Di Mu'tah, Jordan

Aku kini di Mu'tah, Jordan bersama dengan seorang rakan [safar berdua]. Kembara ke Jordan ini aku catat cermat, di samping mengharapkan agar safar ini diredai dan dirahmati Tuhan hendaknya.

Perjalanan bermula pada 17 September menaiki bas East Delta Travel tepat jam 11 malam menuju ke pelabuhan Nuweiba. Sekitar 6 pagi [18 September] kami tiba di pelabuhan Nuweiba, solat dan berwarawiri sekitar mandala tersebut sehingga berjaya mendapatkan tiket kapal menuju ke pelabuhan A'qabah sekitar jam 10 pagi. Berehat di masjid Ar-Rahman sebelum menaiki kapal sekitar jam 1 petang setelah melalui beberapa kesulitan menyelesaikan urusan dengan Arab Mesir.

Terlalu banyak yang mahu diceritakan semasa kami di atas kapal. Dipaparkan dengan saujana laut yang membiru, dielus pawana selat Mediterranean, cukup mendamaikan. Kelajuan kapal sekitar 40 km/j membolehkan kami mencicipi segala pemandangan dan gelagat bangsa Arab di atas kapal. Sebelum makan di restoran atas kapal kami sempat dihiburkan dengan nyanyian [yang kedengaran seperti madih dan syair Arab] daripada wanita-wanita tua yang mungkin melahirkan rasa gembira mereka dengan keadaan yang aman dan nyaman di atas kapal.

Kami tiba di pelabuhan A'qabah [tempat berlakunya perjanjian A'qabah dalam sirah Rasulullah S.A.W.] sekitar jam 6 petang waktu Mesir atau 7 petang waktu Jordan [Jordan cepat sejam]. Menaiki teksi dengan bayaran sedinar [bersamaan RM5.40] sehingga ke pekan A'qabah sebelum menyewa di hotel Jerusalem dengan bayaran 2 dinar semalam.

Tiada banyak masalah yang mengganggu perjalanan kami ke Amman [ibu negara Jordan] pada 3.20 petang, cuma masalah kerosakan bas dan perkhidmatan imigresen yang agak lembab. Perjalanan ke Amman melalui Al-Karak dirasakan amat panjang. Kami perlu ke Mu'tah kerana ada rakan yang akan menyambut ketibaan kami di sana. Tiba di Amman pada jam 8 malam kami terus menaiki kereta sewa ke Mu'tah dengan bayaran 1.50 dinar. Rupa-rupanya kami tersilap, sepatutnya dari A'qabah kami hanya perlu berhenti di Al-Karak sebuah tempat yang karib dengan Mu'tah. Akibat kekurangan info tersebut kami terpaksa berpatah semula ke Al-Karak sebelum tiba di Mu'tah sekitar jam 10 malam.

Alhamdulillah, kami disambut baik oleh mahasiswa Malaysia Jordan. Aku bertemu seorang rakan lama [YDP BKMNS kini] dan bersembang santak ke jam 4 pagi sebelum mengendalikan seminar dan bengkel keesokannya pada jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, program telah selesai petang tadi [20 September]. Terlalu banyak yang mahu diceritakan tentang arena penulisan di dataran Syams ini. Namun, aku telah menemui beberapa bakat baru seperti nama Anizah Abu Samah di samping memugar semangat dan kesedaran mereka tentang prioriti sastera dan pena, tentang peranan dan sikap seorang penulis. Sedar, aku masih seorang penulis tunas pucuk muda; yang masih kontang pengetahuan tentang sastera dan penulisan tetapi sebab kekontangan inilah aku terus tegar mengkaji dan menulis hatta kini. Menyorot kata-kata Faisal Tehrani yang menulis kata pengantar untuk antologi bersama kami - penulis perlu memiliki sikap. Sikap yang betul untuk memanusiakan manusia. Memanusiakan manusia dengan sastera!

Ini bukan sekadar wisata

Ini bukan sekadar wisata
ada matlamat yang perlu disemat
ada ribat yang perlu dipererat.

Ini bukan sekadar wisata
ada perkara yang perlu dijejak
ada semangat yang perlu dipasak.

Ini bukan sekadar wisata
ada suram yang perlu disinari
ada gemilang yang perlu kembali diimbasi.

Ini bukan sekadar wisata...

Amiza Khusyri, Mu'tah, Jordan.

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.