Archive for Disember 2008

Hero

"Za, bunuh cicak tu sunnah kan?" Pakcik Muhsin jalan beriringan denganku pulang dari masjid selepas isyak.

Aku angguk.

"Hadis sahih kan tu?"

Angguk lagi.

Pakcik Muhsin geleng. "Apalah nak jadi, binatang sunat bunuh pun orang jadikan maskot, jadikan hero pujaan."

"Kau pernah tengok, Za?"

Aku angguk. "Dah keluar TV pakcik."

"Kau tengok babak hero bangun tidur lewat tak subuh dan tahi cicak melimpah dalam bilik, atas katil?"

Aku terkerisin, seraya mengangguk lagi.

"Tu belum sentuh bab solat super hero, Za. Elok lagi yang omputih punya, apa tu?"

"Labah-labah," Aku menambah.

"Ha, kan molek bunyinya. Labah-labah berjasa dalam peristiwa hijrah nabi kan, Za?"

Aku angguk lagi kemudian menyeluruhi wajah pakcik Muhsin yang ralit memikir-mikir. Barangkali sudah terdengar gembar-gembur promosi Orang Cicak edisi baharu.

Aku tersenyum - boleh tahan juga orang tua ni, gumam hatiku.

Posted in | 3 Comments

Cerita Korban

Ketika memerhatikan lembu jantan yang sedang menggelupur, aku perasan sedari tadi pakcik Muhsin terjungkit-jungkit kening memandangku. Dan sedang saat lapah-melapah, dia segera menerjemah segala persoalan.

"Apa yang kau bawa dari Pangkor, Za?"

Aku terkerisin. "Bawa sengsara pakcik."

Pakcik Muhsin terkulat-kulat dan aku membiarkannya begitu.


Bila selesai kerja-kerja melapah dan daging-daging sudah diagihkan, dengan bancuhan kopi di tangan, kami bertinggung bawah pohon pisang.

"Sejak bila Pulau Pangkor ada sengsara Za?" Pakcik Muhsin kerut kening sambil mencicip kopi.

"Sejak nelayan-nelayan Melayu jual tanah kepada taukeh-taukeh cina sebab kesempitan hidup. Sejak orang-orang Melayu kita jadi kuli orang-orang cina." Aku memerhati asap kopiku yang berpual-pual, seperti nasib saudara-saudaraku di Pulau Pangkor.

Pakcik Muhsin geleng.

"Dan anak-anak Melayu Islam kita di sana lebih rosak, lebih bertindik sana-sini daripada orang-orang cina." Suaraku sedikit membentak.

Pakcik Muhsin diam lama, kemudian membalas. "Sejak bila kau taksub jadi Melayu, Za?"

Aku terkerisin, tersedak sedikit.

"Dah, mohlah balik." Pakcik Muhsin tidak memandangku, tapi aku nampak senyuman sinisnya.

Aku bingkas dan menuruti pakcik Muhsin pulang dengan senyum meleret.

Posted in | 3 Comments

Salam Aidil Adha


Salam Aidil Adha kepada semua. Aku bersyukur masa ripuh terhenti sebentar bila bertemu perayaan besar seperti ini. Perjuangan masih kekal begitu, masih basah dan sentiasa hijau dalam hati. Aku sentiasa sedar bila saat payah itu datang, ia tak akan mengundur, mengasak dan tekal menduga, dan sentiasa juga ku ingat, yang saat lapang itu juga benar menguji kematangan dan kebijaksanaan. Bukankah hidup itu penuh ujian? Ujian susah dan ujian senang? Apakah ujian itu hanya kefakiran? Tidak. Kesenangan itu juga adalah ujian, dan berapa ramai manusia yang lupa bahawa kaya, hartawan, wang juta berjuta, adalah ujian yang maha getir, seperti arus deras yang bisa menghanyutkan, melemaskan, mematikan, dalam kegagalan. Jangan!

Ayuh, kita berkorban!

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.