Umbara Sastera 2 di Berita Harian [24 Julai 2008]


AHLI PANEL: Dari kiri; Raihani, Adibah, Nisah, Salina dan Amiza Khusyri mendedahkan pengalaman kreatif masing-masing kepada peserta.

Program Pen berusaha melahirkan penulis berbakat di Negeri Beradat

PENCARIAN bakat baru dalam bidang penulisan kreatif negara terus dijana oleh pelbagai pihak terutama persatuan penulis yang sentiasa berusaha menggerakkan pelbagai aktiviti untuk melahirkan lebih ramai penulis berwibawa bagi membantu memartabatkan bidang itu.

Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) tidak ketinggalan menyumbang ke arah ini dalam usaha memastikan kelahiran penulis berwibawa terus berlangsung bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penulis lama selain menyatupadukan kelompok terbabit khususnya di negeri itu.

Program Umbara Sastera yang diadakan Pen di Pusat Pengajian Imtiyaz Senawang, Sabtu lalu, meskipun hanya menarik 13 penyertaan, tetapi ternyata berjaya mendorong peserta melakukan kembara minda dengan pelbagai cara.

Bengkel yang dikelolakan menggunakan konsep ala bicarawara itu turut membuka peluang kepada peserta untuk mengambil bahagian dalam acara baca naskhah, diskusi isu sastera dan persuratan Melayu.

Pengisian lain termasuk teknik penulisan cerpen yang disampaikan oleh novelis, Nisah Haron dan peserta juga diberi peluang membicarakan pelbagai aspek termasuk proses kreatif karya terpilih serta berkongsi pengalaman dengan penulis bagi membangkitkan semangat mereka untuk berkarya.

Empat penulis dengan latar belakang berbeza, dipilih sebagai panel program iaitu Fahd Razy penyair muda yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran selain pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Selain itu, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Raihani Mohd Saaid; guru dan juga graduan Universiti Al-Azhar Mesir, Amiza Khusyri Yusof yang banyak menghasilkan sajak dan cerpen; Editor Majalah Nur, Salina Ibrahim dan penuntut perubatan di Manchester, Adibah Abdullah.

Semua ahli panel terbabit berjaya menghidupkan suasana program melalui lontaran idea dan catatan pengalaman yang memberi ruang buat peserta membina keyakinan diri ke arah menghasilkan karya kreatif bermutu serta menyumbang sesuatu kepada dunia sastera tanah air.

Ketua Satu Pen, Mahaya Mohd Yassin, mengakui bukan mudah untuk menarik ramai penyertaan dalam program Pen kerana tidak semua yang berminat dan mempunyai bakat dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, amat sedikit di kalangan rakyat negeri itu terutama dari kalangan generasi muda yang mempunyai kecenderungan terhadap bidang penulisan, bagaimanapun usaha akan ditingkatkan lagi bagi melahirkan ramai penulis untuk menyumbang kepada dunia sastera tanah air.

"Pen berhasrat untuk melahirkan lebih ramai penulis muda yang berkaliber bagi meneruskan kesinambungan berikutan ramai penulis veteran negeri ini yang tidak secergas dulu kerana faktor usia selain kesihatan.

"Berikutan itu kami sudah menyenaraikan banyak program berbentuk bimbingan dan latihan bagi membolehkan penulis muda mempelajari teknik penulisan yang betul sehingga mampu menghasilkan karya berkualiti dan dapat diterima masyarakat,” jelasnya.

Pen berharap langkah mereka dapat mengurangkan kemungkinan ketandusan penulis dalam bidang kesusasteraan yang mampu mengharumkan nama negeri serta negara melalui hasil karya bermutu di samping membina minda masyarakat.

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.