Oleh Amiza Khusyri bin Yusof
Setiap daripada kita berhak memilih, dan berhak menjadi apa yang kita sendiri ingini. Setiap daripada kita yang diciptakan oleh Allah mempunyai kelebihan masing-masing, dan merupakan sebaik-baik kejadian. Tiada alasan untuk kita tidak memilih untuk menjadi yang terbaik dan manusia hebat.
Saya rasa, antara sindrom yang menguasai kebanyakan diri remaja yang ingin memilih untuk berubah, atau lebih hebat lagi, yang terpilih atau memilih untuk berdakwah, ialah rasa rendah diri yang tidak kena tempat. Ada juga dalam kalangan remaja yang bertangguh untuk melakukan perubahan terhadap diri, walaupun sudah mula yakin dan percaya untuk berubah.
“Risaulah ustaz, kawan-kawan ejek.” Kata seorang peserta dengan kening berkerut.
“Insya-Allah ustaz, cuma saya rasa belum cukup kuat untuk berubah.” Kata seorang peserta dengan senyuman yang dibuat-buat.
Saya selalu katakan kepada remaja, bahawa dalam hidup ini kita hanya mempunyai dua pilihan, sama ada baik atau buruk, dan jika kita memilih untuk tidak melakukan apa-apa, maka kita tidak layak untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. Khalifah itu sendiri telah menempati makna pilihan itu, iaitu manusia sebagai makhluk pilihan Allah untuk mentadbir bumi dan menjadi pemimpin kepada sekalian makhluk lain berpandukan suluhan akal dan wahyu.
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." (Al-Baqarah : 30)
“Apakah seorang manusia itu layak ditaklif menjadi khalifah jika kriteria khalifah itu dinilai dari sudut kegarangan dan ketegasannya?” Saya bertanya kepada para peserta saat bermulanya program. Mereka pantas menggeleng.
“Ya, nescaya seekor singa lebih layak jika kriteria khalifah hanya dinilai dari sudut itu.” Saya menokok.
“Apakah seorang manusia itu layak dipilih menjadi khalifah jika dinilai dari sudut kegagahan dan kekuatannya pula?” Peserta menggeleng lagi.
“Ya, nescaya seekor gajah itu lebih layak.” Para peserta mengangguk.
“Namun lihatlah, bagaimana seekor singa yang garang itu akhirnya dapat dijinakkan dan dikurung. Seekor gajah yang gagah itu akhirnya dapat ditunggang oleh seorang yang bergelar manusia.” Saya tersenyum memandang peserta. Wajah yang keruh, kini mulai bertukar jernih.Setiap daripada kita adalah khalifah dan dipilih oleh Allah untuk menerajui pentadbiran bumi dengan manhaj-Nya. Allah telah menyatakan secara jelas tentang ciri-ciri khalifah ini.
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan beramal soleh bahawa akan menjadikan mereka khalifah di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah, dan akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai bagi mereka, dan akan menukarkan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu pun. Barangsiapa yang kufur selepas itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.” (An-Nur : 55)
Jelaslah bahawa sebagai seorang yang dipilih menjadi khalifah di atas muka bumi, tidak boleh tidak kita perlu memilih untuk menjadi hebat dan cemerlang dengan keimanan, amal soleh dan sentiasa iltizam dengan agama Allah. Setiap remaja perlu memilih untuk menerima kehebatan ini, supaya tidak menjadi manusia yang bermimpi, dan segala yang dilakukan merupakan igauan dalam mimpi itu, walaupun kelihatannya sedang berjalan di alam realiti. Hanya akan disedarkan dengan lanjutnya usia, atau hanya sedar apabila tibanya waktu sakit. Seperti pesan baginda Rasulullah s.a.w. tentang lima perkara sebelum datang lima perkara.
“Saya rasa tak layaklah, ustaz.” Adu seorang peserta yang kelihatan sangat sedih.
“Saya banyak dosa.” Luah seorang peserta lagi.
Perlu diingat, setiap manusia yang dilahirkan itu tidak sempurna dan punyai kekurangan masing-masing. Malah, kekurangan itu juga boleh menjadi kelebihan diri melalui kepercayaan kepada kebolehan dan keupayaan untuk mencapai apa yang diingini.
“Cuba kita sama-sama renungkan, apabila kita tiba di hari akhirat nanti, adakah kita mempunyai pilihan lain selain syurga dan neraka?” Kata saya kepada sekalian peserta, ada yang mencatat dan ada yang merenung.
“Sekiranya kita memilih syurga, maka secara tidak langsung kita telah memilih menghuni syurga bersama-sama para sahabat yang hebat seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali?” Saya menyambung soalan dengan memandang tampang mereka beralih-alih dalam senyum.
Tentulah apabila ditanya kepada setiap remaja, mereka pasti memilih syurga sebagai destinasi terakhir. Soalan ini menjadi soalan wajib yang akan saya tanya setiap kali sesebuah program berlangsung. Maka sudah tentulah jawapan positif yang saya terima, kerana setiap manusia itu tidak mampu melawan fitrahnya yang suci dan mulia.
“Justeru, adakah pilihan lain dalam hidup kita melainkan memilih untuk menjadi remaja yang hebat?” Ada cahaya bersinar daripada wajah-wajah remaja di hadapan saya. Ada senyuman perlahan-lahan terukir di bibir sebahagian peserta.
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh remaja pada zaman yang semakin mendesak ini adalah penekanan kepada ilmu tauhid. Setiap remaja perlu disuguhkan dengan kefahaman tentang konsep Abid, Ibadah dan Ubudiyyah, supaya mencetuskan keyakinan serta kecintaan sepenuhnya kepada Allah. Keyakinan dan kepercayaan yang benar dan jati, jitu dan padu, mantap, tidak goyah dan tidak berbelah bahagi terhadap Allah, menjadi teras tauhid.
Keyakinan ini akan tumbuh dan menjadi subur di dalam hati, yang akan menggerakkan akal untuk berfikir dan akan memandu tubuh untuk melakukan ibadah atau kerja mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah. Itulah keyakinan sebenar, yang akan menjadi pemangkin kepada kejayaan diri seseorang. Salah satu golongan yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan kecuali perlindungan-Nya ialah pemuda yang hidup di dalam keadaan memperhamba diri kepada Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah).”
Remaja yang terbentuk melalui kekuatan tauhid telah memiliki persediaan dan berkemampuan untuk mendepani segala cabaran. Remaja Tauhidik sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab, tidak akan terseleweng dan berasa lemah, tidak akan terpesong dengan tiupan angin fitnah, tidak menyerah kalah atau berputus asa, serta tidak akan tergelincir ke dalam keruntuhan dan kerosakan.
“Siapa yang ingin menjadi remaja yang dikagumi Allah?” Saya bertanya dalam senyum kepada para peserta.
Semua peserta mengangkat tangan.
“Ya Allah, Engkau bersaksi ya Allah, bahawa mereka ingin menjadi remaja yang memenuhi masa muda mereka untuk beribadah kepada-Mu.” Suara saya mendoakan dalam rayu.
“Aminnnn!” Para peserta menyahut, dan mereka semakin semangat mengangkat tangan. Kejap dan tegap.
“Maka mereka yang mengangkat tangan inilah remaja yang memerkasa tauhid, remaja yang berjalan dengan iman dan amal. Andalah Remaja Tauhidik!”
Kata saya dalam senyum, mengakhiri sesi bersama para peserta pada hari itu. Di hadapan saya, ada wajah-wajah yang bersinar memancarkan cahaya tauhid, dengan keazaman yang berkobar-kobar.
Majalah Dakwah, YADIM, Isu 01 Mei-Jun.