Kembara ke Ogonshoto
Rasa-rasanya hampir seminggu juga engkau telah mengembara ke kepulauan Ogonshoto. Engkau bagai melihat gunung berapi Gora-gora, Futu-Ata dan Rai-Rapa muncul megah keemas-emasan di atas banjaran masing-masing. Gunung-gunung itu berona sebam dilitupi habuk dan debu-debu putih kelabu. Itulah lambang kemegahan tiga buah pulau di kepulauan Ogonshoto.
Sepanjang kembara engkau ke kepulauan Ogonshoto ini, engkau tidak perasan yang mukamu juga berubah-ubah mengikut perasaan dan rasa hatimu ketika itu. Sebentar mencemik, sebentar tersenyum, sebentar engkau mengerut kening pula. Sehingga tahulah engkau yang kembaramu ke kepulauan Ogonshoto ini sarat dengan perlambangan dan kritikan waima kepada dirimu sendiri atau terhadap pencekcokan kuasa, pahit maung kehidupan, tulus mulus kasih sayang, kepesatan teknologi, kebudayaan, dan lain-lain lagi. Apa yang pasti ialah penjelajahan ini telah acap kali mencabar akal fikirmu, menajamkan tumpuanmu dan menikam lenamu.
Penjelajahan engkau acap kali juga terganggu, kerana engkau perlu memberi masa kepada Ramadan yang tidak selalu muncul. Malah, engkau juga merasakan penjelajahanmu ke kepulauan Ogonshoto dalam bulan Ramadan ini bukanlah sebuah kembara yang tidak bermanfaat, tetapi sebuah penjelajahan dan kembara yang penuh emosi, sarat perlambangan, penuh iktibar dan begitu mengesankan jiwamu.
Ketika engkau menulis entri ini untuk dikongsi dengan para pembacamu, engkau jadi gusar dan gentar juga jika ada yang bertanyamu - di manakah duduk letaknya Ogonshoto?
Tetapi engkau tenangkan hati kerana sebenarnya di mindamu sudah pun ada jawapannya. Ya, Ogonshoto sudah tidak wujud kerana telah dibaham tsunami berpuluh-puluh tahun yang lampau.
Kini, hanya tinggal sebuah buku yang berjudul Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan itu. Jika pembacamu tidak mahu ketinggalan, dan mahu berkongsi cerita dengan engkau lewat dunia Ogonshoto, maka engkau mengharapkan yang pembacamu akan membeli-baca Naratif Ogonshoto karya agung Anwar Ridhwan yang hebat itu.
Engkau mengharapkan agar mereka akan mendapat seribu iktibar, sebagaimana kemanisan yang telah engkau perolehi, sekembali dari kembaramu ke Ogonshoto.
AKO : Salam Lailatul Qadr kepada semua pengunjung AKO.