Archive for Februari 2009

Blurb Menjadi Bintang

Dunia adalah angkasa, yang maha luas.
Angkasa adalah impian, yang begitu sayup.
Impian adalah bintang, yang tekal mengindahkan.


Amir, pemuda yang sabar, gigih dan penuh misi. Dia cekal mengharungi mehnah dan sentiasa meneguhkan ikhtiar demi cinta dan sebuah persahabatan. Amir menyalakan persahabatan yang hampir padam dengan kandil tabah. Ditemani seorang ibu penyayang dan teman perawan yang baik budi, dia betah meneruskan perjuangan. Amir ibarat mata hati pemuda Kemboja yang semakin tersasar dari landasan manusiawi. Dia membulatkan azam, membangunkan sebuah mercu di bumi Kemboja, menggalas impian ayah yang sentiasa menyala. Dibayangi kasih ibu, sokongan warga Kemboja, dan demi persahabatan yang selalu dirindu, dia nekad ingin menjadi bintang!

"Karya pertama yang mengujakan."

Nisah Hj. Haron, Penulis

"Mengalir air mata juga bila mengenangkan pengorbanan ibu. Puas membacanya dan Amir memang kental pendirian."

Noorliza Mohamad, Guru

"Suasana kampung sangat mengesankan. Menjadi Bintang begitu jauh meninggalkan Sejernih Salsabila."

Khairun Nisak Munzir, Pegawai Kewangan

Posted in | 2 Comments

Mari Menjadi Bintang



Kerana Tuhan
yang sentiasa saksama
menjadikan bintang
untuk semesta
dalam tafakurku
merenungi diri

Dunia
adalah mandala uji
untuk mengukur
tahap iman
dan niat hati




Menjadi Bintang

seperti impian
yang sayup
di tengah-tengah angkasa
yang maha luas
buatku akur
kepada cinta tinta
mengagungkan Tuhan
dalam puing dosa.

AKO : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Akhirnya novel pertamaku muncul jua. Terima kasih kepada sekalian yang sabar menantinya. Moga diterima dengan segala kekurangan tintanya.

Posted in | 9 Comments

Novelis?

"Za, kau dah jadi novelis?" Pakcik Muhsin bertanyaku semasa sedang beriringan berjalan ke masjid.

Aku tersengih. "Alhamdulillah. DBP terbitkan." Pandanganku menyeluruhi tampang pakcik Muhsin.

"Cintan-cintun ke, Za?" Mata pakcik Muhsin jadi kecil.

"Sikit pakcik. Bumbu cerita, sebab cinta tu fitrah." Aku tersenyum tenang. Walaupun dalam hati libang-libu, tak tahu bagaimana respons pembaca nanti.

"Apa judulnya?" Suara pakcik Muhsin perlahan.

"Judulnya Menjadi Bintang, tapi Perak dah tak berbintang, sebab bulan dah tak bercahaya pakcik." Aku mengeluh.

Pakcik Muhsin telan liur.

"Jaga-jaga Za, cintan-cintun sangat pakcik tak nak baca." Pakcik Muhsin tersenyum sinis. Aku hanya tersengih membalas.

Dan kami pun masuk ke masjid dengan langkah kanan dan iringan doa.

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.