Semoga rindumu kekal bertamu

Ketika dia datang kepadaku bertanya : di manakah kamu, sudah sekian lama menghilang?

Lalu aku berkata kepadanya, manusia itu datang dan pergi, dan engkau yang masih di sini, teruskanlah perjuangan, kerana lorong kita berbeza, payah kita lain tanggungnya, cuma matlamat kita serupa dan mulia pastinya.

Bukankah orang sentiasa memerhatikanmu, ingin berkongsi iktibar dan gendalamu?

Lalu aku pun menjawab, perhatikanlah di sekelilingmu, amatilah titisan embun di hujung daun, meluncur dan jatuh ke tanah, matahari yang naik menyimbah nur, mengeringkan yang lembab, seiring dengan kicau merbau, kelicap dan tekukur sehingga bertamunya malam. Bukankah terlalu banyak yang boleh engkau perhatikan?

Sahabat, tulislah selalu, bukankah kehilanganmu akan menjuakkan rindu?

Aku menarik nafas, dalam senyuman ikhlas.

Kepada rindu, kuutuskan salam kasihku, biar rindu itu akan kekal bertamu. Benar, manusia itu akan merindu, menghargai apabila sudah kehilangan. Namun, tulisanku tidak akan hilang, tidak akan sepi, selagi mana ada rindumu, selagi mana ada rahmat kasih Tuhan kepadaku, di celah-celah keripuhanku membangun generasi, selagi Dia memberikanku kekuatan dan sumber inspirasi.

Semoga Tuhan memberikanmu rahmat dan kekuatan.

Semoga. Kerana doamu, sejahteralah hendaknya, aku, kita dan mereka.

Pada rindu
kuutuskan salam
biar abadi
di ruangan hatimu
semerbak cinta
daerah perjuanganku.

AKO : Kini bertugas sebagai tenaga pengajar sepenuh masa di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan [ITQAN].

Leave a comment

Hijrah Dua Jiwa

Sekian lama
dua jiwa itu terpisah
kerana dunia
kerana harta
dan bijak anak-anak.

Lupa erti cinta
makna silaturrahim
dan mulus ikatan leluhur.

Pada rasa
mereka cambahkan benci
bajakan iri
kuburkan kenangan.

Jadilah kalbu
sentiasa ngilu
dengan sembilu dendam
dan duri-duri kesumat.

Lalu anak-anak
penuh geliga
mempertemukan kembali
dua jiwa itu
dalam kenangan
di sebuah teratak usang
sempena kehadiran 1427.

Image hosting by Photobucket

Cerita suka ria
dan perit jerih
nostalgia lalu
yang pernah menghiburkan
setiap jiwa itu
kembali membesar
dan menyerikan.

Pabila mata bertemu mata
kalbu bagai bersenyawa
dan senyuman kasih
kembali terukir
kerana Ar-Rahman
dan Ar-Rahim-Nya.

Kini
dalam kalbu
ada cinta
yang semakin membesar
disuluhi jujukan cahaya
dari sebuah peristiwa bersejarah
bernama Hijrah.

Amiza Khusyri, Seremban, 5 Februari 2006.

Leave a comment

Nur Hijrah

Namanya Nur Hijrah,
penghias hati bonda,
penawar kalbu ayahanda.

Namanya Nur Hijrah,
kerana kami ingin
jiwanya bergemerlapan
dengan cahaya penghijrahan.

Namanya Nur Hijrah,
kerana kami ingin
dia sentiasa memahami
hakikat pengorbanan.

Namanya Nur Hijrah,
kerana kami ingin
hatinya sentiasa terbuka
untuk kemakrufan,
berani mempertahankan kebenaran.

Image hosting by Photobucket

Kami ingin dia memiliki
kebijaksanaan Aisyah,
kasih sayang Fatimah,
keperkasaan Khaulah,
dan mewarisi ketenangan Khadijah,
yang sentiasa mengerti.

Nur dan Hijrah,
Nur Hijrah,
Namanya Nur Hijrah,
Buah hati kami.

Amiza Khusyri Yusof, Seremban, 24 Januari 2006.

AKO : Salam Hijrah 1427, buat semua pengunjung AKO. :)

Leave a comment

Antologi Penulis Muda Darul Khusus

PERSATUAN Penulis Negeri Sembilan [PEN] akan menerbitkan Antologi Penulis Muda Darul Khusus yang menghimpunkan karya-karya penulis muda Negeri Sembilan dalam genre cerpen dan puisi.

Penerbitan antologi itu bertujuan menghimpun dan memperkenalkan penulis-penulis muda Negeri Sembilan yang berbakat dalam karangan kreatif.

Justeru, PEN mempelawa semua penulis Negeri Sembilan yang berumur bawah 35 tahun untuk menghantar karya dalam dua genre tersebut dengan syarat mereka adalah anak jati Negeri Sembilan walaupun bermastautin di luar Negeri Sembilan.

Keutamaan diberikan kepada cerpen dan puisi yang telah diterbitkan dalam media cetak, manakala karya yang masih belum diterbitkan juga dialu-alukan.

Jumlah karya tidak dihadkan, tetapi penyusun berhak menyenarai pendek serta memilih karya-karya yang sesuai dan berkualiti untuk antologi tersebut.

Penulis yang menghantar karya perlu mengirimkan biodata lengkap termasuk nama, alamat, nombor telefon dan e-mel masing-masing.

Penganjur berhak menolak mana-mana karya yang tidak mempunyai butiran lengkap. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Nisah Haron di talian 06-7675 722 dan Amiza Khusyri Yusof di 06-7923 967.

Karya-karya tersebut boleh dihantar melalui e-mel nisah.haron@gmail.com atau amizakhusyri@yahoo.com atau dihantar ke Urus Setia Antologi Penulis Muda Darul Khusus, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), No. 59, Lorong Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban, sebelum 28 Februari 2006.

Sumber : Utusan Malaysia, 16 Januari 2006.

Leave a comment

Maafkanlah Nisa, Tuhan

Ketika mata Nisa terpaku mengamati bintang-bintang malam Zulhijjah berkelip di dada langit, bulan yang cerah bercahaya indah, diiringi angin malam yang mengelus-elus lembut ke tubuh, Nisa suka memejamkan mata sesudah letih-letih bekerja, meladeni suami dan dua jiwa yang masih kecil. Nisa gemar mengamati, menaakul dan melayangkan diri mengingati episod hidup Nisa yang lalu.

Nisa masih ingat lagi pesanan Abah dalam senyum kasihnya. Selalulah tanya dirimu, apakah yang telah engkau lakukan untuk agamamu?

Ibu pula kala itu akan tersenyum manis memandang Abah. Dia berkata dengan lembut - semoga kita dapat menumpang budi sekali bila sudah tiada nanti.

Pesanan Abah sentiasa Nisa ingat, semaikan dalam hati hatta kini. Senyuman ibu yang penuh erti, Nisa bawa dan nyalakan dalam minda setiap masa. Meskipun mereka kini sudah bertemu Ilahi, aman hendaknya di alam sana.

Nisa pejamkan mata, mengingati episod hidup Nisa. Apakah yang telah Nisa lakukan untuk agama?

Sehingga mengalirlah air jernih di pipi Nisa yang mulus. Air mata sebak, sendu dalam sesal.

Tuhan, Nisa tidak melakukan apa-apa untuk-Mu. Malah, Nisa kadangkala iri hati, kadangkala berdengki. Nisa kadangkala kasar dengan suami, Nisa kadangkala tidak taat dengan perintah-perintah-Mu, Nisa kadangkala leka, alpa dan kurang memberi masa serta asuhan kepada dua jiwa yang masih kecil itu.

Sedangkan Engkau, Tuhan. Setiap masa Engkau masih benarkan jantung Nisa berdetak, Engkau berikan udara untuk pernafasan Nisa, Engkau masih benarkan Nisa bernyawa meskipun Nisa tidak lakukan apa-apa untuk agama-Mu, Tuhan. Meskipun Nisa ingkar dan alpa dengan tanggungjawab Nisa.

Nisa sedar, selagi gelaran Muslimah yang Nisa junjung, maka Nisa juga bertanggungjawab untuk lakukan sesuatu untuk agama. Ini bukan tugas siapa-siapa, bukan tugas orang-orang tertentu, tetapi tugas Nisa, kerana Nisa seorang Muslimah. Nisa faham, Nisa akur kerana Nisa ingin menjadi seorang Muslimah yang bertanggungjawab.

Nisa menarik nafas dalam sendu dan sebak membadai.

Image hosted by Photobucket.com

Tuhan, maafkanlah.

Tuhan, ampunkanlah.

Ketika belakang ibu jari mengesat air jernih yang tekal mengalir di pipi, Nisa selalu pacakkan tekad, tanamkan azam dan suburkan semangat. Tekad, azam dan semangat yang baru.

Suami tiba-tiba datang merapati Nisa dan melafazkan lembut doa azimat - semoga menjadi isteri dan ibu yang solehah, sayang.

Sebak di hati Nisa sudah tidak terkatakan. Suami mengucup lembut dahi Nisa, dan Nisa tersedu-sedu dalam dakapan kasihnya, mengiringi malam Zulhijjah yang semakin menjarak.

Oh Tuhan, maafkanlah, dan berikanlah kekuatan kepada Nisa.

Leave a comment

Aku ingin menjadi.. (ii)

Aku ingin menjadi air
yang akan menenggelamkanmu dalam banjir sengsara.

Aku ingin menjadi api
yang akan membakarmu, jiwa dan raga.

Aku ingin menjadi angin
yang akan menghumbankanmu ke lembah derita.

Aku ingin menjadi tanah
yang akan memamahmu, jasad dan nyawa.

Image hosted by Photobucket.com

Teman, adakah mulia jika hidup sentiasa berdengki dan berdendam?

Amiza Khusyri, 6 Januari 2006.

Leave a comment

Adik, ayah dan tahun baru

Adik betul-betul terkejut. Terkejut dengan kata-kata ayah pada pagi satu januari, waktu itu matahari baru sepenggalah naik di kaki langit, adik datang kepada ayah dan mengucapkan selamat tahun baru dengan ikhlas.

"Dik, ini bukan tahun baru kita!" Kata ayah dalam senyuman tenang.

Adik terkejut dan kerut kening pandang ayah. Adik garu kepala. Kepala adik penuh tanda tanya - betulkah ini bukan tahun baru kita?

Adik lihat jiran rumah sebelah kanan adik pada malam tahun baru, buat jamuan besar-besaran. Begitu juga jiran sebelah kiri adik buat pertandingan karaoke. Jiran depan rumah adik pula buat sukaneka dan pertandingan pakaian beragam.

Tidak cukup dengan itu, adik lihat di mana-mana sahaja ada ucapan selamat tahun baru. Di pasaraya, di pejabat, dalam majalah, dalam akhbar, semua orang ucapkan selamat tahun baru. Semua orang nak pasang azam baru. Semua orang sorot semula sejarah sepanjang setahun yang lalu. Dalam televisyen pula, adik tengok meriah benar. Ada konsert, ada nyanyian, ada iklan, macam-macam ada.

Adik lekas-lekas tanya ayah : kenapa kata ini bukan tahun baru kita?

Ayah tersenyum lagi. Tenang sahaja ayah menjawab : kita umat Islam ada tahun baru kita sendiri. Tahun kita dikenali sebagai Tahun Hijrah. Adik pernah dengar Awal Muharam atau Maal Hijrah?

Adik angguk.

Image hosted by Photobucket.com

Ayah berkata lagi : itulah tahun baru kita sebagai umat Rasulullah. Mengingati, mengiktibari dan mencontohi sejarah hijrah dan pengorbanan kekasih kita Rasulullah.

Adik angguk lagi. Kemudian adik bertanya ayah lagi : habis, kenapa orang sambut tahun baru semalam meriah-meriah?

Ayah usap kepala adik dan menjawab : silapnya kita dik, bila sambut tahun baru semalam macam nak bergegar bumi, tapi bila tibanya Awal Muharam semua buat macam tak endah. Patutnya bila tibanya Maal Hijrahlah kita bersungguh, kita berdoa dan berazam untuk berhijrah dari keburukan kepada kebaikan.

Ayah hela nafas dan mengucup pula kepala adik kemudian menyambung kata : adik tak macam tu, kan? Ayah tahu, anak ayah sayang nabi dan para sahabat baginda, kan?

Adik angguk dan ada seulas senyuman terbentuk di bibir adik. Senyuman kepuasan, senyuman kecintaan.

AKO : Sedang menikmati Wi & Wiliam, Azizi Hj. Abdullah.

Leave a comment

Katakan pada cinta

Dia hanya seorang gadis yang pernah berkata pada cinta : jangan datang kepadaku, kau akan membebankan, menggelisahkan, menyangsikan, mengghairahkan.

Dan dia melarikan diri dari cinta, sehingga beberapa kali cinta datang kepadanya merayu, mendamba dan memuji.

Dia tegar mempertahankan prinsip - katakan 'tidak' pada cinta.

Dia menyalahkan cinta, kerana cintalah ramai yang peranda, ramai yang nestapa dan ramai yang durjana. Dia meletakkan semua pundak kesalahan pada cinta.

Image hosted by Photobucket.com

Dan cinta masih begitu. Masih tulus, suci, indah dan berseri. Cinta memang begitu, akan terus merayu, mendamba dan memuji. Kerana Tuhan telah menciptakan Adam, untuk mencintai, melindungi, membajai. Kerana Tuhan telah menciptakan Hawa, untuk dicintai, dilindungi, dibajai.

Akhirnya, dia terjelepok jatuh di hadapan cinta. Prinsipnya lebur, hatinya akur. Dia menerima cinta dari tangan seorang pemuda, yang sudi memimpinnya ke gerbang perkahwinan.

Dan pertama kali dia mengenali cinta, cinta yang bukan hanya membebankan, menggelisahkan, menyangsikan, mengghairahkan. Tetapi dia mengenali yang cinta itu juga mendamaikan, menenangkan, melindungkan, membahagiakan.

Dua hari sebelum ke gerbang perkahwinan, takdir Rabbul Jalil menentukan. Pemuda yang memberikannya cinta, cinta yang tulus, suci, murni dan berseri, telah dijemput bertemu Ilahi. Dia dipanggil dengan aman dan sentosa setelah memimpinnya mengenali keluhuran cinta.

Cintanya masih begitu, tulus, suci, indah dan berseri. Cintanya memang begitu, terus merayu, mendamba dan memuji.

Hari pengebumian si pemuda yang memberikannya cinta, saat talkin dan doa dibacakan, buat pertama kalinya dalam linangan air mata, dia telah mengenali dua cinta. Cinta yang datang pergi dan cinta yang kekal abadi.

Detik itu juga, dia nekad mahu berusaha memiliki cinta yang kekal abadi. Cinta yang tiada galang ganti. Cinta yang hakiki.

Ya, selepas ini dia akan mengatakan 'ya' pada cinta.

Leave a comment

Reseptif

Apakah jawapan dan perasaan anda bila dikritik?

1] Antara jawapan paling popular : cubalah kau jadi macam aku, berada kat tempat aku.

2] Jawapan favourite lain : cakap senanglah!

3] Jawapan sumbang : kau memang tak hargai kawan!

Perasaan yang bergelodak dalam jiwa orang yang dikritik :

1] Mencari kesilapan kritikus sampai ke lubang cacing; sehalus-halusnya.

Dialog hati : tunggulah kau!

2] Tidak mempedulikan kritikan.

Dialog yang sebolehnya mahu dilemparkan kepada si kritikus : lantaklah, mind your own business!

4] Mengumpat di belakang.

Dialog popular : dia tu tak boleh tengok orang senang. Dengki!

5] Tak puas hati sentiasa.

Dialog glamor : aku memang tak bolehlah tengok muka dia tu.

Marilah kita bersama-sama belajar menerima kritikan yang membina. Bukankah Saidina Umar juga pernah meminta rakyat jelatanya mengkritik atau menegur kesalahannya?

Sebagai manusia biasa, kesilapan itu mesti kerana kita hanya berstatus hamba-Nya. Bersama merubah mentaliti menjadi insan yang reseptif!

AKO : Aduh, Melayu. :D

Leave a comment

Kerana kau mendekatiku, aku mendekati-Mu

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku duka dan pilu
kau hembuskan kata ria,

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku sendu dan keliru
kau bisikkan kata cinta,

Image hosted by Photobucket.com

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku cinta dan rindu
kau berikan kata dusta,

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku berbusa harapan
kau nyatakan benci dan sesal.

ii.

Ketika aku mendekati-Mu
dalam duka dan pilu
Kau berikan ria dan ketenangan,

Ketika aku mendekati-Mu
dalam galau dan sendu
Kau lorongkan jalan pasti,

Image hosted by Photobucket.com

Ketika aku mendekati-Mu
dalam cinta dan rindu
Kau turunkan ujian dan rahmat,

Ketika aku mendekati-Mu
dalam harapan dan doa
Kau sediakan tempat
untukku di syurga.

Amiza Khusyri Yusof, 15 Disember 2005, Seremban.

AKO : Sedang membaca Surat-surat Perempuan Johor, Faisal Tehrani.

Leave a comment

Yang manis-manis

Yang manis-manis sahaja. Yang manis-manis itu ramai orang suka, tetapi ramai pula orang lupa, hakikatnya yang manis-manis itu hanya dapat dinikmati setelah menelan yang pahit-pahit. Seperti nenek yang telan ubat pahit-pahit, akhirnya nenek sihat dan dapat nikmati hidup yang manis-manis. Dapat tatap muka cucu yang manis-manis.

Tuhan beri kita yang pahit-pahit, yang sekiranya kita reda menelan, Dia sudah sediakan pula yang manis-manis. Oh, barangkali ada yang berkata, sepanjang hidupnya, Tuhan tidak pernah beri yang manis-manis, Tuhan beri yang pahit-pahit sahaja. Jangan lupa, Tuhan telah pilih kita hidup dalam Islam dan sebenarnya sudah lama sediakan untuk kita yang manis-manis. Yang manis-manis itu maksudnya, dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai yang bagaimana, tidak dapat diterjah oleh akal fikir hamba-Nya. Bukankah sebenarnya, Tuhan beri yang pahit-pahit supaya kita tahu di manakah kedudukan iman?

Tuhan telah beri saya yang manis-manis sekarang, kerana mungkin saya sudah telan yang pahit-pahit dahulu. Namun, saya tidaklah boleh leka dengan yang manis-manis ini, kerana bila-bila masa sahaja Tuhan boleh beri yang pahit-pahit pula. Ya, saya perlu sentiasa bersedia.

ii.

Saya rasa yang manis-manis, pada malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan, 18 November lalu. Saya rasa yang manis-manis bila menerima hadiah itu dan tidak sangka layak menerimanya. Saya tidak sangka, dengan hasrat saja cuba-cuba, cerpen Salju Jabal Musa itu boleh menang juga.

Saya rasa yang manis-manis dalam waspada meskipun serasa sayalah penerima yang paling muda pada malam itu. Saya rasa yang manis-manis bila dapat bersemuka dengan tokoh-tokoh penulisan terkemuka. Saya jumpa Nisah Hj. Haron yang bajunya bergemerlapan dalam senyum ceria. Saya ketemu Dr. Amida Abdul Hamid [Anis] yang kekal mesra seperti pertemuan dahulu juga. Saya tegur si pengantin baru Siti Jasmina Ibrahim yang didampingi ibubapanya. Saya sapa Puan Mahaya Mohd. Yassin, yang matanya kelihatan berkaca. Saya berkenalan dengan Puan Nor Azah Abd. Aziz, yang tersenyum manis di sisi suaminya. Saya bersua dengan penulis-penulis veteran yang telah banyak berjasa.

Saya rasa yang manis-manis, tanpa lupa melafazkan syukur kerana masih diberi kesempatan oleh Rabbul Jalil merasai yang manis-manis itu. Alhamdulillah.

iii.

Masih yang manis-manis dalam bengkel cerpen PEN 20 November lalu. Masih yang manis-manis seperti manisnya Mawar Shafei yang sempat datang bermuzakarah dengan baju kurung merahnya. Masih yang manis-manis bila ketemu semula dengan rakan penulis lama dan yang baru juga.

Saya jumpa Serunai Faqir yang masih seperti dahulu kekal mesra dan ceria. Ketemu Khairunnasriah dengan kehebatan cerita berbumbukan sejarah dalam karya Sungai Goloknya. Begitu juga Salha dengan cerpen Jelebak Jelebunya. Apatah melihatkan semangat peserta-peserta yang sanggup datang meluangkan masa demi muzakarah ilmu yang bermanfaat. Masih yang manis-manis, kerana saya perlu mencontohi semangat mereka.

Sehingga kini, masih yang manis-manis. Dan sebenarnya, indahkah hidup, jika kita hanya merasa yang manis-manis?

Leave a comment

Eid Mubarak : Kullu A'am Wa Antum Bikhair

Salam Aidilfitri dan maaf zahir & batin untuk hati yang terguris, tinta yang cuai, kata yang menyakitkan dan maklumat yang tersalah, buat semua pengunjung AKO. Semoga lebaran akan terus menjadi koreksi untuk perubahan diri, pembangunan rohani, silturrahim dan ketakwaan kepada yang Esa, setelah menerima tarbiah dalam madrasah Ramadan. Selamat kembali kepada fitrah dan moga terus istiqamah!

Image hosted by Photobucket.com
Minal Aidil Wal Faizin,
Amiza Khusyri dan keluarga, Seremban.

Leave a comment

Kembara ke Ogonshoto

Rasa-rasanya hampir seminggu juga engkau telah mengembara ke kepulauan Ogonshoto. Engkau bagai melihat gunung berapi Gora-gora, Futu-Ata dan Rai-Rapa muncul megah keemas-emasan di atas banjaran masing-masing. Gunung-gunung itu berona sebam dilitupi habuk dan debu-debu putih kelabu. Itulah lambang kemegahan tiga buah pulau di kepulauan Ogonshoto.

Engkau memulakan penjelajahan dengan naratif raksasa besi Kawai Maru milik Tuan Kawai itu. Takjublah engkau dengan gerak penjelajahan bahasa Anwar Ridhwan ini, sehingga engkau merasakan seperti betul-betul berdiri dan berjalan di atas raksasa besi waja yang terapung-apung meredah batang-batang gelombang itu.

Sepanjang kembara engkau ke kepulauan Ogonshoto ini, engkau tidak perasan yang mukamu juga berubah-ubah mengikut perasaan dan rasa hatimu ketika itu. Sebentar mencemik, sebentar tersenyum, sebentar engkau mengerut kening pula. Sehingga tahulah engkau yang kembaramu ke kepulauan Ogonshoto ini sarat dengan perlambangan dan kritikan waima kepada dirimu sendiri atau terhadap pencekcokan kuasa, pahit maung kehidupan, tulus mulus kasih sayang, kepesatan teknologi, kebudayaan, dan lain-lain lagi. Apa yang pasti ialah penjelajahan ini telah acap kali mencabar akal fikirmu, menajamkan tumpuanmu dan menikam lenamu.

Penjelajahan engkau acap kali juga terganggu, kerana engkau perlu memberi masa kepada Ramadan yang tidak selalu muncul. Malah, engkau juga merasakan penjelajahanmu ke kepulauan Ogonshoto dalam bulan Ramadan ini bukanlah sebuah kembara yang tidak bermanfaat, tetapi sebuah penjelajahan dan kembara yang penuh emosi, sarat perlambangan, penuh iktibar dan begitu mengesankan jiwamu.

Ketika engkau menulis entri ini untuk dikongsi dengan para pembacamu, engkau jadi gusar dan gentar juga jika ada yang bertanyamu - di manakah duduk letaknya Ogonshoto?

Tetapi engkau tenangkan hati kerana sebenarnya di mindamu sudah pun ada jawapannya. Ya, Ogonshoto sudah tidak wujud kerana telah dibaham tsunami berpuluh-puluh tahun yang lampau.

Kini, hanya tinggal sebuah buku yang berjudul Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan itu. Jika pembacamu tidak mahu ketinggalan, dan mahu berkongsi cerita dengan engkau lewat dunia Ogonshoto, maka engkau mengharapkan yang pembacamu akan membeli-baca Naratif Ogonshoto karya agung Anwar Ridhwan yang hebat itu.

Engkau mengharapkan agar mereka akan mendapat seribu iktibar, sebagaimana kemanisan yang telah engkau perolehi, sekembali dari kembaramu ke Ogonshoto.

AKO : Salam Lailatul Qadr kepada semua pengunjung AKO.

Leave a comment

Cinta daerah Menoufia [Berita Minggu, 16 Oktober 2005]

Ramai juga di kalangan orang-orang Arab yang mengutuk dan menghina kota Menoufia. Kata mereka, kota ini kota miskin, kota pertanian, kota yang ramai melahirkan pencuri-pencuri di Kaherah, ataupun orang-orangnya bakhil belaka. Hati saya terus-terus menidakkan kata-kata itu, kerana saya pernah bergaul dengan orang-orang Menoufia. Terus-terang saya katakan, mereka lebih ramah dan menghormati orang asing berbanding orang-orang Arab di kota Kaherah. Hati saya terus menafikan, sehingga wujud segumpal resah di dada. Dan ini juga menjadi garis permulaan kepada hasrat untuk menulis cerpen Cinta daerah Menoufia ini.

Ketika pulang dari pekan Shibin El-Kom ke kota Kaherah pada suatu malam, saya memilih untuk berjalan kaki sejauh lebih kurang 2 kilometer ke stesen bas. Sebenarnya hasrat untuk menulis cerpen berlatar kota Menoufia ini sudah datang lama, tetapi terhambat dek kerja-kerja menyiapkan sebuah manuskrip penulisan. Namun, saya lekas-lekas teringat akan pesanan Pak Shahnon Ahmad agar menulis sesuatu yang mesra dengan diri. Dan saya lekas-lekas sedar bahawa pada ketika itu saya sedang bermesra dengan latar Menoufia yang tenteram dengan tiupan semilir dingin penghujung musim panasnya.

Malam itu, perjalanan saya tersangkak-sangkak, bukan disebabkan keletihan, atau terganggu dengan apa juga bentuk gangguan, tetapi kerana saya benar-benar ingin memesrai latar Menoufia. Sesekali saya duduk di atas bangku kayu, ataupun bingkas melempar pandang ke arah ladang yang melaut di tepi jalan. Juga kekadang pandangan beralih melihat Nil yang tekal mengalir sambil mengamati elusan semilirnya.

Keesokannya, saya dikunjungi seorang rakan, Ruzaimi namanya. Seorang mahasiswa yang agak lama juga bermukim di bumi Menoufia, menceritakan sedikit demi sedikit perkara-perkara menarik yang terdapat di kota itu setelah saya memaklumkan kepadanya yang saya ingin menulis cerpen tentang Shibin El-Kom dan Menoufianya. Dia seorang peminat syair, dan kerap menghafal syair-syair Arab. Saya jadi tertarik mendengar syair-syiar yang dihafalnya itu dan ini akhirnya menjadi titik tolak kepada pengilhaman cerpen ini.

Meskipun syair-syair yang saya cipta lewat cerpen ini agak mudah, malah cerpen ini sendiri juga sebuah cereka yang mudah, tetapi saya tetap puas. Puas kerana selama ini sering resah melihat anak bangsa terlalu mengagung-agungkan orang lain, tanpa sedikit pun berbangga dan mencintai jati diri. Semoga cerpen yang 'mudah' ini akan 'mudah' jugalah meresap ke hati pembacanya. Insya-Allah.

Terima kasih buat editor Berita Minggu di atas penyiaran cerpen ini pada 16 Oktober 2005 lalu. Syukur Alhamdulillah, di atas kurnia-Nya sempena Ramadan.

Ya, pemuda yang berjambang dan berjanggut panjang santak ke pangkal dada, berserban dan berjubah putih itu ialah cinta. Cinta daerah Menoufia!

AKO : Masih membaca Naratif Ogonshoto, Anwar Ridhwan, sambil menikmati kelazatan beribadah dalam period maghfirah Ramadan.

Leave a comment

Rahmat yang berlalu

Pabila hujan turun
dan berhenti
mengingatkan daku
kepada masa
yang sentiasa berlari.

Pabila hujan turun
dan berhenti
mengingatkan daku
kepada dosa
yang hitam di hati.

Aku menangis
dalam sujud panjang
dinihari
kerana
pabila hujan turun
dan berhenti
mengingatkan daku
kepada rahmat Ramadan
yang berlalu pergi.

Amiza Khusyri, 14 Oktober 2005, Seremban.

ii.

Profil di Tunas Cipta, Oktober : Apresiasi buat Zaid Akhtar

Apabila menerima undangan untuk ditemuramah oleh Zaid Akhtar sekitar sebulan yang lalu untuk profil Tunas Cipta, saya berkata : saya masih belum ada pencapaian yang membanggakan.

Apalah yang ada pada saya hanya dengan menulis dan menghantar karya, mencintai sastera Melayu dan dengan pencapaian yang sekerdil ini. Tambahan pula apabila ditanya tentang Sejernih Salsabila, saya terkerisin dengan lompang-lompang yang terdapat lewat novelet itu. Saya terasa bagaikan menaiki sampan seorang diri dan sampan itu beroleng-oleng di permukaan mengikut perjalanan arus. Serasa mahu terjun menyelamatkan diri, tetapi tidak mampu kerana tidak pandai berenang.

Apa yang perlu saya lakukan?

Saya kemudian tertegun menerima balasan Sistem Pesanan Ringkas [SMS] daripada Zaid Akhtar dengan katanya : habis tu? Nak apa lagi?

Lantas mengingat saya, supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang saya miliki. Bersyukur dengan anugerah bakat yang Tuhan kurniakan kepada diri. Alhamdulillah. Saya semacam faham akan maksudnya, barangkali dia menyuruh saya supaya jangan terlalu merendah diri.

Terima kasih kanda Mohd. Yazid [Zaid Akhtar], untuk esei profil saya di Tunas Cipta, Oktober.

AKO : Selamat menjalani ibadah puasa buat semua pengunjung AKO. Sedang membaca Naratif Ogonshoto, Anwar Ridhwan.

Leave a comment

Mari mendakapku, Ramadan

Duhai Ramadan

Kau tidak pernah pergi dari jiwaku

Kau tidak pernah hilang dalam hatiku

Kau tidak pernah mati sepanjang hayatku.


Amiza Khusyri, 5 Oktober 2005, Seremban.

Leave a comment

Kiamat Sudah Dekat : Sebuah Introspeksi

Seingat saya, pertama kali saya menonton filem ini ialah pada tahun lalu di Kaherah, Mesir. Ramai rakan-rakan yang berpendapat bahawa awalan babak filem ini agak lembab dan kurang menguja. Kemudian sebaik sahaja sampai kepada babak Fandy berkenalan Saprol dan bertemu Sarah, cerita ini sudah mula memperlihatkan keterujaannya.


Image hosted by Photobucket.com

Apapun bagi saya, Kiamat Sudah Dekat bukan sekadar sebuah filem, tetapi ia lebih kepada sebuah layar introspeksi dan muhasabah kepada umat Islam. Filem arahan Deddy Mizwar ini memperlihatkan sebuah dimensi baharu kepada persepsi dan mentaliti umat Islam yang selama ini selalu menanggapi keelokan itu hanya melalui zahir. Bahkan juga mengkritik sekian ramai umat Islam yang Islamnya hanya pada kad pengenalan dan nama.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang rocker bernama Fandy yang bibit-bibit pertemuannya dengan Sarah bermula apabila sepatu rocknya dicuri oleh Saprol, seorang budak lelaki yatim. Saprol akhirnya menjadi rakan baiknya yang juga berperanan sebagai guru solat dan mengaji. Dia bertemu dengan Hj. Romli di musolla dan bapa kepada Sarah itu mengenakan beberapa syarat untuk dia menikahi anaknya. Ternyata Fandy amat jahil agama apabila dia tidak tahu untuk membezakan di antara sudah berkhatan atau belum iaitu sebagai syarat pertama yang dikenakan. Kemudian Fandy dikenakan pula syarat agar belajar solat dan mengaji Al-Quran.

Image hosted by Photobucket.com

Di sinilah kelihatan kebijaksanaan pengarah menggarap jalan cerita melalui kesungguhan Fandy memenuhi syarat itu satu persatu, kelucuan Saprol, hidayah untuk keluarga Fandy yang juga jahil agama dan kemunculan Farid yang kuliahnya di Cairo itu. Sarah akhirnya dilamun cinta dengan bunga mawar merah yang dihadiahkan Fandy setiap kali dia berjaya memenuhi syarat itu. Fandy yang asalnya beribadat demi untuk menikahi Sarah, akhirnya menemui apa yang dinamakan sebagai ikhlas semata-mata kerana Allah dan Rasul-Nya.

Filem ini bukan sahaja mengkritik orang agama yang talam dua muka dan orang Islam yang hanya Islam pada nama, tetapi juga membuka pintu dakwah kepada remaja yang cenderung dicengkam enigma duniawi. Yang pasti, elemen cinta itulah yang menjadikan filem ini menarik untuk ditonton dengan diakhiri langgam pembalikan persepsi apabila Hj. Romli menyedari Fandy telah berjaya menguasai ilmu ikhlas sebagai syarat terakhir yang dikenakannya untuk menikahi Sarah.

Filem ini bukan sekadar hiburan tetapi juga bak kata Fandy - kiamat sudah dekat, men!

Leave a comment

Darurat Jerebu

Darurat jerebu hari ini diisytiharkan bagi seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang berkuat kuasa serta-merta.

Indeks Pencemaran Udara [IPU] pada pukul 11 pagi ini :

Kuala Selangor : 531
Pelabuhan Klang : 529


Image hosted by Photobucket.com

Antara langkah yang diambil :

> Mengeluarkan perintah penutupan semua pejabat sama ada kerajaan dan swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, pembinaan dan kuari.

> Menentukan semua sekolah ditutup.

> Menasihatkan pengurangan penggunaan kenderaan persendirian terutama kenderaan berat seperti lori.

> Menentukan pemberhentian kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah.

> Menentukan penyebaran maklumat Indeks Pencemaran kepada pihak media cetak dan elektronik dibuat seberapa kerap; dan

> Penguatkuasaan pengharaman pembakaran secara terbuka terus dikuatkuasakan.

Langkah penutupan yang dikuatkuasa itu tidak melibatkan :

> Kedai-kedai yang menjual barang-barang makanan dan minuman, pasar dan pasar raya;

> Klinik, farmasi dan kedai-kedai ubat; dan,

> Perkhidmatan-perkhidmatan perlu.

Sumber : Utusan Malaysia.

Memo AKO :

Dinasihatkan juga kepada perokok-perokok supaya mengambil kesempatan ini untuk berusaha berhenti merokok. Bayangkan sahaja dalam keadaan jerebu ini, anda merokok di sebelah orang yang tidak merokok, maka pengisytiharan darurat pasti akan menular pula ke seluruh negeri.

Sekian dimaklumkan.

AKO : Untuk perokok- perokok yang tiada hormat.

Leave a comment

Naratif Introspeksi I

Saya berjalan kaki sejauh 2 kilometer menyusuri jalan tar ke arah pantai. Ingin menakjubi keindahan ciptaan Tuhan menyaksikan matahari terbenam. Sungguh indah menyaksikan cahaya kemerahan-merahan tumpah di permukaan laut. Apatah kala dielus semilir laut yang dingin dan resah.

Perjalanan petang itu terasa nyaman. Melewati sebuah denai kampung yang sentosa dengan pohon kelapa terlempai-lempai berjajaran di sepanjang jalan. Di hadapan, ada sebuah rumah yang papannya sudah compang-camping.

Dari jauh, saya mengamati rumah papan itu. Di hadapan rumah, di atas anak tangga, ada kelibat seorang tua sedang duduk. Saya mempercepatkan langkah dan berhenti di hadapan orang tua yang berkopiah lusuh itu.

Saya terkejut apabila mendapati dia sedang menangis teresak-esak. Kepalanya tertunduk menekur bumi.

"Pakcik." Saya memberanikan diri menegur.

"Kenapa pakcik menangis?"

Orang tua itu menggeleng. Dia menangis seperti sedang meratap. Hati mula berasa tidak enak.

"Pakcik menangis kerana tinggal seorang diri?" Dia menggeleng. Bunyi esaknya reda.

Tiba-tiba dia mengangkat muka. Wajahnya persih dan ada janggut putih lebat di dagu.

"Di kubur nanti pun pakcik seorang diri. Pakcik tak kisah tinggal seorang." Suaranya terketar-ketar.

"Jadi?" Saya kembali bertanya. Agak mendesak nada saya itu.

"Umat Islam sedang keliru." Dia melempar pandang ke hadapan. Air matanya meleleh ke dagu, dan terus melurut ke janggutnya.

"Keliru?"

Dia mengangguk.

"Pakcik menangis sebab umat Islam sedang sibuk cari idola baru, sedang ralit cari contoh tauladan baru!"

Dia kembali menangis dan tunduk menekur bumi.

"Mereka lupa yang kita sudah ada Rasulullah, kita sudah ada kitab Allah!" Katanya dalam sedu-sedan.

Ya Rabbi. Sungguh! Saya juga bagaikan mahu menangis waktu itu!

Leave a comment

Ilham Pengilham

"Siapakah yang tahu! Kerana demikianlah rahsia alam kreativiti. Yang kreatif tidak dapat mencapai objektifnya tetapi objektif itu ditanggapi pula oleh yang menilai karya itu, kerana daya kreatif yang menilai terbukti lebih tajam dan lebih sensitif daripada daya kreatif yang mencipta."

Sungai dan Serampang Bermata Tiga, Shahnon Ahmad, Dewan Sastera, Julai 2005.

Image hosted by Photobucket.com

MENJENGUK SEJENAK SALJU JABAL MUSA DARI SUDUT PERSPEKTIF CULTURAL STUDIES

Oleh Mohamad Daud Mohamad [DBP]

Cerpen "Salju Jabal Musa" karya Amiza Khusyri yang menampilkan pertembungan dua budaya dan dua agama melalui watak Maria dan Umar, diolah dengan bahasa yang indah dan kontinuiti idea yang mengalir sesejuk salju. Pemilihan nama watak juga sangat menarik. Watak Maria menurut pemahaman penganut agama Kristian adalah nama ibu Jesus Kristus yang sangat dimuliakan. Oleh sebab itu, patung Maria menjadi lambang di setiap gereja dan diletakkan dekat mimbar sebagai makna penyatuan umat Kristian. Manakala pemilihan watak Umar merupakan tokoh Khalifah Islam yang kedua, yang menjadi penentu penyatuan dan hala tuju Islam sesudah wafatnya Rasulallah.

Dengan dipertemukan kedua-dua watak ini di Jabal Musa, penampakkan akan kejelian pengarang membaca elemen agama, sejarah dan budaya melalui konteks keilmuan bukan imaginasi. Pengarang juga mengenengahkan akan sikap sebahagian umat Islam yang berbangga dengan kebudayaan Kristian dan mengikut serta mengamalkan budaya hidup orang Kristian yang ternyata merugikan diri mereka sendiri. Sebab, keindahan budaya hidup dan kebudayaan Islam jauh lebih baik dan malah membawa mereka ke arah cahaya kehidupan yang lebih bermakna. Dalam ajaran Islam semuanya sudah lengkap baik dari segi keindahan bahasanya, cara berpakaiannya, cara makan, cara bercakap, cara bergaul, cara bermesyuarah, cara beribadah, cara belajar, dan apa saja yang wujud dalam dunia realiti.

Menyedari akan keindahan Islam dan ketenangan hidup serta pengisian jiwa yang sumul, menarik Maria untuk menghayati Islam. Bagi Maria, dalam Islam antara teori dan praktikal berjalan seiring. Dalam ajaran Kristian, semuanya ditentukan oleh Paderi. Sedangkan dalam ajaran agama Islam ditentukan oleh diri sendiri dan ditanggung oleh diri sendiri. Keinsafan dan ketenangan Maria untuk menghayati Islam inilah Salju Jabal Musa dan secara simbolisnya dikaitkan dengan pertemuan dengan Umar. Umar hanya sebagai katalis untuk Maria meninggalkan ajaran Kristian dan memeluk agama Islam. Keistimewaan cerpen ini iaitu pengarang tidak mengolah 'cinta' muda-mudi sebagai asas perhubungan Maria-Umar, tetapi atas keinsafan dan ketenangan diri. Cerpen ini tidak diadunkan dalam bentuk penulisan cerpen konvensional, tetapi memasuki bentuk penulisan cerpen pemikiran yang cukup matang dan mantap. Cerpen ini bukan tergolong cerpen remaja, tetapi merupakan cerpen yang cukup dewasa.

Demikian juga dengan cerpen Amiza "Pengemis Tua Di Masjid Hussein", yang menampilkan tentang seorang tua bekas wira pejuang yang berjuang di bumi Palestin menentang rejim Nasrani dan Yahudi. Persoalan yang cukup menarik dalam cerpen ini, bukan tentang perjuangan dan mati syahid. Tetapi tentang pertemuan watak 'aku' dengan tokoh pejuang di Masjid Hussein. Hussein adalah adik kandung kepada Hassan anakanda kepada Saidina Ali [Khalifah Islam yang ke-4] dan Siti Fatimah [anakanda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW]. Hassan dan Hussein adalah cucunda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang terbunuh di Karbala. Pertemuan ini, dalam konteks kebiasaan tidak lebih daripada pertemuan biasa seorang pengunjung masjid dengan seorang pengemis. Namun, pertemuan dalam cerpen ini memiliki mesej yang sangat besar maknanya bukan sahaja bagi penulis, tetapi juga bagi pembaca.

Secara psikis, pertemuan ini membawa makna dan pemaknaan keinsafan iaitu seorang manusia yang menadahkan tangan dan berpakaian kumal belum tentu ia seorang pengemis yang hina. Malah dia ternyata lebih mulia dan suci daripada kita yang berpakaian kemas dan nampak gagah. Sebab yang kita tampak hanyalah elemen fizikaliah. Sedangkan rohaniah kita tidak nampak. Melalui cerpen ini pengarang membuka kedua-dua dunia fizikaliah dan rohaniah. Dengan membuka minda secara terbuka barulah kita akan dapat melihat dunia realiti sebenar. Jesteru kebesaran Allah SWT hanya tercermin dan terserlah tanpa kita sedar, ia akan hadir tanpa kita duga. Perancangan kita kadangkala tersasar, tetapi perancangan Allah SWT adalah nyata. Cerpen berunsur Islam "Pengemis Tua Di Masjid Hussein" ini sangat menarik dan berkesan kerana pengarang dapat mengolah secara bersahaja dan cara pengarang mengkritik masyarakat Islam juga sangat bijaksana.

Cerpen berunsur Islam yang ketiga Amiza Khusyri bertajuk "Cahaya Zulmat". Cerpen ini menekankan akan pentingnya kita menguasai bahasa Arab yang dipilih oleh Allah SWT sebagai bahasa Al-Quran. Melalui cerpen yang agak sederhana subjeknya ini mampu diolah dengan cukup baik oleh pengarangnya. Bahasa sebagai cermin bangsa dan sekaligus agama tidak boleh dinafikan. Kita harus akui menguasai bahasa Arab kita tidak hanya bergantung kepada penafsiran makna Al-Quran secara harafiah tetapi lebih jauh daripada itu dari segi maknanya. Setiap orang yang belajar membaca Al-Quran boleh membaca Al-Quran, tetapi tidak menguasai intipati Al-Quran kerana tidak menguasai bahasa Arab, bahasa tipa-induk Al-Quran. Jesteru itu, sebagai umat Islam sewajarnya menguasai bahasa Arab, jika kita ingin menjelajah lebih jauh dan dalam tentang Al-Quran serta ilmu yang terkandung di dalamnya.

*Petikan Kertas Kerja sempena Program Bicara Karya & Malam Baca Puisi eSastera.com, di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan pada 10 Jun 2005 anjuran eSastera.com, Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa & Pustaka.

AKO : Maha Suci Allah yang memberi ilham! Dapatkan antologi cerpen ini segera!

Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.