Yang Terindah


Tiada yang terindah dalam hidup ini jika kita benar-benar berada dalam kesyumulan Islam.

Keindahan yang membahagiakan itu tentulah apabila kita berada sepenuhnya dalam cara hidup Islam melalui semua sistem kehidupan, tanpa dipisah-pisah dan dijuzuk-juzukkan.

Begitulah antara cabaran terhebat menjadi seorang pendidik pada hari ini, yang bukan hanya perlu menyediakan modal-modal insan yang cemerlang akademik, malah sahsiah dan jati diri. Apatah, orientasi pendidikan sedia ada tidak pernah menyediakan mekanisme khusus untuk menilai sahsiah dan peribadi seseorang.

Justeru, seorang pendidik tidak boleh kekal jumud dengan sistem pendidikan yang sedia ada, malah keluar dari kepompong tersebut, memperuntuk masa, mencipta peluang, untuk kembali membetulkan persepsi anak-anak didiknya terhadap pembelajaran dan pengajian. Anak-anak didik perlu diperkemas matlamat (Akhirat) tanpa meninggalkan alat (dunia), lalu membentuk prinsip hidup yang jitu.

Betulkan yang biasa

Apabila seseorang itu sujud, dia tidak hanya perlu menjaga rukun-rukun sujudnya semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah kesan sujud itu, rasa kehambaan dan rendah hati yang wujud apabila sujud itu dilakukan. Begitu juga dengan Takbiratul Ihram, bukan saja pergerakan dan lafaznya sahaja, tetapi yang lebih penting ialah rasa takut, tunduk dan patuh kepada Allah itu timbul dan terus menerus terbit dalam hati.

Apakah ilmu-ilmu agama yang diajar melalui jadual waktu yang diperuntukkan dalam kelas memadai untuk membentuk individu yang mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam? Apatah mereka selalu dimomokkan dengan kecemerlangan akademik, A+, 4.00, Senarai Dekan, dan segala macam bentuk habuan akademik.

Apa yang mendukacitakan, ada sesetengah pendidik malah ibubapa yang terlalu melihat kepada kecemerlangan akademik, malah suatu kehinaan dan kerendahan kepada anak-anak didik yang tidak cemerlang akademik, sedangkan tiada ukuran yang dibuat pada sahsiah dan akhlak mereka.

Walaupun mungkin gred A+ diperoleh dalam subjek agama, tetapi ukuran peribadi dan akhlak tidak A+, lalu menjadi suatu cabaran yang besar dalam dunia pendidikan mutakhir ini. Proses pembelajaran hanya berlaku dalam bentuk ritual dan anak-anak didik tidak diajar tentang Islam sebagai satu sistem ekonomi dan sosial, sebagai satu sistem pemerintahan atau sebagai satu sistem pendidikan dan pengajaran atau sebagai satu cara hidup dan pemimpin kehidupan.


Lalu produk-produk modal insan yang terhasil adalah produk yang ilmunya pada kertas dan sijil, bukan pada hidup. Mereka memisahkan Islam dari tindak tanduk dan amal, meringan-ringankan hukum, memperindah nafsu dengan mengamalkan perkara-perkara syubhah malah keingkaran terhadap perintah Allah.

Keindahan yang membahagiakan

Firman Allah s.w.t :

"Demikianlah pula kami telah jadikan kamu umat yang adil (pertengahan) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia." (Al-Baqarah : 143)

Cabaran pendidik pada masa kini tentulah untuk melahirkan modal insan yang seimbang duniawi dan ukhrawi. Jika modal insan yang lahir adalah seorang profesional, maka profesional yang lahir biarlah profesional yang melihat pekerjaan dengan kaca mata Islam, segala tindak tanduk dan perilaku berpaksikan Akhirat. Begitu juga seorang ulama, maka yang lahir biarlah seorang ulama yang benar-benar takutkan Allah, berani mempertahankan Islam, tanpa apa-apa kepentingan duniawi tetapi tidak pula menolaknya.

Semua ini tidak akan terlaksana dengan sistem pendidikan yang sedia ada, tetapi akan terlaksana melalui tangan-tangan pendidik yang sedar dan faham, pendidik yang sanggup berkorban dan terkorban, pendidik yang tidak kenal erti jemu dan letih, pendidik yang sanggup menerima sumpah seranah dan caci maki.

Segala penderitaan dan kesusahan itulah keindahan. Keindahan yang membahagiakan di atas kebahagiaan dan kegembiraan orang lain.

Seperti pujangga Inggeris :

"When it is dark enough, you can see the stars."

Posted in | Leave a comment

Adakah ini Ramadhan yang terakhir?

Sesungguhnya aku sedang berpuasa!

Ungkapan ringkas ini, adalah ungkapan inzar dan motivasi yang diajar oleh Baginda s.a.w untuk kita kembali ingat keadaan diri, menahan nafsu, seterusnya kembali semula kepada Allah, dengan jiwa yang tenang dan fikiran yang rasional. Malah ungkapan ini juga mengajar kita supaya sentiasa memelihara hubungan sesama manusia, kerana sesungguhnya agama Islam adalah agama berjemaah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

Puasa adalah perisai, maka janganlah berkata nista dan jangan berbuat jahil dan jika seseorang itu diperangi atau dicaci-maki, maka hendaklah dia mengatakan : "Sesungguhnya aku sedang berpuasa." (Riwayat Al-Bukhari)

Perisai itu bukan sahaja mengawal nafsu seterusnya memelihara pahala puasa kita, tetapi juga sebagai perisai dari api neraka Allah s.w.t.

Ungkapan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ini bukan sahaja menjadi benteng, malah menguatkan motivasi diri untuk menjadi lebih kuat dan gagah menghadapi ujian kehidupan. Apabila kita berasa ingin marah atau sakit hati dimarahi, atau emosi terganggu ketika memandu, berlaku perbalahan di tempat kerja, lalu kita mengalunkan perlahan kalimah 'sesungguhnya aku sedang berpuasa' berulang-ulang kali di bibir atau di hati sambil mengurut dada, maka ketenangan akan kembali, lensa Akhirat kembali terpapar di ruang fikir.
Kita akan kembali menyorot maksud berpuasa dengan 'imana wahtisaba' (penuh keimanan dan bersungguh-sungguh) lalu jadilah kita Mukmin yang diampuni dosanya yang telah lalu saat pintu syurga sedang dibuka seluas-luasnya di bulan barakah ini, insya-Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan iman dan ikhlas (bersungguh-sungguh mengharapkan pahala dari Allah, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu (oleh Allah)." (Riwayat Al-Bukhari)

Puasa ini untuk Allah

Apabila ada 'orang besar' yang sangat ingin kita temui tetapi sukar dan hanya mampu melihatnya di dada akhbar dan media elektronik memberitahu dia sendiri akan datang dan memberikan hadiah kepada penduduk tempat tersebut. Maka semuanya berusaha membuat persiapan terbaik semata-mata ingin bertemu mata seterusnya menerima hadiah daripada 'orang besar' itu.

Allah s.w.t menegaskan bahawa ibadah puasa itu adalah untuk-Nya berbanding ibadah-ibadah lain, dan Allah sendiri yang akan memberikan ganjarannya. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada aroma kasturi, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana Aku (Allah). Puasa adalah untuk-Ku dan Aku memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa, kerana ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasannya." (Riwayat Imam Malik)

Berbanding ibadah lain pahala bagi ibadah puasa tiada batasan, kerana ganjaran daripada 'orang besar' di atas tetap terbatas, kurang dan sangat lemah, berbanding Allah, Tuhan Yang Maha Besar, Yang Menciptakan. Justeru sewajarnya kita lebih bersungguh untuk meraih pahala dan cinta-Nya.

Tiada kenikmatan yang lebih nikmat melainkan kenikmatan ketika kita bertemu-Nya kelak, dan ia hanya dapat dinikmati oleh orang yang berpuasa.

Adakah ini Ramadhan yang terakhir?

Soalan ini perlu selalu menerjah di ruang fikir kita, kerana kematian akan menjadikan kita Muslim yang sentiasa berhati-hati dalam segala tingkah dan amal, selalu mengingatkan kita dengan Akhirat, selalu memacu hati supaya memilih di antara dua destinasi, syurga atau neraka. Seperti sabda Rasulullah s.a.w :

"Orang yang bijak adalah orang yang memuhasabah diri sendiri dan beramal untuk sesudah kematian dan orang yang lemah adalah orang yang menuruti hawa nafsunya kemudian berangan-angan (mengharap rahmat) pada Allah." (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Soalan ini akan memacu kita ke arah ketaatan, kemurahan rezeki, mengelakkan kehinaan dan laknat, menetapkan hati dalam istiqamah. Ayat ini akan menerbitkan rasa kita "melihat" dan "dilihat" oleh Allah. Malah sentiasa memberi peluang supaya kita menghargai setiap derap langkah, jerih nafas dan detak jantung untuk bertaubat, kembali dan menyesal atas segala dosa yang kita lakukan.

Sahabat-sahabat sekalian, adakah ini Ramadhan kita yang terakhir?

Posted in | 3 Comments

Sebuah ungkapan bernama "istiqamah"

Apa sahaja yang kita lakukan setiap hari, rupa-rupanya terangkum dalam satu ungkapan wasiat Nabi s.a.w bernama - istiqamah.

Istiqamah itu adalah teguh di atas jalan yang lurus, seperti kata Saidina Umar bahawa istiqamah itu adalah berdiri mematuhi suruhan dan menjauhi larangan Allah tanpa berubah-ubah.

Justeru amal perbuatan yang kita lakukan sehari-hari harus sentiasa teguh di atas jalan yang benar, supaya dinilai sebagai suatu ibadah. Niat yang baik harus sentiasa berada di atas jalan yang teguh tanpa berubah-ubah supaya menjadi sebaik-baik amalan di sisi-Nya. Pendek kata, tunjang kepada segala kebaikan dan kebenaran terletak pada sejauh mana istiqamahnya kita melakukannya.

Orang yang hatinya sentiasa teguh dan istiqamah, akan sentiasa berada dalam kawalan iman, dan nafsunya dirahmati oleh Allah. Dia sentiasa berwaspada dengan niat, lisan dan perbuatan yang dilakukan supaya sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah s.w.t semata-mata. Hati yang istiqamah ini adalah hati yang kuat, bermotivasi dan sentiasa berani mempertahankan kebenaran. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa hati yang istiqamah adalah hati yang sentiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah, baik berupa keyakinan, perkataan, mahupun perbuatan.

'Istiqamah' kalimah azimat

Cuba ulang-ulang kalimah istiqamah setiap kali kita telah berniat untuk berubah dan melakukan kebaikan. Ulangkan istiqamah dalam hati dan lisan supaya ia menjadi doa dan pelindung kepada segala cabaran yang akan hadir untuk menguji ketulusan niat tadi.

Sebagai contoh kita telah menetapkan untuk bersedekah sebanyak 100 ringgit, tetapkan niat dan ulangkan istiqamah di atas niat tadi. Setelah tiba di masjid misalnya, maka kekalkan maksud istiqamah dalam hati dan fikir, seterusnya susuli melalui tindakan dengan cepat-cepat mengeluarkan RM100, kemudian memasukkannya ke dalam tabung masjid.

Begitu juga apabila kita telah meletakkan sasaran ke atas suatu usaha yang baik, contohnya menghabiskan satu bab bacaan pada suatu malam, maka ulang-ulang kalimah istiqamah di alam fikir, sehingga menamatkan pembacaan. Kalimah istiqamah berupaya menjadi terapi yang baik terutama tatkala kita berhenti sekejap dari membaca untuk ke tandas misalnya, kerana pada waktu itulah kita akan diuji, sama ada untuk meneruskan pembacaan sehingga habisnya satu bab, atau menonton televisyen dengan judul filem yang menarik pada malam itu.

Istiqamah memimpin kita membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan.

Istiqamahnya semut

Perhatikanlah semut yang merangkak, beratur dengan penuh tertib menuju ke tempat yang manis dalam rumah kita. Tidak cukup dengan semburan beracun, malah acap pula kita bersihkan dengan sabun berulang kali, tapi mereka tetap datang tanpa putus asa.

Perhatikanlah semut membawa makanan yang lebih besar dari tubuhnya sendiri. Istiqamah menuju sarang, bukan untuk diri sendiri, tetapi merealisasikan sikap memberi.

Perhatikanlah semut yang tidak mempunyai akal, tetapi fikiran dan tindakan mereka sentiasa dipacu dengan sebuah ungkapan bernama "istiqamah".

Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya, sabda Rasulullah s.a.w :

Daripada Sufyan bin Abdillah r.a pernah bertanya Rasulullah s.a.w, "Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya kepada sesiapa selain engkau." Jawab Nabi s.a.w, "Katakan, aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah."

Posted in | 4 Comments

Muhasabah kedudukan-Nya di hati kita

Cuba kita muhasabah, di mana kedudukan Allah di hati kita.

Dulu, semasa kita sakit, pedih dan perit, kedudukan Allah sangat tinggi dalam hati. Dulu, semasa kita sempit, sesak dan terdesak, kedudukan Dia sangat tinggi dalam benak. Di hati, benak dan lidah, hanya terlafaz kalimah, "Allah, Allah, Allah."

Kini, semasa kita sudah sihat dan kembali cergas, kedudukan Allah sangat rendah dalam hati. Kini, semasa kita lapang dan luas, kedudukan Dia begitu rendah dalam minda. Malah, di hati, minda dan lidah, kita sudah lupa kalimah-kalimah mengingati-Nya, lupa memaknakan syukur.

Namun, pada hari ini, saat saya menulis dan anda membaca tulisan ini, kita terus mengecapi kurniaan nikmat-Nya, tanpa henti.

Ada dalam kalangan kita yang bermegah-megah dengan rupa paras yang cantik, tapi lupa bahawa Allah yang menjadikannya cantik, dan Allah membataskan kepadanya bahawa kecantikan itu hanya buat yang berhak menikmatinya.

Ada dalam kalangan kita yang cuba mencari kebahagiaan dengan berniaga bersungguh-sungguh, mengumpul wang dan harta, tapi lupa bahawa Allah yang memberi kebahagiaan, dan Allah membataskan kepadanya bahawa segala kekayaan itu buat saudara-saudaranya yang tidak mampu melalui zakat dan sedekah.

Namun, pada hari ini, saat saya menulis dan anda membaca tulisan ini, kita dan mereka terus mengecapi kurniaan nikmat-Nya, tanpa henti.

Ada dalam kalangan kita yang bermegah-megah dengan ilmu yang banyak, tapi lupa bahawa Allah yang membuka hatinya menerima ilmu, Allah membataskan kepadanya bahawa segala ilmu itu perlu diamalkan dan dikongsikan bersama saudara-saudaranya yang lain.

Ada dalam kalangan kita yang bermegah-megah dengan amal yang tidak putus, tapi lupa bahawa masuknya seorang hamba itu ke dalam syurga bukan kerana amal yang banyak, kerana segala nikmat pinjaman-Nya tidak akan terbayar, tidak terhitung, tapi masuknya seorang hamba ke syurga kerana rahmat dan kasih-sayang daripada-Nya.

Namun, pada hari ini, saat saya menulis dan anda membaca tulisan ini, kita dan mereka terus mengecapi kurniaan nikmat-Nya, tanpa henti.

Jika Allah mahu kecantikan itu untuk kita, maka tiada tangan-tangan yang boleh menghalang, tiada kuasa yang boleh menahan, kecantikan itu akan datang, walaupun bukan dengan paras rupa yang cantik.

Jika Allah mahu kebahagiaan itu hadir untuk kita, maka tiada tangan-tangan yang mampu menghalang, tiada kuasa yang akan menahan, kebahagiaan itu akan datang, walaupun bukan melalui wang dan harta yang melimpah.

Dia akan menjadikan kecantikan itu dalam hati kita, sehingga semua orang terasa dekat, semua orang suka dan semua orang sayangkan kita.

Atau kadang-kadang kita tidak merasakan kita cantik, semua orang jauh daripada kita, semua orang membenci kita, tapi hakikatnya kita sentiasa cantik pada pandangan-Nya.

Dia menjadikan kebahagiaan dalam hati kita, dengan tidur yang lena, makan yang kenyang, hati yang tenang dan aman, walaupun bukan dalam kemewahan harta benda.

Atau mungkin kita tidak bahagia menurut ukuran pandangan orang lain, tapi Dia akan memberikan bahagia buat kita di sisi-Nya.

Apakah kita sedar bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah kenyang dengan roti dan gandum?

Apakah kita sedar bahawa Rasulullah s.a.w menangis mengenangkan nasib umatnya?

Apakah kita sedar bahawa Rasulullah s.a.w sentiasa mengingati kita sehingga saat kewafatan baginda?

Apakah kita sedar bahawa cinta Rasulullah s.a.w kepada kita tidak pernah hilang dalam hati baginda?

Teman-teman, kita bukan siapa-siapa, bukan apa-apa, tanpa kasih baginda dan cinta-Nya kepada kita.

Posted in | 2 Comments

Dahulu yang hari ini, untuk esok

Dahulu, saya bukanlah seorang yang pandai, yang cepat dapat serta faham apa yang diajar semasa dalam kelas. Sejak sekolah rendah, kedudukan saya dalam kelas sederhana, jika 40 orang, saya pasti berada di kedudukan 20 atau lebih. Ada subjek-subjek yang biasa gagal, dan setiap kali keluar keputusan peperiksaan, saya jadi biasa dengan warna merah pada Buku Laporan Prestasi. Justeru, saya bukanlah pelajar harapan di sekolah, mahu pun keluarga.

Namun, cita-cita saya tinggi melangit. Saya mahu jadi peguam, mahu tegakkan keadilan di muka bumi. Saya mahu kuasai undang-undang dan tegakkan Islam. Malah, semasa di sekolah, saya pernah mendapat markah tertinggi dalam subjek bahasa Inggeris.

Saya sedar bahawa saya bukan seorang pelajar yang pintar, tetapi saya tahu bahawa saya memiliki sedikit kelebihan dalam pengucapan awam, maka saya gunakan kelebihan itu untuk mengharumkan nama sekolah. Saya tahu, saya bukan seorang pelajar yang pintar, jadi saya perlu menjadi seorang pelajar yang baik dan taat.

Saya bercita-cita ingin belajar di sebuah sekolah agama yang terkemuka di Negeri Sembilan selepas PMR, tapi saya tidak berjaya kerana keputusan yang tidak cemerlang. Kisahnya panjang, tapi cukuplah jika saya simpulkan dengan rasa betapa Allah itu Maha Adil, Maha Mengabulkan. Allah tangguhkan permohonan saya, dan hari ini Dia telah kabulkan permohonan saya untuk masuk ke sebuah sekolah agama antara yang terbaik di Negeri Sembilan, tapi bukan sebagai seorang pelajar, bahkan sebagai seorang pendidik, yang mahu terus belajar.

Alhamdulillah.

Usaha sehabis daya

Tidak mengapa jika kita bukan pelajar yang pintar, tetapi jadilah pelajar yang baik serta mematuhi guru, jadikan Imam As-Syafie sebagai ikutan. Tidak mengapalah jika keputusan peperiksaan kita sederhana dan tidak sampai tahap cemerlang, tetapi jagalah adab dan akhlak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

Setiap manusia itu dijadikan berbeza. Yakinlah, kita pasti ada kelebihan dan kebolehan yang tidak ada pada orang lain. Yang penting, yakinkan hati bahawa kita adalah sebaik-baik kejadian dan ciptaan-Nya. Kita adalah khalifah, yang bertanggungjawab memakmurkan muka bumi dengan kebaikan dan kemakrufan.

Seorang yang bijak dan mendapat keputusan yang cemerlang bukanlah disebabkan dia bijak, bukanlah juga disebabkan usaha gigihnya semata-mata, tapi kerana semua itu adalah kurnia dan anugerah bahkan keizinan dari Allah, maka wajib baginya bersyukur. Seorang yang sedar dirinya kurang bijak, tetapi tidak mendapat keputusan yang cemerlang walaupun telah berusaha sehabis daya, doa dan tawakal, maka bukanlah disebabkan dia tidak bijak, tetapi Allah menangguhkan kejayaan untuknya di Akhirat, atau Allah akan ganti dengan menjauhkan keburukan daripadanya yang setimpal dengan permohonannya, maka wajib juga baginya bersyukur serta melalui semuanya itu dengan sabar dan tidak putus asa.

Namun, jangan sesekali menjadi manusia yang sedar diri kurang bijak, tetapi tidak mahu pula berusaha. Manusia ini leka dengan imaginasi dan lelan dengan perasaan nikmat, yang hakikatnya cuma sementara. Apatah jika manusia ini tidak mahu pula menjaga akhlak dan adab dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Alangkah ruginya!

"Dan sesungguhnya kami telah muliakan anak-anak adam, dan kami telah berikan kenderaan kepada mereka di darat dan di laut, dan kami telah beri rezeki kepada mereka dari rezeki yang baik-baik, dan kami telah lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk-makhluk lain yang telah kami ciptakan dengan kelebihan yang sepenuhnya."
(Al-Israk : 70)

Kejar kejayaan di Akhirat

Tiadalah lebih bermakna bagi seorang manusia dan hamba di sisi Allah, melainkan menjulang kejayaan di Akhirat kelak. Untuk berjaya di Akhirat, maka segalanya bermula semasa di dunia. Dan untuk berjaya, kita perlu selalu berubah, tingkatkan diri dengan adab dan akhlak.

Krisis akhlak remaja pada hari ini berada pada tahap meruncing, bukan sahaja dalam kalangan pelajar sekolah biasa, tetapi juga dalam kalangan pelajar sekolah agama, yang sepatutnya lebih utama beradab dan berakhlak mulia.

Apa yang lebih menyedihkan bagi pelajar sekolah agama pada hari ini ialah mereka tidak berbangga dengan identiti dan imej Islam dalam berpakaian malah mereka lebih gemar berseluar jeans dan berbaju ketat.

"Saya mahu berdakwah, ustaz."

"Saya tak layak untuk berimej begitu, ustaz."

Inilah antara alasan-alasan yang selalu diberi, sedangkan imej pakaian yang sopan dan menurut sunnah itu melambangkan syiar dan akhlak, bukan itu sahaja, malah menjadi benteng pertama dari segala pengaruh keburukan yang berada di sekeliling kita. Alangkah dangkalnya jika seorang yang berpendidikan Islam, mendalami Islam, tetapi tidak mampu menonjolkan identiti Islam dalam berpakaian. Sedih sekali, kerana krisis ini banyak terjadi dalam kalangan remaja yang bersekolah agama.

Amat menyedihkan, jika alasan mahu berdakwah digunakan, tetapi rupa-rupanya imej tersebut menjadi penghalang untuk mereka berdua-duaan dengan kekasih, atau menghalang mereka untuk masuk dalam kedai snooker, atau malu untuk pergi berkaraoke dan menonton wayang.

Semua ini amat bertentangan dengan tabiat Ar-Risalah. Hakikat sebagai seorang khalifah yang memegang amanah tabligh dan dakwah. Justeru, tiada kejayaan yang lebih sempurna bagi seorang Muslim, melainkan sentiasa mempertingkat adab, dengan menjadi mahasiswa UNIVERSITI SULUK & AKHLAK sehingga berjaya bergelar graduan. Tiada jalan lain melainkan dengan menuntut ilmu segigihnya, supaya kita mampu memilih antara dua jalan.

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kecelakaan dan ketaqwaan."
(As-Syams : 8)

Ayuh, mari bersama-sama kita kejar kejayaan Akhirat dengan terus menuntut ilmu dan beribadah, memperdalami sirah, tingkatkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w., insya-Allah kita akan sentiasa mengalami perubahan yang lebih baik terhadap akhlak yang seterusnya mempengaruhi perangai dan sikap.

Cuba tanya sesiapa sahaja, apakah mereka suka dengan seorang manusia yang beradab dan berakhlak? Tentu semuanya suka dan terpikat kerana akal yang sihat tentu dapat membezakan yang baik dan yang buruk.

Apabila kita berakhlak mulia, bukankah kita juga hakikatnya sudah menempa kejayaan di dunia, walaupun tanpa kecemerlangan sijil dan syahadah?

Usah gundah gulana, kerana dahulu itu pembelajaran, untuk kegigihan kita pada hari ini, demi hari esok (Akhirat) yang abadi.

Posted in | 1 Comment

Hakikatnya kita tidak pernah terpisah

Sejak akhir-akhir ini, saya sering dibelenggu dengan suasana perpisahan di mana-mana dan saya kira, semua orang juga pernah menghadapi perkara yang sama. Apabila dua orang ditakdirkan bertemu, pasti perpisahan akan kunjung tiba dan menerjah ruang yang sering diisi dengan riang tawa, senda gurau dan tangis hiba, saat akrab bersama.

Apabila semua orang berkata bahawa perpisahan itu lumrah, maka ini bermakna bahawa perpisahan itu pasti dan setiap kita mesti akan mengalami perpisahan. Sama ada perpisahan sementara yang boleh mengundang pertemuan semula, atau pun perpisahan selamanya dengan nama kematian. Namun, perpisahan tetap menjadi pasti kerana kita semua tentu akan merasai mati.


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu." (Ali Imran : 185)

Apabila berpisah, kita sering membicarakan tentang sakit dan peritnya rasa orang yang ditinggalkan, tetapi jarang benar kita mendalami tentang sakit dan peritnya orang yang meninggalkan. Kadang-kadang orang yang meninggalkan itu lebih perit dari yang ditinggalkan. Namun, anggaplah perpisahan yang terjadi sebagai tarbiah dan memenuhi maksud hijrah, ke arah kemajuan dan perubahan yang lebih baik. Insya-Allah.

Menguji keteguhan hati

Saya pernah menulis di sini tentang makna perpisahan yang hakikatnya mengakrabkan, kerana melalui perpisahan itu kita akan sentiasa belajar menghargai. Kehilangan sesuatu menerjah akal supaya kita sentiasa ingat dan menghargai saat sesuatu itu ada di sisi. Apabila kita kehilangan kunci misalnya, ketika kita sangat memerlukannya, barulah kita sedar tentang kepentingan dan kebergantungan kita terhadapnya. Namun, bukanlah kita sedar tentang kepentingan jasad kunci itu semata-mata, tetapi kita celik tentang kepentingan kegunaan kunci itu sebagai asbab keselamatan barang-barang kita.

Sepertimana kita mempunyai ibu, ayah, isteri, suami, sahabat handai dan seluruh kenalan, bukanlah ketika mereka tiada, ingatan kita hanya tertumpu kepada jasad mereka sahaja, tetapi lebih terarah kepada kasih sayang yang tumpah, tanggungjawab dan amanah yang tertunai, budi yang ditabur dan segalanya itu bersatu menyuguhkan kenangan yang sukar dilupakan, lantas menimbulkan sebak di dada.

Ya, perpisahan itu hakikatnya menguji keteguhan hati, mencelikkan akal, dan apabila bertemu, kita akan lebih menghargai, lantas perhubungan menjadi lebih akrab.

Cuma perpisahan jasad

Apabila berlaku perpisahan cuba jawab persoalan ini - apakah kita hanya menyayangi dia kerana jasadnya sahaja?

Sudah tentu jawapannya tidak, kerana mengasihi jasad semata-mata sangat khilaf dengan makna cinta yang sejati. Jika hanya jasadnya sahaja yang kita kasihi, maka kita perlu sama-sama kembali untuk koreksi makna cinta kita kepadanya. Kita sering sahaja melihat pergaduhan, penceraian, dendam dan iri yang berlaku dalam kalangan ummah kerana kebanyakan kita belum betul-betul faham dan kenal dengan makna cinta dan ukhuwwah, yang sebenar-benarnya perlu dibatasi dalam mandala "kerana Allah". Jika hanya jasad yang rapat, tetapi hati jauh terpisah, kita sebenarnya berada dalam pembohongan.

Kita cinta kepada Allah, kerana kita tahu Allah itu ada, walaupun kita tidak melihat-Nya, tidak mendengar-Nya. Kita cinta kepada Rasulullah s.a.w, walaupun kita tidak pernah melihat baginda, menyentuh baginda, mendengar ajaran baginda, dan bukankah ini makna seagung-agung cinta?

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai; (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (At-Taubah : 24)

Apabila perpisahan menjadi lumrah, bukankah itu menunjukkan bahawa kita hanya hamba yang lemah dan sentiasa bergantung. Kita sentiasa berfikir bahawa apa yang kita miliki itu hanya sementara dan hakikatnya tiada yang menjadi milik kita. Malah, diri kita sendiri adalah milik-Nya. Tiada yang kekal, melainkan hanya Allah.

Lantas fikiran diterjah dengan sifat dunia, yang sementara cuma. Sifat dunia yang fana dan tidak kekal. Sifat dunia yang tiada harga, melainkan cuma main-main. Sifat dunia yang wasilah, buat menyemai bekal manfaat untuk Akhirat.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah, antara tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungan-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan-Nya, antaranya ialah; dua orang yang saling mengasihi kerana Allah, iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah.

Justeru, hakikat dua orang bersaudara yang bertemu dan berpisah kerana Allah itu tidak pernah berpisah, kerana hatinya sering terikat dalam kasih sayang, sentiasa terpaut pada bakti dan budi, selalu tersimpul pada tanggungjawab dan amanah. Sentiasa ingat pada makna ukhuwwah dan persahabatan.

Ingatan pada jasad, jasad akan lebur dan musnah. Ingatan pada minda, minda itu selalu lupa dan leka. Maka ingatkanlah pada hati, kerana hati itu ibarat tanah yang subur, yang perlu dibenihkan dengan niat kerana Allah, pahit manis ukhuwwah dalam zikir dan fikir. Walaupun jasad terpisah, tetapi hati tetap berpaut.

Ya, bukankah dua orang yang berpisah kerana Allah itu, hakikatnya mereka tidak pernah berpisah?

Posted in | 4 Comments

Dunia itu di tangan, bukan di hati, hanya alat, bukan matlamat

Sejak akhir-akhir ini saya banyak sekali dikongsikan dengan makna bahagia oleh orang-orang di sekeliling saya. Tidak kurang juga yang bertanya tentang makna bahagia dalam hidup. Maka ramailah yang menakrifkan bahagia menurut pandangan masing-masing.

Hukum bahagia itu bagi sesetengah orang adalah relatif dan sentiasa berubah menurut situasi. Namun, bagi saya takrif bahagia bagi umat Islam haruslah tepat dan selari dengan pandangan Islam. Tiada kebahagian melainkan dengan ketenangan dalam agama-Nya, apatah jika kita mati menggenggam syahid.

Saya tidak pernah percaya kejayaan atau kebahagiaan itu wajib dikaitkan dengan unsur material dan duniawi. Benar, bagi sesetengah orang, kaya itu penting sebagai alat untuk mencapai matlamat, untuk manfaat orang Islam lain, atau untuk bersedekah dan menginfaq hartanya di jalan Allah kelak, tetapi perlulah diingat juga bahawa material dan duniawi sentiasa menjadi alat pula oleh Iblis Laknatullah untuk menyesatkan manusia. Maka jauh dari lubuk hati, saya sangat bimbang terhadap individu atau mereka yang meletakkan asas kebahagiaan itu adalah pada material dan duniawi.

Kebimbangan saya berasas, kerana orang yang meletakkan takrif kebahagiaan sebagai dunia dan material, malah sentiasa mengulang-ulang prinsip yang sama setiap hari, maka sukarnya baginya untuk mengekang tazyin syaitan yang sentiasa licik dan berstrategi. Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia. Malah sejarah telah mengimbau teladan kepada kita umat Islam, bahawa manusia-manusia yang paling banyak disesatkan oleh syaitan adalah yang berharta dan mengutamakan duniawi, seperti Qarun dan Firaun.

Keimanan kepada Hari Akhirat

Bagi Muslim yang kuat keimanannya kepada Hari Akhirat, maka dia tidak pernah merasakan dunia dan seisinya sangat penting baginya, kerana dia sentiasa percaya bahawa Allahlah yang menetapkan rezeki buat hamba-hamba-Nya tanpa menidakkan usaha dan ikhtiar sendiri.

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Ar-Ra'du : 28)

Kunci kebahagiaan itu adalah zikir dan fikir. Tidak cukup dengan zikir, kerana zikir biasanya adalah untuk diri sendiri, bermuhasabah dan menambah pahala diri sendiri, tetapi hendaklah disertai dengan fikir. Fikir itu adalah dengan ilmu dan iman, fikir untuk orang lain, fikir untuk ummah, fikir untuk selalu memberi.

Malah Allah menggesa hamba-Nya dalam surah An-Nahl ayat 97 supaya mereka memperolehi kehidupan yang baik dengan beriman dan beramal soleh. Tiada ganjaran yang lebih baik bagi orang yang beriman melainkan pahala di sisi-Nya. Ibnu 'Abbas menakrifkan kehidupan yang baik itu sebagai kebahagiaan. Dan berbahagialah dengan ilmu pengetahuan di dada, kerana ilmu itu imam, dan amalan adalah makmumnya. Nah, bukankah ini semua hanya boleh direalisasikan dengan keimanan yang kukuh kepada Hari Akhirat?

"Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama (orang yang berilmu)." (Fathir : 28)

Orang yang mengerjakan sesuatu untuk dunia hasilnya nampak, cepat dan boleh dikecapi hasilnya serta merta, tetapi orang yang mengerjakan sesuatu untuk Akhirat, hasilnya tidak nampak, lambat, tetapi dia hanya percaya dalam cinta. Dan percaya dalam cinta itulah iman.

Maka bukanlah yang diingini di sini kita meletakkan asas kaya dan bahagia itu adalah kaya material dan duniawi, tetapi yang dikehendaki adalah kaya hati dengan memberi.

Hanya alat bukan matlamat

Abdul Rahman bin Auf antara sahabat baginda s.a.w yang kaya dan telah menginfaqkan seluruh kekayaannya fisabilillah pada permulaan Islam. Dia seorang peniaga yang pintar memiliki harta yang banyak ketika di Madinah. Beliau merupakan antara sahabat nabi yang paling awal memeluk Islam dan salah seorang daripada sepuluh sahabat al-Mubasshirina bil Jannah.

Dia menangis suatu ketika, kemudian ditanya kenapa dia menangis, dan dia membandingkan dirinya dengan para sahabat yang syahid terlebih dahulu seperti Mus'ab bin Umair, yang dahulunya seorang anak yang disayangi ibunya, pakaiannya cantik dan mahal, baunya sentiasa harum semerbak dengan minyak wangi, tetapi dia meninggalkan segalanya itu demi Islam. Mus'ab meninggal dunia dalam keadaan tidak cukup kain untuk menutupi jenazahnya. Begitu juga dia membandingkan dirinya dengan Asadullah Saidina Hamzah, seorang pahlawan yang lebih mulia daripadanya, dan juga tidak cukup kain kafan saat kembalinya ke pangkuan Allah.

Dia bimbang jika dia termasuk di antara orang-orang yang dipercepatkan untuk menikmati kebahagiaan di dunia, lalu akan tersisih daripada para sahabat dan Rasulullah di Akhirat disebabkan kekayaan. Walaupun dia merupakan salah seorang para sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w. Ketika dia bersedekah, dia menangis kerana mengingatkan Rasulullah s.a.w yang tidak pernah kenyang dengan roti dan gandum.

Kebimbangan dan keimanan seperti Abdul Rahman bin Auf inilah yang perlu ada dalam jiwa mereka yang ingin menjadi kaya. Tanpa menafikan sumbangan umat Islam yang memiliki jiwa seperti sahabat Rasulullah yang agung ini, tapi sekadar memberikan tazkirah, supaya kita sentiasa menjadikan dunia itu di tangan bukan di hati, menjadikan dunia dan segalanya itu hanya alat untuk menyemai benih-benih manfaat, menuju Akhirat sebagai matlamat.

Posted in | 3 Comments

Untukmu Rasulullah

Alam berpesta saat kelahiran insan agung,
Makhluk terbaik yang disebut Tuhan
di lembaran hikmah.

Dia merintis kemurnian hidup
mencantas jahil
yang mencemar kudus jiwa.

Dia menafaskan jiwa kerdil
yang tenggelam saban waktu
pada fatamorgana dunia.

Dia mungkin buta pada takrif aksara,
rencam pada baris huruf
Namun pada jiwa dan minda
khalis dan pokta
dalam suluhan nubuwwah
gelandang ummah
dipimpin berhikmah,

Ya Rasulallah,

Kau persis nur bulan bintang penghias malam
Pada sebuah perjuangan
kau kental menanggung taufan fitnah
yang tidak pernah khali,
Meski lewat cabaran dan tohmah
kau langkah dengan berhemah.

Kau layarkan bahtera adil dan jujur
yang diandal jiwa-jiwa sani
lewat keberkatan mukjizat
dan tarbiah Ilahiyyah,
Biar ribuan suda menghalang sabil
Kau cantas dengan pedang sabar dan cekal

Mereka akui kau insan pilihan
Namun bejat nafsu menghalang atma dari akur,

Biarlah pawana jahil itu berterbangan
Biarkan badai nafsu itu menghempas,
Kau tekal dengan misi,
Merentas gendala buta dan terjal
dengan iman dan hikmah Ilahi,
Garisah perit dan dukamu itu bagai rasa si penagih metia
menjumpai sahmura di mahligai impian.

Dari langit lazuardi cerah ke mega senja,
Kau tamsilan sebuah meditasi hidup
ilham perjuangan mujahid,
figura sanubari

Tiada kata yang terungkap dengan sahsiah dan budi,
Tiada nilai dan matra yang terukur dengan halus bicara,
Hanya terukir stanza dhaif
daripada seorang insan fakir
dalam zikir fikir
kalangan ummahmu yang litir

Demi ummah,
Kau rasai perit jasmani,
Kau lalui sayatan rohani,
Kau lontarkan mewah berahi,
Kau jauhkan manikam duniawi.

Pengorbananmu menjadi inspirasi,
Semangatmu mengalir di setiap sendi dan nadi,
Perjuanganmu nalar mengakar ilusi,
Kau terus hidup menyubur hati.

Wahai Rasulullah,
Kaulah perwira diri dan bukti cinta sejati,
Lantaran sayangmu pada ummah mengatasi kejerihan,
Sehingga pada akhir zaman usia
kekal meniti di bibirmu yang mulia...
"Ummati... ummati... ummati..."

Amiza Khusyri Yusof, Kaherah, 2004.

Sollallah A'la Muhammad, Sollallah A'laihi Wasallam.
Salam Maulidurrasul 1432H!

Posted in | 2 Comments

Cabar diri untuk terus mencuba

Setiap hari dalam hidup kita sentiasa menghadapi sesuatu yang baharu, sama ada sesuatu yang baharu itu kita hadapi tanpa dipinta atau kerana desakan dan dorongan yang menjadikan kita terpaksa menghadapinya. Begitulah lumrah dalam hidup, bertemu sesuatu yang baharu dan yang membezakan ialah bagaimana seseorang mendepani dan menangani situasi tersebut.

Apabila menghadapi sesuatu yang baharu dalam hidup maka kita akan bertemu dengan tiga jenis manusia. Pertama ialah manusia yang berani dan berusaha sedaya upaya untuk menghadapinya. Kedua ialah jenis manusia yang tidak apa-apa, yakni sama ada melakukan atau pun tidak, bukan sesuatu yang penting baginya. Ketiga ialah manusia yang langsung tidak mahu menghadapi dan gagal jiwa untuk mencuba.

Tentulah manusia yang pertama itu ialah manusia yang bersemangat waja, sentiasa melihat sesuatu yang baharu itu sebagai cabaran yang perlu didepani. Semangatnya kental dan tidak takut dengan kegagalan. Dia sentiasa optimis dan berfikiran positif. Manusia yang kedua pula ialah manusia yang tidak tahu apa-apa. Yang sentiasa tidak suka berfikir dan menerjemah sesuatu yang dihadapinya sebagai proses untuknya lebih mengenali diri dan Pencipta. Manusia ini statik dan tidak sukakan persaingan. Manusia yang ketiga pula tentulah yang lebih mengecewakan. Dia seorang takut gagal, pesimis dan sentiasa negatif dalam persepsi dan tindakan yang dilakukannya.

Tahukah kita bahawa proses mendepani sesuatu yang baharu setiap hari dalam hidup merupakan suatu simbol kepada penambahan ilmu dan pengalaman? Ya, inilah yang menunjukkan hakikat kita sebagai seorang hamba di sisi-Nya, yang lemah dan sentiasa bergantung.

Kita dulu yang suka mencuba

Sedarkah kita, semasa kecil atau kanak-kanak jiwa kita sentiasa diwarnai dengan sikap suka mencuba?

Semasa telapak tangan dan jemari sudah pandai menggenggam, maka segala benda yang dijumpai akan digenggam sekuat hati. Semasa gusi gatal kerana gigi sudah mula tumbuh, maka segala benda yang berjaya digenggam akan disua ke mulut untuk digigit, dan ketika baru pandai berjalan, maka semua tempat pasti akan dijelajah. Kita suka mencuba sesuatu yang baharu semasa kecil, dan semuanya menjadikan kita semakin matang dengan ilmu dan pengalaman. Kita membesar dengan sikap suka mencuba kerana kita sentiasa menempuh perjalanan dan umur yang baharu.

Apabila kita membesar dengan sikap suka mencuba, maka ibu bapalah yang memainkan peranan untuk mengawal sikap mencuba itu melalui dorongan mahu pun larangan yang bernas untuk kita lebih mengenali makna kehidupan. Ibu bapa akan memastikan pilihan hasil dari sikap mencuba itu betul dan bertepatan dengan akal yang waras serta tuntutan syariat. Hasilnya, hidup kita akan jauh dari kemudaratan dan kebatilan. Proses tumbesaran kita dibajai dengan makna sebuah kasih sayang.

Pernahkah kita melihat dua keluarga yang singgah di suatu tempat yang sama dan mereka saling tidak mengenali, tetapi anak-anak mereka boleh saling bertegur sapa seperti sudah lama kenal?

Benarlah bahawa anak-anak itu jiwanya bersih, seperti kain putih, dan banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada mereka.

Suka mencuba yang sahih

Sikap suka mencuba yang dimaksudkan tentunya adalah sikap mencuba yang sahih, yakni sikap mencuba yang bertepatan dengan tuntutan Allah dan jauh dari larangan-Nya. Jangan sesekali kita mencuba sesuatu yang batil dan memudaratkan seperti rokok yang akhirnya mudah pula untuk kita mencuba buat kali yang kedua dan seterusnya. Sikap mencuba yang tidak kena tempat ini tentunya akan merosakkan imunisasi jiwa kita dari dosa dan maksiat.

Perhatikan sahaja perokok-perokok tegar dan yang lebih teruk lagi ialah mereka yang terlibat dengan arak dan najis dadah, semuanya bermula dari pelawaan atau pengaruh teman-teman untuk mencuba. Firman Allah :

"Katakanlah : Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al-Maidah : 100)

Justeru, apa sahaja yang kita depani dan itu merupakan sesuatu yang baharu seperti masalah misalnya, lihatlah ia sebagai sebuah cabaran dan hadapilah dengan tenang dan bijak. Carilah jalan penyelesaian yang terbaik dengan berbekalkan sabar dan tabah. Mohonlah kepada Allah dan bertawakkal, insya-Allah Dia pasti akan mengabulkan, dan Dia tidak pernah memungkiri janji.

Gagahkan hati untuk terus mencuba dan mencabar diri sendiri untuk berubah. Kita tidak akan tahu dan merasai natijah selagi tidak mencuba. Biar kita gagal dalam percubaan berkali-kali, tetapi jangan sesekali kita gagal untuk mencuba!

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.