Archive for November 2012

Tekanlah suis 'berhenti', bersangka baik di hati, dan hanya kebaikan yang kita beri

Sabda Rasulullah s.a.w, "Seorang Mukmin seperti pohon yang ditanam, setiap masa angin kerap meniupnya. Seorang Munafik ibarat tanaman padi, ia tidak akan disentuh melainkan waktu menuai." (Sahih Muslim)

Begitulah kehidupan Muslim, selalu diusik dan disentuh dengan pelbagai asbab. Ibarat pohon yang tidak pernah sunyi dari desir angin. Terliuk-lentok dibuai dan dihembus. Namun, akarnya kukuh mencengkam bumi, kuat dan ampuh.

Akar itu seperti hati.

Pernah kita merasakan dalam hidup ini kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Apa yang kita rancang tidak menjadi. Apa yang kita beri, tidak seperti yang kita terima.

Allah sedang mendidik hati, biar kukuh memacak ukhrawi. Allah sedang mendidik hati supaya tabah, lantas segala mehnah menjadi mudah kerana sudah terbentur pasrah.

Namun, jika tarbiah dan ujian ini langsung dari Allah, melalui Qadha dan Qadarnya, kita terus berusaha untuk pasrah, malah terpaksa pula bersabar kerana tiada kudrat untuk melakukan apa-apa seperti musibah kematian misalnya. Bagaimana pula jika ujian itu datang dari makhluk, yang kita mampu pula untuk membalasnya.

"Tak perlu jujur sangat dalam dunia sekarang ni,"

"Tipu sikit-sikit tak apa, dunia ini penipuan,"

Pelbagai dialog akan muncul melalui pandangan akal, lalu kita sukar menafsir hakikat, lantas kadang-kadang sudah terhantuk baru terngadah.

Bukankah kejujuran itu sesuatu yang mesti dan selalu tanpa kompromi, sehingga baginda Rasulullah s.a.w apabila bergurau konsisten dalam benar dan jujur?

Tekan suis 'berhenti'

Tekanlah suis berhenti, dan berfikir sejenak apakah yang perlu kita lakukan. Kawal bicara dalam diri, supaya sentiasa berbaik sangka. Mulakan baik sangka itu dengan Allah, atas segala perancangan dan ketetapan-Nya kepada kita hamba-hamba-Nya.

Sebuah kereta dengan laju memotong kenderaan kita dari sebelah kiri. Spontan kaki menekan pedal brek kereta.

Tekan suis berhenti, dan fikirkan akibat jika kita melayan perasaan amarah kita itu. Kita mungkin menyumpah, sakit hati dan gelisah atau mungkin memilih untuk mengejar kereta itu dan membalas perbuatannya. Fikirkan, mungkin akan berlaku pergaduhan, keganasan, pertelingkahan lantas mengakibatkan dendam yang memudaratkan.

Bayangkan jika kita memilih untuk terus mengejar kereta itu, dan kereta itu laju membelok masuk ke sebuah hospital. Kemudian kita melihat pemandu itu keluar kereta dalam keadaan tergesa-gesa menggendong anaknya yang sedang berlumuran darah dengan wajah yang kesakitan.

Persepsi kita terus berubah, dan pantas pula kita meletakkan diri kita pada situasinya.

Alangkah indah, jika pada mulanya kita memilih untuk bersangka baik dan memaafkan.

Persepsi 'tidak berbaloi'

"Tak berbaloi ustaz, kita beri baik, sebaliknya yang kita dapat,"

"Entahlah ustaz, kadang-kadang rasa penat buat baik,"

Sebelum, semasa dan selepas buat baik, pastikan selalu bahawa kita sentiasa berada dalam keikhlasan. Orang yang buat baik tanpa ikhlas, amalannya tidak diterima di sisi Allah, dan amalan yang tidak diterima-Nya walaupun amalan itu zahirnya nampak baik, tetap juga tidak baik kerana batinnya rosak.

Keikhlasan ialah melakukan amalan tanpa mengharapkan balasan dan sebagai seorang hamba Allah, kita mengharapkan Allah menilai amalan itu sebagai sebaik-baik amalan di sisi-Nya. Ini asas untuk melakukan kebaikan iaitu membetulkan cara pandang kita pada ketetapan Allah.

Betulkan keyakinan bahawa Allah pasti membalas kebaikan, kerana itu janji-Nya yang kadang-kadang bukan langsung kepada kita tetapi barangkali kepada orang-orang yang kita sayang. Bahkan, jika bukan di dunia pasti akan menyusul di Akhirat.

Bukankah berbaloi-baloi!

Paksikan pada hati, bagaimana baginda Rasulullah s.a.w dilayan ketika baginda berdakwah di Taif. Bayangkan darah yang tumpah, kesakitan yang baginda hadapi sehingga Jibrail memberitahu baginda bahawa Allah telah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk diperintahkan oleh Baginda agar membalas kembali apa yang telah dilakukan oleh penduduk kota Taif. Bahkan begini jawab baginda Rasulullah s.a.w, "Bahkan aku berharap pada Allah kelak akan lahir dari tulang sulbi mereka kaum yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu."

Nah, jika sekarang kita menerima layanan yang bertentangan dengan kebaikan yang kita berikan, tekanlah suis 'berhenti', fikirkan akibat, bersangka baik (positif), paksikan cinta Nabi s.a.w, dan tentukan reaksi.

Ajaib, kerana sekarang kita semakin mudah tersenyum, tenang hati, dan hanya kebaikan yang kita beri!

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.