Archive for September 2004

Naratif di penghujung wisata

Naratif I

Panglima Khalid al-Walid memacu kuda jantannya berulang-alik di depan saf tentera Muslimin. Wajahnya garang dan tegas. Dia, ingin memastikan kemenangan berada di dalam genggaman Islam. Biar medan Mu'tah ini menjadi saksi!

Gerombolan tentera Muslimin tampak kobar dengan semangat menggunung. Takbir dilaungkan beberapa kali. Bergema, sayup dan jatuh ke hati. Jaafar b. Abi Talib tegar di saf hadapan menjulang panji Islam di medan Mu'tah itu. Peperangan akan bermula bila-bila masa.

Sayup di atas bukit di medan Mu'tah, ribuan tentera Rome bersedia dengan kelengkapan ketenteraan yang lengkap dan hebat.

Allahu Akbar!

Naratif II

Gerombolan tentera Islam bersiap sedia di Bukit Marj menanti arahan Salehuddin. Bukit Karak perlahan-lahan dibanjiri air yang disalurkan tentera Islam melalui tali air yang mengalir di bawah bukit itu. Tentera Salib yang menghuni qalaah [kubu] di atas bukit bercempera lari menyelamatkan diri dari tenggelam di dalam bah besar yang dirancang teliti oleh Salehuddin al-Ayubi.

Bah surut. Keadaan tentera Salib kucar.

Allahu Akbar!

Kalimah itu terlaung kobar. Salehuddin menjulang pedangnya yang berkilau kilat. Kuda jantannya meringkik kuat. Tentera Islam segera menyerang baki-baki tentera Salib yang masih tegar di atas bukit itu. Bukit Karak dijarah. Takbir dilaungkan beberapa kali. Bergema, sayup dan jatuh ke hati.

Nota hujung :

1] 27 September - wisata kami bermula jam 3.20 petang terus ke medan Mu'tah. Medan inilah tempat berlakunya perang Mu'tah; tentera Islam dipimpin oleh panglima Khalid al-Walid. Di medan itu juga terdapat makam tangan Jaafar b. Abi Talib; pemegang panji Islam semasa peperangan tersebut. Allah memberi kemenangan yang besar kepada tentera Islam di dalam peperangan ini.

2] Kami singgah di Masjid Jaafar at-Toyyar [Jaafar b. Abi Talib; dia mendapat gelaran at-Toyyar setelah Rasulullah bermimpi beliau bersayap terbang ke syurga] menziarahi makam Jaafar [terdapat tubuh dan kepalanya] dan makam Zaid b. Harithah [anak angkat Rasulullah] yang syahid di dalam peperangan Mu'tah. Kedua-dua sahabat ini merupakan pemegang panji Islam di dalam peperangan Mu'tah.

3] Kami seterusnya ke sebuah daerah bernama Al-Karak. Wisata kami bermula di Qalaah Salehuddin al-Ayyubi yang begitu besar sehingga terdapat penempatan masyarakat di dalam qalaah tersebut.

4] Kami sempat mampir di sebuah makam yang didakwa makam Nabi Nuh dan menyaksikan saujana pemandangan yang begitu cantik di puncak jabal itu.

5] Wisata kami hari ini berakhir di laut mati; kawasan terendah di dunia dengan ukuran persisir pantainya [Jordan] sepanjang 80 kilometer. Sebelum pulang ke Mu'tah, kami takjub menyaksikan keindahan matahari senja terbenam sehingga luput garis vertikalnya.

Subhanallah!

Leave a comment

Dari Lyra ke Dinar

Tragedi ini berlaku semasa aku meninggalkan kota Damsyik ke Amman hari ini [26 September]. Baca berita...

Pegawai Hamas dibunuh

DAMSYIK 26 Sept. - Seorang pegawai kanan pergerakan pejuang Palestin, Hamas terbunuh hari ini apabila sebutir bom meletup di dalam keretanya di Damsyik, Syria.

Izz El-Deen Al-Sheikh Khalil, 40, terbunuh apabila bahan letupan yang dipasang di bawah tempat duduk pemandu memusnahkan kereta SUV yang dipandunya di kawasan kediaman Az-Zahera di ibu kota Syria itu sejurus selepas 11.30 pagi [4.30 petang waktu Malaysia].

Seorang jurucakap Hamas di Gaza berkata, pembunuhan itu adalah jenayah yang dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad.

Pegawai Israel enggan mengulas mengenai pembabitan rejim Yahudi itu.

"Sesetengah orang menjalani kehidupan berbahaya,'' kata seorang pegawai Tel Aviv.

Bom berkenaan dipercayai disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan meletup sebaik sahaja Izz El-Deen menghidupkan enjin keretanya, kata saksi-saksi. Percikan darah kelihatan pada tempat duduk belakang. Letupan itu memecahkan cermin tingkap bangunan-bangunan tinggi di sekitar tempat kejadian dan merosakkan sebuah kereta berhampiran.

Sumber Palestin berkata, Izz El-Deen dipercayai bertanggungjawab terhadap sayap tentera Hamas di luar wilayah Palestin.

Wakil Hamas di Lebanon, Osama Hamdan bagaimanapun menyatakan, Izz El-Deen hanyalah seorang pegawai pergerakan itu dan bukan antara pemimpin kanannya.

Izz El-Deen telah diusir oleh Israel ke Lebanon 12 tahun lalu, katanya.

Pegawai keselamatan Israel sebelum ini memberi amaran, tentera rejim akan bertindak balas terhadap dua serangan bom di dalam bas yang meragut 16 nyawa di bandar Beersheba, selatan Israel pada 31 Ogos lalu dengan melancarkan semula kempen pembunuhan terhadap pemimpin Hamas di wilayah Palestin dan di luar negara.

Awal bulan ini, ketua tentera Israel, Moshe Yaalon berkata, Israel akan bertindak terhadap pihak yang menyokong keganasan termasuk mereka yang mengetuai pos-pos operasi keganasan di Damsyik.

[Utusan Malaysia, 27 September].

Leave a comment

Sayonara kota Damsyik

Semalam kami bersolat di Masjid Syeikh Ramadan al-Buti pengarang kitab popular Fiqh Sirah di daerah Rukn ad-Din, Damsyik. Sayangnya, bukan beliau yang memberi khutbah pada hari tersebut. Apapun aku bersyukur kerana berjaya juga tiba dan solat di masjid ulama terkenal ini. Di kawasan ini juga terdapat Universiti Abu Nur yang menjadi tempat kediaman ramai mahasiswa asing dari pelbagai negara.

Seusai solat kami berhenti berehat di sebuah restoran Arab Syria sebelum menziarahi makam Arba'in di Jabal Qasiyun; kawasan yang dipercayai berkumpulnya 40 orang wali dunia. Di sana juga terdapat 'batu menangis' yang menjadi saksi tragedi pembunuhan pertama di dunia - Qabil dan Habil. Pendakian ke puncak Qasiyun kali ini agak mencabar. Kami terpaksa mendaki Jabal Qasiyun dengan menaiki Tut tut [Tut tut adalah nama panggilan sebuah kenderaan awam - sebuah lori pick up]. Di sini, kita akan menyaksikan lori kecil ini menyusuri lorong-lorong kecil di celah-celah penempatan masyarakat Arab di lereng jabal. Tiba di sebuah kawasan, kami terpaksa berjalan kaki mendaki jabal sepanjang 5 km yang menyebabkan sendi-sendi begitu pegal dan letai [ini mengingatkan aku kepada ekspedisi mendaki Jabal Musa tahun lalu, meskipun jabal ini tidak setinggi dan secabar Jabal Musa].

Tiba di puncak, kami berehat dan meneguk air bagi menghilangkan rengsa. Semasa melihat makam tinggalan 40 wali itu, kami dipaparkan dengan gelagat 4 orang Arab yang berzikir penuh jelera menggunakan gendang [dipercayai ahli tarekat]. Kemudian barulah kami berkesempatan melawat 'batu menangis' yang diriwayatkan terkejut dan sedih setelah melihat tragedi Qabil dan Habil. Yang mengagumkan ialah memang terdapat 2 titisan air yang jatuh menitis pada batu tersebut. Kami tercari-cari juga di mana puncanya, tetapi tidak ketemu. Perkara inilah yang menjadi bukti kuat batu ini dikatakan menangis. Wisata kami tamat hari ini dan kembali semula ke Hajar Aswad sekitar jam 6.25 petang.

25 September - Kami berangkat ke Busra melalui daerah Dar'a, 141 km dari kota Damsyik. Kami berangkat ke sana sekitar jam 9.30 pagi dan tiba jam 12.05 tengahari dengan menaiki service [van sewa kecil yang merupakan kenderaan awam popular masyarakat Arab Syria; di Mesir dikenali sebagai Tramco]. Di sini terdapat sejarah ribuan abad yang lampau seperti Roman Theatre yang terbina sejak awal kurun ke-3 yang memberi faedah besar terhadap pemerintahan Islam selepasnya. Binaan ini biasa menjadi sebuah kubu pertahanan yang kuat dari serangan musuh. Pembinaan Roman Theatre ini diperbaharui di akhir kurun ke 5 dan 11 semasa Syria diperintah oleh Seljuks dari kerajaan Islam Fatimiah. Di sini, kami menyaksikan seni bina yang cukup antik dan cantik.

Kami meneruskan kembara dengan berjalan kaki beberapa kilometer dari situ sehingga bertemu sebuah gereja lama [didakwa gereja tertua di daerah Busra] yang dibina pada kurun ke-4 tempat kediaman rahib Buhaira. Di sinilah Rasulullah S.A.W. bertemu dengan rahib Buhaira, ketika mengikuti bapa saudara Abi Talib dengan sebuah rombongan perdagangan mampir di Syam. Mereka bertemu dengan Buhaira dan beliau mengarahkan agar Abi Talib membawa pulang semula Rasulullah bagi mengelakkan baginda dibunuh Yahudi Laknatullah. Beberapa meter dari kawasan itu juga terdapat tinggalan tapak kaki unta Rasulullah ketika singgah di Syam di dalam sebuah masjid yang bernama Mabrak an-Naqa. Hasrat untuk menziarahi makam Imam Nawawi di daerah Nawa tidak tercapai apabila kami kesuntukan waktu dengan perut berkeroncong.

Kami kembali ke Damsyik, makan ayam panggang di sebuah restoran sebelum menyusuri Pasar Hamidi untuk solat Jamak dan Qasar di Masjid Umawi. Kami mengambil kesempatan ke Masjid Ruqayah [anak perempuan Saidina Ali] yang begitu cantik dengan batu-batu kristal bergemerlapan [dipercayai dibiayai oleh kerajaan Iran untuk puak Syiah]. Kami kemudian bergambar dengan seorang anak Arab yang comel sebelum melihat-lihat barangan di Pasar Hamidi buat kali terakhir. Kami seterusnya berjalan kaki ke arah sebuah terusan di tengah-tengah kota; menyaksikan Sungai Barada yang mengalir lesu membelah keheningan malam kota Damsyik.

Di hati kini - Selamat tinggal kota Damsyik!

Memo : Esok kami akan kembali semula ke Jordan di susur-susur terakhir wisata kami.

1 Comment

Dari Amman ke Damsyik

Sebelum mengendalikan seminar dan bengkel pada 20 September lalu, aku ada membuka lembaran sebuah majalah lama mahasiswa Jordan. Terpapar di ruang karya kreatif karya seorang penulis bernama Zaid Akhtar. Nama penulis kelahiran Jordan ini acap kali aku sebut semasa membentang kertas kerja dan mengendalikan bengkel dengan harapan akan lahirnya Zaid Akhtar kedua selepas ini. Sejujurnya, permukiman di Jordan ini lebih mengingatkan aku kepada novel Sesegar Nailofar karangan beliau.

Apabila teringat watak Iqbal dalam Sesegar Nailofar, pantas minda teringatkan Asyraff [mahasiswa Jordan] rakan sebengkel aku semasa Kepezi dulu. Dengarnya, dia tidak dapat dihubungi teman-temannya di sana setelah pulang ke tanah air beberapa bulan lalu. Aku sekadar menancapkan harapan, agar dia terus tegar menulis dan meneruskan apa yang telah aku mulakan di sana.

21 September - aku berangkat ke Amman 140 kilometer dari Mu'tah bersama beberapa orang rakan dengan cuaca yang agak membahang. Sebelum sampai di Amman, aku dijamu dengan makanan Turkey di sebuah restoran bernama Tashken yang popular di kalangan mahasiswa Malaysia dengan nama Giza [bukan Giza di Mesir!]. Kemudian kami menziarahi gua Ashabul Kahfi di daerah Sahab. Seusai bergambar kami terus melingkari Pasar Balad dan membeli-belah santak ke maghrib sebelum kembali semula ke Mu'tah. Kembara kami berhenti setakat ini kerana kami akan ke Syria keesokan harinya [aku akan kembali semula ke Jordan untuk meneruskan kembara yang belum usai].

22 September - aku berangkat semula ke Amman sekitar jam 10.50 pagi dan tiba sekitar jam 12.50 tengah hari. Keberangkatan kali ini ditemani oleh seorang mahasiswa Jordan yang ingin ke Syria [jadi perjalanan jadi mudah dan selesa]. Sebelum ke sebuah kawasan bernama A'bdali kami sempat menjamu selera di restoran al-Qahirah dan aku diperkenalkan dengan sebuah makanan bernama Mulkiah yang berwarna hijau dan berlendir. Kami berangkat ke A'bdali, membeli tiket dan menaiki sebuah bas pelancong. Perjalanan beberapa kali terhenti bagi menyelesaikan urusan visa dan pertukaran mata wang. Meskipun perjalanan kali ini amat panjang, tetapi aku berasa selesa terutama apabila dipaparkan di sepanjang perjalanan dengan saujana pemandangan dataran Syams yang subur.

Kami tiba di Damsyik sekitar jam 7 malam, mencicipi Syawarma [makanan Arab; roti yang berbungkus daging bakar] dan terus menuju ke rumah tumpangan kami [rumah mahasiswa Malaysia di Syria] di kawasan Hajar Aswad, Damsyik. Kami tiba di sana jam 8.28 malam, bertaaruf dan terus berehat.

23 September - kembara kami diteruskan hari ini [lantaran tidak mahu membuang masa] ke Pasar Hamidi. Pasar Hamidi ini terletak di dalam sebuah kawasan kota yang menganjur ke belakang sehingga aku dipertemukan dengan Masjid Umawi yang berusia 1300 tahun. Barang-barang di sini begitu murah, tetapi aku tetap berwaspada berbelanja. Ketara, pasar ini tidak seperti Pasar A'tabah, Khan Khalili di Mesir yang begitu ripuh, riuh, macet dan perlu sentiasa berwaspada dengan pencopet. Begitu juga dengan bangsa Arab Syria yang begitu lembut dan sopan dari Arab Mesir.

Di masjid Umawi, kami dipaparkan dengan pemandangan begitu cantik ditemani gelagat burung merpati yang berwarawiri di sekitar mandala tersebut. Seterusnya kami menziarahi makam wira dan panglima Islam dalam Perang Salib ratusan abad yang lampau - Salehuddin al-Ayyubi. Seusai menyedekahkan al-Fatihah, kami terus berangkat di Bukit Qasiyun [kawasan tertinggi di Damsyik] yang memaparkan saujana pemandangan kota Damsyik yang luas dan begitu cantik. Kami kembali semula ke daerah Hajar Aswad untuk berehat sekitar jam 5.30 petang.

Qasiyun, Barada, Umawi

Bersaksilah,
Aku kini bersimpuh
di dalam pelukan malammu..

Amiza Khusyri, Damsyik, Syria.

Leave a comment

Di Mu'tah, Jordan

Aku kini di Mu'tah, Jordan bersama dengan seorang rakan [safar berdua]. Kembara ke Jordan ini aku catat cermat, di samping mengharapkan agar safar ini diredai dan dirahmati Tuhan hendaknya.

Perjalanan bermula pada 17 September menaiki bas East Delta Travel tepat jam 11 malam menuju ke pelabuhan Nuweiba. Sekitar 6 pagi [18 September] kami tiba di pelabuhan Nuweiba, solat dan berwarawiri sekitar mandala tersebut sehingga berjaya mendapatkan tiket kapal menuju ke pelabuhan A'qabah sekitar jam 10 pagi. Berehat di masjid Ar-Rahman sebelum menaiki kapal sekitar jam 1 petang setelah melalui beberapa kesulitan menyelesaikan urusan dengan Arab Mesir.

Terlalu banyak yang mahu diceritakan semasa kami di atas kapal. Dipaparkan dengan saujana laut yang membiru, dielus pawana selat Mediterranean, cukup mendamaikan. Kelajuan kapal sekitar 40 km/j membolehkan kami mencicipi segala pemandangan dan gelagat bangsa Arab di atas kapal. Sebelum makan di restoran atas kapal kami sempat dihiburkan dengan nyanyian [yang kedengaran seperti madih dan syair Arab] daripada wanita-wanita tua yang mungkin melahirkan rasa gembira mereka dengan keadaan yang aman dan nyaman di atas kapal.

Kami tiba di pelabuhan A'qabah [tempat berlakunya perjanjian A'qabah dalam sirah Rasulullah S.A.W.] sekitar jam 6 petang waktu Mesir atau 7 petang waktu Jordan [Jordan cepat sejam]. Menaiki teksi dengan bayaran sedinar [bersamaan RM5.40] sehingga ke pekan A'qabah sebelum menyewa di hotel Jerusalem dengan bayaran 2 dinar semalam.

Tiada banyak masalah yang mengganggu perjalanan kami ke Amman [ibu negara Jordan] pada 3.20 petang, cuma masalah kerosakan bas dan perkhidmatan imigresen yang agak lembab. Perjalanan ke Amman melalui Al-Karak dirasakan amat panjang. Kami perlu ke Mu'tah kerana ada rakan yang akan menyambut ketibaan kami di sana. Tiba di Amman pada jam 8 malam kami terus menaiki kereta sewa ke Mu'tah dengan bayaran 1.50 dinar. Rupa-rupanya kami tersilap, sepatutnya dari A'qabah kami hanya perlu berhenti di Al-Karak sebuah tempat yang karib dengan Mu'tah. Akibat kekurangan info tersebut kami terpaksa berpatah semula ke Al-Karak sebelum tiba di Mu'tah sekitar jam 10 malam.

Alhamdulillah, kami disambut baik oleh mahasiswa Malaysia Jordan. Aku bertemu seorang rakan lama [YDP BKMNS kini] dan bersembang santak ke jam 4 pagi sebelum mengendalikan seminar dan bengkel keesokannya pada jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, program telah selesai petang tadi [20 September]. Terlalu banyak yang mahu diceritakan tentang arena penulisan di dataran Syams ini. Namun, aku telah menemui beberapa bakat baru seperti nama Anizah Abu Samah di samping memugar semangat dan kesedaran mereka tentang prioriti sastera dan pena, tentang peranan dan sikap seorang penulis. Sedar, aku masih seorang penulis tunas pucuk muda; yang masih kontang pengetahuan tentang sastera dan penulisan tetapi sebab kekontangan inilah aku terus tegar mengkaji dan menulis hatta kini. Menyorot kata-kata Faisal Tehrani yang menulis kata pengantar untuk antologi bersama kami - penulis perlu memiliki sikap. Sikap yang betul untuk memanusiakan manusia. Memanusiakan manusia dengan sastera!

Ini bukan sekadar wisata

Ini bukan sekadar wisata
ada matlamat yang perlu disemat
ada ribat yang perlu dipererat.

Ini bukan sekadar wisata
ada perkara yang perlu dijejak
ada semangat yang perlu dipasak.

Ini bukan sekadar wisata
ada suram yang perlu disinari
ada gemilang yang perlu kembali diimbasi.

Ini bukan sekadar wisata...

Amiza Khusyri, Mu'tah, Jordan.

Leave a comment

Bukan sekadar wisata

Aku akan ke Jordan dan Syria beberapa hari. Permusafiran akan bermula malam ini. Yang pasti, kembara kali ini bukan sekadar wisata, ada tugas yang perlu dilaksanakan. Mahasiswa Jordan telah tetapkan 20hb sebagai tarikh seminar dan bengkel bersama aku. Segalanya demi Allah, demi sastera yang semakin dilupai. Nantikan titipan-titipan aku di AKO sepanjang safar. Doakan Allah mempermudahkan dan safar ini diberkati Tuhan.

Ikuti versi kedua interviu eksklusif bersama Tok Rimau.

ii.

Versi II : Peranan kita

5] Selain saya dan Mohd. Nazmi Yaakub, kini telah ramai penulis-penulis dan penggiat sastera tanah air yang terlibat secara langsung dalam penulisan jurnal dan weblog seperti Sri Diah, Zaid Akhtar, Nisah Hj. Haron, Ghafirah Idris dan lain-lain. Apakah pandangan Tok terhadap perkembangan ini?

Weblog meraikan motif pemiliknya. Ianya boleh dijadikan ruang draf satu untuk penulis mengukur penerimaan idea-idea mereka. Ianya juga boleh menjadi tempat bagi penulis berkomunikasi dengan pembaca. Tidak kurang juga yang menggunakan blog sebagai tempat memasarkan hasil kerja mereka. Tok mengharapkan penulis-penulis pro ini dapat mencabar penulis-penulis amatur untuk menulis dengan lebih baik. Pun begitu, Tok sedia maklum bahawa menulis dalam medium buku dan medium weblog perlu kemahiran yang berlainan. Ada penulis pro yang gagal menarik khalayak dalam weblognya walaupun dia berjaya menjual bukunya dengan banyak. Pun begitu, weblog di kalangan penulis, pelukis, pembikin filem atau posmen sekalipun adalah perkembangan yang sihat. Sekurang-kurangnya umum dapat menyelami pahit-manis berkecimpung dalam bidang tersebut.

6] Apakah faedah dan manfaat menulis dan memiliki weblog ini kepada sasterawan, pendakwah dan masyarakat umum?

Weblog untuk sasterawan boleh digunakan sebagai tempat berkarya. Untuk pendakwah sebagai tempat berdakwah dan untuk umum sebagai tempat menulis untuk diri sendiri. Banyak faedahnya, contohnya: Tok komplen tentang taktik kotor syarikat jualan alat elektronik. Pengguna lain tahu tentang itu lalu mereka pun berwaspada. Sedikit sebanyak ini membantu dalam masyarakat yang menerokai pembelajaran sepanjang hayat. Perkongsian ilmu amat penting. Apapun ini bukan contoh yang baik kerana Tok bukan seorang sasterawan.

7] Ada yang mengatakan, menulis weblog ini seperti mendedahkan perkara-perkara peribadi atau mempromosi diri kepada umum. Apakah pandangan Tok terhadap kata-kata ini?

Seperti parang. Boleh diguna untuk menebang belukar dan juga untuk menebas kepala orang. Boleh buat dosa dan juga boleh buat pahala. Begitu juga blog, samada memberi dosa atau pahala bergantung pada tindakan penulisnya. Setakat promosi diri itu rasanya perkara kecil. Kalau ada yang khianat dan mencemuh orang. Itu serius tu. Tapi Internet adalah medium bebas. Apa yang penting masyarakat perlu menuju ke arah Celik Media. Mereka perlu dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Tidak semua yang bercetak itu adalah baik. Kempen membaca [buku dan web] patut tukar kepada kempen membaca dengan kritikal.

8] Untuk yang terakhir, apakah nasihat dan harapan Tok kepada semua penulis dan ahli geng jurnal?

Nasihat Tok, samalah dengan nasihat Tok pada diri sendiri. Kalau tak mampu saing dengan orang, sainglah dengan diri sendiri. Pastikan tulisan hari ini lebih bermutu dari semalam. Buatlah yang termampu untuk Geng Jurnal. Orang miskin sedekah macam orang miskin dan
orang kaya sedekah macam orang kaya. Bila Tok kata pasal kaya-miskin ni, Tok tak kata pasal wang tapi Tok cerita pasal usaha, kederat, keikhlasan dan dedikasi.

Leave a comment

Interviu Eksklusif bersama Tok Rimau
[Versi 1 : Menelusuri prioriti jurnal dan pena]

Seperti yang dijanjikan, AKO kali ini memaparkan interviu eksklusif bersama presiden Geng Jurnal [GJ]. Aku agak tertarik dengan tulisan-tulisan kritikan Tok R dengan pelbagai isu ketika beberapa kali menjengah ke weblog beliau.

Aku mengambil inisiatif ini, demi memugar semangat menulis dan kesedaran khalayak tentang prioriti dunia maya dalam menentukan halatuju dan matlamat diri masing-masing. Ikuti 2 versi wawancara aku bersama beliau.

Selamat membaca!

1] Boleh berikan nama sebenar, info latar belakang keluarga, pendidikan dan pekerjaan Tok?

Tok keberatan mahu bagi nama sebenar saya atas sebab-sebab keselamatan. Pun begitu, ianya bukan rahsia besar. Kalau search di Google pasti jumpa. Biar yang rapat-rapat dengan Tok sahaja yang tahu. Berasal dari Johor dan hobi Tok dewasa ini adalah menulis weblog dan menangkap gambar untuk fotoblog Tok. Tok mengendalikan beberapa blog tapi yang utamanya adalah :

Catatan Peribadi : http://www.danchan.com/weblog/harimauj
Fotoblog : http://jali.fotopages.com/

Memiliki Sarjana Muda dalam Linguistik Gunaan dan Sarjana dalam TESL. Kerjaya Tok adalah pendidik di Universiti Selatan tetapi Tok biasanya tidak membezakan kerja dan mainan Tok. Tok anggap kerja itu mainan Tok dan sebaliknya jua. Tentang keluarga, minta maaf pada semua gadis-gadis yang membaca wawancara ini. Pada semua pria-pria patut bersyukur kerana Tok tidak bersaing dengan kalian lagi.

2] Sejak bilakah Tok bergiat dalam penulisan maya dan apakah pandangan Tok sebagai presiden geng jurnal secara umum terhadap weblog geng-geng jurnal seputar dunia maya ini?

Tok menulis awal dalam Internet sejak 1998 tetapi hanya pada awal 2000 Tok mempunyai weblog. Ketika itu terdapat krisis Politik Melayu. Banyak perkara yang tidak diceritakan oleh media dan terlalu banyak yang Tok nak katakan. Maka Tok berpaling pada Internet. Belajar guna e-mel dan belajar HTML. Dari situ berkembanglah kemahiran Tok sampai yang kalian kenal sekarang ini. Banyak lagi yang nak dipelajari.

Secara ringkasnya, weblog adalah tempat meluahkan pendapat dan perasaan. Apabila rakyat Malaysia mendakap weblog, kandungan bahasa Melayu bertambah dalam Internet. Sudut pandangan alternatif dan juga konvensional bersaing dalam pelantar yang serupa di Internet. Orang perseorang kini mampu menerbitkan suaranya untuk khalayak ramai. [Samada khalayak ramai baca atau tidak, itu cerita lain.] Di US mengikut kajian tahun lepas, 40% rakyatnya menyumbang kepada kandungan Internet samada dalam bentuk teks, foto atau multimedia. Jika orang kita tidak bersaing maka suara dan sudut pandangan kita akan tenggelam lemas dalam suara-suara lain.

Geng Jurnal adalah satu komuniti penulis weblog. Kebanyakan ahlinya menyertai komuniti ini untuk tujuan sosial. Dengan adanya komuniti ini, penulis semakin rapat dan mereka yang mempunyai kecenderungan yang sama dapat bertukar-tukar pendapat. Aktiviti luar Internetnya meliputi perjumpaan sosial, ziarah-menziarahi, makan-makan dan menonton filem. Bagai satu keluarga yang besar. Saya berharap suatuhari nanti GJ akan jadi Learning Community, di mana melalui forum dan perjumpaan ilmu dapat disebarkan dan dikongsi bersama.

3] Bila dilantik menjadi presiden geng jurnal, apakah harapan Tok kepada warga Malaysia?

Tok hanya presiden GJ untuk 1 penggal, bukan presiden Malaysia. Tok tidak berharap sangat dengan warga Malaysia. Pun begitu, Tok mengharapkan lebih banyak tulisan bermutu dalam weblog. Sudah banyak sampah dalam Internet, kenapa perlu kita tambah lagi? Untuk tulisan-tulisan yang sudah sedia baik dalam Internet, Tok harap dapat dicetak dan disebarkan untuk mereka yang tiada capaian Internet. Macamlah tulisan Tok baik sangat sehingga boleh buat komentar sebegini. Kita mesti punya cita-cita, kan?

Perkembangan terkini amat memberangsangkan. GJ sudah mampu keluarkan Zine Gangguan Teksual [http://gangguan.blogspot.com/]. Ada usaha untuk keluarkan webzine dan juga membeli tulisan GJ untuk tujuan penerbitan. Sila lihat Forum GJ untuk berita terkini.

Aktiviti-aktiviti kami pun mula berkembang dari aktiviti sosial ke aktiviti yang lebih intelektual dan lasak. Kita berkhemah dan buat apresiasi seni tapi nak akademik sangat pun tak boleh sebab Tok faham, weblog ini hanya hobi. Tidak semua orang mahu melompat lebih tinggi. Ada yang rasa sudah cukup dengan apa yang ada sekarang ini. Ada juga yang mahu lebih. Ada yang mencadangkan GJ bersifat perniagaan atau persatuan berdaftar. Tok tiada halangan selagi tidak langgar syarak dan undang-undang. Buat masa ini banyak cakap-cakap sahaja nak ke bulan tapi peluhnya tiada.

4] Kini, sudah banyak weblog menghimpunkan jurnalis-jurnalis warga Malaysia yang menuntut di luar negara seperti Mesir, Morocco, Ireland, Jepun dan lain-lain. Apakah pandangan Tok terhadap perkembangan ini?

Kembalinya hobi menulis di kalangan rakyat akar umbi mengingatkan saya kepada Munshi Abdullah yang menulis mengenai persekitarannya. Orang sekarang faham akan orang dulu kerana tulisannya. Saya harap orang sekarang faham akan sekitarnya dan dirinya sendiri melalui weblog-weblog yang banyak ini. Orang kata, jauh perjalanan luas pengalaman, mereka yang berada serata dunia dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain. Mungkin juga tika ini kita berada dalam satu lagi gelombang literasi. Seperti mana mesin cetak Guttenberg mengubah sikap manusia terhadap bahan bacaan, Tok harap weblog dapat mengubah tabiat manusia terhadap penulisan.

Ikuti versi ke-2 interviu bersama beliau dalam entri selepas ini!

Leave a comment

Oh, Ramses
aku berkacak di persegi Gizamu,
menghitung takjub yang kalah,
pada jilid-jilid kitab matematik
dan astronomi yang terkarang
dari fikrah jumhur pendeta yang hikmah.

Dan di medan Mesopotamia itu ketelusuri
roda yang tercipta meluncurkan pedati
lalu terputar visi dan imaginasi
membentang sidang penciptaan yang lebih inovatif.


Rom,
apresiasi kami buat segugus mimpimu
mengilhamkan aqueduct, Colloseum dan Pantheon Hall
yang diperah dari tangan-tangan teknologi yang gagah
menjajap keajaiban dunia yang melangkah.


Petikan Puisi Puing-puing sejarah yang berkisah, Fadhrazy
[Pemenang Puisi Sains Karyanet 2004].

i.

Apa lagi yang ingin aku katakan, melainkan melahirkan rasa gembira seusai sesi bengkel cerpen AKRAB hari ini. Inilah bengkel cerpen aku yang terakhir insya-Allah. Tidak lain dan tidak bukan dalam usaha memperkemaskan ilmu kritikan sastera dan lebih memantapkan penghasilan karya.

Kelmarin di Rumah Sabah, aku menemui calon-calon penulis yang berbakat dan jitu komitmen. Acap kali menyebut nama Ramlee Awang Murshid, sebuah nama besar dalam penulisan novel thriller tanah air - orang Sabah - sebagai pemugar semangat mereka. Semoga bumi Kinanah akan melahirkan penulis-penulis hebat di kalangan mereka juga. Sastera tetap ada, sebab telah wujud sejak zaman berzaman.

Rasanya sudah hampir 3 minggu aku tak menulis cerpen [akibat disibukkan dengan program dan menghadiri jemputan]. Selepas ini insya-Allah aku akan lebih berusaha mencari masa berkarya.

Nak tahu siapa yang menulis kata pengantar untuk antologi bersama kami?

Leave a comment

Amiza agak sibuk dua tiga hari ni. Malam ni pun baru selesai menghadiri majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Kreatif Kelab Karyawan Kelantan. Amiza diminta mengulas cerpen-cerpen yang dihakimi dalam sayembara itu. Jadi, Amiza tak boleh tulis panjang-panjang.

Sekarang Amiza dah tukar template blogger kepada yang baru. Mudah sedikit Amiza nak menulis dan jimatkan masa. Sekaligus boleh kongsi secara langsung perihal ceritera sepanjang kembara Amiza nanti.

Hari ni cerpen Ghafirah Idris di Mingguan Malaysia - Telah diberinya hati. Cerpen jiwangnya itu anggun dan menarik untuk dibaca.

Amiza juga kini sedang ripuh bikin antologi bersama 5 penulis muda tanah air termasuklah Ghafirah, Ida Munira, Fadhrazy dan Nimoiz T.Y. Sekarang ni Amiza menjalankan tugasnya dahulu sebagai Ketua Biro Promosi :D

Nak tahu apa kata seorang penulis kawakan terhadap potensi penulisan kami?

"Penulis yang baik haruslah yang berjaya menyampaikan pemikiran yang bernas dengan cara yang kreatif. Sebuah karya yang baik pula ialah tulisan yang seimbang dari segi pemikiran dan perasaan. Saya melihat keseimbangan ini dalam karya-karya penulis muda seperti Amiza Khusyri, Ghafirah Idris, Ida Munira, Nimoiz T.Y. dan penulis yang seangkatan dengan mereka. Paling jelas, mereka ini rajin lagi prolifik. Ciri-ciri ini menampakkan kesungguhan mereka dalam memperbaiki diri dan karya mereka.

Percubaan memperkenalkan gagasan pemikiran mereka melalui karya wajar diberi perhatian. Saya melihat potensi mereka di dalam berkarya. Saya juga memerhatikan perkembangan kumpulan ini dari jauh. Tulisan-tulisan mereka telah mendapat tempat di wadah-wadah perdana dan tidak mustahil tapak yang mereka bina ini kekal kukuh selagi karya-karya mereka terus mengisinya."

- Nisah Haji Haron.

Jumpa kalian lagi dan jangan lupa tunggu interviu eksklusif tu!

Leave a comment

Bila kau sudah besar nanti
Amira Sariyati
papa mahu kau menjadi
seorang Muslimat sejati

imanmu berpagar ruyung
sekuat baja sekuat besi

dan cita-citamu mestilah tinggi
melebihi puncak singgalang
melebihi puncak merapi

dan dengan iman yang kuat
serta cita yang tinggi
biarlah hidupmu
lebih bahagia dari kami
lebih berjasa dari kami.


Amira Sariyati, Firdaus Abdullah.

i.

Beberapa hari ni agak sibuk menghadiri program mega Bakans [sedang berlangsung]. Hari ni, terima call daripada exco Sabah, minta aku bikin seminar dan bengkel di Rumah Sabah lusa [9 Sept]. Hari yang sama juga, kena bersedia menyambut kedatangan siswa-siswi baru. Cerpen-cerpen rakyat Kelantan untuk Sayembara Penulisan Kreatif KERIS telah selesai dihakimi, alhamdulillah. 13 Sept - Akademi Karyawan Bakans [AKRAB] pula adakan sesi bengkel di rumah Negeri Sembilan [ya, bengkel penulisan aku yang terakhir barangkali]. Kemudian, akan bersedia untuk kembara ke 2 negara.

Aku akan ubah template Blogger ni buat sementara semasa berwisata nanti untuk memudahkan aku berkongsi info dengan kalian [langgam posting].

Selepas ni, ada satu interviu eksklusif bakal terpapar di AKO. Catch up!

Leave a comment

DSAI dan ketelusan suara rakyat

Sebelum peristiwa hitam DSAI dulu, jika ditanya - siapakah pemimpin yang paling dikagumi? Pastinya jawapan paling glamor ialah DSAI. Itulah jawapan majoriti rakyat Malaysia. Ini terbukti apabila Anwar terharu dengan layanan yang diterimanya ketika memohon pasport antarabangsa di Jabatan Imigresen semalam. Senario politik negara [atas nama demokrasi] terus berubah apabila DSAI ditangkap atas pertuduhan - pertuduhan yang  langsung tidak munasabah.

Isu pembebasan DSAI ini hakikatnya memberikan banyak impak positif dan negatif kepada PAS, KeADILan, UMNO, Abdullah dan mantan PM sendiri. Paling ketara ialah saham kepimpinan Abdullah yang melonjak naik lantaran ramai yang berpersepsi bahawa kebebasan Anwar ini merupakan satu ilustrasi kembalinya demokrasi sebenar. Malah kenyataan Wan Azizah tidak wujudnya tawar-menawar atau rundingan di sebalik pembebasan ini makin memberi sokongan kepada Abdullah, begitu juga dengan kenyataan DSAI hari ini bahawa Abdullah mempunyai perwatakan dan gaya yang lebih suka berdamai serta tidak bertindak melakukan sesuatu secara keterlaluan. Peristiwa ini dengan jelas memberitahu rakyat bahawa memang wujud konspirasi untuk mengaibkan DSAI sebelum ini, sekaligus memberi impak pula kepada air muka mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Kebebasan DSAI telah kembali membakar semangat rakyat, terutama kepada pengikut-pengikut setia DSAI yang telah disepak-terajang FRU dan ISA. Kebenaran perjuangan, doa dan ketelusan suara rakyat yang inginkan kebenaran akhirnya termakbul dan terbukti melalui pembebasan DSAI ini. Allah yang menggerakkan hati, Allah yang mencatur idea dan ilham manusiawi. Semoga demokrasi sebenar ke arah keadilan yang telus seperti yang diharapkan rakyat akan kembali mewarnai dunia politik tanah air.

Leave a comment

Arena Wati : Seniman ulat buku

Baru usai mengkhatami artikel Sasterawan Negara Arena Wati di Utusan Malaysia [tak pasti tarikhnya] berjudul - apakah bahan yang anda baca?

Olahan dan garapannya berdasarkan teori empiric, gabung-banding di antara beberapa fakta kajiannya begitu menarik dan mempesonakan. Inilah kehebatan Arena Wati, seorang seniman ulat buku yang memang dikenali suka memencilkan diri dari terseret sama dalam apa jua kehebohan. Beliau juga pasti tidak akan lupa menggalakkan dan membuka minda masyarakat Melayu tentang manfaat dari sikap rajin membaca lewat karyanya.

Seingat aku, seawal diperkenalkan dengan karya Arena Wati ini ialah pada tahun 1998 ketika itu masih di tingkatan lima. Guru Bahasa Melayu sekolah yang memperkenalkan karya beliau sebagai hadiah memenangi anugerah pembahas terbaik sekolah waktu itu. Aku akui, membaca karya-karyanya amat memerlukan ketelitian dan kepekaan malah adakalanya menuntut pengkajian dan rujukan. Sasterawan Negara Arena Wati merupakan seorang seniman yang sentiasa ingin membina mentaliti dan membangun sikap rajin membaca dan mengkaji khalayak pembacanya.

Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia. Ya, pada 30 Julai lalu genaplah umurnya 79 tahun. Sejak lebih enam dekad, beliau masih aktif berkarya meski dicumbu renta dan keuzuran. Malah, kesungguhan dan ketekunan Arena Wati berkarya ini terbukti dengan kejayaannya menghasilkan Trilogi Armageddon, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Menurutnya, trilogi terbarunya itu mengambil masa tiga dekad untuk menjadi kenyataan dan merupakan hasil kajian dan penelitiannya terhadap fakta yang kemudiannya difiksikan [Arena Wati memang terkenal dengan karya-karya trilogi seperti Trilogi Busa dan Trilogi Bunga Dari Kuburan].

Sasterawan Negara Arena Wati pernah bersekolah di sebuah sekolah Belanda. Apabila perang dunia meletus, Arena Wati memulakan kariernya sebagai pelaut. Beliau memang memiliki kepakaran menulis hal laut. Kerincian tentang latar laut di dalam karya-karya beliau begitu mengagumkan. Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988.

Karya Arena Wati mungkin tidak sehalus A. Samad Said dan tidak setajam Shahnon Ahmad, tetapi tampil dengan langgamnya yang tersendiri. Wacananya akademik, imiginatif, mencabar minda dan paling penting, kritikannya tetap pedas dan berbisa. Aku tinggalkan kalian dengan kata-kata Arena Wati yang lebih berbau harapan dan permintaannya yang tulus kepada kita bangsa Melayu.

"Orang Jepun tidak tahu al-Quran yang ayat pertamanya diturunkan menyuruh orang membaca. Tanpa tahu al-Quran, tetapi setiap hari orang Jepun membaca karya fiksi bermutu; dalam perjalanan dan di rumah. Kerana mereka arif, sastera bermutu, mengasah budi pekerti.

"Orang Melayu di Malaysia itu Islam, dan tahu maksud ayat pertama diturunkan dalam al-Quran itu. Tapi umumnya orang Melayu sekarang malas membaca. Mereka abai mencanai budi dengan gurindam karya sastera bermutu."

Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.