Archive for Oktober 2004

Aku dan tiga orang budak Arab

Tiga orang budak Arab minta sedekah. Aku pun bagi 0.25 Kirish. Tiga orang budak Arab, minta lagi. Aku kata, cukuplah. Tiga orang budak Arab, buat-buat tak faham, dan minta lagi. Aku geleng. Masuk asrama dan tutup pintu depan.

Aku dengar bunyi bising-bising di pintu depan. Aku yang sudah sampai di tingkat satu turun semula. Aku lihat - tiga orang budak Arab, goyang-goyang pintu depan, sambil cuba buka-buka.

Aku terkejut. Darah radang gesit meruap naik ke kepala. Aku buka pintu, dan herdik tiga orang budak Arab :

"Kau orang ni tak faham bahasa ke?" [walaupun aku tahu yang mereka ni memang tak faham bahasa!]

Tiga orang budak Arab, lari terpisat-pisat. Buat muka tak bersalah. Pula tu - seorang dari tiga orang budak Arab sempat mencebik-cebik.

Aku geleng. Ramadan oh Ramadan... :D

ii.

Semasa ralit menjawab soalan untuk sebuah wawancara, aku terjumpa laman BESt yang berkonsepkan sebuah e-majalah sastera. Di bawah ini petikan suara editornya :

Saya mahu memulakannya dengan kisah benar. Ia tentang Fulton, si artis dan jurutera hebat itu. Dua ratus tahun lepas, Fulton berjaya mencipta kapal wap. Dia memperlihatkan hasil kerjanya di Sungai Hudson. Beberapa orang berkata, kapalnya tidak akan berfungsi. Lalu, enjin dihidupkan, dan perlahan-lahan air Sungai Hudson dibelah kapalnya. Melihat kapal wap Fulton mula bergerak, mereka menjerit, "Kapal anda tak akan berhenti!" Lalu, Fulton memberhentikan kapalnya. Selebihnya menjadi sejarah - 14 Ogos 1807, kapalnya berjaya belayar dari Albany ke New York.

Orang yang berfikiran positif selalu menjadi insan besar dalam sejarah. Kalau diberikan pilihan, antara dua golongan di atas, anda di pihak yang mana? Jawab soalan ini dahulu sebelum anda memberi pandangan tentang BESt.

Kelahiran BESt yang berkonsepkan e-majalah, harus disambut dengan pandangan yang positif. Dalam mandala maya Malaysia, selain mengisi kekosongan, BESt bolehlah dikatakan majalah sulung yang memperkatakan sastera seratus peratus dengan cara sastera. Sebagai yang sulung, BESt mempunyai satu tanggungjawab, sekurang-kurangnya dalam hal membina tanggapan positif khalayak tentang sastera siber. Lalu, bagaimana BESt boleh melaksanakan hal ini?

- Mohd. Lutfi Ishak

Gelandangan ke BESt

Leave a comment

Pakej Pengajian Sebulan di Madrasah Ramadan

Tempoh pengajian : 30 hari
Sesi pengajian : 3 sesi
Objektif : Takwa

Sesi pertama : Rahmat
Tempoh : 10 hari pertama Ramadan

Sesi kedua : Maghfirah
Tempoh : 10 hari kedua Ramadan

Sesi ketiga : Pembebasan dari api neraka
Tempoh : 10 hari ketiga Ramadan

Bonus pengajian :

*Lailatul Qadar
*Solat sunat Tarawih
*Halaqah tadarus al-Quran
*Tahajud

"Siapa yang beramal kerana Ramadan, Ramadan akan berlalu pergi, tetapi siapa yang beramal kerana Allah, Allah itu kekal hidup dan tidak akan mati.."

Memo : Tahniah kepada yang berjaya mengkhatami sesi pertama di Madrasah Ramadan. Selamat meneruskan pengajian dalam sesi yang kedua! :)

Leave a comment

Lupa nak kongsi dengan kalian berita dunia semalam. Oleh kerana aku sibuk dengan mustaid studi, jadi aku paparkan sahaja isu ini untuk kalian ladeni :

1] John Kerry janji ajar negara Arab untuk Israel

2] Calon Demokrat diisytihar murtad

Nota hujung :

1] Alahai.. beginilah nasib negara-negara Arab.

2] John Kerry dan George W. Bush - mana satu menjadi pilihan?

Firman Allah :

"Tak akan reda selama-lamanya Yahudi dan Nasrani kepada kamu, sehingga kamu mengikuti agama mereka.."

Leave a comment

OP yang saya kenali

Semalam genaplah setahun pemergian Sasterawan Negara Othman Puteh [OP] ke Rahmatullah. Saya tidak pernah mengenali beliau secara langsung. Sekadar mendengar namanya yang acap kali disebut guru Bahasa Melayu di sekolah menengah, di samping menatap tulisan-tulisannya di dada-dada media terutama majalah Dewan Siswa. Malah, buku Landasan Kreatif Penulisan Cerpen tulisannya menjadi inspirasi dalam pembangunan karya saya dan digunakan sebagai panduan penulisan kertas kerja saya untuk seminar penulisan seputar Mesir.


Allahyarham Sasterawan Negara Othman Puteh pulang ke Rahmatullah pada hari Ahad, 19 Oktober 2003 di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah, selepas diserang sakit jantung ketika menghadiri program baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmunah di Kota Kinabalu.

Allahyarham Dr. Othman Puteh meninggalkan seorang balu, Timah Baba, 55 dan lima orang anak, Hizairi, 33, Haizulsham, 31, Mohd Hafiz 28, Sadhila, 26 serta Marini, 24.

Beliau yang banyak memberi sumbangan dalam dunia sastera tanah air khususnya dalam bidang penulisan cerpen kanak-kanak dan remaja merupakan tokoh yang terbabit dalam mengendalikan bengkel Minggu Penulis Remaja [MPR] anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP] sejak beliau masih lagi berkhidmat di UKM.

Novel sulung Allahyarham berjudul Rahsia Hutan Dara diterbitkan pada 1974 dan sehingga kini sudah menghasilkan 30 novel kanak-kanak dan remaja di samping mempunyai antologi cerpen termasuk Matra, Tasik dan Laut. Allahyarham juga sering dipilih sebagai panel penilai sayembara anjuran pelbagai institusi termasuk peraduan menulis Novel Sejarah [1980] dan Novel Fiksyen Sains [1981].

Antara peserta bengkel MPR di bawah asuhan Allahyarham yang berjaya mencipta nama dalam dunia sastera tanah air ialah Uthaya Sankar SB yang terus mencatat kecemerlangan dalam berkarya sehingga kini. Malah, beliau merupakan seorang sasterawan yang akrab dengan penulis-penulis muda dan sering menyatakan kegusaran dan kegelisahan beliau terhadap perkembangan sastera tanah air. Keprihatian Allahyarham OP terhadap perkembangan pengkaryaan penulis muda sama ada yang dalam asuhannya ataupun tidak, begitu mempesonakan.

Artikel Editor Dewan Sastera dalam Mingguan Malaysia Oktober 2003 ini telah membuktikannya - antara penyair muda yang dihormati bakatnya ialah Zaen Kasturi. Penulis pelbagai kaum yang disenangi bakat dan kesantunannya ialah Seroja Theavy. Ketokohan, keberanian dan pandangan jauh Samsiah Mohd. Noor bertindak menerbit sendiri novelnya sehingga berjaya diulang cetak lebih daripada sepuluh kali membuatkan Allahyarham kagum - katanya kalau dia masih muda dia juga akan berbuat demikian untuk sastera zaman kini. Mohd. Saleeh Rahamad sebagai pengkaji muda sastera yang tekun dan serius dalam profesionnya - di bahunya diletakkan harapan untuk menilai kedudukan sastera tanah air. Siti Jasmina Ibrahim yang menubuhkan syarikat sendiri bersama temantemannya membuka matanya bahawa sastera akan mampu hidup sampai bila-bila jika ada ramai lagi orang seni seperti mereka. Zainal Rashid Ahmad dan S.M. Zakir cerpenis muda yang berbakat besar buatnya. Begitu juga, tentang kehebatan Faisal Tehrani dengan novel 1515, kebisuan Mawar Shafei dalam penghasilan karya dan banyak lagi harapan dan pandangan beliau.

Prinsip beliau dalam sastera menyedarkan saya - bahawa Allahyarham seorang yang memiliki iltizam dan kekuatan jiwa yang tinggi :

"Hidup ini memang takkan lari daripada masalah. Kalau tak ada masalah, bukan namanya kehidupan. Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya."

Apa lagi yang boleh saya ceritakan? Melainkan melahirkan rasa dukacita saya terhadap pemergian Allahyarham buat selama-lamanya. Nukilan ini sebagai penghargaan dan apresiasi diri terhadap jasa dan budi Allahyarham, yang tidak ternilai!

Al-Fatihah!

Leave a comment

Maklumat mengenai kematian warga Malaysia di Mesir 1 Ramadan lalu boleh dibaca di Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini.

Terima kasih untuk semua ucapan tahniah daripada rakan-rakan pengunjung - AmirMukhriz, Dahrie, Damanhuri, Akhi Faizul, Jiwarasa, Us. Zaid, Saln9, dee, kak Mardhiah12, Tok Rimau dan semua yang mungkin sekadar melafaz di mulut. Aku menghargainya! :)

Selamat berpuasa, berbuka, bertarawih dan bertadarus! :D

Leave a comment

i.


Ini gambar-gambar mangsa yang terbunuh dalam tragedi pembunuhan rakyat Malaysia di Mesir satu Ramadan lalu. Di sebelah kanan, adalah warga Indonesia yang disyaki membakar-bunuh mangsa-mangsa dengan kejam. Yang boleh berbahasa Arab, silakan membaca berita mengenainya di akhbar el-Akhbar.

ii.

"Sastera siber sebenarnya mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Kemunculan beberapa orang penulis generasi baru kita telah membuktikannya. Lihat saja Ghafirah Idris yang baru saja memenangi tempat pertama untuk kategori cerpen eceran bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan untuk tahun sudah.

Malah karya-karya beliau banyak mendapat tempat di beberapa akhbar atau majalah lain dalam dunia sastera arus perdana. Beliau bermula dengan sastera siber. Giat menghasilkan cerpen, dan segera hantar untuk tujuan siaran dan bersedia menerima kritikan bersama rakan penulis lain di alam siber.

Nimoiz TY juga begitu, bermula dengan sastera siber sebelum mendapat tempat dalam sastera arus perdana. Pernah memenangi hadiah utama kategori puisi Hadiah eSastera.com (HeScom 2003) anjuran laman eSastera. com melalui sajaknya, Jalan Baru yang tersiar di laman eSastera.com dan berpeluang mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Amiza Khusyri, antara nama baru yang mula menonjol, sekarang berada di Asia Barat menghabiskan baki kuliahnya, juga bermula dengan sastera siber. Cerpen beliau mendapat hadiah ketiga dalam Sayembara Karya Kreatif Negeri Sembilan anjuran Persatuan Penulis Negeri sembilan (PEN) baru-baru ini."


Beberapa nama lagi disebut di dalam esei tulisan saudara Mohd. Dahri Zakaria di ruangan Sastera, Mingguan Malaysia hari ini. Terima kasih dan syabas buat beliau. Gelandangan ke Sastera siber karya kelas dua?

iii.

Cerpen aku Mentari Mediterranean tersiar di Berita Minggu hari ini. Cerpen itu digarap berlatarkan pantai Mediterranean di kota Iskandariah, Mesir. Seolah-olah melengkapkan lagi artikel saudara Mohd. Dahri itu. Tak sangka, selepas seminggu penghantaran, karya tersebut terus dipilih untuk disiarkan. Terima kasih buat sidang editorial ruangan Sastera dan Budaya, Berita Minggu. Tuhfah Ramadan al-Mubarak buat aku, dan tuhfah Ramadan al-Mubarak buat tatapan warga Malaysia! :)

Leave a comment

Tragedi Oktober : Masihkah ada Ramadan hari esok?

15 Oktober [1 Ramadan], Haiyyu A'syir - Sekeluarga rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan Haiyyu Asyir meninggal dunia hari ini. Mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Zaki Ayub merupakan seorang usahawan dan pengurus sebuah kafe siber dan restoran makanan ditemui mati di rumahnya hari ini bersama kecederaan di bahagian kepala dan tanda kelar di leher mangsa. Isterinya Nur Hayati Bukhari yang merupakan graduanita Universiti Islam Antarabangsa bersama 2 orang anaknya yang masing-masing berumur 8 bulan dan 4 tahun ditemui rentung, disyaki dibakar hidup-hidup. Mangsa-mangsa dilaporkan dibakar-bunuh ketika orang ramai sedang sibuk pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Mangsa Mohd. Zaki hanya terbakar di bahagian bawah tubuh dan memudahkan pihak berkuasa mengenali dan mengecam kecederaan mangsa. Manakala, Nur Hayati bersama anak-anaknya ketika ditemui telah rentung sepenuhnya. Mereka didakwa dibakar bagi menghilangkan kesan-kesan jenayah yang dilakukan dan disyaki jenayah ini memang sudah dirancang dengan teliti dan berhati-hati.

Saksi melaporkan, ketika mayat Nur Hayati yang rentung dan keras diusung keluar, dia kelihatan seperti memeluk anaknya. Khabarnya, mereka juga berhajat dan telah merancang untuk pulang akhir tahun ini setelah 5 tahun tidak kembali ke tanah air. Kedua-dua anak mangsa juga didakwa tidak pernah bersua dengan datuk dan nenek mereka.

Motif pembunuhan masih di dalam siasatan.

Sumber : Akhbar al-Wafd, Cairo.

Nota hujung :

1] Al-Fatihah untuk roh-roh mangsa, moga dicucuri rahmat di awal Ramadan ini.

2] Introspeksi : Masihkah ada Ramadan hari esok buat kita?

Leave a comment

Semasa belum pun masuk puasa

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk fasal raya. Sudah mula merancang-rancang untuk bertemu di hari raya. Tapi kenapa tak merancang untuk bertemu dan sama-sama menikmati juadah berbuka puasa?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk nak buat kuih raya. Sudah mula merancang-rancang nak buat kuih raya jenis apa. Tapi kenapa tak rancang, bulan puasa ni nak tambah ibadah apa?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah tertanya-tanya bila tarikh hari raya. Tapi kenapa tak tertanya-tanya - tarawikh bulan puasa ini penuh atau tidak tertunainya?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk bajet duit beli baju raya, beli benda-benda perhiasan rumah. Sudah mula merancang-rancang isi angpow nak beri kepada saudara-mara. Tapi, kenapa tak muhasabah bajet untuk zakat fitrah dan zakat harta?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah mula sibuk buka-buka kad raya. Nak diberi untuk kekasih, handai dan sanak saudara. Tapi kenapa tak buka-buka Quran, baca dan ambil teladan Quran dinuzulkan di bulan puasa?

Belum pun masuk bulan puasa, orang dah sibuk nak berhari raya. Tapi, kenapa tak sibuk buka kitab, kejar pahala ibadah berganda yang hanya sebulan di bulan puasa?

Salam Ramadan Kareem. :)




Leave a comment

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan

Singgah ke kafe siber malam ini selepas bertungkus lumus mencatat minit [dilantik sebagai S/U Sidang] dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bakans malam ini [12 September]. Bukan apa, antara perkara yang paling aku tak suka bila mesyuarat agung ialah dilantik S/U Sidang. Iyalah, bila dah dilantik jadi S/U aku terpaksa menulis segala fakta penting tanpa henti dan memberikan fokus yang tinggi terhadap perjalanan mesyuarat. Tapi entah macam mana, hari ini aku boleh akur dan reda pula. Sumbangan terakhir insya-Allah.

Kesihatan semakin pulih. Alhamdulillah. Suara pun bukan macam burung tekukur lagi. Cuma sengau-sengau lunak gitu. :p Peperiksaan tasfiah satu subjek aku juga semakin dekat. Amiza kini sedang berusaha. :D

Ramadan pula semakin karib. Bulan mulia bulan maghfirah. Bulan berkat, bulan rahmat. Ramadan Kareem diucapkan buat semua sahabat-sahabat dan teman-teman pembaca AKO.

Bawah ni artikel terakhir aku sebelum pulang untuk mahasiswa al-Azhar dalam arena sastera dan penulisan di bumi Kinanah. Saja nak kongsi dengan teman-teman pengunjung. Silakan menggagau. :)

ii.

Jalan yang kian suram

Oleh Amiza Khusyri Yusof

Pengalaman saya mengikuti bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi [Kepezi] 2003 bersama Almarjan Yusoff yang lalu, para peserta perlu menyediakan cerpen terlebih dahulu untuk dibedah moderator. Cerpen saya bersama lebih kurang 11 orang peserta dari pelbagai lapisan umur telah dibedah oleh dua orang penulis berpengalaman - Nisah Hj. Haron dan Mohd. Nazmi Yaakub serta diakhiri dengan komentar penulis besar Zaharah Nawawi sendiri. Semua peserta juga dikehendaki memberikan komentar terhadap cerpen-cerpen rakan tanpa seorang pun yang terkecuali. Resolusi bengkel tersebut hakikatnya telah membuktikan kepada saya bahawa penulisan perlulah lahir dari kehendak diri, disiplin, kesungguhan dan iltizam yang jitu.

Seingat saya sepanjang tahun ini, saya sudah dijemput sebanyak 5 kali untuk membentang kertas kerja dan mengendalikan 3 buah bengkel cerpen seputar penulisan kreatif ini. Semuanya di bawah anjuran Kelab Karyawan Kelantan [Keris], Akademi Karyawan Bakans [Akrab], Akademi Karyawan Mansurah [Akar], UPP Iskandariah dan juga anjuran PMRAM sendiri di bawah Kem Latihan Penulis [Kelap]. Sepanjang tempoh itu, sejujurnya saya lebih selesa mengendalikan bengkel dari semata-mata pembentangan kertas kerja.

Saya kira, antara bengkel cerpen kendalian saya yang memberi efek paling positif ialah bengkel anjuran Akar Mansurah yang dihadiri sekitar 8 orang peserta di kalangan perawan itu. Mereka telah membuktikan keazaman dan kesungguhan masing-masing dengan menghantar cerpen lewat bengkel Kelap 19 Julai lalu. Saya telah menemukan bakat-bakat baru yang jitu komitmen melalui tiga sekawan ini - Mahizam, Siti Rohana dan Noraini, yang wajar diberi perhatian oleh Akar Mansurah. Kepentingan melazimi penulisan selepas karya pertama, kedua dan ketiga perlulah didedahkan kepada mereka.

Selain daripada mereka, saya juga menemukan Syarifah Salha Syed Ahmad yang berpotensi menjadi penulis menjanjikan. Cerpen pertamanya yang pernah saya baca ialah semasa Bakans menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif, meskipun sebelum itu Salha pernah mengutusi saya untuk bertukar-tukar maklumat dan info dunia sastera lewat e-mel. Saya agak terpesona dengan kesedaran yang dimiliki penulis ini, di samping kekuatan imaginasi dan keberaniannya untuk meneroka persoalan-persoalan baharu dalam karya. Tidak hanya terkongkong dengan tema percintaan dan kekeluargaan yang agak merimaskan. Cerpen keduanya yang saya bedah semasa bengkel Kelap 19 Julai lalu telah menunjukkan Salha adalah seorang penulis yang wajib diberi perhatian.

Nama Faizah Herda pula saya dengari semasa nama itu dicadangkan Hewi PMRAM untuk menjadi pendamping dalam bengkel Kelap tahun ini. Saya pernah membaca cerpennya sepintas lalu di Yahoogroups Adabuna [jaringan maya penulis Timur Tengah]. Kemudian, cerpen keduanya saya lumati semasa sesi pembedahan cerpen moderator Kelap di Rumah Negeri Sembilan. Faizah Herda saya kira memiliki kekuatan bahasa dan seorang yang sensitif dengan isu semasa. Faizah nampaknya lebih selesa mengangkat latar luar negara di dalam karyanya. Kemestian yang perlu ada pada diri penulis yang tidak hanya terpagar dalam dunia yang sempit dan rimas. Saya kira, Faizah Herda bisa melangkah lebih jauh sekiranya sentiasa melazimi penulisan dengan cermat tanpa letih. Beliau telah yang saya tinggalkan dengan pengalaman sebagai pendamping buat menjamin kesinambungan sastera di bumi Kinanah selepas ini.

Semasa mengendalikan seminar sehari Kelap, saya mengenalkan Noorshibaaiyah Sharipudin yang memiliki kekuatan bahasa yang mengejutkan. Meskipun apa yang saya baca itu hanyalah hasil coretan imaginasinya dari segelas air [modul Kelap waktu itu], tetapi saya dapat mengesani bakat dan potensinya yang agak mempesonakan dalam penulisan kreatif ini. Jika beliau sentiasa melazimi penulisan meski sibuk dalam ripuh-geger dunia mahasiswa, sudah tentu nama ini juga mampu diketengahkan sebagai seorang penulis menjanjikan.

Nama-nama ini pula mungkin antara calon penulis teruna yang saya kira tidak boleh dipandang remeh. Mohd. Zaki, calon penulis dari Johor ini saya kesani bakatnya lewat bengkel cerpen Kelap yang lalu. Beliau memiliki sensitiviti dan sifat ingin mencuba yang memegunkan. Begitu juga dengan Hafiz Noramli juga dari Johor, calon penulis yang saya kira memiliki potensi mengagumkan dalam genre puisi dan cerpen. Meneliti bahasanya yang lancar dan menarik, beliau mampu melangkah lebih jauh lagi jika sentiasa menulis, mengkaji dan menggulati sastera. Begitu juga dengan nama Omar Md. Rasib dari Negeri Sembilan yang tekun dan mudah dibimbing. Membaca cerpennya berjudul Aku dan Onn membuktikan beliau memiliki kekuatan imaginasi lewat karyanya.

Seorang lagi calon penulis yang menjanjikan dalam genre puisi dan mungkin tidak dikenali di kalangan penulis Malaysia di Mesir tetapi semakin dikenali di kalangan penulis tanah air ialah Norsuriana Abd. Razak dari Iskandariah, yang pernah memenangi tempat pertama dalam Sayembara Penulisan Kreatif Bakans bagi genre puisi [saya kesani bakatnya melalui sayembara tersebut]. Puisinya yang saya lumati di komuniti penyair siber esastera telah menjadi 'puisi pilihan' dalam laman itu, menjadikan beliau seorang penulis yang wajib diperhatikan. Sikap melazimi penulisan dan berani mencubanya perlu dicontohi oleh setiap penulis-penulis perawan Malaysia di Mesir ini.

Saya lebih gemar memulakan bengkel atau seminar dengan agak tegang dan keras. Sebenarnya lebih mengingatkan peserta, bahawa jalan yang perlu disusuri masih jauh dan berliku. Jalan itu hendaklah disusuri dengan kehendak diri, usaha dan tekad yang kuat. Kemudian, barulah saya lebih selesa berbengkel dengan sedikit kecindan dan diakhiri dengan buah-buah harapan. Antara pesanan terakhir saya sebelum majlis usai ialah mengharapkan agar calon penulis bersedia menerima kritikan dan terjahan di medan bengkel. Meyakini bahawa kelembutan dan belaian itu tidak selamanya benar. Dan, bukanlah seorang penulis sekiranya lahir daripada belaian dan usapan lembut seorang pembimbing.

Saya berikan analogi mudah berdasarkan sejarah - Shih Huang Ti yang memimpin Dinasti Chin [kurun ke - 3 S.M.] menggunakan kekerasan untuk menyatukan seluruh rakyatnya. Sehingga selepas kematiannya, rakyat China telah kembali kepada keadaan porak dan kucar. Saya bukanlah berharap agar calon penulis di bumi Mesir ini memiliki kekerasan dan kezaliman Shih Huang Ti, tetapi sifat sastera sebenar-benarnya adalah keras dan tajam. Sastera bukan untuk mengampu, sastera bukan untuk jiwang-jiwang, tetapi sastera ialah citra keadilan dan sastera adalah untuk memugar kesedaran masyarakat. Jika itu adalah sifat sastera, bayangkan pula apakah yang perlu ada dalam jiwa orang-orang sastera?

Nasihat saya kepada yang bercita-cita menjadi seorang penulis, jalan penulisan ini memerlukan usaha yang gigih dari kehendak diri. Bersikap mandirilah tanpa hanya mengharapkan suapan-suapan moderator. Kebanyakan penulis-penulis muda tanah air seperti Ghafirah Idris, Nimoiz T.Y, Fadhrazy [sekadar menyebut beberapa nama] bukanlah penulis yang lahir daripada bimbingan mana-mana kelab dan seminar penulisan sebelum mereka mengikuti MPR. Namun, dengan iltizam, kesungguhan, disiplin dan minat yang tinggi, mereka mampu menjadi seorang penulis muda yang menjanjikan kini.

Justeru, kepada calon-calon penulis Malaysia di Mesir yang masih takut-takut ataupun yang kembang kuncup, serta UPP yang masih bena tak bena dalam menghasilkan calon penulis, sedarilah bahawa jalan sastera dan penulisan kita di dada Mesir kini semakin rencam dan kian suram, akibat kealpaan dan sikap enteng kita sendiri.

Memo : Juga boleh dibaca di webportal epmram

Leave a comment

Tiga pusat peranginan Mesir diserang, 40 maut

TABA, Mesir - Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera dalam satu letupan kuat yang memusnahkan sebuah hotel peranginan popular pelancong Israel di Semenanjung Sinai, Mesir malam tadi.

Letupan yang berlaku sekitar 10.00 malam itu menggegarkan Hotel Hilton di pusat peranginan Taba, hanya beberapa meter dari sempadan Israel.

Ia dipercayai berpunca daripada bom yang dibawa di dalam sebuah trak.

Bilangan kematian dijangka meningkat dengan pegawai kanan tentera Israel, Yair Naveh menyatakan 38 lagi rakyat Israel hilang dan masih tertimbus di bawah runtuhan.
Pihak berkuasa Mesir melaporkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh termasuk enam warga Mesir.

Letupan di Taba itu disusuli dengan dua letupan lebih kecil sejurus sebelum tengah malam di pusat-pusat pelancongan lain di Sinai dan saksi melaporkan ketiga-tiganya berpunca daripada bom kereta.

Pegawai hospital Mesir berkata, empat orang terbunuh apabila dua letupan menggegarkan kawasan Ras Shitan, sebuah kawasan perkhemahan dekat bandar Nuweiba ke selatan Taba.

Dua pertubuhan berhaluan Islam yang tidak dikenali sebelum ini mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan-serangan itu.

Letupan kuat itu merobohkan sebuah blok 10 tingkat di Hotel Hilton yang dibina oleh Israel semasa rejim Yahudi menguasai Taba dari 1967 hingga 1989.

Pelancong Israel di hotel tersebut menggambarkan suasana kelam-kabut apabila letupan itu menyebabkan tingkat-tingkat atas hotel runtuh menimpa kawasan lobi.

Empat jam selepas letupan tentera Israel mengambil alih tempat kejadian, kata jurucakap tentera.

Bagaimanapun kelewatan berlaku dalam penghantaran askar Israel dan pasukan keselamatan ke seberang sempadan yang tegang itu.

Komander pasukan bantuan jabatan bomba Israel, Shimon Romach memberitahu Radio Israel, mayat mangsa boleh kelihatan di bawah runtuhan.

"Kami tidak yakin ada mangsa yang terselamat di bawah sana,'' katanya sambil menjelaskan beliau menantikan kebenaran pihak Mesir untuk membawa masuk jentera berat bagi mengalihkan runtuhan.

Letupan-letupan itu berlaku sebulan selepas kerajaan Israel memberi amaran kepada rakyatnya agar jangan melawat Mesir dengan menyebut ancaman keganasan yang jelas terhadap pelancong di negara itu.

Utusan Malaysia, 9 Oktober.

Nota hujung :

1] Berita melaporkan dua letupan menggegarkan kawasan Ras Shitan, sebuah kawasan perkhemahan dekat bandar Nuweiba ke selatan Taba. Kawasan ini adalah kawasan yang pernah aku lewati semasa berwisata dulu.

2] Mungkin Semenanjung Sinai akan diisytiharkan kawasan tidak selamat selepas ini.

Leave a comment

Apa aku akan buat bila jadi vokalis nasyid, tunggu giliran menyanyi, secara tiba-tiba diserang selsema dan suara pun jadi macam burung tekukur?

1] Tarik diri - sure kumpulan nasyid aku jadi kelam-kabut.

2] Ganti vokalis lain - masalah nak hafal lirik dan melodi pula.

3] Lari balik dan tidur - sungguh aku tak sanggup alias tak sampai hati.

4] Teruskan menyanyi - tanggung risiko tinggi - suara pecah.

Jadi?

Tawakal aje. Actually, program launching album nasyid Indonesia - Bestlight kelmarin berjaya. Kumpulan nasyid aku mewakili Malaysia dan sesungguhnya aku berjaya mengawal serangan bakteria dalam tekak aku. :D

ii.

Yang ni copy dari Utusan Malaysia, 7 Oktober melalui blog Ghafirah.

BICARA KARYA

BIRO Penulis Muda Persatuan Penulis Nasional [PENA] akan mengadakan Bicara Karya Eceran pada Sabtu ini, 9 Oktober 2004 bertempat di Rumah Pena.

Bicara karya tersebut akan bermula pada jam 10.30 pagi dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Bahagian Teori dan Kritikan, Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP], Mohd Daud Mohamad dan Mohammad Shahidan [DBP].

Diskusi kali ini akan membicarakan karya-karya penulis muda seperti Faisal Tehrani, Saharil Hasrin Sanin, Salman Sulaiman, Ghafirah Idris, Luqman Hakim, Muhd Lutfi Ishak, Amiza Khusyri Yusof dan Mohd Jimadie Shah.

Jamuan makan disediakan. Semua dijemput hadir. Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-21425824.

Leave a comment

Di Jordan aku menemukan bakat Said Jamaluddin yang berpotensi melangkah jauh dalam bidang kepenyairan. Beliau pernah memenangi Hadiah Sayembara Puisi Kota Lukut [tak tahu pula tahunnya] anjuran PEN. Pernah juga diinterviu di Radio 3 Seremban bersama Puan Mahaya Yassin. Tak salah aku semasa beliau di tingkatan 4. Aku pugar kembali semangatnya menulis agar dunia sastera tidak kehilangan dan hanya dironai wajah-wajah yang sama. Ini sajak lamanya yang sempat aku ambil sebagai tuhfah buat beliau juga buat sastera Melayu.

Mereka kata...

Mereka kata,
Semalam yang berlalu
Sebuah sejarah kehidupan
Tapi kenapa?
Semalam dan hari ini bukankah sama
Tetap.. malah tidak berubah
Namun realitinya
Manusia semakin berubah.

Mereka kata,
Hari ini pastinya realiti,
Jiwa dan jasad merentasi dimensi.. tika itu
Tapi benarkah begitu?
Kerana insan mengakui
Hari ini sebagai realiti
Dengan penuh sesalan
Seolah sebelumnya tidak pernah sedar
Pabila hari ini bertukar semalam.


Mereka kata,
Esok adalah impian
Gelanggang fantasi dan imaginasi
Tetapi mungkinkah?
Sebelum esok kunjung tiba
Maut bertandang di pintu kerongkong
Menyapa kasar dan alam tiba-tiba
Kelam.. gelita.


Maka,
Telah lenyaplah semalam.. hari ini
Apatah lagi esok
Sebagaimana kata-kata mereka juga
Kehidupan ini tidak abadi.

Leave a comment

Mencipta Kenangan

28 September - inilah tarikh kembara terakhir kami di bumi Jordan. Wisata kami berakhir di daerah Petra sekitar 140 km dari Mu'tah. Dengan cuaca menjangkau 37 darjah Celcius, kami terpaksa berjalan kaki sejauh 10 km melihat tinggalan kaum A'dd dan Tsamud menyusuri celah-celah batu yang dipahat kemas. Apa yang mengagumkan kami ialah teknologi ukiran dan pahatan batu-batu besar yang jika difikirkan akal waras agak mustahil dilakukan oleh orang-orang dahulu. Teknologi kaum inilah yang banyak diguna-pakai oleh Tamadun Rome dan Parsi seperti pembinaan Roman Theatre.

Di sana juga dapat dilihat sistem perparitan dan galian yang baik telah diperkenalkan oleh kaum ini. Kaum A'dd dan Tsamud merupakan kaum yang diazab Tuhan kerana mengingkari perintah-perintah-Nya. Allah mendatangkan kepulan-kepulan awan besar ke kawasan mereka dan melenyapkan mereka dari muka bumi. Namun, tinggalan-tinggalan tamadun mereka masih kekal sehingga pemerintah Rome menjumpai kawasan ini. Beberapa tahun selepasnya, kawasan tinggalan ini telah berjaya dijarah panglima Islam Salehuddin al-Ayyubi.

Kami berjalan dalam terik mentari menyusuri bukit-bukit batu tinggi yang ditembuk [tidak tahu menggunakan jentera apa] sehingga sampai ke sebuah ukiran batu yang dinamai Al-Khazna. Ia dibina pada kurun pertama Masihi seiring dengan kegemilangan Pharaoh's Treasury [kegemilangan tamadun Firaun seperti Piramid]. Binaan ini didakwa digunakan sebagai mahkamah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah. Mengagumkan, bagaimana kaum ini boleh mengukir cantik batu setinggi 200 meter itu?

Subhanallah!

Khazanah terakhir berada di puncak jabal Petra dan kami terpaksa menyusuri denai yang telah disediakan. Selama 45 minit mendaki dengan menjauhkan dahaga dan lapar akhirnya kami berjaya menggapai puncak melihat binaan Ad-Dayr yang tersergam indah. Binaan ukiran pada batu pejal ini juga dibina sekitar kurun pertama dipercayai untuk kegunaan upacara agama kaum A'dd dan Tsamud.

Kami berjalan pulang menuruni jabal Petra dan makan tengahari sebelum berangkat ke pelabuhan A'qabah. Wisata kami berakhir setelah menjejakkan kaki ke atas geladak kapal. Alhamdulillah, kami sampai di pelabuhan Nuweiba sekitar jam 3 pagi. Segala urusan dengan Arab Mesir kali ini Allah permudahkan. Kami menaiki bas dan sampai di Cairo jam 10.30 pagi 29 September 2004.

Salam dedikasi tidak terhingga kepada Said [YDP BKMNS Jordan] rakan sekursus dahulu, Salman [Presiden Permata] dan Muzakkir [Presiden MPPMJ]. Terima kasih buat Najib, si musyrif sehari, Adam dan Nawawi, adik-adik di Jordan yang faham dan banyak membantu, Aizat, adik Taman Pinggiran Golf yang cepat mesra [adik ni belajar di maahad Syria], Khan si musyrif ke Syria yang baik hati dan semua rakan-rakan yang baik budi. Percayalah, kenangan wisata ini tercipta dengan indah sekali.

Buat teman-teman pembaca AKO - Amiza kini di Cairo! :D

Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.