Dari Amman ke Damsyik

Sebelum mengendalikan seminar dan bengkel pada 20 September lalu, aku ada membuka lembaran sebuah majalah lama mahasiswa Jordan. Terpapar di ruang karya kreatif karya seorang penulis bernama Zaid Akhtar. Nama penulis kelahiran Jordan ini acap kali aku sebut semasa membentang kertas kerja dan mengendalikan bengkel dengan harapan akan lahirnya Zaid Akhtar kedua selepas ini. Sejujurnya, permukiman di Jordan ini lebih mengingatkan aku kepada novel Sesegar Nailofar karangan beliau.

Apabila teringat watak Iqbal dalam Sesegar Nailofar, pantas minda teringatkan Asyraff [mahasiswa Jordan] rakan sebengkel aku semasa Kepezi dulu. Dengarnya, dia tidak dapat dihubungi teman-temannya di sana setelah pulang ke tanah air beberapa bulan lalu. Aku sekadar menancapkan harapan, agar dia terus tegar menulis dan meneruskan apa yang telah aku mulakan di sana.

21 September - aku berangkat ke Amman 140 kilometer dari Mu'tah bersama beberapa orang rakan dengan cuaca yang agak membahang. Sebelum sampai di Amman, aku dijamu dengan makanan Turkey di sebuah restoran bernama Tashken yang popular di kalangan mahasiswa Malaysia dengan nama Giza [bukan Giza di Mesir!]. Kemudian kami menziarahi gua Ashabul Kahfi di daerah Sahab. Seusai bergambar kami terus melingkari Pasar Balad dan membeli-belah santak ke maghrib sebelum kembali semula ke Mu'tah. Kembara kami berhenti setakat ini kerana kami akan ke Syria keesokan harinya [aku akan kembali semula ke Jordan untuk meneruskan kembara yang belum usai].

22 September - aku berangkat semula ke Amman sekitar jam 10.50 pagi dan tiba sekitar jam 12.50 tengah hari. Keberangkatan kali ini ditemani oleh seorang mahasiswa Jordan yang ingin ke Syria [jadi perjalanan jadi mudah dan selesa]. Sebelum ke sebuah kawasan bernama A'bdali kami sempat menjamu selera di restoran al-Qahirah dan aku diperkenalkan dengan sebuah makanan bernama Mulkiah yang berwarna hijau dan berlendir. Kami berangkat ke A'bdali, membeli tiket dan menaiki sebuah bas pelancong. Perjalanan beberapa kali terhenti bagi menyelesaikan urusan visa dan pertukaran mata wang. Meskipun perjalanan kali ini amat panjang, tetapi aku berasa selesa terutama apabila dipaparkan di sepanjang perjalanan dengan saujana pemandangan dataran Syams yang subur.

Kami tiba di Damsyik sekitar jam 7 malam, mencicipi Syawarma [makanan Arab; roti yang berbungkus daging bakar] dan terus menuju ke rumah tumpangan kami [rumah mahasiswa Malaysia di Syria] di kawasan Hajar Aswad, Damsyik. Kami tiba di sana jam 8.28 malam, bertaaruf dan terus berehat.

23 September - kembara kami diteruskan hari ini [lantaran tidak mahu membuang masa] ke Pasar Hamidi. Pasar Hamidi ini terletak di dalam sebuah kawasan kota yang menganjur ke belakang sehingga aku dipertemukan dengan Masjid Umawi yang berusia 1300 tahun. Barang-barang di sini begitu murah, tetapi aku tetap berwaspada berbelanja. Ketara, pasar ini tidak seperti Pasar A'tabah, Khan Khalili di Mesir yang begitu ripuh, riuh, macet dan perlu sentiasa berwaspada dengan pencopet. Begitu juga dengan bangsa Arab Syria yang begitu lembut dan sopan dari Arab Mesir.

Di masjid Umawi, kami dipaparkan dengan pemandangan begitu cantik ditemani gelagat burung merpati yang berwarawiri di sekitar mandala tersebut. Seterusnya kami menziarahi makam wira dan panglima Islam dalam Perang Salib ratusan abad yang lampau - Salehuddin al-Ayyubi. Seusai menyedekahkan al-Fatihah, kami terus berangkat di Bukit Qasiyun [kawasan tertinggi di Damsyik] yang memaparkan saujana pemandangan kota Damsyik yang luas dan begitu cantik. Kami kembali semula ke daerah Hajar Aswad untuk berehat sekitar jam 5.30 petang.

Qasiyun, Barada, Umawi

Bersaksilah,
Aku kini bersimpuh
di dalam pelukan malammu..

Amiza Khusyri, Damsyik, Syria.

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.