Istiqamah menyempurnakan "binaan"

"Alhamdulillah, kita sudah sampai sepuluh yang terakhir ustaz." Pakcik Muhsin tersenyum di sebelah.

"Alhamdulillah pakcik. Ini saat untuk kita mempercepatkan langkah menuju ke garisan penamat." Saya membalas senyumannya.

"Kita mesti jaga kualiti kan ustaz?" Kata pakcik Muhsin dengan respons mata ingin tahu.

"Benar pakcik, bukan saja jaga kualiti, tapi perlu juga berkuantiti. Saat akhir ramadhan ini pecutan perlu berganda dan proses didikan terhadap nafsu mesti disempurnakan dengan baik."

Pakcik Muhsin angguk.

"Macam seseorang yang buat bangunan, maka fasa terakhirnya adalah seperti mengecat, mengenalpasti segala kekurangan dan kelemahan setelah usaha demi usaha yang telah dilakukan, agar tiada masalah pada bangunan itu di kemudian hari, tahsiniyyat, untuk menyempurnakan binaan tadi. Dan binaan itu adalah seperti nafsu di dalam diri kita." Sambung saya.

"Bila ustaz kata kekurangan dan kelemahan tu, rasanya banyak kekurangan puasa saya ustaz. Dahlah Quran tak sempat khatam, baru juzuk 10, baca merangkak-rangkak." Pakcik Muhsin tertunduk.

"Tak apa pakcik. Perlahan-lahanlah membaca, orang macam pakcik dapat dua pahala, satu pahala membaca, yang kedua pahala mujahadah atas usaha membaca itu. Bayangkan pula pahalanya bila dilakukan di bulan Ramadhan?" Saya tersenyum.

Pakcik Muhsin mengangguk, ada semacam motivasi untuk memandang saya.

"Yang penting kita jangan jadi 'ingkar dalam taat', maksudnya melukakan puasa kita masing-masing, dengan membazir, mengumpat, dan perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat."

"Betul ustaz, saya juga kadang-kadang beli ikut nafsu, sehingga makanan membazir, maklumlah hujung-hujung Ramadhan ni, makan pun dah sedikit. Kadang-kadang sepinggan dah kenyang. Balik Tarawih pula tak sempat nak makan moreh."

"Dalam Quran Allah sebut melalui surah al-Israk, ayat 27, orang membazir ini saudara syaitan. Dia puasa, tapi beli ikut nafsu dan masa berbuka membazir. Itulah tandanya 'ingkar dalam taat'."

Saya menyambung.

"Cuba pakcik lihat rukun Islam, semuanya berkaitan dengan ukhuwah dan kesatuan. Syahadah, umat Islam terpelihara nyawa dan haknya sebab Islam, solat jemaah dituntut untuk saling kenal-mengenal dan berkasih sayang, zakat untuk memberi hak kepada golongan memerlukan, haji berihram menunjukkan hakikat persamaan seseorang itu di sisi Allah tak kira taraf dan siapa, begitu juga puasa, untuk kita sama-sama merasai kesusahan saudara-saudara kita yang lebih memerlukan. Membentuk sikap pemurah dan rendah hati. Justeru, kita perlu lekas-lekas kembali menampal segala lompong dan lemah dalam binaan kita tadi."

Pakcik Muhsin menghela nafas. "Insya-Allah ustaz, kita pun dalam tempoh Lailatul Qadar, ustaz rasa bila?"

Saya tersenyum. "Allah merahsiakan malam Lailatul Qadar dalam surah al-Qadr, cuma Allah beritahu kita tentang kelebihan Lailatul Qadar sama seperti seribu bulan. Allah tidak menentukan bila dan bagaimana secara spesifik, termasuklah tarikh kematian, supaya kita sentiasa bermujahadah dan istiqamah beramal, supaya kita tidak main-main, itu lambang bahawa dunia itu hanya alat untuk Akhirat yang menjadi matlamat."

Pakcik Muhsin angguk. "Terima kasih ustaz. Faham benar pakcik, Allah mahu kita masuk syurga dengan bersikap konsisten dalam beramal. Betapa luasnya kasih sayang Allah kepada kita. Itulah maksud iman kan ustaz? Dengar dan taat, tanpa banyak soal."

Saya angguk dan menghadiahkan senyum.

Posted in | 1 Comment

Yang betul-betul nafsu

"Apa pendapat ustaz dengan bazar Ramadhan?" Tanya seorang sahabat jemaah.

"Bagus. Sebab dengan Ramadhan inilah membuka pintu rezeki kepada peniaga-peniaga Muslim tidak seperti bulan yang lain. Apatah lagi, kebanyakan daripada kita hari ini memilih untuk membeli juadah berbuka di bazar-bazar Ramadhan kerana suami isteri yang bekerja. Ada suami yang pergi ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah dengan niat untuk memudahkan urusan isteri, mengurangkan tekanan isteri dengan memasak seusai pulang bekerja, menguruskan anak, kemudian bertarawih pula pada waktu malamnya. Kasihan para isteri, penat." Saya bersuara optimis.

Sahabat tadi mengangguk.

"Dan tentunya dengan niat yang baik dan betul akan mendatang pahala, apatah lagi di bulan yang mulia inikan ustaz?"

Saya pula yang mengangguk.

Mengenal Nafsu

"Tapi ustaz, bulan Ramadhan ini banyak benar bazar-bazar yang buka. Serabut." Sahabat itu kerut kening.

"Pertamanya kita mesti tahu bahawa berniaga itu sunnah, melaksanakannya dengan kepatuhan kepada syarak dikira sebagai suatu ibadah. Kita sebagai pembeli juga harus peka tentang perkara ini. Apabila peniaganya menutup aurat dengan sempurna, kelihatan membaca al-Quran pula semasa sedang menunggu pelanggan, betapa hati terasa enak dan tenang untuk membeli. Kita tahu peniaga itu benar-benar mengambil berat tentang agama, dan tidak mengabaikan kewajipan seorang Muslim dan berusaha mengejar pahala puasa walaupun sedang berniaga. Kuasa membeli di tangan kita."

"Betul ustaz, kalaulah suasana di Malaysia begitu, ibadah, kejujuran dan kepatuhan kepada Allah menjadi matlamat, mesti bazar-bazar tak kelihatan menyerabutkan kepala." Sahabat tadi tersenyum.

"Serabut sebab tak tahan nak membeli?" Sahabat tadi tersengih dengan soalan saya itu.

"Puasa ini bulan mengenal nafsu. Puasa juga bulan persaingan."

"Maksud ustaz?"

"Hadis Rasulullah s.a.w."Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan." Dan pada bulan ini syaitan dibelenggu, dan pada bulan inilah kita benar-benar berkenalan dengan nafsu yang telah digodam syaitan selama 11 bulan. Yang betul-betul nafsu."

"Bulan ini juga bulan untuk kita bersaing dengan orang lain yang telah nampak kejayaan mendidik nafsunya, taat beribadah, istiqamah beramal, ghibtoh dengan kebaikan orang lain, dan berusaha lebih gigih untuk mencapai pahala berganda Ramadhan."

Saya menyambung lagi.

"Cuba bayangkan semasa berpuasa, kita terlepas sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang, tapi waktu berbuka, apabila sudah makan tak sampai sepinggan nasi pun sudah terasa kenyang. Tidak perlu nak ganti sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang yang tertinggal. Jadi, segala kemahuan yang datang, adalah semata-mata dari nafsu dan pada masa itulah peluang dan ruang untuk mengawal, mendidik dan merotannya supaya jangan degil."

Wajah sahabat tadi kelihatan keruh.

Peluang

Saya tersenyum, "Pun begitu, boleh beli ikut kemahuan."

"Tadi ustaz kata nafsu." Sahabat tadi memandang saya.

"Ya, yang berbezanya teknik. Boleh beli ikut kemahuan, tapi niat bersedekah juadah, terutama kepada golongan yang lebih memerlukan, secara tak langsung kemahuan membeli tercapai, tapi kemahuan untuk makan semua terkawal, biar nafsu faham dan terdidik, segala keinginan dan kemahuan perlu disalurkan di jalan yang betul."

Firman Allah dalam surah An-Nazi'at ayat 40 dan 41, "Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dar imenurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya."

Wajah sahabat tadi kembali cerah.

"Jadi benarlah kewujudan bazar-bazar Ramadhan ini ada hikmahnya, peluang untuk kita menguji, mengenal dan mendidik nafsu sendiri, seperti kata Imam Qatadah; supaya menjadi jiwa yang beriman, jiwa yang tenang dengan apa yang dijanjikan Allah." Saya menambah.

Posted in | 2 Comments

Di dalam hatimu ada "Sakinah"

Seorang pelajar yang aktif berprogram motivasi datang kepada saya dalam keadaan penuh emosi. Dia meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada saya tentang isu sebuah program yang diharamkan oleh seorang mufti baru-baru ini. Sehingga pelbagai sangkaan yang tidak baik keluar daripada mulutnya.

"Dengki agaknya, ustaz."

"Banyak lagi isu lain seperti tak tutup aurat, buang bayi yang perlu diberi perhatian."

Saya mendengar dengan sabar. Saya teringat peristiwa dalam sebuah hadis seorang pemuda datang bertemu Rasulullah s.a.w meminta izin berzina. Pada saat semua sahabat lain marah dan berang dengan sikap pemuda tersebut, Rasulullah s.a.w bersikap tenang dan sabar, dan inilah acuan yang perlu dicontohi oleh para da'ie dalam menangani permasalahan remaja pada hari ini.

Saya memulakan sesi pertanyaan balas selepas luahan pelajar tersebut reda.

"Kamu tahukan ilmu agama itu apabila dipelajari dan didalami merupakan suatu amanah?" Pelajar itu mengangguk.

Saya bacakan firman Allah dalam surah Al-Fatir, ayat 28, "Sesungguhnya yang bimbang dan takut kepada Allah (melanggar perintah) dalam kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama."

"Kamu tahu apabila seseorang dilantik menjadi mufti, bukan hanya kerana tahap ilmunya, tapi juga melalui pengalamannya dalam menangani sesuatu isu berkaitan agama?" Angguk lagi.

"Dan kamu juga tahukan, bukan senang sesuatu fatwa itu dikeluarkan, berdasarkan kajian dan penelitian? Mungkin dia melihat isu itu bukan semata melalui hujah ilmiah, tetapi juga melalui pandangannya sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang dakwah di tempatnya."

Di sini, pelajar itu kelihatan tidak selesa dan segera membalas.

"Tapi tak semestinya pandangannya itu kita tidak boleh bahas dan muzakarah, ustaz." Ada nada emosi dalam suaranya.

"Benar, dan untuk bermuzakarah tentang sesuatu pandangan atau isu, kita perlu utamakan muhkamat (dalil yang disepakati) dan bukan mutasyabihat (dalil yang diperselisihkan). Kita juga perlu jauhkan emosi dan perasaan lalu berbahaslah dengan baik melalui kajian dan ilmu serta berlapang dada menerima." Saya bertenang melayan emosi seorang remaja yang selalu bergelodak.

Saya membacakan kepadanya Allah dalam surah An-Nahl, ayat 125, "Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat di jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

"Sebagai seorang yang belajar agama, mendalami ilmu agama, yang sering mendapat perhatian orang ramai, kita ibarat 'duta' kepada masyarakat, segala pandangan yang kita berikan haruslah berlandaskan ilmu dan tidak boleh bertunjangkan emosi dan perasaan yang tidak terkawal."

Saya membacakan hadis nabi s.a.w :

من يرد الله خيرا يفقه فى الدين

"Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan, maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam (ilmu-ilmu) agama."

Pelajar itu mengangguk, kemudian menghela nafas panjang.

"Sebagai seorang yang mendalami ilmu agama juga kita perlu menjadi 'Arif (beramal dengan ilmu) dan bukan taklid (ikut-ikutan) semata-mata. Islam membenarkan perselisihan dan perbezaan pandangan, kerana Islam menolak fanatisme, tetapi muzakarah mestilah didasari dengan perasaan bersangka baik, tidak mengeji, menyakiti dan menimbulkan permusuhan."

"Samalah apabila kita mengkritik kelemahan dan kekurangan orang lain, kita juga tidak boleh menyatakan kelebihan dan kehebatan diri sendiri dan apa yang kita lakukan."

Saya membacakan pula firman Allah dalam surah An-Najm, ayat 32, "Dan Dia mengetahui tentang kamu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa."

Pelajar ini mula mendengar dengan khusyuk.

"Kemudian bekerjasamalah mencari kebenaran untuk kebaikan bersama, barulah perselisihan itu akan membawa maksud 'rahmat' untuk ummah."

Saya menarik nafas, kemudian melihat jam yang menghampiri waktu terdesak sebelum pergi memulakan kuliah.

"Wahai anakku, ketahuilah kamu sebagai remaja, Islam membenci perpecahan dan mengutamakan ukhuwah. Sentiasalah belajar berlapang dada dan menghormati pandangan orang lain, walaupun kamu tidak menyetujuinya. Itulah resepi untuk kamu menangkis segala gelodak dan gelombang yang menyesakkan dada. Insya-Allah, di dalam hatimu akan ada sakinah (ketenangan)."

Saya tersenyum, kami bersalaman dan sebelum berpisah pelajar tersebut mengucapkan, "Terima kasih banyak, ustaz."

Posted in | Leave a comment

Anda Remaja Tauhidik

Oleh Amiza Khusyri bin Yusof

Setiap daripada kita berhak memilih, dan berhak menjadi apa yang kita sendiri ingini. Setiap daripada kita yang diciptakan oleh Allah mempunyai kelebihan masing-masing, dan merupakan sebaik-baik kejadian. Tiada alasan untuk kita tidak memilih untuk menjadi yang terbaik dan manusia hebat.

Saya rasa, antara sindrom yang menguasai kebanyakan diri remaja yang ingin memilih untuk berubah, atau lebih hebat lagi, yang terpilih atau memilih untuk berdakwah, ialah rasa rendah diri yang tidak kena tempat. Ada juga dalam kalangan remaja yang bertangguh untuk melakukan perubahan terhadap diri, walaupun sudah mula yakin dan percaya untuk berubah.

“Risaulah ustaz, kawan-kawan ejek.” Kata seorang peserta dengan kening berkerut.

“Insya-Allah ustaz, cuma saya rasa belum cukup kuat untuk berubah.” Kata seorang peserta dengan senyuman yang dibuat-buat.

Saya selalu katakan kepada remaja, bahawa dalam hidup ini kita hanya mempunyai dua pilihan, sama ada baik atau buruk, dan jika kita memilih untuk tidak melakukan apa-apa, maka kita tidak layak untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. Khalifah itu sendiri telah menempati makna pilihan itu, iaitu manusia sebagai makhluk pilihan Allah untuk mentadbir bumi dan menjadi pemimpin kepada sekalian makhluk lain berpandukan suluhan akal dan wahyu.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." (Al-Baqarah : 30)

“Apakah seorang manusia itu layak ditaklif menjadi khalifah jika kriteria khalifah itu dinilai dari sudut kegarangan dan ketegasannya?” Saya bertanya kepada para peserta saat bermulanya program. Mereka pantas menggeleng.

“Ya, nescaya seekor singa lebih layak jika kriteria khalifah hanya dinilai dari sudut itu.” Saya menokok.

“Apakah seorang manusia itu layak dipilih menjadi khalifah jika dinilai dari sudut kegagahan dan kekuatannya pula?” Peserta menggeleng lagi.

“Ya, nescaya seekor gajah itu lebih layak.” Para peserta mengangguk.

“Namun lihatlah, bagaimana seekor singa yang garang itu akhirnya dapat dijinakkan dan dikurung. Seekor gajah yang gagah itu akhirnya dapat ditunggang oleh seorang yang bergelar manusia.” Saya tersenyum memandang peserta. Wajah yang keruh, kini mulai bertukar jernih.Setiap daripada kita adalah khalifah dan dipilih oleh Allah untuk menerajui pentadbiran bumi dengan manhaj-Nya. Allah telah menyatakan secara jelas tentang ciri-ciri khalifah ini.

“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan beramal soleh bahawa akan menjadikan mereka khalifah di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah, dan akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai bagi mereka, dan akan menukarkan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu pun. Barangsiapa yang kufur selepas itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.” (An-Nur : 55)

Jelaslah bahawa sebagai seorang yang dipilih menjadi khalifah di atas muka bumi, tidak boleh tidak kita perlu memilih untuk menjadi hebat dan cemerlang dengan keimanan, amal soleh dan sentiasa iltizam dengan agama Allah. Setiap remaja perlu memilih untuk menerima kehebatan ini, supaya tidak menjadi manusia yang bermimpi, dan segala yang dilakukan merupakan igauan dalam mimpi itu, walaupun kelihatannya sedang berjalan di alam realiti. Hanya akan disedarkan dengan lanjutnya usia, atau hanya sedar apabila tibanya waktu sakit. Seperti pesan baginda Rasulullah s.a.w. tentang lima perkara sebelum datang lima perkara.

“Saya rasa tak layaklah, ustaz.” Adu seorang peserta yang kelihatan sangat sedih.

“Saya banyak dosa.” Luah seorang peserta lagi.

Perlu diingat, setiap manusia yang dilahirkan itu tidak sempurna dan punyai kekurangan masing-masing. Malah, kekurangan itu juga boleh menjadi kelebihan diri melalui kepercayaan kepada kebolehan dan keupayaan untuk mencapai apa yang diingini.

“Cuba kita sama-sama renungkan, apabila kita tiba di hari akhirat nanti, adakah kita mempunyai pilihan lain selain syurga dan neraka?” Kata saya kepada sekalian peserta, ada yang mencatat dan ada yang merenung.

“Sekiranya kita memilih syurga, maka secara tidak langsung kita telah memilih menghuni syurga bersama-sama para sahabat yang hebat seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali?” Saya menyambung soalan dengan memandang tampang mereka beralih-alih dalam senyum.

Tentulah apabila ditanya kepada setiap remaja, mereka pasti memilih syurga sebagai destinasi terakhir. Soalan ini menjadi soalan wajib yang akan saya tanya setiap kali sesebuah program berlangsung. Maka sudah tentulah jawapan positif yang saya terima, kerana setiap manusia itu tidak mampu melawan fitrahnya yang suci dan mulia.

“Justeru, adakah pilihan lain dalam hidup kita melainkan memilih untuk menjadi remaja yang hebat?” Ada cahaya bersinar daripada wajah-wajah remaja di hadapan saya. Ada senyuman perlahan-lahan terukir di bibir sebahagian peserta.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh remaja pada zaman yang semakin mendesak ini adalah penekanan kepada ilmu tauhid. Setiap remaja perlu disuguhkan dengan kefahaman tentang konsep Abid, Ibadah dan Ubudiyyah, supaya mencetuskan keyakinan serta kecintaan sepenuhnya kepada Allah. Keyakinan dan kepercayaan yang benar dan jati, jitu dan padu, mantap, tidak goyah dan tidak berbelah bahagi terhadap Allah, menjadi teras tauhid.

Keyakinan ini akan tumbuh dan menjadi subur di dalam hati, yang akan menggerakkan akal untuk berfikir dan akan memandu tubuh untuk melakukan ibadah atau kerja mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah. Itulah keyakinan sebenar, yang akan menjadi pemangkin kepada kejayaan diri seseorang. Salah satu golongan yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan kecuali perlindungan-Nya ialah pemuda yang hidup di dalam keadaan memperhamba diri kepada Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

إن الله ليعجب من الشباب الذي ليست له صبوة

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah).”

Remaja yang terbentuk melalui kekuatan tauhid telah memiliki persediaan dan berkemampuan untuk mendepani segala cabaran. Remaja Tauhidik sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab, tidak akan terseleweng dan berasa lemah, tidak akan terpesong dengan tiupan angin fitnah, tidak menyerah kalah atau berputus asa, serta tidak akan tergelincir ke dalam keruntuhan dan kerosakan.

“Siapa yang ingin menjadi remaja yang dikagumi Allah?” Saya bertanya dalam senyum kepada para peserta.

Semua peserta mengangkat tangan.

“Ya Allah, Engkau bersaksi ya Allah, bahawa mereka ingin menjadi remaja yang memenuhi masa muda mereka untuk beribadah kepada-Mu.” Suara saya mendoakan dalam rayu.

“Aminnnn!” Para peserta menyahut, dan mereka semakin semangat mengangkat tangan. Kejap dan tegap.

“Maka mereka yang mengangkat tangan inilah remaja yang memerkasa tauhid, remaja yang berjalan dengan iman dan amal. Andalah Remaja Tauhidik!”

Kata saya dalam senyum, mengakhiri sesi bersama para peserta pada hari itu. Di hadapan saya, ada wajah-wajah yang bersinar memancarkan cahaya tauhid, dengan keazaman yang berkobar-kobar.

Majalah Dakwah, YADIM, Isu 01 Mei-Jun.

Posted in | Leave a comment

Jauh, bukan semata-mata rindu

Dua orang saudara atau sahabat yang saling mengasihi kerana Allah memiliki hati yang bersih dan sentiasa bersifat tawaduk. Mereka sentiasa berasa rendah hati dan merasakan dirinya bukan apa-apa berbanding sahabatnya, maka persahabatan atau persaudaraan yang dijana akan sentiasa mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t. Kesempurnaan kasih sayang, keikhlasan dan kesetiaan dalam ukhuwah dan persahabatan akan terbukti apabila dua orang sahabat atau saudara itu berjauhan di antara satu sama lain. Amat mudah memperlihatkan kebahagiaan dan kasih sayang apabila saling bertemu, tetapi bagaimana pula pernyataan mahabbah ini boleh berterusan apabila kedua-duanya terpisah?

Dalam Islam, apabila dua orang saling mengasihi kerana Allah, maka kemanfaatannya tidak hanya diperolehi oleh sebelah pihak, malah kedua-duanya mendapat ganjaran di sisi Allah s.w.t. Inilah nilai keikhlasan, kesetiaan dan istiqamah dalam merealisasikan Ukhuwah Fillah.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Doa seorang Muslim untuk saudaranya dari kejauhan akan dikabulkan, di kepalanya ada malaikat yang diwakilkan, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya, malaikat tersebut berkata : Amin! (semoga Allah mengabulkan), dan untukmu kebaikan yang sama."

[Riwayat Muslim dalam Sahihnya]

Maka, apabila berjauhan, berdoalah untuk sahabat dan saudaramu.

Bukan semata-mata rindu!

Posted in | Leave a comment

Pujian Istimewa buat Sahabat

Pujian yang istimewa buat seorang sahabat Muslim adalah doa yang baik, yang ditujukan khas buatnya setelah dia membantu atau membuat kebaikan untuk kita. Doa-doa yang baik dilafazkan buat seorang sahabat dikategorikan sebagai pujian, iaitu pujian teristimewa yang memberi motivasi kepadanya untuk terus melakukan amal soleh dan kebajikan. Inilah juga faktor yang dapat menumbuhkan rasa kasih sayang dan ukhuwah fillah yang dikehendaki dalam Islam. Antara doa yang baik sebagai tanda terima kasih, dan melambangkan kecintaan kepadanya dan Pencipta, ialah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :

"Barangsiapa yang memperoleh kebaikan daripada sahabatnya, lalu berkata : 'Jazakallahu Khairan' (semoga Allah memberimu balasan yang lebih baik), maka ia telah memujinya secara istimewa."

[Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dalam Al-Birr Was-Sillah no. 2035]

Jazakumullahu Khairan!

Posted in | Leave a comment

Bersahabat sebagai suatu ibadah

Betapa bertuahnya mempunyai seorang sahabat yang berusaha mencukupi keperluan, baik secara spiritual ataupun material. Dia mengetahui keadaan dan keperluan sahabatnya, dan akan segera pula membantu serta meringankan bebannya. Dialah penyembuh duka dan penawar luka pada saat bagai berkejaran dengan masa, tanggungjawab bertambah dan dunia seperti menjadi pejal yang terpaksa dipikul di bahu. Dialah sahabat yang tidak pernah membuka aib, bahkan tidak pernah bercerita tentang keaiban diri sahabatnya. Perbuatan indah inilah merupakan suatu ibadah yang akan mendekatkan diri kepada Allah, dan menambah pahala yang besar di sisi-Nya. Bersahabatlah untuk mencapai keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Siapa yang mencukupi keperluan saudaranya, nescaya Allah mencukupi keperluannya. Siapa yang menolong seorang Muslim dari suatu kesusahan, nescaya Allah akan menolongnya dari salah satu kesusahan pada hari Kiamat. Siapa yang menutupi aib seorang Muslim, nescaya Allah menutupi aibnya pada hari Kiamat."

[Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, diriwayatkan juga oleh Abu Daud, At-Tirmizi dan Imam Ahmad daripada Ibnu Umar r.a]

Posted in | 1 Comment

Bersahabat sampai syurga

Faktor yang dapat menambah keakraban ukhuwah dan persahabatan ialah bagaimana kita menemukan persamaan perasaan, kesenangan, kefahaman dan idea. Di antara faktor lain yang dapat menambah keakraban ukhuwah seterusnya memeliharanya dari hancur adalah kemampuan kita untuk menyesuaikan diri dengan beberapa kebiasaan (yang harus) bagi seorang sahabat, memiliki sikap mudah membantu bahkan suka membantu. Inilah ciri-ciri sahabat ahli syurga. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Mahukah aku tunjukkan kepadamu semua tentang orang yang diharamkan masuk neraka atau tidak akan dimasukkan ke dalamnya? Iaitu seorang sahabat yang akrab, suka membantu, mudah melakukan."

[Riwayat Tirmizi no. 2488, Imam Ahmad dalam Al-Musnad, Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah]

Posted in | 2 Comments

Formula untuk dicintai

Berpada-padalah dengan kenikmatan dunia, supaya dengannya kita tidak akan leka dan alpa, supaya pada waktu susah dan senang, Allah sentiasa di ingatan. Berpada-padalah dengan segala gemerlap dan tarikan dunia, supaya sikap kita tidak akan berubah terhadap sahabat, akibat tertarik dengan pesona harta dan sering membanding diri dengan orang yang diberi kelebihan kenikmatan dunia. Maka, kitalah sahabat pada saat susah dan senang!

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Berzuhudlah dari kenikmatan dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, dan berzuhudlah dari apa-apa yang dimiliki oleh manusia, nescaya mereka mencintaimu."

[Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam az-Zuhd no. 4102, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakannya sebagai 'hasan' dalam Bulughul Maram no. 1501]

Posted in | 3 Comments

Milikilah mimbar yang bercahaya!

Cintailah sahabatmu kerana Allah, kerana itulah ukhuwah hasil tarbiah Rasulullah s.a.w dalam madrasahnya. Rasulullah mendidik perasaan cinta ini selama 13 tahun di Makkah kerana meyakini prioriti ukhuwah sebagai basis kekuatan umat Islam, yang merupakan realisasi dari kalimah Tauhid - La Ilaha Illallah!

Dalam sebuah hadis qudsi Allah s.w.t berfirman :

"Orang-orang yang saling mencintai demi keagungan-Ku, akan diberikan kepadanya mimbar dari cahaya yang dicemburui (ghibtoh) oleh para Nabi dan syuhada."

[Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab al-Musnad, dan at-Tirmizi dalam az-Zuhd no. 2390]

Posted in | 2 Comments

Mahukah anda memiliki tali yang terkuat ini?

Ikatan persaudaraan sesama Muslim adalah model persaudaraan terunggul dan hubungan kemanusiaan paling mulia, malah ikatan kerana akidah adalah lebih kukuh dari ikatan kerana keturunan. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Tali Islam yang terkuat adalah mematuhi kerana Allah, memusuhi kerana Allah, cinta kerana Allah, dan benci juga kerana Allah 'Azza wa Jalla."

[Diriwayatkan oleh Thabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir, daripada Ibnu Abbas r.a. Juga diriwayatkan oleh al-Baghawi dalam Syarhus-Sunnah]

Posted in | Leave a comment

Menulis itu percaya

Oleh Amiza Khusyri Yusof
[dalam versi tanpa suntingan]

Saya rasa, perkara pertama yang paling penting perlu ada dalam diri seorang penulis ialah percaya. Percaya dengan kebolehan diri untuk menulis, seterusnya akan membentuk keyakinan untuk memulakan langkah. Setelah bertahun-tahun menulis ini, saya masih meletakkan percaya dalam hati, dan itulah resepi untuk membentuk penulis yang menjadi.

Inilah juga resepi kejayaan Rasulullah dalam membimbing para sahabat baginda SAW, kerana iman itu adalah percaya. Hakikat kepercayaan itulah yang sentiasa memotivasikan para sahabat untuk mencintai syahid dan tidak takutkan mati demi menjulang agama Allah tanpa mengenal erti putus asa. Hakikat percaya inilah yang telah memberikan kejayaan kepada Salahuddin Al-Ayyubi menawan semula Baitul Maqdis, Muhammad Al-Fateh membebaskan kota Konstantinopel dari cengkaman kerajaan Kristian Bizantin, melalui sejarah perjuangan Islam yang hebat.

Perjalanan saya menulis bermula sejak menuntut dalam bidang Usuluddin di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) lagi. Pada masa itu, saya masih terpengaruh dengan unsur cinta remaja yang tiada sudahnya. Saya masih ingat, pada zaman yang saya fikir masih ‘syok sendiri’ itu, rupa-rupanya, ada rakan-rakan mengikuti cerpen-cerpen saya yang disiarkan dalam sebuah buletin persatuan. Pada masa inilah rasa percaya dengan keupayaan dan kebolehan diri untuk menulis sudah mula membentuk sedikit demi sedikit. Saya meneruskan penulisan semasa melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Tafsir Al-Quran. Pada 23 November 2003, cerpen pertama saya, Sebuah Tuhfah di ambang Syawal telah terbit di akhbar Berita Minggu, maka bermulalah penulisan saya secara serius.

Allah telah menyatakan dalam al-Quran bahawa manusia diamanahkan sebagai khalifah di atas muka bumi (rujuk al-Baqarah : 30). Begitu juga dinyatakan dalam Al-Quran bahawa ilmu itu menjadi pemikul amanah sebagai seorang khalifah itu (rujuk al-Baqarah : 33). Antara ciri khalifah ialah memiliki ilmu dan kemahiran, yang bukan hanya untuk diri sendiri, tapi juga untuk dimanfaatkan dan dikongsikan dengan orang lain. Bukan itu sahaja, bahkan Allah telah menyatakan bahawa umat Muhammad SAW adalah umat terbaik, yang diberikan tugas mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar (rujuk Ali Imran : 110). Tentunya sifat sastera itu sendiri adalah memberi ilmu dan membangunkan pemikiran khalayaknya, maka sangat signifikan dengan makna khalifah itu. Atas tuntutan amanah sebagai seorang khalifah dan umat terbaik ini, telah mendorong nurani saya untuk iltizam menulis. Apakah uslub qasasi (kaedah naratif) dalam al-Quran belum cukup menjadi contoh dan dorongan untuk saya menulis? (rujuk Hud : 120 dan al-A’raff : 176). Saya percaya, dorongan ini bukanlah dorongan yang sekadar rongrong picisan, tapi dorongan yang bersifat Rabbani, pada zaman kebenaran yang dipijak-pijak, dan kezaliman pula yang dijulang-julang. Meminjam kata-kata Sasterawan Negara A. Samad Said,

"Sastera itu berguna untuk memperjuangkan apa yang kita rasa tidak adil, membebaskan tanah air, melanggar semua tembok ketidakadilan, tetapi dalam melakukan itu semua seninya itu harus ada."

Bengkel pertama yang saya hadiri adalah sekitar 2003 di bawah kendalian Puan Zaharah Nawawi dalam bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Kami dalam usia kepengarangan yang berbeza itu, diberi ruang dan peluang untuk mengkritik karya sesama peserta, yang akhirnya membuka pandangan mata saya tentang dunia sastera yang luwes. Bengkel ini juga telah mencetus paradigma baharu dalam dunia pengkaryaan saya, yang mana saya melihat penulisan sebagai wadah dan medium untuk berdakwah kerana dakwah itu fitrah dan tuntutan sebagai seorang Muslim. Melalui bengkel ini juga telah mengenalkan saya kepada penulis mapan Zaharah Nawawi dan beberapa orang penulis-penulis berpengalaman seperti Nisah Haron, Amaruszati Noor Rahim dan Nazmi Yaakub. Sehingga kini saya masih percaya, bahawa perjumpaan dan bengkel adalah kaedah terbaik untuk menghasilkan penulis dengan karya sastera bermutu. Menghasilkan karya bermutu itu satu kehebatan, dan seorang penulis itu tidak perlu banyak kehebatan untuk menjadi hebat, cuma perlu istiqamah dalam kehebatannya.

Perjalanan penulisan saya pernah menjadi sukar ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Saat ghairah menembusi media bersama rakan-rakan penulis seangkatan, sebuah cerpen saya telah terbit di dua majalah sastera remaja ternama serentak. Saya menerima amaran daripada editornya dan kritikan yang hebat atas kesilapan itu, tidak kurang juga rakan-rakan yang menenangkan. Selepas itu, saya memilih untuk berhibernasi dan berhati-hati tentang prosedur penerbitan dan penghantaran karya. Pengalaman ini ternyata mengajarkan tentang betapa seorang penulis perlu waspada dan membuat pilihan terbaik untuk karya-karyanya. Saya percaya, apabila perjalanan itu menjadi sukar, sebenarnya kesukaran itu telah memulakan perjalanan. Perjuangan saya sebenarnya baru bermula!

Pengalaman mengarang novel sulung Menjadi Bintang adalah suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Pada masa jiwa yang mulai matang menulis, peluang dan tawaran dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menghasilkan sebuah novel industri adalah sesuatu yang perlu diterima dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Pengalaman memerikan latar kampung dan peralihan watak demi watak benar-benar menguji daya kepengarangan, lalu saya menerimanya sebagai suatu cabaran. Akhirnya pada akhir tahun 2008 saya melihat naskhah novel sendiri itu di tangan dalam syukur kepada Allah yang mengurniakan ilham. Ucapan berbanyak terima kasih ditujukan kepada bonda Zaharah Nawawi yang membimbing dan melorongkan jalan, juga kepada editor Menjadi Bintang, Nurdiana Mohd Nor kerana memudahkan jalan penerbitannya. Saya telah menerima pelbagai respons dan ulasan terhadap novel kerdil ini, dan tentunya telah menguatkan semangat saya untuk terus berkarya dan kini dalam proses menghasilkan novel kedua. Sekiranya saya memiliki kemampuan untuk memulakan, maka sudah pasti saya juga memiliki kemampuan untuk menamatkannya!

Sehingga kini, saya masih percaya bahawa tulisan boleh menjadi wasilah tarbiah, tajdid dan islah kepada masyarakat. Malah, tulisan juga merupakan ikatan ilmu pengetahuan, dan kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, ibarat irama dan lagu. Bezanya cerpen atau novel melibatkan uslub qasasi (kaedah naratif) seperti latar, plot, watak perwatakan, dan sebagainya. Cerpen, novel atau puisi juga boleh menempati ciri seruan secara hikmah melalui pengajaran-pengajaran yang baik (rujuk an-Nahl : 125). Saya meletakkan tujuan dakwah sebagai prioriti, dalam lingkungan falsafah yang merangkumi tarbiah, tajdid dan islah. Saya kira aspek ini perlu disentuh dengan lebih mendalam lagi, bagi memenuhi citra sastera Islam berdasarkan mazhab makna, iaitu pengukuhan makna tauhid kepada pembaca. Cerpen-cerpen saya yang mutakhir seperti Ustaz, Kasad, Mihrab dan Mimbar, semuanya memiliki komponen tarbiah, tajdid dan islah yang akhirnya akan membawa pembaca menelusuri kesyumulan Islam dan membentuk fikrah. Penekanan kepada remaja awal tentang tauhid dan pemugaran semula tentang akhlak sangat penting dalam cerpen atau novel. Apatah apabila mereka menjangkau kepada remaja akhir, cerpen-cerpen atau novel-novel perlu menyuguhkan fiqhul da’kwah (fikah dakwah) yang merangkumi seruan kepada makruf dan mencegah kemungkaran, begitu juga pentingnya menempatkan falsafah-falsafah islah dan tajdid dalam usaha menghidupkan agama dan bahasa Melayu itu sendiri.

Pengalaman kerdil membimbing calon-calon penulis semasa di Universiti Al-Azhar, Mesir dahulu melalui Kem Latihan Penulis (KELAP) telah banyak membantu saya dalam ilmu kritikan karya. Begitu juga kala diamanahkan menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), menyelaras acara bengkel penulisan dan aktiviti-aktiviti memerkasa bahasa, telah banyak mengajarkan jiwa betapa pengorbanan dan kesusahan itu adalah rencah dalam perjuangan menulis. Saya percaya, bahawa kesusahan itu adalah guru kepada kesenangan, yang tanpa lelah mengajarkan erti sabar dan cekal. Program-program membimbing calon penulis seperti Minggu Penulis Remaja, DBP dilihat sebagai suatu peluang dan ruang kepada calon-calon penulis untuk memerkasakan ilmu dan mengenali sastera dengan lebih akrab. Suatu peluang yang tidak pernah saya perolehi kerana lewat mengenali sastera dan memulakan penulisan. Namun, saya tetap yakin, kelewatan itu juga adalah suatu kurnia dan anugerah, kerana penulis tidak hanya akan berjaya dengan bakat dan kebolehan, tapi perlu gigih dan istiqamah dalam kegigihan itu.

Maaf jika anda semua tidak pernah mengenali saya sebagai seorang penulis, atau anda hanya mengenali saya melalui nama, dan menyangka saya ialah seorang wanita, atau anda semua tidak pernah melihat rentetan kemenangan Amiza Khusyri dengan pelbagai hadiah dan pengiktirafan. Saya hanya pernah memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan (ASNS) 2005 dan 2007 yang hilang timbul. Pengiktirafan yang paling tinggi pernah saya terima ialah tempat ketiga Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 anjuran DBP melalui cerpen Kasad. Saya tidak memiliki senarai panjang untuk penerimaan anugerah, dan tentunya perkara ini tidak membanggakan serta tidak wajar dicontohi. Namun, saya percaya, apa yang menjadi kegembiraan bagi seorang penulis bukanlah pada nama, kebesaran dan anugerah itu, tapi apabila karya-karyanya dibaca, dihayati dan diikuti oleh para pembacanya. Selebihnya, serahkanlah kepada Yang Maha Menentu segala keputusan, dan Yang Maha Memberi sekiranya kita wajar menerima. Saya menanam azam untuk menjadi penulis yang prolifik dan menempatkan diri dalam kalangan sasterawan ghuraba seperti yang disebut baginda Rasulullah SAW, iaitu sasterawan yang menegakkan Islam, menghidupkan sunnah-Nya dalam penulisan, pada zaman kerendahan moral, dan agama yang semakin dipinggirkan.

Saya percaya!

Tunas Cipta, Mac 2010.

Posted in | 8 Comments

Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat!

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179.

Allah SWT dalam ayat ini menghuraikan tentang perkara yang menyebabkan terjerumusnya manusia ke dalam kesesatan. Allah menjelaskan ramai manusia menjadi isi neraka Jahannam, begitu juga mereka yang masuk syurga sesuai dengan amalan masing-masing.

Firman Allah:

"Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia." [Hud : 105]

Firman Allah lagi :

"Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." [Asy-Syura : 7]

Kebanyakan manusia itu diazab di neraka Jahannam disebabkan akal dan perasaan mereka tidak digunakan untuk memahami keesaan dan kebesaran Allah SWT sedangkan kepercayaan itulah yang akan membersihkan jiwa mereka dari segala macam was-was dan kehinaan serta kerendahan. Kepercayaan inilah yang akan menanam keyakinan kepada diri mereka sendiri, dan menjadi benchmark kepada keutuhan peribadi dan sahsiah.

Kita juga melihat sekalian manusia yang mengaku beriman, tetapi sebenarnya lalai dan lupa dengan kepercayaan sepenuhnya pada hari Akhirat. Mereka hanya menggunakan akal untuk menanam saham dunia tanpa sedikit pun membaja benih akhirat dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

"Mereka hanya mengetahui yang zahir [saja] dari kehidupan dunia, sedang tentang [kehidupan] akhirat adalah lalai." [Ar Rum : 7]

Mereka tidak memahami bahawa tujuan hidup sebenar manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya dan melaburkan saham Akhirat sebanyak mungkin sebagai persediaan. Mereka tidak mengetahui bahawa tujuan Allah memerintahkan mereka menjauhi kemaksiatan dan dosa serta mendorong melakukan amal adalah untuk dua kebahagiaan - dunia dan akhirat. Mereka membutakan hati dan mata, memekakkan telinga dengan segala macam kebaikan dan petunjuk yang datang kepada mereka.

Firman Allah :

"Dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh keseksaan, yang dahulu mereka sering memperolok-olokkannya." [Al-Ahqaf : 26]

Mereka tidak dapat memanfaatkan mata, telinga dan akal sehingga mensia-siakan hidayah Allah. Keadaan mereka seperti binatang bahkan lebih buruk daripada binatang, kerana binatang tidak mempunyai akal dan upaya fikir untuk mengolah kesan penglihatan dan pendengaran mereka. Binatang hanya mewujudkan persepsi atau reaksi terhadap dunia luar secara naluri dan bertujuan hanyalah untuk meneruskan hidup [survival]. Betapa hinanya manusia yang menjadi seperti binatang ini dan menjadi hamba kepada hawa nafsu, malah mereka lebih rendah nilai kerana tidak mampu menggunakan kelebihan akal dan hati.

Kita memohon kepada Allah, agar dijauhkan daripada segala ciri-ciri ini, dan menarafkan diri sebagai Khalifah di atas muka bumi. Sekalian umat Islam perlu memiliki kekuatan untuk mengubah persepsi yang mengambil ringan tuntutan "Amar Makruf Nahi Mungkar", sehingga berleluasanya kemaksiatan dan kecelaruan nilai dalam kehidupan bermasyarakat.

Posted in | Leave a comment

Perasan Bertempat

"Saya rasa dia selalu mengata saya ustaz," kata seorang peserta tingkatan satu dengan kening berkerut. Ada kesan-kesan bengkak di matanya. Barangkali sebab lama menangis.

"Mana kamu tahu dia mengata kamu?" Saya kembali bertanya.

"Saya rasa, sebab dia orang berbisik-bisik." Kata peserta itu lagi dengan kepala tertunduk. Barangkali berasa sangat rendah diri dengan tubuhnya yang gempal.

"Kamu perlu perasan. Orang lelaki pun perlu perasan. Perasan ini perasan bertempat." Kata saya.

"Kamu perlu perasan yang mereka mengata kamu. Sikap perasan ini akan mengelakkan buruk sangka kepada kawan-kawan, dan kamu akan sentiasa fokus. Kamu mesti perlu kembali muhasabah niat mengikuti program ini, ingat macam yang ustaz selalu sebut, kekurangan kamu sebenarnya adalah suatu kelebihan."

Peserta itu menyahut, "Ya, ustaz. Saya perlu bersyukur. Dan saya perlu kuat seperti Po si Dragon Warrior." Dia tersengih. Wajah yang keruh bertukar jernih.

Saya tersenyum, "Ya, perasan menjadi Po, Kungfu Panda, dan itulah namanya perasan bertempat."

Indahnya Berprasangka Baik

Inilah kisah berprasangka baik. Kisah yang selalu saya kongsikan bersama para peserta dan pelajar. Sharing is caring.

Ada dua orang adik beradik yang sudah kematian ibu bapa. Mereka bekerja sebagai peniaga dan setiap hari perlu berjalan sepuluh kilometer jauhnya dari rumah peninggalan ibu bapa mereka demi menuntut ilmu agama. Mereka mementingkan ilmu pengisi dada buat mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba.

Suatu hari si abang berdoa kepada Allah, supaya Allah murahkan rezekinya untuk membeli sebuah kereta bagi memudahkan mereka berulang-alik menuntut ilmu. Tidak lama kemudian, doanya dimakbulkan, dan si abang membeli sebuah kereta hasil dari keuntungan perniagaan mereka.

Lalu si abang berdoa pula supaya Allah mengurniakannya seorang isteri yang rupawan dan baik pekerti. Allah mengabulkannya, dan si abang memiliki isteri idamannya. Kemudian si abang berdoa lagi untuk mendapat sebuah rumah yang selesa dan pekerjaan yang lebih baik, supaya segalanya itu akan menjadikan dirinya semakin dekat dengan Allah. Maka Allah mengabulkan segala permintaannya itu. Selalu.

Tinggallah si adik dengan tiada satu perubahan pun yang berlaku kepada dirinya. Tidak seperti si abang yang cukup dan telah sempurna hidupnya. Dia kekal dengan hidup yang sederhana dan terus tinggal di rumah peninggalan ibu bapa mereka. Si abang yang sibuk dengan pekerjaan baharunya, menjadikan si adik meneruskan kehidupan lamanya, berjalan kaki untuk menuntut ilmu agama setiap hari.

Si abang pun membandingkan kehidupannya dengan adiknya. Doanya yang selalu dimakbulkan, dan adiknya yang terus hidup sederhana itu. Lalu dia teringat, setiap kali adiknya pergi menuntut ilmu dengannya suatu ketika dahulu, adiknya selalu berdoa dengan melihat selembar kertas. Menunjukkan adiknya tidak menghafaz doa, dan hatinya barangkali tidak bersih. Lalu si abang menasihati adiknya supaya membersihkan hati, kerana merasakan hati adiknya masih kotor sehingga doa-doanya tidak dimakbulkan Allah.

Si adik rasa bersyukur dan terharu dengan nasihat abangnya itu. Dia tahu abangnya sangat menyayanginya seterusnya mengucapkan terima kasih di atas nasihat itu.

Sampailah suatu saat ajal kunjung tiba, dan si adik meninggalkan dunia dengan keadaannya yang terus sederhana dan tiada perubahan. Si abang berasa sedih kerana tidak perubahan dalam hidup adiknya dan meninggal dunia dalam keadaan hatinya yang tidak bersih.

Si abang menguruskan rumah peninggalan ibu bapa mereka untuk diubahsuai menjadi sebuah surau dan tempat menuntut ilmu bagi anak yatim, sesuai dengan wasiat arwah adiknya. Sehingga dia terjumpa selembar kertas di dalam lipatan sejadah yang seingatnya selalu dibaca adiknya sebelum pergi berjalan menuntut ilmu. Ada bacaan al-Fatihah, selawat, doa untuk guru dan doa selamat. Matanya terpaku pada ayat terakhir dalam doa itu.

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ampunilah dosaku dan abangku, kabulkanlah segala doa permintaan abangku, bersihkanlah hatiku, dan berikanlah kemuliaan hidup kepada abangku, di dunia dan akhirat."

Dan berlinanglah air mata membasahi pipi si abang, kerana adiknya tidak pernah sekalipun berdoa untuk dunianya, hingga akhir hayatnya.

Berprasangka Baik Pembersih Hati

"Wahai orang-orang beriman, jauhilah diri kamu dari banyak berprasangka, sesungguhnya sesetengah prasangka itu adanya dosa." [Hujurat : 12]

Setiap manusia dituntut supaya selalu berprasangka baik sesama manusia, apatah sesama Islam. Prasangka baik menjadi asas kepada makna mahabbah yang amat dituntut oleh baginda Rasulullah SAW. Imam al-Ghazali memberikan formula untuk membersihkan hati dengan selalu memaafkan orang lain atas apa sahaja kesalahannya dan sering berprasangka baik. Teruskan cuba untuk memaafkan, cari empat puluh alasan sehingga mampu untuk memaafkan orang yang melakukan kesalahan kepada kita.

Salah satu dari kekuatan Islam itu terletak pada ukhuwah, iaitu sejauh mana nilai mahabbah dipraktikkan dalam hidup bermasyarakat. Jika kita masih gagal untuk membentuk prinsip dan nilai ukhuwah sesama Islam melalui berprasangka baik, bermakna kita juga gagal untuk menonjolkan cara hidup Islam kepada orang bukan Islam. Imej-imej negatif akan selalu dilontar kepada umat Islam seperti hasad, iri, dendam, sombong dan pelbagai sifat-sifat mazmumah, dan tentulah kita tergolong dalam kalangan Muslim yang rugi.

Pesan daripada Saidina Umar al-Khattab RA, "Janganlah kamu berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari mulut saudara kamu [sesama muslim] kecuali sangkaan yang baik."

Sebagaimana kita dilarang berprasangka buruk kepada Allah, begitu juga sesama manusia. Kebersihan hati itu terletak pada akhlak seseorang. Akhlak yang baik digambarkan oleh Rasulullah SAW sebagai suatu yang paling berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat kelak, seperti sabda baginda SAW dalam hadis riwayat Tirmidzi :

"Tidak sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat selain daripada akhlak yang baik dan Allah benci pada orang yang keji mulut atau kelakuannya."

Baginda juga pernah ditanya oleh seorang lelaki, siapakah Mukmin yang lebih baik keimanannya.

Baginda menjawab :

"Yang paling baik adalah akhlaknya."

Ibadah akan membentuk akhlak individu, manakala akhlak adalah asas pembentukan peribadi Muslim. Benarlah orang yang berakhlak itu ialah orang yang selalu menjaga ibadahnya kepada Allah. Mukmin yang sentiasa mengambil berat tentang ibadahnya seperti solat, puasa, zakat dan menunaikan haji, akan memiliki daya ketahanan yang tinggi dari segala macam dugaan duniawi seperti yang ditonjolkan si adik dalam kisah yang menyayat hati itu. Ayuh!

Barakallahu Lakum!

Posted in | 2 Comments

Sehebat namamu, Muttaqin

Usai Kem Khalifah Imtiyaz. Dua hari yang terakhir itu, bersengkang mata, mengerah emosi dan otak supaya ligat berfikir dan membaca gelagat peserta.

Saya tidak pernah selesai menitipkan tiga pesanan kepada peserta-peserta bertuah ini sepanjang sesi bersama saya :

1) Jadilah pemimpin, bersama Rasulullah di hatimu selalu.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzaab : 21)

2) Jadilah pemimpin, dengan melihat melalui pandangan mata ibu, yang sentiasa memandang anak-anak dengan penuh kasih sayang.

"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapamu, anya kepada Akulah kembalimu." (Luqman : 14)

3) Jadilah pemimpin, seperti air yang tekal mengalir, walau apa sahaja yang menghalang laluannya.

"Dan dia memacakkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersamamu, (dan dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk." (An-Nahl : 14)


Harapan yang tinggi

Mengendalikan slot bersama peserta-peserta ini adalah sesuatu yang istimewa, kerana saya pernah berada di tempat mereka, dan mendapat pendidikan di sekolah yang sama. Bercerita tentang pengalaman disulami rasa kasih sayang kepada sekolah, barangkali menjadikan mereka seronok dan teruja untuk mendengar. Maka tahulah saya, hati mereka telah saya pegang dengan baik. Saya telah berjaya membina jambatan hati dengan mereka.

"Ustaz, mesti datang di sekolah kami, untuk beri ceramah atau sekadar berjumpa dengan kami." Kata seorang peserta.

Dan paling menyentuh apabila seorang peserta yang baru kehilangan ayah, membaca kalimah-kalimah terakhir titipan buat ibubapanya dengan mengatakan, "Saya dah anggap ustaz-ustaz di sini sebagai ibu bapa saya."

Saya merangkulnya, tanpa mampu menahan air mata. Benarlah sentuhan sesaat itu tidak mampu menandingi kata-kata seminit.

Pesanan terakhir

Saya berkata kepada para peserta pada malam terakhir Kem Khalifah Imtiyaz, "Jangan lupakan kenangan selama 3 hari ini, ingat dan tanam memori ini kejap-kejap dalam hati kamu. Kami tidak berkuasa memberikan hidayah, hanya Allah yang Maha Berkuasa memberikan hidayah itu."

Saya menarik nafas dalam-dalam, lantas teringat kisah Rasulullah yang inginkan hidayah kepada bapa saudara yang dikasihinya, Abu Talib.

"Insya-Allah, selagi ingatan kamu kepada kami dan program ini berpanjangan, selagi itulah, kamu akan ingat apa yang telah kamu lalui dan pesanan-pesanan saya semasa dalam program ini."

Pada hari yang terakhir, saya tersentuh dengan satu surat daripada peserta lelaki dengan katanya, "Saya tak puas hati sebab tak dapat peluk ustaz, pinjam bahu ustaz."

Dan sebelum menaiki bas, peserta yang menulis surat itu menghampiri saya, dengan novel Menjadi Bintang pemberian saya sebagai peserta terbaik di tangan, dan berkata, "Boleh saya salam ustaz dan pinjam bahu ustaz."

Saya mendakapnya, dan mendoakan kehebatan untuknya dan peserta-peserta lain, sehebat namanya - Muttaqin.

Posted in | 4 Comments

Berjalan dalam Susah

Kita, walaupun di mana berada, jangan gundah berjalan dalam susah, kerana kesusahan itu memberi erti.

Kesusahan itu, membukitkan tabah dan menggunungkan sabar.

Kesusahan itu sebenarnya kesenangan. Jika bukan untuk hari ini, tapi untuk hari kemudian.

Kesusahan adalah guru kesenangan, yang paling tegas mengajar. Guru ini tidak pernah lalai dan memanjakan. Guru ini garang dan menyakitkan. Guru yang memaknakan ketegasan dan kesakitan.

Terseksa dengan guru ini, barangkali.

Namun, bukankah tanpa guru ini, kita mudah tersesat leka?

Percayalah, bersama kesusahan itu ada kesenangan [94 : 5-6].

Percayalah, kita tidak boleh terus menggapai kecemerlangan, tanpa menempuh sukar, tanpa berjalan dalam susah.

Apabila perjalananmu menjadi susah, kesusahan itu sebenarnya telah memulakan perjalanan!

Posted in | Leave a comment

Di sebalik "Mimbar"

Semakin banyak yang dipelajari, semakin tinggi takah kejahilan diri.

Begitu. Hakikatnya selalu begitu. Allah menyatakan begitu dalam al-Quran - Al-Israk : 85. Manusia akan selalu begitu, menuntut ilmu sampai mati dan harapnya aku akan mati dalam ilmu, ilmu yang benar dan sahih, dan doaku semoga segala amalanku selalu berada dalam presentasi "ahsanu a'mala" yang makbul di sisi Tuhan.

Alhamdulillah. Aku masih bergelar cerpenis pada tahun ini. Karya "Mimbar" itu harapnya bakal menatijahkan yang lebih baik untuk ruang pengkaryaanku pada tahun hadapan. Sepanjang tahun 2009 ini, aku tidak prolifik. "Mimbar" itulah satu-satunya cerpenku yang tersiar pada tahun ini. Cerpen itu sudah diperam agak lama, setelah tercuit dengan isu "Ikhtilaf" [perbezaan pandangan dan pendapat dalam permasalahan cabang] yang melanda para cendekiawan Islam mutakhir ini.
Usai menyelaras Bengkel Cerpen PEN 2009 yang lalu, aku mencabar diri sendiri untuk menyelesaikan cerpen "Mimbar" ini. Menyudah atau mencari khatimah bagi cerpen ini amat sukar. Sukar mencari jalan penyudah terbaik untuk cerpen ini. Lalu, seperti memercup isu-isu di masjid dan ikhtilaf itu dalam kepala. Kemudian satu demi satu aku merangka khatimahnya untuk dipilih, dan amat memelikkan, semua khatimah itu tidak pula mesra di hati. Benar, proses kreatif menukilkan "Mimbar" kali ini terasa amat sukar sekali. Setelah melalui tempoh jeda yang agak lama, terasa amat sukar pula untuk menulis sebuah cerpen.

Aku bertekad untuk memecahkan tembok itu. Perlahan-lahan kritikan demi kritikan yang berjejal dalam kepala, aku tangkis sedikit demi sedikit. Maka terhasillah "Mimbar" seperti yang tersiar di Berita Harian itu. Sebenarnya cerpen ini panjang, tetapi demi memenuhi tuntutan halaman, maka aku terpaksa mencari khatimah terbaik dan yang pasti, katimah itu mesti mengharukan, atau menimbulkan sebak dalam dada. Alhamdulillah, meski berkali mencuba dan dalam ruang yang terhad, akhirnya cerpen itu berjaya disiapkan. Proses kreatif "Mimbar" begitu menguji, tetapi sangat manis dan mendewasakan ruang pengkaryaan diri.

Segala puji buat Allah yang mengurniakan ilham. Terima kasih sekali lagi buat sidang Editorial Berita Harian, kerana masih menerima dan menghargai karya-karya insan kerdil ini. Terima kasih kepada yang sudi membaca, yang sentiasa mengikuti karya-karya insan fakir ini, semoga setiap tinta yang tumpah, akan menjadi jariah buatku dan kalian di hari tiada berguna lagi, harta benda dan anak-pinak. Di negeri yang kekal abadi. Amin.

Buat yang belum membaca "Mimbar", sila klik di sini.

Posted in | 2 Comments

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.