Archive for Oktober 2010

Kehidupan ini peluang, masalah itu cabaran, dan bimbing emosi dengan memberi

"Kita bermasalah!"

"Betul, kita bermasalah."

"Ya, memang kita ada masalah."

Berapa ramai dalam kalangan manusia yang tidak sedar bahawa dia sebenarnya mendepani masalah setiap hari. Masing-masing dalam kehidupan ini, mempunyai potensi untuk berdepan dengan segala masalah kerana dunia ini tiada jaminan. Malah hidup seorang Mukmin itu akan sentiasa diuji mengikut tahap imannya. Lebih tinggi imannya kepada Allah, maka lebih hebatlah ujian yang akan menimpanya.

Usah pesimis dan berpandangan negatif jika ada orang yang meminta kita untuk berubah. Jika sikap negatif kepada saranan dan permintaan untuk kita berubah itu terus melingkar di minda, dan tidak cuba untuk menghapuskannya, maka kita akan terus menjadi jumud dan orang yang sama pada setiap hari. Kita tidak akan maju dan sentiasa tenggelam dengan pandangan sendiri yang dirasakan baik dan sesuai. Maka, orang-orang yang ingin melihat kita berubah, dengan memberi saranan atau teguran akan mula menjauhi, sehingga akhirnya kita hanya akan dikelilingi oleh orang-orang yang suka mengampu, memuji dan menjulang kita setinggi-tingginya. Inilah orang-orang yang berkepentingan, yang hanya bersahabat dengan kita kerana sesuatu, dan apabila hilang sesuatu itu daripada kita, maka mereka semua akan bertempiaran lari, dan tinggallah kita seorang diri.

Ya, kita mesti sedar bahawa kita ada masalah, dan bersedialah untuk didorong supaya berubah.

Dunia ini suatu peluang

Menurut Imam Hasan Al-Basri, dunia ini hanya ada tiga hari. Hari kelmarin yang sudah berlalu dan kita tidak mampu lagi untuk mengubahnya. Hari esok, adalah misteri yang kita tidak tahu apakah kita akan masih memiliki kesempatan berada di dalamnya. Dan hari ini, kesempatan untuk kita melakukan amal soleh.

Benarlah bahawa kita perlu mendepani hari ini. Kita perlu menghadapi sekarang yang kita lalui dalam hidup ini. Yang lalu biarkan berlalu. Maka kita gunakan kesempatan dan peluang yang ada pada hari ini untuk kita menjadi lebih baik. Masa yang terbaik ialah di sini dan sekarang, bukan masa hadapan yang masih belum tentu dan pasti.

Seperti kata Saidina Ali Karamullahu Wajhah bahawa, rezeki yang tidak diperoleh hari ini masih dapat diharapkan hasilnya lebih banyak pada hari esok, tetapi waktu yang berlalu pada hari ini, tidak mungkin kembali esok.

Hari ini dan sekarang adalah perkara yang kita hadapi dan boleh kita usahakan, jadikan hari ini adalah milik kita, untuk kita gunakan sepenuhnya dengan kebaikan. Berfungsilah sebagai pekerja, ibu, bapa dan anak yang cemerlang, dan ikhlaskan niat sungguh-sungguh kerana-Nya, supaya segala apa yang kita usahakan bakal dinilai sebagai sebaik-baik amalan di sisi-Nya, insya-Allah.

Dunia adalah suatu peluang untuk kita menuai secukup-cukupnya amal kebaikan dan menyemai rasa cinta kepada-Nya dengan sepenuh hati. Dunia itu tiada jaminan untuk sesiapa, penuh ancaman di sana-sini, penuh risiko, kecuali orang yang tenang hatinya dalam rahmat Allah, redha dengan ketentuan dan percaya bahawa apa sahaja yang berlaku kepadanya adalah yang terbaik daripada Tuhan Yang Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.

Saya tertarik dengan puisi John Greenleaf Whittier ini :

No longer forward nor behind
I look in hope and fear;
But grateful take the good i find,

The best of now and here.


Usah bertangguh dan elakkan berkata "nanti". Lapangkan hati dan niat sungguh-sungguh. Sekarang, sentiasa peka dan bersedia dengan cabaran. Insya-Allah, kita akan menjadi Muslim yang lebih baik dari semalam!

Tukar masalah kepada cabaran, bimbing emosi dengan memberi

Hari ini dan sekarang, jika ada masalah yang bertandang kepada kita, maka lekas-lekas menukarnya dalam bentuk cabaran. Apabila paradigma kita berubah dalam melihat masalah, yakni melihat masalah sebagai suatu cabaran, maka kita akan berani menghadapinya. Kita tidak akan menjadi manusia yang lari dari masalah, atau memendam masalah itu dalam hati, sehingga membuak-buak dan akhirnya memakan diri sendiri. Adalah penting untuk kita meletakkan persepsi masalah sebagai cabaran, supaya kita akan berasa teruja untuk menyelesaikannya dengan cepat tetapi bijaksana. Betapa mudahnya selepas itu untuk kita mengukir sabar dan redha di tugu hati.
Apabila ditimpa masalah, ada orang mengambil langkah drastik dengan melepaskan tekanan melalui aktiviti yang negatif dan tidak bermanfaat. Sesungguhnya aktiviti tersebut boleh memudaratkan jiwa dan fizikal seseorang. Cuba ambil langkah selepas kita menukar masalah kepada cabaran, kita bimbing pula emosi yang tertekan itu dengan memberi. Tuntasnya, apabila kita ditimpa masalah, lapangkan hati dengan memberi manfaat kepada orang lain, sebab kita percaya, dengan memberi, rezeki kita akan bertambah, urusan kita dipermudahkan dan amanah serta tanggungjawab terasa ringan dan senang. Firman Allah Taala :

"Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan harta di jalan Allah serupa sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa saja yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnianya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah : 261)

Kehidupan ini peluang, masalah itu cabaran, dan bimbing emosi dengan memberi. Seperti kata-kata pengarang dan penerbit William A. Feather - one way to get the most out of life is to look upon it as an adventure. Dan cabaran itu adalah peluang, untuk kita menyemai benih Akhirat!

Posted in | Leave a comment

Bukan siapa-siapa, yang ingin menjadi seseorang

Saya bukan siapa-siapa, tetapi saya ingin menjadi seseorang, kerana sekiranya saya ingin mencipta sesuatu, saya perlu menjadi sesuatu.

Ya, kita semua bukan siapa-siapa di dalam kehidupan ini, tetapi setiap daripada kita selalu berusaha untuk menjadi seseorang dalam sesuatu bidang, sesuatu lapangan, atau apa sahaja yang kita ceburi. Apatah, kita mahu sentiasa menjadi seseorang dalam hati si dia yang kita sayangi.

Rasa ingin menjadi seseorang itu merupakan fitrah manusia, rasa inginkan perhatian, rasa mahu dikenali, rasa ingin menjadi itu dan ini, semuanya merupakan rasa yang tercetus daripada fitrah hidup seorang manusia. Apa yang menggerakkan seseorang berfikir sedemikian adalah daya imaginasi hasil dari rangsangan dan dorongan hidup masing-masing. Namun, amat penting bagi seseorang itu untuk mengenalpasti yang mana imaginasi dan yang mana angan-angan. Malah Albert Einstein pernah menyebut - imaginasi anda merupakan gambaran anda tentang kehidupan - your imagination is your preview of life.

Namun, sebagai Muslim, apa sahaja imaginasi yang memacu akal perlulah dimulakan dengan niat, sebelum disusuli dengan tindakan. Niatlah yang akan membezakan di antara adat dan ibadah. Niatlah yang akan menentukan kedudukan amal kita di sisi Allah.

Apakah yang lebih baik daripada kita menjadi seseorang di dalam bidang yang kita suka, atau menjadi seseorang di samping orang yang disayangi, berbanding menjadi 'seseorang' di sisi-Nya?

Imaginasi tanpa ilmu

Apabila seseorang berkarya, terutama dalam karya kreatif, peranan imaginasi sangat penting. Sebarang imaginasi yang dicurahkan dalam bentuk tulisan, jika dapat diolah dengan baik akan menjadi realistik dalam pemikiran pembaca. Pembaca akan terbawa-bawa bersama dalam struktur imaginasi yang dicipta oleh pengarang. Namun, sesungguhnya imaginasi tanpa ilmu itu sifar nilai. Imaginasi tanpa ilmu adalah seperti bermain bola sepak tanpa pintu gol. Seperti kata seorang pemikir Perancis, Joseph Joubert - seseorang yang berimaginasi tanpa belajar, mempunyai sayap dan tiada kaki - he who has imagination without learning, has wings and no feet.

Seorang Muslim yang berimaginasi tanpa ilmu, tanpa pengetahuan tentang syarak, ibarat mengheret dirinya ke arah dunia khayal dan seterusnya menyuburkan penyakit 'wahan' dalam hati sanubarinya. Imaginasi yang disuburkan dengan ilmu, akan menghasilkan produk yang bermutu, luhur dan yang paling penting mendapat 'kelulusan' daripada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan." (Luqman : 6)

Ya, imaginasi tanpa ilmu, sia-sia, malah boleh mengundang azab.

Amanah menggunakan akal

Akal merupakan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada manusia. Setelah Allah menciptakan nafsu atau syahwat sebagai ujian besar buat manusia, maka Allah ciptakan akal sebagai penyeimbangnya. Tidak cukup sekadar itu, Allah mengutuskan Rasul sebagai rahmat daripada kalangan kaum manusia sendiri sebagai wasilah kepada Risalah Wahyu, malah menjadi ikutan dan contoh yang boleh diikuti kerana para Rasul juga memiliki keperluan untuk hidup sebagai seorang manusia seperti makan, berkahwin, berkecindan dan segala macam seni kehidupan.

Islam meletakkan akal fikiran di tempat yang tinggi bagi manusia mentadbir bumi sebagai khalifah, berfikir tentang segala kejadian dan kesan ciptaan-Nya sehingga akhirnya mereka mampu mengenal Penciptanya. Contoh perbandingan kehebatan manusia sebagai khalifah ini Allah rakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud :

"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah (menerima amanah). Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (al-Hasyr : 21)

Semakin tinggi akal seseorang, semakin luhur jiwanya untuk mengekang nafsu atau syahwatnya. Ini kerana kemuncak akal seseorang akan mengembalikannya semula kepada basis agama atau teras syariat iaitu Tauhid.

Menggunakan akal untuk berimaginasi atau apa sahaja bentuk fikir merupakan amanah Tuhan kepada manusia. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, apatah apabila dicurahkan dalam bentuk yang 'jamid' pasti akan dinilai oleh Allah. Malah, seorang manusia juga mampu menilai bagaimana seseorang yang lain berfikir melalui tulisan-tulisan yang dihasilkannya.

Kata Imam al-Ghazali, akal itu perlu berfungsi seperti buah kepada pokok, cahaya kepada matahari dan pandangan kepada mata.

Jika mahu menjadi seseorang, pastikan akalmu berfungsi dengan ilmu, dan ilmu perlu selalu berpaksikan wahyu.

Posted in | 2 Comments

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.