Archive for April 2009

Apa yang menghalangku ke Pesta Buku?

Ya, insan inilah yang menyebabkan aku tidak dapat memenuhi jemputan Dewan Bahasa & Pustaka ke Pesta Buku PWTC. Ada rasa terkilan di hati, terutama mengenangkan jemputan yang tidak selalu datang. Apatah ingin melihat pembeli-pembeli Menjadi Bintang sambil memberikan autograf dengan senyuman. Barangkali begitu, seperti suasana yang tergambar dalam benak.

Aduhai, rasa sesal tidak berguna lagi saat ini.

Saat kalbu begitu mendesak itulah, insan ini datang memenuhi jemputan memberikan semangat dan kata perangsang. Aduhai, terasa begitu senang dengan insan ini, begitu tawaduk dan murah senyuman.

Kemaafan dipinta kepada pihak Dewan Bahasa & Pustaka, Puan Norimah, Puan Marwati dan seluruh jawatankuasa yang menguruskan sesi bicara bersama penulis Menjadi Bintang. Walaupun telah dimaklumkan awal, dan pihak pengurusan DBP akur, tetapi hati nurani tetap rasa bersalah. Paling menjuakkan rasa itu, ialah suasana ilmu dan buku di PWTC yang begitu mengujakan. Apatah, dapat bertemu dengan penulis-penulis senior dan sahabat-sahabat seangkatan yang sering memotivasikan.

Apapun, hati tetap bersyukur dan reda. Aku dipertemukan dengan seorang tokoh yang dikagumi dan optimis dengan situasi ini, bahawa aku juga pada hari itu berada dalam satu majlis ilmu dan mendakap pelbagai input menarik. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pembeli-baca Menjadi Bintang. Semoga mendapat manfaat dan kebaikan daripada naskhah nukilan penulis daif ini.

AKO : Artikel terkini saya tentang PEN "Umbara Sastera bersama PEN" boleh dibaca dalam ruangan Himpunan Tinta, Tunas Cipta, Mei 2009.

Posted in | Leave a comment

Nilai

"Mahal betul ustaz tu, Za. Seribu ringgit dari pagi sampai petang." Mata pakcik Muhsin berkerut. Langkahnya teratur pulang dari ceramah maulid anjuran masjid.

"Tak apalah pakcik, apa salahnya meninggikan orang yang berilmu. Kan Allah angkat orang berilmu ni beberapa darjat." Aku menyeluruhi tampang pakcik Muhsin.

"Ya tak ya juga. Tapi kalau terlalu demand sangat, sampai semua benda minta, pastikan itu ini payah juga, Za." Nada suara pakcik Muhsin kendur.

"Tak dinafikan." Aku tersenyum. Mata masih tunak memandang jalan.

Pakcik Muhsin mambalas seraya berkata, "Kalau ABPBH dapat beratus-ratus ribu, kita nak keluarkan seribu pun berkira. Yalah, orang lebih berminat taja barang-barang seksi." Pakcik Muhsin tergelak kecil.

"Yang penting kerja kena buat." Aku bersuara perlahan sambil meneruskan langkahan pulang.

Pakcik Muhsin angguk penuh azam.

Posted in | Leave a comment

Pembaca tidak akan kecewa!

Resensi Novel Menjadi Bintang
Oleh Nisah Haji Haron


Judul buku : Menjadi Bintang
Pengarang : Amiza Khusyri Yusof
Harga : RM18 (293 muka surat)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka


Menurut Sol Stein, satu daripada perkara yang harus pengarang berikan kepada khalayaknya ialah pengalaman membaca kerana itulah yang dicari apabila sebuah karya itu dibaca. Pengalaman ini akan menjadikan membaca itu suatu nikmat. Pembaca yang bijaksana akan mencari pengalaman-pengalaman baharu apabila memilih bahan bacaannya. Oleh hal yang demikian, pengarang yang menawarkan pengalaman yang tidak sempat dilalui pembaca dalam kehidupannya sehari-hari akan memberi suatu kepuasan setelah sampai ke noktah yang terakhir pada karya itu.

Menjadi Bintang bukan sekadar menawarkan suatu pengalaman baharu kepada pembacanya. Malah, novel sulung karya Amiza Khusyri Yusof, pengarang muda yang sedang mendapat tempat kukuh di persada kesusasteraan ini, menyulam pengalaman itu melalui perwatakan yang jelas dan kekuatan gaya bahasa yang meyakinkan. Novel ini diterbitkan hasil daripada Bengkel Perolehan Judul usahasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi).

Dengan tempo penceritaan yang sederhana, pengarang memperkenalkan Kampung Kemboja dengan melukiskan latar tersebut dengan agak rinci sehingga pembaca berasa seolah-olah berada di tempat itu. Pengarang turut memperkenalkan satu demi satu watak-watak yang berperanan di dalam novel ini dengan cara yang sama.

Novel ini dibahagikan kepada 21 bab dan setiap bab mempunyai sudut penceritaan yang berbeza. Pembaca dapat menghayati watak Amir Mustafa melalui 11 bab yang menyorot sudut pandangnya, sementara oleh Khadijah, ibu Amir Mustafa (4 bab), Khairunnisa (4 bab) dan Bidin Razak (3 bab). Dengan gaya penceritaan tersebut, pembaca dapat mendalami perasaan setiap watak utama ini dan mengerti setiap tindakan masing-masing.

Menjadi Bintang mengisahkan kegigihan Amir Mustafa mengusahakan ladang penternakan ayam secara komersil. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan, Amir mahu menyempurnakan hasrat almarhum ayahnya yang mahu dia berbuat demikian. Cita-cita Amir itu disokong oleh Khadijah, ibunya; sahabat-sahabat seperti Khairunnisa, Bidin, Muin dan Nordin; dan tidak kurang juga orang-orang kampung yang mahukan satu pembaharuan berlaku di Kampung Kemboja.

Namun begitu, dalam setiap perkara yang baik itu seringkali mendapat pelbagai rintangan. Kampung Kemboja yang pada keseluruhannya merupakan kampung yang aman damai dicemari dengan aktiviti sabung ayam di kalangan orang-orang muda. Kegiatan judi ini sukar sekali dibendung kerana mereka yang bergiat dalam aktiviti tidak sihat ini amat licik. Mereka yang terlibat termasuklah sahabat-sahabat persekolahan Amir seperti Bidin Razak, Muin dan Nordin.

Tidak cukup dengan itu, Bidin Razak yang pernah tewas ayamnya di gelanggang sabung telah mencuri Jebat, ayam kesayangan Amir sehingga nyaris mencederakan ibu Amir sewaktu dia hendak melarikan diri. Pembaca akan ikut sama bimbang akan keadaan Jebat kerana dia bukannya ayam sabung. Namun, Bidin amat terdesak untuk melangsaikan hutangnya. Dia harus mendapatkan seekor ayam jantan untuk meneruskan perlawanan bagi menebus kembali kekalahan sekaligus mendapatkan wang sekiranya memenangi pertaruhan kali ini.

Tidak cukup dengan itu, Amir yang masih menjual ayam-ayamnya secara runcit di Pasar Kemboja turut merasakan tempias apabila wabak selsema burung melanda beberapa negara Asia. Orang ramai gusar untuk mendapatkan ayam di pasar walaupun ayam yang dijualnya itu telah disahkan bebas daripada wabak tersebut. Amir masih tetap tidak berputus asa kerana orang ramai masih membeli telur ayam yang dijualnya.

Sementara itu, projek ladang ayamnya masih lagi diteruskan. Satu demi satu sahabat-sahabatnya yang telah lari dari lorong kebenaran dapat dipujuk supaya menyertai projeknya. Muin, Bidin dan akhir sekali Nordin tidak mampu menafikan permintaan sahabat mereka. Walaupun pelbagai dugaan, ancaman dan cabaran singgah silih berganti, projek ladang ayam milik Amir itu tetap dilangsungkan.

Tidak cukup perjuangan seorang lelaki tanpa sokongan moral daripada wanita dalam hidupnya. Sokongan berterusan daripada Khadijah, Hajah Ramlah dan Khairunnisa mewakili kaum ibu sebagai tunjang dan juga pemudi yang menjadi tiang harapan. Keikhlasan dalam persahabatan Amir dan Khairunnisa jelas apabila anak muda itu tidak berkocak sewaktu diberitakan khabar angin bahawa gadis yang mendapat tempat istimewa di hatinya itu mungkin akan dilamar sahabatnya sendiri, Nordin Osman. Sebagai sahabat, Amir memilih untuk bergembira demi sahabatnya dan enggan melarikan fokus mengusahakan ladang penternakan ayamnya.

Apabila ladangnya masih lagi dalam proses pembinaan, Amir terpaksa meninggalkan ibunya sendirian kerana harus menyertai kursus berkaitan dengan projeknya itu di bandar. Khairunnisa yang sedang bercuti itu pula harus pulang ke Kota Samarahan kerana semester akan bermula. Hajah Ramlah, ibu Khairunnisa menawarkan diri itu bermalam bersama-sama dengan Khadijah sementara Amir masih berkursus.

Namun, pada suatu malam, akibat iri dan dengki melihat ladang penternakan itu berjaya, ada pihak yang membakar bangunan pejabatnya. Hal itu hanya disedari Khadijah yang masih lagi menunggu kehadiran Hajah Ramlah malam itu. Panik melanda, lalu dia berusaha untuk memadamkan kebakaran seorang diri kerana pada waktu itu renyai hujan dan marak api menenggelamkan suaranya meminta bantuan. Dalam keadaan yang serba payah ditambah pula dengan sakit lelah yang dialami, Khadijah berusaha memadamkan api itu walaupun dengan kudrat yang amat kerdil.

Tiada lain permintaan dan harapan insan-insan di sekeliling Amir kecuali mengharapkan dia ‘menjadi bintang’ yang menyinari kegelapan Kampung Kemboja. Perlahan-lahan dengan keazaman Amir, aktiviti sabung ayam sudah tiada lagi di warung Timah Ithnin walaupun ada sesuatu yang harus menjadi korban untuk menyedarkan mereka yang terlibat. Sokongan dan dokongan daripada sahabat-sahabat dan orang-orang kampung juga semakin padu setelah insiden kebakaran pejabat di ladang penternakan ayamnya. Sekali lagi, ada nyawa yang terkorban. Namun, itulah harga sebuah kejayaan.

Seperti kata Sol Stein dalam bukunya How to Grow a Novel, pengarang yang baik akan memberikan pembacanya suatu pengalaman baharu. Demikianlah Amiza Khusyri memasukkan ilmu bantu dalam dos yang sewajarnya supaya pembaca mendapat maklumat tentang industri penternakan ayam selain mendapatkan sebuah cerita yang sarat makna.

Sebagai novel sulung, masih ada ruang untuk diperbaiki pengarangnya, seperti watak Khairunnisa yang melayan perasaan digambarkan agak lewah walaupun masih ada fungsi penceritaan, pemilihan diksi yang kurang tepat seperti kayu belati (sepatutnya belantan), burung merbau (sepatutnya merbah) dan di sesetengah tempat, dialognya memperlahankan pergerakan cerita.

Namun, semua itu dapat diatasi dengan penggunaan bahasa yang segar dan pemerian latar yang jelas. Naskhah Menjadi Bintang ini turut sesuai diadaptasi sebagai drama televisyen kerana pengarang telah menyusun plotnya sedemikian rupa yang memudahkan penulisan lakon layar dilakukan. Jalinan plot yang rapi dengan gabungan sebab-akibat yang berfungsi menjadikan watak-wataknya bergerak dalam kerangka naratif yang berstrategi dan amat membantu imaginasi pembaca dalam mencari pengalaman membaca.

Pengarang yang mempunyai latar pendidikan dari Universiti Al-Azhar ini juga tidak lupa menitipkan pesanan, doa serta pengajaran secara halus melalui teknik penceritaan yang tidak didaktik.

Apakah yang terjadi kepada Jebat, ayam kesayangan Amir Mustafa setelah diletakkan di gelanggang sabung? Berjayakah Amir Mustafa mendapatkan sokongan seumur hayat dari Khairunnisa setelah gadis itu mungkin dilamar sahabatnya sendiri? Apakah nasib ibunya yang berusaha memadamkan kebakaran ladang anaknya itu seorang diri? Mampukah Amir Mustafa menjadi bintang yang diharapkan oleh insan di sekelilingnya?

Semua itu pastinya terjawab apabila pembaca mencari pengalaman baharu melalui novel Menjadi Bintang dan di tangan Amiza Khusyri Yusof, pembaca tidak akan kecewa!

Tunas Cipta, Mac 2009.

AKO : Kredit untuk Kak Nisah yang memilih novel penulis kecil ini. Terima kasih. Baca juga di blog Zaid Akhtar tentang novel ini.

Posted in | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.