Hero di hati kami

Kredit foto: Relaksminda

Dahulu, bagi kami, orang-orang yang bekerja menjaga api dan air itulah merupakan hero kami. Jika air tiada berminggu-minggu, ada lori yang akan bekalkan air setong dari rumah ke rumah, tapi emak jarang guna air itu, kerana dia lebih sukakan air perigi di belakang rumah. Bila hujan mencurah-curah, melayahkan pohon-pohon dan ada yang patah mengena wayar atau tiang api, maka kami biasanya akan bergelap sepanjang malam. Kami akan pasang lilin, dan main bayang-bayang macam wayang kulit. Jendela dan pintu dibuka seluas-luasnya maka keesokannya akan bintatlah badan sebab gigitan nyamuk. Nyamuk hutan.

Adakalanya api ada semula, dan kami akan bersorak-sorai sebab boleh kembali meneruskan aktiviti malam, tapi dalam hati, kami cukup hargai orang yang bekerja menjaga api. Kegembiraan ada api semula pada waktu malam seperti rasa gembiranya kami melihat letupan mercun pada malam-malam hari raya. Bagi kami, adanya api seperti menghubung kembali rasa hati dan keseronokan melihat wajah teman dan keluarga. Bukannya sosok mereka tidak nampak dalam cahaya lilin, cuma berbalam-balam dan samar-samar dan adanya api menyebabkan kami puas hati, nampak sosok mereka sungguh-sungguh, dan kami boleh pula meneruskan aktiviti sungguh-sungguh.

Kadang-kadang pada waktu malam, ada derap-derap kaki askar Melayu melakukan rondaan di kampung. Kadang-kadang pintu diketuk dan mereka minta segelas air. Nenek akan sediakan dua tiga jag air untuk disedekahkan kepada semua askar rondaan yang ada. Pada waktu siang, kami akan segera main perang-perang, atau buat Letup-Letup dengan buluh, dan jadikan buah Cenerai sebagai peluru, kerana askar-askar itu adalah wira dan hero di hati kami.

Apabila isteri menimbulkan kerisauannya tentang kecenderungan anak-anak untuk bermain masak-masak, sehingga barang-barang di stor dipunggah semuanya untuk digunakan sebagai pinggan, kuali, cawan, sudu, dan pelbagai lagi barang yang berorientasikan perkakas dapur, saya mencadangkan dibelikan sahaja permainan berasaskan masakan, lalu isteri menjadi metah bimbang. Namun, saya menenangkannya dengan menceritakan kisah zaman kanak-kanak yang tanpa api, dan orang yang bekerja menjaga api adalah hero kami, kerana hanya itulah hero realiti yang tergambar dalam paradigma yang masih kecil.

Apabila anak-anak memiliki kecenderungan bermain masak-masak, dan sudah pandai pula bertanya menu seperti hendak makan apa, atau menyuruh rasa makanan imaginasinya, dan situasi itu menunjukkan bahawa di hati mereka ibu adalah seorang hero. Anak-anak sangat menghargai tugas dan peranan ibunya yang menyediakan makanan, menyuap dan bersusah payah memastikan perut mereka diisi. Itu menunjukkan kejayaan yang pertama dalam usaha mendidik mereka menghargai kerja dan peranan ibu, dan mesti sampai pada suatu masa paradigma itu akan berubah, seperti mana cita-cita kita yang pernah dan selalu berubah suatu ketika dahulu.

Situasi ini mengingatkan bacaan saya pada buku John C. Maxwell tentang berhubung. Buku ini menyedarkan saya tentang makna sebuah komunikasi yang sebenar dan efektif adalah dengan berhubung atau membina hubungan dengan insan-insan di sekeliling kita. Maxwell menggambarkan proses berhubung ini seperti sedang bercakap di telefon bimbit dengan talian yang terputus-putus kerana masalah rangkaian, dan situasi itu telah menimbulkan gangguan seperti tidak puas hati, kecewa, sedih dan boleh menjadi marah. Perasaan ini muncul kerana proses berhubung melalui telefon tadi tidak sampai pada objektifnya, membazir masa dan wang, dan mengganggu perkara yang dibincang dan ingin diselesaikan.


Tidakkah kita terfikir bahawa banyak situasi dalam kehidupan, kita lebih banyak berkomunikasi dari berhubung? Ia sesuatu yang menyedihkan jika melibatkan insan-insan akrab dan tersayang di sekeliling kita seperti ibu, bapa, adik, abang, anak-anak, dan setelah muhasabah dilakukan kita rupa-rupanya lebih banyak berkomunikasi dari berhubung.

Kemestian melihat gajet-gajet dan media sosial yang pelbagai menyebabkan kita tidak mampu mengurus masa dengan berkualiti. Misalnya sebagai ibu bapa, kemampuan kita hanya terbatas untuk melihat anak apabila dia bergaduh dengan adiknya, lalu perkataan yang wujud hanyalah teguran yang muncul dari sebuah kemarahan. Kita hanya pandai berkata ‘tidak boleh’ pada perkara yang buruk, dan berkata ‘ya’ pada perkara yang betul, sedangkan ‘tidak boleh’ itu menjadi kegembiraan buat anak-anak, dan ‘ya’ tadi adalah sebuah kepahitan pada perspektif mereka. Komunikasi hanya memberitahu, memaklumkan, menyampaikan, dan itu hanyalah sebahagian kecil dari proses berhubung. Akibatnya, perhubungan tidak berlaku, konflik selalu tercetus, dan kita gagal menjadi hero di hati mereka.

Kata John C. Maxwell untuk berhubung kita perlu memastikan antara perkara-perkara berikut (yang saya rumuskan penting dan perlu):

1.    Bersusah payah iaitu sanggup melakukan lebih dan memberi lebih

2.    Penghargaan datang tanpa dipinta iaitu sering mengungkap dan menerima kata-kata positif

3.    Ikatan emosi iaitu mempamer dan mendahulukan perasaan terutamanya rasa kasih sayang

4.    Kerjasama bertambah iaitu keberkesanan dalam berkerjasama dan memberi komitmen pada satu-satu tugas

5.    Pengalaman yang menyeronokkan iaitu berpuas hati setelah menyudahkan sesuatu perkara yang dilakukan bersama

6.    Cinta tanpa syarat iaitu kita menerimanya tanpa ragu dan mempersoal

Saya masih ingat pada watak Tukya dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung, keperitan dan kesunyian seorang tua yang tidak dihubung oleh anak-anak. Namun, tatkala membacanya, watak Tukya dalam novel ini kelihatan sangat berhubung dengan alam, seolah-olah ada persefahaman yang jitu dengan alam di kaki gunung Bongsu. Apabila membacanya saya seolah-olah dihubungkan dengan dunia silam, zaman kampung, dan mengubat kerinduan pada zaman kanak-kanak.


Saya tidak kekok membaca novel yang saya beli sekitar tahun 2009 ini. Barangkali tidak sama dengan imaginasi generasi pada masa kini dalam merasai dan menikmati secara empati segala-galanya tentang alam dan desa. Apa pun, naskhah ini bisa mengubat kerinduan kita yang seolah-olah terpisah di antara dua zaman, dan mengamati kembali siapakah hero di hati saya dan anak-anak.

Posted in | Leave a comment

Tertawa dan menangis dengan al-Quran

Kredit foto: Panoramio

Masjid kampung kami dulu kecil dan comel. Masih berdindingkan papan dan beratapkan zink. Kalau hujan waktu solat jumaat, suara imam membaca khutbah menjadi tenggelam timbul, dan kami di belakang sudah mula riuh rendah. Tok Hussein yang selalu berulang-alik ke masjid berjalan kaki akan pandang belakang dan jegilkan mata kepada kami, maka tak ada siapa lagi berani buka mulut selepas itu.

Bila tibanya hari raya, jemaah akan melimpah ruah sampai terpaksa solat di atas tanah, tapi masjid sudah siapkan tikar untuk dihamparkan sebagai alas. Kalau takbir hari raya bukan main lagi meriahnya. Jemaah akan dibahagikan dua kumpulan, kadang-kadang sampai berbahagi empat, dua di hulu dan dua di hilir. Tradisi bertakbir adalah dari rumah ke rumah, dan dalam poket kami selalu berbekalkan mercun cina. Kadang-kadang tersalah lempar ke kaki imam, maka semua orang dewasa yang ikut bertakbir akan mengamok dan kami lari lintang pukang.


Apabila Prof. SM Naquib al-Attas mengatakan bahawa Raffles bertanggungjawab membawa candu sekularisme dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam terhadap sistem pendidikan dulu, saya terangguk-angguk membacanya. Kata al-Attas, yang dipetik daripada Abdullah Munsyi, orang Melayu perlu pandai mengaji al-Quran dulu sebelum boleh belajar bahasa Melayu, atau masuk sekolah Melayu, ikut pendidikan formal. Apabila saya tanyakan pada mertua, katanya orang dulu perlu habis dan khatamkan mengaji, baru boleh berkhatan!

Kata biras saya abang Nazri, kalau pergi mengaji rumah guru Quran dulu, wajib bawa bersama minyak tanah. Kalau terlupa bawa, mak ayah akan marah-marah bila balik; dikatakan biadap dan kurang ajar, meskipun guru Quran tak pernah minta. Jika usai mengaji pula, wajib tolong angkat air dua tiga baldi atau tolong kerja-kerja rumah guru Quran, telah menjadi akar tradisi guna menjunjung adab dan ilmu.

Kredit foto: Unikversiti

Kita dan al-Quran

Oh, pada hari dan zaman ini, al-Quran masih tak habis mengaji, tapi kita sudah sibuk ingin menghantar anak mengaji sains. Anak-anak sudah tertekan untuk dapatkan keputusan 5A dalam UPSR dan terpaksa bersaing pula dengan rakan-rakan untuk masuk ke sekolah-sekolah hebat. Ibu bapa sekarang bukan kerja kampung, setiap hari perlu mengadap kesesakan dan kedudukan prestasi yang kukuh. Quran hanya dilekat di dinding-dinding atau dipamer kemas dalam almari kaca. Anak-anak pula baru nak mula mengaji dan kenal Quran; yang sepatutnya bukan sekadar berhenti pada membaca, tetapi tuntutan bertadabbur, berfikir dan bermujahadah sampai membuahkan amal dan akhlaq, malah hidup mati dengan al-Quran.

Hidup mati dengan al-Quran bukan seindah baris kata. Ia tuntutan sepanjang hayat, jatuh bangun dalam perjuangan melawan keinginan dan nafsu, jatuh bangun dalam sebuah penyesalan dan taubat. Kadang-kadang bila tertawa kita tinggalkan al-Quran, dan bila menangis sedih, barulah kembali bersama al-Quran. Sepatutnyalah sebagai Muslim, suka dan duka kita perlu bersama al-Quran, dapat nikmat dan gunakan nikmat seperti yang diajarkan al-Quran, dapat musibah dan belajar musibah seperti yang dipandu al-Quran, akhirnya kita tak terkesan langsung dengan nikmat dan musibah, yang penting kita genggam al-Quran sampai mati.

Hisyam bin Amir pernah bertanya Aishah RA tentang akhlaq Rasulullah SAW, Aishah menjawab, “Akhlaq Nabi SAW adalah al-Quran.” (Riwayat Muslim)

Al-Quran yang dibawa sebagai risalah, ditonjolkan oleh Rasulullah SAW dalam bentuk praktis, iaitu melalui diri baginda sendiri (Al-Sunnah al-Nabawiyyah). Apabila kita hanya membaca sesuatu tentang kemuliaan dan keindahan, akal gagal menerjemahnya secara jelas dan tampak, hanya secara abstrak dan subjektif, malah boleh menjangkau ke dunia absurd dan pelik dengan imaginasi tanpa batas. Justeru, apabila didatangkan oleh Allah, seorang utusan dalam kalangan diri kita sendiri seorang manusia (Al-Taubah: 128), yang mempersembahkan ajaran-ajaran itu dalam bentuk yang praktis, maka penglihatan-penglihatan itu segera menimbulkan keyakinan dan membasmi keraguan-keraguan.


Prof. Dr. Ingrid Mattson menyebutkan dalam bukunya The Story of the Qur’an, meskipun apa yang kita perolehi adalah kisah daripada seorang Rasul bernama Muhammad SAW, tetapi kisah-kisah itu sendiri bukan hanya mewakili mesej peribadi baginda, tetapi membawa mesej universal, sesuai dengan sifat baginda sebagai rahmat bagi seluruh alam ini (Al-Anbiya: 107).

Ya, mesej hidup mati bersama al-Quran.

Kita sudah mula diipuk kebimbangan, waktu bersama gajet, bersama kerja, bersama kawan-kawan, lebih banyak dari waktu bersama al-Quran. Benarkah begitu?

Jawapannya tidak. Kembali semula kepada perbincangan awal tadi bahawa biarlah suka dan duka kita sentiasa bersama al-Quran. Kita hidup dan menghidupkan al-Quran melalui gajet, kerja dan ketika bersama rakan-rakan. Al-Quran kelihatan sangat praktis, sentiasa indah dan mengindahkan kehidupan yang kelihatan beku dan mendesak.

Namun, ia bukanlah sebagai jalan eskapisme untuk kita mengelak dari membaca al-Quran, menuntut ilmu dan memahami prinsip-prinsipnya, tetapi sebagai usaha peringatan, biar kita selalu menggenggam al-Quran dalam menjalani kehidupan.

Pasangkan ayat-ayat suci ketika memandu, ketika bekerja, membaca al-Quran di gajet, di samping CD-CD yang sangat banyak mengajar tentang teknik menguasai al-Quran. Apakah terhenti di situ?

Jawapannya juga tidak. Hidupkan budaya membaca, menuntut ilmu, mengaji al-Quran secara bertalaqqi, semua itu adalah keghairahan yang perlu dibina perlahan-lahan dan dibiasakan hingga sampai ke peringkat halawah, iaitu kemanisan sebuah kebiasaan.

Oh, indahnya tertawa dan menangis dengan al-Quran!

Posted in | Leave a comment

Nostalgia dulu, realiti hari ini

Kredit foto: 1st-art-gallery

Kalau dulu, waktu petang sebegini, kami tidak akan lekat di rumah. Ada dalam kalangan kami yang akan pergi menakik dan meraut kayu hutan, ada juga yang mencantas daun pisang dengan pisau dapur. Kemudian kami berkumpul beramai-ramai di celah belukar berhampiran rumah supaya nanti jika terdengar suara ibu atau ayah memekik-memanggil, mudah pula kami balik dan buat muka kasihan. Kami mula memacak kayu, menyusun dan mengikat lalu menghamparkan daun pisang sebagai atap. Bila khemah mini itu sudah siap, ada yang akan mengambil sabut untuk dibakar supaya nyamuk hutan atau agas-agas tidak berani datang.

Apabila terpengaruh dengan cerita perang di televisyen, kami lekas pakat-pakat main Letup-Letup. Seusai asar, jangan sesekali diganggu rutin harian kami bermain bola sepak. Yang boleh menghentikan permainan kami hanyalah apabila bola bocor terkena duri enau, atau masuk dalam belukar dan tidak ditemui lagi. Namun, jika hari masih awal, kami akan main Selipar Tiga, atau segera pergi ke kedai Pak Pusat, beli air dan berlumba panjat bukit.

 
Kredit foto: Khairon

Hujan dan angin seperti sahabat, dan awan gemawan seperti sebahagian daripada diri kami.

Oh, kejamnya masa, kerana ia tidak pernah mahu berhenti sejeda, meladeni rasa dan hati kita.

Lalu, masa sekarang, jika waktu sebegini, kita barangkali sibuk dengan gajet. Jika kita pengguna tegar media sosial maka banyak aplikasi yang memerlukan perhatian kita. Status Facebook yang perlu dikemaskini selalu, mesej-mesej rakan di aplikasi Whatsapp, apatah jika kita berada dalam satu kumpulan kerja yang memudahkan komunikasi, maka kita perlu memastikan bahawa kita sentiasa ‘wujud’ dalam komuniti virtual tersebut. Jika kita hilang atau pergi pula, mudah benar orang akan menuding dengan sarkastik lalu kita pantas menjadi serba salah. Itu tidak termasuk aplikasi Instagram, Telegram dan pelbagai aplikasi yang baru wujud dan bakal wujud.

Oh, apabila kita berada pejabat kita bekerja, dan di rumah juga kita terus bekerja, kerana hakikatnya yang bekerja itu bukan jasad tetapi otak. Lalu, mudah benar kita tertekan dan murung akibat otak yang sangat letih. Tumpuan kita sudah tidak berpusat lagi, kita tidak mampu fokus pada satu-satu kerja sehingga mampu menghasilkan sesuatu yang berkualiti dengan usaha optimum, kerana alat intelektual untuk menganalisa iaitu otak sudah penat; atau kerana perasaan yang telah terganggu dek mesej-mesej dalam media sosial yang tidak enak.

Kita biarkan hujan, angin dan awan, dan mereka kini menjadi sahabat jarak jauh, meskipun hakikatnya ‘mereka’ sentiasa akrab, hanyalah kita yang menjauhkan diri.

Kata SN Abdullah Hussain, dulu, satu kampung merupakan unit sosial yang besar, kini dengan adanya dunia tanpa sempadan unit sosial telah menjadi semakin kecil, dari dunia komuniti telah berubah menjadi dunia individualiti.

Benar, dulu jika kami buat tidak senonoh, maka laporan akan segera sampai di rumah, dan ayah akan bersedia dengan rotan sebesar ibu jari. Seluruh kampung ketika itu seperti sebuah keluarga besar. Kini, alam virtual dan siber menjadikan kita sendiri-sendiri, dan yang lebih malang lagi, menyuburkan kepura-puraan dan keangkuhan dalam hati; apa yang ingin dilakukan, tiada siapa tahu dan tiada siapa pula boleh menghalang.

Anak-anak generasi kini telah diperkenalkan dengan gajet dan skrin sesentuh pintar, dengan pelbagai aplikasi menarik seperti permainan termasuk media sosial, lebih buruk sehingga menimbulkan ketagihan, lalu minda dan jiwa mereka menjadi penat, natijahnya mereka kurang fokus dan malas berfikir. Apabila disuguhkan dengan sesuatu yang kompleks, mereka segera menolak kerana sudah biasa dengan segala yang bersifat ‘segera’ di internet seperti enjin carian dan kamus online. Mereka tidak suka yang susah-susah, lalu hujan, angin dan awan bakal menjadi musuh.

Ini bersalahan dengan tuntutan Tuhan, supaya menjadi manusia yang sentiasa berfikir dan menggunakan akal bertadabbur dengan alam kejadian dan ciptaan-Nya:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;..." (Ali Imran: 190)

Kita pernah bersahabat dengan hujan, angin dan awan, kini telah bertukar menjadi sahabat jauh, dan kebimbangan kita pula ialah apakah anak-anak akan menjadikan mereka musuh?

Ada kalanya kita ingin meninggalkan semua ini dan kembali bersahabat akrab dengan alam dan desa. Apatah, apabila kita memerhatikan anak-anak tatkala pulang ke kampung menjadikan kereta sebagai tempat tidur, bukan menjadi reflektif dengan melihat alam sekitar di sepanjang perjalanan, seperti kita dulu-dulu. Namun, proses urbanisasi, modenisasi dan tuntutan kerja, menjadikan kita tidak boleh secara drastik dan semberono meninggalkan semua kemajuan ini.

Solusi Agama

Masa terus berlalu dan berjalan pantas, seiring dengan kemajuan zaman tetapi agama sentiasa menawarkan solusi tuntas. Kita mungkin jauh dari bunyi kelicap, merbah, pipit, atau bunyi geseran pokok apabila ditiup angin yang suatu ketika dulu sangat mesra dan akrab di telinga. Namun, agama adalah iman yang sentiasa menetap dalam diri, dan keberadaan iman itu sukar menjadi istiqamah dan berubah menjadi sebuah keyakinan jika tanpa ilmu.

Dunia ini banyak perkara ghaib yang kita tidak tahu, termasuk masa depan dan dunia sebelah sana, dan hanyalah kembali kepada Pemiliknya menjadi solusi terbaik.

Cara untuk membuahkan keyakinan yang mantap kata Sheikh Abu A`la al-Maududi, ialah dengan membuat perbandingan secara praktis. Kita yakin, bahawa seorang doktor tahu tentang perkara ghaib. Perkara ghaib yang bermaksud pengetahuan yang kita tidak tahu tentang ilmu perubatan, seperti ubat yang betul, jenis penyakit dan sebagainya. Apabila seorang doktor telah terbukti dengan kepakarannya, ketepatan ubatnya, kehebatan rawatannya, maka segala ubat yang diberi menjadikan kita yakin kerana secara Sunnatullahnya mampu menyembuhkan.


Kata Sheikh Abu A`la al-Maududi lagi, apakah dengan melihat secara Syariatullah kesan-kesan ciptaan, kehebatan dan kehalusan ciptaan, Dia pemilik mutlak segala yang ghaib, dan segala yang Maha-Maha tentang-Nya melalui ciptaan-Nya, masih tidak mampu menjadikan kita yakin? Lebih yakin daripada ubat, dan solusi daripada seorang doktor?

Posted in | Leave a comment

Kata Iman

Saat ingin berbuat dosa, iman berkata, "Jangan!"

Saat melakukan dosa, iman bertegas, "Cukup!"

Seusai melakukan dosa, iman merintih, "Aku menyesal."

Saat dosa menggunung, iman menyeru, "Bertaubatlah."

Saat fikiran berkecamuk, iman mengingatkan, "Di sekelilingku petunjuk."

Saat dalam petunjuk, iman tersenyum, "Bertenanglah."

Saat dalam ketaatan, iman menyahut, "Istiqamahlah."

Saat sakit, iman mengucapkan, "Bertahanlah."

Saat Sakaratulmaut, iman mendambakan, "Jannah."

Oh Allah, Maha Kasihnya Engkau kepada kamu dengan mengurniakan iman.

Ya Rabb, tetapkan hati kami dan matikanlah kami dalam iman.

Ameen...

Kredit foto : iluvislam.com

Posted in | Leave a comment

Gergaji dan Pohon yang Betul

Hidup ini untuk mencari redha Tuhan, kerana di situlah hakikat sebenar kejayaan dan kebahagiaan.

Di celah-celah segala kesibukan urusan, penting untuk kita berhenti sejenak dari segala kesibukan itu untuk merenung dan memuhasabah kembali tujuan kehidupan.

Ibarat kereta yang kita pandu, bukan sekadar kita perlu berhenti sebentar mengisi minyak atau memastikan kereta diselenggara, tetapi berhenti untuk kembali melihat kompas atau peta perjalanan, adakah jalan yang kita lalui ini benar-benar membawa kepada destinasi yang kita inginkan.

Ya, hidup ini bukan sekadar menuntut kita melihat jam buat memastikan setiap saat dan masa dimanfaatkan sepenuhnya demi mengejar pahala dan berbuat kebaikan, tetapi juga untuk bermuhasabah, apakah setiap yang kita lakukan benar-benar ikhlas, dan sentiasa berkompaskan kebenaran dari al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya.

Bukan sekadar 'sharpen the saw' atau berhenti sebentar untuk menajamkan gergaji, tetapi mengenalpasti apakah kita telah meletakkan gergaji di pohon yang betul.

Bulan 'Sharpen the Saw'
Bakal tiba satu bulan yang dinanti. Sebuah madrasah dan universiti pendidikan terbaik buat umat Islam. Bukan sekadar dipenuhi dengan bangunan megah dan kemudahan terbaik, tetapi sebuah sistem Rabbani berorientasikan waktu, yang menggunakan pendekatan Tarbiah Ruhiyyah dalam melahirkan graduan bertakwa.

Bagi yang terus tercari-cari metodologi terbaik untuk mengubah jiwa dan membuat perubahan rohaniah, maka kesempatan tibanya Ramadhan al-Mubarak boleh menjadi medan anjakan terbaik berbanding apa sahaja kursus motivasi profesional yang wujud. Namun, segala tarbiah perlulah dijalani dengan sepenuh ilmu dan emosi, dalam hati yang tanpa putus mengharapkan bantuan dan inayah-Nya.

Ramadhan menjadi medan untuk kita kembali mengenal status diri di sisi Tuhan sesuai dengan tujuan penciptaan. Setelah sebelas bulan barangkali sibuk memperbaharui pendekatan, memainkan peranan sebagai Khalifah, ruang memperkasa jiwa hamba bakal tiba dan bukankah tanpa jiwa, peranan dan pendekatan menjadi tidak bermakna?

Semoga bulan Ramadhan yang bakal hadir menjadikan kita Muslim yang berjiwa hamba, fokus beribadah memaknakan sebuah 'Ubudiyyah.

Ramadhaniy dan Rabbaniy

Meskipun Ramadhan mungkin bakal mengubah jiwa dan tindak, tetapi ingatlah selalu bahawa tiada sempadan masa dan tempat yang memisahkan kita menjadi hamba-Nya. Kita kekal menjadi hamba-Nya walau bila dan di mana berada.

Kita tidak hanya menyembah-Nya di dalam ibadah, tetapi menyembah-Nya pada setiap hela nafas dan darah yang mengalir.

Tidak mengapalah jika Ramadhan menjadikan titik tolak perubahan kepada cara kita melihat hidup ini dan memberi kesan kepada perubahan sikap yang lebih baik, dengan ramuan tawadhuk, sabar, redha, cinta dan pelbagai ramuan mahmudah yang bakal mengaroma hati, lantas kita menjadi Ramadhaniy, kerana Ramadhan hadir mengubah diri.

Namun, teruskanlah makna Ramadhaniy itu dengan Rabbaniy, berdoa pada setiap hari yang penuh mustajab nanti, semoga Allah mengurniakan istiqamah dan ketetapan hati, tidak berbolak-balik dan patah dihambat nafsu dan syaitan, pada sebelas bulan seterusnya.

Ya Allah, kurniakan keberkatan kepada kami dalam bulan Sya'ban dan sampaikan kami kepada bulan Ramadhan.
Letakkan gergaji di pohon yang betul, dan selamat menajamkannya!


Posted in | Leave a comment

Believe it!

Apabila diberi nikmat - bersyukur.

Apabila diberi mudarat - bersabar.


Selamat menempuh 2013 dengan sekeping hati yang tabah!

Posted in | Leave a comment

Anekdot : Niat dan Ibu Jari

Cuba bayangkan jika kita tiada ibu jari.

Pasti sukar empat jari yang lain untuk menggenggam sesuatu bukan?

Tidak dapat kita bayangkan bagaimana empat jari yang lain akan berfungsi tanpa ibu jari. Segala pekerjaan dan perbuatan menjadi sukar. Genggaman tangan menjadi lemah, dan merebak melemahkan genggaman minda dan persepsi.

Begitulah 'niat' dalam hidup ini. Niat adalah aspek 'dalaman' atau batin dalam diri kita. Tanpa niat, ia ibarat jemari yang tiada ibu jari. Sukar untuk kita menggenggam 'pahala' dalam segenap perbuatan kita.

Atau,

Mungkin zahirnya kita kelihatan menggenggam, tetapi genggaman kita tidak sempurna kerana kita hanya menggenggam 'luaran' atau zahirnya sahaja. Kita ibarat seseorang yang berjalan dalam tidur, bermimpi dan mengelamun. Orang yang hidup tanpa sedar.

Zahir = Dunia, kehormatan, pangkat
Batin = Pahala, jariah, Akhirat

Tamsilannya,

Dalam hidup ini tanpa niat yang betul, walaupun genggaman zahirnya kita berjaya (dunia, kehormatan, pangkat) tetapi hakikatnya kita gagal menggenggam batinnya (pahala, jariah, Akhirat). Kita hanya menjadi pemimpi dalam lena yang enak. Kita perlukan niat, barulah genggaman yang zahir akan menjadi lebih bermakna.

Niat mengejutkan kita dari terus menjadi pemimpi.

Tanpa ibu jari, sukar untuk kita menggenggam sesuatu.
Tanpa niat yang betul, kita sukar untuk menggenggam kejayaan.

Kejayaan yang sebenar-benar kejayaan.

Kejayaan di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.

Perhatikan ibu jari, dan segenap pojok kehidupan ini.

"Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap perkara itu (dibalas) dengan apa yang diniatkan." (Sahih Bukhari dan Muslim)

Hidup ini menuntut kita memahami erti,
supaya menjadi Mukmin yang mengerti.

Posted in | Leave a comment

Inspirasi terhadap sebuah keyakinan

Cakerawala yang luas, dan bumi hanya satu titik dari keluasan itu.

Jika kita berada dalam pesawat untuk bermusafir sejauh ribuan kilometer dan duduk berjam-jam lamanya sudah terasa penat, inikanlah pula jika memandu kereta, berjalan kaki apatah lagi!

Betapa luasnya cakerawala yang terdiri dari gugusan bintang-bintang yang membentuk sistem itu.

Sistem itu jugalah yang menyusun kehidupan kita melalui kejadian siang dan malam, pedoman arah di laut, menentukan waktu harian dan ibadah, serta justifikasi untuk iklim dan musim, malah pelbagai lagi fungsi yang memberi kesan kelangsungan kehidupan manusia.

Bintang-bintang bergemerlapan


Dari cakerawala itulah terdapat gugusan bintang-bintang yang sehingga hari ini para saintis masih belum mampu menentukan dengan tepat jumlah gugusan bintang di galaksi kita, dan kajian itu akan terus berjalan dari masa ke semasa.

Walau di mana kita berada, kita masih melihat bintang yang sama. Selalu kita menatap bulan yang serupa. Keindahan ini mengasyikkan, sehingga pelbagai analogi dan falsafah yang dicipta oleh para karyawan.

Malah, bintang pernah menjadi sembahan manusia suatu ketika dahulu (An-Najm : 49).

Bumi yang terbentang

Perhatikan bumi yang luas terbentang, setia berputar pada paksinya tanpa henti, dan kerana itulah kita masih mampu mengecapi nikmat kehidupan. Melalui putaran bumi pada orbitnya dan mengelilingi matahari, berlakulah siang dan malam silih berganti dan sekiranya bumi tidak berputar dan keadaan kekal menjadi siang, segala-galanya akan mula mendidih dan menjadi bara api yang sangat panas. Kita lenyap kerana bumi akan terbakar. Begitu juga sebaliknya jika tanpa putaran bumi dan malam berterusan, bumi akan sejuk dan terus membeku.

"Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu sekiranya Allah menjadikan siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memerhatikannya? Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya." (Al-Qasas : 72-73)

Ya, kita berpijak pada bumi yang berukuran lilit 40,003 kilometer dan beratnya beribu-ribu juta tan!

Haiwanat yang pelbagai spesis dan rupa

Allah telah menciptakan haiwan dalam pelbagai bentuk dan rupa. Sehingga kita lupa jenis semut yang masuk ke dalam simpanan gula di dapur kerana terlalu banyak spesis dan bentuknya. Tidak hanya itu, apabila melawat zoo, selalu sahaja kita melihat pelbagai spesis haiwan yang tidak pernah kita lihat atau temui sebelumnya.

"Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan atas perutnya dan sebahagian berjalan dua kaki, sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu." (An-Nur : 40)

Betapa uniknya ciptaan Allah pada flora dan fauna yang terdapat di muka bumi ini.

Sahabat-sahabat sekalian.

Betapa hebatnya kejadian cakerawala yang luas bermanfaat, bintang-bintang yang indah bergemerlapan, bumi yang subur luas terbentang, dan haiwanat yang unik.

Namun, Tuhan mengungkapkan, "Sesungguhnya telah Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian." (At-Tiin : 4)

Meski ada perkara yang kita tidak suka pada bentuk dan rupa fizikal kita, ingatlah bahawa ia adalah ciptaan yang terbaik dari Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri kita.

Kejadian kita adalah kejadian yang terbaik dari segala ciptaan-Nya. Jika kita kagum melihat kehebatan kejadian cakerawala, bumi dan haiwan, betapa kejadian kita hakikatnya lebih mengagumkan!

Inilah inspirasi keyakinan buat hati kita dalam menongkah kehidupan.

Ya, kita adalah sebaik-sebaik kejadian, pada diri bertatah akal dan iman.

Posted in | Leave a comment

Tekanlah suis 'berhenti', bersangka baik di hati, dan hanya kebaikan yang kita beri

Sabda Rasulullah s.a.w, "Seorang Mukmin seperti pohon yang ditanam, setiap masa angin kerap meniupnya. Seorang Munafik ibarat tanaman padi, ia tidak akan disentuh melainkan waktu menuai." (Sahih Muslim)

Begitulah kehidupan Muslim, selalu diusik dan disentuh dengan pelbagai asbab. Ibarat pohon yang tidak pernah sunyi dari desir angin. Terliuk-lentok dibuai dan dihembus. Namun, akarnya kukuh mencengkam bumi, kuat dan ampuh.

Akar itu seperti hati.

Pernah kita merasakan dalam hidup ini kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Apa yang kita rancang tidak menjadi. Apa yang kita beri, tidak seperti yang kita terima.

Allah sedang mendidik hati, biar kukuh memacak ukhrawi. Allah sedang mendidik hati supaya tabah, lantas segala mehnah menjadi mudah kerana sudah terbentur pasrah.

Namun, jika tarbiah dan ujian ini langsung dari Allah, melalui Qadha dan Qadarnya, kita terus berusaha untuk pasrah, malah terpaksa pula bersabar kerana tiada kudrat untuk melakukan apa-apa seperti musibah kematian misalnya. Bagaimana pula jika ujian itu datang dari makhluk, yang kita mampu pula untuk membalasnya.

"Tak perlu jujur sangat dalam dunia sekarang ni,"

"Tipu sikit-sikit tak apa, dunia ini penipuan,"

Pelbagai dialog akan muncul melalui pandangan akal, lalu kita sukar menafsir hakikat, lantas kadang-kadang sudah terhantuk baru terngadah.

Bukankah kejujuran itu sesuatu yang mesti dan selalu tanpa kompromi, sehingga baginda Rasulullah s.a.w apabila bergurau konsisten dalam benar dan jujur?

Tekan suis 'berhenti'

Tekanlah suis berhenti, dan berfikir sejenak apakah yang perlu kita lakukan. Kawal bicara dalam diri, supaya sentiasa berbaik sangka. Mulakan baik sangka itu dengan Allah, atas segala perancangan dan ketetapan-Nya kepada kita hamba-hamba-Nya.

Sebuah kereta dengan laju memotong kenderaan kita dari sebelah kiri. Spontan kaki menekan pedal brek kereta.

Tekan suis berhenti, dan fikirkan akibat jika kita melayan perasaan amarah kita itu. Kita mungkin menyumpah, sakit hati dan gelisah atau mungkin memilih untuk mengejar kereta itu dan membalas perbuatannya. Fikirkan, mungkin akan berlaku pergaduhan, keganasan, pertelingkahan lantas mengakibatkan dendam yang memudaratkan.

Bayangkan jika kita memilih untuk terus mengejar kereta itu, dan kereta itu laju membelok masuk ke sebuah hospital. Kemudian kita melihat pemandu itu keluar kereta dalam keadaan tergesa-gesa menggendong anaknya yang sedang berlumuran darah dengan wajah yang kesakitan.

Persepsi kita terus berubah, dan pantas pula kita meletakkan diri kita pada situasinya.

Alangkah indah, jika pada mulanya kita memilih untuk bersangka baik dan memaafkan.

Persepsi 'tidak berbaloi'

"Tak berbaloi ustaz, kita beri baik, sebaliknya yang kita dapat,"

"Entahlah ustaz, kadang-kadang rasa penat buat baik,"

Sebelum, semasa dan selepas buat baik, pastikan selalu bahawa kita sentiasa berada dalam keikhlasan. Orang yang buat baik tanpa ikhlas, amalannya tidak diterima di sisi Allah, dan amalan yang tidak diterima-Nya walaupun amalan itu zahirnya nampak baik, tetap juga tidak baik kerana batinnya rosak.

Keikhlasan ialah melakukan amalan tanpa mengharapkan balasan dan sebagai seorang hamba Allah, kita mengharapkan Allah menilai amalan itu sebagai sebaik-baik amalan di sisi-Nya. Ini asas untuk melakukan kebaikan iaitu membetulkan cara pandang kita pada ketetapan Allah.

Betulkan keyakinan bahawa Allah pasti membalas kebaikan, kerana itu janji-Nya yang kadang-kadang bukan langsung kepada kita tetapi barangkali kepada orang-orang yang kita sayang. Bahkan, jika bukan di dunia pasti akan menyusul di Akhirat.

Bukankah berbaloi-baloi!

Paksikan pada hati, bagaimana baginda Rasulullah s.a.w dilayan ketika baginda berdakwah di Taif. Bayangkan darah yang tumpah, kesakitan yang baginda hadapi sehingga Jibrail memberitahu baginda bahawa Allah telah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk diperintahkan oleh Baginda agar membalas kembali apa yang telah dilakukan oleh penduduk kota Taif. Bahkan begini jawab baginda Rasulullah s.a.w, "Bahkan aku berharap pada Allah kelak akan lahir dari tulang sulbi mereka kaum yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu."

Nah, jika sekarang kita menerima layanan yang bertentangan dengan kebaikan yang kita berikan, tekanlah suis 'berhenti', fikirkan akibat, bersangka baik (positif), paksikan cinta Nabi s.a.w, dan tentukan reaksi.

Ajaib, kerana sekarang kita semakin mudah tersenyum, tenang hati, dan hanya kebaikan yang kita beri!

Posted in | Leave a comment

Kerana kita seorang manusia...

Cara untuk menguatkan hati ialah dengan memohon maaf, dan cara untuk mudah memohon maaf kepada orang lain ialah dengan mengaku kesalahan dan kesilapan. Cara untuk mudah mengaku kesalahan dan kesilapan ialah dengan mengingati bahawa kita hanya hamba-Nya yang pasti melakukan kesilapan. Orang yang mudah memohon maaf maka mudah pula untuk dia memaafkan orang lain.

Terlalu banyak sebab untuk kita memohon maaf daripada orang lain sepertimana terlalu banyak sebab untuk kita bersyukur kepada Allah s.w.t atas nikmat yang tidak terhitung. Kita mudah memaafkan orang lain sebagaimana kita mengharapkan Allah s.w.t mudah pula mengampunkan dosa-dosa kita.

Orang yang mudah memohon maaf dan memberi kemaafan itu hatinya lapang, lembut dan sentiasa tenang. Dia pemurah dengan senyuman, sayangi orang lain dan sabarnya ampuh.

Dalam hal memohon maaf dan memaafkan ini Allah s.w.t mengangkat darjat orang yang pemaaf kerana sifat pemaaf hanya dimiliki oleh orang yang mendapat kemuliaan di sisi Allah.

Allah S.w.t berfirman dalam hadis Qudsi riwayat Abu Hurairah r.a, "Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t : 'Ya Rabbi! Siapakah di antara hamba-Mu yang lebih mulia menurut pandangan-Mu?'

'Allah s.w.t berfirman, "Ialah orang yang apabila berkuasa (menguasai musuhnya), dapat segera memaafkan.
"

Harga Sebuah Kemaafan

Tidak ternilai harga sebuah kemaafan itu. Kita selalu lupa bahawa setiap orang akan pergi meninggalkan kita. Setiap orang yang mengajar kita makna sebuah nilai hidup pasti akan pergi dari dunia ini.

Hakikatnya orang yang melukai kita sedang menambah nilai dalam hidup ini, walaupun nilai itu berupa nilai yang pahit. Ia tetap merencah kehidupan kita menjadi lebih bermakna dan berwarna-warni. Lantas, orang yang benar-benar beriman kepada Allah sentiasa melihat 'kebaikan' pada setiap ketetapan hidup. Jika ditimpa musibah dia bersabar, jika mendapat nikmat dia bersyukur.

"Demi Allah yang jiwaku ditangannya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang Mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi Mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya."(Riwayat Muslim)

Jika fikir tentang sebuah kematian tidak mampu melembutkan hati kita untuk memohon dan memaafkan orang lain, maka apakah pula harga yang perlu kita bayar untuk bertemu dan mengharapkan keampunan Allah kelak, jika amalan selama beratus tahun pun tidak mampu membayar harga sebuah mata yang melihat?

Bayaran daripada sebuah kemaafan bukanlah sebuah senyuman atau ucapan terima kasih, tetapi adalah redha dan syurga-Nya di Akhirat nanti.

Manusia yang manusia

Dalam usaha kita memperbaiki diri, cuba menambah nilai hidup setiap hari, kita sering berbicara tentang tujuan hidup, objektif besar yang perlu dicapai, proses untuk berjaya yang sentiasa dihalusi, memperkasa usaha untuk berjaya, dan dalam setiap ikhtiar itu kita sering bergaul dengan seorang yang bernama manusia.

Manusia yang sering lupa, lalai, leka, silap, tergelincir, jatuh, luka, perit, sakit dan segala macam peristiwa yang sama-sama kita sendiri alami menjadi bukti bahawa kita dan dia hanyalah seorang manusia biasa yang tidak terlepas dari kekhilafan.

Kita mengabaikan aspek ini, sehingga kita mengharapkan dia sempurna, dan lebih selesa berbicara tentang tujuan, kerja, produk, proses, aktiviti, lalu lupa bertanya khabarnya, sakit letihnya, dan akhirnya kita lupa dia juga seorang manusia yang ada keperluan fisiologi dan psikologi yang perlu dipenuhi. Kita lupa bahawa kita semua serupa, melainkan mereka yang bertakwa mendapat tempat terbaik di sisi-Nya.

Ya, lupa kita juga adalah kerana kita seorang manusia...

Posted in | Leave a comment

Kubah


Kegumpalan di dada yang telah terlerai. Buat pembaca-pembaca yang selalu berkunjung, terimalah cerpen terkini saya.

Kubah

GEMPAR. Seluruh jemaah Subuh kampung Rozai gempar. Kubah biru yang menjadi mercu masjid kampung Rozai retak dan bocor.  Hujan yang bertali-temali beberapa hari bersama-sama angin kencang menerbangkan pohon kelapa tua menerjah kubah masjid. Hujan yang masih lebat mencurah masuk melalui bahagian kubah yang bocor menimpa permaidani masjid

“Ini mesti bala.” Haji Alif berbisik.

Haji Ba angguk. “Tuhan murka.”

Siak Yasin yang paling awal tiba di masjid terkejut dan bau busuk sudah mula meruap. Kawasan tengah-tengah masjid dikepung dengan papan kenyataan putih yang dikumpulkannya dari segenap penjuru masjid sebelum masuk subuh tadi, meninggalkan hanya tiga saf kosong di bahagian hadapan.

“Tiga saf saja?” Haji Ta menghela nafas.

“Cukup tu, jemaah Subuh tak sama macam jemaah Aidilfitri.” Haji Isa mencebik.

Nazir masjid, Haji Toha datang termengah-mengah dan terus masuk angkat takbir saat Imam Hamim sedang baca surah rakaat kedua.


Baca seterusnya, klik Sanggar Kreatif, Berita Minggu

Posted in | 3 Comments

Tanda Kalbu yang Penuh Rindu

Setelah Rasulullah s.a.w membuktikan cinta baginda s.a.w kepada kita, apakah pula bukti cinta kita kepada baginda s.a.w?

Apakah dengan hanya sambutan besar-besaran dibuat apabila tibanya Maulidurrasul?

Dan selepas berakhirnya sambutan itu atau bulan kelahiran baginda s.a.w maka suasana memperingati baginda sudah mula suram dan ingatan terhadap baginda akan mula surut, maka kehadiran ke majlis-majlis ilmu semakin susut, selawat dan salam diganti dengan lagu-lagu lagha, tingkah sudah kembali menyalahi sunnah, mulut dan lidah kembali menyumpah seranah, hati lantas mati, perintah dan hukum sudah tidak dipeduli lagi.

Kita tanya kembali, apakah bukti cinta kita kepada baginda s.a.w?

Seseorang yang hatinya penuh cinta dan rindu pasti mengutamakan kekasihnya dari yang lain dalam segenap tindak dan fikirnya. Seseorang yang menyintai baginda s.a.w menjadikan mehnah dan dugaan yang menimpanya sebagai jalan untuk mentaati Allah s.w.t. Dia menyintai apa yang dicintai baginda, dan membenci apa yang tidak disukai baginda s.a.w.

Bibir dan lidahnya sentiasa mengungkapkan ingatan terhadap kekasih melalui lafaz selawat. Dia akan berusaha melafazkannya setiap masa, saat susah mahu pun senang. Kekasih yang bernama Muhammad s.a.w sentiasa hidup dalam hatinya, mengesankan pada hati, lidah dan tingkah.

Rasa bersalah

Selalu merasakan bahawa diri kita ini bersalah, banyak dosa dan khilaf dengan Allah. Lantas akan mengingatkan kita kepada sunnah Rasulullah yang belum cukup kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari. Rasa bersalah dan berdosa ini penting supaya hati kita dipenuhi dengan rasa ingin kembali (rajak) kepada-Nya, bertaubat dan memohon pengampunan dari-Nya.

Diri yang selalu rasa bersalah ini akan terus berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa, menemui ketenangan dalam usahanya meraih rahmat dan kasih sayang Allah. Rasa bersalah ini akan membuatkan kita terus tegar menyelak lembar-lembar seerah baginda s.a.w supaya setiap apa yang baginda lakukan akan sentiasa hidup dalam hati, lisan dan perbuatan.

Diri yang bersalah ini akan sentiasa berasa rendah hati dan tawaduk, sentiasa memandang orang lain lebih mulia daripadanya, tidak memandang buruk orang yang melakukan dosa dan tidak menafikan hak orang lain untuk bertaubat. Orang yang rasa bersalah ini akan sentiasa memaafkan, hatinya lapang dan bertasamuh.

Rasa bersalah ini perlu disertai dengan proses taubat, zikir dan fikir akan kebesaran-Nya, supaya rasa ini tidak pula membelenggu hati sehingga menyebabkan kemurungan dan menyendiri.

Buktikan cinta dengan rasa bersalah, kerana rasa inilah rasa 'ubudiyyah, terbit dari rasa kita sebagai seorang hamba, lantas kita akan memperkasa ibadah, ilmu dan amal.

Membangkang nafsu

Lihatlah di segenap kehidupan kita, muhasabahlah segala amal perbuatan yang berorientasikan nafsu. Bezakan di antara keinginan dan keperluan. Bezakan juga antara keperluan dan tujuan.

Cara untuk membangkang nafsu ini ialah dengan menaikkan kecemburuan dalam hati dalam hal-hal Akhirat. Berlumba-lumba melakukan sedekah, menidakkan keinginan untuk bermewah-mewah.

Besarkan jiwa dengan ibadah, mohon bantuan daripada orang-orang terakrab, supaya boleh pula kita diingat dan dibetulkan.

Kenangkan pula kekasih kita Rasulullah s.a.w, yang tidak pernah cukup makan dan minum, ikat perut dengan batu menahan lapar, maka sederhana yang menjadi pilihan kita, atas dasar cinta kepadanya, habibuna Rasulullah s.a.w, kekasih hati.

Makanlah apabila lapar, kerana makanan yang dimakan ketika lapar akan sentiasa lazat dan sedap.

Bangkanglah nafsu, maka hati kita akan terpandu.

Cinta baginda sepanjang hayat. Cinta baginda, tiada bertempoh, tiada bermusim, tiada berwaktu.

Dalami seerah, amalkan sunnah dan tadabburlah wahyu, kerana itulah tanda kalbu yang penuh rindu.

Posted in | 4 Comments

Kita hanya setitis air

Samudera ini adalah ciptaan terus dari Allah. Luas dan dalam. Indah dan mendamaikan.

Entah kenapa, ombak dan pantai yang bertepukan walaupun riuh, tetap tidak membingitkan telinga, atau meresahkan hati, malah sebaliknya yang kita rasa.

Aman, damai dan tenang menebar dalam hati.

Walaupun samudera ini telah menggemparkan dunia dengan tsunami, atau ribut, atau serangan jerung dan obor-obor tetapi manusia tetap tidak putus mahu mengunjunginya, terutama sebagai destinasi wisata keluarga dan keraian tertentu.

Ya, kita seperti mempunyai hubungan dengan samudera, perlu sentiasa ingin ber'komunikasi' dengan pantai.

Kita memerlukan air kerana tanah memerlukannya

Sejarah dan tamadun manusia juga telah membuktikan bahawa manusia sentiasa memerlukan air, maka Allah telah menjadikan sungai-sungai sebagai sumber air yang bersih untuk manusia.

Sungai-sungai yang akhirnya sampai juga ke laut.

Air yang diperlukan untuk minum sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh gelas setiap hari untuk sihat.

Air untuk bersuci dan membasuh segala macam bentuk kekotoran.

Air penting untuk makanan kita, kerana dalam makanan tersebut juga masih ada unsur air.

Malah tubuh kita juga terdiri dari 55 sampai 78 peratus air bergantung kepada bentuk dan ukuran jasad.

Asal-usul kita dijadikan dari tanah kemudian melalui 'air' bapa.

Kita memerlukan air kerana tanah memerlukannya.

Bukan sahaja kita, malah seluruh hidupan memerlukan air.

Apabila kita dan seluruh hidupan memerlukan air, justeru kita adalah lemah dan sangat perlu kepada Pencipta air.

Allah s.w.t!

Kita adalah setitis air

Pada hamparan lautan yang luas itu, kita hanyalah setitis darinya.

Ambillah setitis dari air laut lalu kita pisahkan air yang setitis itu dari sehamparan samudera.

Adakah akan terjejas luas dan dalamnya?

Saya dan kita geleng.

Siapa pun kita, bagaimana hebat pun kita, sebijak dan sepandai mana pun kita, walau bagaimana besar pun kejayaan yang kita kecapi hari ini.

Kita hanyalah setitis air. Setitis air yang tidak menjejaskan langsung kekuasaan dan keperkasaan-Nya. Setitis air yang tidak bermakna dari seluas-luas lautan.

Setitis air yang tiada erti.

Melainkan jika kita takut pada-Nya, berhukum dan beramal dengan apa yang diturunkan kepada Rasul-Nya, redha dengan pemberian-Nya walaupun sedikit, dan bersedia (ilmu, iman dan amal) untuk mengadap-Nya di Hari Pembalasan.

Bertaqwalah, walau di mana kita berada.

Taqwa, dan kita akan dipandang oleh-Nya.

Posted in | Leave a comment

Menerjemah Musibah dengan 3S

"Nasib baik, kalau aku ikut tentu aku yang kena."

"Aku hanya dilambatkan seminit, kalau tak nahas. Nasib baik."

Mungkin kita biasa dengar dialog-dialog di atas dituturkan oleh sahabat, kerabat malah diri sendiri apabila berhadapan situasi di'selamat'kan daripada sesuatu. Lalu kita bersyukur dengan kesempatan dan peluang yang masih diberikan. Namun, apabila kita menyangka bahawa 'yang selamat' itu bernasib baik, apakah yang 'tidak selamat' itu pula bernasib buruk?

Semua ini termasuk dalam qadha dan qadar atau ketetapan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Ini bermakna, apa sahaja yang datang dari Allah, tentulah itu yang terbaik walaupun tidak baik pada pandangan kita, kerana Dia Maha Mengetahui. Sesungguhnya kita tidak tahu cara Allah ingin memberi kebaikan kepada hamba-hamba-Nya, malah apa yang kita rasa baik belum tentu baik juga pada pandangan Allah, malah boleh menjadi satu ujian bahkan bahana dalam kehidupan kita menuju Akhirat.



Cuba kita renung, apabila kita ber'nasib baik' pada hari ini, apakah pada hari esok dan hari-hari seterusnya kita akan tetap ber'nasib baik' juga? Dan apakah yang kita sangka 'nasib baik' hari ini merupakan kebaikan pada hari-hari akan datang juga, atau menjadi suatu keburukan pula?

Aduh, sangat sukar menebak dan menjangka hakikat kebaikan ini bukan?

Menerjemah Kebaikan

Sangat sukar dengan akal yang terbatas untuk kita menerjemah kebaikan di atas apa yang terjadi dalam kehidupan ini. Seperti firman Allah s.w.t :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)

Senang benar kita 'terperangkap' dengan kebaikan yang dilihat melalui sudut pandang sendiri. Kita lebih memilih sihat dari sakit, senang dari susah atau kaya dari miskin. Sedangkan kita tidak tahu apakah itu sebenar-benar kebaikan di sisi-Nya?

Di atas akal yang terbatas dan tidak mampu meramal ini, maka Allah mengutuskan para nabi dan rasul untuk menanam serta menuai akidah dan iman dalam hati kita. Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w menanam kepercayaan dan keimanan ini dalam hati para sahabat sehingga mereka menjadi hamba Allah yang benar-benar berkualiti dengan sikap - dengar dan taat, tanpa banyak soal dan mempersoal.

Hidup adalah anugerah

Kita sebagai umat Islam perlu percaya bahawa hidup ini adalah anugerah. Kita dipilih menerima anugerah yang bernama kehidupan. Anugerah pinjaman yang sebentar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk agama-Nya. Hidup untuk kita terus menebar manfaat dan kebaikan, bukan sahaja untuk diri sendiri malah kepada orang lain.



Apabila kita faham bahawa hidup ini adalah suatu bentuk anugerah yang dipinjamkan, maka kita akan sentiasa yakin bahawa pada bila-bila masa anugerah ini akan diambil semula. Bukanlah bermakna apabila kita redha bahawa ketetapan ini adalah milik Allah dan Allah Maha Mengetahui rahsianya, maka kita menolak usaha, doa dan tawakkal.

Benar, kita perlu sentiasa berusaha menjadi Muslim yang baik, taat suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam doa dan tawakkal.

3S : Sabar, senyum dan syukur

Apabila musibah datang menimpa, tragedi yang tidak diingini terjadi dengan tiba-tiba, maka laluilah dengan sabar, kerana sabar akan memupuk rasional, lantas akal akan menerjemah ketetapan Tuhan sebagai suatu kebaikan. Kita diuji sedemikian kerana Allah Maha Tahu, bahawa kita mampu menghadapinya.

"Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau imannya lemah dia diuji dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seseorang diuji terus menerus sehingga ia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa." (Riwayat Bukhari)


Susurilah hari-hari kita walau hati diipuk sedih, kerana itu fitrah manusia. Namun, zahirkan senyuman dan selitkan di hati di celah-celah kesedihan itu rasa bangga dan syukur, kerana kita sebenarnya telah dipilih Allah untuk menerima kebaikan.

"Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka ia diuji (dengan musibah yang menimpanya)." (Riwayat Bukhari)

Berdoalah, supaya Allah akan mengurniakan kita kebaikan di dunia, kebahagiaan di Akhirat dan Dia pasti akan mengabulkan, meskipun bukan seperti yang kita mahukan. Dia pasti akan mengabulkan, atas kehendak-Nya, kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat kita, hamba-hamba-Nya.

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.