Menyusuri Kepahlawan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib

Bahagian II

4. Karya yang melahirkan kecintaan dan kesedaran

Jika kita memilih untuk membaca buku ini, maka sebenarnya kita telah memilih untuk meningkatkan kefahaman tentang sejarah Islam dan menyemarakkan ruh cinta dan kesedaran kepada jihad. Karya ini akan mencetuskan keinginan dan kemahuan yang luar biasa ke atas pembebasan Palestin, bumi yang dijanjikan Tuhan keberkatan dan rahmat. Kita akan melihat segala sengsara dan keperitan rakyat Palestin sebagai penderitaan jiwa kita juga sebagai umat yang bersaudara.

Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Ali Imran : 103)

Karya ini mengajak kita kembali menyelongkar sirah Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam. Islam tidak memerlukan ketumbukan tentera yang ramai, tetapi kekuatan iman dan kecintaan kepada syahid untuk menumbangkan musuh-musuh agama Allah.

Selepas berdiam diri seketika, maka Salahuddin pun bersuara, “Dalam perang Badar, tentera Islam yang hanya seramai 313 orang berjaya mengalahkan tentera musuh yang berjumlah seribu orang. Dalam perang Muktah yang juga berlaku pada zaman Rasulullah, tentera Islam yang berjumlah tiga ribu orang tidak dapat dikalahkan oleh tentera Rom yang berjumlah dua ratus ribu orang. Apakah rahsianya?” (Bab 1, Halaman 3)

5. Kualiti VS Kuantiti

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud :

“Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.” Ada yang bertanya, “Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?” Nabi SAW menjawab: “Bilangan kamu pada ketika itu ramai, tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-Wahn dalam hati kamu.” Ada yang bertanya: “Apa al-Wahn itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Cintakan dunia dan bencikan mati.”

Kenapa umat Islam kini dengan mudah ditawan, dijajah dan dikeji sesuka hati? Kenapa tidak hadir dalam hati rasa kecintaan terhadap saudara seIslam yang lain seperti satu jasad? Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Doktrin sekularisme sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di tangan Mustafa Kamal Atarturk pada 1924, semakin kukuh berakar umbi dalam jiwa setiap pemimpin negara Islam. Akhirnya umat Islam tidak memiliki semangat jihad dan cintakan syahid, malah menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

“Walaupun bilangan tentera Islam ketika itu tidak ramai dan senjata yang mereka miliki serba kekurangan tetapi mereka benar-benar yakin yang berperang menentang musuh itu mendapat keredaan Allah. Mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa mereka hanya kerana Allah.”
(Bab 1, Halaman 4)

“Kami berperang dengan tentera yang mencintai mati, sebagaimana kami mencintai hidup,” jawab mereka. (Bab 21, Halaman 234/235).

6. Membentuk Angkatan Ghuraba

Dari Abu Hurairah RA bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda, “Bermulanya Islam itu asing dan akan kembali asing sepertimana ianya bermula maka berbahagialah golongan yang asing.” (Muslim : 370, Ibnu Majah : 3986)

Tiupan semangat jihad jelas ketara dalam novel ini. Ini dapat dilihat sejak dari awal bab apabila diperlihatkan watak Salahuddin yang amat cintakan jihad dan kiblat pertama umat Islam; Palestin. Kecintaan kepada kesyahidan jelas terpancar dan kesedaran penulis menebar mesej jihad di dalam karya sangat dipuji.

Dan berperanglah di jalan Allah dengan memerangi mereka yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Al-Baqarah : 190)

“Kamu tahu apa makna jihad?” tanya Salahudin. “Usaha yang bersungguh-sungguh bagi mendapat keredaan Allah,” jawab Panglima Muluk.
(Bab 1, Halaman 3)

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya di Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.” (Al-Anbiya : 105)

Ayat ini menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya. Kejayaan besar bagi umat Islam adalah melalui Amal Islami; pengamalan Islam secara syumul dan jitu dalam kehidupan. Asas kepada segala kejayaan adalah ketakwaan dan tawakal yang tinggi kepada Allah.

“Pada waktu malam, mereka beribadat sepanjang malam dan pada waktu siang, mereka bagaikan singa lapar,” balas Raja Reymond pula. (Bab 18, Halaman 204)

Novel ini secara halus berjaya menerapkan kecintaan kepada perjuangan menegakkan Kalimatullah, menyemarakkan roh jihad dalam diri setiap pembacanya. Secara jujur, karya-karya sebegini wajar dimiliki oleh setiap individu Muslim, terutamanya pemuda-pemudi Islam. Andai suatu hari, panggilan jihad fisabilillah mempertahankan agama itu menjadi wajib pada saat karibnya Yaumussa’ah, maka segala yang tergambar di dalam novel ini, ditunjangi sirah agung Rasulullah SAW, akan mercup dalam hati sanubari kita.

Karya ini adalah sebuah naskhah wajib baca!

Air Mata Anak Palestin

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

2 Responses to Menyusuri Kepahlawan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib

ABDUL LATIP berkata...

Novel Salahudin al Ayubi Penakluk Jerusalem ini sejak dicetak awal tahun 2007 telah diulangcetak beberapa kali dan mendapat tempat teratas dalam carta jualan buku umum PTS di MPH Alamanda Januari 2009. Alhamdulillah.

jimie1402 berkata...

Saya pun dah baca karya ini dan memang best!
Boleh naikkan semangat jihad utk yg pergi berperang!
=)

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.