Archive for Disember 2009

Di sebalik "Mimbar"

Semakin banyak yang dipelajari, semakin tinggi takah kejahilan diri.

Begitu. Hakikatnya selalu begitu. Allah menyatakan begitu dalam al-Quran - Al-Israk : 85. Manusia akan selalu begitu, menuntut ilmu sampai mati dan harapnya aku akan mati dalam ilmu, ilmu yang benar dan sahih, dan doaku semoga segala amalanku selalu berada dalam presentasi "ahsanu a'mala" yang makbul di sisi Tuhan.

Alhamdulillah. Aku masih bergelar cerpenis pada tahun ini. Karya "Mimbar" itu harapnya bakal menatijahkan yang lebih baik untuk ruang pengkaryaanku pada tahun hadapan. Sepanjang tahun 2009 ini, aku tidak prolifik. "Mimbar" itulah satu-satunya cerpenku yang tersiar pada tahun ini. Cerpen itu sudah diperam agak lama, setelah tercuit dengan isu "Ikhtilaf" [perbezaan pandangan dan pendapat dalam permasalahan cabang] yang melanda para cendekiawan Islam mutakhir ini.
Usai menyelaras Bengkel Cerpen PEN 2009 yang lalu, aku mencabar diri sendiri untuk menyelesaikan cerpen "Mimbar" ini. Menyudah atau mencari khatimah bagi cerpen ini amat sukar. Sukar mencari jalan penyudah terbaik untuk cerpen ini. Lalu, seperti memercup isu-isu di masjid dan ikhtilaf itu dalam kepala. Kemudian satu demi satu aku merangka khatimahnya untuk dipilih, dan amat memelikkan, semua khatimah itu tidak pula mesra di hati. Benar, proses kreatif menukilkan "Mimbar" kali ini terasa amat sukar sekali. Setelah melalui tempoh jeda yang agak lama, terasa amat sukar pula untuk menulis sebuah cerpen.

Aku bertekad untuk memecahkan tembok itu. Perlahan-lahan kritikan demi kritikan yang berjejal dalam kepala, aku tangkis sedikit demi sedikit. Maka terhasillah "Mimbar" seperti yang tersiar di Berita Harian itu. Sebenarnya cerpen ini panjang, tetapi demi memenuhi tuntutan halaman, maka aku terpaksa mencari khatimah terbaik dan yang pasti, katimah itu mesti mengharukan, atau menimbulkan sebak dalam dada. Alhamdulillah, meski berkali mencuba dan dalam ruang yang terhad, akhirnya cerpen itu berjaya disiapkan. Proses kreatif "Mimbar" begitu menguji, tetapi sangat manis dan mendewasakan ruang pengkaryaan diri.

Segala puji buat Allah yang mengurniakan ilham. Terima kasih sekali lagi buat sidang Editorial Berita Harian, kerana masih menerima dan menghargai karya-karya insan kerdil ini. Terima kasih kepada yang sudi membaca, yang sentiasa mengikuti karya-karya insan fakir ini, semoga setiap tinta yang tumpah, akan menjadi jariah buatku dan kalian di hari tiada berguna lagi, harta benda dan anak-pinak. Di negeri yang kekal abadi. Amin.

Buat yang belum membaca "Mimbar", sila klik di sini.

Posted in | 2 Comments

Ayat-ayat Muhasabah Cinta

Dunia yang seperti pelangi, sementara mengindahkan, dan akan pergi.

Aku mendoakan kalian dengan kebaikan dan keelokan dalam segala tingkah dan kata. Dan aku di sini, hari ini, sangat rasa rendah dan hina. Aku hari ini, melihat hujan seperti meluruhkan tombak-tombak berbisa menerjah ke batang tubuh. Aku hari ini, melihat mentari seperti memancarkan jarum-jarum halus melalui sinarnya. Aku hari ini, seperti melihat bulan gerhana dalam tangis dan tawa.

Dan cinta masih begitu, tenang mendamba.

Aku di sini, masih begini, sentiasa ingin memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain, sentiasa ingin mencari rezeki, wang dan harta, yang dalam ruang pencarian itu, sering terleka dan tersadung. Dan barangkali, sukar untuk memberikan kefahaman kepada semua orang tentang itu, tentang rasa, tentang kasih sayang, tentang amanah dan tanggungjawab, tentang ilmu dan tentang pandangan yang Esa.

Dan cinta terus begitu, tenang memuji.

Dan orang juga tidak tahu, betapa kadang-kadang aku terasa diri sedang berpura-pura di hadapan Tuhan, menjadi manusia hipokrit yang pura-pura tidak sedar tentang kebenaran. Dan Tuhan telah berkali-kali memberikan hidayah, tapi alpa dan leka sering mengunci riak dan tingkah. Betapa diri lemah dan hina di sisi-Nya sebagai hamba. Betapa diri ini sering melaungkan kemaafan kepada orang lain dan mendamba maghfirah-Nya sentiasa.

Dan cinta kini dirongrong rindu, akrab.

Betapa pedihnya hati apabila hakku dirampas, dan cuma sedikit terasa kepedihan itu apabila melihat hak orang lain dijarah. Dan sehingga kini aku masih belum mampu menjawab - apakah ini makna kasih yang dituntut Tuhan? Betapa selama ini aku telah lama menyedari, segala apa yang di sekelilingku hanya pinjaman dan tiada suatu pun yang menjadi hak mutlak diriku. Tangan, kaki, mata, telinga dan seluruh anggota adalah pinjaman Tuhan kepadaku. Dan soalan ini sering tidak dapat kujawab - apakah aku mampu membayar kembali pinjaman ini kepada-Nya?

Dan cinta kekal begitu, tenang menanti.

Apalah dayaku, ini adalah soal hati. Yang susah untuk dimengerti dan membuat orang lain mengerti. Ini soal hati, yang bukan mudah berbusa menjadi istimewa, ceria dan menduga. Tuhan, hari ini aku ingin mencapai cintaku, cinta-Mu melalui pinjaman ini. Dan andai aku ditakdirkan mati, aku ingin mati dalam senyum rindu, dalam dakapan cinta-Mu.

Teman, bukankah ceritaku ini, adalah ceritamu jua?

Dan cinta terus subur sendiri,
kerana cinta itu bagiku adalah mati.

Posted in | 9 Comments

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.