Tertawa dan menangis dengan al-Quran

Kredit foto: Panoramio

Masjid kampung kami dulu kecil dan comel. Masih berdindingkan papan dan beratapkan zink. Kalau hujan waktu solat jumaat, suara imam membaca khutbah menjadi tenggelam timbul, dan kami di belakang sudah mula riuh rendah. Tok Hussein yang selalu berulang-alik ke masjid berjalan kaki akan pandang belakang dan jegilkan mata kepada kami, maka tak ada siapa lagi berani buka mulut selepas itu.

Bila tibanya hari raya, jemaah akan melimpah ruah sampai terpaksa solat di atas tanah, tapi masjid sudah siapkan tikar untuk dihamparkan sebagai alas. Kalau takbir hari raya bukan main lagi meriahnya. Jemaah akan dibahagikan dua kumpulan, kadang-kadang sampai berbahagi empat, dua di hulu dan dua di hilir. Tradisi bertakbir adalah dari rumah ke rumah, dan dalam poket kami selalu berbekalkan mercun cina. Kadang-kadang tersalah lempar ke kaki imam, maka semua orang dewasa yang ikut bertakbir akan mengamok dan kami lari lintang pukang.


Apabila Prof. SM Naquib al-Attas mengatakan bahawa Raffles bertanggungjawab membawa candu sekularisme dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam terhadap sistem pendidikan dulu, saya terangguk-angguk membacanya. Kata al-Attas, yang dipetik daripada Abdullah Munsyi, orang Melayu perlu pandai mengaji al-Quran dulu sebelum boleh belajar bahasa Melayu, atau masuk sekolah Melayu, ikut pendidikan formal. Apabila saya tanyakan pada mertua, katanya orang dulu perlu habis dan khatamkan mengaji, baru boleh berkhatan!

Kata biras saya abang Nazri, kalau pergi mengaji rumah guru Quran dulu, wajib bawa bersama minyak tanah. Kalau terlupa bawa, mak ayah akan marah-marah bila balik; dikatakan biadap dan kurang ajar, meskipun guru Quran tak pernah minta. Jika usai mengaji pula, wajib tolong angkat air dua tiga baldi atau tolong kerja-kerja rumah guru Quran, telah menjadi akar tradisi guna menjunjung adab dan ilmu.

Kredit foto: Unikversiti

Kita dan al-Quran

Oh, pada hari dan zaman ini, al-Quran masih tak habis mengaji, tapi kita sudah sibuk ingin menghantar anak mengaji sains. Anak-anak sudah tertekan untuk dapatkan keputusan 5A dalam UPSR dan terpaksa bersaing pula dengan rakan-rakan untuk masuk ke sekolah-sekolah hebat. Ibu bapa sekarang bukan kerja kampung, setiap hari perlu mengadap kesesakan dan kedudukan prestasi yang kukuh. Quran hanya dilekat di dinding-dinding atau dipamer kemas dalam almari kaca. Anak-anak pula baru nak mula mengaji dan kenal Quran; yang sepatutnya bukan sekadar berhenti pada membaca, tetapi tuntutan bertadabbur, berfikir dan bermujahadah sampai membuahkan amal dan akhlaq, malah hidup mati dengan al-Quran.

Hidup mati dengan al-Quran bukan seindah baris kata. Ia tuntutan sepanjang hayat, jatuh bangun dalam perjuangan melawan keinginan dan nafsu, jatuh bangun dalam sebuah penyesalan dan taubat. Kadang-kadang bila tertawa kita tinggalkan al-Quran, dan bila menangis sedih, barulah kembali bersama al-Quran. Sepatutnyalah sebagai Muslim, suka dan duka kita perlu bersama al-Quran, dapat nikmat dan gunakan nikmat seperti yang diajarkan al-Quran, dapat musibah dan belajar musibah seperti yang dipandu al-Quran, akhirnya kita tak terkesan langsung dengan nikmat dan musibah, yang penting kita genggam al-Quran sampai mati.

Hisyam bin Amir pernah bertanya Aishah RA tentang akhlaq Rasulullah SAW, Aishah menjawab, “Akhlaq Nabi SAW adalah al-Quran.” (Riwayat Muslim)

Al-Quran yang dibawa sebagai risalah, ditonjolkan oleh Rasulullah SAW dalam bentuk praktis, iaitu melalui diri baginda sendiri (Al-Sunnah al-Nabawiyyah). Apabila kita hanya membaca sesuatu tentang kemuliaan dan keindahan, akal gagal menerjemahnya secara jelas dan tampak, hanya secara abstrak dan subjektif, malah boleh menjangkau ke dunia absurd dan pelik dengan imaginasi tanpa batas. Justeru, apabila didatangkan oleh Allah, seorang utusan dalam kalangan diri kita sendiri seorang manusia (Al-Taubah: 128), yang mempersembahkan ajaran-ajaran itu dalam bentuk yang praktis, maka penglihatan-penglihatan itu segera menimbulkan keyakinan dan membasmi keraguan-keraguan.


Prof. Dr. Ingrid Mattson menyebutkan dalam bukunya The Story of the Qur’an, meskipun apa yang kita perolehi adalah kisah daripada seorang Rasul bernama Muhammad SAW, tetapi kisah-kisah itu sendiri bukan hanya mewakili mesej peribadi baginda, tetapi membawa mesej universal, sesuai dengan sifat baginda sebagai rahmat bagi seluruh alam ini (Al-Anbiya: 107).

Ya, mesej hidup mati bersama al-Quran.

Kita sudah mula diipuk kebimbangan, waktu bersama gajet, bersama kerja, bersama kawan-kawan, lebih banyak dari waktu bersama al-Quran. Benarkah begitu?

Jawapannya tidak. Kembali semula kepada perbincangan awal tadi bahawa biarlah suka dan duka kita sentiasa bersama al-Quran. Kita hidup dan menghidupkan al-Quran melalui gajet, kerja dan ketika bersama rakan-rakan. Al-Quran kelihatan sangat praktis, sentiasa indah dan mengindahkan kehidupan yang kelihatan beku dan mendesak.

Namun, ia bukanlah sebagai jalan eskapisme untuk kita mengelak dari membaca al-Quran, menuntut ilmu dan memahami prinsip-prinsipnya, tetapi sebagai usaha peringatan, biar kita selalu menggenggam al-Quran dalam menjalani kehidupan.

Pasangkan ayat-ayat suci ketika memandu, ketika bekerja, membaca al-Quran di gajet, di samping CD-CD yang sangat banyak mengajar tentang teknik menguasai al-Quran. Apakah terhenti di situ?

Jawapannya juga tidak. Hidupkan budaya membaca, menuntut ilmu, mengaji al-Quran secara bertalaqqi, semua itu adalah keghairahan yang perlu dibina perlahan-lahan dan dibiasakan hingga sampai ke peringkat halawah, iaitu kemanisan sebuah kebiasaan.

Oh, indahnya tertawa dan menangis dengan al-Quran!

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.