Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat!

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179.

Allah SWT dalam ayat ini menghuraikan tentang perkara yang menyebabkan terjerumusnya manusia ke dalam kesesatan. Allah menjelaskan ramai manusia menjadi isi neraka Jahannam, begitu juga mereka yang masuk syurga sesuai dengan amalan masing-masing.

Firman Allah:

"Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia." [Hud : 105]

Firman Allah lagi :

"Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." [Asy-Syura : 7]

Kebanyakan manusia itu diazab di neraka Jahannam disebabkan akal dan perasaan mereka tidak digunakan untuk memahami keesaan dan kebesaran Allah SWT sedangkan kepercayaan itulah yang akan membersihkan jiwa mereka dari segala macam was-was dan kehinaan serta kerendahan. Kepercayaan inilah yang akan menanam keyakinan kepada diri mereka sendiri, dan menjadi benchmark kepada keutuhan peribadi dan sahsiah.

Kita juga melihat sekalian manusia yang mengaku beriman, tetapi sebenarnya lalai dan lupa dengan kepercayaan sepenuhnya pada hari Akhirat. Mereka hanya menggunakan akal untuk menanam saham dunia tanpa sedikit pun membaja benih akhirat dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

"Mereka hanya mengetahui yang zahir [saja] dari kehidupan dunia, sedang tentang [kehidupan] akhirat adalah lalai." [Ar Rum : 7]

Mereka tidak memahami bahawa tujuan hidup sebenar manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya dan melaburkan saham Akhirat sebanyak mungkin sebagai persediaan. Mereka tidak mengetahui bahawa tujuan Allah memerintahkan mereka menjauhi kemaksiatan dan dosa serta mendorong melakukan amal adalah untuk dua kebahagiaan - dunia dan akhirat. Mereka membutakan hati dan mata, memekakkan telinga dengan segala macam kebaikan dan petunjuk yang datang kepada mereka.

Firman Allah :

"Dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh keseksaan, yang dahulu mereka sering memperolok-olokkannya." [Al-Ahqaf : 26]

Mereka tidak dapat memanfaatkan mata, telinga dan akal sehingga mensia-siakan hidayah Allah. Keadaan mereka seperti binatang bahkan lebih buruk daripada binatang, kerana binatang tidak mempunyai akal dan upaya fikir untuk mengolah kesan penglihatan dan pendengaran mereka. Binatang hanya mewujudkan persepsi atau reaksi terhadap dunia luar secara naluri dan bertujuan hanyalah untuk meneruskan hidup [survival]. Betapa hinanya manusia yang menjadi seperti binatang ini dan menjadi hamba kepada hawa nafsu, malah mereka lebih rendah nilai kerana tidak mampu menggunakan kelebihan akal dan hati.

Kita memohon kepada Allah, agar dijauhkan daripada segala ciri-ciri ini, dan menarafkan diri sebagai Khalifah di atas muka bumi. Sekalian umat Islam perlu memiliki kekuatan untuk mengubah persepsi yang mengambil ringan tuntutan "Amar Makruf Nahi Mungkar", sehingga berleluasanya kemaksiatan dan kecelaruan nilai dalam kehidupan bermasyarakat.

Posted in | Leave a comment

Perasan Bertempat

"Saya rasa dia selalu mengata saya ustaz," kata seorang peserta tingkatan satu dengan kening berkerut. Ada kesan-kesan bengkak di matanya. Barangkali sebab lama menangis.

"Mana kamu tahu dia mengata kamu?" Saya kembali bertanya.

"Saya rasa, sebab dia orang berbisik-bisik." Kata peserta itu lagi dengan kepala tertunduk. Barangkali berasa sangat rendah diri dengan tubuhnya yang gempal.

"Kamu perlu perasan. Orang lelaki pun perlu perasan. Perasan ini perasan bertempat." Kata saya.

"Kamu perlu perasan yang mereka mengata kamu. Sikap perasan ini akan mengelakkan buruk sangka kepada kawan-kawan, dan kamu akan sentiasa fokus. Kamu mesti perlu kembali muhasabah niat mengikuti program ini, ingat macam yang ustaz selalu sebut, kekurangan kamu sebenarnya adalah suatu kelebihan."

Peserta itu menyahut, "Ya, ustaz. Saya perlu bersyukur. Dan saya perlu kuat seperti Po si Dragon Warrior." Dia tersengih. Wajah yang keruh bertukar jernih.

Saya tersenyum, "Ya, perasan menjadi Po, Kungfu Panda, dan itulah namanya perasan bertempat."

Indahnya Berprasangka Baik

Inilah kisah berprasangka baik. Kisah yang selalu saya kongsikan bersama para peserta dan pelajar. Sharing is caring.

Ada dua orang adik beradik yang sudah kematian ibu bapa. Mereka bekerja sebagai peniaga dan setiap hari perlu berjalan sepuluh kilometer jauhnya dari rumah peninggalan ibu bapa mereka demi menuntut ilmu agama. Mereka mementingkan ilmu pengisi dada buat mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba.

Suatu hari si abang berdoa kepada Allah, supaya Allah murahkan rezekinya untuk membeli sebuah kereta bagi memudahkan mereka berulang-alik menuntut ilmu. Tidak lama kemudian, doanya dimakbulkan, dan si abang membeli sebuah kereta hasil dari keuntungan perniagaan mereka.

Lalu si abang berdoa pula supaya Allah mengurniakannya seorang isteri yang rupawan dan baik pekerti. Allah mengabulkannya, dan si abang memiliki isteri idamannya. Kemudian si abang berdoa lagi untuk mendapat sebuah rumah yang selesa dan pekerjaan yang lebih baik, supaya segalanya itu akan menjadikan dirinya semakin dekat dengan Allah. Maka Allah mengabulkan segala permintaannya itu. Selalu.

Tinggallah si adik dengan tiada satu perubahan pun yang berlaku kepada dirinya. Tidak seperti si abang yang cukup dan telah sempurna hidupnya. Dia kekal dengan hidup yang sederhana dan terus tinggal di rumah peninggalan ibu bapa mereka. Si abang yang sibuk dengan pekerjaan baharunya, menjadikan si adik meneruskan kehidupan lamanya, berjalan kaki untuk menuntut ilmu agama setiap hari.

Si abang pun membandingkan kehidupannya dengan adiknya. Doanya yang selalu dimakbulkan, dan adiknya yang terus hidup sederhana itu. Lalu dia teringat, setiap kali adiknya pergi menuntut ilmu dengannya suatu ketika dahulu, adiknya selalu berdoa dengan melihat selembar kertas. Menunjukkan adiknya tidak menghafaz doa, dan hatinya barangkali tidak bersih. Lalu si abang menasihati adiknya supaya membersihkan hati, kerana merasakan hati adiknya masih kotor sehingga doa-doanya tidak dimakbulkan Allah.

Si adik rasa bersyukur dan terharu dengan nasihat abangnya itu. Dia tahu abangnya sangat menyayanginya seterusnya mengucapkan terima kasih di atas nasihat itu.

Sampailah suatu saat ajal kunjung tiba, dan si adik meninggalkan dunia dengan keadaannya yang terus sederhana dan tiada perubahan. Si abang berasa sedih kerana tidak perubahan dalam hidup adiknya dan meninggal dunia dalam keadaan hatinya yang tidak bersih.

Si abang menguruskan rumah peninggalan ibu bapa mereka untuk diubahsuai menjadi sebuah surau dan tempat menuntut ilmu bagi anak yatim, sesuai dengan wasiat arwah adiknya. Sehingga dia terjumpa selembar kertas di dalam lipatan sejadah yang seingatnya selalu dibaca adiknya sebelum pergi berjalan menuntut ilmu. Ada bacaan al-Fatihah, selawat, doa untuk guru dan doa selamat. Matanya terpaku pada ayat terakhir dalam doa itu.

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ampunilah dosaku dan abangku, kabulkanlah segala doa permintaan abangku, bersihkanlah hatiku, dan berikanlah kemuliaan hidup kepada abangku, di dunia dan akhirat."

Dan berlinanglah air mata membasahi pipi si abang, kerana adiknya tidak pernah sekalipun berdoa untuk dunianya, hingga akhir hayatnya.

Berprasangka Baik Pembersih Hati

"Wahai orang-orang beriman, jauhilah diri kamu dari banyak berprasangka, sesungguhnya sesetengah prasangka itu adanya dosa." [Hujurat : 12]

Setiap manusia dituntut supaya selalu berprasangka baik sesama manusia, apatah sesama Islam. Prasangka baik menjadi asas kepada makna mahabbah yang amat dituntut oleh baginda Rasulullah SAW. Imam al-Ghazali memberikan formula untuk membersihkan hati dengan selalu memaafkan orang lain atas apa sahaja kesalahannya dan sering berprasangka baik. Teruskan cuba untuk memaafkan, cari empat puluh alasan sehingga mampu untuk memaafkan orang yang melakukan kesalahan kepada kita.

Salah satu dari kekuatan Islam itu terletak pada ukhuwah, iaitu sejauh mana nilai mahabbah dipraktikkan dalam hidup bermasyarakat. Jika kita masih gagal untuk membentuk prinsip dan nilai ukhuwah sesama Islam melalui berprasangka baik, bermakna kita juga gagal untuk menonjolkan cara hidup Islam kepada orang bukan Islam. Imej-imej negatif akan selalu dilontar kepada umat Islam seperti hasad, iri, dendam, sombong dan pelbagai sifat-sifat mazmumah, dan tentulah kita tergolong dalam kalangan Muslim yang rugi.

Pesan daripada Saidina Umar al-Khattab RA, "Janganlah kamu berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari mulut saudara kamu [sesama muslim] kecuali sangkaan yang baik."

Sebagaimana kita dilarang berprasangka buruk kepada Allah, begitu juga sesama manusia. Kebersihan hati itu terletak pada akhlak seseorang. Akhlak yang baik digambarkan oleh Rasulullah SAW sebagai suatu yang paling berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat kelak, seperti sabda baginda SAW dalam hadis riwayat Tirmidzi :

"Tidak sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat selain daripada akhlak yang baik dan Allah benci pada orang yang keji mulut atau kelakuannya."

Baginda juga pernah ditanya oleh seorang lelaki, siapakah Mukmin yang lebih baik keimanannya.

Baginda menjawab :

"Yang paling baik adalah akhlaknya."

Ibadah akan membentuk akhlak individu, manakala akhlak adalah asas pembentukan peribadi Muslim. Benarlah orang yang berakhlak itu ialah orang yang selalu menjaga ibadahnya kepada Allah. Mukmin yang sentiasa mengambil berat tentang ibadahnya seperti solat, puasa, zakat dan menunaikan haji, akan memiliki daya ketahanan yang tinggi dari segala macam dugaan duniawi seperti yang ditonjolkan si adik dalam kisah yang menyayat hati itu. Ayuh!

Barakallahu Lakum!

Posted in | 2 Comments

Sehebat namamu, Muttaqin

Usai Kem Khalifah Imtiyaz. Dua hari yang terakhir itu, bersengkang mata, mengerah emosi dan otak supaya ligat berfikir dan membaca gelagat peserta.

Saya tidak pernah selesai menitipkan tiga pesanan kepada peserta-peserta bertuah ini sepanjang sesi bersama saya :

1) Jadilah pemimpin, bersama Rasulullah di hatimu selalu.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzaab : 21)

2) Jadilah pemimpin, dengan melihat melalui pandangan mata ibu, yang sentiasa memandang anak-anak dengan penuh kasih sayang.

"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapamu, anya kepada Akulah kembalimu." (Luqman : 14)

3) Jadilah pemimpin, seperti air yang tekal mengalir, walau apa sahaja yang menghalang laluannya.

"Dan dia memacakkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersamamu, (dan dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk." (An-Nahl : 14)


Harapan yang tinggi

Mengendalikan slot bersama peserta-peserta ini adalah sesuatu yang istimewa, kerana saya pernah berada di tempat mereka, dan mendapat pendidikan di sekolah yang sama. Bercerita tentang pengalaman disulami rasa kasih sayang kepada sekolah, barangkali menjadikan mereka seronok dan teruja untuk mendengar. Maka tahulah saya, hati mereka telah saya pegang dengan baik. Saya telah berjaya membina jambatan hati dengan mereka.

"Ustaz, mesti datang di sekolah kami, untuk beri ceramah atau sekadar berjumpa dengan kami." Kata seorang peserta.

Dan paling menyentuh apabila seorang peserta yang baru kehilangan ayah, membaca kalimah-kalimah terakhir titipan buat ibubapanya dengan mengatakan, "Saya dah anggap ustaz-ustaz di sini sebagai ibu bapa saya."

Saya merangkulnya, tanpa mampu menahan air mata. Benarlah sentuhan sesaat itu tidak mampu menandingi kata-kata seminit.

Pesanan terakhir

Saya berkata kepada para peserta pada malam terakhir Kem Khalifah Imtiyaz, "Jangan lupakan kenangan selama 3 hari ini, ingat dan tanam memori ini kejap-kejap dalam hati kamu. Kami tidak berkuasa memberikan hidayah, hanya Allah yang Maha Berkuasa memberikan hidayah itu."

Saya menarik nafas dalam-dalam, lantas teringat kisah Rasulullah yang inginkan hidayah kepada bapa saudara yang dikasihinya, Abu Talib.

"Insya-Allah, selagi ingatan kamu kepada kami dan program ini berpanjangan, selagi itulah, kamu akan ingat apa yang telah kamu lalui dan pesanan-pesanan saya semasa dalam program ini."

Pada hari yang terakhir, saya tersentuh dengan satu surat daripada peserta lelaki dengan katanya, "Saya tak puas hati sebab tak dapat peluk ustaz, pinjam bahu ustaz."

Dan sebelum menaiki bas, peserta yang menulis surat itu menghampiri saya, dengan novel Menjadi Bintang pemberian saya sebagai peserta terbaik di tangan, dan berkata, "Boleh saya salam ustaz dan pinjam bahu ustaz."

Saya mendakapnya, dan mendoakan kehebatan untuknya dan peserta-peserta lain, sehebat namanya - Muttaqin.

Posted in | 4 Comments

Berjalan dalam Susah

Kita, walaupun di mana berada, jangan gundah berjalan dalam susah, kerana kesusahan itu memberi erti.

Kesusahan itu, membukitkan tabah dan menggunungkan sabar.

Kesusahan itu sebenarnya kesenangan. Jika bukan untuk hari ini, tapi untuk hari kemudian.

Kesusahan adalah guru kesenangan, yang paling tegas mengajar. Guru ini tidak pernah lalai dan memanjakan. Guru ini garang dan menyakitkan. Guru yang memaknakan ketegasan dan kesakitan.

Terseksa dengan guru ini, barangkali.

Namun, bukankah tanpa guru ini, kita mudah tersesat leka?

Percayalah, bersama kesusahan itu ada kesenangan [94 : 5-6].

Percayalah, kita tidak boleh terus menggapai kecemerlangan, tanpa menempuh sukar, tanpa berjalan dalam susah.

Apabila perjalananmu menjadi susah, kesusahan itu sebenarnya telah memulakan perjalanan!

Posted in | Leave a comment

Di sebalik "Mimbar"

Semakin banyak yang dipelajari, semakin tinggi takah kejahilan diri.

Begitu. Hakikatnya selalu begitu. Allah menyatakan begitu dalam al-Quran - Al-Israk : 85. Manusia akan selalu begitu, menuntut ilmu sampai mati dan harapnya aku akan mati dalam ilmu, ilmu yang benar dan sahih, dan doaku semoga segala amalanku selalu berada dalam presentasi "ahsanu a'mala" yang makbul di sisi Tuhan.

Alhamdulillah. Aku masih bergelar cerpenis pada tahun ini. Karya "Mimbar" itu harapnya bakal menatijahkan yang lebih baik untuk ruang pengkaryaanku pada tahun hadapan. Sepanjang tahun 2009 ini, aku tidak prolifik. "Mimbar" itulah satu-satunya cerpenku yang tersiar pada tahun ini. Cerpen itu sudah diperam agak lama, setelah tercuit dengan isu "Ikhtilaf" [perbezaan pandangan dan pendapat dalam permasalahan cabang] yang melanda para cendekiawan Islam mutakhir ini.
Usai menyelaras Bengkel Cerpen PEN 2009 yang lalu, aku mencabar diri sendiri untuk menyelesaikan cerpen "Mimbar" ini. Menyudah atau mencari khatimah bagi cerpen ini amat sukar. Sukar mencari jalan penyudah terbaik untuk cerpen ini. Lalu, seperti memercup isu-isu di masjid dan ikhtilaf itu dalam kepala. Kemudian satu demi satu aku merangka khatimahnya untuk dipilih, dan amat memelikkan, semua khatimah itu tidak pula mesra di hati. Benar, proses kreatif menukilkan "Mimbar" kali ini terasa amat sukar sekali. Setelah melalui tempoh jeda yang agak lama, terasa amat sukar pula untuk menulis sebuah cerpen.

Aku bertekad untuk memecahkan tembok itu. Perlahan-lahan kritikan demi kritikan yang berjejal dalam kepala, aku tangkis sedikit demi sedikit. Maka terhasillah "Mimbar" seperti yang tersiar di Berita Harian itu. Sebenarnya cerpen ini panjang, tetapi demi memenuhi tuntutan halaman, maka aku terpaksa mencari khatimah terbaik dan yang pasti, katimah itu mesti mengharukan, atau menimbulkan sebak dalam dada. Alhamdulillah, meski berkali mencuba dan dalam ruang yang terhad, akhirnya cerpen itu berjaya disiapkan. Proses kreatif "Mimbar" begitu menguji, tetapi sangat manis dan mendewasakan ruang pengkaryaan diri.

Segala puji buat Allah yang mengurniakan ilham. Terima kasih sekali lagi buat sidang Editorial Berita Harian, kerana masih menerima dan menghargai karya-karya insan kerdil ini. Terima kasih kepada yang sudi membaca, yang sentiasa mengikuti karya-karya insan fakir ini, semoga setiap tinta yang tumpah, akan menjadi jariah buatku dan kalian di hari tiada berguna lagi, harta benda dan anak-pinak. Di negeri yang kekal abadi. Amin.

Buat yang belum membaca "Mimbar", sila klik di sini.

Posted in | 2 Comments

Ayat-ayat Muhasabah Cinta

Dunia yang seperti pelangi, sementara mengindahkan, dan akan pergi.

Aku mendoakan kalian dengan kebaikan dan keelokan dalam segala tingkah dan kata. Dan aku di sini, hari ini, sangat rasa rendah dan hina. Aku hari ini, melihat hujan seperti meluruhkan tombak-tombak berbisa menerjah ke batang tubuh. Aku hari ini, melihat mentari seperti memancarkan jarum-jarum halus melalui sinarnya. Aku hari ini, seperti melihat bulan gerhana dalam tangis dan tawa.

Dan cinta masih begitu, tenang mendamba.

Aku di sini, masih begini, sentiasa ingin memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain, sentiasa ingin mencari rezeki, wang dan harta, yang dalam ruang pencarian itu, sering terleka dan tersadung. Dan barangkali, sukar untuk memberikan kefahaman kepada semua orang tentang itu, tentang rasa, tentang kasih sayang, tentang amanah dan tanggungjawab, tentang ilmu dan tentang pandangan yang Esa.

Dan cinta terus begitu, tenang memuji.

Dan orang juga tidak tahu, betapa kadang-kadang aku terasa diri sedang berpura-pura di hadapan Tuhan, menjadi manusia hipokrit yang pura-pura tidak sedar tentang kebenaran. Dan Tuhan telah berkali-kali memberikan hidayah, tapi alpa dan leka sering mengunci riak dan tingkah. Betapa diri lemah dan hina di sisi-Nya sebagai hamba. Betapa diri ini sering melaungkan kemaafan kepada orang lain dan mendamba maghfirah-Nya sentiasa.

Dan cinta kini dirongrong rindu, akrab.

Betapa pedihnya hati apabila hakku dirampas, dan cuma sedikit terasa kepedihan itu apabila melihat hak orang lain dijarah. Dan sehingga kini aku masih belum mampu menjawab - apakah ini makna kasih yang dituntut Tuhan? Betapa selama ini aku telah lama menyedari, segala apa yang di sekelilingku hanya pinjaman dan tiada suatu pun yang menjadi hak mutlak diriku. Tangan, kaki, mata, telinga dan seluruh anggota adalah pinjaman Tuhan kepadaku. Dan soalan ini sering tidak dapat kujawab - apakah aku mampu membayar kembali pinjaman ini kepada-Nya?

Dan cinta kekal begitu, tenang menanti.

Apalah dayaku, ini adalah soal hati. Yang susah untuk dimengerti dan membuat orang lain mengerti. Ini soal hati, yang bukan mudah berbusa menjadi istimewa, ceria dan menduga. Tuhan, hari ini aku ingin mencapai cintaku, cinta-Mu melalui pinjaman ini. Dan andai aku ditakdirkan mati, aku ingin mati dalam senyum rindu, dalam dakapan cinta-Mu.

Teman, bukankah ceritaku ini, adalah ceritamu jua?

Dan cinta terus subur sendiri,
kerana cinta itu bagiku adalah mati.

Posted in | 9 Comments

Menjadi Bintang Kejora

Ada cerita di sebalik ulasan novel sulungku di Berita Harian itu [20 November 2009].

Ini adalah cerita dalam ruang yang semuanya berlingkung atas satu nama - Kasad. Atau lebih tepat lagi segalanya ini berkisar tentang hati. Ya, hatiku.

Hasrat menghantar novel ini ke Berita Harian adalah suatu yang sudah lama kupendamkan. Sebelum novel sulung ini terbit lagi, kasad itu sudah lama kutancap kejap dalam kalbu. Malah proses kreatif Menjadi Bintang memakan masa hampir setahun sebelum melalui tempoh pemeraman atau sebetulnya pemurnian.

Tiada niat untuk meminta novel itu diulas. Hanya seuntai kata-kata penghargaan di dalamnya sebagai tanda terima kasih kepada ketua editornya, kerana Berita Harian adalah media yang bertanggungjawab memperkenalkan namaku di persada sastera tanah air. Bermula dengan Sebuah Tuhfah di ambang Syawal 23 November 2003, diikuti Salju Jabal Musa, Mentari Mediterranean, Bintang Seorang Rafik, Cinta Daerah Menoufia dan Ibtisam Syawal, dua daripadanya memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dan 2007. Ya, aku dengan Berita Harian mempunyai sejarah tersendiri. Sebuah memori istimewa.

Apa yang lebih penting, ialah tentang novel itu. Masih teringat penghargaan Cik Farina [wartawan sastera Berita Harian] terhadap Menjadi Bintang ketika bertemu dengannya semasa Umbara Sastera III, dia membayangkan novel itu sebuah novel yang begitu menarik dan menguja pembacaan. Aku jadi malu sendiri, tapi dalam hati, melafazkan rasa syukur kepada Allah, atas ilham dan kudrat yang diberikan kepadaku untuk menghasilkan novel ini.

Menjadi Bintang bukanlah sebuah novel yang hebat, barangkali istimewanya bagiku ialah anyaman kenangan kanak-kanakku di dalamnya. Aku dilahirkan di kampung, membesar dan melalui zaman persekolahan di kampung. Malah, rumah nenek menjadi tempat persinggahan wajibku setiap hari. Rakan-rakan di kampung, segala macam karenah kanak-kanak, letup-letup, lastik, nyorok-nyorok, konda-kondi, bercempera di sungai, dan segala macam peristiwa itu dijelmakan dalam bentuk persahabatan yang kukuh dalam Menjadi Bintang. Meskipun teknik sorot balik atau imbas semula tidak banyak digunakan, tapi mengangkat latar kampung dan memerikannya bukanlah sesuatu yang mudah. Aku perlu melakar peta Kampung Kemboja di dalam kertas dan setiap kali ingin kembali memulakan penulisan, peta yang sudah dilakar itu pasti akan dirujuk dan dirakam kemas dalam katarsis.

Menulis tentang industri penternakan ayam adalah sesuatu yang amat mencabar kemampuanku. Aku terpaksa keluar dari citra biasa lalu ia tidak menjadi mesra dengan diri. Namun, perlahan-lahan aku memecahkan benteng itu, apabila Puan Zaharah Nawawi selaku penyelia pada masa itu, setiap minggu meminta bab-bab novel. Maka jiwa digagahkan melakukan penyelidikan terus menerus, memerah otak dan minda memikirkan naratif serta watak, meskipun setiap kalinya akulah menjadi penghantar bab yang paling lewat.

Menjadi Bintang pernah melalui tempoh hibernasi yang agak lama. Kala itu, aku telah melihat novel-novel sahabat yang lain seperti Serunai Faqir, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, WB Rendra dan yang lain-lain sudah dicetak dan dapat dilihat di rak jualan, dan Menjadi Bintang masih di komputer dan terus dimurnikan sedikit demi sedikit [meskipun ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui untuk diubah seperti yang disaran oleh pihak editorial DBP] yang sebelum itu sudah dicetak berbab-bab oleh sahabat Ibnu Ahmad Al-Kurauwi dan diri amat berterima kasih kepadanya. Sehinggalah aku dihubungi oleh editor baharu Puan Nurdiana Mohd Noor, setelah berlaku beberapa pertukaran bidang kerja dan kenaikan pangkat; diminta untuk mengemel bab demi bab draf novel yang telah dimurnikan [setelah bersetuju dengan cadangan DBP untuk merubah judulnya]. Beberapa perkara yang tidak aku persetujui untuk diubah, aku berikan alasan dan sebab terbaik dan akhirnya, novel ini mula dicetak. Dan ia makan masa hampir setahun juga selepas novel rakan-rakan yang lain dicetak dan berada di pasaran.

Novel ini diinspirasikan dari kisah junjungan mulia SAW dengan sifat jujur baginda berniaga dan berdagang sehingga melahirkan kecintaan dan kasih sayang Saidatina Khadijah dan orang ramai kepada baginda. Sifat ini diangkat dalam watak Amir Mustafa dalam melakukan islah dan tajdid di kampungnya melalui pembukaan ladang ternakan ayam seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

Terima kasih buat pengulas novel ini. Pertama di Tunas Cipta sebaik sahaja novel ini masih panas dicetak dan belum pun tiba di tanganku lagi, kanda Nisah Haron dalam eseinya, sesuai dengan sifatnya yang sentiasa mengambil berat tentang rakan-rakan. Juga buat Puan Salbiah Ani dan Cik Farina di Berita Harian, terima kasih atas apresiasi ini. Terima kasih kepada pembeli dan pembaca novel ini, terus suburkan rasa dengan sastera dan bacaan yang berfaedah. Maafkan atas segala kelemahan dan kekurangan, kerana aku hanya hamba, lemah dan tidak berdaya. Doakanlah agar proses penulisan novel kedua ini dipermudahkan Tuhan, doakan kawan-kawan, agar aku terus tetap dan tekal dalam jihad ini, menjadi bintang kejora, dalam berjuta-juta bintang di angkasa.

Posted in | 2 Comments

Umbara Sastera III & Bengkel Cerpen PEN 2009

[Izinkan aku berbahasa dengan "Saya".]

Ini cerita saya selepas Umbara dan Bengkel Cerpen.

Selepas bengkel saya berdiri merenung diri. Mengamati air hujan yang turun, bagai manik-manik permata menimpa tubuh. Terasa seperti melayang dalam dingin hujan selepas terlaksananya suatu amanah di pundak. Kepenatan seperti air yang mengalir deras, hilang dan memberi perangsang baru dalam diri.

Pengalaman julung kalinya menyelaras sebuah program sastera benar-benar mengujakan. Di samping ingin melunaskan tanggungjawab sebagai seorang jawatankuasa PEN, hati ingin melunasi sebuah janji yang pernah saya nukilkan melalui profil di Tunas Cipta lama dulu - menulis itu amanah. Bukanlah populariti dan nama yang ingin dicari, tapi untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah di atas bumi melalui jihad pena.
Saya bukanlah siapa-siapa di dalam bengkel ini. Bukan seorang penulis hebat jauh sekali seorang yang prolifik. Tiada rentetan kemenangan atau memiliki sebuah rak kaca yang penuh dengan koleksi hadiah dan anugerah dalam penulisan. Maka, saya adalah penulis biasa dan bukan siapa-siapa. Dan sehingga kini, saya masih merasakan, kerusi yang saya henyak semasa Umbara itu, masih ada yang lebih layak untuk mendudukinya. Dan saya sebolehnya hanya mahu duduk di kerusi peserta mendengar ilmu, ataupun duduk sahaja di kaunter pendaftaran membantu mengambil maklumat peserta.

Terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke Umbara dan Bengkel. Puan Mahaya yang sentiasa boleh, Puan Nisah yang sentiasa mengambil berat dan sekalian rakan-rakan yang memberi inspirasi. Maaf, jika terlalu mendesak. Saya sebaik mungkin melaksanakan tugas. Juga kepada Cik Farina dan rakan media Berita Harian yang sudi membuat liputan terhadap program serba sederhana ini. Tidak dilupa juga kepada Ketua Editor Sastera Berita Harian Puan Salbiah Ani, mengambil berat segala maklumat yang diberikan dan mewakilkan kehadiran juga.

Maaf Tuhan, jika kasad hati ini pernah tergelincir dari landasannya. Kepada para peserta, maaf atas segala kekurangan. Mohon kemaafan atas cadangan-cadangan yang mungkin kurang bernas. Kalian berhak untuk tidak menyetujuinya. Saya bukan pembimbing anda, tapi saya adalah rakan anda, sama-sama kita boleh berkongsi pengalaman dan wacana.

Justeru, ini bukan cerita saya sahaja. Dan ini juga bukan cerita Bengkel. Bukan cerita Kasad dan bukan cerita Umbara. Ini cerita amanah, cerita tanggungjawab, cerita wacana dan cerita jihad. Dan inilah sebenarnya cerita kita!

Kredit gambar untuk Zalila Isa

Posted in | 10 Comments

Umbara Sastera III bersama PEN

Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan mengadakan Umbara Sastera III & Bengkel Cerpen sebagaimana butiran berikut :

Tarikh : 14 November 2009 (Sabtu)
Tempat : Dewan Tingkat 1, Asrama D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang (boleh search di maps.google.com untuk lokasi dan arah jalan. Taipkan "Asrama D'Ark")

Sebagai gambaran awal, program ini akan berlangsung dalam dua sesi seperti berikut :

Sesi I (pagi) : Umbara Sastera III bersama pemenang-pemenang HSBI ke-12
Sesi II (pagi - tengah hari sehingga petang) : Bengkel Cerpen
Pembimbing : Puan Nisah Haron & Encik Amiza Khusyri Yusof

Sesi yang pertama terbuka kepada semua penulis dan peminat sastera untuk sama-sama mengambil manfaat melalui perkongsian proses kreatif karya para pemenang. Manakala untuk sesi yang kedua, terbuka kepada penulis atau calon penulis yang menghantar cerpen untuk dibengkelkan. Syarat-syarat penghantaran cerpen adalah seperti berikut :

1) Cerpen hendaklah ditaip double spacing
2) Cerpen hendaklah dihantar sebelum atau pada 10 November 2009

Untuk menyertai Umbara Sastera III tiada yuran dikenakan dan hanya RM20 seorang bagi yang berminat menyertai sesi bengkel.

Maklumat lanjut boleh dibaca di laman web PEN.

Posted in | Leave a comment

Terkenang III

Seperti terasa sejuk yang menggigit-gigit kulit. Jaket tebal dan mafela seperti tidak mencukupi untuk melindungi tubuh. Aduhai, pendakian ke Jabal Musa adalah sebuah pendakian yang tidak akan luput dari ingatan selamanya. Apatah bila tiba di puncak melihat kelemayar mentari perlahan-lahan memanjat kaki langit. Sungguh terasa keagungan dan kebesaran Tuhan. Mengenang salju yang jarang turun di puncak, maka terilhamlah cerpen "Salju Jabal Musa" yang menjuduli antologi bersama 4 orang penulis muda itu. Cerpen ini juga telah memenangi kategori karya eceran dalam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005. Barangkali aku hanya boleh menanam azam dan impian dalam hati, untuk kembali menawan puncak Jabal Musa suatu hari nanti. Insya-Allah!

Posted in | Leave a comment

Terkenang II

Diri kini seperti dipuput bayu Mediterranean. Terbayang-bayang perjalanan ke Kota Iskandariah, kota pantai yang cantik dan mempesonakan. Aku pernah dijemput ke sini oleh siswi Al-Azhar Iskandariah untuk berbicara seputar karya kreatif. Dan di sini jugalah terilhamnya cerpen "Mentari Mediterranean" yang pernah tersiar di Berita Minggu. Aku kini seperti mahu melaungkan kepada siswi-siswi Iskandariah, "Menulislah, kerana kota ini cukup mengilhamkan!".

Posted in | 2 Comments

Terkenang

Aku terkenangkan Masjid Saidina Hussain di Khan Khalili. Di sinilah dompetku nyaris dikebas pencopet. Dan di sini jugalah terilhamnya antara cerpen terpilihku, "Pengemis Tua di Masjid Hussain" yang tersiar di Tunas Cipta dan dibukukan dalam antologi cerpen bersama "Salju Jabal Musa". Terasa segar kenangan di sana.

Posted in | Leave a comment

Pernahkah?


Pernahkah

kalian melihat
kabus membungkus pagi
dalam alunan takbir
dan salam bertemali
menyimpul Ramadan?



Pernahkah

kalian merasakan
pawana segar berpuput
berlatarkan kicau burung
dan insan berpapasan
ceria berwarna-warni
dalam senyuman?

Pernahkah
kalian menikmati
lelah penat
mengacau dodol
menunggu lemang
menganyam ketupat?

Pernahkah
kalian mendalami
air mata gembira
yang menitis
di pipi tua?

Pernahkah
kalian berfikir
apakah khazanah ini
dapat diwarisi
oleh pewaris bangsa
yang semakin hilang
kedesaannya?

Amiza Khusyri, TTJ Seremban, 26 September 2009.

Posted in | 5 Comments

Salam Syawal 1430H


Salam Aidilfitri
buat semua pengunjung
maaf zahir & batin

Semoga di Hari Raya
biduk berlalu
kiambang mekar bertaut

Ikhlas daripada
Amiza Khusyri & Keluarga

Posted in | Leave a comment

Embun Cinta

Dalam perjalanan
menyingkap makhfi
mengenali cinta
Yang Maha Agung
sesekali tersadung
di pintu rahmat

Tuhan
betapa diri
terasa hina dan lemah
sebagai manusia
alpa dan leka

Tuhan
betapa hati
terasa kuat dan gagah
sebagai hamba
taat dan redha

Tuhan,
rahmati daku
dalam bulan tarbiah
supaya hati sentiasa basah
dengan embun cinta
buat inspirasi
menggapai maghfirah.

Amiza Khusyri, ITQAN, 1 September 2009.

Posted in | Leave a comment

Muhasabah Cinta di ambang Ramadhan

Muhasabah Cinta
EdCoustic

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu

Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

C/O
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

AKO : Ahlan Wasahlan ya Ramadhan. Selamat beribadah dan beroleh taqwa kepada semua pengunjung blog penulis kecil ini.

Posted in | Leave a comment

Presentasi Syukur



























Tuhan,
adakah aku tergolong
dalam kalangan
hamba-Mu yang bersyukur?

AKO : Sedang mendekati tetamu agung.

Posted in | 5 Comments

Dr. Anwar Sasterawan Negara ke-10


Anwar Ridhwan

PUTRAJAYA 11 Ogos - Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau lebih dikenali sebagai Anwar Ridhwan diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-10.

Beliau berkata, penyampaian anugerah tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 20 Oktober ini.

''Sejak saya mengambil alih, saya memberikan perhatian kepada Anugerah Sastera Negara setelah begitu lama ia tidak diadakan.

"Harapan saya selepas ini ahli panel akan bersidang dan mengiklankan untuk menerima bakal penerima anugerah itu," katanya pada sidang akbar di pejabatnya di sini hari ini.

Seramai sembilan sasterawan telah menerima anugerah itu sejak ia diperkenalkan pada 1979 dengan Dr. Syed Othman Syed Omar atau S. Othman Kelantan merupakan penerima terakhir dinobatkan Sasterawan Negara pada 2004.

Penerima lain ialah Kamaludin Mohamad atau Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), A. Samad Said (1985), Mohamad Abdul Biang atau Arena Wati (1987), Muhammad Salleh (1991), Nordin Hassan (1993) dan Abdullah Hussain (1996).

Anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan kepada sasterawan yang memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui penulisan bermutu tinggi.

Muhyiddin berkata, penerima anugerah itu akan diberikan Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000, kemudahan dan keselesaan untuk mencipta karya, layak menerima kemudahan menerbitkan karya serta perubatan percuma di wad kelas satu hospital kerajaan.

''Penerbitan sebanyak 50,000 naskhah daripada karya penerima anugerah akan dibeli oleh kerajaan dan diedar ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

''Beliau juga akan dipertimbangkan menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selain penterjemahan karya yang sesuai ke bahasa asing," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Menurut Muhyiddin, selama 40 tahun, Anwar yang juga penerima anugerah S.E.A. Write Awards pada 2002 telah menghasilkan empat buah novel, empat buah kumpulan cerpen, empat buah drama, sebuah buku sajak dan tiga buah buku esei.

Katanya, panel pemilihan tidak menjadikan kuantiti sebagai penanda aras sebaliknya melihat kualiti dan kemampuan tokoh tersebut mengungkapkan pemikiran yang berupaya membawa kepada perubahan karya.

''Karyanya memaparkan bakat kekuatan yang lebih kekal untuk direnung, dicontohi oleh generasinya dan juga generasi akan datang.

''Tokoh ini juga berupaya menjadi contoh yang baik buat pengarang yang ingin menjadi penulis merenungkan situasi manusia di Malaysia dan sejagat dengan gaya bersahaja tetapi berseni dan indah," katanya.

Jelas beliau, kehadiran Sasterawan Negara Ke-10 itu dalam dunia penulisan kreatif mula dirasai sejak 1970, ketika beliau dalam tahun pertama di Universiti Malaya (UM).

''Sajak dan cerpen adalah dua bidang sumbangannya yang cukup prolifik, diikuti kemudiannya dengan esei dan kritikan," katanya.

Utusan Malaysia, 12 Julai 2009

AKO : Momen-momen membaca Naratif Ogonshoto adalah pengalaman yang tak dapat dilupakan. Mengenali kerendahan hati, kata-kata yang penuh erti, doa kesejahteraan dan ketekalan anda berkarya sentiasa bergema dalam hati. Tahniah Sasterawan Negara ke-10!

Posted in | Leave a comment

Dari Kasad ke Sebuah 'Kasad'

Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 (HSBI) telah pun berlangsung. Antara perkara yang paling penting dalam HSBI ke-12 ini adalah kasad sendiri tentunya. Walaupun HSBI ke-12 sudah lama berlalu, dan hati sudah jadi ingat-ingat lupa tentangnya, tapi penghasilan atau proses kreatif cerpen 'Kasad' begitu jelas dalam ruang fikir. Masih jelas pertemuan dengan Faisal Tehrani di susur laluan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN) ketika sesi Seminar Penulisan di sana, aku masih teringat maklumannya kepadaku tentang penyertaannya dalam HSBI ke-12. Dalam hati kecil, aku tidak meletakkan meski sezarah pun harapan untuk menang, sekadar melunaskan amanah dan tanggungjawab agar apa yang terpendam dan terbuku di dada akan lepas bebas dan terungkai dengan penyertaan itu. Dengan penyertaan, aku yakin, setidak-tidaknya panel hakim pasti akan membaca dan mendalaminya untuk dinilai. Aku terasa lepas bebas, kerana sekurang-kurangnya ada juga insan yang akan membaca dan mendalami mesej yang ingin kusampaikan.

Sekitar 2005 itu adalah waktu senggang yang berjaya kumanfaatkan. Di celah-celah keripuhan membangun generasi, Kawin-Kawin, Azizi Hj. Abdullah dan Naratif Ogonshoto, Dr. Anwar Ridhwan, adalah antara dua naskhah buku yang berjaya kukhatami. Idea penghasilan Kasad adalah daripada cetusan idea dan rasa tulus menegur, juga lewat naratif rakan-rakan seperjuangan dalam usaha dakwah masing-masing, terutama apakala menyentuh isu masjid dan pengurusannya. Tangan sempat menyambar senaskhah buku panduan peribahasa di Ujana Ilmu, sebelum proses kreatif Kasad bermula. Bertemankan senaskhah kecil buku panduan peribahasa dan Kamus Dewan, proses mengarang pun dimulakan dengan permainan latar yang tidak pernah kucuba dalam karya sebelum ini.

Dunia kepengarangan yang masih segar waktu itu membuatkan tangan lancar menaip dipancang idea dan tulus kasad ingin membetulkan kepincangan. Segala puji buat Allah, yang mengangkat karya itu dalam senarai pemenang untuk HSBI ke-12. Hati disulami rasa tertunainya sebuah amanah dan menjadikan diri terus berfikir dan merenung pentas dunia agar proses amar makruf nahyu munkar akan terus berlaku sebagai presentasi syukurku. Aku tidak senang untuk berdiam diri menyaksikan kepincangan dan kekhilafan malah kewajipan islah itu telah menjadi vital dalam hatiku, dalam jiwaku sebagai seorang pendidik.

Jangan. Jangan ditakrifkan kasadku menghantar penyertaan itu adalah untuk menang. Tidak. Namun, sekadar ingin karyaku itu dibaca dan didalami, dan jika Tuhan mengizinkan, membenarkan, biarlah Dia Azzawajalla yang mengangkat kemenangan dan memberikan rezeki. Hasrat dan keinginan untuk meraih kemenangan tidak pernah membuak-buak seperti mengharapkan hujan turun setelah lama dilanda kemarau dalam hati. Aku hanya menyerahkan kepada Allah, kerana Dia yang maha menentukan. Ya, dunia itu letaknya di tangan, bukan di hati. Ya, tiada apa pun di dunia ini milik kita, melainkan Tuhan yang memiliki, maha berkehendak.

Dengan segala kerendahan hati, salam terima kasih kuutuskan buat sahabat Ustaz Azman Al-Kurauwi, yang memudahkan proses penyertaanku dalam HSBI ke-12. Terima kasih buat isteri, keluarga dan semua yang mendorong, yang memudahkan jalan, semoga Tuhan terus memberiku kekuatan untuk tekal berkarya demi menegakkan Kalimatullah di muka bumi. Amin.

AKO : Alhamdulillah.

Posted in | 4 Comments

Review Menjadi Bintang

Written by Hidayat (http://dyat.multiply.com/)

Kampung Kemboja faces a problem. Most of the youth are obsessed with sabong ayam/ cockfight. Its a worrying phenomena for the elders. They have tried many ways to curb the problem. However the cruel cold-blooded gambling activity still going on.

The police failed to stop the cockfight from going on- the activity maybe paused for a week or two after a raid but soon after that it started again, the village Imam Haji Salleh even chased away with parang but the next day they were back to business again.

Menjadi Bintang maybe told a story happened in a small village of nowhere. But in reality it happens in most village nowadays. Sad to say, the idea of tranquility, peaceful, 'kekitaan' value no longer can be applied automatically to the word Kampung and for some - the problem are worser and more serious- drug, rape, sexual abuse all evil that you can read in everyday newspaper etc etc.

'Menjadi Bintang' story build on Amir character. Amir is a different young man from the most of Kampung Kemboja. Like a star which brighten the night, Amir is the one who to change the wrong direction of his village heading on.

While most of the young man in Kampung. Kemboja obsessed in cockfight, Amir reared chickens for good. Its a reflection of an amanah from god- while others abused and betrayed the amanah given, Amir carried it responsibly.

In connotation of the idiom 'idle man is a devil workshop', what differentiate Amir and most of the Kemboja's young man was a clear goal and vision. It is important to keep our self busy with good things, or we will end up hooked with useless or god forbid- sinful activities, knowingly or unknowingly.

Menjadi Bintang reminded me -Almar'u dinil kholil'- a person is likely what he friends of. A good friend is like a perfume seller the prophet said (au kama qol). The perfume-seller might give you some perfume as a gift, or you might buy some from him, or at least you might smell its fragrance.

Or in 'Menjadi Bintang'- like a star that shines you.

AKO : Haza Min Fadli Rabbi.

Posted in | 2 Comments

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.