Archive for Januari 2009

Terasa

Entah kenapa
tiba-tiba
aku terasa
ingin
menjadi bintang.

Posted in | Leave a comment

Menyusuri Kepahlawan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib

Bahagian II

4. Karya yang melahirkan kecintaan dan kesedaran

Jika kita memilih untuk membaca buku ini, maka sebenarnya kita telah memilih untuk meningkatkan kefahaman tentang sejarah Islam dan menyemarakkan ruh cinta dan kesedaran kepada jihad. Karya ini akan mencetuskan keinginan dan kemahuan yang luar biasa ke atas pembebasan Palestin, bumi yang dijanjikan Tuhan keberkatan dan rahmat. Kita akan melihat segala sengsara dan keperitan rakyat Palestin sebagai penderitaan jiwa kita juga sebagai umat yang bersaudara.

Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Ali Imran : 103)

Karya ini mengajak kita kembali menyelongkar sirah Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam. Islam tidak memerlukan ketumbukan tentera yang ramai, tetapi kekuatan iman dan kecintaan kepada syahid untuk menumbangkan musuh-musuh agama Allah.

Selepas berdiam diri seketika, maka Salahuddin pun bersuara, “Dalam perang Badar, tentera Islam yang hanya seramai 313 orang berjaya mengalahkan tentera musuh yang berjumlah seribu orang. Dalam perang Muktah yang juga berlaku pada zaman Rasulullah, tentera Islam yang berjumlah tiga ribu orang tidak dapat dikalahkan oleh tentera Rom yang berjumlah dua ratus ribu orang. Apakah rahsianya?” (Bab 1, Halaman 3)

5. Kualiti VS Kuantiti

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud :

“Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.” Ada yang bertanya, “Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?” Nabi SAW menjawab: “Bilangan kamu pada ketika itu ramai, tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-Wahn dalam hati kamu.” Ada yang bertanya: “Apa al-Wahn itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Cintakan dunia dan bencikan mati.”

Kenapa umat Islam kini dengan mudah ditawan, dijajah dan dikeji sesuka hati? Kenapa tidak hadir dalam hati rasa kecintaan terhadap saudara seIslam yang lain seperti satu jasad? Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Doktrin sekularisme sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di tangan Mustafa Kamal Atarturk pada 1924, semakin kukuh berakar umbi dalam jiwa setiap pemimpin negara Islam. Akhirnya umat Islam tidak memiliki semangat jihad dan cintakan syahid, malah menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

“Walaupun bilangan tentera Islam ketika itu tidak ramai dan senjata yang mereka miliki serba kekurangan tetapi mereka benar-benar yakin yang berperang menentang musuh itu mendapat keredaan Allah. Mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa mereka hanya kerana Allah.”
(Bab 1, Halaman 4)

“Kami berperang dengan tentera yang mencintai mati, sebagaimana kami mencintai hidup,” jawab mereka. (Bab 21, Halaman 234/235).

6. Membentuk Angkatan Ghuraba

Dari Abu Hurairah RA bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda, “Bermulanya Islam itu asing dan akan kembali asing sepertimana ianya bermula maka berbahagialah golongan yang asing.” (Muslim : 370, Ibnu Majah : 3986)

Tiupan semangat jihad jelas ketara dalam novel ini. Ini dapat dilihat sejak dari awal bab apabila diperlihatkan watak Salahuddin yang amat cintakan jihad dan kiblat pertama umat Islam; Palestin. Kecintaan kepada kesyahidan jelas terpancar dan kesedaran penulis menebar mesej jihad di dalam karya sangat dipuji.

Dan berperanglah di jalan Allah dengan memerangi mereka yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Al-Baqarah : 190)

“Kamu tahu apa makna jihad?” tanya Salahudin. “Usaha yang bersungguh-sungguh bagi mendapat keredaan Allah,” jawab Panglima Muluk.
(Bab 1, Halaman 3)

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya di Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.” (Al-Anbiya : 105)

Ayat ini menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya. Kejayaan besar bagi umat Islam adalah melalui Amal Islami; pengamalan Islam secara syumul dan jitu dalam kehidupan. Asas kepada segala kejayaan adalah ketakwaan dan tawakal yang tinggi kepada Allah.

“Pada waktu malam, mereka beribadat sepanjang malam dan pada waktu siang, mereka bagaikan singa lapar,” balas Raja Reymond pula. (Bab 18, Halaman 204)

Novel ini secara halus berjaya menerapkan kecintaan kepada perjuangan menegakkan Kalimatullah, menyemarakkan roh jihad dalam diri setiap pembacanya. Secara jujur, karya-karya sebegini wajar dimiliki oleh setiap individu Muslim, terutamanya pemuda-pemudi Islam. Andai suatu hari, panggilan jihad fisabilillah mempertahankan agama itu menjadi wajib pada saat karibnya Yaumussa’ah, maka segala yang tergambar di dalam novel ini, ditunjangi sirah agung Rasulullah SAW, akan mercup dalam hati sanubari kita.

Karya ini adalah sebuah naskhah wajib baca!

Air Mata Anak Palestin

Posted in | 2 Comments

Menyusuri Kepahlawan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib

Bahagian I

“Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia.”


Oleh Amiza Khusyri Yusof
www.amizakhusyri.blogspot.com

1. Kenapa saya memilih buku ini?

Tidak sukar untuk saya membuat pemilihan di antara puluhan karya Abdul Latip Talib. Rasa buncah dan marah yang meluap-luap dalam hati terhadap Yahudi Laknatullah menyebabkan tangan saya ringan untuk mengelek buku ini pulang ke rumah ditunjangi rasa tanggungjawab dan amanah.

Saya teringat firman Allah, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dengan kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.” (Al-Baqarah : 120)

Ayat yang saya hafaz sejak di bangku sekolah ini sentiasa menjadi pedoman dan penggoncang semangat untuk terus mengangkat martabat agama Islam ke tempat yang tinggi, yang dijanjikan Allah dengan segala kemuliaan.

2. Kenapa Salahuddin Al-Ayyubi?

Salahuddin merupakan seorang pahlawan Islam unggul yang dikenang sepanjang zaman. Salahuddin pernah menggemparkan dunia dengan membebaskan Baitul Maqdis, Palestin dari cengkaman kezaliman Tentera Salib dan memerintah Empayar Ayyubiah dari Mesir ke Yaman.

Keperwiraan Salahuddin ini, saya yakin adalah hasil daripada keikhlasan hati, cinta dan kasih kepada agama-Nya dan beliau sesungguhnya menadabbur firman Allah, “Maha Suci Dia (Allah) yang memperjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad) pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati kawasan sekitarnya agar Kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Bahawa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.” (Al-Israk : 1)

Kemudian Sultan Salahuddin terus berucap, “Berperanglah dengan bersungguh-sungguh kerana kita mahu memenangi peperangan ini. Hajat kita bagi menawan Baitul Maqdis tidak tercapai sekiranya kita tewas dengan pihak musuh. Laluan kita bagi menawan Baitul Maqdis terbentang luas apabila berjaya menewaskan musuh,” kata Sultan Salahuddin bin Ayubi. (Bab 19, Halaman 212)

3. Kepahlawanan Salahuddin Al-Ayyubi di tangan Abdul Latip Talib

Abdul Latip bin Talib dilahirkan di Kampung Ulu Seperi Rembau Negeri Sembilan pada 2hb Jun 1954, pernah bekerja sebagai pegawai ladang FELCRA selama 20 tahun dan kini merupakan penulis sepenuh masa. Beliau menulis dalam pelbagai genre seperti sajak, cerpen, rencana, drama tv dan novel. Sehingga kini telah menghasilkan 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kini menumpukan penulisan novel sejarah dengan PTS. Antara karya yang telah diterbitkan Salahudin Penakluk Jerusalem 2007, Khalid Memburu Syahid 2007, Ikramah Penentang Jadi Pembela 2007, Tariq Menang atau Syahid 2007, Si Bongkok Tanjung Puteri 2007, Setelah Roboh Kota Melaka 2007, Abu Bakar Sahabat Sejati 2008, Sultan Muhamad al fateh 2008, Leftenan Adnan Wira bangsa 2008, Hikayat Amir Hamzah jilid 1, 2 dan 3 2008. Ketekalan beliau menghasilkan karya telah melayakkan beberapa buah karya beliau merangkul pelbagai anugerah. Antaranya Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Sayembara Cerpen Perpaduan, Hadiah Sastera Utusan dan Sayembara Cerpen dan Puisi Negeri Sembilan. Novel Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Randau Ruai memenangi Sayembara Menulis Novel Sarawak 2005 dan terbaru novel sejarah Perang Jementah dan datuk Moyang Saleh memenangi hadiah sayembara menulis novel sejarah Johor 2007. Abdul Latip yang kini menetap di Jelebu Negeri Sembilan pernah menerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dalam genre cerpen dan esei. Dan sekali lagi pada tahun 2007 dalam genre novel remaja. Beliau dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2007.

Karya ini digarap dalam bentuk kreatif dan memperlihatkan kelainan daripada karya-karya yang lain. Apabila membaca cerita Salahuddin dalam bentuk kreatif, ia akan memikat pembacaan hingga akhir bab. Berbeza apabila membaca karya sejarah non-kreatif yang memerlukan iltizam dan ketekunan yang konsisten.

Kepahlawanan Salahuddin diperlihatkan melalui dialog-dialog dan babakan-babakan yang menarik. Naratif yang bermula dari kisah Salahuddin sebagai seorang panglima, diikuti plot peperangan sehingga Salahuddin bergelar panglima dan pemerintah. Perjalanan plot yang ditampilkan melalui dialog dan babakan benar-benar memperlihatkan keterujaannya yang tersendiri.

Apabila kita menyelak dari bab ke bab, kita akan membaca judul-judul bab yang menarik dan bait-bait kata hikmah dan hadis yang membangkitkan keterujaan meneruskan bacaan.

Baca lagi di blog A. Latip Talib

AKO : Kertas kerja ini dibentangkan sempena Majlis Bicara Tokoh & Karya PEN pada 18 Januari 2009 di Balai Ilmu, Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban.

Posted in | Leave a comment

Syurga buat Kita

Amjad,
Baba mahu kau semat dalam hati
Baba pergi mengejar syahid
meninggalkanmu bersama ummi
supaya besar nanti
kau akan memiliki
kasih sayang As-Siddiq
ketegasan Al-Farouk
ketangkasan Saifullah

Amjad,
bumi ini milik kita
setiap ratap dan duka
titis darah dan luka
menjadi tanda cinta
setiap nyawa
kepada Al-Quds
yang dijanji Tuhan
rahmat dan keberkatan



Baba mahu kau membesar
atas segala sengsara
supaya kau dipilih Tuhan
menjadi pembela agama
dari injak-injak
bangsa terlaknat


Ayuh, Amjad
jangan dirisaukan
bedil-bedil peluru
kerana kesakitan yang menjamah
luka yang bernanah
adalah syurga buat kita.

Amiza Khusyri, TPG, 14 Januari 2009.

Posted in | Leave a comment

Air Mata Palestin

Pakcik Muhsin diam sahaja ketika kami pulang dari masjid selepas isyak.

"Diam je pakcik." Aku melihat wajah pakcik Muhsin yang dura dilimpahi cahaya lampu jalan.

"Aku sedih, Za." Pakcik Muhsin menjawab sepatah.

Aku dapat menebak punca kesedihannya itu.

"Rakyat Palestin sengsara sekarang, Za. Semua orang lantang suruh PBB, OIC dan macam-macam agensi lagi ambil tindakan." Pakcik Muhsin menghela nafas panjang.

"Semua orang kutuk, semua orang adakan persidangan, berhimpun dan macam-macam. Tapi, tak ada orang pun yang tuding diri sendiri. Muhasabah apa yang diri sendiri boleh buat dan telah buat." Nada sebak meronai suara pakcik Muhsin.

"Orang boleh berkabung dengan kematian sultan, tak adakan majlis selama berpuluh hari. Apa salahnya kita berkabung pula kerana Palestin."


"Tapi kita sibuk dengan sambutan tahun baru, pesta seks sana-sini, bercanda di tepi pantai dengan bukan muhrim, pengkid yang menjadi-jadi." Aku menyambung luahan hati pakcik Muhsin.

Pakcik Muhsin terangguk-angguk.

"Ayuh, kita jadi angkatan ghuraba!" Aku memegang bahu pakcik Muhsin.

Pakcik Muhsin tersenyum manis memandangku, dan kami meneruskan langkahan pulang ke rumah.

Posted in | Leave a comment

Andai Kupunya

Andai aku punya waktu
akan kuukir gunung
menjadi telinga
yang setia mendengar
tutur katamu

Andai aku punya masa
akan kutatah bintang
menjadi lidah
yang setia berkalam
mendampingimu

Andai aku punya kesempatan
akan kutenun sungai
menjadi cinta
yang setia mendakap
hati dan perasaanmu

Teman,
Bukankah
waktu, masa, kesempatan
selalu meninggalkan?

Amiza Khusyri, TPG, 2 Januari 2009.

Salam tahun baru hijrah buat semua pengunjung AKO!

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.