Nostalgia dulu, realiti hari ini

Kredit foto: 1st-art-gallery

Kalau dulu, waktu petang sebegini, kami tidak akan lekat di rumah. Ada dalam kalangan kami yang akan pergi menakik dan meraut kayu hutan, ada juga yang mencantas daun pisang dengan pisau dapur. Kemudian kami berkumpul beramai-ramai di celah belukar berhampiran rumah supaya nanti jika terdengar suara ibu atau ayah memekik-memanggil, mudah pula kami balik dan buat muka kasihan. Kami mula memacak kayu, menyusun dan mengikat lalu menghamparkan daun pisang sebagai atap. Bila khemah mini itu sudah siap, ada yang akan mengambil sabut untuk dibakar supaya nyamuk hutan atau agas-agas tidak berani datang.

Apabila terpengaruh dengan cerita perang di televisyen, kami lekas pakat-pakat main Letup-Letup. Seusai asar, jangan sesekali diganggu rutin harian kami bermain bola sepak. Yang boleh menghentikan permainan kami hanyalah apabila bola bocor terkena duri enau, atau masuk dalam belukar dan tidak ditemui lagi. Namun, jika hari masih awal, kami akan main Selipar Tiga, atau segera pergi ke kedai Pak Pusat, beli air dan berlumba panjat bukit.

 
Kredit foto: Khairon

Hujan dan angin seperti sahabat, dan awan gemawan seperti sebahagian daripada diri kami.

Oh, kejamnya masa, kerana ia tidak pernah mahu berhenti sejeda, meladeni rasa dan hati kita.

Lalu, masa sekarang, jika waktu sebegini, kita barangkali sibuk dengan gajet. Jika kita pengguna tegar media sosial maka banyak aplikasi yang memerlukan perhatian kita. Status Facebook yang perlu dikemaskini selalu, mesej-mesej rakan di aplikasi Whatsapp, apatah jika kita berada dalam satu kumpulan kerja yang memudahkan komunikasi, maka kita perlu memastikan bahawa kita sentiasa ‘wujud’ dalam komuniti virtual tersebut. Jika kita hilang atau pergi pula, mudah benar orang akan menuding dengan sarkastik lalu kita pantas menjadi serba salah. Itu tidak termasuk aplikasi Instagram, Telegram dan pelbagai aplikasi yang baru wujud dan bakal wujud.

Oh, apabila kita berada pejabat kita bekerja, dan di rumah juga kita terus bekerja, kerana hakikatnya yang bekerja itu bukan jasad tetapi otak. Lalu, mudah benar kita tertekan dan murung akibat otak yang sangat letih. Tumpuan kita sudah tidak berpusat lagi, kita tidak mampu fokus pada satu-satu kerja sehingga mampu menghasilkan sesuatu yang berkualiti dengan usaha optimum, kerana alat intelektual untuk menganalisa iaitu otak sudah penat; atau kerana perasaan yang telah terganggu dek mesej-mesej dalam media sosial yang tidak enak.

Kita biarkan hujan, angin dan awan, dan mereka kini menjadi sahabat jarak jauh, meskipun hakikatnya ‘mereka’ sentiasa akrab, hanyalah kita yang menjauhkan diri.

Kata SN Abdullah Hussain, dulu, satu kampung merupakan unit sosial yang besar, kini dengan adanya dunia tanpa sempadan unit sosial telah menjadi semakin kecil, dari dunia komuniti telah berubah menjadi dunia individualiti.

Benar, dulu jika kami buat tidak senonoh, maka laporan akan segera sampai di rumah, dan ayah akan bersedia dengan rotan sebesar ibu jari. Seluruh kampung ketika itu seperti sebuah keluarga besar. Kini, alam virtual dan siber menjadikan kita sendiri-sendiri, dan yang lebih malang lagi, menyuburkan kepura-puraan dan keangkuhan dalam hati; apa yang ingin dilakukan, tiada siapa tahu dan tiada siapa pula boleh menghalang.

Anak-anak generasi kini telah diperkenalkan dengan gajet dan skrin sesentuh pintar, dengan pelbagai aplikasi menarik seperti permainan termasuk media sosial, lebih buruk sehingga menimbulkan ketagihan, lalu minda dan jiwa mereka menjadi penat, natijahnya mereka kurang fokus dan malas berfikir. Apabila disuguhkan dengan sesuatu yang kompleks, mereka segera menolak kerana sudah biasa dengan segala yang bersifat ‘segera’ di internet seperti enjin carian dan kamus online. Mereka tidak suka yang susah-susah, lalu hujan, angin dan awan bakal menjadi musuh.

Ini bersalahan dengan tuntutan Tuhan, supaya menjadi manusia yang sentiasa berfikir dan menggunakan akal bertadabbur dengan alam kejadian dan ciptaan-Nya:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;..." (Ali Imran: 190)

Kita pernah bersahabat dengan hujan, angin dan awan, kini telah bertukar menjadi sahabat jauh, dan kebimbangan kita pula ialah apakah anak-anak akan menjadikan mereka musuh?

Ada kalanya kita ingin meninggalkan semua ini dan kembali bersahabat akrab dengan alam dan desa. Apatah, apabila kita memerhatikan anak-anak tatkala pulang ke kampung menjadikan kereta sebagai tempat tidur, bukan menjadi reflektif dengan melihat alam sekitar di sepanjang perjalanan, seperti kita dulu-dulu. Namun, proses urbanisasi, modenisasi dan tuntutan kerja, menjadikan kita tidak boleh secara drastik dan semberono meninggalkan semua kemajuan ini.

Solusi Agama

Masa terus berlalu dan berjalan pantas, seiring dengan kemajuan zaman tetapi agama sentiasa menawarkan solusi tuntas. Kita mungkin jauh dari bunyi kelicap, merbah, pipit, atau bunyi geseran pokok apabila ditiup angin yang suatu ketika dulu sangat mesra dan akrab di telinga. Namun, agama adalah iman yang sentiasa menetap dalam diri, dan keberadaan iman itu sukar menjadi istiqamah dan berubah menjadi sebuah keyakinan jika tanpa ilmu.

Dunia ini banyak perkara ghaib yang kita tidak tahu, termasuk masa depan dan dunia sebelah sana, dan hanyalah kembali kepada Pemiliknya menjadi solusi terbaik.

Cara untuk membuahkan keyakinan yang mantap kata Sheikh Abu A`la al-Maududi, ialah dengan membuat perbandingan secara praktis. Kita yakin, bahawa seorang doktor tahu tentang perkara ghaib. Perkara ghaib yang bermaksud pengetahuan yang kita tidak tahu tentang ilmu perubatan, seperti ubat yang betul, jenis penyakit dan sebagainya. Apabila seorang doktor telah terbukti dengan kepakarannya, ketepatan ubatnya, kehebatan rawatannya, maka segala ubat yang diberi menjadikan kita yakin kerana secara Sunnatullahnya mampu menyembuhkan.


Kata Sheikh Abu A`la al-Maududi lagi, apakah dengan melihat secara Syariatullah kesan-kesan ciptaan, kehebatan dan kehalusan ciptaan, Dia pemilik mutlak segala yang ghaib, dan segala yang Maha-Maha tentang-Nya melalui ciptaan-Nya, masih tidak mampu menjadikan kita yakin? Lebih yakin daripada ubat, dan solusi daripada seorang doktor?

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.