Archive for Mei 2009

Siapakah Kita?

Siapakah kita?

Soalan ini adalah soalan yang wajib kita kemukakan setiap hari kepada diri. Percaya atau tidak, jika kita benar-benar amati, konsisten dan fokus, soalan ini akan terus menusuk ke hati dan membangkitkan perasaan rendah diri dan sentiasa tawaduk dalam segala perkara.

Soalan ini barangkali adalah soalan biasa, soalan yang sangat biasa ditanya guru-guru semasa di sekolah rendah dahulu. Soalan yang mudah dan senang dijawab. Namun, sekiranya soalan ini dijawab dengan betul, tepat dan berwibawa mengikut tahap pemikiran masing-masing, maka kita akan mampu untuk melakukan tranformasi dengan baik.

Tranformasi apa? Tranformasi yang dimaksudkan ialah pemikiran untuk kita sentiasa mahu lebik baik daripada semalam. Pemikiran untuk kita sentiasa inginkan terbaik dalam setiap perkara yang kita lakukan. Transformasi yang melahirkan kualiti dan kemenangan. Bukankah yang terbaik itu tuntutan Tuhan?

Siapakah kita?

Bukankah kita adalah makhluk terbaik ciptaan Tuhan yang dikurniakan akal fikiran dan kewarasan menimbang dan menilai? Tuhan telah cipta kita begitu dengan segumpal daging yang sentiasa mempengaruhi wacana dan tingkah. Rasulullah telah mengingatkan tentang kepentingan segumpal daging ini, yang sentiasa perlu digilap dan dibentuk ke arah kemakrufan dan kebaikan. Allah telah memberi amaran tentang segumpal daging ini, yang mampu menghumban kita ke neraka Allah dengan azab yang pedih.

“Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepada manusia (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia hendak bersyukur (dengan beriman dan taat) atau ia berlaku kufur dengan mengingkari kebenaran dan menderhaka).” (al-Insan : 3)

Tuhan telah meletakkan kita sebagai khalifah di atas muka bumi, menunjang kepemimpinan Islam dan membawa risalah tauhid ke seluruh alam. Dengan mengetahui bahawa kita adalah pemegang risalah tauhid dan ingin menyampaikan kepada manusia seluruhnya tentang cinta kepada Khalik, maka nescaya segala kasad dan tingkah, akan selari dengan ciri khalifah yang telah Allah tetapkan kepada kita sejak azali lagi.

Namun, jangan sesekali lupa bahawa, kita terjadi daripada air mani yang tiada erti. Kita dijadikan daripada tanah dan akan kembali kepada tanah yang dipijak-pijak dengan amalan dan bekalan masing-masing. Melalui peringatan dan soalan ini, kita akan sentiasa sedar di mana kita berpijak dan tahu siapa kita walau di kedudukan mana kita berada, meski di martabat mana kita berada. Tuhan telah mengingatkan bahawa dunia ini hanya mainan dan tiada apa-apa, hanya sebagai ladang untuk kita bertanaman dan berbajaan mencari keredaan-Nya di negeri yang tiada akhirnya.

“Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mainan dan berseronok-seronok, dan hari akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Apakah kamu tidak memikirkannya?” (al-An’aam : 32)

Siapakah kita?

Nah, bukankah dengan sentiasa bertanyakan soalan ini kepada diri kita akan membentuk perilaku yang hebat tetapi sentiasa berhemah? Soalan ini akan membentuk minda optimis dan aktif tetapi dengan jiwa yang lapang dan sentiasa menghormati pandangan orang lain. Soalan ini akan membina jiwa yang interaktif dan bermatlamat jauh tetapi dengan sikap merendah diri dan sentiasa tawaduk.

Bukankah bertanyakan soalan ini dan bermuhasabah adalah sesuatu yang mudah?

“Allah mengingini bagi kamu kemudahan dan Dia tidak mengingini bagi kamu kesusahan.” (al-Baqarah : 185)

Justeru, mari kita sama-sama mewujudkan koreksi dan bertanya diri – siapakah kita?

*Esei ringkas saya untuk kuliah motivasi maghrib di Kolej Mara, Rembau.

AKO : Selamat Hari Ibu & Selamat Hari Guru!

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.