Mentari Ghurub di Kuala Linggi
Ada banyak perkara yang ingin aku kongsikan semasa di Kuala Linggi. Program yang meskipun sebentar, tetapi terus melekat di hati ini. Aku memacu matlamat dengan mengharungi perjalanan hampir sejam setengah untuk tiba ke destinasi. Apabila tiba, dengan bertemankan laut yang saujana mata memandang, aku telah memacak tekad dan azam untuk membuang jauh-jauh rasa letih dan tak sedap hati meninggalkan keluarga, tetapi menyuburkan hati dengan kejujuran dan keikhlasan menggunung untuk mentarbiah anak-anak terpilih ini.
Apabila tiba di tepi laut, aku seperti biasa akan menjadi manusia yang pendiam, dan fikiran sentiasa berkelintar memikir dan bertafakur. Terasa benar betapa kerdilnya diri berbanding alam ciptaan Allah yang maha luas. Apabila mengendalikan program Eggs, aku dapat melihat ketaatan, kegembiraan dan pelepasan dari segala macam tekanan yang terbuku di hati anak-anak. Jauh di sudut hati, aku pun begitu, malah sentiasa terselit doa agar Tuhan melembutkan hati-hati kami untuk terus berada di landasan-Nya hingga akhir hayat.
Tatkala anak-anak bermesra dengan alunan arus dan ombak, ditemani rakan-rakanku yang memahami, mataku tidak pernah lepas dari melihat mentari jingga yang sudah condong. Hatiku benar-benar meronta, semahunya ingin mereka menikmati waktu itu di atas batuan karang mengadap mentari ghurub. Sayang, anak-anak agak lewat dan hanya segelintir yang dapat menikmati saat berharga itu, meskipun akhirnya kami sama-sama dapat melihat mentari itu luput garis vertikalnya. Hanya beberapa saat, mentari terus hilang dan saat itu pasti akan sentiasa aku rindui. Saat mentari ghurub, aku sempat mengingatkan mereka agar sentiasa berzikir dan mengajak mereka mengimbau tentang jalan hidup yang hanya sebentar ini.
Malam berlabuh, dan sayup mata memandang lampu kapal-kapal nelayan ibarat cahaya kunang-kunang. Bintang-bintang mengerdip dan bulan malu-malu di sebalik awan. Ombak tekal berdebur mewujudkan muzik latar yang begitu mengasyikkan.
Saat aktiviti tazkirah, pelantikan khalifah dan aktiviti mujahid telah berakhir, aku keseorangan di tepi pantai memejam mata, menghayati bayu laut yang mendamaikan. Kawasan itu sunyi dan sesungguhnya kami bertuah bebas untuk mengadakan sebarang aktiviti yang bermanfaat tentunya. Dan apabila hari terakhir menjengah, hati mulai terasa sayu, terasa syahdu, terutama selepas membincangkan karya Dr. Abdullah Nasih Ulwan itu. Saat berpisah dengan ritma ombak dan pantai, berjauhan dengan matahari ghurub dan alam ciptaan-Nya yang terbentang luas, hatiku melambai ombak, melambai lautan dan pantai, melambai Kuala Linggi dan mentarinya.
Namun, kalbu masih terus merindui sehingga kini, dan semasa kereta menyusuri jalan meninggalkan Kuala Linggi, hatiku berdoa, semoga hidayah melimpahi hati anak-anakku dengan keajaiban alam-Nya, kegembiraan diiringi penghargaan. Sempat bibirku berbisik, bisikan azam dan semangat tentunya dengan dibumbui alunan nasyid ITQAN yang merdu.
“Kuala Linggi, nantikan kedatanganku lagi!”
"Maka bersabarlah kamu atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya, dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu malam dan pada waktu-waktu siangnya, supaya kamu berasa senang." (20 : 130)
Catat Ulasan