Belasungkawa Sebutir Bintang : Al-Fatihah

Aku antara manusia yang berada di Hospital Besar Seremban menanti ketibaan kereta jenazah yang lewat tiba. Dalam sebak melihat kerudung yang membalut jenazah sebutir bintang Allahyarham Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin, insan yang istiqamah dalam dakwah dan membangun Addin khususnya di bumi Negeri Sembilan. Beliau juga merupakan bekas penasihat dan naqib PMRAM, antara insan yang tidak pernah kenal erti letih dan sakit dalam usaha dakwah dan perjuangan menegakkan Islam.

Kami bersepakat untuk memangku dan membawa jenazah pulang setelah kereta jenazah masih belum tiba. Beberapa SMS dan panggilan masuk mengatakan sudah ramai kenalan dan ahli qariah berada di rumah Tuan Haji Kassim [Rembawi], mertua Allahyarham untuk berziarah. Hasrat itu dihalang oleh pegawai hospital yang sejak entah bila asyik meminta kami bersabar. Mujur, tidak lama selepas itu, kereta jenazah tiba dan tanpa melengah masa kami menuju ke rumah Tuan Haji Kassim.

Di rumah, sebak dan pilu begitu menghurung. Bagaikan tidak percaya, sekelip mata Allahyarham pergi meninggalkan semua akibat serangan Denggi. Apatah, apabila aku sendiri melihat dua orang anak Allahyarham yang girang bermain, menyaksikan suasana rumah yang hidup dan tidak mengerti. Jiwa terkenangkan isteri beliau, Ustazah Najibah Kassim yang sedang sarat, mendoakan kesejahteraan dan moga Tuhan mengurniakan segunung agam kesabaran.

Masih teringat ketokohan dan kredibiliti Allahyarham di Mesir dahulu. Pertemuan-pertemuan, usrah dan bual bicara seolah-olah hidup dan menggamit ingatan. Ketika membaca juzuk ke-12 dalam bacaan beramai-ramai untuk khatam Al-Quran di rumah beliau, hati tidak mampu menahan sebak dan sehingga entri ini ditulis, aku masih terhimbau dan terdorong dalam kenangan bersama Allahyarham.

Beliau tidak pernah mengeluh, mengadu letih dan sakit ketika dijemput berceramah atau mengendalikan aktiviti walau di ceruk mana pun. Keiltizaman, istiqamah dan ketokohannya begitu dirindui, dan tidak hairanlah ketika solat jenazah beliau di Masjid Paroi Jaya selepas solat jumaat [20 Mac] jemaah begitu ramai dan sendat; datang dari segenap pelosok negeri. Aku teringatkan adik ipar Allahyarham, yang juga sahabatku, Ustaz Ahmad Hambali Kassim yang baru saja tiba di Syria selama 3 hari atas urusan ilmu, yang tidak dapat bersama-sama.

Al-Fatihah buat Allahyarham yang berjiwa besar ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat daripada Rabbul Jalil dan ditempatkan dalam kalangan syuhadak dan solihin. Amin.

Baca lagi di sini

AKO : Ingin menjadi sebutir bintang.

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.