Archive for November 2010

Mukmin berkorban, mengakar ikhlas, menunjang cinta

Saya masih ingat ketika di Mesir dahulu, ketika menyusur jalan berulang-alik dari muhadharah ilmu ke Rumah Anak Negeri, banyak benar kibas, kambing atau pun biri-biri yang ditambat di halaman rumah masyarakat Arab Kaherah. Kaherah, antara kota terpadat di dunia, dan suasana itu pula membelenggu lebih kurang seminggu sebelum Eidul Adha. Betapa syiar korban terasa hidup dan kisah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail begitu akrab di hati.

Korban bukan cerita binatang apa, bukan cerita berapa banyak haiwan yang perlu dikorbankan, atau cerita sup dan rendang, tetapi korban adalah cerita tentang kualiti. Kualiti yang dimaksudkan adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan keikhlasan dalam melakukan ibadah. Ibadah Korban adalah puncak kepada segala ibadah seperti yang digambarkan dalam kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Kita maklum bagaimana Nabi Ibrahim diarahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail dan setelah Nabi Ibrahim memberitahu perihal itu kepada anaknya, maka Nabi Ismail lekas-lekas memberi pengukuhan agar Ibrahim melaksanakan suruhan itu tanpa gentar dan ragu (rujuk surah al-Saafat : 102-107).

Betapa dalam kisah itu kita disuguhkan dengan pengertian taqwa melalui pengukuhan Tauhid dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Ismail. Bagaimana mereka menurut perintah tanpa rasa gentar dan ragu. Amatlah penting untuk kita menjadi Mukmin Tauhidik, iaitu penolakan sepenuhnya dari bertuhankan hawa nafsu atau diri sendiri, penolakan mutlak dari bertuhankan darah dan keturunan, dan penolakan sepenuhnya inilah yang akan membentuk rasa cinta yang tulus kepada-Nya, tanpa syarat.

Sejarah telah membuktikan bahawa manusia yang bertuhankan nafsu, bertuhankan darah dan keturunan menjadi punca segala kerosakan dan kemungkaran di atas muka bumi. Firaun dan Qarun dua manusia yang bertuhankan nafsu, hidup bergelumangkan harta benda dan pangkat, akhirnya jatuh tersungkur dalam azab Allah s.w.t.

Pengorbanan itu Cinta

Cuba lihat dengan mata hati siapa yang telah banyak berkorban untuk kita selama ini. Tarik nafas dan himbau kembali diri kita sebelum kita diciptakan. Kita tidak wujud, tetapi Dialah yang telah menciptakan kita kepada wujud. Dialah yang meminjamkan roh, dan segala macam nikmat kepada kita sehinggalah apa yang kita miliki pada hari ini. Namun, berapa ramai yang kufur kepada-Nya, dan begitu ramai pula orang Islam yang tidak bersyukur. Firman Allah s.w.t :

"Mengapa kamu kufur dengan Allah, pada hal kamu dahulunya mati (tiada), lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan, kemudian dihidupkan kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya." (al-Baqarah : 28)

Kemudian, cuba kita imbas semula sejarah sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Di sanalah dua orang insan yang selalu berkorban segalanya untuk kita, tanpa mahu walaupun seekor semut kecil menjalar dan menggigit tubuh kita yang kerdil. Dua insan yang menjadi asbab kepada kewujudan kita pada hari ini, merekalah yang bernama ibu dan ayah. Segala pengorbanan mereka tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata atau apa-apa sahaja bentuk materi, dan sesungguhnya mereka tidak pula meminta untuk dibalas, kerana tentulah itu semua telah memberi gambaran tentang makna sebenar sebuah cinta.

Hitunglah berapa ramai insan-insan yang banyak berkorban untuk kita, supaya kita tekal mendoakan mereka dalam kebaikan. Dan teruskanlah berkorban untuk insan-insan yang kita sayangi pula, dan jangan lupa lakukan pengorbanan dengan rasa cinta. Pengorbanan yang lahir atas dasar cinta akan menyebabkan kita seolah-olah tidak berasa kehilangan apa-apa pun di atas pengorbanan itu, malah rasa bahagia, puas dan ria akan muncul dalam kalbu melihat kegembiraan orang lain. Dalam usaha menggapai bintang, jangan dilupakan orang-orang di sekeliling yang telah banyak berkorban untuk kita. Saya terpikat dengan kata-kata ahli falsafah Albert Schweitzer ini - in the hopes of reaching the moon men fail to see the flowers that blossom at their feet.

Ikhlas kerana Allah

Songsonglah hatimu agar selalu bermuhasabah tentang ikhlas. Keikhlasan itu pentadbirnya adalah hati, maka pastikanlah hatimu selalu bersih dengan ilmu dan ibadah yang sahih. Hanya kita yang dapat menilai dan menghitung hati sendiri. Hitunglah hati sebelum ia dihitung di hadapan Allah s.w.t kelak.

Apabila pengorbanan dipacak berpaksikan kebergantungan terus kepada Allah, maka di situlah akan hadirnya kekuatan sabar menghadapi, dan munculkan keadaan redha dalam hati. Oleh itu, hadapkan dan hadirkan hati terus kepada Allah atas segala apa yang ingin dilakukan, barulah amalan itu akan dinilai sebagai suatu ibadah. Insya-Allah, segala pengorbanan yang dilakukan akan dinilai sebagai kebajikan di sisi-Nya.

Pastikan pula setelah melakukan sekian banyak pengorbanan itu, jangan pula mengeluh jika terpaksa mengulangi pengorbanan demi pengorbanan yang sama, agar tidak pula sia-sia segala kesusahan dan perit jerih dek keluhan dan omelan. Tahan kekeluhan dalam hati, ubati hati bahawa inilah kebajikan untuk Akhirat, dan bekerja untuk Akhirat balasannya tidak segera, hanya perlu percaya, kerana percaya itulah iman.

Selamat menjadi Mukmin yang berkorban, menyempurnakan makna "kualiti", kerana tiada ibadah tanpa keikhlasan dan tiada kualiti tanpa ketaqwaan.

Pengorbanan itu akarnya ikhlas, tunjangnya cinta.

Posted in | Leave a comment

Mencari ketenangan atas nama Taqwa

Pernahkah kita ditegur atau dikritik dalam kehidupan ini? Dan sebab itu telah melahirkan rasa tidak puas hati? Rasa itu begitu menyenakkan, hingga menghindarkan tenang dan selesa?

Perasaan tidak puas hati apabila ditegur oleh seseorang itu adalah lumrah. Yang membezakan diri kita masing-masing ialah bagaimana kita mengendalikan rasa tidak puas hati itu, yakni disusuli dengan tindakan yang betul atau tindak balas yang salah. Apatah bila hati sepenuhnya dikuasai nafsu dan perasaan, tentulah kesan buruknya sukar dijangka - berbalah, bergaduh, tidak bertegur sapa, bermasam muka, mengeji, mengumpat, dendam dan akhirnya membawa kepada fitnah memfitnah.

Tentunya apabila diri bertunjang iman dan berbumbungkan akal maka kita akan menjadikan rasa tidak puas hati apabila dikritik atau ditegur itu sebagai cermin yang memantulkan "wajah" sebenar kita. Kita akan kembali melihat dan merenung diri, lantas mengaku betapa diri yang lemah ini amat mudah tersadung, tidak terpelihara dari melakukan dosa, tidak pernah sunyi dari kekhilafan, dan sesungguhnya semua itu akan kembali mengingatkan status kita sebagai seorang "hamba". Ya, hanya seorang hamba kepada Tuhannya.

Tidak mengapa jika berbeza pandangan, tapi jangan memaksa orang lain untuk menerima pandangan kita. Bersikap asertif dan mewujudkan situasi menang-menang lebih penting, terutama dalam memelihara ukhuwwah Islamiah. Firman Allah s.w.t :

"Tidak berselisih orang yang telah diberi kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) dalam kalangan mereka." (Ali Imran : 19)

Teguran itu kasih sayang

Sedar atau tidak, rupa-rupanya kita pada hari ini telah membesar dan matang di atas teguran demi teguran insan-insan di sekeliling kita. Teguran dan bebelan seorang ibulah yang banyak mengawal dan mengingatkan kita tentang makna dan matlamat sebuah kehidupan. Saya pernah mendengar dialog-dialog begini :

"Saya berjaya pada hari ini adalah sebab leteran ibu saya." Ungkap seorang remaja.

"Saya peroleh akhlak dan adab, menutup aurat seperti ini adalah kerana mulut bising ibu saya." Kata seorang remaja perempuan.

"Saya bersyukur ustaz sebab ayah tak pernah jemu menegur dan marah saya," kata seorang pakcik, yang menjadi imam di sebuah masjid.

Benarlah bahawa teguran demi teguran yang kita terima adalah hasil daripada kesilapan dan kesalahan diri sendiri yang kita tidak sedar, tetapi orang lain menyedarinya. Atau mungkin kita pura-pura tidak sedar dek diri yang diselubung nafsu dan jauh dari fungsi akal. Saya tertarik dengan kata-kata pemikir Barat, Ralph Waldo Emerson - most of the shadows of this life are caused by our standing in our own sunshine. Dan kita hanya nampak bayang-bayang, jarang benar kita melihat diri sendiri. Kita yang berdiri, tapi yang kita nampak hanya bayang-bayang.

Benarlah bahawa teguran dan kritikan itu merupakan kasih sayang. Dan apabila kita melihat teguran dan kritikan itu sebagai suatu bentuk kasih sayang, pasti akan datang sikap bersangka baik, dan rasa tenang pasti akan perlahan-lahan menyusup dalam kalbu. Bersahabatlah dengan orang yang menegur anda, maka anda akan mengetahui sedikit dari kesilapan anda. Bahkan sayangilah orang yang menegur anda, maka dia akan memberitahu kesilapan anda satu persatu. Teguran dan kritikan itu menghidupkan akal, jika kita melihatnya melalui mata hati.

Tiada teguran, tiada kritikan, yang ada cuma kasih sayang.

Menjadi pendengar yang baik

Tidak dinafikan dengan tekanan hidup yang semakin mendesak, pengetahuan dan kecintaan kepada Allah tidak menguasai suasana hidup, maka kita tidak cukup kuat untuk mengendalikan hati. Apatah kadang-kadang orang yang menegur juga tidak tepat masa dan caranya. Maka cuba melatih diri untuk menjadi pendengar yang setia. Dorong diri untuk bersabar dan menjadi pendengar yang baik. Sikap atau tuntutan pekerjaan untuk kita lebih responsif pada setiap perkara, aktif pada setiap ruang komunikasi, telah melupakan sejenak hak dan peranan untuk kita menjadi seorang pendengar yang baik.

Memang bukan mudah untuk menjadi pendengar yang baik, selain harus memiliki upaya fokus, tumpuan dan eye contact, menterjemah situasi dan keadaan, kita juga memerlukan upaya sabar. Dan kesabaran itu perlu dipupuk dan dibentuk hasil dari hubungan yang mantap dengan Allah, supaya akhirnya kita percaya, bahawa dengan kuasa-Nya juga kita mampu dan boleh menyelesaikan sesuatu perkara. Sabar yang ditunjangi tauhid, akan meletakkan harapan yang cerah dalam diri sebagai seorang musafir perjalanan kehidupan menuju Akhirat.

Jangan sesekali menolak untuk ditegur dan dikritik, dengarlah dengan baik, dengarlah dengan setia, kerana kita mesti mahu orang memahami kita, maka fahamilah orang lain dahulu supaya kita akan difahami - seek to understand then to be understood - dan meletakkan diri pada posisi orang lain, akan memurnikan sistem kepercayaan dan nilai, menjadikan kita lebih memahami erti kejadian, makna kehidupan, kerana matlamat hidup kita tiada lain melainkan untuk menggapai redha Tuhan. Apabila kita menjadi pendengar yang baik dan setia, maka mungkin apa yang ditegur itu tidak benar dan tidak betul, maka tentu orang yang menegur akan lekas pula sedar akan kekhilafannya lantas terpaut dengan kemurniaan sikap dan akhlak kita yang baik, maka jadilah kita insan yang bersaudara kerana-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis riwayat Muslim :

Dari Tamim ad-Dari, bahawa Nabi S.A.W bersabda: "Agama (Islam) itu nasihat." Para sahabat bertanya 'Kepada siapa?' Rasulullah s.a.w bersabda, 'Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada para pemimpin kaum muslimin secara umumnya."

Binalah perubahan bermula dengan diri sendiri. Hanya kita yang mampu membuat perubahan yang lebih baik kepada diri kita sendiri. Setiap hari kita perlu berubah, kerana kita perlu menjadi Muslim yang lebih baik dari semalam. Segalanya terletak pada diri sendiri. Percaya atau tidak, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan seseorang ialah dengan mendengar. Saya suka dengan kata-kata Pengarah Kualiti, syarikat terkenal Motorola ini - i don't sit on top of a mountain and get these visions of what we ought to do, I have to find out from other people. I have to do a lot of listening.

Tiada orang lain, hanya kita, hanya anda. Kitalah punca yang boleh membawa kegembiraan dan ketenangan dalam hidup. Ada orang yang mencari ketenangan dengan bekerja sekuat-kuatnya, berhibur semahu-mahunya, atau seperti di Barat, mengadakan aktiviti-aktiviti yang di luar duga dengan niat untuk mencari ketenangan yang hakiki. Dan kita sebagai Muslim, dalam diri kita ada ketenangan itu. Renung ke dalam diri, lihat dengan mata hati, maka kita akan temui fitrah dan akal, lantas berikhtiarlah untuk mencari ketenangan di sisi Allah atas nama taqwa. Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." (Ar-Ra'du : 11)

Saya akhiri dengan kata-kata David Burns yang dipetik melalui bukunya Intimate Connections - there is only one person who could ever make you happy, and that person is you!

Posted in | 1 Comment

Menulis itu memberi, biar kukuh akar peribadi, supaya kenal siapa diri

Setelah mendapat pelepasan untuk mengisi slot penulisan di USIM, kenangan semasa membimbing calon penulis di bawah Kem Latihan Penulis, PMRAM di Mesir kembali mercup di minda. Saya mengembara ke Mansoura, ke Iskandariah, untuk berbicara seputar penulisan bersama mahasiswa dan mahasiswi Al-Azhar pada ketika itu. Betapa waktu itu saya amat tekun menggulati karya-karya penulis-penulis yang lebih senior, sehingga saya menyediakan satu folder khas di komputer peribadi menempatkan cerpen-cerpen terpilih untuk saya belajar teknik, olahan bahasa, ilmu dan cara penulis mengkritik masyarakat dalam cerpen-cerpen mereka.

Saya amat akrab dengan karya-karya sastera, sehingga dengan penuh ghairah menjejaki karya-karya ulung Sasterawan Negara atau penulis mapan tanah air. Karya-karya seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Seorang Tua di Kaki Gunung, Imam, Salina, Sesegar Nailofar, 1515, dan semua novel berkualiti dan diiktiraf telah saya khatami dan masih agam di cepu fikir. Bagi saya, seorang da'ie yang ingin menulis perlu mengenali sosio-budaya dan jati diri masyarakatnya sebelum memulakan penulisan. Amat penting seorang da'ie mengenali karya-karya Sasterawan Negara dan diiktiraf sepanjang zaman ini, supaya akar sejarah akan mantap membesarkan minda dan mematangkan perjalanan kita sebagai seorang penulis dan juga da'ie. Apabila berada di perantauan, lebih menanam kepuasan dan rasa bersungguh untuk saya kembali mencari akar diri dan peribadi, kembali mencari susur sejarah diri.

Di USIM, hati terasa kembali dikocak kenangan lalu, lantas rasa rindu kembali membuyar. Melihat semangat anak-anak muda, melihat azam dan tekad, melihat niat yang kudus, benar-benar memantulkan sebuah inspirasi untuk saya kembali melihat diri. Saya sedar, bahawa kehidupan yang dilalui hanya sebuah perjalanan yang tidak boleh diulang kembali. Yang paling penting di sepanjang perjalanan itu ialah kita tidak meninggalkan duri-duri, halangan-halangan atau batu-batu yang mencederakan, menyulitkan atau melambatkan orang lain di belakang kita, yang akan mengikuti jalan yang sama. Seperti kata-kata ahli politik dan sasterawan Inggeris, Sir Edward Bulwer-Lytton - to find what you seek in the road of life, the best proverb of all is that which says, "Leave no stone unturned."

Yakin dengan diri sendiri

Setiap orang boleh menulis. Yakinlah dengan diri sendiri bahawa kita boleh menulis. Sebelum yakin kepada diri sendiri, yakinlah benar-benar dengan Allah dahulu bahawa kita mampu. Keyakinan yang utuh kepada-Nya akan menyuburkan keyakinan sebagai seorang "khalifah" dalam diri kita. Kita percaya, bahawa menulis ini adalah tugas khalifah. Salah satu dari tugas khalifah ialah berdakwah dan apabila berdakwah, maka penulisan menjadi amanah yang perlu digalas. Apakah tidak berbekas dalam hati apabila kita melihat penderitaan saudara seIslam kita di sana-sini? Apakah kita tidak mahu melakukan sesuatu apabila melihat kemungkaran yang semakin menjadi-jadi? Apakah cukup kita hanya menjadi penonton terhadap kezaliman yang semakin berleluasa?

Ya, jadikan penulisan sebagai jalan untuk membetulkan segala kepincangan, berkongsi ilmu pengetahuan, supaya kita menjadi seorang Mukmin yang berperanan. Justeru, sila tanya diri, kita tidak boleh atau sebenarnya kita tidak mahu?

Apabila kita memilih untuk menulis, maka kita juga telah memilih untuk menjadi orang yang proaktif dan bukannya pasif. Seorang pendakwah dituntut untuk bergerak dan berperanan dalam segala ruang dan peluang yang diperolehinya, terutama dalam konteks mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Sejarah telah membuktikan bahawa penulisan merupakan medan komunikasi yang kekal dan mampu menghubungkan manusia yang jauh melalui persuratan. Kita juga tidak akan mampu mendalami pemikiran Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Imam Al-Ghazali, Imam Nawawi dan ramai lagi tokoh-tokoh salafussoleh tanpa hasil penulisan mereka. Tulisan-tulisan mereka kekal sehingga boleh dibaca oleh kita pada hari ini. Berbeza dengan bercakap atau berkhitobah, ruang dan peluang untuk didengari terbatas kepada yang mendengar, dan adakalanya apa yang diperkatakan itu, cepat pula dilupakan dan tidak mungkin dapat diulang kembali.

Firman Allah s.w.t :

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." (Ali Imran : 110)

Percayalah sebelum menulis. Percaya kepada diri sendiri. Percaya, bahawa kita ummah terbaik, ummah Rasulullah s.a.w yang sangat dikasihi baginda. Siapa pun kita, yang mungkin buruk pada pandangan orang lain, mungkin rendah taraf pada tanggapan sesetengah orang, mungkin memiliki kekurangan berbanding orang lain, tetapi kita tetap ciptaan-Nya yang terbaik. Mulakan kerja-kerja menulis, letakkan matlamat taqwa, dan kita mungkin tidak berjaya menjadi seseorang di dunia, tetapi semoga kita akan menjadi 'seseorang' di sisi-Nya kelak. Allahumma Amin!

Saya tertarik dengan kata-kata seorang pemikir barat Ralph Waldo Emerson - self-trust is the first secret of success.

Menulis itu memberi

Ikhlaskan niat untuk menulis. Niat yang betul akan menatijahkan sikap yang betul. Seorang penulis sangat penting memiliki sikap yang betul. Melalui sikap yang betul inilah akan membentuk rasa tanggungjawab yang betul dan matlamat yang tepat.

Seorang penulis yang baik, adalah seorang pembaca yang baik. Amat penting seorang penulis memilih bahan bacaan yang berkualiti untuk merangsang pembangunan mindanya ke arah sikap yang betul. Seorang penulis perlu rajin untuk pergi ke kedai buku serta melakukan pelaburan, dan sentiasa bersahabat dengan buku. Seorang pembaca yang baik ialah pembaca yang membaca bukan sahaja mengambil ilmu daripada buku, tetapi juga mengambil ilmu cara penulisan sesebuah buku itu. Malah, dia sentiasa peka tentang buku-buku baharu yang baik dan berkualiti yang berada di pasaran. Hatinya sentiasa ghairah untuk membaca seterusnya membangunkan diri. Kerana dia percaya, bahawa setiap hari dia ingin menjadi seorang Mukmin yang lebih baik!
Memberilah dengan menulis. Menulis itu pemberian di samping menyemai jariah berkekalan di Akhirat kelak. Namun ingat dan berwaspadalah, setiap apa yang kita beri, akan dipersoal pula di Akhirat nanti. Jadilah pemberi yang ikhlas, pemberi yang penuh kasih sayang, seperti rasa kasih seorang ibu menyusukan anaknya. Di sinilah kita akan lebih mengenal diri, memperhalusi niat dan peribadi, supaya perjuangan dan dakwah terus kita muhasabah, biar kekal utuh dalam sanubari. Habuan dan royalti tidak harus menjadi perkara utama, kerana Allah mengingatkan melalui salah seorang lisan Rasul-Nya :

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam." (As-Syu'ara : 109)

Memberilah tanpa mengharapkan balasan, memberilah melalui penulisan, memberilah dengan penuh rasa kecintaan. Jangan takut gagal, kerana orang berjaya itu gagal berkali-kali dan orang yang kalah itu hanya gagal sekali.

Menulis itu memberi, biar kukuh akar peribadi, supaya kenal siapa diri.

Posted in | 1 Comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.