Archive for Oktober 2014

Hero di hati kami

Kredit foto: Relaksminda

Dahulu, bagi kami, orang-orang yang bekerja menjaga api dan air itulah merupakan hero kami. Jika air tiada berminggu-minggu, ada lori yang akan bekalkan air setong dari rumah ke rumah, tapi emak jarang guna air itu, kerana dia lebih sukakan air perigi di belakang rumah. Bila hujan mencurah-curah, melayahkan pohon-pohon dan ada yang patah mengena wayar atau tiang api, maka kami biasanya akan bergelap sepanjang malam. Kami akan pasang lilin, dan main bayang-bayang macam wayang kulit. Jendela dan pintu dibuka seluas-luasnya maka keesokannya akan bintatlah badan sebab gigitan nyamuk. Nyamuk hutan.

Adakalanya api ada semula, dan kami akan bersorak-sorai sebab boleh kembali meneruskan aktiviti malam, tapi dalam hati, kami cukup hargai orang yang bekerja menjaga api. Kegembiraan ada api semula pada waktu malam seperti rasa gembiranya kami melihat letupan mercun pada malam-malam hari raya. Bagi kami, adanya api seperti menghubung kembali rasa hati dan keseronokan melihat wajah teman dan keluarga. Bukannya sosok mereka tidak nampak dalam cahaya lilin, cuma berbalam-balam dan samar-samar dan adanya api menyebabkan kami puas hati, nampak sosok mereka sungguh-sungguh, dan kami boleh pula meneruskan aktiviti sungguh-sungguh.

Kadang-kadang pada waktu malam, ada derap-derap kaki askar Melayu melakukan rondaan di kampung. Kadang-kadang pintu diketuk dan mereka minta segelas air. Nenek akan sediakan dua tiga jag air untuk disedekahkan kepada semua askar rondaan yang ada. Pada waktu siang, kami akan segera main perang-perang, atau buat Letup-Letup dengan buluh, dan jadikan buah Cenerai sebagai peluru, kerana askar-askar itu adalah wira dan hero di hati kami.

Apabila isteri menimbulkan kerisauannya tentang kecenderungan anak-anak untuk bermain masak-masak, sehingga barang-barang di stor dipunggah semuanya untuk digunakan sebagai pinggan, kuali, cawan, sudu, dan pelbagai lagi barang yang berorientasikan perkakas dapur, saya mencadangkan dibelikan sahaja permainan berasaskan masakan, lalu isteri menjadi metah bimbang. Namun, saya menenangkannya dengan menceritakan kisah zaman kanak-kanak yang tanpa api, dan orang yang bekerja menjaga api adalah hero kami, kerana hanya itulah hero realiti yang tergambar dalam paradigma yang masih kecil.

Apabila anak-anak memiliki kecenderungan bermain masak-masak, dan sudah pandai pula bertanya menu seperti hendak makan apa, atau menyuruh rasa makanan imaginasinya, dan situasi itu menunjukkan bahawa di hati mereka ibu adalah seorang hero. Anak-anak sangat menghargai tugas dan peranan ibunya yang menyediakan makanan, menyuap dan bersusah payah memastikan perut mereka diisi. Itu menunjukkan kejayaan yang pertama dalam usaha mendidik mereka menghargai kerja dan peranan ibu, dan mesti sampai pada suatu masa paradigma itu akan berubah, seperti mana cita-cita kita yang pernah dan selalu berubah suatu ketika dahulu.

Situasi ini mengingatkan bacaan saya pada buku John C. Maxwell tentang berhubung. Buku ini menyedarkan saya tentang makna sebuah komunikasi yang sebenar dan efektif adalah dengan berhubung atau membina hubungan dengan insan-insan di sekeliling kita. Maxwell menggambarkan proses berhubung ini seperti sedang bercakap di telefon bimbit dengan talian yang terputus-putus kerana masalah rangkaian, dan situasi itu telah menimbulkan gangguan seperti tidak puas hati, kecewa, sedih dan boleh menjadi marah. Perasaan ini muncul kerana proses berhubung melalui telefon tadi tidak sampai pada objektifnya, membazir masa dan wang, dan mengganggu perkara yang dibincang dan ingin diselesaikan.


Tidakkah kita terfikir bahawa banyak situasi dalam kehidupan, kita lebih banyak berkomunikasi dari berhubung? Ia sesuatu yang menyedihkan jika melibatkan insan-insan akrab dan tersayang di sekeliling kita seperti ibu, bapa, adik, abang, anak-anak, dan setelah muhasabah dilakukan kita rupa-rupanya lebih banyak berkomunikasi dari berhubung.

Kemestian melihat gajet-gajet dan media sosial yang pelbagai menyebabkan kita tidak mampu mengurus masa dengan berkualiti. Misalnya sebagai ibu bapa, kemampuan kita hanya terbatas untuk melihat anak apabila dia bergaduh dengan adiknya, lalu perkataan yang wujud hanyalah teguran yang muncul dari sebuah kemarahan. Kita hanya pandai berkata ‘tidak boleh’ pada perkara yang buruk, dan berkata ‘ya’ pada perkara yang betul, sedangkan ‘tidak boleh’ itu menjadi kegembiraan buat anak-anak, dan ‘ya’ tadi adalah sebuah kepahitan pada perspektif mereka. Komunikasi hanya memberitahu, memaklumkan, menyampaikan, dan itu hanyalah sebahagian kecil dari proses berhubung. Akibatnya, perhubungan tidak berlaku, konflik selalu tercetus, dan kita gagal menjadi hero di hati mereka.

Kata John C. Maxwell untuk berhubung kita perlu memastikan antara perkara-perkara berikut (yang saya rumuskan penting dan perlu):

1.    Bersusah payah iaitu sanggup melakukan lebih dan memberi lebih

2.    Penghargaan datang tanpa dipinta iaitu sering mengungkap dan menerima kata-kata positif

3.    Ikatan emosi iaitu mempamer dan mendahulukan perasaan terutamanya rasa kasih sayang

4.    Kerjasama bertambah iaitu keberkesanan dalam berkerjasama dan memberi komitmen pada satu-satu tugas

5.    Pengalaman yang menyeronokkan iaitu berpuas hati setelah menyudahkan sesuatu perkara yang dilakukan bersama

6.    Cinta tanpa syarat iaitu kita menerimanya tanpa ragu dan mempersoal

Saya masih ingat pada watak Tukya dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung, keperitan dan kesunyian seorang tua yang tidak dihubung oleh anak-anak. Namun, tatkala membacanya, watak Tukya dalam novel ini kelihatan sangat berhubung dengan alam, seolah-olah ada persefahaman yang jitu dengan alam di kaki gunung Bongsu. Apabila membacanya saya seolah-olah dihubungkan dengan dunia silam, zaman kampung, dan mengubat kerinduan pada zaman kanak-kanak.


Saya tidak kekok membaca novel yang saya beli sekitar tahun 2009 ini. Barangkali tidak sama dengan imaginasi generasi pada masa kini dalam merasai dan menikmati secara empati segala-galanya tentang alam dan desa. Apa pun, naskhah ini bisa mengubat kerinduan kita yang seolah-olah terpisah di antara dua zaman, dan mengamati kembali siapakah hero di hati saya dan anak-anak.

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.