"Nasib baik, kalau aku ikut tentu aku yang kena."
"Aku hanya dilambatkan seminit, kalau tak nahas. Nasib baik."
Mungkin kita biasa dengar dialog-dialog di atas dituturkan oleh sahabat, kerabat malah diri sendiri apabila berhadapan situasi di'selamat'kan daripada sesuatu. Lalu kita bersyukur dengan kesempatan dan peluang yang masih diberikan. Namun, apabila kita menyangka bahawa 'yang selamat' itu bernasib baik, apakah yang 'tidak selamat' itu pula bernasib buruk?
Semua ini termasuk dalam qadha dan qadar atau ketetapan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Ini bermakna, apa sahaja yang datang dari Allah, tentulah itu yang terbaik walaupun tidak baik pada pandangan kita, kerana Dia Maha Mengetahui. Sesungguhnya kita tidak tahu cara Allah ingin memberi kebaikan kepada hamba-hamba-Nya, malah apa yang kita rasa baik belum tentu baik juga pada pandangan Allah, malah boleh menjadi satu ujian bahkan bahana dalam kehidupan kita menuju Akhirat.
Cuba kita renung, apabila kita ber'nasib baik' pada hari ini, apakah pada hari esok dan hari-hari seterusnya kita akan tetap ber'nasib baik' juga? Dan apakah yang kita sangka 'nasib baik' hari ini merupakan kebaikan pada hari-hari akan datang juga, atau menjadi suatu keburukan pula?
Aduh, sangat sukar menebak dan menjangka hakikat kebaikan ini bukan?
Menerjemah Kebaikan
Sangat sukar dengan akal yang terbatas untuk kita menerjemah kebaikan di atas apa yang terjadi dalam kehidupan ini. Seperti firman Allah s.w.t :
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)
Senang benar kita 'terperangkap' dengan kebaikan yang dilihat melalui sudut pandang sendiri. Kita lebih memilih sihat dari sakit, senang dari susah atau kaya dari miskin. Sedangkan kita tidak tahu apakah itu sebenar-benar kebaikan di sisi-Nya?
Di atas akal yang terbatas dan tidak mampu meramal ini, maka Allah mengutuskan para nabi dan rasul untuk menanam serta menuai akidah dan iman dalam hati kita. Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w menanam kepercayaan dan keimanan ini dalam hati para sahabat sehingga mereka menjadi hamba Allah yang benar-benar berkualiti dengan sikap - dengar dan taat, tanpa banyak soal dan mempersoal.
Hidup adalah anugerah
Kita sebagai umat Islam perlu percaya bahawa hidup ini adalah anugerah. Kita dipilih menerima anugerah yang bernama kehidupan. Anugerah pinjaman yang sebentar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk agama-Nya. Hidup untuk kita terus menebar manfaat dan kebaikan, bukan sahaja untuk diri sendiri malah kepada orang lain.
Apabila kita faham bahawa hidup ini adalah suatu bentuk anugerah yang dipinjamkan, maka kita akan sentiasa yakin bahawa pada bila-bila masa anugerah ini akan diambil semula. Bukanlah bermakna apabila kita redha bahawa ketetapan ini adalah milik Allah dan Allah Maha Mengetahui rahsianya, maka kita menolak usaha, doa dan tawakkal.
Benar, kita perlu sentiasa berusaha menjadi Muslim yang baik, taat suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam doa dan tawakkal.
3S : Sabar, senyum dan syukur
Apabila musibah datang menimpa, tragedi yang tidak diingini terjadi dengan tiba-tiba, maka laluilah dengan sabar, kerana sabar akan memupuk rasional, lantas akal akan menerjemah ketetapan Tuhan sebagai suatu kebaikan. Kita diuji sedemikian kerana Allah Maha Tahu, bahawa kita mampu menghadapinya.
"Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau imannya lemah dia diuji dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seseorang diuji terus menerus sehingga ia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa." (Riwayat Bukhari)
"Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka ia diuji (dengan musibah yang menimpanya)." (Riwayat Bukhari)
Berdoalah, supaya Allah akan mengurniakan kita kebaikan di dunia, kebahagiaan di Akhirat dan Dia pasti akan mengabulkan, meskipun bukan seperti yang kita mahukan. Dia pasti akan mengabulkan, atas kehendak-Nya, kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat kita, hamba-hamba-Nya.
Catat Ulasan