Archive for Oktober 2008

Bersama Menghayati Erti Ramadan dalam Cerpen Ibtisam Syawal Oleh Amiza Khusyri Yusof (Bahagian Dua)

Oleh Rosmawati binti Ali

Gaya Bahasa


Gaya bahasa adalah alat yang digunakan oleh penyair untuk memindahkan pengalaman jiwa, iaitu pemikiran serta perasaannya ke dalam puisi. Dengan itu, bahasa yang digunakan lebih mengutamakan kefahaman dan kejelasan makna, sama seperti bahasa dalam akhbar, majalah dan buku ilmu pengetahuan. Tetapi oleh kerana puisi karya satera, maka bahasa yang ada padanya tidaklah sekadar memenuhi keutamaan itu sahaja. Bahasa dalam sesebuah puisi perlu juga memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya. Ketiga – tiga ini diperlukan untuk tujuan memenuhi syarat – syarat keindahan bahasa sastera, khususnya puisi, supaya berupaya menimbulkan kepelbagaiaan kesan kepada pembaca atau pendengarnya. (Azmi Rahman, 2008. hlmn.13.1).

Metafora

Gaya bahasa Metafora adalah penggunaan kata yang menerbitkan makna yang lain daripada makna tersurat atau sesuatu objek diberikan sifat secara kiasan. Gaya bahasa ini mengandungi dua perkataan; satu bersifat konkrit dan sepatah lagi abstrak. Di dalam cerpen ini terdapat gaya bahasa metafora iaitu hujan rahmat.

Malam rayanya takbir bergema syahdu dari rumah ke rumah dalam renyai – renyai hujan rahmat. (hal.1)

Hujan rahmat membawa maksud hujan adalah pemberian tuhan yang membawa simbol rezeki. Hujan adalah bersifat abstrak manakala rahmat adalah bersifat konkrit. Terdapat juga contoh – contoh lain seperti :

Ketika itulah datuk memandang saya dan menghadiahkan senyuman tawar. (hal.2)

Memang ada sebuah rumah daif di hujung kampung yang selalu saya lewati setiap kali malam takbir. (hal.2)

Personafikasi

Gaya bahasa Personafikasi pula bermaksud gaya bahasa memberikan sifat manusia atau penginsafan pada sesuatu benda, keadaan, atau suasana. Contoh yang terdapat di dalam cerpen ini ialah takbir bergema syahdu.

Malam rayanya takbir bergema syahdu dari rumah ke rumah dalam renyai – renyai hujan rahmat. (hal.1)

Takbir bergema syahdu merupakan suasana yang diberikan sifat penginsafan manusia. Ayat tersebut menunjukkan betapa indahnya dan insafnya apabila takbir dibacakan bersama – sama pada malam sebelum tibanya Syawal. Selain itu, personafikasi juga terdapat dalam ayat air yang bergenang di kelopak mata datuk.

Ketika itu ada air yang bergenang di kelopak mata datuk. (hal.7)

Ayat tersebut menerangkan datuk sedang menangis. Airmata yang turun digantikan dengan air yang bergenang.

Simile

Gaya bahasa Simile merupakan gaya bahasa kiasan yang digunakan untuk membandingkan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata – kata perbandingan umpama, bak, macam, laksana, dan sebagainya. Tujuannya ialah untuk membolehkan pengarang meluahkan perasaan atau fikirannya dengan berjaya dan mengurangkan huraian yang panjang atau meleret – leret. Antara contoh penggunaan simile adalah seperti berikut :

Saya lantas bertanya kepadanya, kenapa dia kelihatan bermuram dura tidak seperti keceriaan yang selalu terpapar kala di ambang syawal? (hal.2)

Sehingga melewati rumah Ibtisam di hujung kampung, tanda – tanda istifham kembali menjuak, bagai letus – letus gunung berapi menceratkan lavanya. (hal.6)

Sinkope

Gaya bahasa sinkope merupakan gaya bahasa singkatan bagi sesuatu perkataan. Contohnya perkataan 'tak' adalah tidak.

"Kau tak ingat firman Tuhan dalam surah al-Baqarah, ayat 183?” Suara Ibtisam tiba – tiba menjadi keras. (hal.7)

”Tak apa, selepas maghrib kita sambung.” Kata datuk sambil menepuk – nepuk belakang saya. (hal.5)

Hiperbola

Hiperbola merupakan gaya bahasa yang pernyataannya dibuat secara berlebih – lebihan dalam usaha untuk menekankan sesuatu pandangan, idea atau peristiwa. Contoh di dalam cerpen ini adalah seperti berikut :

Sehingga melewati sebuah rumah usang di hujung kampung, tanda – tanda istifham kembali menjuak, bagai letus – letus gunung berapi menceratkan lavanya. (hal.6)

Ayat yang bergaris itu menunjukkan hiperbola. Perasaan aku yang tidak sabar – sabar untuk mendengar datuk bercerita lagi tentang Ibtisam.

Penggunaan Bahasa Asing

Penggunaan bahasa asing juga merupakan gaya bahasa di dalam sebuah karya sastera. Penggunaan bahasa asing menunujukkan tahap pembacaan yang menarik. Pengarang banyak menggunakan perkataan – perkataan bahasa Arab di dalam cerpen ini. Contohnya perkataan syawal, Ramadan, solat, surah al-Baqarah, Takdir Rabul Jalil dan sebagainya.
Contohnya :

Takdir Rabul Jalil, Ibtisam meninggal dunia hari itu juga. (hal.8)

"Kau tak ingat firman Tuhan dalam surah al-Baqarah, ayat 183?” Suara Ibtisam tiba – tiba menjadi keras. (hal.7)

Ibtisam akan menhias rumah, membersihkan persekitarannya setiap kali tibanya Ramadhan al-Mubarak. (hal.5)

Penutup

Cerpen Ibtisam Syawal ini mempunyai banyak nilai – nilai murni dalam masyarakat. Tahap pembacaannya mudah difahami oleh semua golongan atau lapisan masyarakat. Pengarang mengetengahkan sastera Melayu berunsur Islam di dalam cerpen ini. Sastera Melayu berunsur Islam tidak lagi begitu asing di dalam arena penulisan negara kita. Namun mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada masyarakat adalah untuk memahami erti sebenar Ramadan. Sesuai dengan watak pengarang yang suka berdakwah telah menggunakan arena penulisan sebagai satu medium untuk menyampaikan dakwahnya.

Rujukan

Abdul Rahman Abdul Rashid, Rahim Ngahat & Mohamad Mokhtar Hassan. (2003). Mutiara Sastera Melayu Moden. Selangor. Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Azmi Rahman. (2008). Nota Kuliah dan Rujukan : Kesusasteraan Melayu. Sintok. Universiti Utara Malaysia.

Harun Jaafar. (2000). Siri kesusasteraan Melayu STPM : Sejarah Melayu dan Kritikan Sastera. Selangor. Pustaka Sistem Pelajaran Sdn. Bhd.

Nur Naemah Ibrahim. (2004). Kupasan Grafikal Kesusasteraan Melayu : Sejarah dan kritikan sastera. Selangor. SNP Eastview Publications Sdn. Bhd.

Amiza Khusyri Yusof. Ibtisam Syawal. Berita Minggu, 5 November 2006.

*Cerpen Ibtisam Syawal telah memenang Anugerah Sastera Negeri Sembilan (ASNS) 2007.

Posted in | Leave a comment

Bersama Menghayati Erti Ramadan dalam Cerpen Ibtisam Syawal Oleh Amiza Khusyri Yusof (Bahagian Satu)

Oleh Rosmawati binti Ali

Sinopsis Cerpen

Cerpen ini mengisahkan ‘aku’ yang akan pulang ke kampung apabila tibanya hari lebaran. Aku akan pulang ke kampung bersama keluarga sehari sebelum Syawal umtuk membantu sanak – saudara menyiapkan juadah dan hiasan untuk berhari raya. Aku masih mempunyai seoarang datuk yang menetap di kampung. Aku menggambarkan kampungnya yang masih dikelilingi hutan dan semak – samun dan juga jalan tar yang berlubang – lubang. Aku juga menggambarkan malam sebelum hari raya di kampung akan diadakan malam takbir yang akan bergerak dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Jemaah yang merupakan orang kampung tersebut akan dibahagi – bahagikan mengikut kumpulan agar majlis takbir selesai dengan segera.

Namun, kedatangan Syawal pada tahun itu menimbulkan kelainan dalam diri aku. Jika selalu aku akan menyambut Syawal dengan gembira namun pada tahun itu aku menyambut Syawal dengan penuh keinsafan. Aku berubah sedemikian apabila mendengar cerita datuknya mengenai Ibtisam. Aku begitu asyik mendengar cerita datuknya tentang sahabat karibnya Ibtisam yang sudah pun meninggal dunia. Datuk selalu terkenangkan Ibtisam terutamanya apabila tibanya bulan Ramadhan dan bulan Syawal setiap tahun. Cerita Ibtisam mempunyai unsur – unsur kesedaran dan keinsafan dalam diri aku.

Menurut datuk, Ibtisam merupakan anak yatim piatu dan tinggal di rumah peninggalan ibu bapanya. Dia memang terkenal sebagai seorang yang ceria di kampung. Dia akan melemparkan senyuman setiap kali bertemu dengan rakan – rakannya. Kadang – kala datuk dan rakan – rakannya akan tidur di rumah Ibtisam untuk menemankan Pak Ibtisam. Apabila berlakunya Konfrontasi Malaysia – Indonesia pada 1963, Ibtisam menyertai Regimen Askar Melayu Di Raja dan hilang di perbatasan ketika mengahadapi tentera Indonesia di timur Pulau Sebatik, Tawau. Berita itu datuk terima dengan rasa sedih dan redha akan kepermegiannya. Sebulan selepas konfronstasi berakhir setelah kedua negara mendatangani perjanjian damai pada Ogos 1966 di Bangkok, kerajaan memaklumkan yang Ibtisam telah menjadi militer Indonesia semasa konfronstasi berlangsung. Dia selamat dan dibebaskan awal dua tahun sebelum berakhirnya konfrontasi. Ibtisam ditemui berserban dan sedang bertasbih di saf hadapan Masjid Abdul Rahman di Acheh.

Sejak Ibtisam pulang ke tanah air, dia memang dikenali sebagai seorangnya warak. Dia dikasihi dan menjadi pemuda taat yang selalu ke masjid untuk berjemaah. Ibtisam juga pandai berceramah dan mengajar agama. Rupa – rupanya dua tahun dibebaskan dari tawanan perang konfronstasi, dia memenuhi masanya menuntut ilmu agama dengan ulama – ulama di Acheh. Dia telah diambil menjadi anak angkat oleh sebuah keluarga di sana. Dia menghafaz al-Quran, menyoroti tafsirnya, memahami hadis dan mempelajari sejarah Rasulullah SAW.

Walaupun begitu, ada sesuatu yang pelik pada perilaku Ibtisam. Sikapnya yang pelik menjadi bualan dan pertanyaan orang kampung. Ibtisam akan menhias rumah, membersihkan persekitarannya setiap kali tibanya Ramadhan al-Mubarak. Ibtisam akan mengerjakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Namun, setiap kali tibanya Syawal, Ibtisam akan mula berubah. Ibtisam yang ceria dan riang akan menjadi amat pendiam. Tingkahlakunya akan berubah. Dia hanya akan muram dan bersedih. Pada Syawal pertama dia akan menutup pintu dan berkurung dan ini membuatkan penduduk kampung menjadi marah dan memulaukan Ibtisam.

Datuk telah berjumpa dengannya untuk mengetahui perkara sebenar. Ibtisam mengatakan dia masih belum bertaqwa lagi dalam bulan Ramadhan. Ibtisam tidak sanggup meraikan Syawal sedangkan dia merasa dirinya belum cukup bertaqwa lagi kepada Yang Maha Esa.Barulah datuk mengerti sikap Ibtisam setiap kali tibanya Hari Raya. Ibtisam meninggal dunia pada hari raya kedua dipangkuan datuk. Orang kampung mengatakan Ibtisam meninggal dunia kerana bala dari tuhan tanpa mengetahui perkara sebenarnya.

Datuk berasa cukup lega kerana dapat berkongsi cerita Ibtisam dengan aku. Datuk telah meluahakan segala – galanya yang terbuku dalam hatinya kepada aku. Datuk amat meinginkan kisah Ibtisam ini sampai ke pengetahuan salah satu cucunya dan menjadikan cerita ini sebagai ikhtibar dan pedoman dalam kehidupan. Aku berasa sungguh bertuah kerana mengetahui cerita itu. Aku turut menanam zam dan tekad untuk mencapai taqwa dalam Ramadhan yang akan datang.

Kesedaran dan Keinsafan

Pemikiran merupakan sesuatu perkara atau hal yang ingin disampaikan oleh seseorang penyair atau pengarang. Cerpen ini membawa tema keinsafan dan kesedaran ke dalam diri kita sendiri dan juga masyarakat. Kadang – kala kita sering alpa dalam kehidupan sehingga kita sendiri lupa tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Kita hanya sering mengejar kemewahan dan keseronokan dunia tanpa memikirkan bekalan akhirat. Cerpen ini menerapkan tema keinsafan dan kesedaran dalam diri Ibtisam. Ibtisam sentiasa tabah dan sabara dalam menjalani kehidupan sehariannya. Ibtisam mempunyai banyak pengalaman dalam kehidupannya. Ibtisam sentiasa cuba untuk menggembirakan kawan – kawannya.

Keistimewaan bulan Ramadhan tidak seharusnya dipersia – siakan. Kehadiran bulan Ramadhan dalam hidup kita adalah satu rahmat yang telah diberikan oleh tuhan Yang Maha Esa agar kita dapat memperbaiki amalan dan ibadah kita. Ibtisam tidak langsung mempersia – siakan setiap kali kedatangan bulan Ramadhan. Ibtisam sentiasa beribadat agar dia dapat bertaqwa kepada Allah. Ibtisam hanya mengharapakan ibadatnya diterima oleh Allah.

Datuk menjadi seorang datuk yang bertanggungjawab dan mempunyai nilai persahabatan yang baik. Datuk berkongsi cerita yang baik kepada cucunya untuk dijadikan sebagai ikhtibar dan pedoman dalam kehidupan. Datuk tidak meminggirkan Ibtisam sewaktu dia bersedih. Datuk cuba untuk memahami sikap Ibtisam. Datuk sentiasa bersangka baik terhadap Pak Kassim dan orang lain.

Ketaqwaan

Persoalan manusia dengan tuhan merupakan persoalan yang sangat penting dalam cerpen ini. Pengarang menekankan hubungan manusia dengan tuhan Yang Maha Esa. Dalam cerpen ini penulis juga menggarapkan unsur ketaqwaan dan keikhlasaan pada diri Ibtisam. Persoalan tentang kepatuhan kepada ajaran Islam ditunjukkan dalam cerpen ini apabila tugas dan tanggungjawab yang dipegang oleh watak datuk dipaparkan. Misalnya, datuk akan menyuruh cucunya menunaikan solat terlebih dahulu. Selepas habis mengerjakan solat barulah datuk akan menyambung ceritanya. Pengarang menunjukkan keistimewaan bulan Ramadhan dalam masyarakat seperti solat terawih, bertadarus, berdoa dan sebagainya untuk mengejar pahala. Penulis mengharapakan masayrakat sabar menghadapi dugaan. Apabila kita menghadapi dugaan, hadapilah dengan penuh kesabaran kerana dengan kesabaran kita akan dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada tuhan.

Antara Persahabatan dan Tanggungjawab

Persoalan manusia dengan manusia pula dapat dilihat daripada watak datuk Ibtisam. Datuk sentiasa menyokong Ibtisam semasa orang kampung memulaukan dirinya. Datuk sentiasa memihak kepada Ibtisam. Tanggungjawab Ibtisam menjadi seorang penceramah apabila pulang ke kampung adalah satu contoh yang baik dalam masyarakat. Dia memberi panduan dan peringatan kepada sesama manusia. Sudah menjadi lumrah dalam dunia agar kita saling ingat – memperingati di antara satu sama lain.

Pengarang juga mengingatkan kita tentang pentingnya membantu golongan yang memerlukan seperti golongan miskin atau orang yang dalam kesusahan. Datuk telah membantu Ibtisam ketika Ibtisam di dalam kesusahan. Datuk telah membawa makanan kepada Ibtisam ketika Syawal. Datuk juga telah meguruskan jenazah Ibtisam kerana Ibtisam tidak mempunyai ahli keluarga yang lain. Datuk telah menjalankan kewajipannya sebagai seorang kawan.

Mengenal Diri

Persoalan manusia dengan diri sendiri merupakan persoalan yang sangat banyak diutarakan dalam cerpen ini. Pengarang seolah – olah ingin memberikan masyarakat kesedaran dalam diri mereka sendiri. Pengarang juga seakan mengingatkan dirinya sendiri tentang tanggungjawab dan peranan yang harus dimainkan dalam dirinya. Ibtisam sentiasa mencari – cari jawapan dalam dirinya. Adakah ibadatnya diterima oleh Allah? Adakah dia sudah mencapai taqwa dalam bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183. Ibtisam sentiasa mencari jalan untuk mencapai keredhaan oleh Allah SWT. Dia sentiasa memperingati dirinya agar menjalankan tanggungjawab terhadap tuhan, manusia dan sesama makhluk tuhan yang lain.

Ibtisam sentiasa berdoa. Begitu juga dengan watak datuk. Datuk sentiasa mengingati pergorbanan rakannya Ibtisam dalam hatinya. Datuk telah lama menyimpan cerita tersebut sehingga tiba satu masa dia telah terbuka hati untuk berkongsi dengan cucunya. Segala yang bermain dalam hatinya akhirnya dapat diluahkan. Aku juga telah bertanya dalam dirinya setelah mendengar cerita datuknya. Aku berasa insaf setelah mendengar cerita Ibtisam. Aku mengerjakan solat sunat Aidilfitri dalam sendu kesedihan di atas pemergian Ramadan. Aku kadang – kala terkenangkan Syawal Ibtisam. Aku menanam tekad dan azam untuk mencapai taqwa pada Ramadan yang akan datang.

*Kajian ini dijalankan oleh saudari Rosmawati bagi menyiapkan tugasan kuliahnya di UUM, Sintok.

Posted in | Leave a comment




*Klik untuk besarkan

Sebarang pertanyaan atau pendaftaran, sila hubungi :

Ustaz Mad Hajat Din Mustappa 013-2363820
Ustaz Imran bin Shamsir 013-4666961
Pejabat ITQAN 06-4319598

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.