DSAI dan ketelusan suara rakyat
Sebelum peristiwa hitam DSAI dulu, jika ditanya - siapakah pemimpin yang paling dikagumi? Pastinya jawapan paling glamor ialah DSAI. Itulah jawapan majoriti rakyat Malaysia. Ini terbukti apabila Anwar terharu dengan layanan yang diterimanya ketika memohon pasport antarabangsa di Jabatan Imigresen semalam. Senario politik negara [atas nama demokrasi] terus berubah apabila DSAI ditangkap atas pertuduhan - pertuduhan yang langsung tidak munasabah.
Isu pembebasan DSAI ini hakikatnya memberikan banyak impak positif dan negatif kepada PAS, KeADILan, UMNO, Abdullah dan mantan PM sendiri. Paling ketara ialah saham kepimpinan Abdullah yang melonjak naik lantaran ramai yang berpersepsi bahawa kebebasan Anwar ini merupakan satu ilustrasi kembalinya demokrasi sebenar. Malah kenyataan Wan Azizah tidak wujudnya tawar-menawar atau rundingan di sebalik pembebasan ini makin memberi sokongan kepada Abdullah, begitu juga dengan kenyataan DSAI hari ini bahawa Abdullah mempunyai perwatakan dan gaya yang lebih suka berdamai serta tidak bertindak melakukan sesuatu secara keterlaluan. Peristiwa ini dengan jelas memberitahu rakyat bahawa memang wujud konspirasi untuk mengaibkan DSAI sebelum ini, sekaligus memberi impak pula kepada air muka mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kebebasan DSAI telah kembali membakar semangat rakyat, terutama kepada pengikut-pengikut setia DSAI yang telah disepak-terajang FRU dan ISA. Kebenaran perjuangan, doa dan ketelusan suara rakyat yang inginkan kebenaran akhirnya termakbul dan terbukti melalui pembebasan DSAI ini. Allah yang menggerakkan hati, Allah yang mencatur idea dan ilham manusiawi. Semoga demokrasi sebenar ke arah keadilan yang telus seperti yang diharapkan rakyat akan kembali mewarnai dunia politik tanah air.
Catat Ulasan