekuatan dan sumber inspirasi.

Semoga Tuhan memberikanmu rahmat dan kekuatan.

Semoga. Kerana doamu, sejahteralah hendaknya, aku, kita dan mereka.

Pada rindu
kuutuskan salam
biar abadi
di ruangan hatimu
semerbak cinta
daerah perjuanganku.

AKO : Kini bertugas sebagai tenaga pengajar sepenuh masa di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan [ITQAN].

Leave a comment

Hijrah Dua Jiwa

Sekian lama
dua jiwa itu terpisah
kerana dunia
kerana harta
dan bijak anak-anak.

Lupa erti cinta
makna silaturrahim
dan mulus ikatan leluhur.

Pada rasa
mereka cambahkan benci
bajakan iri
kuburkan kenangan.

Jadilah kalbu
sentiasa ngilu
dengan sembilu dendam
dan duri-duri kesumat.

Lalu anak-anak
penuh geliga
mempertemukan kembali
dua jiwa itu
dalam kenangan
di sebuah teratak usang
sempena kehadiran 1427.

Image hosting by Photobucket

Cerita suka ria
dan perit jerih
nostalgia lalu
yang pernah menghiburkan
setiap jiwa itu
kembali membesar
dan menyerikan.

Pabila mata bertemu mata
kalbu bagai bersenyawa
dan senyuman kasih
kembali terukir
kerana Ar-Rahman
dan Ar-Rahim-Nya.

Kini
dalam kalbu
ada cinta
yang semakin membesar
disuluhi jujukan cahaya
dari sebuah peristiwa bersejarah
bernama Hijrah.

Amiza Khusyri, Seremban, 5 Februari 2006.

Leave a comment

Nur Hijrah

Namanya Nur Hijrah,
penghias hati bonda,
penawar kalbu ayahanda.

Namanya Nur Hijrah,
kerana kami ingin
jiwanya bergemerlapan
dengan cahaya penghijrahan.

Namanya Nur Hijrah,
kerana kami ingin
dia sentiasa memahami
hakikat pengorbanan.

Namanya Nur Hijrah,
kerana kami ingin
hatinya sentiasa terbuka
untuk kemakrufan,
berani mempertahankan kebenaran.

Image hosting by Photobucket

Kami ingin dia memiliki
kebijaksanaan Aisyah,
kasih sayang Fatimah,
keperkasaan Khaulah,
dan mewarisi ketenangan Khadijah,
yang sentiasa mengerti.

Nur dan Hijrah,
Nur Hijrah,
Namanya Nur Hijrah,
Buah hati kami.

Amiza Khusyri Yusof, Seremban, 24 Januari 2006.

AKO : Salam Hijrah 1427, buat semua pengunjung AKO. :)

Leave a comment

Antologi Penulis Muda Darul Khusus

PERSATUAN Penulis Negeri Sembilan [PEN] akan menerbitkan Antologi Penulis Muda Darul Khusus yang menghimpunkan karya-karya penulis muda Negeri Sembilan dalam genre cerpen dan puisi.

Penerbitan antologi itu bertujuan menghimpun dan memperkenalkan penulis-penulis muda Negeri Sembilan yang berbakat dalam karangan kreatif.

Justeru, PEN mempelawa semua penulis Negeri Sembilan yang berumur bawah 35 tahun untuk menghantar karya dalam dua genre tersebut dengan syarat mereka adalah anak jati Negeri Sembilan walaupun bermastautin di luar Negeri Sembilan.

Keutamaan diberikan kepada cerpen dan puisi yang telah diterbitkan dalam media cetak, manakala karya yang masih belum diterbitkan juga dialu-alukan.

Jumlah karya tidak dihadkan, tetapi penyusun berhak menyenarai pendek serta memilih karya-karya yang sesuai dan berkualiti untuk antologi tersebut.

Penulis yang menghantar karya perlu mengirimkan biodata lengkap termasuk nama, alamat, nombor telefon dan e-mel masing-masing.

Penganjur berhak menolak mana-mana karya yang tidak mempunyai butiran lengkap. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Nisah Haron di talian 06-7675 722 dan Amiza Khusyri Yusof di 06-7923 967.

Karya-karya tersebut boleh dihantar melalui e-mel nisah.haron@gmail.com atau amizakhusyri@yahoo.com atau dihantar ke Urus Setia Antologi Penulis Muda Darul Khusus, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), No. 59, Lorong Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban, sebelum 28 Februari 2006.

Sumber : Utusan Malaysia, 16 Januari 2006.

Leave a comment

Maafkanlah Nisa, Tuhan

Ketika mata Nisa terpaku mengamati bintang-bintang malam Zulhijjah berkelip di dada langit, bulan yang cerah bercahaya indah, diiringi angin malam yang mengelus-elus lembut ke tubuh, Nisa suka memejamkan mata sesudah letih-letih bekerja, meladeni suami dan dua jiwa yang masih kecil. Nisa gemar mengamati, menaakul dan melayangkan diri mengingati episod hidup Nisa yang lalu.

Nisa masih ingat lagi pesanan Abah dalam senyum kasihnya. Selalulah tanya dirimu, apakah yang telah engkau lakukan untuk agamamu?

Ibu pula kala itu akan tersenyum manis memandang Abah. Dia berkata dengan lembut - semoga kita dapat menumpang budi sekali bila sudah tiada nanti.

Pesanan Abah sentiasa Nisa ingat, semaikan dalam hati hatta kini. Senyuman ibu yang penuh erti, Nisa bawa dan nyalakan dalam minda setiap masa. Meskipun mereka kini sudah bertemu Ilahi, aman hendaknya di alam sana.

Nisa pejamkan mata, mengingati episod hidup Nisa. Apakah yang telah Nisa lakukan untuk agama?

Sehingga mengalirlah air jernih di pipi Nisa yang mulus. Air mata sebak, sendu dalam sesal.

Tuhan, Nisa tidak melakukan apa-apa untuk-Mu. Malah, Nisa kadangkala iri hati, kadangkala berdengki. Nisa kadangkala kasar dengan suami, Nisa kadangkala tidak taat dengan perintah-perintah-Mu, Nisa kadangkala leka, alpa dan kurang memberi masa serta asuhan kepada dua jiwa yang masih kecil itu.

Sedangkan Engkau, Tuhan. Setiap masa Engkau masih benarkan jantung Nisa berdetak, Engkau berikan udara untuk pernafasan Nisa, Engkau masih benarkan Nisa bernyawa meskipun Nisa tidak lakukan apa-apa untuk agama-Mu, Tuhan. Meskipun Nisa ingkar dan alpa dengan tanggungjawab Nisa.

Nisa sedar, selagi gelaran Muslimah yang Nisa junjung, maka Nisa juga bertanggungjawab untuk lakukan sesuatu untuk agama. Ini bukan tugas siapa-siapa, bukan tugas orang-orang tertentu, tetapi tugas Nisa, kerana Nisa seorang Muslimah. Nisa faham, Nisa akur kerana Nisa ingin menjadi seorang Muslimah yang bertanggungjawab.

Nisa menarik nafas dalam sendu dan sebak membadai.

Image hosted by Photobucket.com

Tuhan, maafkanlah.

Tuhan, ampunkanlah.

Ketika belakang ibu jari mengesat air jernih yang tekal mengalir di pipi, Nisa selalu pacakkan tekad, tanamkan azam dan suburkan semangat. Tekad, azam dan semangat yang baru.

Suami tiba-tiba datang merapati Nisa dan melafazkan lembut doa azimat - semoga menjadi isteri dan ibu yang solehah, sayang.

Sebak di hati Nisa sudah tidak terkatakan. Suami mengucup lembut dahi Nisa, dan Nisa tersedu-sedu dalam dakapan kasihnya, mengiringi malam Zulhijjah yang semakin menjarak.

Oh Tuhan, maafkanlah, dan berikanlah kekuatan kepada Nisa.

Leave a comment

Aku ingin menjadi.. (ii)

Aku ingin menjadi air
yang akan menenggelamkanmu dalam banjir sengsara.

Aku ingin menjadi api
yang akan membakarmu, jiwa dan raga.

Aku ingin menjadi angin
yang akan menghumbankanmu ke lembah derita.

Aku ingin menjadi tanah
yang akan memamahmu, jasad dan nyawa.

Image hosted by Photobucket.com

Teman, adakah mulia jika hidup sentiasa berdengki dan berdendam?

Amiza Khusyri, 6 Januari 2006.

Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.