Ayat-ayat Muhasabah Cinta

Dunia yang seperti pelangi, sementara mengindahkan, dan akan pergi.

Aku mendoakan kalian dengan kebaikan dan keelokan dalam segala tingkah dan kata. Dan aku di sini, hari ini, sangat rasa rendah dan hina. Aku hari ini, melihat hujan seperti meluruhkan tombak-tombak berbisa menerjah ke batang tubuh. Aku hari ini, melihat mentari seperti memancarkan jarum-jarum halus melalui sinarnya. Aku hari ini, seperti melihat bulan gerhana dalam tangis dan tawa.

Dan cinta masih begitu, tenang mendamba.

Aku di sini, masih begini, sentiasa ingin memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain, sentiasa ingin mencari rezeki, wang dan harta, yang dalam ruang pencarian itu, sering terleka dan tersadung. Dan barangkali, sukar untuk memberikan kefahaman kepada semua orang tentang itu, tentang rasa, tentang kasih sayang, tentang amanah dan tanggungjawab, tentang ilmu dan tentang pandangan yang Esa.

Dan cinta terus begitu, tenang memuji.

Dan orang juga tidak tahu, betapa kadang-kadang aku terasa diri sedang berpura-pura di hadapan Tuhan, menjadi manusia hipokrit yang pura-pura tidak sedar tentang kebenaran. Dan Tuhan telah berkali-kali memberikan hidayah, tapi alpa dan leka sering mengunci riak dan tingkah. Betapa diri lemah dan hina di sisi-Nya sebagai hamba. Betapa diri ini sering melaungkan kemaafan kepada orang lain dan mendamba maghfirah-Nya sentiasa.

Dan cinta kini dirongrong rindu, akrab.

Betapa pedihnya hati apabila hakku dirampas, dan cuma sedikit terasa kepedihan itu apabila melihat hak orang lain dijarah. Dan sehingga kini aku masih belum mampu menjawab - apakah ini makna kasih yang dituntut Tuhan? Betapa selama ini aku telah lama menyedari, segala apa yang di sekelilingku hanya pinjaman dan tiada suatu pun yang menjadi hak mutlak diriku. Tangan, kaki, mata, telinga dan seluruh anggota adalah pinjaman Tuhan kepadaku. Dan soalan ini sering tidak dapat kujawab - apakah aku mampu membayar kembali pinjaman ini kepada-Nya?

Dan cinta kekal begitu, tenang menanti.

Apalah dayaku, ini adalah soal hati. Yang susah untuk dimengerti dan membuat orang lain mengerti. Ini soal hati, yang bukan mudah berbusa menjadi istimewa, ceria dan menduga. Tuhan, hari ini aku ingin mencapai cintaku, cinta-Mu melalui pinjaman ini. Dan andai aku ditakdirkan mati, aku ingin mati dalam senyum rindu, dalam dakapan cinta-Mu.

Teman, bukankah ceritaku ini, adalah ceritamu jua?

Dan cinta terus subur sendiri,
kerana cinta itu bagiku adalah mati.

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

9 Responses to Ayat-ayat Muhasabah Cinta

Naim berkata...

salam, moga anda bisa genggam cinta itu. Insya-Allah.

@naimisa

amiza khusyri berkata...

Saudara Naimisa,

Terima kasih meninggalkan jejak. Terima kasih sudi membeli-baca Menjadi Bintang.

Amiza Khusyri.

Lumut Pagi berkata...

salam ukhuwah...

Cinta

Jika ia sebuah cinta...
Ia tidak hadir dengan permintaan
Namun ia hadir kerana ketentuanNYA

Jika ia sebuah cinta...
Ia tidak hadir dengan kemewahan dan kebendaan
Namun ia hadir kerana
Pengorbanan dan kesetiaan

Dan jika ia sebuah cinta...
Ia tidak mendengar
Namun ia sentiasa bergetar

-Anony-

amiza khusyri berkata...

Saudari Lumut Pagi,

Terima kasih atas perkongsian sajaknya.

Selamat istiqamah berkarya dan terus memberi manfaat.

Amiza Khusyri.

Asyima Binti Dollah berkata...

Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosa ku...

amiza khusyri berkata...

Asyima,

Ya semoga. Semoga menjadi kaffarah dosa-dosa kita. Amin!

Soghiroh berkata...

Memang sukar diuraikan...lidah tak bisa berbicara sebagaimana hati berbicara. Ya Allah..'genggam'hatiku agar cintaku pd-Mu kekal selamanya.

amiza khusyri berkata...

Saudara Soghiroh,

Saya doakan semoga saudara memiliki Cinta itu, hingga akhirnya, ke negeri yang tiada akhirnya.

Amin.

Soghiroh berkata...

Amin.

Terima Kasih kerana mengalunkan lagu Muhasabah Cinta di blog saudara.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.