Menyusuri Kepahlawan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib

Bahagian I

“Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia.”


Oleh Amiza Khusyri Yusof
www.amizakhusyri.blogspot.com

1. Kenapa saya memilih buku ini?

Tidak sukar untuk saya membuat pemilihan di antara puluhan karya Abdul Latip Talib. Rasa buncah dan marah yang meluap-luap dalam hati terhadap Yahudi Laknatullah menyebabkan tangan saya ringan untuk mengelek buku ini pulang ke rumah ditunjangi rasa tanggungjawab dan amanah.

Saya teringat firman Allah, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dengan kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.” (Al-Baqarah : 120)

Ayat yang saya hafaz sejak di bangku sekolah ini sentiasa menjadi pedoman dan penggoncang semangat untuk terus mengangkat martabat agama Islam ke tempat yang tinggi, yang dijanjikan Allah dengan segala kemuliaan.

2. Kenapa Salahuddin Al-Ayyubi?

Salahuddin merupakan seorang pahlawan Islam unggul yang dikenang sepanjang zaman. Salahuddin pernah menggemparkan dunia dengan membebaskan Baitul Maqdis, Palestin dari cengkaman kezaliman Tentera Salib dan memerintah Empayar Ayyubiah dari Mesir ke Yaman.

Keperwiraan Salahuddin ini, saya yakin adalah hasil daripada keikhlasan hati, cinta dan kasih kepada agama-Nya dan beliau sesungguhnya menadabbur firman Allah, “Maha Suci Dia (Allah) yang memperjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad) pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati kawasan sekitarnya agar Kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Bahawa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.” (Al-Israk : 1)

Kemudian Sultan Salahuddin terus berucap, “Berperanglah dengan bersungguh-sungguh kerana kita mahu memenangi peperangan ini. Hajat kita bagi menawan Baitul Maqdis tidak tercapai sekiranya kita tewas dengan pihak musuh. Laluan kita bagi menawan Baitul Maqdis terbentang luas apabila berjaya menewaskan musuh,” kata Sultan Salahuddin bin Ayubi. (Bab 19, Halaman 212)

3. Kepahlawanan Salahuddin Al-Ayyubi di tangan Abdul Latip Talib

Abdul Latip bin Talib dilahirkan di Kampung Ulu Seperi Rembau Negeri Sembilan pada 2hb Jun 1954, pernah bekerja sebagai pegawai ladang FELCRA selama 20 tahun dan kini merupakan penulis sepenuh masa. Beliau menulis dalam pelbagai genre seperti sajak, cerpen, rencana, drama tv dan novel. Sehingga kini telah menghasilkan 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kini menumpukan penulisan novel sejarah dengan PTS. Antara karya yang telah diterbitkan Salahudin Penakluk Jerusalem 2007, Khalid Memburu Syahid 2007, Ikramah Penentang Jadi Pembela 2007, Tariq Menang atau Syahid 2007, Si Bongkok Tanjung Puteri 2007, Setelah Roboh Kota Melaka 2007, Abu Bakar Sahabat Sejati 2008, Sultan Muhamad al fateh 2008, Leftenan Adnan Wira bangsa 2008, Hikayat Amir Hamzah jilid 1, 2 dan 3 2008. Ketekalan beliau menghasilkan karya telah melayakkan beberapa buah karya beliau merangkul pelbagai anugerah. Antaranya Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Sayembara Cerpen Perpaduan, Hadiah Sastera Utusan dan Sayembara Cerpen dan Puisi Negeri Sembilan. Novel Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Randau Ruai memenangi Sayembara Menulis Novel Sarawak 2005 dan terbaru novel sejarah Perang Jementah dan datuk Moyang Saleh memenangi hadiah sayembara menulis novel sejarah Johor 2007. Abdul Latip yang kini menetap di Jelebu Negeri Sembilan pernah menerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dalam genre cerpen dan esei. Dan sekali lagi pada tahun 2007 dalam genre novel remaja. Beliau dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2007.

Karya ini digarap dalam bentuk kreatif dan memperlihatkan kelainan daripada karya-karya yang lain. Apabila membaca cerita Salahuddin dalam bentuk kreatif, ia akan memikat pembacaan hingga akhir bab. Berbeza apabila membaca karya sejarah non-kreatif yang memerlukan iltizam dan ketekunan yang konsisten.

Kepahlawanan Salahuddin diperlihatkan melalui dialog-dialog dan babakan-babakan yang menarik. Naratif yang bermula dari kisah Salahuddin sebagai seorang panglima, diikuti plot peperangan sehingga Salahuddin bergelar panglima dan pemerintah. Perjalanan plot yang ditampilkan melalui dialog dan babakan benar-benar memperlihatkan keterujaannya yang tersendiri.

Apabila kita menyelak dari bab ke bab, kita akan membaca judul-judul bab yang menarik dan bait-bait kata hikmah dan hadis yang membangkitkan keterujaan meneruskan bacaan.

Baca lagi di blog A. Latip Talib

AKO : Kertas kerja ini dibentangkan sempena Majlis Bicara Tokoh & Karya PEN pada 18 Januari 2009 di Balai Ilmu, Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban.

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.