Sejarah
Kuliahku di IPIS kini sudah tamat. Namun bukanlah tamat sepenuhnya, akan bersambung pula pada cuti persekolahan akan datang. Kini, yang lalu sudah menjadi sejarah. Ya, semua yang telah berlalu sudah menjadi sejarah. Ada yang manis, ada yang pahit. Sudah tentunya bagi majoriti manusia, suka mengenang yang manis-manis, tidak suka mengenang yang pahit-pahit. Barangkali orang suka mengenangkan yang manis-manis kerana boleh menjadi pengubat lara, atau boleh menjadi punca ceria dan rasa ria, kerana fitrah manusia itu tidak suka bersedih dan berduka. Dan barangkali juga bagi sesetengah orang, suka mengenang yang pahit-pahit, dek tidak mampu melupakan saat yang pahit-pahit itu, atau suka mengenangkan yang pahit-pahit, kerana yang pahit-pahit itu banyak mengajarnya erti hidup.
Bagiku, seperti kisah Bos yang kuceritakan, adalah satu sejarah yang pahit. Yang setiap kali aku mengingatinya, maka akan terbenturlah rasa kasih sayang dalam jiwaku. Akan tersematlah keinsafan dalam kalbuku. Diri terus bermuhasabah dan aku sentiasa berseingat diri agar tidak mengulangi yang pahit-pahit dahulu. Aku juga suka mengenangkan yang manis-manis. Yang semestinya manis-manis itu akan menjadikanku tersenyum sendiri. Yang kadangkala manis-manis itu akan mengingatkanku supaya sentiasa melakukan yang terbaik. Ya, bukan sahaja yang manis-manis, tetapi yang pahit-pahit juga boleh menjadi sumber inspirasi, boleh menjadi suntikan motivasi buat diriku yang daif ini.
Sepertimana sejarah kegemilangan Islam, sejarah ketamadunan dan Khilafah Islamiah adalah suatu saat yang manis. Maka, tidak bolehlah aku sekadar ingin berbangga, atau sekadar suka bercerita dengan pongah detik-detik hebat itu, tetapi perlu ada usaha untuk mengembalikan kegemilangan itu, aku perlu memiliki motivasi untuk menggilapkan, mengiltizamkan dan seterusnya menggemilangkan. Justeru tentunya proses itu bukan yang mudah-mudah, yang ringan-ringan, tetapi adalah proses yang berat-berat dan serius.
Jiwa yang rasi
Aku kini berada dalam fatrah(i) jeda sebelum memulakan kembali tugas di ITQAN apabila tirai tahun baru terbuka. Waktu inilah aku merasakan jiwaku rasi untuk menukangi karya, untuk melihat-lihat kembali karya-karya dahulu, dan memenuhi masa dengan pembacaan karya-karya sastera, dalam erti dan makna karya sastera yang sebenar, kerana masyarakat sekarang sudah berpenyakit keliru untuk mengenal, menakrif dan memilih.
Aku terfikir juga, alangkah indahnya jika jiwaku selalu rasi begini, dan hatiku sentiasa damai begini, meskipun aku kadangkala menyalahkan hujan kerana melencunkan, dan kadangkala menyalahkan panas kerana membahangkan, seperti mentari yang hilang kala hadirnya malam, adakah aku perlu menyalahkan bumi kerana sentiasa berputar pada orbitnya? Yang akhirnya aku akan menyalahkan Tuhan kerana tidak memenuhi kehendak dan keinginanku yang tidak pernah cukup dan puas. Oh Tuhan, ampunilah hamba-Mu.
Janganlah aku menjadi insan yang gelisah dengan rezeki, kerana Tuhan yang memberi rezeki, bukan siapa-siapa, bukan apa-apa, tetapi Dialah Tuhan yang memberi rezeki. Janganlah aku menyalahkan orang lain, saling salah-menyalah, sehingga api kesumat dan permusuhan merumba. Aku perlu menyalahkan diriku sendiri, menyalahkan usaha, menyalahkan keinginanku yang melebihi ibadah dan tawakal. Ya Hayyu ya Qayyum, aku sujud sebagai hamba-Mu.
Ada cinta
dalam hatiku
mekar berbunga
dek rindu
yang sering mendamba.
Nota kaki :
(i) Fatrah : Tempoh
AKO : Semoga jiwa kalian sentiasa rasi.. :)
Search
Amiza Khusyri bin Yusof
Pendidik, Penulis dan Perunding Motivasi
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN)
AJK, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Perunding Motivasi, Zikra Inspire Learning & Consulting (ZILC)
Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN)
AJK, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Perunding Motivasi, Zikra Inspire Learning & Consulting (ZILC)
Calon Sarjana Usuluddin (Dakwah & Pembangunan Insan), Universiti Malaya, Kuala Lumpur
*Sebarang pengambilan mana-mana esei di dalam blog ini hendaklah mendapat keizinan penulis atau diberi kredit atas nama penulis (Amiza Khusyri Yusof) atau blog penulis (Amiza Khusyri : Menulis itu Memberi)
*Sebarang pengambilan mana-mana esei di dalam blog ini hendaklah mendapat keizinan penulis atau diberi kredit atas nama penulis (Amiza Khusyri Yusof) atau blog penulis (Amiza Khusyri : Menulis itu Memberi)
Facebook Badge
Kumpulan Cerpen
Antologi Cerpen
Catatan Popular
-
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak diperguna...
-
Kredit foto: Relaksminda Dahulu, bagi kami, orang-orang yang bekerja menjaga api dan air itulah merupakan hero kami. Jika air tiada be...
-
Dunia yang seperti pelangi, sementara mengindahkan, dan akan pergi. Aku mendoakan kalian dengan kebaikan dan keelokan dalam segala tingkah d...
-
"Kita bermasalah!" "Betul, kita bermasalah." "Ya, memang kita ada masalah." Berapa ramai dalam kalangan manusi...
-
Apa sahaja yang kita lakukan setiap hari, rupa-rupanya terangkum dalam satu ungkapan wasiat Nabi s.a.w bernama - istiqamah. Istiqamah itu ad...
Followers
Networked Blogs
Blog List
-
Andai Anak Anda Sendiri Melakukan Protes di Kampus USA dan UK6 bulan yang lalu
-
Nigerian workers strike over cost of living crisisSetahun yang lalu
-
SWAB PCR COVID-194 tahun yang lalu
-
-
-