Dalam Renyai Hujan

Aku menulis entri ini dalam renyai hujan. Dalam renyai hatiku mengharungi takah-takah hidup tinggi rendah, susah payah, silih berganti. Dalam renyai jiwaku melihat dan menafsir kehidupan. Siapa yang dapat menebak bila, diri daif ini akan bertemu yang Esa. Seperti air hujan yang bertemali ini, aku menghitung liku hariku yang saban datang. Tuhan tidak pernah mempersia, kejadian hamba-hamba-Nya berhikmah, saling suka-menyuka, sayang-menyayang. Tuhan letakkan fitrah ingin kenal mengenal kerana-Nya dan dengki mendengki, pentingkan diri, hasad dan dendam mendendami bukan fitrah manusia yang suci.

Dalam renyai hujan ini, air bergemeresik menimpa. Guruh terdengar jauh-jauh. Mindaku juga terhantar jauh, mengingatkan sikap diriku yang tidak pernah puas dengan apa yang dikurnia. Kadang-kadang terlalu asyik mendongak ke langit, sehingga tersadung akar di bumi. Tuhan, maafkan dosaku sekiranya pernah terdetik di hatiku sikap pongah dan tinggi diri. Aku tahu, walau sebesar zarah dari sifat takbur menyinggah hati, aku tidak akan mampu meski sekadar menghidu bau syurga.

Aku sentiasa ingatkan hati, bahawa tiada senang dalam perjuangan. Jika pernah suatu ketika aku mengecap detik suka, aku sentiasa mengingatkan hati tentang getir derita saudara kita yang tekal berjuang di sana. Seperti kata saudaraku, tiada intiha dalam perjuangan. Selagi mana jantung masih berdetak, darah masih mengalir, perjuangan perlu diteruskan. Aku tidak mahu menjadi manusia yang berdegar-degar melaungkan kalimah juang, memotivasikan manusia, tapi hati sifar prinsip dan nilai. Tidak tahu mana wasilah yang ingin digagah, hanya berjalan di atas titi, ingin tiba di hujung, tapi tidak tahu apa yang menantinya.

Photobucket

Aku sematkan dalam hati, bahawa aku ingin menjadi penulis yang berprinsip, yang mempunyai pilihan dan tidak takut dengan ancaman. Aku meletakkan percaya, maka dalam hati terbit rasa benar dan tenang. Aku percaya, dengan ketenangan itulah cahaya beramal. Jangan terdetik dalam hatiku rasa canggung beramal dan mendokong, sedang lidah dan pena ribut berkata-kata dan mempelawa menuju cahaya. Jauhkanlah diriku dari kemurkaan-Mu ya Rabb.

Hujan masih turun, renyai-renyai dan guruh terdengar jauh.

Aku selalu diajar supaya jangan ghairah menuai ganjaran dunia, kerana tidak ada yang kekal lama, meski jika dihitung, sepanjang banjaran habuan yang diperoleh. Tidak ada yang istimewa, tidak ada tolok bandingnya ganjaran akhirat. Apakah dengan ingin mengecapi ganjaran akhirat ini aku perlu bersenang lenang, bersuka ria?

Aku teringat pesan datuk, yang suatu ketika pernah menasihat saat nyamuk sedang menyanyi di cuping telinga. "Susah payah itu penting, kau akan jadi manusia hebat dengan susah. Kau akan menghargai orang lain dengan susah. Kau akan gagah berusaha apabila susah." Dan hujan turun renyai-renyai lantas datuk mengajak pulang meninggalkan pepohon getah yang mulai basah.

Dalam hati sering berkata, susah itu adalah sunnah orang berjuang. Jika sesekali pernah aku berasa senang dan damai yang amat, dan janganlah gentar duhai hati, untuk merasai derita dan susah sakit yang Tuhan kurnia sebagai kafarah. Biarlah lafaz syukur akan kekal terbit di bibir buat meraih pengampunan Yang Maha Pengampun. Aku sentiasa meyakini, ingin mencapai senang, aku perlu melalui jalan susah. Untuk mencapai ria abadi aku perlu menempuh ranjau dan gelita. Aku percaya, hati yang lahir dengan momokan ganjaran dan kesenangan, tidak akan pernah kenal erti perjuangan.

Apakah Islam subur dengan timbunan kesenangan dan kemewahan Rasul tercinta?

Hujan masih renyai-renyai dan aku akan terus menimbang hari-hariku.

AKO : Sedang menguruskan pelbagai program di sekolah.. :)

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.